Ahad, 16 Ogos 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Langkah Kajang telah mengaibkan saya

Posted: 16 Aug 2015 06:22 AM PDT

FREE MALAYSIA TODAY

Bekas Menteri Besar Selangor itu amat kecewa kerana ditewaskan oleh fitnah meskipun setelah bekerja keras selama 6 tahun melakukan reformasi pentadbiran khusus untuk kesejahteraan rakyat.


Khalid-Ibrahim_pkr_600

Oleh Khalid Ibrahim


Alhamdulillah, Saman fitnah yang saya failkan terhadap Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution berakhir pada Jumaat lepas setelah kedua-dua pihak bersetuju untuk menyelesaikannya secara baik.

Mahkamah Tinggi Shah Alam merekodkan Penghakiman Persetujuan di mana Datu Saifudin selaku Defendan Pertama dan PKR Defendan Kedua telah menyatakan rasa kesal mereka dan memohon maaf kerana mengeluarkan dan mengedarkan satu laporan 91-muka surat yang mengandungi pelbagai tuduhan fitnah terhadap saya.

Mereka mengakui bahawa laporan tersebut telah dikeluarkan dan diedarkan bagi menjelaskan mengapa saya perlu dilucutkan dari jawatan Menteri Besar Selangor dan bukanlah satu bukti muktamad bahawa saya telah melakukan kesalahan seperti fitnah yang disebut.

Mereka turut menyatakan rasa kesal dan mengakui bahawa penyataan di dalam laporan tersebut tidak sepatutnya diperkatakan serta memberi akujanji tidak akan mengulangi tuduhan serta fitnah tersebut.

Sebagai seorang Islam, saya menerima penyataan maaf dan kesal PKR serta Saifuddin dan mengambil semangat bulan Syawal yang mulia ini untuk memohon maaf zahir dan batin jika saya ada menyinggung perasaan beliau serta mana-mana ahli PKR yang lain.

Sama seperti kes saman fitnah yang saya failkan sebelum ini, saya sentiasa mengambil pendekatan berlapang dada dengan tidak mahu memanjangkan persengketaan jika pihak yang membuat tuduhan mengakui kesilapan mereka.

Pada saya penyataan maaf sudah mencukupi untuk menebus maruah saya yang tercalar dengan fitnah-fitnah yang dilemparkan.

Saya akui, kes yang terakhir ini telah memberi tamparan yang amat hebat kepada saya dan pasukan saya di Pejabat Menteri Besar yang sentiasa mementingkan amalan berteraskan ketelusan, pertanggungjawaban, dan kemahiran pengurusan selama saya menerajui pentadbiran kerajaan Negeri Selangor.

Tidak dinafikan juga bahawa kami berasa amat kecewa kerana ditewaskan oleh fitnah meskipun setelah bekerja keras selama 6 tahun melakukan reformasi pentadbiran khusus untuk kesejahteraan rakyat.

Langkah Kajang telah berjaya mengaibkan saya yang akhirnya menyebabkan saya kehilangan jawatan.
Namun, lebih malang lagi, strategi politik yang tidak bermoral ini telah turut menyebabkan keretakan dalam pemuafakatan antara parti komponen Pakatan Rakyat (PR) akibat sikap politik retorik dan hipokrit.

Akibatnya PAS – sebuah parti politik yang mempunyai kekuatan "grassroots" dan tenaga mereka kongsi sepenuhnya pada setiap pilihanraya – telah diketepikan dan dipecah-belahkan; bahkan pemimpin mereka turut terpalit dan diaibkan.

Permainan politik yang begitu dasyat ini hanya merugikan rakyat terutama di Selangor di mana isu-isu pokok telah diabaikan.

Penstrukturan Air Selangor masih belum dapat dilakukan dengan lancar sebagaimana sepatutnya, tanah Selangor diserahkan kembali kepada golongan "rentier" yang hanya mengaut laba atas angin, masalah sampah masih berleluasa serta hala tuju pentadbiran negeri yang masih kabur.

Sebagai seorang Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dipilih secara sah oleh rakyat, saya mahu berusaha untuk mewujudkan satu suasana politik yang menguntungkan rakyat.

Justeru setelah maruah saya ditebus dengan kenyataan maaf oleh PKR lantas terbukti bahawa segala tohmahan yang dilemparkan ke atas saya ternyata fitnah semata-mata maka saya kini boleh memberi tumpuan penuh untuk melakukan usaha ini.

Terima kasih saya ucapkan kepada barisan peguan saya Edmund Bon. Joshua Tay dan Lee Shee Pin dari BON Advocates atas khidmat guaman professional yang telah diberikan,

Saya juga mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada penyokong-penyokong saya yang tidak jemu-jemu memberi sokongan dan kata semangat kepada saya dari bermulanya kemelut Langkah Kajang sehinggalah ke hari ini.

Saya sedar ramai yang agak kecewa apabila saya menyelesaikan kes ini dengan menerima pernyataan maaf dari para Defendan namun pada saya ini adalah tindakan terbaik yang perlu dilakukan apatah lagi kita masih berada di dalam bulan Syawal, bulan kemenangan bagi umat Islam.

Sekian, terima kasih

(*) Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim merupakan bekas Menteri Besar Selangor selama enam tahun (2008-2014). Beliau juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan ADUN Pelabuhan Klang
 
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

Dana parti hak eksklusif Presiden UMNO

Posted: 16 Aug 2015 06:15 AM PDT

 
Najib menjelaskan beliau tidak perlu memaklumkan proses mendapatkan dana kepada mana-mana pemimpin lain.


najib_umno_dana_600


PETALING JAYA: Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak menegaskan, proses mendapatkan dana parti adalah hak eksklusifnya dan ia itu tidak perlu dibincangkan dalam mesyuarat atau perjumpaan tertutup bersama ahli parti.

Jelasnya, beliau, beliau tidak pernah mempersoal tindakan bekas Presiden UMNO terdahulu mendapatkan dana politik, termasuk ketika menjadi Timbalan Presiden selama enam tahun kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Begitu juga ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Presiden UMNO, Pak Lah selaku timbalan tidak pernah mempersoalkan mengenai dana parti.

"Tetapi kenapa apabila saya jadi presiden, ia dipersoalkan.

"Saya buat untuk kepentingan parti dan sudah diputuskan oleh SPRM tidak menyalahi undang-undang," katanya yang dipetik daripada Harian Metro Online.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Kepala Batas di Institut Latihan Perindustrian Kepala Batas.

Pemimpin ‘belot’ jumpa Najib

Posted: 16 Aug 2015 06:10 AM PDT

 
Zahid menakwa Ahli Parlimen BN telah dibeli untuk menandatangani Aku Janji


zahid_najib_umno_600



PETALING JAYA: Pemimpin UMNO yang dikaitkan cuba bergabung dengan anggota Parlimen pembangkang untuk menggulingkan kerajaan, akan bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada petang Ahad.

Ia disahkan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Maklumat yang saya dapat ini sahih, bukan maklumat tepi jalan dan maklumat ini saya peroleh daripada orang yang hadir mesyuarat itu sendiri.

"Kalau saya tak timbulkan perkara ini daripada sekarang, mungkin lebih ramai ahli-Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) telah dibeli dengan penandatanganan Aku Janji itu," katanya yang dipetik daripada Mstar Online.

Zahid mendakwa pertemuan diadakan setelah pemimpin berkenaan sedar kesilapan yang dilakukan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Tampin, Negeri Sembilan.

Pada Sabtu, Zahid mendedahkan wujudnya konspirasi termasuk daripada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan UMNO yang menandatangani Aku Janji untuk jatuhkan Najib

Umno Pontian dedah Najib buat keputusan rombak Kabinet menerusi WhatsApp

Posted: 16 Aug 2015 06:06 AM PDT



Ketua Umno Bahagian Pontian Datuk Ir Hasni Mohammad berkata sehari sebelum rombakan Kabinet dilaksanakan, pengendali akaun WhatsApp ketua-ketua Umno bahagian meminta pandangan daripada ketua bahagian sama ada wajar atau tidak langkah itu diambil. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 16 Ogos, 2015.Ketua Umno Bahagian Pontian Datuk Ir Hasni Mohammad berkata sehari sebelum rombakan Kabinet dilaksanakan, pengendali akaun WhatsApp ketua-ketua Umno bahagian meminta pandangan daripada ketua bahagian sama ada wajar atau tidak langkah itu diambil. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari.
 
 
Ketua Umno Bahagian Pontian Datuk Ir Hasni Mohammad mendedahkan keputusan rombakan Kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dibuat hanya menerusi perbincangan dalam WhatsApp tanpa dibincangkan mengikut saluran tertinggi parti Melayu itu.

Hasni berkata sehari sebelum rombakan Kabinet dilaksanakan, pengendali akaun WhatsApp ketua-ketua Umno bahagian meminta pandangan daripada ketua bahagian sama ada wajar atau tidak langkah itu diambil.

 "Satu hari sebelum rombakan Kabinet, ketua-ketua bahagian diminta beri pandangan perlu atau tidak, kalau 150 bersetuju, pentadbir atau admin WhatsApp ketua-ketua bahagian ini berkata presiden akan laksanakan," kata Hasni semasa majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Pontian di Johor petang ini.

Langkah itu dipertikaikan Hasni kerana menurutnya sebarang keputusan yang penting seharusnya dirujuk terlebih dahulu di peringkat tertinggi parti menerusi Majlis Tertinggi (MT) atau Badan Perhubungan Umno Negeri.

"Kenapa kaedah Majlis Tertinggi dan Badan Perhubungan tidak lagi digunapakai," katanya.

Menurut Hasni, lebih mengeruhkan keadaan apabila terdapat ketua bahagian dalam kumpulan WhatsApp itu yang besar kepala hanya kerana mempunyai hubungan rapat dengan Najib.

"Ada setengah ketua bahagian yang baru sekali dua berjumpa dengan presiden, malah dalam WhatsApp itu ada ketua bahagian yang sudah rasa besar dan boleh menghukum ketua bahagian lain

 "Malah mereka ini boleh hukum saya kalau kenyataan yang saya cakap ini menyinggung presiden," katanya.

Najib pada Julai lalu merombak Kabinet dengan menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan perdana menteri dan beberapa menteri yang lain, dipercayai kerana kritikan dalam isu membabitkan syarikat sarat hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

 Namun, Najib tidak menyingkirkan Muhyiddin sebagai timbalan presiden Umno. Sementara itu, Hasni menyifatkan keputusan menyingkirkan Muhyiddin daripada Kabinet sebagai tidak wajar dan tidak boleh diterima sama sekali kerana status beliau yang masih menjawat jawatan tertinggi parti.

 "Kami Umno Johor menyokong rombakan Kabinet tapi kami tidak menyokong penyingkiran Tan Sri daripada Kabinet," katanya.

Hasni juga membidas Najib dengan mengatakan rakyat Johor sekarang terluka dengan keputusan penyingkiran Muhyiddin daripada kerajaan.

 "Kami sangat terluka," katanya dalam majlis yang turut dihadiri Muhyiddin hari ini.


Saya tahu wang RM2.6 bilion dalam akaun Najib, kata Tengku Adnan

Posted: 16 Aug 2015 05:21 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER





Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata beliau dan bendahari parti tahu tentang duit RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Datuk Seri Najb Razak, lapor The Star Online hari ini. 

Portal berita itu memetik beliau sebagai berkata perkara itu sudah "berulang kali diperjelaskan". "Kami sudah berkali-kali menjelaskan isu ini.

Sebagai Setiausaha Agung, saya sedar tentang perkara itu dan begitu juga bendahari parti,"katanya ketika berucap pada Mesyuarat Umno Bahagian Setiawangsa hari ini.

Najib baru-baru ini mendakwa beliau sudah dibersihkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas tuduhan rasuah membabitkan dana sebanyak AS$700 juta (RM2.6 bilion) dalam akaun peribadinya.

Najib berkata wang tersebut disimpan bagi pihak Umno, di mana beliau adalah presiden, dan bukan untuk kegunaan peribadinya. SPRM sebelum ini mengumumkan wang itu bukan daripada firma pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tetapi ia datang daripada seorang penderma dari Timur Tengah.

Tuduhan dana sebanyak RM2.6 bilion yang dipindahkan ke dalam akaun Najib muncul dalam satu laporan oleh The Wall Street Journal (WSJ) pada 2 Julai lalu, yang memetik dokumen daripada pasukan penyiasat Malaysia.

WSJ berkata sumber dana itu tidak diketahui, tetapi ia disalurkan melalui anak syarikat 1MDB berkaitan dalam beberapa peringkat, perpindahan jumlah wang paling banyak – AS$681,000,000 – disalurkan kepada akaun Najib pada Mac 2013, menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 pada Mei tahun itu.

Beberapa ahli Kabinet Najib sebelum ini berkata, adalah tidak menjadi kesalahan wang berkenaan disalurkan ke dalam akaun peribadi beliau kerana beliau berhak menjadi pemegang amanah untuk Umno.

Tengku Adnan hari ini berkata parti pembangkang dan kumpulan seperti Bersih 2.0 perlu mendedahkan sumber dana mereka

Kami mahu tahu di mana mereka mendapatkan pembiayaan mereka. Mereka memberi t-shirt kuning dan kain rentang pada setiap demonstrasi. Orang ramai berhak untuk tahu di mana mereka dapat sumber (dana) itu? Sila isytiharkannya," beliau dipetik sebagai berkata.

Menjelang perhimpunan Bersih yang akan diadakan selama 34 jam di Kuala Lumpur dan bandar-bandar lain, Tengku Adnan berkata penunjuk perasaan pada perhimpunan sebelum ini menerima wang dalam mata wang asing.

 "Saya lihat dengan mata saya sendiri semasa perhimpunan Reformasi pada 1998, beberapa peserta memegang duit kertas AS$50 selepas mereka menyertai perhimpunan tersebut. "Sekarang kita mahu tahu di mana pertubuhan bukan kerajaan dan pembangkang mendapatkan pembiayaan mereka."


Langkah mayat kami jika mahu tukar kerajaan jalan belakang, kata Zahid

Posted: 16 Aug 2015 05:13 AM PDT




Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini memperuntukkan proses pertukaran kerajaan dilakukan melalui pilihan raya yang sah, meskipun terdapat klausa dalam Perlembagaan yang membenarkan kerajaan ditukar selain daripada pilihan raya umum. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 16 Ogos, 2015.Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini memperuntukkan proses pertukaran kerajaan dilakukan melalui pilihan raya yang sah, meskipun terdapat klausa dalam Perlembagaan yang membenarkan kerajaan ditukar selain daripada pilihan raya umum. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal.



Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, mana-mana pemimpin Umno yang ingin bekerjasama dengan pembangkang untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui "jalan belakang" perlu berhadapan dengan ahli Umno.

Beliau berkata, sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini memperuntukkan proses pertukaran kerajaan dilakukan melalui pilihan raya yang sah, meskipun terdapat klausa dalam Perlembagaan yang membenarkan kerajaan ditukar selain daripada pilihan raya umum.

 "Ini negara demokrasi, kita ada pilihan raya untuk memilih kerajaan, walaupun ada beberapa klausa jika tidak mendapat kepercayaan, Yang di-Pertuan Agong, atas nasihat perdana menteri boleh bubar (Parlimen).

"Jika akuan bersumpah diperolehi daripada majoriti ahli Parlimen kerajaan yang ada itu tumbang maka terbentuk kerajaan baharu.

 "Langkah mayat ahli-ahli Umno kalau nak tukar kerajaan guna jalan belakang," kata Zahid.

 Beliau juga berkata, BN akan mencari jalan untuk memastikan tiada wakil rakyat mereka daripada ahli Parlimen mahupun Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) melompat parti.

"Kita akan cari jalan tidak akan berlaku lompat parti, ahli Parlimen dan Adun kita," katanya.

 Beliau berkata demikian mengulas kenyataannya sebelum ini yang mengatakan terdapat pemimpin Umno yang bekerjasama dengan pembangkang untuk menjatuhkan kerajaan melalui akuan bersumpah.

"Susah-susah adakan pilihan raya, kita menang majoriti walau tidak dua pertiga. Bila kapal bergoyang, ombak melanda, ada yang nak korek kapal, bagi air laut masuk dalam kapal.

 "Saya tidak menamakan sesiapa, Alhamdulillah kalau penafian dilakukan mana-mana tokoh," katanya. Ahli Parlimen Bagan Datoh itu berkata, selaku naib presiden Umno, beliau tidak akan membiarkan perkara itu berlaku.

"Surat sumpah akuan janji itu disiapkan untuk ditandatangani bukan sahaja 87 ahli Parlimen pembangkang, tapi 1 BN, dan mereka sasarkan 37 lagi ahli Parlimen BN untuk bersama mereka.

 "Adakah namanya kerajaan BN, jika kita ada 37 mereka ada 87?" soalnya.

 "Sebelum nasi menjadi bubur, saya sebagai naib presiden, saya akan pastikan konspirasi itu tidak akan terjadi." Zahid turut menegaskan, maklumat yang diterimanya berkenaan perkara itu adalah sah.

"Ini bukan nak beri amaran-amaran. Zahid Hamidi tidak beri amaran, kalau nak bertindak dia akan bertindak tanpa amaran," katanya.

 "Alhamdulillah perkara itu tidak berlaku, tapi saya tahu siapa orang itu." Beliau turut berkata, dirinya tidak menyalahgunakan kuasa, sebaliknya, maklumat berkenaan diperolehinya selaku menteri dalam negeri.

"Saya bukan salahgunakan kuasa saya, tapi jangan pertikaikan kemampuan menteri dalam negeri ini mendapatkan maklumat yang sahih. Ini maklumat sebenar," katanya.



IGP: Penganjur Bersih 4.0 hanya penting diri

Posted: 16 Aug 2015 04:59 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menyifatkan penganjur Bersih 4.0 hanya mementingkan diri kerana sanggup mengadakan demonstrasi yang akan menjejaskan kehidupan harian orang ramai terutama peniaga dan pemandu teksi.
  
Beliau berkata nama Bersih hanyalah sekadar gelaran namun hakikatnya penganjur tidak mahu mematuhi undang-undang.
  
"Mereka minta 'clean' (bersih) itu, 'clean' ini tetapi diri sendiri kotor tidak mahu mematuhi undang-undang. Dia tidak mahu menjaga kepentingan orang lain, dia nak jaga hak dia sahaja, sesuka hati berhimpun.
  
"Cuba kita tengok, bila mereka mengadakan perhimpunan semua tutup kedai. Mereka (peniaga) ini tidak ada hak ke. Jadi, fikirkanlah juga hak orang lain," katanya  mengulas cadangan penganjuran demonstrasi BERSIH 4.0 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur; Kuching (Sarawak) dan Kota Kinabalu (Sabah) pada bulan ini.
  
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis perbarisan tamat latihan dan pentauliahan Kor Suksis Insitutut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kali ke-11 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di Batu Pahat, hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Johor Datuk Rusli Ahmad dan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.

Khalid berkata, pihaknya juga mendapati penganjuran Bersih tidak lagi untuk memperjuangkan pilihan raya bersih namun lebih menjurus untuk menjatuhkan kerajaan.
  
"Ini saya bagi ingatan ... jika ini tujuan mereka (jatuhkan kerajaan), polis akan ambil tindakan-tindakan pencegahan dan saya ingatkan penganjur-penganjur Bersih agar berhati-hati," katanya.
  
Berhubung pendedahan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam bahawa terdapat gerakan untuk menggulingkan kerajaan yang didalangi seorang tokoh UMNO dengan sokongan anggota Parlimen pembangkang, Khalid berkata polis sedang memantau perkembangan yang berlaku ketika ini.
  
"Jika mana-mana orang dan parti politik cuba menurunkan kerajaan sedia tanpa mengikut Perlembagaan dan undang-undang (ia kesalahan serius), kita akan ambil tindakan," katanya.
  
Berkenaan Kor Suksis, beliau berkata, pihaknya sedang mempertimbang untuk mengkaji semula silibus latihan bagi memantapkan lagi pasukan itu.
  
Sebanyak 1,026 pelatih Kor Suksis menerima sijil tamat latihan pada majlis itu. Bernama


 

Dakwaan guling k'jaan, Mahfuz selar Zahid

Posted: 16 Aug 2015 04:32 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


MP Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar menyelar dakwaan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi berhubung dakwaan terdapat gerakan menjatuhkan kerajaan dengan sokongan ahli parlimen pembangkang melalui akuan bersumpah (SD).

Mahfuz berkata, dakwaan Zahid yang juga menteri dalam negeri, itu tidak berasas memandangkan beliau selaku ahli parlimen pembangkang tidak mengetahui mengenai gerakan serta SD itu.

"Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi tiba-tiba menimbulkan kononnya wujud SD untuk menjatuhkan kerajaan yang sedang diusahakan oleh pihak tertentu dalam Umno untuk mendapat sokongan ahli-ahli parlimen pembangkang.

"Sedangkan saya sebagai Ahli Parlimen Pembangkang sendiri tidak mengetahuinya," katanya dalam kenyataannya hari ini.

Semalam, ketika merasmikan mesyuarat Umno Ampang, Zahid mendakwa terdapat seorang pemimpin Umno kini sedang mengetuai gerakan menjatuhkan kerajaan melalui pintu belakang dengan sokogan ahli parlimen pembangkang.

Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata, terdapat usaha mendapatkan SD di kalangan ahli parlimen pembangkang serta menarik ahli parlimen BN supaya menumbangkan kerajaan.

Mahfuz berkata sekiranya wujud usaha tersebut, maka perkara itu tidak menyalahi Perlembagaan negara memandangkan BN sebelum ini pernah melakukan perkara sama di Perak.

Beliau turut berkata tindakan Zahid yang juga naib presiden Umno mendedahkan wujudnya gerakan itu menunjukkan kebimbangan beliau jika menjadi timbalan perdana menteri yang paling singkat.

Mahfuz berkata kenyataan Zahid itu juga memberi isyarat kepada pemimpin Umno supaya terus menekan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar melepaskan jawatan secara terhormat bagi mengelak berdepan undi tidak percaya.

"Zahid mengguna kaedah psikologi yang cukup mendalam kononnya demi Umno, Najib kena berundur.

"Hakikat sebenar ialah demi untuk beliau tidak menjadi timbalan perdana menteri paling singkat, sekaligus upaya melangkah lebih jauh mengintai peluang untuk menjadi PM paling tidak pun sampai PRU 14," kata Mahfuz. 


Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia tiba di Madinah

Posted: 16 Aug 2015 04:28 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
MADINAH: Kumpulan pertama, 450 jemaah haji Malaysia selamat tiba di Lapangan Terbang Prince Mohammad bin Abdulaziz di sini, pada 8.35 pagi waktu tempatan (1.35 tengah hari waktu Malaysia).
 
Mereka akan ditempatkan di Hotel Movenpick, satu daripada tiga hotel yang menempatkan jemaah haji Malaysia di sini.
 
Dua lagi hotel untuk penginapan jemaah haji ialah Hotel Al-Haram dan Hotel Al-Saha.
 
Kumpulan pertama jemaah haji itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 5.30 pagi ini (waktu Malaysia) dengan pesawat SV5701 milik Saudi Arabian Airlines.
 
Sebanyak 11,088 bakal jemaah haji menerusi 32 penerbangan dijadualkan tiba secara berperingkat di Madinah.
 
Mereka kemudiannya dijadualkan menaiki bas ke Makkah bermula 24 Ogos ini dengan kumpulan terakhir ke Makkah ialah pada 7 September.
 
Jumlah jemaah haji Malaysia tahun ini ialah seramai 22,320. Mereka akan dibawa menerusi 64 penerbangan menggunakan pesawat Malaysia Airlines dan Saudi Arabian Airlines.
 
Sebanyak 32 penerbangan lagi dijadualkan tiba di Jeddah. 


PAS sedia hadapi cabaran pada PRU14, tidak pernah rasa tergugat - Nasrudin

Posted: 16 Aug 2015 04:27 AM PDT

Oleh Syed Muaz Syed Putra

 
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: PAS tidak pernah berasa tergugat dengan tindakan ahlinya keluar parti dan menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB) malah bersedia menanti kehadiran serta cabaran NGO itu dalam pilihan raya umum akan datang.
 
Ketua Penerangan PAS Pusat Nasruddin Hassan berkata GHB yang dijangka dibentuk sebagai parti politik bukan ancaman besar kepada parti berteraskan Islam itu.
 
"Tidak, kita tidak pernah berasa tergugat kerana kita sudah siap untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang dan sedia hadapi apa sahaja," katanya kepada Antarapos.
 
Beliau juga optimis pengundi tidak akan berpihak kepada GHB meskipun terdiri daripada pemimpin kanan PAS yang tewas dalam pemilihan parti pada Jun lalu.
 
"Pengundi ini ada pelbagai segmen yang mana berisan utama biasanya dari kalangan veteran ataupun saluran satu yang mana mereka kebiasaannya akan memilih parti dan yang kedua golongan kedua anak muda yang mana mereka ini celik IT dan ada maklumat," katanya.
 
Nasrudin diminta mengulas kesediaan GHB menentang PAS dalam pilihan raya umum akan datang yang dijangka diadakan pada awal 2017.
 
Sebelum ini, Penyelaras Harapan Baru Selangor Ir Izham Hashim berkata kesediaan menentang PAS bukannya bermaksud GHB akan mencabar setiap kerusi yang ditandingi parti Islam itu sebaliknya bergantung pada rundingan masa depan bersama Pakatan 2.0 iaitu PKR dan DAP.
 
Untuk rekod, GHB akan mengambil alih parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) dan bercadang melancarkan semula parti itu pada 31 Ogos ini.
 
GHB adalah satu gerakan yang diterajui bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu selain membariskan beberapa bekas pimpinan utama termasuk bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Muhammad Muhammad Taib, bekas Setiausaha Agung Datuk Kamaruddin Jaafar dan bekas Naib Presiden Salahuddin Ayub.
 
Tidak mudah pengundi ubah sokongan terutama kepada parti baru
 
Nasrudin menambah dengan senario semasa hari tidak mudah untuk rakyat terpengaruh dan menyokong parti baru kecuali ia mempunyai dasar serta prinsip perjuangan yang kukuh untuk menarik keyakinan umum.
 
"Jadi saya fikir tak mudah jugalah pengundi untuk terpengaruh dengan begitu sahaja kecuali sesuatu parti yang bertanding itu membawa dasar dan matlamat perjuangan yang jelas, kukuh dan mampu untuk membina keyakinan rakyat," katanya.
 
Bagaimanapun tegas Ahli Parlimen Temerloh ini, PAS tidak pernah memandang rendah kemampuan serta keupayaan parti yang bertanding dalam pilihan raya.
 
"Bagi PAS kita tidak pernah memandang kecil keupayaan parti yang bertanding dalam pilihan raya tetapi dalam masa yang sama kita tidak pernah rasa tergugat atau terancam kerana PAS mempunyai aset undi yang tersendiri," katanya.
 
Beliau menambah PAS telah biasa melalui perkara itu dan terpulang kepada ahli parti membuat pilihan sama ada keluar parti atau terus bersama kepimpinan PAS sekarang.
 
Susulan daripada siri jelajah GHB, PAS memutuskan untuk mengkaji sejauh mana NGO berkenaan boleh merosakkan parti itu sebelum mengambil tindakan selanjutnya terhadap ahlinya yang menyertai gerakan terbabit.
 
Difahamkan PAS kini sedang menerima laporan mengenai pembabitan ahlinya dengan gerakan itu dan ia harus diteliti dengan sebaik mungkin sebelum sebarang keputusan dibuat.
 
 

Tunjuk bukti 3,000 ahli sertai GHB - PAS Selangor

Posted: 16 Aug 2015 04:24 AM PDT

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: PAS Selangor hari ini menuntut penjelasan daripada Gerakan Harapan Baru (GHB) Selangor berhubung dakwaan terdapat lebih 3,000 penyertaan daripada ahli parti Islam itu yang menyertai pertubuhan berkenaan.
 
Bercakap kepada Antarapos, Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman memberitahu dakwaan itu dianggap tidak berasas memandangkan hanya ratusan sahaja bilangan ahli parti direkodkan menyertai pertubuhan berkenaan.
 
"Saya tidak pasti dari mana Izham ambil bilangan 3,000 yang diisytiharkan itu. 
 
"Sesiapa pun yang mahu menyertai GHB terserah kepada diri masing-masing. Yang pastinya pentadbiran PAS tidak terjejas. Bilangan 3,000 yang diisytiharkan Izham itu baru 0.5 peratus ahli PAS di Selangor. Dan Selangor masih lagi menerima penyertaan baru ke dalam PAS," katanya.
 
Khairuddin mengulas kenyataan Penyelaras GHB Selangor, Izham Hashim bahawa keahlian GHB di Selangor pada hari ini hampir mencecah 3,000 orang dan 90% daripadanya terdiri daripada ahli PAS. 
 
Menyatakan gerakan itu mendapat sokongan daripada pelbagai pihak termasuk dari bukan Islam, Izham juga menambah banyak desakan daripada pemimpin parti Islam itu untuk meletak jawatan atau menyertai GHB.
 
Menurutnya lagi keahlian GHB di Slenagor semakin bertambah dengan lebih 20 kawasan sudah dibentuk.
 
GHB baru-baru ini mengumumkan 21 ahli jawatankuasanya termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kelang Saari Sungib dan ADUN Morib, Hasnul Baharudin yang dilantik sebagai timbalan penyelaras jawatankuasa itu. 
 
Manakala pada minggu ini seramai 13 ahli jawatankuasa (AJK) Pemuda PAS Shah Alam, termasuk Ketua Pemudanya, Helmi Radzuan semalam mengumumkan peletakan jawatan mereka di peringkat kawasan selepas parti Islam itu kini dilihat lebih eksklusif selepas pemilihan Jun lalu.
 
Antara sebab lain tindakan itu diambil adalah kerana kerjasama di peringkat kawasan dengan kalangan Pemuda negeri semakin longgar.
 
Khairuddin dalam pada itu yakin PAS Selangor langsung tidak terjejas dengan perkembangan berkenaan.
 
 

Rahman: Pasukan siasat dana RM2.6b 'tak sah'

Posted: 16 Aug 2015 04:20 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menyifatkan pasukan petugas khas untuk menyiasat dakwaan wang RM2.6 bilion didepositkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak adalah "tidak sah".

"Sejak awal, pasukan khas itu ditubuhkan secara tidak sah. Mereka tidak sepatutnya menyiasat perdana menteri atau mana-mana individu berkaitan hal itu.

"Pasukan khas asal ditubuhkan bagi melihat keseluruhan polisi sistem perbankan seperti pengubahan wang haram, aliran dana haram, pengurup wang yang menggunakan cara yang haram untuk memindahkan wang dari dalam dan luar negara, transaksi wang secara haram melibatkan pengganas dan penjualan dadah serta kelemahan yang ada di dalam sistem.

"Ini adalah sebab kenapa peguam negara, Bank Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan polis terlibat," katanya dalam wawancara dengan The Star Online.

Selain itu, Abdul Rahman berkata, peguam negara tidak sepatutnya terlibat dalam penyiasatan itu demi memastikan pengasingan kuasa.

Pasukan petugas khas itu dibubarkan dengan serta merta selepas Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail telah dipecat daripada jawatan tersebut dan diganti dengan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali.

Walaupun pembubaran pasukan petugas khas itu, Abdul Rahman, yang juga menteri kabinet menegaskan bahawa siasatan masih boleh diteruskan.


PM: RM10j kempen p'raya Dr M 'tak rasional'

Posted: 16 Aug 2015 04:07 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menafikan kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahahtir Mohamad bahawa sewaktu pemerintahannya, hanya RM10 juta diperlukan untuk setiap kempen pilihan raya umum.

Najib berkata beliau selalu mempertahankan Dr Mahathir tetapi kenyataan bekas perdana menteri itu perlu "munasabah".

Menurut Najib lagi perbelanjaan untuk deposit bagi semua kawasan sahaja berjumlah sehingga RM41juta.

"Itu dah lebih 10 juta," kata Najib pada Mesyuarat Agung Umno bahagian Kepala Batas hari ini, yang dihadiri kira-kira 3,000 ahli.

"(Itu) tak termasuk berapa banyak baju T dan mesyuarat lagi.

"Nak kritik pun kena ada asas dan mesti masuk akal. Ia tidak logik dan rasional. Oleh itu, saya akan betulkan keadaan," katanya lagi.

Perdana menteri berkata beliau menerima sebarang kritikan terhadap beliau tetapi ia mempunyai saluran untuk melakukannya jika tidak rakyat akan keliru.

Najib turut meluahkan rasa gembira terhadap rakyat di Kepala Batas yang tidak menerima kenyataan seumpama itu. [Baca berita asal]

Tak pernah persoal Pak Lah

Sementara itu, Bernama melaporkan Najib berkata dana politik yang diterima adalah hak eksklusif presiden dan bendahari parti dan tidak dibincangkan secara terbuka.
  
Beliau berkata malah perkara berkaitan dana politik tidak pernah dibincang dalam perjumpaan tertutup parti dan majlis tertinggi Umno.
  
"Waktu saya jadi timbalan Pak Lah (bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi), saya tidak pernah menyoal Pak Lah. Saya tahu itu adalah urusan presiden parti.
  
"Sampai sahaja pilihan raya fulus (duit) cukup, itu saja yang kita nak tahu ... bagaimana presiden dapat dana, siapa bagi sumbangan itu hak budi bicara presiden. Kenapa pula nak dipersoalkan waktu saya jadi presiden parti," katanya.
  
Berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kepala Batas di Kepala Batas, Perdana Menteri berkata selaku presiden UMNO beliau mengamalkan prinsip yang sama dengan presiden parti terdahulu.

"Apa yang saya buat adalah untuk kepentingan parti dan bukan untuk peribadi ... apa yang saya buat tidak menyalahi undang-undang negara," katanya.
  
Najib berkata sepanjang menjadi timbalan kepada Abdullah, beliau tidak pernah menyoal bekas presiden Umno itu atas urusan-urusan yang diketahui menjadi hak dan budi bicara presiden parti.
  
Begitu juga dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, katanya beliau mempertahankan Dr Mahathir selama 22 tahun sebagai perdana menteri. 


Muhyiddin: Berapa lama nak tunggu siasatan 1MDB?

Posted: 16 Aug 2015 04:04 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini meluahkan secara terbuka mengenai tempoh masa untuk rakyat menunggu bagi mengetahui keputusan siasatan 1MDB.

Bercakap dalam Mesyuarat Perwakilan Umno bahagian Pontian hari ini, Muhyiddin berkata rakyat cukup sabar untuk menunggunya kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak beberapa kali mengulangi gesaan supaya bersabar.

"Perdana menteri kata tunggu, tunggu penyiasatan. Tunggu, tunggu. Berapa lamalah nak tunggu, sampai bulan jatuh ke riba?" kata Muhyiddin.

Beliau yang juga timbalan presiden Umno berkata terdapat jangka waktu yang dianggap munasabah untuk menunggunya.

"Bila dah lewati batas kemunasabahan, maka keyakinan akan runtuh, (orang) tak percaya, mereka akan kata 'awak boleh cakap apa sahaja, tapi kami tak percaya kamu'" kata Muhyiddin lagi.


Tepukan buat Muhyiddin, 'boo' untuk Ahmad Maslan

Posted: 16 Aug 2015 04:02 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan disambut dengan 'boo' dan ejekan sewaktu Mesyuarat Perwakilan Umno bahagian Pontian sekalipun beliau adalah timbalan bahagian kawasan itu.

Ia berbeza dengan bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disambut dengan tepukan sewaktu ketibaannya dan ketika sampai ke kemuncak ketika menyampaikan ucapannya.

Laungan "Hidup Tan Sri!" beberapa kali turut bergema dalam dewan sepanjang beliau menyampaikan ucapan.

Bagaimanapun, Ahmad, yang juga MP Pontian di'boo' dan diejek sewaktu nama beliau disebut.

Keitka beliau diperkenalkan oleh pengerusi majlis, beliau di'boo'. Ketika Ketua Umno bahagian Hasni Mohammad menyebut nama Ahmad dalam ucapnnya, tepukan perlahan oleh hadirin.

Sewaktu Muhyiddin menyampaikan ucapan, beliau mengucapkan tahniah kepada Ahmad yang dilantik menjadi timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri. Hal ini juga mengundang ejekan 'boo' oleh hadirin.

Muhyiddin yang juga timbalan presiden Umno serta merta menegur hadirin supaya tidak melakukan demikian.

"Beliau timbalan ketua bahagian Umno Pontian, jangan 'boo'," kata Muhyiddin.

Ketika ditemui Malaysiakini kemudiannya, Ahmad ditanya mengenai reaksi beliau berhubung penerimaan perwakilan hari ini.

"Dua orang saja kan?" kata beliau sebelum beredar.


‘Kalau berani, buatlah penafian di media’

Posted: 15 Aug 2015 05:31 PM PDT

Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid merangkap Naib Presiden UMNO berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Klang 2015 hari ini. - Foto Bernama
 
 
KLANG - [DIKEMASKINI] Susulan kenyataannya hari ini, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencabar tokoh yang didakwanya terlibat dalam gerakan untuk mengguling kerajaan menafikan dakwaannya itu jika benar ia tidak benar.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, tokoh tersebut bakal muncul tanpa perlu didedahkan identitinya.

"Perkara ini bukan rekaan tapi sedang berlaku. Saya tahu siapa. Tidak perlu saya beritahu siapa kerana akhirnya dia akan muncul.

"Jika dia berani, tokoh itu kena nafikan di media," katanya yang juga Menteri Dalam Negeri ketika merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Klang, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid Hamidi hari ini mendedahkan terdapat gerakan untuk mengguling kerajaan oleh pembangkang dan turut didalangi pemimpin BN termasuk Umno.

Beliau berkata, rancangan itu dijalankan dengan cara untuk mendapatkan akuan bersumpah daripada ahli Parlimen pembangkang, serta cuba menarik ahli Parlimen BN menyokong mereka bagi menumbangkan kerajaan sedia ada melalui 'jalan belakang'.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Ada usaha guling kerajaan guna 'pintu belakang' ]

Sementara itu, dalam ucapan di Klang, beliau turut mendakwa konspirasi itu melibatkan khidmat peguam yang menyediakan akuan bersumpah.

"...akuan bersumpah itu untuk ditandatangani oleh kononnya ahli-ahli Parlimen pembangkang dan akan mempengaruhi ahli-ahli Parlimen BN.

"Saya tahu sebab saya Menteri Dalam Negeri. Saya mendapat maklumat. Selain tokokh itu, saya tahu siapa di belakang tokoh itu. Saya tak perlu dedahkan kerana (akan) adanya pendedahan yang akan timbul sendiri," katanya.

Dalam ucapan sama, beliau menyatakan keyakinan bahawa tiada mana-mana pemimpin Umno di peringkat akar umbi yang menyokong konspirasi itu.

"Saya tidak fikir ada mana-mana tokoh Umno di peringkat akar umbi dan bahagian yang mahu menyokong tindakan ini.

"Sebagai sebuah negara demokrasi, pilihan rakyat hendaklah dihormati dan 88 ahli-ahli Parlimen BN harus bersama-sama dengan Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri yang dipilih rakyat melalui pilihan raya," katanya.



Isu 1MDB perlu selesai demi kredibiliti Umno

Posted: 15 Aug 2015 05:21 PM PDT

SINAR HARIAN


Hishammuddin Tun Hussein
Hishammuddin (tengah) bergambar kenangan bersama veteran Umno selepas menerima sijil penghargaan masing-masing pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Padang Besar hari ini. - Foto Bernama


PADANG BESAR - Isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu diselesaikan bagi memastikan kredibiliti Umno tidak terjejas, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Justeru, katanya, biarpun siasatan terhadap transaksi syarikat pelaburan strategik negara itu akan memakan masa namun ia perlu diteruskan bagi mencari penyelesaian.

"Yang penting bukan individu tetapi institusi (parti) itu sendiri. Dalam proses siasatan dan mencari keadilan, jangan ada pihak-pihak tidak berdosa menjadi mangsa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Padang Besar di Beseri, dekat sini, hari ini.

Menyentuh mengenai penerangan parti itu mengenai isu 1MDB dan sumbangan derma RM2.6 bilion dalam dana politik kepada anggota di peringkat umbi, beliau berkata mereka dapat menerima penjelasan parti berhubung isu tersebut.

"Cuma janji kita pada ahli dan rakyat bahawa isu-isu ini mesti diselesaikan dan siasatan terhadap 1MDB memakan masa," katanya.

Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan, menegaskan bahawa fokus penting pada ketika ini ialah langkah-langkah strategik bagi menangani kedudukan ekonomi negara, kejatuhan nilai Ringgit dan harga komoditi. - Bernama

Ku Li dakwa tidak tahu gerakan jalan belakang

Posted: 15 Aug 2015 05:18 PM PDT

Tengku Razaleigh Hamzah
Tengku Razaleigh 
 
 
KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah hari ini menafikan bahawa beliau terlibat dalam plot untuk menjatuhkan kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bagaimanapun beliau tidak menolak kemungkinan perkara itu boleh terjadi kerana saluran Perlembagaan membenarkannya.

"Saya tidak tahu ada pakatan nak gulingkan kerajaan oleh tokoh dalam dan luar parti. Saya tidak tahu.

"Kalau nak guling kena ada tentera kalau orang biasa tak kan nak guling. Di Parlimen kalau tak cukup bilangan tak boleh buat. Tetapi Perlembagaan benar undi tidak percaya. Itu sahaja boleh dilakukan oleh mana-mana kumpulan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Rumah Terbuka Anak Gua Musang di perantauan, di sini, hari ini.

Menurut beliau, usaha untuk menukar kerajaan itu perkara biasa dan perkara itu sudah dilakukan oleh pembangkang sejak sekian lama.

Katanya lagi, mana-mana pihak yang tidak senang hati dengan pentadbiran kerajaan hari ini boleh kemukakan usul.

"Kalau bilangan cukup berjayalah dia. Kalau tiada bilangan cukup tak berjayalah.

"Ada orang datang tanya saya, macam mana kalau kita tak bersetuju (dengan kerajaan). Saya kata macam pembangkang duduk buatlah. Ini kerja biasa pembangkang," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Ada usaha guling kerajaan guna 'pintu belakang']

Pagi tadi, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan terdapat gerakan untuk mengguling kerajaan oleh pembangkang dan turut didalangi pemimpin BN termasuk Umno.

Beliau berkata, rancangan itu dijalankan dengan cara untuk mendapatkan akuan bersumpah daripada ahli Parlimen pembangkang, serta cuba menarik ahli Parlimen BN menyokong mereka bagi menumbangkan kerajaan sedia ada melalui 'jalan belakang'.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, beliau mendapat maklumat itu daripada sumber yang sangat boleh dipercayai.

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Bodoh tuduh saya mahu jatuhkan kerajaan']

Dalam perkembangan sama, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menyifatkan sesuatu yang bodoh terhadap mana-mana pihak yang mendakwa beliau mahu menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Beliau juga bekas Timbalan Perdana Menteri yang baru digugurkan dari Kabinet itu berkata, menjadi sebahagian daripada kerajaan selama 40 tahun dan tidak boleh diterima akal untuknya memusnahkan apa yang dibina selama ini, lapor Malaysiakini.

"Saya tidak akan cuba menjatuhkan kerajaan yang pernah saya bantu bina. Itu bodoh," katanya secara terbuka di mesyuarat perwakilan Umno Semporna, hari ini

Lulus usul minta PM letak jawatan

Posted: 15 Aug 2015 05:16 PM PDT

Lulus usul minta PM letak jawatan
Sebahagian 201 Pemuda Umno Tampin yang hadir sempena Mesyuarat Perwakilan Pemuda Umno Bahagian Tampin, semalam.
 
 
TAMPIN - Pemuda Umno Bahagian Tampin sebulat suara menerima dan meluluskan usul meminta Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno sempena Mesyuarat Perwakilan Pemuda Bahagian Tampin, semalam.

Usul tergempar diketengahkan Ketua Pemuda Cawangan Kampung Ulu Ladang, Azman Abdullah, 42, itu mendapat sambutan positif daripada majoriti lebih 200 ahli yang hadir.

Usul berkenaan memutuskan: "Demi Melayu, Islam dan Malaysia, meminta Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno agar keyakinan, cinta dan kasih sayang, khasnya orang Melayu dan Bumiputera, terhadap Umno dapat dipulihkan untuk memastikan kita orang Melayu sebagai pemilik negara tercinta ini terus menjadi pemerintah sampai bila-bila."

Sebaik usul berkenaan dikemukakan, Pengerusi Tetap mesyuarat, Mohd Salleh Yahaya, bertanyakan kepada perwakilan berhubung perkara berkenaan dan perwakilan sebulat suara menyatakan sokongan kepada usul berkenaan.

Azman berkata, usul tergempar berkenaan diketengahkan selepas satu demi satu isu timbul membabitkan integriti Perdana Menteri seperti isu derma RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadinya dan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
 
 

Kaji kanak-kanak 6 tahun wajib masuk prasekolah

Posted: 15 Aug 2015 05:14 PM PDT

SINAR HARIAN



kanak-kanak
Gambar hiasan


KOTA BHARU - Kementerian Pendidikan sedang mengkaji kemungkinan mewajibkan kanak-kanak berumur enam tahun mendapatkan pendidikan prasekolah bagi mempersiapkan mereka untuk pembelajaran peringkat sekolah rendah.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Ahmad Tajuddin Jab berkata kajian itu selaras dengan usaha kementerian memastikan tahap pendidikan Malaysia setanding dengan negara maju lain.

"Pada masa ini, kita belum dapat mewajibkan lagi (masuk prasekolah) disebabkan beberapa kekangan termasuk infrastruktur dan tenaga pengajar mahir," katanya kepada pemberita selepas merasmi penutupan Program Jelajah Kementerian Pendidikan 2015 di sini, hari ini.

Jelajah KPM Edisi Ketiga itu bertujuan mengetahui kehendak dan keperluan rakyat terhadap sistem pendidikan negara.

Ahmad Tajuddin berkata tahun ini, kira-kira 84 peratus kanak-kanak berumur enam tahun memasuki prasekolah dan peratusan itu dijangka meningkat kepada 90 peratus  dalam tempoh tiga tahun lagi.‎

Malaysia agak ketinggalan jika dibandingkan dengan negara maju seperti Finland yang 99 peratus kanak-kanaknya mendapatkan pendidikan awal sebelum memasuki sekolah rendah.

Menurutnya pendidikan prasekolah amat penting bagi memastikan kanak-kanak di negara ini mencapai prestasi lebih baik semasa memasuki sekolah rendah. - Bernama


Tiada ulasan: