Khamis, 1 Oktober 2015

ALHUSSEYN

ALHUSSEYN


MBI tuntut Utusan, NST, TV3 mohon maaf, tarik balik artikel

Posted: 01 Oct 2015 09:35 AM PDT

Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) dan firma pelaburan negeri Darul Ehsan Investment Group (DEIG) Sdn Bhd menuntut 3 syarikat berkaitan Umno memohon maaf secara terbuka dan menarik balik artikel yang dikatakan berunsur fitnah dan mencemarkan reputasi mereka.

 MBI mengemukakan surat tuntutan pada 25 September kepada syarikat penyiaran Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) dan penerbit Utusan Melayu (M) Berhad dan The New Straits Times Press (M) Berhad.

 "MBI menuntut penarikan balik secara penuh dan tidak berbelah serta terbuka tuduhan yang merosakkan itu dan permohonan maaf secara terbuka yang sewajarnya, untuk disiarkan mengikut terma yang diluluskan MBI dalam masa 7 hari daripada tarikh surat tuntutan.

 "Jika gagal berbuat demikian, MBI akan memulakan prosiding undang-undang tanpa sebarang notis," kata MBI dalam satu kenyataan hari ini.Baca seterusnya di sini

GUAN ENG TERKEJUT ...

Posted: 01 Oct 2015 01:39 AM PDT

 Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng terkejut berkenaan keputusan Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang yang memutuskan tidak membenarkan penggunaan pembesar suara di luar masjid kecuali untuk kegunaan azan dan iqamat.

 Perkara itu disampaikan kepada Exco Hal Ehwal Agama.

Keputusan Jawatankuasa fatwa itu telah 'spin' oleh pihak tertentu yang menuduh kerajaan pimpinan DAP dan PKR sebagai anti Islam yang mengarahkan keputusan itu.

 Keputusan sebulat suara itu dibuat oleh ahlinya terdiri daripada pelbagai bidang, termasuk Ketua Pemuda PAS P.Pinang Afnan Hamimi sebagai salah seorang ahli jawatankuasanya.

Berikut disertakan kenyataan media, Exco Hal Agama Islam Dato' Abdul Malik Kassim.

 KENYATAAN MEDIA YB DATO' ABDUL MALIK KASSIM, EXCO HAL EHWAL AGAMA PULAU PINANG 1 OKTOBER 2015

 PENGGUNAAN PEMBESAR SUARA LUAR MASJID DAN SURAU DI PULAU PINANG.

 Kerajaan negeri Pulau Pinang sentiasa berusaha memartabatkan agama Islam di negeri ini. Usaha untuk menterjemahkan Islam sebagai "Rahmat Seluruh Alam" bukan sahaja kepada insan muslim, bahkan kepada seluruh makhluk alam terus ditingkatkan.

 Syiar Islam harus disebarkan secara berhemah tanpa perlu menjejaskan imej agama suci itu. Islam mementingkan kesejahteraan hidup individu dan seluruh masyarakat Islam dan bukan Islam. Ia selari dengan nas-nas al-Quran dan al-sunnah.

 Makanya, umat Islam yang ingin melakukan ibadah tidak sewajarnya mengganggu ketenteraman orang lain, khususnya yang berada di luar masjid.

 Sepanjang Januari 2012 sehingga Mei 2015, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) telah menerima 10 aduan daripada orang Islam berkaitan penggunaan pembesar suara di luar masjid dan surau bagi bacaan zikir selepas solat, ceramah atau kuliah, rakaman Al-Quran dan zikir sebelum azan.

 Pihak JHEAIPP melalui Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau telah mengadakan siasatan dan pertemuan dengan para pengadu dan mendapati aduan mereka berasas.

 Justeru, sebuah kertas laporan dan cadangan daripada JHEAIPP berkaitan aduan berkenaan telah dipanjangkan kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang untuk tindakan selanjutnya.

 Kertas cadangan itu kemudiannya telah dibincangkan daripada pelbagai sudut oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada 1 dan 2 Julai. Keputusan sebulat suara itu disahkan pada mesyuarat jawatankuasa yang sama pada 23 dan 24 Ogos lalu.

 Keputusan Jawatankuasa itu telah disampaikan kepada saya selaku Exco Hal Ehwal Agama dan dalam masa yang sama telah dimaklumkan kepada JHEAIPP sebagai jabatan yang bertanggungjawab untuk tindakan selanjutnya.

Keputusan itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang, sebelum diangkat kepada Yang DiPertuan Agong untuk mendapat perkenan Baginda.

 Setelah diperkenankan oleh Yang Dipertuan Agong, fatwa itu akan digazet dan dipanjangkan kepada JHEAIPP untuk tindakan penguatkuasaan.

Pihak kerajaan negeri akan memutuskan pada masa tertentu mengikut permasalahan ini dengan cara terbaik bagi mengendalikan perkara ini. ~ Zul Mohamad

Pakatan Harapan beri kerajaan negeri Selangor masa tukar nama

Posted: 30 Sep 2015 10:33 PM PDT

OLEH ZULKIFLI SULONG, PENGARANG ANALISIS DAN RENCANA 


Gabungan parti pembangkang baharu tidak akan tergesa-gesa menekan kerajaan negeri Selangor mengisytiharkan dirinya kerajaan Pakatan Harapan, ketika timbul persoalan mengenai masa depan negeri terkaya Malaysia itu susulan pembentukannya baru-baru ini.

 Ini kerana, pemimpin mereka memahami pepatah Melayu yang berbunyi, lain padang lain belalang; oleh itu, lain negeri lain pula pendekatan diambilnya.

 Demikian pendirian mereka dalam menentukan hala tuju kerjasama pakatan itu dengan PAS yang tidak menyertai gabungan itu, susulan hubungan tidak baik dengan DAP, bekas rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat (PR) yang kini terkubur.

 Pakatan baharu, yang terdiri daripada PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah), menyebabkan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali dalam keadaan tersepit kerana pentadbirannya bergantung kepada sokongan 13 wakil rakyat PAS dan 3 exco PAS untuk terus berjalan.

 Kalau di Pulau Pinang, pimpinan kerajaan negeri mengumumkan dirinya negeri Pakatan Harapan beberapa hari selepas ia terbentuk pada 22 September lalu, perkara yang sama tidak akan dipaksa ke atas Selangor.

 "Suasana Pulau Pinang berbeza dengan di Selangor dan juga Kelantan," kata Khalid Samad, pengarah komunikasi Amanah kepada The Malaysian Insider.

 "Kita akan berikan masa kepada pimpinan di Selangor untuk menggunakan kebijaksanaan mereka dalam menguruskan negeri ini," katanya yang juga ahli Parlimen Shah Alam.

Lim Guan Eng isytihar Pulau Pinang  kini adalah
kerajaan Pakatan Harapan, bukan lagi
Pakatan Rakyat
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengisytiharkan kerajaan Pulau Pinang kini adalah kerajaan Pakatan Harapan bukan lagi kerajaan PR.

 Ekoran pengumuman itu, secara perlahan-lahan, pimpinan Amanah akan mengambil tempat pimpinan PAS dalam pentadbiran kerajaan negeri.

 Ini termasuk sebagai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN), Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp), majlis bandaraya dan perbandaran sehinggalah peringkat terendah iaitu Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK), kata sumber The Malaysian Insider. Difahamkan, hampir 500 pimpinan PAS di semua peringkat terlibat dengan jawatan dalam kerajaan negeri Pulau Pinang ketika PR masih terbentuk.

 Empat Penyelaras DUN yang diwakili PAS, iaitu di kawasan Sungai Dua, Bayan Lepas, Permatang Berangan dan Penaga, akan digantikan dengan wakil Amanah.

 Penyelaras DUN, yang menerima elaun tetap RM3,500 sebulan dari kerajaan negeri, umpama wakil rakyat yang dilantik kerajaan negeri di kawasan yang mereka kalah dalam pilihan raya umum lalu.

 Ketika kedudukan Yang Dipertua Maipp Datuk Salleh Man akan terus kekal sehingga tempohnya tamat kerana pelantikannya dibuat Yang Dipertuan Agong, kedudukan ahli Maipp daripada PAS, Afnan Hamimi Mohd Taib, bakal tergugat.

 Namun kedudukan seorang lagi wakil PAS dalam Maipp, Rosidi Husin akan kekal kerana beliau menyertai Amanah.

 Dua wakil PAS dalam majlis kerajaan tempatan juga akan terus gugur selepas meletakkan jawatan sebelum ini manakala 2 lagi akan dilantik semula kerana menyertai Amanah.

 Sehubungan itu, penyokong Pakatan Harapan, khasnya akar umbi DAP dan Amanah tertanya-tanya bila kerajaan negeri Selangor pimpinan Azmin, yang juga timbalan presiden PKR, akan membuat pengisytiharan sama seperti Lim di Pulau Pinang.

MB Selangor  Azmin Ali  dalam keadaan tersepit
kerana kerajaan negeri bergantung kpd sokongan
13 wakil rakyat PAS dan 3 exco untuk bergerak.
 Bagi pimpinan Pakatan Harapan, kedudukan kerajaan negeri Selangor perlu distabilkan kerana baru setahun lalu ia bergoncang akibat dari Langkah Kajang dan penukaran menteri besar.

 PAS mempunyai jumlah Ahli DUN yang besar di Selangor, iaitu 15 (kini 13 selepas 2 menyertai Amanah), sama dengan DAP, manakala PKR mempunyai 13.

 Kedudukan Pakatan Harapan juga perlu distabilkan kerana ia baru dibentuk, apatah lagi Amanah belum selesai dengan perubahan nama dan struktur selepas ditukarkan dari pertubuhan asal, Parti Pekerja-pekerja Malaysia.

 "Bila Pakatan Harapan sudah mantap dengan strukturnya dan kami pun di Amanah sudah terbentuk dengan lengkap dan sudah mantap, kita akan bincang perkara ini.

 "Kita berilah masa dan ruang kepada PAS untuk memikirkan kembali sikap mereka kerana kami masih percaya PAS perlu menyertai pakatan ini," kata Khalid.

 Katanya, jika PAS tetap tidak mahu bersama Pakatan Harapan, pimpinan gabungan pembangkang baharu itu akan membuat keputusan setelah memberikan peluang semaksimum mungkin kepada parti Islam itu.

 "Mungkin kita akan bentuk kerajaan campuran antara Pakatan Harapan dengan PAS di Selangor," kata Khalid.

 Beliau turut berpandangan, sikap pimpinan PAS di Selangor agak berbeza dengan sikap pimpinan PAS di peringkat pusat yang katanya, lebih dipengaruhi PAS Terengganu. "Antara punca krisis dalam PAS ialah apabila pimpinan pusat, yang kebanyakannya dari Terengganu, mahu memaksakan pendirian PAS Terengganu kepada negeri lain yang sangat berbeza suasananya," katanya.

 Khalid berkata, selepas muktamar pada Jun lalu meluluskan tanpa bahas usul memutuskan hubungan dengan DAP, PAS Selangor mengambil keputusan mencadangkan satu muktamar khas diadakan bagi mengubah balik keputusan itu.

 Ini kerana, katanya, PAS tidak ada masalah yang besar dalam hubungan dengan DAP dan mereka saling memerlukan satu sama lain dalam konteks Selangor. – 1 Oktober, 2015. - Themalaysianinsider

PAS Perlu Keluar Segera Dari Kerajaan Selangor.Tunggu Apa Tungggu ?

Posted: 30 Sep 2015 05:48 PM PDT

By papa diva 
PAS di Selangor kini melihat kemungkinan untuk keluar dari pakatan pembangkang bersama PKR dan DAP selepas kedua-dua parti itu mewujudkan pakatan baru iaitu Pakatan Harapan.

 Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata perbincangan berkenaan perkara itu akan dibawa ke dalam mesyuarat Jawatankuasa Politik PAS tidak lama lagi.

 Menurut beliau, di negeri itu PAS masih lagi berada dalam pakaran berkenaan kerana pakatan itu iaitu Pakatan Rakyat telah dibentuk sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu.

 "Pas tidak akan ada perhubungan lagi dengan DAP. Kita akan bawa berbincang mengenai perkara ini dalam Jawatankuasa Politik PAS dalam masa terdekat.

 "Pakatan pembangkang yang baru masih lagi baru dan secara realitinya, PAS masih berada dalam pakatan kerajaan di Selangor sehinggalah pilihan raya umum akan datang," katanya memetik laporan Utusan Malaysia hari ini.

 Dr Mahfodz mengulas kenyataan Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang menggesa PKR supaya berhenti daripada terus mengharapkan PAS menyertai pakatan pembangkang baru yang turut dianggotai DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

 Mohd Amar berkata pendirian parti Islam itu sangat jelas bahawa mereka sama sekali tidak akan menjalin kerjasama dengan DAP mahupun AMANAH walaupun PKR berusaha menjadi pendamai.

PAS di Selangor kini melihat kemungkinan untuk keluar dari pakatan pembangkang bersama PKR dan DAP selepas kedua-dua parti itu mewujudkan pakatan baru iaitu Pakatan Harapan.

 Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata perbincangan berkenaan perkara itu akan dibawa ke dalam mesyuarat Jawatankuasa Politik PAS tidak lama lagi.

 Menurut beliau, di negeri itu PAS masih lagi berada dalam pakaran berkenaan kerana pakatan itu iaitu Pakatan Rakyat telah dibentuk sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu.

 "Pas tidak akan ada perhubungan lagi dengan DAP. Kita akan bawa berbincang mengenai perkara ini dalam Jawatankuasa Politik PAS dalam masa terdekat.

 "Pakatan pembangkang yang baru masih lagi baru dan secara realitinya, PAS masih berada dalam pakatan kerajaan di Selangor sehinggalah pilihan raya umum akan datang," katanya memetik laporan Utusan Malaysia hari ini.

 Dr Mahfodz mengulas kenyataan Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang menggesa PKR supaya berhenti daripada terus mengharapkan PAS menyertai pakatan pembangkang baru yang turut dianggotai DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH).

 Mohd Amar berkata pendirian parti Islam itu sangat jelas bahawa mereka sama sekali tidak akan menjalin kerjasama dengan DAP mahupun AMANAH walaupun PKR berusaha menjadi pendamai. ~ pru14.tv

Tiada ulasan: