Khamis, 17 September 2015

"BERANI KERANA BENAR!"

BERANI KERANA BENAR

"BERANI KERANA BENAR!"


Aurat dipelihara, hidup sejahtera

Posted: 16 Sep 2015 06:16 PM PDT

WANITA merupakan insan istimewa ciptaan Allah. Kehadiran mereka menjadi pelengkap dan penyeri hidup seorang lelaki. Nikmat dikurniakan ibu yang penyayang, isteri peneman hidup dan anak penghibur hati perlulah disyukuri.

Sejajar dengan amanah yang perlu digalas sebagai ketua keluarga, kewajipan tentang penjagaan aurat wanita perlu diterapkan dengan berhikmah. Ini merupakan jaminan untuk mengecapi hidup sejahtera di dunia hingga ke akhirat.

Firman Allah dalam Surah al-Tahrim, ayat 6 :
"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan-bahan bakarannya manusia dan batu (berhala), neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya), mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan."
Namun harus diingatkan juga bahawa kewajipan menutup aurat bagi lelaki juga telah ditetapkan oleh syariat Islam. Sepertimana isteri dan anak-anak perempuan, jangan pula diabaikan juga anak-anak dan saudara-saudara lelaki kita.

Sanggupkah kita melihat isteri dan anak-anak diseksa dan diazab kerana tidak menutup aurat?
Marilah kita sama-sama menghayati bagaimana yang dikatakan aurat dijaga, hidup sejahtera.
Moga-moga ia boleh bermanfaat dan dikongsi bersama ahli keluarga.

TUTUP AURAT 
PERINTAH ALLAH 

Menutup aurat adalah perintah Allah, bukannya satu fesyen dan trend yang menjadi ikutan.

Secara jelas Allah menyatakan dalam Surah An-Nur, ayat 31, bermaksud : "Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji daripada orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya."

Menutup aurat merupakan salah satu manifestasi iman bagi perempuan dan lelaki. Mana mungkin kita mengaku beriman dengan lidah, membenarkan dengan hati, tetapi kita gagal menterjemahkan melalui perbuatan. Menutup aurat bukan kerana cantik, untuk nampak baik atau untuk menutup kekurangan diri tetapi menutup aurat biarlah berprinsip dan digarap dengan kefahaman tauhid yang jelas.

Kesempurnaan dalam menutup aurat 

Mari kita fikirkan, apa akan terjadi pada hidangan tanpa ditutup? Sudah pasti hidangan ini dihinggapi lalat, lantas menghilangkan selera kepada penggemarnya. Islam secara jelas menggariskan ciri-ciri menutup aurat melalui Surah al-Ahzab , ayat 59, maksudnya: "Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenali (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Kesempurnaan aurat meliputi tudung yang tidak jarang dan labuh menutup dada. Manakala pakaian pula, mestilah labuh, kain yang tebal dan tidak ketat sehingga menampakkan susuk badan. Realiti masyarakat hari ini, sebahagian menyangka dengan bertudung mereka telah menutup aurat. Sedangkan, ciri-cirinya masih belum ditepati.

Natijahnya, gambaran tentang bertudung sudah semakin tercemar. Kita ghairah mengikut budaya masyarakat lain. Hasilnya lahirlah busana Muslimah yang pada hakikatnya tidak menepati syariat. Mari kita fikirkan sejenak, adakah isteri dan anak-anak kita telah menutup aurat dengan sempurna. Atau sekadar mengikut orang yang mereka suka? Perkara ini yang perlu dijelaskan sebagai tanda kasihkan mereka.

PENDIDIKAN SEJAK KECIL 

Mulakan kefahaman ini dengan menekankan sifat malu sebagai amalan. Perasaan malu adalah asas kepada akhlak yang mulia, termasuklah keinginan menutup aurat. Jika tidak, masakan Rasulullah S.A.W secara sinis menjelaskan melalui hadis yang diriwayatkan oleh Imam

al-Bukhari daripada Uqbah bin Amru RA maksudnya: "Antara perkara yang masih diamalkan umat manusia daripada ajaran Nabi terdahulu ialah 'Jika engkau tidak malu, buatlah apa saja yang kamu mahu."

Justeru, teraplah budaya pakaian yang menutup aurat sejak kecil. Berilah pujian dan galakan dengan membeli pakaian yang cantik dan menepati syariat. Bukannya membeli pakaian yang mendedahkan aurat dan mencolok mata.

Didiklah mengikut tahap dan peringkat. Semailah minat dan rasa cinta hidup berpandukan syariat sejak awal, pasti kesannya akan berpanjangan. Moga-moga tindakan hari ini menyelamatkan kita pada masa akan datang.

KESAN TIDAK 
MENUTUP AURAT

Melihat masalah sosial hari ini, menimbulkan kegusaran di hati. Apabila wanita gagal menutup aurat dengan sempurna, pintu maksiat akan terbuka. Eksploitasi wanita semakin bermaharajalela.

Masih ingatkah mengenai pengajaran tentang aurat dalam Peristiwa Israk Mikraj? Bayangkan rambut yang menjadi kebanggaan, diikat dan digantung sehingga menggelegak otaknya. Sanggupkah kita melihat anak dan isteri kita diazab sedemikian rupa? Justeru, apa lagi? Buktikan kasih sayang pada golongan wanita ini. Tarbiahlah mereka agar perintah Allah ditepati.

KESIMPULAN 

Menutup aurat merupakan kewajipan setiap Muslim. Ia perlu dilaksanakan berteraskan ketakwaan kepada Allah.

Didiklah anak-anak dan isteri menutup aurat dengan sempurna selaras tuntutan syariat untuk menutup ruang dan jalan maksiat dalam kalangan masyarakat.

Pendidikan tentang kepentingan menutup aurat bagi lelaki dan perempuan perlu bermula sejak kecil. Pengabaian terhadap perkara penting ini akan memberi kesan buruk kepada gaya hidup bersyariat orang yang kita sayang. - Sumber Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Tiada ulasan: