Ahad, 11 Oktober 2015

ALHUSSEYN

ALHUSSEYN


Siapa pilihan PKR, Pakatan Harapan atau PAS?

Posted: 11 Oct 2015 04:32 AM PDT

Oleh Amin Iskandar 

 PKR akan mengadakan mesyuarat khas hari ini disebabkan petisyen 25 ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang mahu penubuhan Pakatan Harapan dibincangkan semula.

 Dua puluh lima ahli MPP ini tidak berpuas hati mengapa presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail "tergesa-gesa" mengumumkan pembentukan Pakatan Harapan baru-baru ini sedangkan sepatutnya ianya hanyalah perbincangan awal.

 Kumpulan 25 pemimpin PKR ini juga mahu PAS dilibatkan dalam Pakatan Harapan walaupun parti Islam itu sebelum ini melalui presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan tidak akan bersama gabungan baharu itu kerana adanya DAP dan "pengkhianat" Parti Amanah Negara (Amanah).

 Selain itu, kumpulan 25 pemimpin ini mahukan mesyuarat MPP hari ini meluluskan cadangan agar dibentuk satu pakatan lain dengan PAS di samping mengekalkan Pakatan Harapan.

 Bagaimanapun, The Malaysian Insider melaporkan sebelum ini, sekurang-kurangnya 7 daripada 25 pemimpin ini sudah menghubungi Dr Wan Azizah bagi memohon maaf di atas tindakan mereka menandatangani petisyen yang dilihat sebagai "undi tidak percaya" kepada presiden PKR itu. 

 Difahamkan, dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Selangor pada Rabu, pemimpin akar umbi parti itu digambarkan seolah-olah Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri tidak bersetuju dengan penubuhan Pakatan Harapan.

 Selain itu, pemimpin akar umbi PKR diberitahu, parti itu tidak boleh "hidup" pada PRU14 tanpa sokongan PAS selain DAP "dibelasah hebat" dalam mesyuarat itu.

 Sementara kumpulan yang menyokong Dr Wan Azizah pula percaya kerjasama PKR bersama Pakatan Harapan akan membawa kejayaan lebih besar pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

 Ini kerana kebanyakan kerusi dimenangi PKR adalah kerusi campuran dan bukannya kerusi majoriti Melayu yang sudah menjadi kubu kuat Umno.

 Menurut kumpulan ini, PAS sendiri kalah di kerusi majoriti Melayu dan hanya kuat di negeri pantai timur yang sememangnya merupakan kubu mereka.

 Kumpulan ini juga tidak pernah memaafkan pengkhianatan PAS dalam PRU13 lalu sehingga menyebabkan pertembungan 3 penjuru di beberapa kerusi seperti di Selangor, Pulau Pinang, Johor, Terengganu dan Sabah.

 Mereka juga tidak memaafkan PAS kerana tidak mengiktiraf Anwar sebagai calon perdana menteri semasa PRU 13 selain tindakan Hadi memperlekehkan Dr Wan Azizah semasa kemelut menteri besar Selangor tidak lama dulu. Amanah dan DAP bergerak sendiri?

 Ketika PKR bertelagah tentang Pakatan Harapan, sudah terdapat perbincangan di antara pemimpin Amanah dan DAP untuk bergerak sendiri dalam PRU14.

 Mereka merasakan, kumpulan "pro PAS" dalam PKR hanya melambat-lambatkan usaha untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) dan melakukan perubahan di Malaysia.

 Seorang pemimpin tertinggi Amanah yang ditemui penulis berkata, jika PKR masih mahukan PAS, partinya dan DAP sudah bersedia untuk bergerak sendirian.

 Pemimpin kanan Amanah itu berhujah, PKR sebenarnya akan rugi lebih besar jika memilih PAS dan ini boleh dilihat dalam keputusan PRU 2004.

 Pada 2004, selepas DAP meninggalkan Barisan Alternatif, PKR hanya memenangi satu kerusi Parlimen iaitu di Permatang Pauh dan PAS hanya tinggal 7 kerusi.

 Sementara DAP yang bergerak bersendirian berjaya memenangi 12 kerusi Parlimen.

 Menurut pemimpin Amanah itu, kebanyakan kerusi dimenangi PKR pada PRU 12 dan 13 merupakan kerusi campuran dan beliau tidak faham mengapa kumpulan "pro PAS" dalam parti itu beriya-iya mahu mempertahankan PAS dengan hujah takut kehilangan undi Melayu.

 Katanya, PAS sendiri mendapat banyak kerusi semasa PRU 12 dan 13 disebabkan kerjasama politik yang mereka jalankan dengan parti lain dan bukan kerana batang tubuh mereka sendiri.

 Siapa pilihan PKR petang ini? Pakatan Harapan atau PAS? Sudah tentu PKR tidak boleh dapat kesemuanya. – 11 Oktober, 2015.~ sumber


Komen al-Husseyn:

Ternyata alasan mereka yang kononnya WAWI  "tergesa-gesa" mengumumkan pembentukan Pakatan Harapan baru-baru ini hanyalah alasan yang remeh.

Apa yang sebenarnya 18 pemimpin PKR mahukan ialah menubuh satu lagi pakatan antara PKR dan PAS.

 Parti Amanah Negara (AMANAH) ditubuhkan adalah semata-mata untuk menggantikan lompong yang tinggalkan oleh PAS.

Selain sejarah hitam yang PKR terpaksa lalui dalam isu MB Selangor tempohari, PAS telah beberapa kali menolak pelawaan PKR.

Adalah satu tindakan yang tidak masuk akal dalam hal sebegini, PKR mahu bersifat "Talam Dua Muka". Setelah menerima Pakatan Harapan, PKR mahu pula membuat pakatan dengan PAS pula ; yang telah berkali-kali menyatakan sikap permusuhannya terhadap DAP, AMANAH, malah terhadap PKR sendiri!   

Mat Sabu: Amanah sedia tanding 3 penjuru lawan PAS jika terpaksa

Posted: 11 Oct 2015 01:37 AM PDT

OLEH ZULKIFLI SULONG, PENGARANG ANALISIS DAN RENCANA 

 Parti Amanah Negara (Amanah) sedia untuk bertanding 3 penjuru menentang Barisan Nasional (BN) dan PAS dalam pilihan raya umum akan datang jika terpaksa, kata presidennya Mohamad Sabu.

 Namun, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, Amanah akan memberikan peluang kepada PAS sepenuhnya berunding bagi memastikan pembangkang hanya akan bertanding satu lawan satu dalam pilihan raya tersebut.

 "Sebenarnya hal pilihan raya ni kami belum bincang lagi. Kita cuba yang terbaik untuk mengelaknya, tetapi jika terpaksa, apa boleh buat," katanya kepada The Malaysian Insider pada satu majlis di Skudai, Johor baru-baru ini.

 Mat Sabu berkata, Amanah kini memberikan tumpuan kepada pengemasan struktur parti serta mendaftar keahliannya.

 "Kami fokus kepada pembentukan kawasan dan cawangan serta penambahan keahlian sekarang ini," katanya.

 Susulan pembentukan Pakatan Harapan (PH) tanpa penyertaan PAS, parti Amanah dan DAP menghadapi risiko bertanding 3 penjuru selepas PAS menganggap Amanah dan DAP sebagai lawan mereka.

 Amanah, parti serpihan daripada PAS, dianggap pengkhianat manakala DAP pula musuh mereka selepas hubungan kedua-duanya diputuskan melalui usul tanpa bahas pada Muktamar Tahunan PAS ke-61 Jun lalu.

 Sehingga kini, PAS masih mempunyai hubungan baik dengan PKR melalui timbalan presidennya Mohamed Azmin Ali.

 Timbalan Presiden Amanah Salahudin Ayub berkata parti itu akan membuat kajian terperinci terhadap semua kerusi yang mahu ditandinginya pada pilihan raya umum akan datang.

 "Kita akan membuat keputusan berdasarkan kajian, bukan main terjah begitu saja. Dan kita hanya akan bertanding di kerusi yang kita rasa boleh menang," katanya ketika ditemui di ibu pejabat parti itu di Wisma Amanah, Kuala Lumpur.

 Katanya, Amanah lebih bersedia untuk bertanding sedikit kerusi saja tetapi menang, berbanding bertanding banyak kerusi tetapi tidak menang.

 Sementara itu, Ketua Amanah Kulai Hisham Md Zin berkata, parti itu mempunyai peluang yang lebih cerah berbanding dengan BN dan PAS di Johor jika berlaku pertandingan 3 penjuru ekoran demografi penduduk di negeri selatan itu.

 "Di Johor, Amanah mempunyai peluang lebih cerah untuk menang berbanding PAS kalau berlaku pertandingan 3 penjuru kerana sikap pengundi Cina yang memihak kepada Pakatan Harapan.

 "Di Kelantan pula, jika berlaku pertandingan 3 penjuru, kedua-dua PAS dan Amanah akan kalah dan Umno akan menang," katanya kepada The Malaysian Insider ketika ditemui di Kulai.

 Amanah akan bertanding di seluruh negara namun fokus kini diberikan kepada negeri pantai barat dan selatan, khasnya Selangor dan Johor, berbanding negeri pantai timur dan utara. – 11 Oktober, 2015. ~ sumber

Tiada ulasan: