Sabtu, 22 Ogos 2015

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI

WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI


Wahai Najib, bangsa Melayu bukan bangsa bangsat

Posted: 22 Aug 2015 03:30 PM PDT



image
Saya merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak ketika merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Gerik di Dewan Serbaguna Gerik pada 16 Ogos 2015, sebagaimana dilaporkan oleh Malaysiakini:
"Tiada UMNO berkuasa terbangsatlah bangsa Melayu di bumi ini. Saya sebagai presiden akan lakukan supaya UMNO dan Barisan Nasional terus berkuasa di bumi bertuah ini."
Sebelum membuat kenyataan yang begitu bebal, Najib seharusnya cermin diri dahulu. Apakah bukan Najib sendiri yang memalukan bangsa dan negara dengan menjadikan Malaysia sebagai bahan jenaka antarabangsa gara-gara skandal 1MDB dan sumbangan "derma" RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya sendiri?
Najib menghina sejarah ketamadunan Melayu
Pun begitu, kenyataan Najib juga sekaligus menidakkan kemuliaan bangsa Melayu Nusantara yang sudah lama bertamadun. Tidakkah beliau sedar bahawa UMNO yang lahir pada tahun 1946 hanya berusia kurang daripada 70 tahun, sedangkan tamadun Melayu di rantau ini telah wujud sejak ratusan, kalaupun bukan ribuan tahun? Apakah selama-lama ini Melayu menjadi bangsa bangsat kerana tidak ada UMNO?
Apakah segala ketamadunan termasuk seni bina bangunan, teknologi pelayaran, kesusasteraan, kebudayaan dan sebagainya yang dibina berkurun lama sebelum lahirnya UMNO ini dilakukan oleh satu bangsa yang bangsat?
Bagaimana pula dengan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dan rakyat Melayu di Sarawak, apabila mereka lantang menolak kehadiran UMNO di negeri itu? Adakah mereka juga Melayu bangsat?
UMNO yang sebenarnya merugikan Melayu
Walaupun banyak mana sumbangan dan jasa UMNO pada suatu ketika dahulu, ia tidak dapat dibandingkan dengan kerosakan yang mereka telah timpakan kepada orang Melayu, khususnya sejak dua, tiga dekad yang lalu. UMNO yang ditubuhkan sebagai gerakan massa yang berjuang untuk kemerdekaan kini sudah menjadi parti yang sinonim dengan rasuah dan kronisme.
Sudah pasti, rakyat Malaysia tidak akan melupakan bagaimana UMNO, atas nama kepentingan Melayu, telah menyebabkan kerugian berpuluh bilion ringgit melalui penyelewengan dan pengkhianatan seperti yang berlaku dalam skandal Bank Bumiputera pada awal tahun 1980an, skandal Forex Bank Negara pada awal tahun 1990an, sehingga ke skandal terbesar dalam sejarah Malaysia, iaitu syarikat 1MDB yang sudah melenyapkan puluhan bilion ringgit.
Malah, apa-apa jasa UMNO yang tinggal jugalah yang kini sedang dimusnahkan oleh kepimpinan Najib. Misalnya, Felda yang digerakkan oleh ayahandanya sendiri, Tun Abdul Razak, sebagai inisiatif reformasi tanah yang berjaya menempatkan semula ratusan ribu orang Melayu luar bandar akhirnya kini goyah apabila harga saham Felda Global Ventures yang digembar-gemburkan sebagai penyenaraian kedua terbesar dunia selepas Facebook sudah merudum ke tahap RM1.52 berbanding harga penyenaraiannya, iaitu RM4.55. Ini bersamaan dengan kemerosotan sebanyak 67 peratus.
Demikian juga dengan Lembaga Tabung Haji yang ditubuhkan untuk memudahcarakan pengurusan ibadah haji orang Islam di negara ini. Kini, dana pelaburan pak cik dan opah kita untuk naik haji pun tidak selamat di tangan Najib apabila secara senyap-senyap digunakan untuk membantu menyelamatkan 1MDB.
Begitu juga dengan dakwaan media antarabangsa baru-baru ini terhadap penyelewengan dalam pembelian aset oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) di luar negara. Siapakah lagi yang bertanggungjawab, jika bukan UMNO yang secara langsung mengawal pengurusan tertinggi Mara dengan enam daripada 11 orang Ahli Majlis MARA?
Jelas, retorik UMNO untuk membela orang Melayu hanya omong-omong kosong, apabila merekalah sebenarnya yang merugikan bangsa dan negara.
Siapakah sebenarnya yang bangsat?
Najib seharusnya berdepan dengan hakikat bahawa kerajaan beliau telah gagal dalam tadbir urus negara kita, dengan nilai matawang ringgit yang kian menjunam dan krisis politik yang sedang melanda UMNO ekoran pemecatan beberapa orang menteri kanan termasuk Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga merupakan timbalan presiden UMNO.
Pada masa yang sama, birokrat Melayu yang selama ini terhormat dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab mereka juga kini menjadi mangsa kuasa kuku besi Eksekutif, apabila pegawai-pegawai kanan SPRM diugut dan digertak melalui siasatan dan pemindahan hanya kerana mereka menyiasat dan membongkarkan penyelewengan 1MDB dan "pendermaan" luar biasa sebanyak RM2.6 billion ke dalam akaun peribadi Najib.
Justeru, saya amat pasti orang Melayu bukan bangsat tanpa UMNO, tetapi sebenarnya UMNO yang bangsat kerana mengkhianati orang Melayu dan negara Malaysia sejak sekian lama ini.- Roketkini.com

*Penulis adalah Ahli Parlimen Bukit Bendera merangkap Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan

Bersih, Cekap dan Amanah: Slogan ciptaan BN, kini dibenci BN

Posted: 22 Aug 2015 03:23 PM PDT


lim guan eng 2
KUALA LUMPUR, 23 OGOS:  Lebih 30 tahun lalu, kerajaan persekutuan Barisan Nasional memperkenalkan slogan. "Bersih, Cekap dan Amanah". Hari ini BN menganggap slogan itu bertentangan dengan kepentingan negara.
Kontroversi itu bermula apabila Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang, sebagai agensi Persekutuan, melarang sekolah-sekolah di negeri itu daripada menyertai sambutan Merdeka anjuran kerajaan negeri Pulau Pinang pada 31 Ogos ini.
Arahan tentang larangan itu dikeluarkan kerana tema sambutan Merdeka di Pulau Pinang pada tahun ini "Bersih, Cekap dan Amanah" dianggap sensitif kerana mempunyai perkataan "Bersih".
Ini adalah kerana perkataan "Bersih" itu telah dikaitkan oleh pihak Jabatan Pelajaran dengan perhimpunan Bersih 4 yang akan diadakan pada 29 dan 30 Ogos ini.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, dalam satu kenyataan ringkas hari ini, menegaskan bahawa tema Merdeka bagi negeri adalah Bersih, Cekap dan Amanah, dan beliau telah meminta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Farizan Darus, untuk memaklumkan kepada Kementerian Pelajaran.
"Jika mereka mengharamkan (penyertaan sekolah), kita akan mengambil tindakan lanjut. Biarlah mereka isytihar BCA (Bersih, Cekap dan Amanah) sebagai haram," katanya.
Sementara itu, Ketua Sosialis Muda DAP Kebangsaan, Teo Kok Seong, mengutuk  sekeras-kerasnya tindakan Kementerian Pelajaran.
Screenshot_2015-08-21-13-42-19-2"Saya telah mendapat penjelasan melalui twitter daripada YB Chong Sin Woon selaku Timbalan Menteri Pelajaran bahawa larangan tersebut adalah disebabkan tema Hari Kemerdekaan mempunyai perkataan "Bersih" serta ia dilihat Kerajaan Pulau Pinang mempolitikkan Hari Kemerdekaan.
"Adalah amat jelas sekali arahan larangan ini bermotif politik, ataupun menerima tekanan dari pihak yang tertentu," kata beliau.
Menurutnya, Kementerian Pelajaran melampau kerana terlalu sensitif dengan perkataan "Bersih" sedangkan Bersih, Cekap dan Amanah sentiasa dititikberatkan oleh semua agensi kerajaan pusat dan kerajaan negeri sejak lebih 30 tahun lalu.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Rasah mahu Kementerian Pelajaran menarik balik arahan larangan tersebut agar pelajar sekolah dapat menyertai perarakan tahun itu.
Timbalan Menteri Pelajaran II, P. Kamalanathan, pula menyatakan "Bersih" sebagai tema Merdeka di Pulau Pinang adalah berbahaya, dan bertentangan dengan kepentingan negara.
Menurut laporan media, beliau menyatakan arahan Kementerian adalah berikutan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara.
"Bersih, Cekap dan Amanah" adalah slogan yang dilancarkan pada 1982 di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang diselaraskan dalam konsep "Kepimpinan Melalui Teladan" yang menjadi teras kepada pentadbiran kerajaan BN.
Kini kerajaan BN pimpinan Datuk Seri Najib Razak dilanda pelbagai skandal seperti skandal RM42 bilion 1MDB dan wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri, yang telah membangkitkan kemarahan rakyat. – 

Derma RM2.6 bilion untuk lawan DAP yang ditaja Yahudi? Apa dah jadi dengan pemimpin UMNO?

Posted: 22 Aug 2015 03:17 PM PDT


anthony loke pix
KUALA LUMPUR, 22 OGOS: Adakah pemimpin-pemimpin UMNO sedar atau tidak bahawa mereka menunjukkan tahap kebodohan yang tiada batasannya dalam perlumbaan mereka untuk menyelamat dan mempertahankan Datuk Seri Najib Razak dalam skandal RM2.6 bilion yang dimasukkan dalam akaun peribadinya?
Soalan itu dilontarkan oleh Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Anthony Loke Siew Fook kepada pimpinan UMNO berikutan beberapa kenyataan mereka yang semakin terdesak dan tidak masuk akal berhubung skandal tersebut.
Beliau berkata, pagi tadi semasa mesyuarat UMNO Bahagian Sri Gading, ketua bahagiannya Datuk Abdul Aziz Kaprawi mendakwa bahawa penderma dari Timur Tengah memberi sumbangan dana sebanyak RM2.6 bilion kepada Najib supaya UMNO boleh melawan DAP dalam pilihanraya umum ke-13 kerana kononnya DAP dibiayai oleh Yahudi.
Katanya, Abdul Aziz membuat cerita kononnya penderma tersebut khuatir pengaruh Yahudi akan meresap di Malaysia melalui DAP dan memusnahkan "Kerajaan Islam" yang diketuai Barisan Nasional.
Sedangkan, beliau berkata, minggu lalu Ketua Bahagian UMNO Kuantan, Wan Adnan Wan Mamat, pula mendakwa sumbangan RM2.6 bilion kepada Najib adalah dari Arab Saudi kerana menghargai peranan Perdana Menteri melawan kumpulan militan ISIS atau ISIL atau IS (Islamic State).
"Saya tidak kisah sekiranya pemimpin UMNO mahu menunjukkan kebodohan mereka tetapi janganlah sampai memperbodohkan rakyat Malaysia dan menganggap rakyat tidak ada akal untuk berfikir.
"Lebih-lebih lagi, pemimpin-pemimpin UMNO nampaknya tidak malu menyalahgunakan nama agama Islam dan kononnya untuk mempertahankan Islam untuk "menghalalkan" wang RM2.6 billion dalam akaun Najib.
"Adakah mereka langsung tidak mempedulikan nilai kebenaran semata-mata untuk mempertahankan sesuatu yang jelas tidak amanah dan menyelamatkan karier politik mereka sendiri?
"Kalaulah betul DAP menerima sumbangan daripada Yahudi ataupun mana-mana sumber asing, sudah tentu seluruh jentera propaganda UMNO dan kerajaan membongkarkan "agenda jahat" ini dalam kempen PRU13 yang lalu dan "memusnahkan" DAP pada ketika itu juga, dan bukannya membuat "pendedahan besar" ini hanya 27 bulan selepas PRU 13!" jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, DAP berdepan dengan UMNO di dua kerusi Parlimen sahaja, iaitu Gelang Patah di Johor dan Sepanggar di Sabah dalam PRU13.
Persoalannya, soal beliau, adakah UMNO memerlukan RM2.6 bilion untuk melawan DAP di dua kerusi Parlimen tersebut?
Malah, ujar beliau, secara keseluruhan, DAP hanya bertanding 51 daripada 222 kerusi dalam PRU 13.
Jika DAP menang kesemua 51 kerusi pun, katanya, tidak mungkin DAP boleh membentuk kerajaan secara bersendirian kerana tidak cukup majoriti mudah.
"Mungkin bekas Menteri Besar Johor, Tan Sri Ghani Othman yang melawan Lim Kit Siang di kerusi Parlimen Gelang Patah boleh mengesahkan sama ada dana tersebut ditaburkan di Gelang Patah untuk menewaskan Kit Siang yang kononnya "ditaja oleh Yahudi", ataupun beliau (Ghani) tidak mendapat sebarang bantuan daripada Najib sehingga UMNO ditewaskan oleh DAP di Gelang Patah," tambah beliau.
Anthony mengulangi penjelasan bahawa DAP tidak pernah mendapat sumbangan kewangan daripada mana-mana sumber asing untuk bertanding pilihanraya.
Beliau juga mengingatkan pemimpin-pemimpin UMNO bahawa apapun usaha mereka untuk mengalihkan perhatian rakyat, isu RM2.6 bilion akan terus menghantui Najib dan UMNO, "kini dan selama-lamanya". 

BEKAS PM KOREA SELATAN MASUK PENJARA AKIBAT DANA POLITIK HARAM

Posted: 22 Aug 2015 03:13 PM PDT

Tiada ulasan: