KUALA LUMPUR,  Polis akan mengambil keterangan daripada Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu, Datuk Jamal Md Yunos hari ini, berhubung perhimpunan di kawasan Petaling Street.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, Jamal akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, pada petang ini.

"Dia (Jamal) diminta tampil ke IPD Dang Wangi untuk memberi kenyataan berhubung perhimpunan di Petaling Street, petang ini," katanya kepada Bernama hari ini.

Bagaimanapun, Noor Rashid enggan mendedahkan pukul berapa Jamal perlu hadir di IPD Dang Wangi.

Perhimpunan di Petaling Street itu mungkin diadakan esok, bertujuan membantah kehadiran warga asing yang menjalankan peniagaan, termasuk menjual barangan larangan dan tiruan di lokasi berkenaan.

Semalam, polis memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan huru-hara di Petaling Street, esok.

Selasa lalu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata, pihaknya tidak membenarkan sebarang perhimpunan di kawasan Petaling Street mahupun mana-mana kawasan yang dilihat boleh menganggu gugat ketenteraman awam.