Khamis, 6 Ogos 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Amaran MERAH Daripada Rakyat : Jangan Ganggu SPRM

Posted: 06 Aug 2015 12:33 AM PDT

Oleh DATO' MAHFUZ HJ OMAR

1. Rakyat memandang serius perkembangan terhadap institiusi pencegahan rasuah negara, SPRM dan anggotanya daripada menjalankan tugas memerangi rasuah yang membabit pimpinan negara khususnya dalam Skandal 1MDB dan yang berkaitan dengannya.

2. Tindakan mengaitkan mereka dengan isu menggulingkan Perdana Menteri dan kerajaan adalah usaha untuk mengkambing hitamkan SPRM dan menghalang mereka daripada terus menyiasat dan mengambil tindakan terhadap Perdana Menteri Najib yang jelas akan keterlibatannya dalam salahguna kuasa.

3. Rakyat memberi amaran MERAH kepada PM dan KDN untuk menghentikan perbuatan terkutuk seperti mengugut, menakut-nakutkan dan mengancam Pegawai SPRM dengan tangkapan dan siasatan pihak Polis ke atas mereka. Rakyat Malaysia mahu melihat PDRM bekerjasama dengan SPRM untuk memerangi rasuah dan perasuah negara dan bukannya melindungi mereka yang merupakan musuh nombor satu negara.

4. Kenyataan SPRM untuk mendapat penjelasan dan keterangan lanjut daripada PM Najib atas isu wang RM2.67 bilion dalam akaun peribadinya adalah dialu- alukan. Jangan ada sesiapa termasuk Polis yang cuba menghalangnya. Rakyat menuntut PM Najib memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan ke atasnya. Jangan takut dengan kebenaran.

5. Kepada SPRM teruskan JIHAD memerangi Rasuah dan Perasuah Negara. Jangan berundur. Kamu adalah harapan bangsa dan negara tercinta. Terima kasih SPRM.

"RAKYAT BERSAMA MU SPRM"

DATO' MAHFUZ HJ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena

Punca Flaperon Boeing 777 Terdampar Di Pulau Reunion

Posted: 06 Aug 2015 12:30 AM PDT

MSTAR ONLINE
 
 
Waris mangsa MH370 dihalang polis untuk memasuki bangunan MAS di Beijing, China.
 
 
KUALA LUMPUR: Tekanan udara, arus lautan dan angin, yang bertiup sama ada ke arah timur atau barat, menyebabkan satu flaperon serta serpihan lain daripada sebuah pesawat Boeing 777 terdampar di pantai Pulau Reunion Island, kata seorang pakar penerbangan.

Prof Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian, Ketua Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Kuala Lumpur, berkata tekanan udara di sesuatu kawasan di Lautan Hindi menyebabkan ombak bergerak sama ada ke arah timur atau barat.

"Jadi, objek atau serpihan dengan daya apung yang tinggi, akan ditolak arus lautan ke arah utama di kedua-dua arah. Dalam kes ini, kemungkinan lokasi paling hampir ialah di sekitar Madagascar dan negara Afrika yang menghadap Lautan Hindi.

"Objek yang memiliki ciri-ciri yang membolehkannya terapung, akan menuju ke arah timur atau barat disebabkan arus Lautan Hindi," katanya.

Beliau berkata tekanan udara, arus lautan dan arah anginlah yang menggerakkan objek dan menentukan ke mana arah tujuannya.

"Pulau Reunion terletak dalam lingkungan kawasan yang disyaki menjadi lokasi pesawat berkenaan terhempas di Lautan Hindi. Ini menyebabkan hampir pasti bagi sesebuah pesawat yang mengakhiri penerbangannya di situ, serpihannya dihanyutkan ke pulau berkenaan," kata Mohd Harridon.

Pulau milik Perancis itu terletak di luar pantai Madagascar, kira-kira 4,000km dari tempat usaha mencari pesawat MH370 Malaysia Airlines dijalankan.

Beliau berkata adalah hampir mustahil bagi keseluruhan bangkai pesawat itu dihanyutkan ke pantai.

"Seluruh bangkai peswat itu akan tenggelam di dalam lautan. Hanya sebahagian...serpihan seperti flaperon, sayap dan objek lain daripada pesawat tersebut akan dihanyutkan ke pantai," katanya.

Flaperon berkenaan, yang disahkan berasal daripada sebuah pesawat Boeing 777, dibawa ke Toulouse, Perancis untuk ditentukan sama ada ia berasal daripada  Penerbangan MH370.

Penerbangan MH370 hilang daripada pengesanan radar pada kira-kira tengah malam 8 Mac tahun lepas ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal.

Clara Brown mohon perlindungan polis selepas dakwa diintip

Posted: 05 Aug 2015 09:13 PM PDT

 
Dia juga menyifatkan waran tangkap yang dikeluarkan mahkamah di negara ini sebagai mengarut dan untuk menakut-nakutkan pemberi maklumatnya.


Clare-Rewcastle-Brown,-UK-police



PETALING JAYA: Editor Sarawak Report, Clara Rewcastle-Brown memohon perlindungan polis di London selepas dia mendakwa dia ekori dan diambil gambar secara sembunyi di Hyde Park.

Pengasas Sarawak Report itu mendapat perlindungan daripada Polis Metropolitan selepas mendakwa beberapa kali diekori dan diambil gambar oleh orang-orang tidak dikenali ketika berada di sekitar kota London.

"Saya terpaksa memasukkan dalam laporan polis yang saya diintip dan diekori," kata Brown seperti dilaporkan The Independent.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Ogos lalu telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Brown dan pihak polis telah memasukkan nama wanita itu dalam senarai Interpol.

Dalam temubual bersama The Independent, dia menyifatkan waran tangkap itu mengarut dan taktik untuk menakutkan pemberi maklumatnya.

"Mereka menuduh saya mengikut undang-undang yang tidak wujud di UK atau mana-mana negara yang mengamalkan demokrasi tulen," katanya.

Sarawak Report banyak melaporkan isu 1MDB yang kesahihan laporan itu dipertikaikan oleh kerajaan.

Baru-baru ini, Sarawak Report menyiarkan dokumen yang didakwa deraf pendakwaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

SAMA SEPERTI MH370, WANG RM2.6B JUGA JADI MISTERI BUAT KITA

Posted: 05 Aug 2015 09:07 PM PDT

shahbudindotcom.

 

 
 
Selepas 515 hari, Perdana Menteri Najib Razak malam tadi mengumumkan bahawa serpihan yang ditemui di Pulau Reunion, berhampiran Madagascar adalah sah milik pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac 2014 lalu.

Katanya, dengan pakar-pakar antarabangsa telah mengesahkan hakikat itu, ia setidak-tidaknya dapat memberi kepastian kepada keluarga mangsa seramai 239 orang yang berada dalam pesawat tersebut.

Dalam masa yang sama, Najib memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus berusaha mencari kebenaran di sebalik tragedi yang menyayat hati itu.

Meskipun serpihan itu disahkan milik MH370, beberapa misteri kekal menyelubungi kita semua. Antaranya:-

- kenapa pesawat yang dipandu dari Kuala Lumpur ke arah Beijing itu dilencongkan ke arah lain?

- di mana lokasi sebenar MH370 terhempas masih lagi tidak diketahui, yang ditemui hanyalah serpihan sayap kapalterbang itu yang mungkin hanyut lalu akhirnya berlabuh di Pulau Reunion.

- adakah pesawat itu dirampas pengganas, terhempas kerana masalah teknikal yang dihadapinya atau berpunca dari sebab-sebab lain?

- kenapa radar gagal mengesan pergerakan pesawat itu bermula daripada laluan asal yang sepatutnya dilalui iaitu Laut China Selatan hinggalah ia melencong lalu hilang di Lautan Hindi?

Semua perkara ini akan terus menjadi misteri untuk sekian lama sehinggalah pasukan penyiasat dapat mengesahkan perkara yang sebenarnya. Tetapi tidak mustahil juga ia akan kekal misteri untuk selama-lamanya.

Dengan pengesahan MH370 ini dilakukan di saat-saat semua orang bercakap mengenai wang derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib, persamaan misteri antara kedua-duanya tentu saja tidak dapat dielakkan.

Walaupun disahkan oleh SPRM mengenai wang tersebut, misteri yang kekal bersarang ialah:-

- siapakah penderma murah hati dan budiman itu?

- apakah tujuan penderma memberi wang sebanyak itu kepada Perdana Menteri?

- di manakah baki wang RM2.6 bilion itu? Masih ada, sudah habis atau disimpan di tempat lain?

- jika wang RM2.6 bilion dibahagi sama rata dengan 222 kawasan Parlimen, setiapnya akan memperolehi lebih RM11.7 juta. Kalau cuma diagihkan kepada 191 bahagian UMNO pula, setiap satunya akan mendapat kira-kira RM13.6 juta. Adakah mereka yang terbabit memperolehi sebanyak itu?

- andai kata dalam pilihanraya ke 13 lalu, setiap bahagian atau calon yang bertanding di 222 kawasan Parlimen cuma diberikan RM2 juta (menurut beberapa bekas Ahli Parlimen, jumlah ini pun sudah dikira terlalu besar), bermakna tidak sampai RM600 juta telah dibelanjakan. Di mana RM2,000 juta lagi?

Walaupun Najib kelihatan sedih ketika mengumumkan mengenai pengesahan serpihan MH370 malam tadi, rakyat Malaysia secara umumnya lebih sedih jika misteri wang RM2.6 bilion tidak dirungkai dengan sebenar-benarnya.

Sama seperti MH370, terlalu banyak misteri dan ketidaklogikan di sebalik jumlah wang sebesar itu meskipun ia disahkan SPRM cuma sekadar derma dan seolah-olah sudah bertukar wang halal jadinya.

Apatah lagi, sementara kebenaran sedang dicari, bukannya suspek yang dicari tetapi pasukan penyiasat pula yang digeledah untuk diburu bukti.

Hakikatnya, yang berbeza ialah jika tragedi MH370 telah menyatukan semua hati-hati manusia di negara kita tanpa mengira kaum dan agama, sebaliknya misteri RM2.6 bilion ini menyebabkan lebih perpecahan serta kehancuran di hati yang sama tentang makna sebenar sebuah kebenaran yang nampaknya ghairah cuba ditutup daripada didedahkan. 

Derma RM2.6b jadi berita seluruh dunia

Posted: 05 Aug 2015 09:03 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Isu derma RM2.6 bilion kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak mencuri tumpuan seluruh dunia.

Carian segera di Internet menunjukkan ia dilaporkan pelbagai media terkenal, termasuk Time, CNBC, BBC dan Financial Times.

Tidak terkecuali di laman-laman berita tempatan di Jepun (Japan Times), Hong Kong (The Standard), India (Hindustan Times), dan Britain (The Guardian).

Terdapat juga ulasan menarik ditulis, antaranya oleh bekas anggota Majlis Penasihat Ekonomi Kebangsaan Danny Quah yang disiarkan dalam majalah berprestij The Diplomat.

Quah antaranya membandingkan 1MDB dengan cabang pelaburan negara Khazanah Nasional yang disifatkannya antara paling dihormati di dunia dan berjaya.

"Sebaliknya, 1MDB dilihat menggerakkan berbilion ringgit wang awam di seluruh dunia dengan keadaan meragukan," tulisnya.


'Saya tak kenal erti putus asa'

Posted: 05 Aug 2015 08:56 PM PDT

'Saya tak kenal erti putus asa'
Salimi membantu pekerjanya menyiapkan kerja-kerja pembungkusan benih ikan untuk diedarkan kepada pembekal dan pengusaha ikan. Gambar kecil: Salimi


FELDA PURUN - Bukan mudah untuk mencapai kejayaan jika tiada kesungguhan, malah bagi agropreneur muda, Salimi Mohd Nor, 36, dia langsung tidak mahu kenal erti putus asa dan sentiasa mencari jalan untuk mempertingkatkan pencapaiannya.

Memulakan ternakan ikan dengan dua unit kolam kecil bermodalkan RM3,000 dan membina beberapa buah kolam simen pula bagi proses pembenihan anak ikan di dalam rumahnya.

Katanya, pada awal penglibatan, dia tidak memperoleh pinjaman dari mana-mana bank atau agensi berkaitan, dan sedikit sebanyak memberi tekanan untuk meneruskan projek ternakan ikan ini.

"Awalnya, memang susah. Dengan modal kecil, saya guna jentera untuk bersih dan korek kolam di tapak projek. Tapi, selepas itu, projek tak jalan... saya ambil keputusan gali sendiri kolam agar lebih dalam dengan menggunakan cangkul. Saya tak nak kenal erti putus asa.

"Pada ketika itu, hanya saya seorang je yang buat semua tu. Tak siapa yang bantu. Malah, ada yang menegur tindakan saya itu membazir masa dan tenaga. Tapi, saya yakin saya mampu buat," katanya.

Dalam tempoh tujuh tahun ini, Salimi berjaya memiliki 13 kolam di Felda Purun dan 12 kolam di Kertau yang mampu menghasilkan antara dua hingga empat juta ikan bergantung kepada saiz kolam dan cuaca semasa proses pembiakan.

Katanya, dia kini giat melakukan pembenihan anak ikan serta telur ikan patin dan tilapia memandangkan permintaan yang meningkat dari masa ke semasa.

"Saya bukan saja membekalkan ikan dan anak ikan, tapi telur ikan pun saya jual. Setakat ini, melalui teknologi yang saya gunakan mampu menghasilkan anak ikan, malah tapak projek saya turut dilawati kakitangan dari Jabatan Perikanan bagi melihat dan mengetahui kaedah itu.

"Saya ambil inisiatif ke negara Thailand bagi mempelajari kaedah itu. Saya memandu ke Bangkok bersama keluarga dan seharian berada di tapak projek perikanan di Bangkok demi ingin mengetahui teknologi itu," katanya.

Sehingga kini, beliau mengeluarkan modal hampir RM400,000 dan mempunyai tujuh pekerja.

Difahamkan, beliau menerima Anugerah Usahawan Belia Felda Malaysia (Peringkat Pahang) 2014, sekali gus berjaya memperoleh Anugerah Usahawan Felda Malaysua (Piala Perdana Agro Prenuer Muda) Peringkat Kebangsaan 2014.

Solimi memberitahu, ternakan ikan di kawasan tanah rancangan Felda masih boleh diperluaskan memandangkan masih banyak tanah terbiar.

"Mungkin sukar memulakan projek bersendirian. Tapi jika dilakukan berkelompok, ia dapat mengurangkan jumlah modal yang perlu dikeluarkan setiap individu," katanya.


Enam anggota polis berdepan tuduhan rasuah

Posted: 05 Aug 2015 08:53 PM PDT

Rasuah
 
 
KUANTAN - Enam anggota polis berpangkat Koperal dan Lans Koperal dari Balai Polis Muadzam Shah, Rompin, masing-masing dikenakan ikat jamin RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kuantan, di sini, selepas mengaku tidak bersalah atas dakwaan menerima suapan dan tidak melaporkan kesalahan suapan, Disember lepas.
 
Kesemua tertuduh minta dibicarakan bagi kedua-dua pertuduhan iaitu menerima suapan sebanyak RM8,000 dan tidak melaporkan rasuah.
 
Hakim Habibah Mohamed Yusof mengekalkan nilai jaminan RM5,000 berikutan dianggap berpatutan dengan kes dan menetapkan 3 September depan sebagai sebutan semula kes serta lantikan peguam.
 
 

Penantian 515 hari berakhir dengan khabar duka

Posted: 05 Aug 2015 08:52 PM PDT

SINAR HARIAN


MH370
 
 
KUALA LUMPUR - Pakar antarabangsa mengesahkan serpihan sayap yang dijumpai di Pulau Reunion milik Perancis adalah daripada MH370 - menyokong rumusan awal bahawa pesawat Malaysia Airlines terhempas ke dalam Lautan Hindi hampir 17 bulan lepas.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata hari ini pakar-pakar yang berkumpul di Toulouse, Perancis telah mengesahkan serpihan pesawat dijumpai di Pulau Reunion sememangnya daripada MH370.

"Kami sekarang mempunyai bukti fizikal seperti yang saya umumkan pada 24 Mac tahun lepas, MH370 berakhir dengan tragik di selatan Lautan Hindi," Perdana Menteri berkata secara langsung menerusi TV3 pada jam 1.45 pagi hari ini.

Pengesahan itu dijangka mengecilkan kawasan pencarian dan meningkatkan harapan untuk menyelesaikan apa yang dikatakan sebagai misteri terbesar dalam sejarah penerbangan moden.      
 
Terdahulu, MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada radar pada 8 Mac 2014.

"Menghitung hari, minggu dan bulan merupakan suatu tempoh yang menyeksakan buat keluarga mangsa," kata Najib.

"Kehilangan pesawat itu adalah tanpa sebarang duluan.  Pada setiap peringkat, kami mengikuti sekecil mana bukti yang ada. Biarpun usaha dari 26 negara dan pencarian terbesar dalam sejarah penerbangan dari Laut China Selatan hingga ke Lautan Hindi, pesawat itu tidak dapat dikesan.  

Begitu juga penyiasatan oleh pakar penerbangan terkemuka dunia tidak dapat menjawab mengapa MH370 tersasar daripada haluan dan hilang. Sementara kehilangan pesawat itu kekal misteri, kami berkongsi penderitaan mereka yang dalam kesedihan," kata beliau.

Pengumuman Perdana Menteri yang disiarkan di seluruh dunia hari ini adalah selepas 515 hari pesawat itu hilang.
 
Najib mengucapkan terima kasih kepada banyak negara, organisasi dan individu yang terlibat dalam pencarian terbesar dalam sejarah penerbangan.

Beliau berharap pengesahan itu walau bagaimana tragik dan menyakitkan sekurang-kurangnya memberi kepastian kepada keluarga dan "mereka yang tersayang" penumpang dan kru MH370.   

"Mereka mendapat simpati yang teramat dan doa dari kami, " kata beliau.

Perdana Menteri memberi jaminan kepada semua mereka yang menerima kesan tragedi itu bahawa Kerajaan Malaysia akan berbuat apa saja di dalam kemampuannya untuk mencari kebenaran tentang apa yang berlaku.

"Kehilangan MH370 menyebabkan kita bersatu sebagai satu bangsa. Kami berkabung bersama anda, sebagai satu negara. 
 
Saya menjanjikan ini: Malaysia akan sentiasa memperingati mereka yang terkorban dalam MH370," kata Najib. - Bernama
 
 

SPRM: Terima kasih atas sokongan

Posted: 05 Aug 2015 08:50 PM PDT

SPRM: Terima kasih atas sokongan
 
 
PUTRAJAYA- "Terima kasih seluruh rakyat Malaysia atas sokongan yang diberi," demikian respon Pengarah Bahagian Komunikasi Strategik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Rohaizad Yaakob  ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat SPRM  di Putrajaya hari ini.
 
Rohaizad berkata SPRM berjanji akan menjalankan tugas mereka ‎dengan sebaik mungkin dalam menyiasat kes yang membabitkan pimpinan tertinggi negara.
 
"Terima kasih kerana selama ini anda memberi sokongan kepada SPRM, kami akan membuat kerja kami sehabis baik, secara telus dan jujur sepenuh masa.
 
"Insya-ALLAH, kami akan lakukan yang terbaik," katanya.
 
Dalam pada itu, Rohaizad juga mengucapkan terima kasih kepada ahli Parlimen yang datang ke SPRM pagi ini untuk memberi sokongan kepada pihaknya.
 
‎"Terima kasih kepada yang datang hari ini, dan beri sokongan," ujarnya. 
 
Antara yang hadir memberi sokongan adalah Naib Presiden PKR  Rafizi Ramli, Presiden PKR Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Harapan Baru, Mohammad Sabu, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan beberapa lagi ahli Parlimen pembangkang.
 
 

'Ayuh demo besar, sediakan stadium Azmin'

Posted: 05 Aug 2015 08:44 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Zaid Ibrahim menggesa sebuah protes besar melibatkan 100,000 orang diadakan sebagai bantahan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Marilah adakan perhimpunan di mana 100,000 orang daripada pelbagai latar berkumpul – sudah tentunya aman – bagi menyatakan bantahan terhadap perdana menteri," katanya.

Zaid juga berharap Menteri Besar Selangor Azmin Ali dapat menyediakan stadium dan sokongan yang diperlukan untuk perhimpunan besar itu sebelum 31 Ogos.

Zaid juga berharap pemimpin pembangkang dan Umno yang kritikal, seperti Tun Dr Mahathir Mohamad, dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, dapat berkongsi pentas.

"...untuk isytihar kepada orang ramai walaupun terdapat perbezaan politik, mereka akan bersatu untuk selamatkan Malaysia," katanya di blog hari ini.

"Pemimpin-pemimpin ini tidak harus membenarkan orang yang mencuri dan merompak kekayaan negara terlepas.

"Mereka harus tunjukkan kepada rakyat kuasa setiakawan menentang rasuah dan salah guna kuasa. Mereka mesti kembalikan keyakinan terhadap dasar-dasar kita dan Pejabat Peguam Negara kita."


IGP: Kami siasat, bukan tangkap

Posted: 05 Aug 2015 08:38 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menafikan dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditahan pihak mereka.

Sebaliknya, katanya kepada Malaysiakini, polis hanya merakamkan kenyataan mereka.

Sumber sebelum ini mendakwa polis menahan dua anggota SPRM termasuk pegawai yang menyiasat bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

"Mereka baru sahaja ditahan sebentar tadi," kata sumber yang tidak mahu namanya dinyatakan.

Beliau mendakwa individu yang ditahan itu termasuk seorang pengarah operasi khas SPRM, Roslan Che Amat.

Roslan telah disiasat polis pada hari Isnin lalu.

Dalam operasi sama, polis turut menyerbu pejabat bahagian operasi khas suruhanjaya itu.

Polis menjalankan siasatan itu mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan bagi kegiatan yang menjejaskan demokrasi berparlimen.

Selain Roslan dan pegawai penyiasat tersebut, polis setakat ini menyiasat lima lagi pegawai SPRM dalam operasi yang bermula awal pagi Sabtu lalu dengan penahanan timbalan pendakwa raya suruhanjaya itu, Ahmad Sazilee Abdul Khairi.

Ia diikuti dengan siasatan ke atas Roslan dan dua lagi pegawai pada hari Isnin, pengarah operasi khas SPRM, Datuk Bahri Mohamad Zin dan pengarah forensik IG Chandran.

Kesemua penahanan itu dibuat ketika ketua pesuruhjayanya, Datuk Abu Kassim Mohamed dan timbalannya, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull sedang bercuti.

Bahri: Polis ganggu siasatan SPRM

Sementara itu, Bahri dalam perkembangan terbaru berkata sama ada polis menahan atau tidak anggota mereka, ia jelas melanggar Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Tahan ke tak tahan ke, itu dah ganggu kerja kami. (Ia) jelas melanggar Seksyen 48 Akta SPRM.

"Apa yang mereka lakukan adalah mengganggu siasatan kami," katanya. 



Polis serbu bahagian operasi khas SPRM

Posted: 05 Aug 2015 08:35 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diserbu polis hari ini.

Langkah itu dipercayai berkaitan dakwaan pembocoran kertas pendakwaan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkaitan 1MDB.

Sekurang-kurangnya lima kenderaan, termasuk empat kereta polis, dilihat meninggalkan ibu pejabat polis daerah (IPD) pada jam 6.45 petang dan kini berada di luar pejabat bahagian itu di Menara Prisma, Putrajaya.

Beberapa orang pegawai polis berpakaian biasa dipercayai telah memasuki bangunan itu.

Jurucakap SPRM sebelum ini memberitahu pemberita di luar IPD itu bahawa tiga pegawainya disoal siasat berhubung kebocoran itu sehingga 6.45 petang.




'Demi Allah, saya akan cari dalang ke lubang cacing'

Posted: 05 Aug 2015 08:33 PM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
Pengarah Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Bahri Mohamad Zin hari ini bersumpah dengan nama Allah akan mencari dalang yang mengarahkan penangkapan anggota suruhanjaya itu.

"Saya bersumpah dengan nama Allah saya akan mencari dalang yang mengarahkan ini.

"Kami bekerja siang malam sepanjang bulan puasa dan ini, berlanjutan sepanjang hari raya baru ini.

"Kami tiada masa berpolitik tapi kami menjalankan tugas kami seperti yang diamanahkan dan diharap oleh rakyat.

"Demi Allah saya akan cari dalang dalang yang mengarahkan (penahanan) ini sehingga ke lubang cacing," beliau berkata.

Beliau juga mengingatkan 'dalang-dalang' itu bahawa kuasa yang mereka ada tidak sebesar mana.

"Kamu ada kuasa sedikit saja tapi saya ada Allah," katanya yang baru selesai menunaikan solat hajat ketika dihubungi Malaysiakini.

Bahri berkata demikian ketika diminta mengulas siasatan terbaru polis terhadap dua lagi pegawai SPRM, termasuk pegawai yang menyiasat bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.

Difahamkan, individu yang disiasat termasuk orang nombor tiga dalam operasi khas SPRM, Roslan Che Amat, serta menyerbu pejabat mereka di Putrajaya, dipercayai berkaitan kertas pendakwaan bocor terhadap perdana menteri.

Polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan bagi kegiatan yang menjejaskan demokrasi berparlimen.

Polis setakat ini sudah menyiasat beberapa pegawai SPRM dalam operasi yang bermula awal pagi Sabtu lalu dengan penahanan timbalan pendakwa raya suruhanjaya itu, Ahmad Sazilee Abdul Khairi.

Kesemua penahanan itu dibuat ketika ketua peseuruhjayanya, Datuk Abu Kassim Mohamed dan timbalannya, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull sedang bercuti.

Bahri turut disiasat pada Isnin lalu. 

Serpihan di Pulau Reunion sah dari MH370

Posted: 05 Aug 2015 06:34 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengesahkan serpihan yang ditemui di Pulau Reunion daripada pesawat MH370 yang hilang.

"Hari ini, 515 hari sejak hilangnya pesawat, dengan berat hati saya harus maklumkan bahawa pasukan pakar antarabangsa dengan muktamad mengesahkan bahawa serpihan pesawat yang ditemui di Pulau Reunion daripada MH370.

"Kita sekarang mempunyai bukti fizikal, seperti saya umumkan tahun lalu bahawa pesawat MH370 dengan tragisnya berakhir di selatan Lautan Hindi," katanya.

Walaupun mungkin berat dan memilukan, Najib berharap ia dapat memberikan kepastian kepada anggota keluarga kepada 239 orang yang berada di dalam pesawat itu.

Beliau memberi jaminan Malaysia akan melakukan apa yang boleh untuk mencari kebenaran di sebalik tragedi itu.

MH370 hilang daripada radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Bernama melaporkan kenyataan penuh perdana menteri mengenai pesawat MH370:

Pada 8 Mac 2014, penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing hilang. Hari,minggu dan bulan yang mendatang menjadi tempoh yang cukup menyiksakan bagi keluarga mereka yang berada dalam pesawat itu.

Pesawat itu hilang tanpa duluan. Di setiap peringkat, kami hanya mengikuti bukti sekecil mana yang ada. Namun, usaha 26 negara serta pencarian terbesar dalam sejarah penerbangan, dari Laut China Selatan ke Lautan Hindi, masih gagal mengesan pesawat itu.

Malah, pakar penerbangan dunia gagal memberikan jawaban mengapa MH370 terpesong daripada laluannya dan hilang. Ketika kehilangan pesawat itu kekal satu misteri, kami berkongsi keperitan keluarga mereka.

Minggu lalu, pada 29 Julai, kami dimaklumkan oleh pihak berkuasa Perancis bahawa sebahagian daripada sayap pesawat ditemui di Reunion, sebuah pulau kecil milik Perancis di Lautan Hindi.

Hari ini, 515 hari selepas pesawat itu hilang, dengan hati yang berat saya perlu memberitahu anda bahawa pasukan pakar antarabangsa mengesahkan serpihan pesawat yang ditemui di Pulau Reunion adalah milik MH370.

Kami kini mempunyai bukti fizikal yang mana saya umumkan pada 24 Mac tahun lalu, pesawat MH370 secara tragik berakhir di selatan Lautan Hindi.

Ini adalah kawasan terpencil, bergelora dan berbahaya, dan sebagai mewakili Malaysia saya berterima kasih kepada banyak negara, pertubuhan dan individu yang terlibat dalam pencarian ini.

Beban dan ketidaktentuan yang dihadapi semua keluarga terlibat sepanjang tempoh ini memang sukar dijelaskan.

Saya berharap dengan pengesahan ini, walaupun tragik dan menyakitkan, ia setidak-tidaknya memberi kepastian kepada keluarga dan orang tercinta bagi semua 239 orang yang berada di dalam MH370. Kami turut bersimpati dan berdoa untuk mereka.

Saya ingin memberi jaminan kepada mereka yang terjejas akibat tragedi ini bahawa kerajaan Malaysia komited untuk melakukan apa yang terdaya untuk mencari kepastian apa yang sebenarnya berlaku.

Kehilangan MH370 menyebabkan kita bersatu sebagai satu bangsa. Kami berkabung bersama anda, sebagai satu negara.

Saya menjanjikan ini: Malaysia akan sentiasa memperingati mereka yang terkorban dalam MH370.  


'Rakyat M'sia digesa berdiri teguh di belakang SPRM'

Posted: 05 Aug 2015 06:32 PM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
Seruan sokongan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk meneruskan siasatan terhadap RM2.6 bilion yang dipindahkan ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak berkemundang di sebuah forum di Kuala Lumpur malam tadi.

Forum bertempat di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur, yang menarik kira-kira 1,000 orang dan membariskan pemimpin dari parti-parti pembangkang, masyarakat sivil dan seorang bekas timbalan menteri Umno, merayu kepada rakyat Malaysia supaya memberi sokongan penuh kepada SPRM.

Bercakap di forum tersebut, ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang (gambar) dibacakan penuh laporan berita komen pengarah operasi khas SPRM, Bahri Mohamad Zin, yang berkata beliau akan mencari dalang yang mengarahkan penangkapan anggota suruhanjaya itu.

Lim juga mengakui bahawa beliau adalah seorang pengkritik SPRM, tetapi merasakan ia menjadi tanggungjawab rakyat untuk melindungi institusi itu daripada Najib dan Lim mengumumkan beliau akan pergi ke ibu pejabat SPRM hari ini untuk memberikan sokongan kepada para pegawainya.

Lim berkata, beliau sering merasakan SPRM hanya mengejar ikan bilis, bukan ikan yu, tetapi apabila ia diserang, maka "menjadi tanggungjawab kita untuk mempertahankannya".

Kakitangan SPRM telah mengadakan solat hajat pada hari Selasa, untuk memohon kepada Allah supaya mereka diberi kekuatan untuk "melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin".

SPRM juga, dalam satu kenyataan semalam, berkata ia akan menyoal perdana menteri Najib berhubung sumbangan RM2.6 bilion derma yang diterimanya.

Sehingga kini, tujuh pegawai SPRM telah sama ada ditangkap atau dipanggil oleh pihak polis dan mereka semua terlibat dalam penyiasatan terhadap SRC International Sdn Bhd dan pemindahan dana RM 2.6 bilion ke dalam akaun bank Najib.
Seorang lagi penceramah, Datuk S Ambiga memuji Bahri sebagai seorang hero dan meminta hadirin memberi tepukan gemuruh kepadanya dan pegawainya dalam memerangi rasuah.

Seorang lagi penceramah, bekas timbalan menteri pengajian tinggi Datuk Saifuddin Abdullah, juga menyokong kakitangan awam dalam menjalankan tugas mereka.

Saifuddin (gambar), yang juga pengerusi Gerakan Kesederhanaan Global, berkata masyarakat sivil dan rakyat akan menyokong kakitangan awam yang melakukan perkara yang betul, seperti mana SPRM dalam hal ini.

Tiada ulasan: