Sabtu, 26 September 2015

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Ringgit Terus Menjunam, Najib Perlu Dipertanggungjawabkan..

Posted: 26 Sep 2015 12:40 AM PDT

Ringgit mungkin RM4.50 berbanding AS$1

Syarikat perkhidmatan kewangan Credit Suisse percaya nilai tukaran ringgit berbanding dolar AS akan menurun lebih rendah pada bulan-bulan akan datang.

Dalam tempoh tiga bulan firma itu menjangkakan nilai dagangan ringgit ialah RM4.50 bagi setiap AS$1, lapor CNBC.

Sementara itu penganalisis HSBC juga dilaporkan percaya nilai ringgit belum tiba di tahap terburuknya dengan mengambil kira kejatuhan harga minyak sawit.

"Ada kemungkinan nilai ringgit berbanding dolar AS akan jatuh ke tahap paling rendah," kata penganalisis itu.

Penganalisis juga percaya perbandingan keadaan semasa dengan situasi krisis ekonomi pada 1997 adalah tidak tepat dan bersedia memberikan jangkaan lain mengenai sejauh mana ringgit akan turun.

Penganalisis Merrill Lynch, Chua Hak Bin juga tidak setuju keadaan pada 1997 dijadikan perbandingan.

"Sesetengah indikator adalah lebih tinggi berbanding keadaan pada 1997, termasuk tanggungan isi rumah serta hutang awam dan luaran," katanya.


Ekonomi, ringgit pulih jika Najib tiada, kata Dr Mahathir

Ekonomi dan mata wang negara hanya akan pulih jika Datuk Seri Najib Razak disingkirkan, kata Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Dalam tulisan di blognya, bekas perdana menteri itu berkata jika mata wang dan ekonomi mahu dipulihkan, Najib mesti berhenti menjadi perdana menteri.

"Hanya dengan pengundurannya sebagai perdana menteri Malaysia barulah ekonomi akan pulih, nilai ringgit akan meningkat, dan kos sara hidup akan turun.

"Hanya selepas penyingkirannya rakyat Malaysia akan mampu berdiri semula," kata bekas perdana menteri paling lama berkhidmat itu melalui blog popularnya chedet.cc hari ini.

Dr Mahathir berkata, walaupun pada mulanya beliau bekerja keras memastikan Najib mengambil alih jawatan tertinggi negara itu, beliau kini mahu pengganti Tun Abdullah Ahmad Badawi itu disingkirkan.

"Ia bukan hal peribadi.

"Ia adalah kerana dia gagal teruk sebagai perdana menteri," tulis negarawan itu.

Dr Mahathir mendakwa Najib membayar orang berdemo di jalanan bagi menyokong beliau, merujuk kepada perhimpunan "baju merah" pada 16 September lepas.

"Najib membayar orang untuk menunjuk perasaan di jalan-jalan untuk menyokong beliau. Dengan sewenangnya beliau juga mengharamkan usaha orang-orang tunjuk perasaan bagi memecatnya," kata bekas perdana menteri yang berkhidmat selama 22 tahun itu.

Langkah Putrajaya menahan penunjuk perasaan membantah Najib juga tidak bersifat demokratik, kata Dr Mahathir yang turut hadir pada perhimpunan Bersih 4 baru-baru ini bagi mendesak Najib meletak jawatan.

Beliau kemudiannya membandingkan ekonomi Malaysia dengan negara Asia lain dengan mengatakan pertumbuhan ekonomi Malaysia merosot berbanding Filipina dan Indonesia.

Dr Mahathir berkata kejatuhan nilai ringgit dan pasaran saham menyebabkan masalah kepada perniagaan, pengimport dan pengeksport, sambil menambah kos sara hidup juga meningkat selepas cukai barangan dan perkhidmatan (GST) diperkenalkan pada April lepas.

"Untuk mata wang dan ekonomi pulih, Najib mesti berhenti menjadi perdana menteri Malaysia.

"Rakyat Malaysia mesti menuntut penyingkiran Najib.

"Ianya sesuatu yang amat demokratik untuk menuntut penyingkiran beliau," kata Dr Mahathir yang sejak tahun lepas menjadi pengkritik hebat Najib ke atas dasar dan cara beliau mengendalikan syarikat milik Kementerian Kewangan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau sudah berkali-kali menggesa peletakan jawatan Najib dan juga meminta Umno yang dipimpin Najib untuk menyingkirkannya.
-TMI











Tiada ulasan: