Ahad, 25 Oktober 2015

ALHUSSEYN

ALHUSSEYN


Pakatan Rakyat sudah lama berkubur, kata PKR kepada PAS

Posted: 25 Oct 2015 06:00 AM PDT

OLEH ZULKIFLI SULONG, PENGARANG ANALISIS DAN RENCANA
Pakatan Rakyat (PR) sudah mati, demikian kata seorang pemimpin PKR hari ini selepas timbalan presiden PAS mengatakan gabungan pembangkang itu masih hidup walaupun hanya mempunyai 2 ahli.

 Pengarah Pilihan Raya PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, PR yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS, tidak lagi mempunyai dasar rangka kerja, mahupun Majlis Presiden yang membuat keputusan bersama, begitu juga urusetia yang menyelaraskan program dan aktiviti pakatan itu.

 Semua itu wujud selepas PR ditubuhkan pada 1 April, 2008 berikutan pilihan raya umum tahun itu, dengan dasar rangka kerja bersamanya disediakan pada 19 Disember, 2009.

 "Hari ini semuanya itu tidak lagi wujud dan ini bermakna PR tidak lagi berfungsi," kata Saifudin yang juga bekas setiausaha agung PKR.

 Beliau mengulas kenyataan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man malam tadi yang PR masih hidup seperti mana terbukti melalui sokongan dan kerjasama politik di Selangor dan Kelantan.

 "PR tanpa DAP adalah platform politik yang masih utuh dan kekal sehingga kini. PR masih lagi wujud," katanya.

 Timbalan presiden parti Islam itu berkata, PAS dan PKR mengadakan pertemuan minggu lalu dan mereka bersetuju menyusun semula kekuatan antara mereka.

 Tetapi Saifuddin hari ini berkata, pemahaman  Tuan Ibrahim mengenai apa yang dibincangkan dalam mesyuarat itu mungkin berbeza.

 Saifuddin berkata, PKR mengadakan 4 pertemuan dengan PAS setakat ini, dan semuanya diketuai Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

 Katanya, tidak ada satu pun mesyuarat itu yang turut dihadiri Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

 Namun, tiada sebarang keputusan politik pernah dibuat ketika mesyuarat itu melainkan sekadar bertukar-tukar pandangan perihal isu semasa, kata Saifuddin, sambil menambah, menjadi dasar PKR mengekalkan pendekatan terbuka dan inklusif dengan semua parti yang bertekad menumbangkan Umno-Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

 "Pernah dalam satu pertemuan yang saya turut hadir, PKR mencadangkan PAS dapat bersetuju dengan 'formula satu lawan satu' dan perwakilan PAS meminta untuk kembali membincangkan idea itu dalam mesyuarat pimpinan utama parti.

 "Idea ini, jika dipersetujui PAS, boleh dilaksanakan melalui satu 'electoral pact' dan bukannya Pakatan Rakyat, seperti yang Tuan Ibrahim fahami," katanya.

 Saifuddin berkata, Pakatan Harapan kemudiannya ditubuhkan sebagai sebuah gabungan baharu di antara PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah), sebuah parti serpihan diterajui pemimpin PAS progresif yang ditewaskan pada pemilihan parti pada Jun lalu.

 "Rasional penubuhannya ialah berlaku kelompangan yang perlu diisi segera demi memberikan pilihan alternatif kepada rakyat. PAS turut dijemput menganggotainya tetapi masih belum bersedia ikut serta," katanya. 

 PAS enggan menyertai pakatan baharu itu, mengatakan ia tidak lagi boleh bekerja dengan DAP selepas memutuskan hubungan dengan bekas sekutunya itu, dan kerana pemimpin Amanah adalah "pengkhianat" kerana meninggalkan PAS.

Jelajah Pakatan Harapan ke seluruh negara
dilancarkan di Labis Johor pada 9 Oktober, 2015. 
 Sehubungan itu, Saifuddin berkata, keutamaan sekarang ialah memperkemaskan Pakatan Harapan dan hasilnya semakin dapat dilihat.

 Mesyuarat pertama Majlis Presiden Pakatan Harapan diadakan pada 19 Oktober lalu, disusuli pengumuman belanjawan alternatif mereka oleh Dr Wan Azizah selaku ketua pembangkang pada 21 Oktober.

 Kenyataan bersama pimpinan Pakatan Harapan juga dibuat, menyentuh pelbagai isu semasa, manakala jelajah Pakatan Harapan ke seluruh negara dilancarkan di Labis Johor pada 9 Oktober, 2015.

 "PKR komited dengan usaha Pakatan Harapan untuk turun menemui rakyat dan menerangkan pelbagai perkembangan isu yang membabitkan kepentingan rakyat terbanyak.

 "Pada masa sama 'engagement' dengan PAS diteruskan kerana sedar pentingnya seluruh tenaga dan potensi parti pembangkang, termasuk dari Sabah dan Sarawak, digembleng ke arah menumbangkan pemerintahan BN," katanya.

 Sehingga itu, katanya, satu-satunya pakatan politik yang PKR terlibat memeterai perjanjian ialah Pakatan Harapan, dan perundingan ke arah melaksanakan 'formula satu lawan satu' dengan BN membabitkan parti lain termasuk PAS akan diteruskan. – 25 Oktober, 2015.~ sumber

Siapakah musuh PAS sebenarnya, Umno atau AMANAH?

Posted: 25 Oct 2015 02:54 AM PDT

OLEH RASLAN BAHAROM 
Parti Amanah Negara (Amanah) akan mengelakkan pertandingan 3 penjuru dalam pilihan raya umum akan datang, kata Timbalan Pengerusi negeri Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

 Bersaing dengan PAS hanya akan memberi manfaat kepada kerajaan pemerintah Barisan Nasional (BN), katanya.

 "Amanah ditubuhkan untuk melawan Umno dan BN, bukan menentang PAS," katanya pada sesi soal jawab selepas perasmian pejabat Amanah Bukit Gantang merangkap pusat perkhidmatan Amanah Changkat Jering oleh Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub di Simpang, Perak hari ini.  Baca lagi di sini

Komen al-Husseyn:

  Benarkah Parti Amanah Negara (Amanah) akan mengelakkan pertandingan 3 penjuru dalam pilihan raya umum akan datang? 

  Mampukah AMANAH untuk mengelakan perkara tersebut dari berlaku waima PAS begitu ghairah untuk melakukan yang sebaliknya.

  Menurut  PJ Perak, Hj Razman Zakaria tidak lama dulu, PAS akan bertanding di 52 kerusi termasuk kerusi yang dimenangi DAP dan PKR!

   "Amanah ditubuhkan untuk melawan Umno dan BN, bukan menentang PAS," Tapi di kawasan Umno bertanding, di situlah PAS akan bertanding...mana ada kawasan untuk AMANAH bertanding menentang Umno tanpa adanya PAS di situ? Persaingan antara PAS dan AMANAH pasti akan menguntungkan Umno/BN.

   Apakah PAS mahu supaya AMANAH tidak bertanding dimana-mana kawasan pun waima PAS begitu ghairah untuk meletakan calonnya di setiap kawasan di Perak ini? PAS jangan terlalu tamak mahu bertanding di setiap kawasan tanpa mengambil kira data dan angka pengundi PRU 13.

  PAS bertanding di 21 kawasan dan menang 5 kerusi di Perak pada PRU 13 dulu. Tentulah satu perkara yang tisdak masuk akal jika PAS akan menambah 31 kerusi lagi untuk menggenapkan angka 52 idamannya itu.

 PAS perlu mengukur baju di badannya sendiri.Panjangkan dahulu kailnya yang hanya sejengkal itu sebelum mahu menduga lautan dalam. Jumlah kerusi Dun Perak yang dimenangi PR pada PRU 13 ialah 28 daripada 59 kerusi yg ditandingi.

 Bukankah itu bermakna, PAS akan bertanding di kawasan-kawasan PKR dan DAP?

Begitu ghairah sekali PAS mahu mewujudkan pertandingan 3 penjuru pada PRU 14 nanti! 

  Walaupun AMANAH mahu cuba mengelakan dari pertembungan 3 penjuru, namun oleh kerana tindakan PAS sendiri yang tidak mahu bertolak ansur dan mahu bertanding di setiap kawasan, pastinya AMANAH terpaksa bertembung dengan PAS!

Apa yang pasti, AMANAH akan bertanding di tempat-tempat yang diyakini akan mendapat sokongan berbilang kaum.Corak pengundian kaum Cina mencerminkan yang mereka akan memberi kemenangan kepada Pakatan Harapan.

 Dalam keadaan tercungap-cungap begitu pun, PAS masih ada hati mahu meletakan calonnya dari DHPP untuk menentang DAP? DAP memenangi di 18 kawasan dan kita mempersilakan PAS supaya meletakan DHPP di 18 kawasan tersebut! 

 Selain kemusykilan samada PAS mempunyai cukup wang untuk menaja DHPP sebagai calon, apakah DHPP mampu menyediakan orangnya untuk dijadikan calon?? Kita akan saksikan samada PAS benar-benar mampu melakukannya atau sekadar umpama seekor katak yang hanya mengembongkan dirinya supaya kelihatan besar dan kuat.

  Seperti apa yang dilaporkan, "Bersaing dengan PAS hanya akan memberi manfaat kepada kerajaan pemerintah Barisan Nasional (BN)," maka eloklah PAS memikirkan semula siapakah musuh PAS sebenarnya, Umno atau AMANAH?

Tiada ulasan: