Khamis, 1 Oktober 2015

.

.


Harapan kepada pemimpin pasca merdeka

Posted: 30 Sep 2015 07:20 PM PDT

ILUSI PAGI

Sudah kesekian lama keinginan saya untuk menyaksikan kepimpimnan negara ini diambil alih atau diberi peluang kepada para pemimpin pelapis yang ada hari ini. Pemimpin pelapis negara ini yang saya maksudkan atau golongkan mereka yang lahir selepas merdeka, 1957, (pemimpn pelapis pasca merdeka). Mereka kini berusia dibawah 60 tahun ke bawah.

Husam Musa (Pas)
Khairy (Umno)
Negara kita atau madrasah politik kita banyak melahirkan tokoh-tokoh pemimpin dibawah 60 tahun yang boleh diharapkan menjadi pemimpin masa depan. Mereka, suka atau tidak suka akan mengambil alih kepimpinan dari order lama. Order lama ialah mereka yang berusia atas 60 tahun hari ini. Kebanyakan mereka akan mengisi borang pencen secara pilihan atau terpaksa apabila usia mencecah 65 tahun.



Apa lagi setengah daripada mereka (golongan pelapis ini) hari ini sudah pun memegang jawatan penting di peringkat parti dan kerajaan baik negeri maupun persekutuan. Atau pun sudah ada pengalaman menjadi wakil rakyat, Exco, MB atau pun pimpinan parti. Pengalaman dan sejarah yang dilalui mereka sudah cukup melayakkan mereka menjadi pemimpin negara bangsa di masa depan.

Saifuddin Abdullah (Umno)
Azmin Ali (PKR)
 Apa yang menjadi keinginan (ilusi saya) ialah, meletakkan mereka dalam satu gugusan pemimpuin yang terikat. Maksudnya mereka diberi peluang secara bersama untuk memimpin negara. Di sini bukan bermakna mereka perlu ada dalam satu wadah (kalau itu berlaku lagi bagus), tetapi bersatu diluar wadah. Mereka diberikan peluang menjadi pemimpin utama oleh parti masing-masing.

Tidak sulit untuk melihat mereka berfikir dan mencanang pelan untuk nusa dan bangsa yang sama kerana mereka sudah dibentuk atas landasan benar sejak lama. Mereka sudah ada banyak persamaan. Selain daripada warna kulit dan darah mereka juga diasuh dan didikan di maktab politik yang sama. Rata-rata mereka menjadi warga kampus yang sudah mula bergerak belajar menjadi pemimpin di peringkat kampus. Mereka adalah aktivis pelajar dan gerakan mahasiswa yang mendampingi masyarkat sejak remaja.

Saifuddin Nasution (PKR)
Idealisme, wawasan dan iltizam mereka serupa. Tanyalah mereka, apakah matlamat atau cita-cita hidup mereka, mereka akan jawab untuk mendaulatkan agama dan bangsa. Cuma apa yang memisahkan mereka ialah warna politik yang kemudian diasingkan oleh perbezaan pendekatan atau uslub - itu sahaja.

Walhal politik itu sendiri mengariskan matlamat dan maksud yang sama. Perbezaan jalan (toriq) ini tidak menjadi masalah asalkan matlamat mereka sama, menuju ke destinasi yang sama. Maka mereka boleh bersama asalkan semuanya sedia mengugurkan rasa tinggi diri dan ego.

Perbezaan politik atau toriq samalah perbezaan jalan dan kaedah untuk kita menuju ke sesuatu tempat. Ada yang memilih jalan darat, ada yang pilih jalan udara dan ada yang memilih jalan laut. Laksana untuk kita ke Makkah ada orang menggunakan kapal laut, ada yang naik motorkar atau unta ada yang menaiki kapal terbang atau jet peribadi. Yang penting dan utama ialah sampai ke Makkah.

Salahuddin (Amanah)
Apabila menyorot dan menilai nama-nama mereka ini menunjukkan bangsa Melayu dan negara tidak "kasih" (miskin) dengan tokoh-tokoh bakal menjadi pemimpin di masa hadapan. Mereka sudah menyerlah bakal dan iltizam mereka, kerana kalau bukan masakan mereka memilih politik sebagai kerjaya.

Sebaris nama-nama yang sudah lama menetas dalam kepala saya untuk mencapai ilusi itu itu ialah, Ahmad Shaberry Chik, Saifuddin Abdullah, Zambery Abdul Kadir, Razali Ibrahim, Khalid Nordin, Puad Zarkasi, Ezam Mohd Noor, Hashim Subuh (dari Umno); Salahuddin Ayub, Dr Mujahid Yusuf Rawa, Hanifa Maidin, Dr Mohd Hatta Ramli, (daripada Amanah), Husam Musa, Tuan Ibrahim Tuan Man, Takiyuddin Hassan, (daripada Pas).

Mohamaed Azmin Ali, Saifuddin Nasution Ismail, Mustafa Kamil Ayub, Shamsul Iskandar Md Akin, (daripada PKR), dan beberapa nama lain daripada badan-badan bukan politik NGO, seperti Azam Abdul Rahman bekas presiden Abim, Saari Sungip bekas presiden Jim. Mereka ini boleh berklobrosi dengan beberapa nama yang sudah menyerlah dalam bidang selain politik; korporat, budayawan, profesionali dan akademis.

Nama-nama-nama ini ada "gewan" tersendiri dan setengahnya sudah pun menunjukkan kemampuannya apabila pernah diberi peluang untuk menjadi timbalan menteri, menteri besar atau Exco atau wakil rakyat berbahas di parlimen, seperti Shabery Cheek, Zambery Abdul Kadir, Khalid Nordin, Husam Musa, Saifuddin Abdullah, Puad Zarkasi, Salahudin Ayub dan lain-lain.

Alangkah kalau nama-nama ini bergabung dalam sebuah gagasan besar untuk membangun nusa dan bangsa, saya percaya negara mempunyai gagasan yang besar dan cerah mencapai perjuangan tuntutan bangsa dan agama akan terlaksana.

Shabery Chek (Umno)
Boleh dikatakan semua mereka telah dibentuk dengan sekolah perjuangan awal semasa dalam universiti atau gerakan sosial. Mereka juga menjadi pengerak dalam badan-badan NGO yang telah lama meletakkan mereka di laman rakyat. Mereka sudah sebati dengan permasalahan rakyat menerusi penglibatan dan kajian ilmiah mereka. Mereka ini juga mempunyai pengikut dan pendokong tersendiri yang akan menjadi pemangkin perjuangan mereka, jadi masalah untuk mendapat sokongan bawahan tidak menjadi masalah.

Bagaimana pun sayang seribu kali sayang, mereka tidak dapat bersatu atau berada dalam satu wadah. Selepas keluar dari kampus atau "pensiun" daripada gerakan sosial, masing-masing mereka bergerak sendiri mengikut haluan yang membentuk mereka, dan mendukacitakan ada sesetengahnya semangat dan wajah perjuangan mereka mencair dan larut dengan sekulisme di tengan jalan. Kalau boleh saya sebutkan kebanyakan pimpinan Abim, Belia 4B atau Gerakan Mahasiswa hanya hebat dan terserlah semasa menjadi presiden, tetapi selepas berhenti segala-galanya mengecut dan longlai.

Mujahid (Amanah)
Apakah orang-orang ini masih ada ruang untuk menyatukan diri? Maksudnya mereka tidak perlu untuk berada dalam sebuah parti. Mereka boleh kekal dengan wadah yang mereka duduki kini. Apa yang diperlukan mereka menggerakkan politik baru, (melakukan renovation) politik rasional yang terlepas dari lingkungan atau pradigma lama, penuh perasaan ego, rasa cerdik sendiri dan politik primatif serta mempraktiskan fahaman "jahliah politik".

Masa depan negara berhadapan dengan seribu kemungkinan dan berhadapan dengan berbagai-bagai cabaran. Adalah wajar kalau mereka ini kemudian diikuti pula oleh adik-adik kepada mereka yang juga sudah mula menunjukkan bakat dan ada yang menjadi ahli parlimen, dapat membina satu idealisme politik baru untuk masa depan yang lebih mampan.

Pemimpin peringkat adik-adik kini yang kini menyerlah kebolehan dan bakat seperti Khairy Jamaluddin, Razali Ibrahim, Rezza Marican Naina Marican (Umno), Rafizi Ramli, Nurul Izzah Anwar (PKR), Shamsudl Iskandar Md Akin dan lain-lain. Hanya dalam Pas diperingkat adik-adik ini masih belum menyerlahkan siapakah mereka yang boleh diketengahkan. Yang ada dalam Pas kini masih peringkat budak-budak Pasti yang masih belum meninggal lastik.

Zambery (Umno)
Nurul Izzaah (PKR)
Masih belum terlewat kalau kita ingin mempukukkan kesatuan untuk mencapai ilusi saya itu. Masa masih ada. Syaratnya anggota parti mereka menyedari keperluan ini dan masing-masing memberi peluang kepada mereka untuk memimpin parti. Sama ada ia boleh atau tidak terletak ditangan ahli kerana ahli yang bakal menentukan siapa berada di atas dan dibawah dalam parti masing-masing.

Cukuplah membuat pemilhan berdasaran sentimen, puak, ataupun kerana wang, tetapi bautlah berdasarkan kepada kepentingan yang saya sebutkan tadi serta berdasarkan kualiti dan merit pemimpin.

Mereka yang saya sempat sebutkan nama itu tidak perlu lagi kepada didikan kerana mereka sudah terdidik sejak awal lagi. Mereka sudah ada benih perjuangan bangsa dan agama sejak awal lagi. Mereka juga mengambil pakai kitab-kitab dan pemikiran ahli-ahli politik (Islam) yang sama sebagai "geragan" politik mereka.

Sepatutnya mereka mudah untuk disatu kerana mereka mempunya DNA yang sama ada, ada chemestry tertentu. Saya yakin kalau parti memberi peluang dan ruang kepada mereka, cita-cita yang menjadi keinginan saya itu kelak akan terbentuk.

Pemimpin yang ada sekarang ini sudah pun diberi masa dan mereka ternyata gagal untuk menyatukan pemikiran ummah. Mereka gagal mempersatukan politik nusa dan bangsa, bahkan cara mereka berpolitik menjadikan Melayu bangsa yang bergaduh sesama sendiri dan nilai politik kita juga sehari ke sehari semakin menawar. Mereka juga gagal membina idealisme dalam politik sebaliknya berjaya membina semangat materialisme.

Pemimpin yang ada sekarang baik dalam Umno, Pas dan PKR juga dalam Amanah ternyata sudah tua dan tidak relevan lagi. Pemikiran mereka juga sudah tepu, sukar untuk melihat atau mengapai pemikiran bentuk baharu dalam politik demi masa. Mereka terikut dengan tradisi dan budaya yang mereka terima sebelum ini. Politik mereka sudah menjauh dari garis massa.

Nama-nama seperti Najib Razak, Zahid Hamidi, Abdul Hadi Awang, Ahmad Yaakub dalam Pas atau Dr Wan Azizah Ismai, Anwar Ibrahim, Syed Husin Ali (PKR), hatta Mohamad Sabu (Amanah) sudah terkeluar dari orbit sebenarnya.

Mereka tidak ada keupayaan dan suara serta pendekatan politik mereka tidak dapat diterima oleh pengikut parti masing-masing khasnya dari golongan muda yang memerlukan satu pembaharuan politik. Mereka juga mungkin tidak ada kesedaran baru untuk mengajak bersatu dalam bentuk kesatuan fikir dan azam itu.

Sekali lagi diulang masa masih ada dan kita masih belum terlewat untuk membina gagasan ilusi saya menjadi kenyataan. Sebelum orang-orang yang saya sebutkan tadi bergajak masuk ke usia 60 tahun, angka dimana usia dianggap sebagai subsidi (mengikut ukuran usia Rasulullah) berikan peluang kepada mereka untuk membentuk bingkai kenegaraan dan kebangsaan untuk Malaysia di masa akan datang. Tidak perlu lama cukup lima hingga tujuh tahun sahaja. [wm.kl.9:00 01/10/15]

Najib sudah atasi rekod Mahathir sebagai PM

Posted: 30 Sep 2015 05:05 AM PDT

SIMPANG MALAM

Hebat Mohd Najib Razak. Walaupun hanya baru sembilan (9) tahun beliau menjadi perdana menteri tetapi rekod dan sejarah perkhidmatannya sudah mengatasi Dr Mahathir Mohamad yang menjadi perdana menteri selama 22 tahun. Ertinya Najib mengatasi Mahathir belum sampai separuh perkhidmatan yang dilalui Dr Mahathir.

Stail politik mereka sama. Tapi Najib sudah ke depan.
Apa yang dilakukan dan berlaku diera Mahathir telah berlaku diera Najib. Ia seakan satu kejayaan besar Najib yang boleh dibangga oleh rakyat negara ini khasnya ahli Umno yang menjadi ayam ternakan parti kebangsaan itu.

Disepanjang tempoh menjadi perdana menteri, Dr Mahathir menghadapi pelbagai cabaran, ancaman dan bantahan dilakukan oleh rakyat. Dia juga dikecam dengan dasar-dasar yang dikira tidak menguntungkan Melayu. Tindakan menyelamatkan diri dan kedudukan dalam parti juga dilakukan Dr Mahathir sehingga menyebabkan tindakan itu berlaku bantrakan kepada parti.

Misalnya dasar industri besar yang memperkenalkan higtec membina kilang kereta nasional, Proton. bandar ICT mendapat krtitikan oleh pakar-pakar ekonomi lain yang beranggap ia sesuatu yang tidak perlu pada masa iu dan merugikan negara ini. Namun Dr Mahathir tetap berdegil dan percaya kepada gagasannya dalam usaha meletakkan Malaysia menjadi negara maju dalam tahun 2020.

Langkah Dr Mahathir itu juga mendapat kritikan dari sesetengah menterinya sendiri. Orang paling latang mengkritik projek automobil Dr Mahathir ialah tengku Razaleigh Hamzah yang tidak optimis dengan idea Dr Mahathir itu. Begitu juga dengan projek Perwaja Steel, di Paka Terengganu, Hidro eleterik di Bakun, Sarawak dan lain-lain juga mendapat kritikan hebat dari pembangkang.

Dalam politik, pula Dr Mahatahir dikirik kerana tidak pernah diam daripada menyerang Pas dan cuba menanam perasaan buruk ke atas parti agama itu. Dr Mahathir melihat Pas sebagai sebuah parti yang jumud dan pengacau kemajuan orang Melayu. Dr Mahathir bermusuh dengan gerakan Islam. Beliau mengharamkan jemaah Darul Arqam pimpinan Abuya Ashaari Muhammad dan anti kepada gerakan sufi.

Sebagai mempastikan kedudukannya selamat Mahathir menggunakan akta dan undang-undang untuk memenjarakan pemimpin pembangkang, NGO dan para aktivis. ISA adalah senjata Dr Mahathir untuk mengekang musuh dan lawan politiknya.

Dalam Umno Dr Mahathir ditentang oleh kalangan Umno sendiri. Dua kali kedudukannya sebagai presiden parti ditentang. Kali pertama 1982 dan kedua 1987 oleh orang yang sama Tengku Razaleigh Hamzah yang pada satu masa berpakat dengan Musa Hitam. Gara-gara perlawanan itu menyebabkan Umno berpecah dua tahun 1987.

Dr Mahathir tidak tehenti setakat itu sahaja, dia terus bertindak mencatas musuh politiknya dan mereka berpotensi menjadi pemimpin Malaysia dikubur hidup-hidup. Dr Mahathir mengamalkan politik jahiliah. Tindakan paling sadis dan merugikan negara dilakukan Dr Mahathir ialah apabila pecat Anwar Ibrahim dari Umno dan jawatan timbalan perdana menteri kemudian "memenjarakannya" selama sembilan (9) tahun atas tuduhan salah guna kuasa.

Ekoran tindakan politik Dr Mahathir yang tidak berperikemanusiaan itu menyebabkan sekali lagi Umno terbelah dua sehingganya wujudnya gerakan reformasi yang memungkinkan melahirkan PKR.

Menariknya semua yang diperlakukan Dr Mahathir itu turut berlaku dan dilakukan oleh Najib Razak. Najib seakan mengikut sunnah Dr Mahathir dalam mempertahankan diri dan kekuasaanya. Kalau Dr Dr Mahathir merugikan negara dengan projek nasionalnya Najib juga berbuat demikian dengan memperkenalkan syarikat pelaburan strategik 1 Malaysia Development Berhad (1MDB). Dilaporkan syarikat itu kerugian sebanyak RM42 billion?

Pembaziran lain juga turut dilakukan di era Najib. Pemberian BR1M juga menjadi satu masalah kerana ia dianggap sebagai rasuah politik yang menggunakan belanja banyak. Demikian juga bayaran dan penggunaan wang untuk mempertahankan Umno dan kerajaan BN. Penerimaan dana sebanyak RM2.6 billion yang digunakan untuk pilihan raya adalah satu penyalahgunaan dan pembaziran wang, digunakan bukan untuk rakyat.

Kejayaan Najib dalam mencari dana untuk parti ini mengatasi kemampuan Dr Mahathir.

Demikian juga dengan tindakan politik. Kalau Dr. Mahathir memecat timbalannya untuk mengukuhkan kedudukannya, demikian juga dengan Najib membuat perkara sama. Kerana bimbang Muhyiddin Yassin yang tidak sedia menjadi "yesman" kepadanya, dan dikhuatiri akan menjoloknya, Najib dengan berani telah memecat Muhyiddin sebagai timbalan perdana menteri.

Cuma bezanya Najib tidak memanjarakan Muhyiddin, seperti mana Dr Mahathir memenjarakan Anwar. Tetapi kekurangan itu dibayar Najib dengan ikut sama memenjarakan Anwar Ibrahim sepertimana dilakukan Mahathir. Dibawah Najib Anwar dipenjara selama lima tahun. Itupun masih terlalu awal untuk ditangkis. Kalau Najib melihat Muhyiddin bakal menyusah dan mengangguinya mungkin Muhyiddin juga akan dipenjara?

Kronologi dan tawarikh itu menunjukkan perjalanan politik Najib "sesungai" dengan Dr Mahathir.

Tetapi kenapa dikatakan Najib lebih hebat daripada Dr Mahathir? Dalam usaha Dr Mahathir hendak membuang Anwar yang dianggap pencabarnya, Dr Mahathir dikatakan bersubahat dengan (guna) polis dan pendakwa raya. Dr Mahathir tidak pun sampai memecat Peguam Negara atau pun menganggu tugas SPRM dan juga SB bagi menyelamatkan kedudukannya.

Berbeza dengan Najib. Peguam Negara terpaksa ditamatkan dan diganti dengan seorang ahli Umno, manakala pegawai SPRM yang terlibat dengan siasatan 1MDB syarikat yang membabitkannya, dipindah tempat kerja. Begitu juga timbalan ketua SB Bukit Aman dipindah tempat kerja.

Campur tangan dan gangguan ke atas pegawai keselamatan dan badan bebas ini tidak dilakukan oleh Dr Mahathir tetapi berlaku dizaman Najib.

Terbaru kehebatan Najib ialah masalah kejatuhan nilai ringgit. Dizaman Dr Mahathir ringgit jatuh sehingga hampir RM4 berbanding 1USD kemudian terpaksa ditambat RM3.80 untuk 1USD. Tetapi dizaman Najib ringgit susut sehingga hampir RM4.40 berbanding 1USD.

Begitu juga dalam menggunakan kuasa prerogetif sebagai presiden parti untuk menyelamatkan diri, kalau Dr Mahathir menangguhkan persidangan agung (PAU) memilih pemimpin dalam Umno, hal sama juga turut dilakukan Najib. PAU yang sepatutnya diadakan pada tahun depan ditangguh selama 18 bulan.

Demikian perbandingan tindakan dan peristiwa yang berlaku diera Najib dengan Mahathir dimana dalam perbandingan itu menjelaskan Najib mengatasi Dr Mahathir. Najib jauh lebih berjaya dan hebat serta rakus dalam tindakannya. Kelebihan Naib ini berdasarkan kepada nisbah tempoh perkhidmat walaupun baru sembilan (9) tahun menjadi PM, tetapi Najib sudah menyamai rekod Dr Mahathir dan mengatasi dalam beberapa aspek tertentu yang gagal dicapai Dr Mahathir. [wm.kl.7:39 pm 30/09/15]

Tiada ulasan: