KUBANG PASU - Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mahu parti itu terus diperkuatkan bagi membolehkan ia terus kekal menjadi wadah tunggal perjuangan bagi orang-orang Melayu.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Daftar Pemilih parti berkata, usaha-usaha meningkatkan bilangan keanggotaan parti perlu diperhebatkan, selain memastikan anggota UMNO itu didaftarkan sebagai pengundi pada pilihan raya.

"Terapkan di dalam jiwa-jiwa mereka (anggota Umno) bahawa Umno adalah terbaik untuk orang-orang Melayu di Malaysia dan memastikan mereka menyokong dan mengundi BN.

"Terdapat segelintir anggota Umno yang enggan mengundi BN, hanya disebabkan gagal terpilih sebagai calon pilihan raya atau gagal memperoleh projek dan masalah sebegini perlu ditangani," katanya ketika merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Jerlun di sini hari ini.

Menurutnya, Biro Latihan Umno perlu digerak untuk memperkuatkan keyakinan anggota terhadap parti sebagai persediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum yang akan datang.

Turut hadir pada majlis perasmian itu adalah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga Pengerusi Umno Kedah dan Ketua Umno Bahagian Jerlun. - Bernama