Jumaat, 18 September 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


'Mereka tak faham erti mati'

Posted: 17 Sep 2015 09:49 PM PDT

'Mereka tak faham erti mati'
Kejadian kemalangan langgar lari yang meragut nyawa suami Kamariah.


DUNGUN - Empat beradik dari Kampung Sura Tengah, di sini, bukan sahaja bergelar anak yatim dalam sekelip mata tetapi hilang tempat bergantung apabila bapa mereka, Mohd Zaidi Abd Latif, 34, meninggal dunia selepas terlibat dalam nahas jalan raya, di Teluk Lipat di sini, 13 Ogos lalu.

Apa yang menyedihkan, kesemua anak Allahyarham iaitu Mohd Haikal Danial, 8, Nur Ain Balkishah, 6, Nur Haida Akmar, 4 dan Mohd Ashraf Hakimi, 2 masih tidak mengerti apa yang menimpa bapa mereka.

Isteri mangsa, Kamariah Ibrahim, 31, berkata, suaminya terlibat dalam kemalangan langgar lari membabitkan motosikal dan kereta serta mengalami kecederaan teruk.

Menurutnya, selepas seminggu dirawat di unit rawatan rapi Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), suaminya menghembuskan nafas terakhir dan kini dialah menggalas tanggungjawab besar untuk menjaga anak-anak.

Buat masa sekarang Kamariah dan anak menumpang di rumah ibunya yang juga ibu tunggal di kampung berkenaan.

"Sebelum ni kami tinggal di Johor, tapi pada Mac lalu Allahyarham suami beria-ia ajak pindah di sini untuk jaga emak saya dan dia buat macam-macam kerja kampung macam buruh kasar.

"Walaupun hidup sederhana, kami tiada masalah.. tapi sekarang apabila dia dah tiada saya buntu kerana tak tahu kepada siapa mahu bergantung," katanya yang merupakan suri rumah sepenuh masa.

Harap ihsan abang

Kamariah berkata, ibunya juga tiada punca pendapatan tetap dan kini mereka hanya mengharapkan ihsan abangnya yang bekerja sebagai tukang rumah.

"Buat masa sekarang saya tak boleh cari kerja memandangkan masih dalam edah, tapi selepas ini saya akan berusaha demi masa depan anak-anak.

"Dua anak saya dah bersekolah, tapi mereka masih tidak memahami erti kematian dan menganggap perkara ini seketika sahaja.

"Jika anak-anak bertanya tentang bapa mereka, saya akan bawa mereka ke kubur dan sampai di sana mereka akan menangis," katanya.

Mohon bantuan JKM

Kata ibu muda ini, dia kini dalam proses untuk membuat permohonan bagi mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM).

"Saya dah ambil borang dan akan hantar permohonan dalam masa terdekat apabila segala urusan dah selesai.

"Jika ada bantuan JKM sekurang-kurangnya dapatlah tampung keperluan anak," katanya.

Ibu Kamariah yang enggan dikenali berkata, dia sedih memikirkan nasib cucunya kerana mereka masih belum memahami erti kesusahan.

"Bangun pagi-pagi mereka terus minta makan, tapi kadang-kadang rezeki tiada.. mereka menangis.

"Melihat mereka menangis saya pun turut menangis kerana tak mampu tahan sebak. Apa yang diharapkan nasib mereka terbela walaupun dah tak ada bapa," katanya.

Sementara itu, Sinar Harian menghubungi JKM Dungun bagi merujuk kes berkenaan.

Pegawai JKM Dungun, Mohd Naufal Yusoff berkata, keluarga terbabit disaran menghantar permohonan supaya proses bantuan bersesuaian dapat disalurkan.

"Pihak JKM akan buat penelitian berdasarkan permohonan dihantar dan bantuan akan disalur ikut kesesuaian.

"Biasanya untuk kes sebegini, kita salurkan Bantuan Kanak-kanak (BKK) atau yang bersesuaian," katanya.


Kembalikan ISA: Beri peluang pada akta baharu

Posted: 17 Sep 2015 09:47 PM PDT

Kembalikan ISA: Beri peluang pada akta baharu
Dari kiri: Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak, Prof Madya Dr Mohd Fuad Othman dan Prof Madya Datuk Dr Samsu Adabi Mamat


SHAH ALAM - Rakyat negara ini perlu memberi peluang kepada akta-akta baharu yang menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dilaksanakan sebelum mendesak agar ISA dikembalikan dalam sistem perundangan.

Penganalisis politik berpendapat, sekiranya akta-akta baharu itu mencukupi untuk mengawal keselamatan awam, maka tiada keperluan mengembalikan ISA.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, mengembalikan ISA adalah satu langkah yang berpatah balik.

"Mereka (himpunan baju merah) berhak menyatakan pandangan mereka tapi saya fikir, kita sudah ada undang-undang baharu seperti Sosma (Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-Langkah Khas 2012) dan Akta Anti Keganasan (Pota) dan sebagainya.

"Jadi, saya fikir jika akta-akta yang baharu ini sudah mencukupi untuk mengawal keselamatan awam termasuk mengawal isu keganasan dan isu ekstremisme, maka mungkin kita tidak perlu kembalikan ISA," katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Semalam, himpunan baju merah mengisytiharkan 14 resolusi yang dibacakan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Tan Sri Annuar Musa antaranya menuntut agar ISA dikembalikan.

Mengulas lanjut, Prof Mohamed Mustafa berkata, kajian yang terperinci perlu dilaksanakan bagi menunjukkan bahawa undang-undang sedia ada ini cukup berkesan untuk mengawal ketenteraman negara.

"Penguatkuasaan undang-undang itu lebih penting daripada nak buat undang-undang baharu atau kembalikan yang lama. Pada saya, kalau kita nak kembalikan ISA itu, kita balik ke belakang, sedangkan kerajaan dah buat pindaan kepada undang-undang baharu di mana ia masih berupaya menjamin keselamatan negara.

" Jangan tergesa-gesa untuk kembalikan ISA kerana kita harus memberi peluang kepada undang-undang yang baharu ini untuk dilaksanakan. Yang penting, penguatkuasaan itu harus tegas. Jika tidak cukup, kita kaji semula aspek-aspek yang boleh diperkasakan," katanya.

Senada dengannya, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Fuad Othman berkata, meskipun ISA telah dimansuhkan, kerajaan telah menggantikannya dengan akta yang lebih jelas.

"Apa yang telah dilakukan kerajaan adalah menuju ke arah hadapan lagi. Walaupun ISA tiada, ada akta-akta lain yang asasnya boleh digunakan untuk mengawal keselamatan negara. Malah akta yang baharu ini lebih jelas berbanding ISA...kenapa kita ditangkap dan sebagainya.

"Kerajaan telah pun memperkenalkan akta-akta yang baharu yang saya kira boleh dan mampu menangani masalah-masalah keselamatan," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Samsu Adabi Mamat berkata mengembalikan ISA adalah tindakan tepat dalam menuju negara maju.

"ISA ini satu akta yang berbentuk preventif atau mencegah. Mencegah ini lebih baik daripada mengubati. Dari segi pembinaan negara, ISA ini amat penting. Cuma apabila kita menghadapi desakan pembangkang yang besar pada 2008 terhadap perundangan atas tiket kemanusiaan. Maka ia didesak supaya dihapuskan. Sedangkan ISA ini satu undang-undang yang amat baik untuk negara.

"Jadi, kesedaran untuk melahirkan semula ISA ini adalah tepat pada masanya kerana negara semakin bergerak ke negara maju, akan menghadapi cabaran yang semakin rumit. Jadi, akta ini diperlukan," katanya.

Menurutnya, idea mengembalikan ISA mungkin akan ditentang pembangkang namun beliau mengingatkan bahawa walaupun pembangkang penting dalam negara ini, namun rakyat lebih penting kerana mereka yang akan menerima akibat daripada sebarang situasi.

"ISA dulu pun dimansuhkan atas desakan pembangkang. Jadi, mereka akan rasa tercabar jika ia dikembalikan. Pembangkang itu penting dalam negara tapi masyarakat awam atau rakyat itu lebih penting kerana mereka adalah mewakili sebahagian besar rakyat dan merekalah yang akan mendapat kesan. Bukan pembangkang.

"Jadi, untuk kerajaan kaji semula amat penting dan mendapat maklum balas daripada rakyat. Memang wajar untuk dipertimbangkan oleh kerajaan untuk mengembalikan ISA," katanya.


Dua jemaah cedera kebakaran bilik hotel di Makkah

Posted: 17 Sep 2015 09:42 PM PDT

SINAR HARIAN



Dua jemaah cedera kebakaran bilik hotel di Makkah
Dua jemaah cedera kebakaran bilik hotel di Makkah


MAKKAH - ARAB SAUDI. Lebih 1,000 jemaah haji telah dipindahkan dari sebuah hotel di Makkah selepas kebakaran berlaku di salah sebuah daripada bilik hotel berkenaan, menurut pihak berkuasa pertahanan awam Arab Saudi.

Kebakaran bermula di tingkat 16 sebuah bangunan 20 tingkat di kawasan kejiranan Aziziya di sini semalam.

Memetik Al Jazeera, sekurang-kurangnya dua jemaah cedera dalam kejadian itu.

Pihak berkuasa bagaimanapun tidak mendedahkan hotel tersebut.

Kemalangan itu berlaku beberapa hari selepas kren tumbang di Jumaat lepas, membunuh sekurang-kurangnya 111 jemaah dan mencederakan lebih daripada 390.


Hadi: Tiada tahaluf siyasi dengan pengkhianat

Posted: 17 Sep 2015 09:39 PM PDT

MALAYSIAKINI
 
 


Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu tidak akan menjalinkan tahaluf siyasi (kerjasama politik) dengan pihak yang melakukan khianat - dipercayai merujuk kepada Parti Amanah Negara (AMANAH).

Malah Abdul Hadi juga menyifatkan perbuatan mengkhianati perjuangan PAS itu "lebih teruk" daripada parti musuh.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, mengikut "perjuangan Islam" PAS tidak boleh bekerjasama dengan mana-mana pihak yang memiliki rekod mengkhianati perjuangan.

"Tak boleh sama sekali," katanya dalam satu klip video yang dimuat naik di akaun Facebook PAS semalam.

PAS berdepan penghijrahan sebahagian daripada pemimpin dan ahlinya ekoran 'pembersihan' kumpulan progresif dari parti itu dalam muktamar mereka Jun lalu.

Bermula dengan Gerakan Harapan Baru, mereka - diketuai bekas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu - kemudian menubuhkan AMANAH.

Ia dilancarkan secara rasmi pada 16 September lalu.

Kata Abdul Hadi, orang yang mengkhianati perjuangan parti itu hanya berdepan dua pilihan - "balik" (kembali kepada PAS) atau "dihapuskan".

Namun tidak dapat dipastikan maksud sebenar ungkapan "dihapuskan" itu.

Rakaman video tersebut merupakan sedutan sesi soal jawab antara Abdul Hadi dengan peserta program Mukhayyam Tarbawi PAS kawasan Machang di Rusila, Terengganu pada 3 September lalu.


Baju merah ganggu forum BERSIH di Bayan Baru

Posted: 17 Sep 2015 09:33 PM PDT



Susan Loone


 


Forum BERSIH di Bayan Baru malam tadi terganggu selama kira-kira 30 minit ekoran kemunculan sekumpulan berbaju merah.

Sekumpulan kira-kira 50 orang, yang diketuai oleh ketua penerangan Umno Bayan Baru, Ridzwan Bakar dan ketua Pemuda Umno negeri, Rafizal Abdul Rahim, masuk ke dalam dewan lebih satu jam selepas forum itu bermula.

Forum itu bermula pada pukul 8 malam di Dewan MBPP, Pasar Bayan Baru di Pulau Pinang.

Aktivis pelajar Adam Adli berhenti bercakap apabila kumpulan baju merah itu berjalan masuk pada kira-kira pukul 9.30 malam.

Moderator forum itu, Ahli Parlimen PKR Bayan Baru Sim Tze Tzin, menyambut kehadiran kumpulan itu dengan berkata mereka dialu-alukan dan "kita boleh berkongsi pandangan kita".

Selepas Adam selesai bercakap, Sim menjemput Ridzwan untuk berucap di forum itu.

Pemimpin Umno itu mengambil mikrofon dan menimbulkan tentang masalah setinggan di kawasan Sim.
Dalam ucapannya, Ridzwan memberi jaminan kepada hadirin bahawa kumpulan itu tidak berada di situ untuk menimbulkan kekecohan tetapi untuk mendengar ucapan penceramah.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran kepada peserta BERSIH supaya jangan lagi memijak gambar pemimpin negara seperti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dan Presiden PAS, Datil Seri Abdul Hadi Awang.

"Tiada siapa yang memijak gambar pemimpin anda semasa perhimpunan kami, jadi jangan lakukannya kepada pemimpin kami," tegasnya disambut laungan ' Allahuakbar' dari penyokongnya.

BERSIH telah menafikan ia terlibat dalam kejadian itu.

Selepas ucapan Ridzwan, kumpulan baju merah kemudiannya mengelilingi Adam (foto) dan menuntut untuk tahu mengapa dia menghina Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak semasa satu perhimpunan di Kuala Lumpur beberapa tahun yang lalu.

Kumpulan itu juga mensasarkan jeritan mereka terhadap pembantu Sim dan seorang lagi pemimpin PKR kerana didakwa "memfitnah" perhimpunan baju merah dalam Facebook.

Anggota polis yang hadir di ceramah tersebut, campur tangan apabila keadaan menjadi tegang.
Sebelum kumpulan baju merah itu beredar, Sim menjemput Ridzwan dan Rafizal untuk bergambar bersamanya.

Forum itu disambung semula selepas kumpulan baju merah itu beredar dari tempat tersebut.
Penceramah di forum itu termasuk pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah, pengurus BERSIH Mandeep Singh dan Fariz Musa dari Jingga 13.

Bercakap kepada pemberita selepas forum itu, Sim berkata beliau tidak akan membuat laporan polis kerana kumpulan itu tidak ganas.

Ditanya sama ada beliau berasa terancam dengan kejadian itu, Sim berkata "tidak", sambil menambah beliau akan terus berdialog dengan mereka.

Maria berkata, walaupun baju merah terus menimbulkan masalah kepada BERSIH atau membuat kekecohan semasa aktivitinya, acara itu mesti diteruskan.

"Kita mesti terus untuk berdialog dengan mereka, agar mereka memahami perjuangan kita," katanya.

Najib mahu minta maaf isu 'Cina Babi'?

Posted: 17 Sep 2015 09:31 PM PDT

Salhan K Ahmad 





Dalam perhimpunan BERSIH 3 pada April 2012 ada kisah wartawan dihambat, diterajang dan dihentam oleh polis.

Demi menjaga imejnya, Najib mencemar duli ke hospital untuk melawat wartawan yang terlibat.
Wartawan berkenaan menceritakan bagaimana perdana menteri tunduk dan membisikkan permohonan maaf ke telinganya.

Selain Najib, ketua polis negara waktu itu, Tan Sri Ismail Omar dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga menunjukkan muka di hospital.

Ramai yang cedera akibat kekerasan polis menyuraikan peserta perhimpunan. Seramai 63 orang dibawa ke hospital untuk menerima rawatan selepas perhimpunan 28 April itu.

Lain pula dengan perhimpunan pada hari Rabu.

Menurut pemimpin Umno, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak amat gembira dengan perhimpunan kumpulan baju merah yang dianggarkan berjumlah sekitar 45,000 orang semalam.

Hanya tiga orang cedera fizikal, termasuk dua orang anggota polis.

Puncanya, kumpulan baju merah itu mengasak untuk masuk ke kawasan Jalan Petaling dan melakukan provokasi.

Tapi itu hanyalah luka yang nampak di mata. Dalam perhimpunan kali ini, cederanya bukan hanya di batang tubuh para peserta, petugas keselamatan atau orang yang lalu lalang.

Maka, mengapakah sakan benar Najib bergembira?

Dari pandangan kasar, tidak wajar bagi seorang perdana menteri Malaysia berasa gembira dengan perhimpunan untuk menunjukkan kekuasaan kaum seperti itu.

Apakah Najib pura-pura tidak tahu mengenai cacian dan ungkapan rasis dalam slogan yang dilaungkan oleh para peserta perhimpunan baju merah?

Bisikan apa yang boleh ditawarkannya kepada para wartawan yang digelar "Cina Babi" oleh peserta perhimpunan itu?

Najib sepatutnya sudah boleh membaca reaksi masyarakat bukan Melayu apabila timbul ura-ura untuk menjalankan perhimpunan yang berpotensi mengeruhkan hubungan kaum itu.

Presiden Umno itu sepatutnya awal-awal lagi sudah dapat menjelmakan imej dan tujuan sebenar perhimpunan tersebut, memandangkan beliau merestui perhimpunan berkenaan.

Beliau sepatutnya sejak awal-awal lagi mengeluarkan kenyataan jelas dan amaran keras agar para peserta tidak membawa slogan rasis.

Najib sepatutnya memberi jaminan kepada masyarakat bukan Melayu bahawa perhimpunan baju merah tidak akan melukakan mereka.

Tetapi nyatalah perkara itu tidak berlaku. Najib yang gemar menyebut istilah "wasatiyyah" itu seterusnya menggalakkan anggota Umno untuk turut serta berdemo dengan baju merah.

Sekarang, perdana menteri itu hanya mampu melihat betapa sentimen dari masyarakat Cina ini yang meluat dengan perhimpunan tersebut semakin berakar.

Namun apakan daya, nasi sudah menjadi bubur. Najib mungkin sudah boleh mengira siapakah golongan Cina atau bukan Melayu yang masih boleh menyokongnya.

Luka di hati golongan ini mungkin tidak ada sebarang tanda-tanda. Mungkin ia tidak akan diungkap dengan kata-kata, tetapi hanya dengan tanda di kertas undi dalam pilihan raya umum akan datang.
Siapakah lagi yang boleh menyelamatkan Najib?


SALHAN K AHMAD anggota sidang redaksi Malaysiakini.

Apa hukum perjuangan kaum?

Posted: 17 Sep 2015 09:28 PM PDT

Dr Mohd Asri Zainul Abidin


 


Allah ialah tuhan untuk semua manusia tanpa mengira bangsa. Islam adalah agama Allah yang diutuskan agar dianuti oleh setiap bangsa tanpa sebarang diskriminasi. Dalam masa yang sama Islam akui kewujudan manusia berpuak dan berbangsa. Allah Tuhan Yang Maha Pencipta telah menciptakan manusia dalam keadaan demikian dengan hikmah yang begitu banyak. Di sini saya sebut beberapa perkara untuk memahami isu ini;

Tiada siapa yang mampu menentukan bangsanya sebelum dia lahir sama ada untuk dia menjadi Arab, atau Melayu, atau Inggeris atau India atau selain itu. Ia adalah ketentuan Allah, bukan atas usaha atau kejayaan seseorang. Maka hakikat ini mestilah difahami supaya kita tidak menyalahkan atau menghina seseorang atas sebab bangsa atau keturunannya kerana itu bukan pilihan atau kesalahannya.

Sebaliknya kita menilai seseorang berdasarkan perbuatan dan akhlaknya. Inilah sikap yang adil. Dosa keturunan tidak ditanggung oleh anak cucu. Dosa seseorang tidak boleh dibebankan atas orang lain yang sebangsa dengannya yang tidak terlibat dengan kesalahan itu. Allah menjelaskan prinsip ini dalam al-Quran (maksudnya):

"Dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain. dan tiadalah Kami (Allah) mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah). (Surah al-Isra, ayat 15).

Maka, perjuangan apapun yang mahu ditegakkan, hendaklah menilai setiap insan berdasarkan kepada akhlaknya, bukan titih keturunannya. Keadilan dalam Islam buta warna bangsa dan agama sekalipun. Keadilan untuk semua. Sabda Nabi SAW:

"Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang Arab ke atas 'ajam (yang bukan arab), atau 'ajam ke atas Arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan" (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Jika hal ini tidak diteliti, perkauman akan berlaku. Akan ada pihak yang teraniaya hanya kerana keturunannya walaupun mungkin dia tidak bersalah. Diskriminasi seperti ini pernah berlaku di Amerika, sehingga Martin Luther King. Dalam pidatonya yang terkenal 'I have a dream' beliau menyebut:

"I have a dream that my four little children one day live in a nation where they will not be judged by the colour of their skin but by the content of their character".

Tujuan Allah menciptakan berpuak dan berbangsa agar saling kenal mengenali antara satu sama lain. Firman Allah (maksudnya):

"Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya. (Surah al-Hujurat: 13).

Lihat dalam ayat ini, Allah memanggil "Wahai manusia!". Panggilan yang sangat adil merangkumi setiap bangsa dan puak. Bukan panggil perkauman atau fanatik keturunan. Kata Sayyid Qutb dalam mentafsirkan ayat ini:

"Penciptaan manusia berbagai bangsa dan suku puak bukan untuk berperang dan bergaduh, tetapi untuk berkenalan dan bermuwafakat. Perbezaan bahasa, warna kulit, tabiat, perangai, kelebihan dan kemampuan adalah kepelbagaian yang bukan bertujuan untuk perbalahan dan perkelahian.

Sebaliknya, untuk bantu membantu dalam menunai tanggungjawab dan keperluan. Tiada bagi warna kulit, jenis bangsa, bahasa, negara segalanya itu nilai dalam timbangan Allah. Sebaliknya, di sana hanya satu timbangan yang menentukan nilai dan kelebihan manusia, iaitu 'Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu'. (Fi Zilal al-Quran 6/3348. Kaherah: Dar al-Syuruq).

Di samping itu, kita hendaklah tahu bahawa setiap mukmin itu bersaudara tanpa mengira bangsa dan puak. Hak-hak persaudaraan Islam telah ditentukan oleh Allah dan rasul-Nya. Nilai persaudaraan ini hendaklah sentiasa kita pegang. Perbezaan keturunan dan bangsa tidak boleh menjejaskan hal ini. Inilah asas perpaduan yang terpenting. Inilah perpaduan yang menyelamatkan kita dunia dan akhirat. Firman Allah (maksudnya):

"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah (Islam), dan janganlah kamu berpecah-belah; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu dahulunya bermusuh-musuhan, lalu Allah menyatukan di antara jantung hati kamu, maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu bersaudara (persaudaraan Islam). Dan kamu dahulunya berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu darinya (disebabkan nikmat Islam). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya. (Surah Ali 'Imran ayat 103).

Setelah kita faham dan beriman dengan asas-asas yang disebutkan di atas. Bertindak berteraskan asas ini, maka tidaklah menjadi kesalahan jika kita dalam masa yang sama berusaha memajukan bangsa atau keturunan kita dengan syarat kita tidak menzalimi dan menghina kaum yang lain.

Dalam Islam pun, harta pusaka juga diwarisi oleh kaum keluarga. Kita juga disuruh menghubungkan silaturrahim sesama keluarga dan al-Quran juga menyuruh kita membantu keluarga di sudut harta. Firman Allah (maksudnya):

"Maka (sebagai tanda syukur) berikanlah kepada kaum kerabatmu, miskin dan orang musafir akan haknya masing-masing; pemberian yang demikian adalah baik bagi orang-orang yang bertujuan memperoleh keredhaan Allah dan mereka itulah orang-orang yang berjaya. (Surah al-Rum, ayat 37)
Nabi SAW juga memuji sikap tolong menolong dalam memajukan atau membantu kaum atau puak sendiri, dengan syarat tidak menzalimi puak yang lain. Sabda Nabi SAW:

"Sesungguhnya kaum al-`Asy`ariyin apabila habis bekalan mereka dalam peperangan, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ertinya, walaupun Islam menentang asabiyyah namun Islam tidak menentang usaha membantu dan memartabatkan kaum sendiri, jika ada keperluan ke arah itu dan tidak membawa kepada pemusuhan antara puak dan kaum.

Adapun asabiyyah sebenarnya adalah sikap berpuak yang membawa kepada membelakangkan kebenaran dan kezaliman kepada kepada pihak lain. Sikap fanati puak itu mungkin menjelma dalam bentuk bangsa, ataupun parti politik, atau mazhab, atau kumpulan atau apa sahaja yang fanatik dan menolak kebenaran orang lain. Sabda Nabi SAW:

"Sesiapa yang berperang di bawah rayah 'immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada 'asabiyyah atau marah kerana 'asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah". (Riwayat Muslim).

Rayah 'immiyyah (bendera kebutaan) adalah kiasan kepada suatu puak yang berhimpun atas suatu perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil, namun membela atas dasar ketaksuban.

Ertinya, jika ada ciri demikian maka itu 'asabiyyah yang dilarang; sama ada perjuangan parti atau perjuangan kaum. Maka, bukan sahaja perjuangan politik bangsa boleh menjadi asabiyyah, perjuangan atas nama Islam jika fanatik dan menolak kebenaran hanya kerana keputusan parti juga boleh dinamakan asabiyyah.

Usaha memartabatkan kaum bukan prinsip perjuangan tetapi keperluan yang dilakukan apabila keadaan mendesak seperti yang berlaku kepada kabilah al-Asy'ariyyin dalam hadis di atas. Sebab itu al-Quran bukan sahaja menyebut membantu kaum kerabat yang susah, tetapi juga membantu golongan miskin, orang musafir yang kesusahan tanpa dikaitkan dengan kaum kerabat atau bangsa.

Kesimpulannya; prinsip Islam mengatasi segalanya termasuk isu bangsa. Perjuangan bangsa jika bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam yang disebutkan tadi adalah diharamkan. Namun, usaha memartabatkan bangsa jika tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam seperti prinsip persaudaraan Islam, keadilan untuk semua dan tidak menghina bangsa lain, maka ia diizinkan, bahkan terpuji.


DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN mufti Perlis. Tulisan ini dimuatkan kali pertama di Facebook beliau, sebagai menjawab soalan seorang pembaca bernama Saifuddin dari Johor. Saifuddin bertanya tentang perjuangan memartabatkan bangsa.


16 Sept berjaya? Mungkin tidak, kata penganalisis

Posted: 17 Sep 2015 09:22 PM PDT

Yap Jia Hee


 


Ketika tekanan kepada Najib Razak untuk berundur semakin hebat, dirancang sebuah himpunan pada Hari Malaysia untuk menunjukkan kekuatan sokongan kepada perdana menteri .

Himpunan ini pada asalnya melaungkan tema mempertahan maruah Melayu, namun setelah mendapat reaksi negatif dan demi mengelakkan sebarang perselisihan, ia ditukar kepada Himpunan Rakyat Bersatu pada saat-saat akhir.

Malah semua kaum diundang hadir.

Pada pagi himpunan semuanya berjalan lancar. Namun keadaan bertukar pada sebelah petang apabila berlaku ketegangan antara peserta baju merah dengan polis di pintu gerbang Jalan Petaling.

Di situ, terdapat di kalangan mereka memaki wartawan Cina sebagai "Cina gila babi".

Penganjur sebelum ini menjamin telah memberi jaminan himpunan ini tidak akan dicemari unsur perkauman. Tetapi akhirnya kita lihat munculnya kain rentang dengan tulisan "Hapuskan SJKC" dan "Ini Tanah Melayu".

Tak wakili majoriti Melayu

Bagi bekas pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (Umcedel) Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman beliau tidak nampak himpunan baju merah ini memberi apa-apa manfaat kepada Najib.

"Saya tak nampak himpunan ini memberi 'nilai tambah' kepada Najib mahupun membantu memperkukuh kedudukan Najib," katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi.

Katanya, jumlah peserta yang hadir himpunan pada hari Rabu itu juga langsung tidak menggambarkan Najib mendapat sokongan besar rakyat.

"Saya tidak nampak himpunan ini berjaya menyatukan Melayu, saya tidak nampak kepentingannya.
"Sambutan himpunan ini tidak besar, kalau tengok jumlah peserta yang hadir, Najib bukannya mendapat sokongan penuh daripada Melayu," kata Redzuan.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Maszlee Malik pula berpendapat jumlah peserta Melayu yang hadir hanyalah peratus yang amat kecil jika dibandingkan dengan populasi penduduk Melayu di Malaysia.

Katanya, ini menunjukkan majoriti Melayu tidak termakan dengan unsur perkauman yang dilaung-laungkan himpunan ini.

"Pemimpin NGO-NGO Melayu tempatan yang berpengaruh dan prominen langsung tidak hadir, jelasnya himpunan ini tidak diiktiraf oleh kebanyakan Melayu dalam negara ini," katanya.

Matlamat tak capai

Penganalisis politik Phoon Wing Keong pula berkata kedua-dua matlamat himpunan pada Hari Malaysia sebagai reaksi terhadap BERSIH 4 dan menyokong kepimpinan Najib tidak tercapai.

"Tidak kira dari segi jumlah peserta yang hadir, emosi peserta atau perjalanan acara, himpunan 16 September agak gagal jika dibandingkan dengan himpunan BERSIH.

"Kehadiran tidak memuaskan, mereka yang hadir tidak cukup mewakili masyarakat secara keseluruhan, juga tidak dapat menggambarkan masyarakat ini masih ingin Najib kekal jawatan.

"Maka himpunan ini bukannya satu demonstrasi, sebaliknya ia mendedahkan kelemahan," kata Phoon.
Sedikit kesan negatif kepada Najib

Bagaimanapun, dengan berlaku insiden Jalan Petaling, penganalisis politik Wong Chin Huat pula berpendapat himpunan itu sedikit sebanyak mendatangkan kesan negatif kepada Najib.

"Saya rasa kejadian di Petaling Street tidak baik untuk Najib, namun tidak pula mendatangkan kerosakan yang besar kepada Najib," kata Wong.

Wong berkata Umno sendiri jelas rusuhan, jika berlaku, hanya akan mempercepat kejatuhan Najib.
Justeru, katanya, mereka menggunakan slogan "sokong kerajaan" dan menggerakkan sebanyak mungkin peserta untuk hadir.

Namun, katanya, kehadiran masih teruk, malah dicemari pula dengan insiden yang memaksa polis menyembur meriam air.

Pergolakan Umno ke jalanan

Sementara itu, kumpulan berbeza pandangan dalam Umno pula dilihat mempunyai pendirian berbeza terhadap himpunan itu, contohnya timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang sebelum ini terpaling kontroversi kenyataan "Melayu dahulu" kali ini nampaknya tidak bersetuju dengan baju merah walaupun dilaung-laungkan slogan mempertahankan maruah Melayu.

Melihat keadaan itu, Phoon berkata himpunan kelmarin sebenarnya penerusan konflik dalaman Umno.
Ketika pemimpin kanan seperti timbalan menteri menghadirinya, tokoh veteran Umno Tun Mahathir Mohamad pula memperkecilkannya secara terbuka.

"Apabila konflik dalaman Umno diteruskan ke jalanan, bayangkanlah betapa sengitnya pertarungan dalaman mereka.

"Mereka yang hadir dalam himpunan bukannya pemimpin berpengaruh atau berwibawa, malah kebanyakan peserta dimobilasi, maka ini tidak dapat menunjukkan sokongan konsisten semua puak dalam Umno terhadap Najib," jelas Phoon.

Redzuan pula melihat himpunan itu sebagai platform untuk Ketua Umno Sungai Besar Jamal Yunos menonjolkan diri.

"Saya lihat himpunan ini lebih kepada promosi individu tertentu," sinisnya.

Umno pun pandai demo

Sementara itu, Wong berpendapat himpunan itu menunjukkan Umno kini menerima kaedah jalan raya untuk menunjukkan perasaan mereka. Semuanya berlaku selepas Mahathir turun dalam perhimpunan BERSIH 4 hujung bulan lalu bagi mendesak peletakan jawatan Najib.

Namun katanya, Umno masih tidak tahu mengawal himpunan sehingga terpaksa ditamatkan dengan pergelutan.

"Hujahan seperti 'Malaysia milik Melayu' memang satu penghinaan pada Hari Malaysia, namun dalam satu masyarakat demokrasi yang matang harusnya menerima semua pendapat termasuklah hujah-hujah perkauman.

"Bagaimanapun, tidak boleh ada unsur keganasan atau kekerasan. Maka jika Umno dapat melaungkan 'ketuanan Melayu' dalam keadaan tidak mengamuk, ini semestinya satu pencapaian yang besar dalam politik Malaysia sejak tahun 1969," kata Wong.

Sementara Phoon pula berpendapat tidak harusnya ada unsur perkauman dalam apa-apa himpunan, seperti tidak boleh ada keganasan dan kekerasan.

"Apa yang kita tuntut adalah perhimpunan aman, maka tidak patut ada keganasan. Selain itu, himpunan kamu tidak boleh menyebarkan unsur rasis atau kebencian antara kaum," jelas Phoon.

Tiada ulasan: