Isnin, 21 September 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


BERUNDURLAH NAJIB SEBELUM JADI PM ULANG ALIK PEKAN - JLN DUTA - PUTRAJAYA SAJA!!

Posted: 21 Sep 2015 06:18 AM PDT

shahbudindotcom

 




Selagi Najib Razak masih kekal sebagai Perdana Menteri, keadaan dalam negara tidak mungkin menjadi lebih baik. Semua petunjuk ketika ini memperlihatkan segala-galanya akan bertambah buruk.

Najib mungkin dilihat berjaya menghalang siasatan di dalam negara terhadapnya melalui beberapa tindakan yang dilakukannya, tetapi penyiasatan di luar negara nampaknya semakin terbuka luas.

Sekurang-kurangnya dua negara iaitu Switzerland dan Amerika Syarikat melalui FBI dilaporkan telah memulakan siasatan terhadap Najib berkaitan 1MDB dan penggubahan wang haram berikutan wang RM2,600 juta yang mengalir masuk ke dalam akaun peribadinya.

Kiranya selama ini kita hanya biasa melihat dalam filem atau televisyen saja bagaimana FBI menjalankan kerjanya, semua itu mungkin akan menjadi kenyataan di depan mata kita tidak lama lagi. Lantas, jika berlaku, ia akan menjadi satu lagi sumbangan Najib kepada rakyat dan negara.



Berdasarkan beberapa laporan yang dibuat oleh Khairuddin Abu Hasan di London, Perancis, Hong Kong dan Singapura sebelum beliau ditangkap, tidak mustahil negara-negara tersebut juga akan membua kertas siasatan yang sama.

Melalui perjalanan masa seminggu dua lagi, tidak menghairankan jika kita akan mendengar negara lain pula mengumumkan mereka akan turut membuka kertas siasatannya terhadap Najib.

Dengan begitu banyak kertas siasatan dibuka di peringkat antarabangsa, moral Najib sejujurnya telah berkecai, bukan saja di mata dunia, bahkan juga dalam pandangan majoriti rakyat Malaysia yang tidak terkelabu dengan dedak yang ditabur di sana sini.

Dalam masa yang sama, Tun Mahathir Mohamad mula membayangkan kemungkinan Najib akan ditangkap jika ke luar negara berikutan yang ingin menyoal-siasatnya kini adalah polis antarabangsa dan bukan lagi dalam kawalan pihak berkuasa dalam negara.

Tidak keterlaluan jika akhirnya Najib tidak berani ke mana-mana lagi di luar Malaysia. Mana-mana polis dunia atau Interpol hanya menunggu beliau berada di luar Malaysia saja untuk menahannya kerana di Malaysia mungkin tidak semudah itu untuk melakukannya.

Jika ditangkap tentu saja memalukan, ketidakberanian pergi ke luar negara juga tidak jauh bezanya. Apalah gunanya menjadi Perdana Menteri sebuah negara yang merdeka kalau ulang aliknya hanyalah antara Pekan, kediaman peribadi di Jalan Duta dan Putrajaya saja.


Tetapi yang lebih memburukkan ialah negara akan terus terperosok ke lembah kehinaan dengan satu demi satu siasatan yang dibuka itu. Sejak merdeka dan sudah ada enam Perdana Menteri sebelum ini, tidak ada sesiapa pendahulu jawatan itu yang pernah memalukan negara sebegini rupa.

Imej kita sebagai negara Islam dan sederhana yang begitu disanjung sebelum ini jadi lebih bermakna lagi dan mengalahkan penurunan nilai mata wang yang sedang berlaku. 

Tidak seperti kemerosotan mata wang yang boleh diperbaiki, penyembuh kepada moral negara yang sedang menjunam itu ubatnya hanyalah dengan Najib sedia berhenti daripada jawatannya saja.

Dengan berhenti, bukan saja usaha memulihkan moral negara boleh diperbaiki melalui pemimpin baharu, malah UMNO juga lebih mudah memperbaiki imejnya.

Tidak dinafikan sokongan pemimpin-pemimpin UMNO terhadap Najib ketika ini lebih disebabkan mereka terikat kerana masing-masing sudah menerima habuan daripadanya. Beberapa pemimpin UMNO seperti Shahrir Samad dan Ahmad Maslan yang didakwa menerima wang daripada Najib tidak menafikan perkara itu, bahkan bangga mengatakan "kalau bukan Presiden UMNO tempat meminta bantuan, dengan siapa lagi mahu mendapatkannya."

Najib juga tidak menafikan mengenai bantuan yang diberikannya atas alasan tidak semua Ketua UMNO Bahagian daripada golongan kaya dan berharta serta sesetengahnya hanyalah merupakan Penolong Pegawai Daerah saja sebelum menceburkan diri dalam politik.

Namun, dalam masa pemimpin UMNO terhutang budi dengan bantuan Najib itu, mereka juga sebenarnya sedang sengsara kerana wang yang diterima bagaikan tidak sepadan dengan beban kemusnahan sokongan rakyat yang sentiasa meningkat dari semasa ke semasa.

Dalam bahasa yang mudah, onar Najib sehingga siasatan dibuka di peringkat antarabangsa, mungkin tidak boleh ke luar negara dan menjadikan sokongan rakyat kian rapuh, telah membuatkan  UMNO dan negara seperti pesakit nazak yang hanya menunggu masa untuk tertanggal nyawanya.

Tidak ada-apa lagi yang boleh diperbaiki dan dipulihkan selagi Najib tidak berundur daripada jawatannya. Dengan sedia berundur pula, Najib sebenarnya akan menghadiahkan kegembiraan kepada semua kita.

Pengunduran Najib tidak saja akan membuatkan rakyat jelata,  mereka yang mahukannya berundur dan seluruh negara rasa gembira, bahkan percayalah, majoriti pemimpin UMNO juga akan berasa lega dengan tindakannya itu.



UMNO kehilangan identiti, Najib tak mungkin mampu mengembalikannya

Posted: 21 Sep 2015 05:50 AM PDT


Ralli baju Merah yang diadakan dua hari lepas sudah berlalu. Seramai 80,000 orang Melayu telah berhimpun dan masing-masing pemimpin berucap dalam nada perkauman yang menebal. Perhimpunan itu kononnya ialah reaksi terhadap ralli Bersih 4 yang diadakan pada 29hb dan 30 Ogos yang lalu. Jika ia benar merupakan reaksi terhadap perhimpunan Bersih 4 baru-baru ini, maka perhimpunan baju merah itu hanyalah untuk mempertahankan Najib yang kini berhadapan dengan tuntutan rakyat supaya Najib berundur dari jawatan yang beliau amat sayangi itu.

Perhimpunan Baju Merah adalah perhimpunan orang Melayu sedangkan perhimpunan Bersih 4 ialah perhimpunan berbilang kaum bagi menuntut Najib berundur dari memimpin negara. Apapun sebabnya persoalan yang timbul sekarang adalah apakah faedah-faedah yang didapati dari perhimpunan orang Melayu yang dianjurkan dari belakang oleh UMNO itu? Ia membawa lebih banyak keburukan dari kebaikan.

Yang terbaik ialah jika ada apa-apa tuntutan dari rakyat ia wajar diwakili oleh rakyat berbilang kaum kerana kumpulan yang berbilang kaum itu adalah elemen penting  bagi menampakkan yang rakyat berbilang kaum itu bersatu dan berpadu serta selenggang dan sehayun dalam apa sahaja yang dituntut itu. Elemen itu nampak jelas dalam perhimpunan Bersih 4 dan perhimpunan Bersih yang sebelumnya. Himpunan Baju Merah dua hari lepas yang menggambarkan orang Melayu sahaja yang bermasalah dan masalah yang ditampilkan tidak lain dari permainan isu perkauman yang menebal seolah-olah kaum Melayu itu boleh hidup tanpa adanya kaum lain di negara ini.

Slogan dan kain rentang yang menyuburkan perasaan benci membenci di antara kaum sangat jelas di lihat dalam perhimpunan Melayu baju merah itu. Telah menjadi pengetahuan umum perhimpunan itu adalah perhimpunan anjuran UMNO dan diberikan bantuan kewangan dari UMNO. Perhimpunan anjuran UMNO itu amat mahal harganya kerana ramai-ramai yang datang itu dibayar elaun dan perjalanan percuma. Selain dari itu makan dan minum serta baju T percuma dan berbagai-bagai 'hand-outs' yang lain.

Tetapi sedarkah pemimpin-pemimpin UMNO ini yang perlakuan mereka ini telah menghilangkan kewibawaan mereka sebagai pemimpin parti yang memerintah? Tindakan mereka ini telah menghilangkan identiti UMNO itu sendiri serta kewibawaan pemimpin yang memimpin parti itu?

Hilang segala imej dan keyakinan ramai yang UMNO itu adalah parti yang memimpin semua kaum. UMNO kini hanya memimpin orang Melayu dan sifatnya kini hanyalah parti yang dipimpin oleh mereka yang chauvinis. Semakin terhakis kepercayaan rakyat yang UMNO tidak seperti dulu di mana parti itu adalah parti orang Melayu tetapi ia adalah juga parti yang menjaga semua rakyat yang lain.

Itulah sebab utama kenapa berlakunya perhimpunan Bersih 4. Bersih 4 itu kalau kita tinjau dari sudut yang betul, tidak ada siapa yang boleh menafikan yang ianya berlaku kerana mereka mahukan pimpinan yang memerintah bersifat pemimpin untuk semua kaum. Kalau kita ambil secara positif ianya adalah kumpulan yang bukan hendak membuang atau mengenepikan UMNO tetapi mereka mahukan pimpinan UMNO yang boleh diterima oleh semua masyarakat negara ini. Ia bermakna mereka tidak mahu pimpinan UMNO dibawah Najib kerana masalah ini tetapi mereka mahu pimpinan dari parti yang sama yang lebih diterima oleh semua kaum.

Itu sebabnya ramai dikalangan pemimpin UMNO yang sedar tentang keadaan ini mahukan Najib berundur bagi mengelak dari UMNO itu terbuang kerana pemimpin yang tidak baik dan kotor sedang menempel pada batang tubuh parti itu dan tidak mahu bercerai dari memimpinnya. Justeru itu seandainya pemimpin hari ini diganti dan dianjakkan kepada pemimpin Melayu yang diyakini oleh semua kaum, maka keadaan sekarang akan menjadi lebih baik bagi orang Melayu dan semua kaum di negara ini.

Rakyat tidak mahu lagi diminta untuk bersatu tetapi kesatuan kita di bawah ini diperguna untuk mereka melakukan kerja rasuah tanpa halangan dan tidak terbatas. Kita tidak mahu bersatu di bawah kepimpinan yang tidak jujur. Bagaimana kita untuk katakan pemimpin kita terutamanya yang dipucuk kepimpinan sekarang ini yang sarat dengan isu-isu rasuah dan keji ini. Bagaimana rakyat mahu mempertahankan kepimpinan yang tidak berjaya menjaga imej yang baik dan sentiasa dalam keadaan defensif dalam semua isu yang menakutkan rakyat itu? UMNO di bawah Najib tidak akan berjaya untuk mencapai matlamat UMNO yang 'ultimate' iaitu membentuk negara yang bersatu padu yang selalu disebut sebagai 'national unity' itu. Sesungguhnya UMNO sudah hilang segala identitinya.

Imej yang ada kepada mereka yang memimpin kerajaan pada hari ini bukannya imej UMNO yang sebenarnya. Kita rakyat yang ramai ini sentiasa cuba diperbodohkan setiap masa dan mereka menganggapkan yang rakyat ramai ini tidak mempunyai otak, sebaliknya penuh dengan pasir dalam kepala kami. Najib tidak boleh hidup tanpa berbohong dalam semua isu terhadap beliau. Seorang Perdana Menteri yang 'average' tidak akan berhadapan dengan isu panas seperti beliau.

Jika wang yang beliau simpan sebanyak RM 2billion di Singapura boleh dibekukan oleh 'monetary authority of Singapore' apa kah ini masih melayakkan beliau terus memimpin kita? Dari segi moral dan etikanya beliau sudah tidak layak untuk memimpin lagi. Di negara-negara maju orang seperti Najib ini sudah lama berhenti dan berehat dan buat kerja lain untuk membantu membina negara. Jika Najib benar-benar jujur mahu melihat negaranya maju beliau perlu berkorban dan bersara sahaja.

Telah disebut oleh blog ini acapkali, ada pemimpin boleh menyumbang terhadap negara dengan memegang jawatan dan ada pemimpin hanya boleh menyumbang terhadap negara dengan meletakkan jawatan. Masing-masing ada cara dan peranan masing-masing untuk menyumbang kepada negara. Bagi Najib sumbangan beliau kepada negara ialah dengan melepaskan semua jawatan beliau dalam kerajaan dan parti dan bersara. Nescaya rakyat akhirnya akan menerima tindakan beliau itu sebagai sumbangan besar beliau kepada negara kita ini.

Najib patut sedar yang tidak ada tempat awam yang kita tidak mendengar soalan di antara satu dengan lain yang berbunyi, 'bila si Najib ini hendak berhenti hah?'. Bagaimanakah Najib hendak mendapatkan keberkatan dari kepimpinannya jika semua rakyat jelas tidak mahu beliau berada di tempatnya lagi? Yang tinggal menyokongnya hanya mereka yang menjaga kepentingan diri dan mereka adalah dari kumpulan elit UMNO itu sahaja.

Di mana-mana rakyat sedang menunggu beliau bersara dan elok jika beliau memahami keadaan ini dan penuhi kehendak rakyat itu. Tidak berguna beliau mundar mandir ke Sabah dan Sarawak untuk mendapatkan sokongan dengan memberikan janji yang berbagai yang semua orang tahu beliau tidak akan mampu menguruskan nya. Tindakan membeli masa ini akan akhirnya menjatuhkan beliau sendiri.

Janji-janji terhadap Sabah dan Sarawak itu dibuat di waktu yang genting, bak kata orang 'sudah hendak berak baru menggali lubang.'.

Pemuda MCA tetap tidak sokong Najib

Posted: 21 Sep 2015 05:38 AM PDT

Chow Hui
Chow Hui


JOHOR BAHRU - Pemuda MCA Pasir Gudang kekal dengan pendiriannya untuk tidak menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas dasar mempertahankan isu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina yang turut diheret dalam Perhimpunan Merah, 16 September lalu.

Ketuanya, Chia Chow Hui mengulangi ketetapan tersebut yang diambil kerana ketidakpuasan terhadap kenyataan Najib yang menyuarakan sokongan terhadap perhimpunan yang menganggap telah berlangsung secara aman tanpa sebarang provokasi.

"Tidak (sambil menggelengkan kepala, apabila ditanya mengenai desakan permohonan maaf) dan akan tetap pendirian memutuskan hubungan dengan PM.

"Pada PRU 1999 dan 2014, BN mendapat sokongan masyarakat Cina maka tidak betul bahawa semua orang Cina tidak menyokong BN selama ini," katanya.

Akuinya, tindakan yang dilakukan adalah suara orang muda MCA di Pasir Gudang selepas mengadakan mesyuarat kelmarin selain membuat laporan polis mengenai sepanduk yang menyentuh isu SJKC, pada malam 16 September.

"Sepanduk menghapuskan SJKC itu sesuatu yang melampaui batas yang juga boleh mengheret kepada perpecahan kaum.

"Kita mahu pihak bertanggungjawab atau individu ini disiasat dan  dikenakan tindakan sewajarnya," katanya.

Tegasnya, apa yang disuarakan tersebut tidak berniat memainkan isu perkauman sebaliknya  terus  menghormati semangat setiakawan dalam BN dan pemimpin selain sedia menarik balik pendirian dibuat selepas tindakan sewajarnya dikenakan ke atas pelaku.


'Saya sedia bai'ah jika masuk Pas'

Posted: 21 Sep 2015 05:37 AM PDT

Abdul Khalid Ibrahim
Khalid Ibrahim


SHAH ALAM - Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bersedia melafazkan bai'ah jika akhirnya beliau memilih untuk menyertai Pas seperti pemimpin-pemimpin parti itu.

Menurutnya, beliau perlu mengikut sistem sedia ada dalam mana-mana parti yang dipilihnya nanti.

"Jika saya putuskan untuk masuk satu satu parti, saya kena ikutlah (sistem parti itu).

"Jika saya tak nak ikut, saya tak perlulah masuk ke parti itu," katanya kepada Sinar Online ketika ditemui selepas forum Diskusi 3.0 : Integriti Dan Kenegaraan, di sini, malam tadi.

Sebelum ini, Abdul Khalid dilaporkan telah dipelawa untuk menyertai Pas, namun, beliau memberitahu belum menimbangkan tawaran itu kerana masih ada perkara untuk diselesaikan dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Sementara itu, ketika forum tersebut berlangsung, Abdul Khalid menegaskan beliau masih belum menjadi ahli Pas walaupun sering mengikuti program bersama parti itu.

"Saya sudah bersama Pas tapi belum menjadi ahli lagi. Saya ada masalah integriti yang perlu diselesaikan sebelum membuat keputusan.

"Sebelum ini integriti saya dipersoal, dakwaan di mahkamah sampai lebih kurang 89 muka surat. Tapi PKR sudah minta maaf," katanya.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Khalid: Saya terima dipecat, tapi... ]

Mengulas lanjut, beliau sempat berseloroh memberitahu ada rakannya yang menyarankan agar meneruskan kes saman tersebut dan pergi melancong dengan wang saman itu.

"Tapi saya tak buatlah. Itu bukan perjuangan saya. Tindakan PKR singkirkan saya, saya anggap tidak adil, jadi, saya kena pertahankan.

"Saya minta ROS adili perkara ini. Jika saya masuk ke parti lain sebelum isu ini diselesaikan, sudah tentu saya tak boleh pertikaian perkara ini. Jadi, saya kena tunggu," katanya.

Malah katanya, soalan sama akan terus ditanya rakan-rakan dan pihak media selagi beliau masih ahli Parlimen Bebas, namun, katanya jawapan yang diberi tetap sama.

Abdul Khalid dipecat daripada PKR selepas beliau enggan melepaskan jawatan Menteri Besar Selangor seperti diputuskan oleh parti.


Konsensus BN boleh rosak kerana tindakan individu

Posted: 21 Sep 2015 05:33 AM PDT

Khairy Jamaluddin Abu Bakar
Khairy Jamaluddin Abu Bakar. - Foto Bernama


SHAH ALAM – Konsensus parti komponen dalam BN sejak sekian lama boleh terjejas kerana tindakan seorang individu yang tidak bertanggungjawab memutuskan hubungan dengan pengerusinya, Datuk Seri Najib Tun Razak tanpa mengikut saluran parti.

Demikian kata Ketua Pemuda Umno Malaysia, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sambil menegaskan pendirian Pemuda MCA Pasir Gudang itu bertentangan dengan prinsip kerjasama dan setiakawan dalam BN.

"Ini merupakan langkah kebudak-budakan, mendahului parti dan dikhuatiri berniat jahat ke atas kepimpinan negara dalam keadaan serta cabaran geopolitik yang sedang kita lalui.

"Perkongsian kuasa di antara kaum telah kita amalkan dengan jayanya selama ini. Kerjasama ini boleh rosak dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab seperti Pemuda MCA Pasir Gudang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda MCA Pasir Gudang itu yang memutuskan hubungan dengan Najib susulan sokongan beliau kepada Himpunan Rakyat Bersatu pada 16 September lalu kerana ia didakwa telah menghancurkan keharmonian kaum.

Dengan tindakan tersebut, semua anggota Pemuda MCA bahagian itu tidak akan menghadiri majlis Najib atau menyokong beliau dalam apa cara sekalipun.

Dalam pada itu, Khairy Jamaluddin juga berkata, Chow Hui tidak seharusnya menyerang kepimpinan tertinggi BN ketika sokongan masyarakat Cina terhadap MCA dan BN semakin merosot.

Sehubungan itu, beliau menggesa Pemuda MCA Malaysia segera membuat siasatan dalam ke atas pendirian Pemuda MCA Pasir Gudang itu atau keluar dari BN.

"Kalau Pemuda MCA Pasir Gudang tetap mahu putuskan hubungan dengan pemimpin utama BN, lebih baik mereka keluar sahaja dari BN," katanya lagi.


Dua jemaah Malaysia yang hilang disahkan terkorban

Posted: 21 Sep 2015 05:31 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic

 
 
MAKKAH: Dua jemaah Malaysia yang hilang selepas tragedi kren tumbang di Masjidil Haram pada 11 September lepas, disahkan turut terkorban, kata Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
 
Proses pengecaman jenazah dua jemaah berkenaan - Shahidan Saad, 52, dari Kodiang, Kedah dan Abdul Habib Lahman, 68, berasal dari Sik, Kedah, dilakukan waris dan anggota keluarga mangsa di rumah mayat Muaissem di Mina.
 
"Pada 10 malam tadi, waktu Arab Saudi (3 pagi tadi waktu Malaysia), pihak berkuasa Arab Saudi telah memaklumkan kepada Tabung Haji berkenaan penemuan dua lagi mayat tragedi kren berkenaan.
 
"Pihak perubatan TH telah bergegas ke rumah mayat Muaissem untuk membuat pengecaman dan pengesahan awal, sebelum membawa waris jemaah berkenaan untuk pengesahan," katanya kepada pemberita di sini.
 
Makluman lengkap berkenaan tempat dan waktu penemuan mayat belum dimaklumkan pihak berkuasa Arab Saudi, katanya.
 
"Jenazah telah disahkan oleh waris dan disokong oleh identifikasi yang masih ada pada jenazah khususnya gelang, lencana dan barangan peribadi mangsa," katanya.
 
Waris Shahidan iaitu abangnya Sobri dan adiknya Zulhakim serta Mohamad Fazil iaitu anak lelaki Abdul Habib tiba di sini pada Jumaat bagi melakukan ujian padanan DNA dengan jenazah yang terdapat di rumah mayat Muaissem.
 
Dr Asyraf Wajdi berkata ketika ini pihak TH sedang menumpukan kepada usaha mempercepatkan proses pengurusan pengebumian jenazah bersama pihak Muassasah Asia Tenggara.
 
Sebelum ini, lima jemaah Malaysia yang disahkan terkorban dalam tragedi itu ialah Rusiah Suar, 56, dari Sungkai, Perak, Siti Nurolshlizan Zolkifli, 37, dari Tanah Merah; Rohana Ismail, 54, dari Kuala Krai; Munah Jusoh, 73, dari Cherang Ruku dan Zainun Taha, 69, berasal dari Ampang, Selangor.
 
Dalam kejadian 5 petang pada 11 September lepas itu, lebih 100 jemaah haji terkorban manakala beratus lagi cedera selepas kren berkenaan tumbang menghempap bangunan Masjidil Haram, selepas umat Islam selesai mengerjakan solat Asar.
 
Kejadian berlaku ketika hujan lebat dan ribut pasir di kawasan Masjidil Haram yang sedang giat menjalankan kerja-kerja pembesaran.
 
 

Pecat perdana menteri: Mengapa Australia boleh, Malaysia tidak?

Posted: 21 Sep 2015 04:18 AM PDT




Oleh Wong Chin Huat


Sudah tiba masanya kita pertimbangkan pengenalan "parti/kaukus Parlimen" ke dalam sistem politik kita.Isnin lalu, Perdana Menteri Australia Tony Abbott dikalahkan Menteri Komunikasi Malcom Turnbull dalam pilihan pemimpin parti Liberal, parti utama dalam Pemerintah Gabungan (Coalition Government).

Abbot mendapat 44 undi manakala Turnbull mendapat 54 undi daripada badan pemilih iaitu "balai parti" (party room).Pada tengahari Selasa, Abbott meletak jawatan dan sejam kemudian, Turnbull mengangkat sumpah sebagai perdana menteri di depan Gabenor-Jeneral Peter Cosgrove.

Perbandingan Australia dengan Malaysia
 
Mengapa Australia boleh memecat perdana menteri dengan begitu mudah tetapi Malaysia tidak?
Beberapa perkara dalam episod ini yang wajarmendapat perhatian kita.

Pertama, penukaran perdana menteri dilakukan dalam masa kurang daripada 24 jam dan secara terbuka (sungguhpun dengan undi sulit).

Kedua, penukaran ini mengambil mekanisma yang sah di segiundang-undang dan persepsia wam (legal and legitimate).

Tiada sesiapa yang dituduh dan diugut tindakan polis kerana "menjejaskan demokrasi". Juga tiada perhimpunan raksasa dilakukan untuk menuntut pengunduran perdana menteri atau untuk membela beliau dan membela maruah orang putih atau orang Kristian.

Ketiga, Abbot dicabar dan ditolak kerana Parti Liberal takut pengundi akan menolak partinya, sama seperti alasan yang diberikan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menuntut Datuk Seri Najib Razak mengundur.

Dan kejatuhan Abbott yang semakin tidak popular sememangnya menaikkan sokongan orang ramai kepada Parti Liberal malah dikatakan salah satu sebab Parti Liberal berjaya dalam pilihan raya kecil di Australia Barat semalam (Sabtu).

Berbeza dengan perdana menteri Malaysia, perdana menteri Australia ini cuma tidak popular dan tiada sebarang skandal kewangan atau pembunuhan.

Sememangnya, perdana menteri dalam demokrasi berparlimen itu boleh dipecat sekalipun tiada salah dalam undang-undang.

Keempat, Parti Liberal sendiri yang tentukan pemimpin baharu dan perdana menteri baharunya.

Rakan-rakang gabungannya – Parti Nasional, Parti Liberal Tanahair (CLP) dan Parti Nasional Liberal (NLP) – tidak ada hak untuk campur tangan, usah disebut kuasa veto.

Juga tiada peluang untuk ketua negara iaitu gabenor-jeneral untuk mengarahkan kehadiran semua ahli Parlimen di istana beliau untuk dikaji selidik pemimpin mana yang boleh mendapat kepercayaan majoriti ahli Parlimen.

Jika perkara yang sama boleh berlaku di Malaysia, maka ini adalah implikasinya:

1. Najib akan dicabar dan dikalahkan dalam "balai parti" Umno.

2. Najib akan menyampaikan peletakan jawatannya kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

3. Pencabar Najib yang berjaya mengalahkannya itu akan muncul sebagai pemimpin Umno dan perdana menteri Malaysia yang baharu.

4. Parti-parti komponen BN seperti MCA, MIC, Gerakan dan PBB tidak akan ditanya pandangan mereka, usah lagi diberi kuasa veto, tentang pengganti Najib.

5. Agong tidak perlu membuat kaji selidik mulut atau mengutip "akuan berkanun" (statutory declaration) ahli Parlimen tentang pengganti Najib.

Dalam kata lain, Umno tetap kekal berkuasa, sekalipun jika Najib dipaksa mengundurkan diri.
Ini akan melegakan kekhuatiran sebahagian orang Melayu yang tidak berani menolak pemimpin yang korup kerana takutkan kejatuhan rejim Umno.

Kelebihan kausus parti

Di Malaysia, "pemecatan" perdana menteri selalu dibincangkan seolah-olah hanya boleh dijalankan dengan 2 kaedah saja:

(a) undi tidak percaya (termasuk bentuk alternatifnya kekalahan dalam undi percaya dan penolakan belanjawan).

(b) akuan berkanun (selepas keputusan Mahkamah Rayuan tentang rampasan kuasa di Perak pada 2009).
Kedua-dua cara ini pada teorinya melibatkan semua ahli Parlimen.

Kalau sesebuah pemerintah itu pada asalnya mendapat sokongan majoriti, maka untuk sebuah usul tidak percaya itu diluluskan, "pemberontakan bangku belakang" (backbench revolt) - mestilahberlaku.

Dalam kata lain, sesetengah wakil rakyat parti pemerintah mesti berpaling tadah dan bekerjasama dengan parti pembangkang untuk menjatuhkan perdana menteri daripada parti sendiri.

Ini boleh menjadi halangan dalam budaya politik yang amat menekankan kesetiaan kepada parti dan takutkan perpecahan parti.

Sebagai contoh, kerana "pemberontakan bangku belakang" tidak pernah berlaku di Malaysia, ramai rasa was-was malah menolak ideanya ini sama sekali.

Hakikatnya, pemecatan perdana menteri tidak perlu menjadi urusan seluruh dewan Parlimen. Sebaliknya ia boleh berlaku sebagai urusan parti pemerintah sahaja.

Jika perdana menteri dijatuhkan dengan undi tidak percaya, parti pemerintah sebenarnya dirugikan dalam 2 aspek.

Pertama, parti pemerintah berpecah dan dijatuhkan secara rasminya.

Kedua, jika perdana menteri yang dijatuhkan memohon restu ketua negara untuk membubarkan Parlimen, ketua negara mempunyai kuasa budi bicara secara mutlak.

Selagi para ahli Parlimen daripada parti pemerintah tetap bersatu, mereka seharusnya diberi kuasa untuk membuang undi untuk menentukan pemimpin mereka yang seterusnya menjadi perdana menteri.

Ini adalah konsep "kaukus Parlimen" (parliamentary caucus) yang sebenarnya memperkasakan institusi parti.

[Kaukus di sini adalah kumpulan ahli Parlimen daripada parti yang sama, berlainan dengan kaukus berasaskan isu tertentu yang mengandungi ahli Parlimen daripada pelbagai parti]

Bagaimana "kaukus Parlimen" mengundi itu adalah urusan parti dan oleh itu kita biasanya tidak membaca tentang "kaukus Parlimen" dalam Perlembagaan negara.

Akan tetapi, demokrasi berparlimen ala Westminster seharusnya menerima keputusan "kaukus Parlimen" sebagai sebahagian daripada "kelaziman Perlembagaan" (constitutional convention).

"Balai parti" Liberal itu sememangnya adalah bentuk "kaukus parti" yang diubahsuaikan. Ia merangkumi kedua-dua ahli Parlimen di peringkat persekutuan dan negeri. Maka, selain 58 orang ahli Parlimen di "Dewan Rakyat", terdapat juga lebih kurang 42 "Adun".

("Dewan Rakyat" Parlimen Australia mempunyai 150 kerusi, dan parti-parti sepakat Liberal mempunyai 32 orang ahli Parlimen untuk membentuk majoriti 90 orang).

Yang pentingnya, keputusan 100 orang wakil rakyat ini akan diterima oleh 58 orang ahli "Dewan Rakyat".
Mereka tidak ada alasan untuk bekerjasama dengan parti lawan untuk menjatuhkan perdana menteri sendiri.

Sebenarnya, Abbott sudahpun dicabar pada Februari dan beliau berjaya mengekalkan kuasanya dengan 61 kepada 39 undi. Beliau berjanji akan mengubah polisinya untuk meningkatkan populariti Parti Liberal.

Kekalahan beliau kali ini adalah kerana kegagalannya menepati janjiperubahannya.

Jika Umno ada "kaukus Parlimen", maka 88 ahli Parlimen akan berkuasa menentukan siapa perdana menteri.

Sama ada Najib dikekalkan atau dipecat, Umno tidak perlu risau kejatuhan kuasa pemerintahannya. Umno juga tidak perlu risau "raja" menjadi "penabal raja" (kingmaker).

Dengan logik yang sama, jika Pakatan Rakyat mempunyai "kaukus dewan perundangan" di Selangor, dalam krisis menteri besar tahun lepas, maka 44 orang Adun daripada PKR, PAS dan DAP boleh menentukan siapa ketua pakatan dan menteri besar, sama ada kekalkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim atau tukar kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Umno dan Istana Selangor tidak ada peluag untuk campur tangan.

Malaysia meniru sistem Westminster tetapi institusi "kaukus Parlimen" ini ditinggalkan, mungkin kerana perdana menteri tidak ingin kuasanya ditentukan oleh ahli-ahli Parlimen separtinya.

Malangnya, daripada Khalid tahun lepas sampai Najib tahun ini, ketidakstabilan tidak dapat dielakkan atau diselesaikan tanpa institusi ini.

Tiba masanya kita pertimbangkan sama ada untuk tambah semula apa yang tertinggal selama ini.

Malang Mat Taib yang ku kasihi

Posted: 21 Sep 2015 04:07 AM PDT



Oleh Subky Latif


TIDAK terperi gembiranya apabila Tan Sri Mohamad Mohd Taib memilih PAS apabila dia mengira Umno bukan lagi wadah yang sesuai baginya dan bukan juga wadah yang perlu dipertahankan oleh orang Melayu.
   
Tentulah dia amat arif tentang kerenah dan tidak releven parti itu untuk membela orang Melayu dan mendaulatkan Islam.

Dia adalah bekas Naib Presiden Umno beberapa penggal seiras dengan Tun Abdullah Badawi, Datuk Seri Najib dan Tan Sri Muhyiddin Yasin pula terkemudian daripadanya.
   
Dia membuat pilihan yang betul apabila menyertai PAS. Bapanya adalah imam dan dia sendiri ada sedikit sebanyak didikan Islam. Islam cara hidup dan wadah yang betul untuk politiknya. Kemasukannya bukan sekadar PAS adalah wadah yang tepat untuk Islam, tetapi PAS yang diwar-war semasa kemasukannya adalah sasaran untuk semua dan ia diambang ganti Umno sebagai gerakan massa.
   
Apabila dia masuk dalam kumpulan saya, pada saya adalah yang betul dan terbaik, maka saya tadahkan nyiru dan halaman.
   
Saya wajar dan mesti mengasihinya untuk selama-lamanya. Sakit demamnya dalam PAS adalah sakit demam saya. Dia bukan saja rakan dan saudara sebangsa, seagama, bahkan dia saudara sejamaah. Moga-moga bertambah cerah masa depan PAS dapat bersamanya.
   
Malangnya saya dalam keadaan lemah dan kekurangan, tidak dapat menyambutnya dari dekat dan tidak dapat melayannya. Sepatutnya jika tiada sempat orang lain melayannya, saya mesti gunakan masa dan keupayaan saya yang ada untuk mendampinginya dan memberi apa jua yang diperlukannya dan yang saya terdaya beri. Tetapi saya juga lemah dan mengharapkan orang lain mendampinginya.
   
Amat malang baginya, tidak sempat lama dengan PAS, PAS terperangkap dengan krisis yang bertubi-tubi kerana Langkah Kajang, krisis Menteri Besar Selangor, krisis dengan DAP dan yang lebih buruknya krisis sesama PAS dan konsep kepimpinan ulama dan percubaan pengambil alih pimpinan PAS oleh setengah pemimpin PAS.
   
Saudaraku Mohamad Mohd Taib yang ku kasihi tidak sempat menerima yang manis daripada PAS. Masanya bersama PAS semasa PAS bergolak. Dia menerima yang pahit saja. Jika orang-orang yang berpuluh tahun bersama PAS mengata PAS sudah pahit, maka bagaimana orang yang belum merasa PAS itu manis percaya PAS itu manis?
   
Tan Sri Mohamad dipercayai tidak datang dipujuk oleh sesiapa. Keindahan yang ada pada PAS itulah yang memujuknya menerima PAS. Malang dia menemui racun sebelum dia sempat menikmati  penawar yang ada pada PAS selama ini.
   
Demikianlah ujian pahit yang dilaluinya dalam PAS. Nasibnya tidak sebagai Salman al-Farisi. Salman mengembara jauh mencari kebenaran. Dia masuk satu wadah ke satu wadah. Dia tidak jumpa manis wadah itu. Hinggalah dia jumpa Islam sebagai wadah yang manis. Tan Sri keluar dari wadah yang pahit, masuk ke wadah yang betul, tetapi diuji dengan PAS yang ketika manisnya berkurangan, bahkan disuap dengan kepahitan.
    
Saya tidak kata dia tidak sabar. Malang baginya dia ikut keluar daripada wadah yang betul bagi mencari yang lebih betul. Tetapi dia tidak ikut kumpulannya yang mengajak dia keluar PAS. Dia pilih wadah pada saya tidak sebaik wadah yang baru ditinggalkannya.
   
Saya tidak kata dia keliru, tetapi semasa dia dalam PAS, orang sesetengah orang PAS keliru dan mengelikan PAS. Amat malang orang ku kasihi itu menjadi mangsa. –

Mahkamah Tinggi batal penggantungan The Edge

Posted: 21 Sep 2015 04:02 AM PDT

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic

 
 
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membatalkan keputusan kerajaan menggantung The Edge Financial Daily dan The Edge Financial Weekly.
 
Keputusan itu dibuat oleh hakim Datuk Asmabi Mohamad yang mengarahkan penilaian terhadap kerugian yang ditanggung oleh The Edge akibat digantung sebelum ini.
 
Kementerian Dalam Negeri pula diarahkan membayar kos RM15,000 kepada The Edge.
 
Peguam The Edge Communications Sdn Bhd, Raja Eileen Soraya Raja Aman, berkata syarikat itu boleh menyambung penerbitan mulai esok.
 
The Edge sebelum ini digantung tiga bulan oleh Kementerian Dalam Negeri selepas menerbitkan tulisan yang lantang mengkritik dalam isu 1Malaysia Development Berhad.
 
The Edge sebelum ini berhujah, mereka telah menerbitkan 300 artikel berkaitan The Edge tetapi tidak dimaklumkan yang mahu satu dikatakan tidak tepat dan menjejaskan ketenteraman awam sebelum digantung.
 
 

Perjuangan Islam larang PAS bertahaluf dengan "pengkhianat" Parti Amanah, kata Nik Zawawi

Posted: 21 Sep 2015 03:58 AM PDT

 Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic

 
SHAH ALAM: PAS mengikut pendekatan Islam apabila tidak mahu bertahaluf siyasi atau mengikat kerjasama politik dengan "pengkhianat" di sebalik Parti Amanah Negara, kata Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Nik Mohd Zawawi Nik Salleh.
 
"Islam ada kaedahnya untuk bertahaluf. Islam sama sekali tidak mengizinkan perjuangan Islam untuk bertahaluf dengan mana-mana pihak serpihan daripada Islam sebab Islam menganggap bahawa golongan serpihan ini adalah golongan pengkhianat. 
 
"Sebagai parti Islam yang mengikut lunas-lunas agama, PAS menegaskan bahawa tidak akan mengadakan tahaluf siyasi dengan parti serpihan yang baru sebab mereka (Amanah) adalah kumpulan yang khianat," kata beliau kepada Antarapos.
 
Kenyataan Nik Zawawi itu menyusul selepas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menolak kemungkinan PAS mengikat kerjasama politik dengan Amanah yang diterajui oleh beberapa bekas wakil rakyat PAS yang tidak sebulu dengan Hadi dan pimpinan ulama parti itu. 
 
Kenyataan terbaru Nik Zawawi ini sekali gus menempelak cubaan PKR untuk menyakinan PAS menyertai Amanah dan DAP bagi membentuk Pakatan Rakyat 2.0. 
 
Ia juga memberi tamparan kepada harapan PKR untuk menyakinan PAS supaya tidak meletakkan calon di kerusi yang ditandingi oleh parti pembangkang lain dalam menentang Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke 14. 
 
Nik Zawawi berkata pemimpin-pemimpin Amanah sudah menunjukkan belang mereka apabila keluar daripada PAS, justeru mereka tidak boleh dipercayai lagi. 
 
"Bagaimana nak bekerjasama dengan mereka? Jika kita buat perjanjian dengan mereka, apa alasan yang boleh mereka katakan bahawa mereka tidak akan mungkir janji dan khianat lagi? 
 
"Jika sebelum ini pun mereka sanggup khianat parti sendiri dan buat hal yang bercanggah, seperti kenyataan Mat Sabu dan Salahuddin (Ayub) yang sangat lantang lebih daripada orang lain, tiba-tiba mereka langgar (janji). Jadi bagaimana kita nak beri kepercayaan kepada mereka lagi?
 
"Parti mereka dinamakan Amanah, namun apa yang mereka bawa sangat tidak beramanah. Dan kita tidak akan mengadakan tahaluf siyasi dengan mereka," tegasnya lagi.
 
Mohmad Sabu adalah bekas timbalan presiden PAS dan kini menjadi presiden Amanah manakala Sallahuddin adalah bekas ahli Jawatankuasa Pusat PAS yang menjadi timbalan presiden Amanah.
 
Setakat ini 12 wakil rakyat PAS menyertai Amanah manakala Ahli Parlimen Tumpat dan bekas Setiausaha Agong PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar menyertai PKR.  
 
PKR akan menganjurkan persidangan meja bulat  esok untuk membincangkan pembentukkan dan hala tuju Pakatan Rakyat 2.0.
 
Bagaimanapun PAS dilihat 'tidak berminat' untuk menghadirinya dan sehingga kini tidak memberikan sebarang kata putus tentang persidangan meja bulat itu. 


PAS tidak berminat sertai Pakatan Rakyat 2.0 kerana tujuannya masih kabur - Nasruddin

Posted: 21 Sep 2015 03:52 AM PDT

Oleh Azizul Osman 

 
Post Pic

 
 
SHAH ALAM: Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata PAS tidak berminat untuk menyertai gabungan Pakatan Rakyat 2.0  kerana hubungan parti berkenaan dalam Pakatan Rakyat versi terdahulu masih utuh.
 
Malah beliau turut menyifatkan penubuhan Pakatan Rakyat 2.0 masih kabur dan belum digerakkan sepenuhnya.
 
"Pakatan Rakyat 2.0 belum wujud malah usaha mewujudkannya juga masih kabur dan PAS tidak berminat mewujudkan versi 2.0 itu kerana Pakatan Rakyat versi asal masih utuh dan apa yang perlu ialah mengukuhkan versi asal dengan komitmen yang sudah jelas sebelum ini dan membuat penerokaan baru yang efektif kepada Pakatan Rakyat", katanya dalam satu kenyataan.
 
Ujar Nasrudin, parti berkenaan tidak boleh menerima sikap segelintir bekas pemimpin PAS yang bertindak keluar parti dan menyerang parti berkenaan dari belakang.
 
"PAS tidak boleh bertolak ansur dan tidak boleh mengiktiraf sikap dan tindakan bekas pimpinan dan ahli PAS yang menikam PAS dari belakang, kemudian bertindak keluar PAS lalu menubuhkan parti baru untuk berdepan dengan PAS," ujarnya. 
 
Menurut Ahli Parlimen Kuala Nerus itu, penubuhan Amanah juga masih belum jelas mencerminkan matlamat sebenar parti berkenaan yang diilhamkan oleh individu daripada serpihan PAS. 
 
"Komponen Pakatan Rakyat 2.0 sendiri masih dalam keadaan keliru dan dilema."
 
"Parti yang baru ditubuhkan itu (mengambil alih parti lama) masih belum jelas hala tuju dan tidak diketahui umum perlembagaan partinya, kecuali mereka bermaksud meneruskan dasar dan perlembagaan parti lama itu sendiri sebagai Parti Pekerja Malaysia yang berhaluan kiri," tegasnya.
 
Sebelum ini, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengeluarkan kenyataan PAS tidak akan menyertai pakatan pembangkang yang baru kerana tidak mempunyai agenda memartabatkan Islam sebaliknya hanya mahu memenangi pilihan raya akan datang.
 
"Penegasan Presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) tidak mahu PAS menyertai Pakatan Rakyat 2.0 itu sangat tepat dan pintar."
 
"Bukan kerana menganggap hanya PAS yang hebat dan PAS lebih baik dari yang lain, tetapi kerana tidak mahu menjadikan PAS sebagai sebuah parti yang tidak baik dan terjerumus dalam satu situasi yang keliru dan terumbang ambing dalam percaturan politik semasa sedang PRU 14 semakin hampir", katanya yang mengulas kenyataan Hadi pada 10 September lalu.
 
Esok satu persidangan meja bulat akan diadakan bagi membincangkan pembentukan pakatan pembangkang yang baru dan mengambil tempat di Hotel Empire Subang.
 
Persidangan meja bulat anjuran PKR itu dikatakan akan membincangkan resolusi ke arah pembentukan Pakatan Rakyat 2.0 selepas Pakatan Rakyat (PR) diisytiharkan tidak lagi wujud pada Julai lalu akibat kemelut berterusan antara PAS dan DAP.
 
Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali bertegas mahukan PAS menyertai pakatan pembangkang baru.
 
Namun kenyataan berbeza diberikan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang jelas menolak penyertaan PAS dalam gabungan pembangkang yang baru itu.
 
 

PAS benar sesiapa sahaja sertai H60K, tetapi jangan rasis

Posted: 21 Sep 2015 03:50 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic



SHAH ALAM: PAS menerima sesiapa sahaja untuk hadir ke Himpunan 60,000 (H60K) di Kelantan pada bulan depan bagaimanapun menegaskan parti Islam itu menentang rasis.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata parti itu mengalu-alukan mereka yang mahu menyokong pembinaan kerukunan dan keharmonian negara.

"Kita mengalu-alukan semua pihak," katanya yang mengulas hasrat kumpulan baju merah menyertai himpunan mereka pada 17 Oktober depan.

Beliau dalam pada itu mengingatkan semua rakyat mesti menghormati kebersamaan rakyat menentang rasuah, dan salah guna kuasa.

Gabungan NGO Melayu hari ini menyatakan minat untuk turut serta dalam H60K yang dianjurkan PAS itu.
Pengerusinya, Datuk Jamal Md Yunos berkata pihaknya menyokong tujuan PAS yang mahu menyatupadukan orang Melayu seperti yang termaktub di dalam perlembagaan negara ini.

"Saya ada terbaca artikel yang mana PAS akan berhimpun. Kalau kami yakin dengan manifesto mereka iaitu untuk bawa penyatupaduan ke arah orang Melayu seperti yang termaktub dalam perlembagaan, kami akan bersama menyokong mereka.

"Kita akan turun sekali bersama mereka asalkan tak lari daripada Perlembagaan. Tak ada masalah," katanya dipetik Malaysiakini.


(KEMASKINI) PAS sah tak hadir meja bulat bincang Pakatan Rakyat 2.0 esok

Posted: 21 Sep 2015 03:48 AM PDT

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic


SHAH ALAM: PAS mengesahkan tidak akan hadir persidangan meja bulat bersama parti-parti pembangkang bagi membincangkan penubuhan Pakatan Rakyat 2.0.

Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Nik Mohd Zawawi Nik Salleh berkata demikian ketika mengulas keengganan parti itu memberikan kata putus untuk hadir ke rundingan dianjurkan oleh PKR.

"Biarlah mereka berunding dahulu. Jika rundingan itu pun lebih awal daripada Mesyuarat PAS Pusat, terpulanglah. Kami tidak akan pergi selagi tiada keputusan.

"Kita tidak berapa berminat untuk berbincang," katanya kepada Antarapos.

Difahamkan, pimpinan PAS Pusat hanya akan bermesyuarat selepas perayaan Aidiladha.

Nik Zawawi berkata, tidak ada keperluan untuk parti-parti pembangkang menubuhkan Pakatan Rakyat 2.0, sedangkan acuan dan hala tujunya tetap sama dengan Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini.

"Kita sudah ada Pakatan Rakyat, mereka nak buat Pakatan Rakyat 2.0 terpulanglah. Kita setia dengan janji dan prinsip. Bukan macam pihak lain, nak buat kemudian keluar. Sebab itu PAS bertenang sebab kita sudah ada PR," demikian menurutnya.

Bukan itu sahaja, tambah Nik Zawawi, pimpinan PAS Pusat tidak membincangkan soal penubuhan Pakatan Rakyat 2.0, malah Majlis Syura Ulama yang berperanan penting dalam penentuan dasar parti itu juga tidak menyentuh perkara berkenaan.

Pendirian itu senada dengan kenyataan Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasruddin Hassan pada hari ini yang berkata parti itu tidak berminat menyertai gabungan baru pembangkang kerana hubungan PAS dalam Pakatan Rakyat masih utuh.

Beliau juga menyifatkan penubuhan Pakatan Rakyat 2.0 masih kabur dan belum digerakkan sepenuhnya.

Persidangan meja bulat anjuran PKR esok dikatakan akan membincangkan resolusi ke arah pembentukan Pakatan Rakyat 2.0 selepas Pakatan Rakyat (PR) diisytiharkan tidak lagi wujud pada Julai lalu akibat kemelut berterusan antara PAS dan DAP.

Pakatan Rakyat 2.0 dikatakan bakal dianggotai oleh PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Keengganan PAS terlibat dalam gabungan pembangkang yang baru itu berkait rapat dengan hubungan tidak baiknya dengan DAP dan penolakan terhadap Amanah yang ditubuhkan oleh bekas kumpulan progresif PAS yang tidak sebulu dengan kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Keputusan pilihan raya kampus tidak cermin sokongan kepada kerajaan

Posted: 21 Sep 2015 03:34 AM PDT



Oleh Kalaivaanan Murthy 


Saya terpanggil untuk mencoret pendapat dan kritikan berikutan kenyataan yang dikeluarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Muar semalam yang mengaitkan keputusan pemilihan Perwakilan Universiti Awam sebagai isyarat kembalinya keyakinan para mahasiwa kepada kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN).

Saya ingin mengkritik sekeras-kerasnya kenyataan yang sangat tidak akademik dan tidak bertunjangkan fakta yang dibuat hanya untuk mengelirukan rakyat jelata yang tidak kenal rupa dan bentuk politik kampus.

Kenyataan perdana menteri mengukuhkan lagi hipotesis wujudnya sekumpulan mahasiwa yang berpanjikan kerajaan dan kumpulan yang menentangnya adalah kumpulan pro pembangkang.

Dalam kerancakan dunia politik nasional yang penuh dengan retorik, rasuah, perebutan kuasa dan penipuan dunia politik kampus kian dihidangkan dengan perkara tidak kurang daripada yang berlaku di luar.

Secara jujurnya saya ingin mendabik dada sebagai seorang mahasiwa yang bijak mengenal buruk dan baik serta pandai menilai antara ikhlas dan rakus.

Namun realiti pilu yang menghujani persekitaraan kampus tidak menyenangkan hati saya dan ribuan lagi pelajar universiti.

Saban tahun munculnya pilihan raya kampus, suasana kampus meraikan "pesta demokrasi' (walaupun suasananya muram pada tahun ini di kampus penulis).

Calon-calon yang bertanding tidak kurang persiapannya daripada calon pilihan raya umum; poster, banting, slogan, jentera, manifesto, pidato, kempen dan pelbagai lagi semuanya bersedia untuk ditonjolkan.

Namun realiti sedih yang berlaku menjengkelkan penghuni kampus yang lain. Makian, cemuhan, ucapan politik murahan, sabotaj, pergaduhan, pertelingkahan; semuanya kian menjadi sebati dalam perjalanan kempen memancing undi.

Apa bezanya mahasiwa dengan orang di luar? Apa bezanya mahasiswa dengan Umno, PKR, DAP dan PAS? Pertembungan idea secara sihat diganti dengan pergelutan kelebihan yang diusahakan melalui indoktrinasi.

Pergelutan individu menjadi pergelutan kekuatan parti yang dikawal oleh sekumpulan yang lain.

Perlawanan lidah secara intelektual bertukar menjadi medan berkongsi kata-kata tidak pernah didengari.

Terkilan melihat mahasiswa mencarut dan memaki rakan seperjuangan walhal musuh sebenar yang perlu ditangani adalah ketidakadilan dan kedangkalan pemikiran ahli politik.

Saya menyeru kepada perdana menteri untuk hentikan segala bentuk tindakan mengaburi mata mahasiswa.
Hentikan usaha untuk menjadikan medan politik kampus sebagai medan perjuangan politk retorik anda.

Kepada pembangkang, hentikan usaha mengeksploitasi mahasiswa untuk merealisasikan impian songsang anda. Usah menyuntik karektar pembangkang yang kerjanya membangkang sahaja.

Saya yakin dan percaya mahasiswa yang mengundi dan memenangkan rakan-rakan mereka tidak mudah terpedaya dengan dakyah songsang yang dihidangkan.

Mereka memilih individu tersebut kerana yakin akan kemampuan, tertarik dengan hidangan manifesto dan kagum dengan ciri-ciri kepimpinan. Tidak sama sekali kerana menyokong anda. Andaian anda sudah tergelincir dari landasan pemikiran logikal.

Biar kami memilih pemimpin kami yang kritikal dan neutral. Biar kami tentukan hala tuju kepimpinan kampus.

Biar kami menegakkan prinsip demokrasi yang sebenar, setia dengan tujuan dan impian. Biarkan kami.

Ahli politik tanam idea, rakyat gali bom

Posted: 21 Sep 2015 03:31 AM PDT




Oleh Timmy Say


Ia bukan lagi RM2.6 bilion. Ia bukan lagi pembongkaran The Wall Street Journal (WSJ) terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Ia bukan berkisar pada kejatuhan nilai ringgit.Ia perkataan "tampar" – petikan ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang berbunyi: "Sekali tampar, kita tidak buat apa. Dua kali tampar...tidak buat apa... tiga kali tampar... tidak buat apa... tetapi empat kali tampar sudah melampaui batas. Orang Melayu ada hak juga."

Itulah hebatnya ahli politik yang pandai berpolitik. Rakyat kini tertukar gelanggang atau padang dan berbicara mengenai "tampar" dengan penuh emosi sehingga pudarnya isu derma RM2.6 bilion dan 1MDB di mulut rakyat.


Dengan hanya satu petikan yang sensasi dan kontroversi, bagaikan gula, semua media berpusu-pusu melaporkannya.

Terbau gula, ahli politik lain yang tidak mahu ketinggalan lalu terus terjun menambahkan api dengan reaksi mereka kepada kenyataan tersebut.

Media disibukkan lagi dengan laporan bertubi-tubi debat terhadap isu tersebut, dan begitulah seterusnya sehinggalah isu 'tampar' menjadi topik utama bacaan rakyat.

Hasilnya, perhatian rakyat berjaya dialihkan.

Teknik menanam idea di minda orang lain merupakan satu taktik politik yang tinggi. Ia boleh digunakan dalam pelbagai cara.

Sebagai contoh, sekiranya ada 'move' politik yang tidak sesuai digerakkan diri sendiri terhadap rakan sendiri, ahli politik yang mahir akan menanam idea ini di pihak musuh supaya pihak musuh yang bergerak untuk menyulitkan rakan sendiri.

Lihatlah cara Tun Dr Mahathir Mohamad melontarkan idea Najib mungkin ditangkap sekiranya beliau ke luar negara. Kepada siapa idea ini ditanam?

Ada pula 'move' politik yang sengaja dilakukan untuk menonjolkan diri sebagai orang baik umpama kata-kata ketua menteri Melaka yang menolak sebarang bentuk perkauman tatkala bekas ketua menterinya bertindak sebaliknya.

Di sebelah pembangkang, aktiviti menanam idea juga giat dijalankan agar rakyat terbeli satu-satu idea yang dicetuskan.

Bagi mereka yang menyokong kewujudan parti baharu, mereka sedang menanam idea di minda rakyat mengenai perlunya pakatan pembangkang yang baru, seeloknya tanpa PAS, untuk mengalahkan dengan BN.

Idea yang ditanam ialah PAS tidak mahu bekerjasama dengan DAP. Jarang dibangkitkan pula ialah fakta yang DAP tidak mahu bekerjasama dengan PAS.

Selain itu, idea yang paling digemari ditanam ialah, PAS kini "sudah", "ada niat" atau "akan" bersama Umno.

Segala apa yang boleh digunakan untuk membangkitkan persepsi adanya hubungan politik PAS dengan Umno akan digunakan termasuklah gambar lawatan Najib ke Institut Jantung Negara (IJN) menjenguk keadaan Mursyidul Am PAS Datuk Haron Din.

Tidak dinafikan, idea yang ditanam ini kini menyubur di kalangan bukan Islam.

Cuma yang tidak terfikir penabur-penabur idea berkenaan ialah kesan sampingan kepada idea ini ialah jurang bukan Islam dan orang Islam semakin jauh kerana mereka dibawa ke satu sudut untuk mempertikaikan Umno dan PAS pada waktu yang sama – yang kebetulan masih mewakili majoriti suara orang Melayu-Islam di Semenanjung Malaysia.

Banyak juga idea yang cuba ditanam di dalam pelawaan PKR kepada PAS untuk berbincang mengenai Pakatan Rakyat 2.0. PKR dipercayai ikhlas dan PAS pun menerima yang mereka masih bertahaluf siyasi dengan PKR.

Masalahnya di sini, ada pihak yang cuba bertindak kejam terhadap PAS dengan cubaan menanam idea yang kehadiran PAS ialah pengisytiharan PAS menerima Amanah.

Sesiapa pun tahu, tiada parti induk yang boleh terima kerjasama dengan parti serpihannya. Umno dengan Semangat 46 tidak boleh. Umno dengan PKR tak boleh. PAS dengan Berjasa atau Hanim pun tidak boleh.

Mereka yang cuba memaksa keadaan ini berlaku seolah-olah memaksa seorang manusia bertindak di luar batas kewarasannya.

Semua sedar akan perkara ini, namun jika PAS enggan bertindak di luar batas kewarasan, maka idea yang ditanam ialah PAS memilih untuk bersendirian. Ia pelik tetapi benar.

Hakikatnya bagi mereka, penerimaan DAP dan PKR terhadap Amanah sahaja tidak cukup. Mereka memerlukan penerimaan PAS.

Tanpa PAS, bukan sahaja kerusi Amanah dalam bahaya, malah sebahagian kerusi PKR dan juga DAP akan berada dalam bahaya sekiranya pertandingan tiga penjuru berlaku di kawasan yang mempunyai majoriti undi Melayu. Ini kesan yang tiada siapa boleh jangka hari ini.

Hanya mereka yang mempunyai ego yang tinggi sahaja masih cuba menanam idea bahawa situasi ini menguntungkan pembangkang.

Namun di luar sana, idea yang cuba ditanam ialah PAS tidak penting dan semakin hilang sokongan.

Berita berkaitan dengan ahli PAS yang keluar PAS dibesarkan sebagaimana berita kawasan PAS yang tidak mencalonkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai presiden sebelum muktamar dulu.

Gambaran palsu itu akhirnya makan diri pada mereka yang bergantung kepadanya.

Nampaknya situasi kini sedang berulang dengan berita ahli PAS yang keluar PAS dibesarkan di sebalik fenomena kemasukan ahli baru PAS dari kalangan pemuda-pemudi yang tidak disenyapkan.

Berhati-hatilah dengan idea yang ditanam para 'political animal', takut-takut yang digali rakyat ialah bom yang diceritakan sebagai ubi.

1MDB mula proses tender jualan tanah di Pulau Indah

Posted: 21 Sep 2015 03:23 AM PDT

FREE MALAYSIA TODAY

Proses jualan tender itu sebahagian daripada pelan rasionalisasi yang dibentang di hadapan jemaah menteri Mei lalu.


1mdb1


PETALING JAYA: 1Malaysia Development Bhd (1MDB) memulakan proses tender jualan tanah dengan keluasan 128.7 hektar di Pulau Indah, Selangor.

Menerusi kenyataan pada Isnin, 1MDB berkata, syarikat itu melantik Savills (M) sebagai penasihat dan menyediakan memorandum maklumat terperinci untuk pengagihan.

"Pembeli berpotensi yang mempunyai kelayakan yang sesuai dipelawa mendaftarkan minat mereka dengan Savills (M) bagi proses tender ini," katanya.

Tanah 1MDB di Pulau Indah, Mukim Klang, Selangor, itu adalah di tapak pembangunan tunggal yang besar.

Ia terletak bersebelahan Zon Bebas Pelabuhan Klang dan pembangunan industri yang lain.

Jualan tanah berkenaan merupakan sebahagian daripada pelan rasionalisasi yang dibentangkan kepada kabinet pada 29 Mei, 2015.

Sementara itu, 1MDB juga berkata, keseluruhan pelan itu berjalan lancar, dengan pembida yang disenarai pendek pada masa ini menjalankan proses kajian terperinci bagi Edra Energy dan Bandar Malaysia.
-BERNAMA

Najib fail permohonan batal saman Anina

Posted: 21 Sep 2015 03:15 AM PDT

 
Najib dan Rauf juga aka n menfailkan permohonan untuk menggantung prosiding yang difailkan plaintif sementara permohonan untuk membatalkan saman didengar


najib,anina,saman


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak dan Setiausaha Kerja UMNO Datuk Abdul Rauf Yusoh akan memfailkan permohonan pada Selasa untuk membatalkan saman yang dibuat bekas ahli Wanita Cawangan Padang Mat Sirat, Anina Saadudin.

Menurut laporan Bernama, Peguam Nor Emilia Mohd Iszeham yang mewakili Najib dan Abdul Rauf
memberitahu media bahawa kedua-dua defendan juga akan memfailkan satu lagi permohonan iaitu untuk menggantung prosiding beberapa permohonan yang difailkan plaintif sementara permohonan untuk membatalkan saman didengar.

"Kami akan memfailkan permohonan itu esok," katanya selepas kes itu disebut di dalam kamar pada Isnin di hadapan Timbalan Pendaftar Norfauzani Mohd Nordin.

Pada 28 Ogos lalu, Anina memfailkan saman terhadap kedua-dua defendan antaranya bagi menuntut pembayaran balik sejumlah US$650 juta yang didakwa dimasukkan oleh Najib ke dalam satu akaun bank bukan milik UMNO di Singapura.

Peguam Aizul Rohan Anuar yang mewakili Anina pula berkata mahkamah mengarahkan pernyataan pembelaan difailkan selewat-lewatnya 1 Oktober.

Aizul Rohan berkata mahkamah menetapkan 26 Okt ober untuk pengurusan kes di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab

Pas tak bodoh sombong – Nasrudin

Posted: 21 Sep 2015 03:14 AM PDT

 
Pas menolak PR 2.0 sebab tidak mahu bekerjasama dengan Parti Amanah Rakyat (Amanah) yang dianggap telah mengkhianati Pas.


Nasrudin

PETALING JAYA: Pas menolak untuk bekerjasama dalam Pakatan Rakyat (PR) 2.0 bukan disebabkan parti itu bersikap bodoh sombong ataupun ego.

Sebaliknya penolakannya dibuat atas pendirian parti berkenaan enggan bekerjasama dengan Parti Amanah Negara (Amanah) yang dituduhnya sebagai pengkhianat.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hassan berkata ia juga dibuat bagi menjaga maruah dan prinsip parti itu.

"Kita tidak akan membiarkan budaya 'tikam belakang' itu menjadi amalan dalam politik negara dan berpendapat pengkhianat perlu dihukum.

"Khianat kemudian diterima sebagai kawan. Budaya sebegini akan merosakkan kesejahteraan iklim politik negara. Justeru ia mengheret negara menghalalkan sebuah pengkhianatan politik," katanya dalam kenyataan dibuat pada Isnin.

Pada masa sama, Nasrudin berkata Pas tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak kerana mereka sudah mempunyai perancangan tersendiri untuk menambat kembali sokongan terhadap partinya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Katanya, Pas sentiasa bersikap terbuka untuk menerima mana-mana pihak untuk bekerjasama dengannya.
"PAS tidak perlu mengikut lagak orang lain untuk berjaya," katanya.

PKR: Jadilah 'ronin', tinggalkan BN sertai pembangkang'

Posted: 20 Sep 2015 05:27 PM PDT

Alyaa Azhar  





PKR hari ini mengajak 47 MP BN dari Sabah dan Sarawak supaya meninggalkan gabungan parti pemerintah dalam usaha mereka membentuk gabungan bebas dan bekerjasama dengan blok pembangkang.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata perkara itu diperlukan demi masa depan yang lebih baik buat rakyat Malaysia.

"(Hal ini) boleh dicapai jika 47 rakan patriotik kita, anggota parlimen BN dari Sarawak dan Sabah, (menjadi) seperti 47 'ronin' Jepun yang sanggup berjuang dan mati dengan keadilan rakyat atau keadilan, tinggalkan BN untuk menubuhkan gabungan bebas bersama kita.

"Kemudian janji kemerdekaan dan Malaysia akan ditunaikan," katanya dalam ucaptama dalam sebuah forum di Kuala Lumpur hari ini.

Wan Azizah berkata blok pembangkang mesti menjadi seperti NGO pemantau pilihan raya BERSIH, yang mana beliau berkata "menyatukan rakyat tanpa mengira kaun dan agama" demi perjuangan untuk Malaysia yang lebih baik.

"Masanya tiba sekarang," kata ketua pembangkang itu.

Kisah 47 'ronin' mengenai 47 samurai bawah pimpinan Ōishi Kuranosuke Yoshitaka membalas dendam ke atas kematian majikan mereka dengan cara melakukan penyerbuan ke rumah kediaman pejabat tinggi istana, sebelum perang dunia ke-2.

Peniaga Jln Petaling tak setuju kongsi tempat

Posted: 20 Sep 2015 05:24 PM PDT

Yap Jia Hee





Walaupun ada suara menuntut agar Melayu dibenarkan menjalankan perniagaan di Jalan Petaling, bagi kebanyakan pemilik gerai di situ berpendapat kawasan berkenaan wujud hasil kerja keras mereka hampir 100 tahun lalu.

Kini menempatkan kira-kira 700 gerai yang menjual pelbagai barangan, ia dimiliki peniaga Cina walaupun kebanyakannya dijaga pekerja warga asing.

Pada sambutan Hari Malaysia lalu, sekumpulan peserta Himpunan Rakyat Bersatu berkumpul di depan pintu masuk Jalan Petaling dan berkeras mahu merempuh masuk ke pusat komersial berkenaan.

Namun usaha itu gagal apabila ia dikawal anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

Sehari kemudian pemimpin baju merah Datuk Jamal Md Yunos dalam sidang medianya mendakwa Jalan Petaling merupakan tempat "perkauman" dan menyeru agar penjaja Cina berkongsi tempat itu dengan penjaja Melayu.

Namun, kebanyakan penjaja tidak bersetuju, sebaliknya mereka mencadang Jamal memohon kepada pihak berkuasa untuk membuka pusat penjaja khas Melayu di lokasi lain.

Sesetengah penjaja di situ berkata, mereka bertungkus-lumus di Jalan Petaling sejak muda sebelum akhirnya menjadi pemilik gerai.

Sebahagian yang lain pula mewarisi gerai berkenaan daripada nenek moyang masing-masing.

"Tidak perlu kongsi lokasi ini dengan kami, " kata Low Chee Hong, 49, pemilik gerai menjual cenderamata kepada Malaysiakini.

Low mencari rezeki di Jalan Petaling sejak 30 tahun lalu. Ia bermula secara sambilan ketika dia masih bersekolah dan baru berusia 18 tahun.

Dia kemudian membuka gerai sendiri dengan modal hanya beberapa ribu ringgit.

Berniaga 12 jam

Setiap hari, Hong berniaga selama 12 jam mulai 10 pagi.

"Saya menghabiskan lebih banyak masa di sini berbanding di rumah," katanya ketawa.

Chong Yoke Yean, 44, pula memiliki gerai menjual roti ban dan mewarisi perniagaan itu daripada datuk suaminya sejak 20 tahun lalu.

Seperti penjaja lain, Chong menutup gerainya pada hari himpunan baju merah dilangsungkan.

Pada pendapat Chong, kumpulan baju merah itu hanyalah kumpulan kecil Melayu dan tidak mewakili pendirian keseluruhan bangsa Melayu di Malaysia.

"Melayu di seluruh Malaysia tidak semestinya menyokong tindakan mereka. Saya tidak bimbang kerana ini adalah negara berdemokrasi, jikalau pihak berkuasa berdiam diri hanya memalukan kredibiliti mereka," katanya ketika ditemui.

Chong turut berpendapat bahawa tidak mungkin untuk membenarkan penjaja Melayu berniaga di Jalan Petaling.

"Sini adalah Chinatown, kami senantiasa bersatu hati mempertahankan kawasan ini," katanya.

Salah seorang pemilik gerai menjual baju yang hanya mahu dikenali sebagai Law, 52, pula menyoal apakah tujuan Jamal membuat cadangan itu.

"Adakah kamu berniat jahat untuk menyeru peniaga Melayu berniaga di Jalan Petaling?

"Sila minta satu jalan lain untuk peniaga Melayu. Ia sama seperti Jalan Chow Kit dan Jalan Masjid India yang merupakan tempat peniaga Melayu," katanya.

Cari nafkah sejak muda

Law yang berasal dari Johor mula menjadikan Jalan Petaling sebagai tempatnya mencari nafkah sejak muda.

Bagi Law, Jalan Petaling adalah komuniti yang sangat dekat dengan dirinya.

Mengenai himpunan baju merah, Law berkata, dia melihat program itu seolah-olah mendapat sokongan politik di belakang mereka.

"Mereka mengeluarkan hujah rasis. Mesti ada kuasa lain di belakang mereka," katanya.

Mengulas kepada dakwaan Jamal bahawa kebanyakan barang jualan di Jalan Petaling adalah produk tiruan, Law berkata ia bukan rahsia lagi, malah di tempat lain turut ada menjual barang tiruan.

"Sekarang pasar penuh dengan barang tiruan, termasuk di gerai penjaja Melayu," katanya.

Mengenai dakwaan jualan cakera video padat (VCD) lucah di Jalan Petaling, Hong secara sinis ketawa.

"Kamu datang sini carilah kalau ada orang jual VCD lagi. Siapa yang nak tengok VCD sekarang?" katanya.

Bagi pelancong dari Indonesia, Oki Doni, 46, 'Chinatown' yang mewakili komuniti Cina tidak patut dikaitkan dengan apa-apa isu perkauman.

Oki Doni merupakan Timbalan Datuk Bandar Tebing Tinggi, sebuah bandar di Sumatera Utara Indonesia, berkata beliau mengunjungi ke Jalan Petaling bersama isteri dan tiga anaknya.

Oki mengakui tahu akan apa yang berlaku 16 September lalu di Jalan Petaling, namun berpendapat kekecohan itu tidak patut berlaku.

"Chinatown di negara saya amat popular. Saya rasa ini tidak patut dikait dengan perkauman dan tidak patutnya mendiskriminasi kaum lain," katanya.


'Fikiran sempit dakwa perkauman diterima Islam'

Posted: 20 Sep 2015 05:20 PM PDT

Koh Jun Lin  





Dakwaan seperti penerimaan perkauman dalam Islam menunjukkan simptom betapa sempitnya perbahasan mengenai ideologi di Malaysia, kata Putera Raja Negeri Sembilan Tunku Zain al-Abidin Tuanku Muhriz.

Beliau berkata retorik seperti itu merupakan satu lagi percubaan kerajaan untuk memecahbelahkan rakyat Malaysia.

Menurutnya jika perlu, idea-idea liberal dianggap sebagai konsep asing dan menyeleweng dan justifikasi baru dibuat.

"Sesungguhnya, selepas perhimpunan Baju Merah pada hari Malaysia, seorang ahli politik daripada parti yang memerintah cuba berhujah bahawa penerimaan bentuk perkauman dalam Islam.

"Ia penggunaan yang retorik, ditambah pula dengan penghinaan terhadap kemuncak liberalisme bagaimana dengan mudah dibentuk dalam landskap politik kita; bagaimana ketandusan (pemikiran jadi) sabitan ideologi, "katanya.

Beliau berkata hadirin dalam ucaptama merasmikan Sidang Kemuncak Freedom 2015 di Petaling Jaya hari ini.

Tunku Zain tidak menyebut mana-mana nama, tetapi dipercayai merujuk kepada Ahli Majlis Tertinggi Umno Tan Sri Annuar Musa, yang membuat dakwaan itu dalam ucapan di perhimpunan Himpunan Rakyat Bersatu.

Pemimpin Pemuda Umno mahu PAC dibubar, ahli ditukar

Posted: 20 Sep 2015 05:18 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Pemimpin Pemuda Umno mahu Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dibubarkan, dengan mendakwa ahli PAC disyaki memberi maklumat salah kepada media asing.

"Penjualan maklumat siasatan yang sulit sedangkan siasatan masih belum dimuktamadkan adalah satu jenayah yang amat serius dan boleh menzalimi pihak yang sedang disiasat.

"Pada waktu yang sama, ia adalah satu permainan persepsi yang jahat yang bukan sahaja boleh mendatangkan kesan buruk kepada 1MDB, tetapi juga kepada ekonomi negara.

"Saya dengan ini mendesak agar polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menyiasat setiap anggota PAC," kata Exco Pemuda Umno Armand Azha Abu Hanifah.

Dalam kenyataanya juga, beliau turut menggesa PAC dibubarkan dan melantik anggota baru yang lebih berintegriti dengan menggantikan anggota sedia ada yang didakwanya "lebih suka bermain politik dan intergriti diragui".

Minggu lepas The Wall Street Journal (WSJ) melaporkan bahawa AS$ 1 bilion (RM4.2 bilion) bayaran daripada firma pelaburan 1MDB kepada International Petroleum Investment Co (IPIC) yang berpangkalan di Abu Dhabi, didakwa hilang.

1MDB mengesahkan bahawa pembayaran telah dibuat kepada IPIC untuk menamatkan pilihan.

Bagaimanapun, 1MDB berkata pihaknya tidak boleh bercakap untuk IPIC mengenai apa yang berlaku kepada wang tunai.

Pemuda MCA bahagian putus hubungan dengan PM

Posted: 20 Sep 2015 05:08 PM PDT

Lu Wei Hoong  





Pemuda MCA Pasir Gudang memutuskan hubbungan dengan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak susulan sokongan beliau kepada Himpunan Rakyat Bersatu pada 16 September lalu.

Ketua Pemuda MCA bahagian itu Chia Chow Hui berkata himpunan 'Baju Merah' pada tarikh tersebut menghancurkan keharmonian kaum.

"Kami tidak bersetuju dengan himpunan 16 September yang merosakkan hubungan kaum. Tapi Najib memujinya sebagai perhimpunan aman. Jadi kami buat keputusan (untuk memutuskan huungan)," kata Chia ketika dihubungi Malaysiakini.

Hal ini bermaksud semua anggota Pemuda MCA bahagian itu tidak akan menghadiri majlis Najib atau menyokong beliau dalam apa cara sekalipun.

Bahagian itu adalah yang pertama berbuat demikian dalam BN.

Ketika ditanya, Chia berkata beliau tidak bimbang jika dikenakan tindakan displin daripada kepimpinan pusat berhubung keputusaan itu.

"Tidak. Setiap orang meraikan kebebasan bersuara.".

Pada Jumaat, Najib mengucapkan penghargaan terhadap peserta Himpunan Rakyat Bersatu dengan menyatakan himpunan Baju Merah berhimun secara aman tanpa sebarang provokasi.

Himpunan itu turut dikenali "mempertahankan maruah Melayu" dan dicemari dengan penghinaan kaum dilemparkan terhadap masyarakat Cina.

Ia sebagai balasan terhadap peserta BERSIH 4 yang kebanyakannya kaum Cina, yang mendesak Najib meletakkan jawatan.

[VIDEO & GAMBAR] Melayu Oh Melayu... Yang Dibanggakan Najib...

Posted: 20 Sep 2015 05:02 PM PDT

KELAB GREENBOC



 
Himpunan Baju Merah 16 September 2015 papar wajah Melayu sebenar yang dipuji oleh Perdana Menteri, DS Najib Tun Razak.

Berpagi dengan memaki hamun kaum Cina, dapat duit RM100 kerana menyertai perhimpunan terus ke kedai Cina beli nombor ekor dan minum arak. Hidup Melayu!!!



Antara merah dan maruah Oleh Yunus Tasim

Apa yang berlaku kelmarin sangat menyedihkan. Atas nama Himpunan Melayu Bersatu, Himpunan Maruah Melayu, anak-anak Melayu menjadi hamba kepada 'tuhan-tuhan' dan politikus usang Melayu. Apakah Melayu sudah mencapai objektif dari perhimpunan semalam.

Atau kita menanggung malu?

Terlalu cepat Ahmad Maslan mendabik dada? Terlalu pantas Najib mengambil kredit. Najib kata pada Annuar Musa yang dia terkejut dan terharu dengan himpunan seaman ini. Ahmad Maslan suruh Bersih belajar dari Baju Merah untuk perhimpunan aman. Tapi tak lama kemudian Allah menemplak mereka. Seramai lebih 800 baju merah cuba merempuh sekatan polis untuk 'menceroboh' Petaling Street. Polis terpaksa menggunakan air kimia dan gas pemedih mata untuk mengawal keadaan. Ini tidak terjadi di Bersih 4 walaupun mereka telah berkampung dekat Dataran Merdeka selama 34 jam.

Siapa malu? Perdana Menteri dan Menteri-Menterinya? Tidak, Melayu juga yang jadi mangsa.

Melayu perlu Jebat

Melayu harus sedar! Melayu tidak boleh terus jadi Hang Tuah. Tidak boleh kita terjun ke dalam kolam najis hanya untuk membuktikan kesetiaan untuk menyelamatkan kuda raja. Melayu mesti bijak. Ada cara lain, teknik lain untuk menyelamatkan kuda raja. Melayu tidak harus setia membuta tuli.

Di mana Hang Jebat sekarang ini? Di mana penegak kebenaran yang berjuang untuk rakyat?

Seharusnya perhimpunan semalam benar-benar dijadikan pentas untuk mengembalikan maruah Melayu yang luhur.

Maruah penegak kebenaran. Maruah menentang penyelewengan dan kezaliman. Maruah menyatakan dengan jelas Melayu tidak boleh dibodoh, ditipu dan diperkotak-katikkan lagi. Samada oleh negara lain, bangsa lain waima politikus dan pemimpin dari bangsa Melayu sendiri.

Melayu harus celik! Melayu harus bangkit! Melayu tidak boleh lagi digula-gulakan hanya dengan sekadar RM100, sehelai T-shirt merah untuk berhimpun, berjalan berbatu-batu dan kemudian merusuh di kawasan perniagaan Cina sedangkan ada pemimpin Melayu sendiri yang salahguna RM2.6billion. Dengan RM100 setiap seorang, sudah pasti pemimpin yang korup itu boleh bawa 26 juta anak Melayu untuk berhimpun di ibukota, jika anak Melayu begitu murah harganya.

Tidak salah kita berhimpun. Tapi biar perhimpunan itu mempunyai objektif yang jelas. Kita boleh buat lebih baik dari itu jika hanya untuk menunjukkan kita bersatu dan mempamerkan maruah diri.

Benarlah apa yang bekas ahli Umno Langkawi, Puan Anina kata, "Tidak guna berkumpul dan bersorak di tepi jalan jika Melayu tetap mempertahankan pemimpin Melayu yang jahat. Orang Melayu akan menjadi kuat jika sekiranya pemimpin Melayu berwibawa, jujur, ikhlas dan bertanggungjawab".

Kita tidak tolak Umno

Benarlah peribahasa Inggeris mengatakan "The fish rots from the head", busuk ikan bermula dari kepalanya. Kita bukan tolak Umno. Kita bukan tolak pemimpin hanya kerana mereka pemimpin Umno. Tapi kita tolak pemimpin yang korup, pemimpin yang tidak amanah dan tidak bertanggungjawab yang dengan sewenang-wenangnya menyalah guna aparat kerajaan untuk mempertahankan kuasa, tidak kira mereka dari Umno atau parti-parti lain.

Melayu yang berhimpun semalam harus melihat dalam diri mereka sendiri. Kita yakin warganegara bukan Melayu telah dapat mesej sejelas-jelasnya yang Melayu itu sensitif dan Melayu itu tidak suka diperbodoh dan dikecil-kecilkan. Tapi janganlah maruah kita tercalar dan rosak jika kita berhimpun untuk mempertahankan pemimpin Melayu yang korup dan tidak amanah. Melayu juga akan berhimpun untuk menolak pemimpin apa sahaja yang korup dan zalim kepada rakyatnya tidak kira ianya Melayu, Cina, India, Iban atau Kadazan.

Melayu harus meminta supaya penyiasatan terhadap 1MDB dipercepatkan supaya kebenaran terserlah. Mengapa penyiasatan mengambil masa terlalu lama. Mengapa pasukan penyiasatan dikuburkan? Melayu yang berhimpun semalam harus menolak penjelasan mudah dan terdesak yang wang RM2.6 billion itu adalah derma. Melayu baju merah harus mendesak supaya penderma itu dinyatakan, berapa baki dari wang RM2.6billion dan dimana baki itu sekarang. Gelombang Melayu merah semalam harus bangkit meminta janji ditepati supaya Najib menyaman Wall Street Journal dan Al-Jazeerah kerana mereka telah merosakkan maruah Malaysia, jika laporan mereka salah.

Sayang…. Hang Jebat sudah tiada. Yang tinggal hanyalah cucu-cicit Hang Tuah yang setia membuta tuli. Yang lebih parah, lebih banyak cucu-cicit Hang Lick-U yang menjadi pemimpin-pemimpin orang Melayu sekarang ini.

Entah sampai bila?
-FMT

LIHAT VIDEO DI SINI
 


Najib: Jangan menghina pemimpin Melayu

Posted: 20 Sep 2015 05:01 PM PDT

Najib Tun Razak
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. - Foto Bernama


MUAR - Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan pihak tertentu supaya tidak mencarik-carik maruah dan menghina pemimpin Melayu kerana Umno mempunyai kekuatannya  iaitu roh perjuangan parti.

Menurutnya, dengan semangat tersebut akan menjadikan parti itu lebih kuat dan kukuh selain itu tidak boleh menerima perbuatan menghina kepimpinan Melayu.

"Sapa kata Himpunan Baju Merah rasis? Himpunan Baju Merah tidak rasis!. Kita (Umno) tak pernah main isu perkauman tetapi jangan hina maruah orang Melayu!.

"Nak buat perhimpunan itu boleh tetapi buatlah secara aman. Kita tidak suruh pun peniaga tutup kedai, sapa suruh?,"katanya ketika berucap Merasmikan Bangunan Umno Muar di Jalan Meriam di sini, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tindakan Najib puji baju merah muslihat alih isu]


Tiada ulasan: