Jumaat, 14 Ogos 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Ringgit terus jatuh walau selepas jaminan PM

Posted: 14 Aug 2015 06:28 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Ringgit terus menunjukkan kejatuhan hari ini walaupun perdana menteri semalam telah memberikan jaminan untuk menanganinya dengan sedaya upaya malam tadi.

Setakat jam 11.10 pagi ini, ringgit diniagakan pada 4.1223 untuk sedolar Amerika Syarikat (AS), penurunan 2.3 peratus daripada indeks pembukaan.

Tahun lepas ia mencapai nilai tinggi RM3.1415 untuk setiap dolar.

Setelah lama berdiam diri, Datuk Seri Najib Razak semalam bersuara ketika nilai ringgit berada pada tahap RM4 untuk sedolar AS.

Najib cuba menenangkan keadaan dengan memberi jaminan untuk berusaha sedaya upaya untuk menangani masalah itu.

Beliau juga mengingatkan laporan terkini Bank Negara Malaysia bahawa pertumbuhan ekonomi tetap berada pada landasan stabil dengan kadar pertumbuhan 4.9 peratus pada suku kedua 2015.

Najib mengenal pasti beberapa masalah berkaitan kejatuhan nilai ringgit, termasuk menyalahkan "spekulasi politik keterlaluan".

Masalah lain digariskan termasuk kesan penurunan matawang China, penurunan harga komoditi serta jangkaan AS akan menaikkan kadar faedah.


'Orang asyik tanya saya bila Najib nak jatuh'

Posted: 14 Aug 2015 06:17 AM PDT


Rafizi Ramli
Rafizi Ramli - Foto Sinar Harian


KUALA LUMPUR - Soalan yang kerap ditanya sejak kebelakangan ini adalah 'bila (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak) akan jatuh'.

Malah Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa soalan itu ditanya oleh penyokong Umno sendiri.

"Orang-orang saya selalu tanya, bila Najib nak jatuh. Saya kenal jiran-jiran saya, (penyokong) Umno semua ini.

"Mereka yang setiap hari tanya saya bila Najib nak jatuh?," katanya ketika menyampaikan ceramah pada program Solat Hajat dan Himpunan Rakyat di Pandan Indah, malam tadi.

Tegasnya, pembangkang melawan Umno-BN bukan semata-mata kerana tidak suka akan perdana menteri itu dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor sebaliknya sistem di dalam parti pemerintah itu sendiri yang sudah rosak.

"Kalau tukar perdana menteri pun, letaklah Zahid (Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi), Muhyiddin (bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin), hatta letak menteri paling cerdik pun, kita tak akan selamat.

"Sebab yang menjadi perdana menteri itu kawal semua. Polis, SPRM, hakim dia punya. Sebab itu kalau nak selamatkan Malaysia, nak beri ekonomi pulih kembali, nak letak orang yang makan rasuah dalam penjara, hanya ada satu jalan sahaja iaitu kita kena kalahkan Umno-BN.

Selagi kita tidak ubah kerajaan, sistem tidak berubah. Baik daripada Najib ke, dulu Tun Mahathir (bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad), Pak lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi), selepas ini Zahid ke...sama sahaja. ," katanya.

Malah beliau menyeru semua pihak mengetepikan semua perbezaan dan masalah demi menyelamatkan negara ini.


Di dunia mungkin saya boleh lari, akhirat?

Posted: 14 Aug 2015 06:14 AM PDT

Di dunia mungkin saya boleh lari, akhirat?
Tukang potong rumput apabila tanpa sengaja memecahkan cermin sebuah kereta begitu menyentuh hati.
 

KATA-KATA yang diungkapkan oleh seorang lelaki yang bekerja sebagai tukang potong rumput apabila tanpa sengaja memecahkan cermin sebuah kereta begitu menyentuh hati.

Pemilik kenderaan yang berang dengan insiden itu terus mencari siapakah gerangan yang menyebabkan cermin keretanya pecah.

Namun dia kemudiannya terkedu dengan pengakuan tukang potong rumput dari etnik Rohingya itu yang sanggup membayar kos menggantikan cermin kereta tersebut walaupun bosnya sedia berbuat demikian.

"Dia kata kalau saya buat, biar saya yang ganti. Kalau saya lari sekarang belum tentu di akhirat saya dapat lari. Allahurabbi," kongsi pemilik akaun Facebook, Mizi Lalang.

Menurut Mizi, apa yang menyentuh perasaannya, lelaki itu turut menceritakan mengenai negaranya yang bergolak tetapi dalam masa yang sama dia turut mengingatkan tentang akhirat dan kematian.

Tambah Mizi lagi, kisah ini turut memberi peringatan supaya jangan pandang remeh terhadap orang lain yang zahir nampak tiada apa-apa tapi dia jujur demi rezekinya dan mungkin mempunyai ilmu agama yang tinggi.

Tinjauan di media sosial mendapati rata-rata netizen memuji sikap jujur yang ditunjukkan lelaki berkenaan.

"MasyaALLAH jujurnya dia," tulis Abdullah Zawawi Abdul Hamid

"Bukan sahaja rezekinya murah. Kita doakan negara mereka aman makmur dan mereka dapat hidup sempurna di negara mereka sendiri. Amin," tulis Man Ghazali Rais pula.


Serpihan di Maldives bukan dari MH370

Posted: 14 Aug 2015 06:11 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Serpihan yang diperiksa pasukan Malaysia di Maldives bukan daripada pesawat hilang Malaysia Airlines (MAS) MH370, kata menteri pengangkutan.

Malah, menurut penyiasat, sebahagiannya bukan pun berasal daripada pesawat, kata Datuk Seri Liow Tiong Lai kepada pemberita, lapor dpa.

Pesawat Boeing 777 itu hilang tanpa jejak pada 8 Mac ketika dalam perjalanan daripada Kuala Lumpur ke Beijing.

Ia membawa keseluruhan 239 orang.

Baru-baru ini, 16 bulan selepas kejadian, perdana menteri mengumumkan serpihan yang ditemui di Pulau Reunion daripada pesawat itu.


Pemimpin digantung, pelajar UIA demo

Posted: 14 Aug 2015 06:10 AM PDT

MALAYSIAKINI


Hampir 200 pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) mengadakan perhimpunan bagi menyatakan bantahan terhadap hukuman gantung pengajian yang dikenakan dua pemimpin pelajar oleh pihak universiti, semalam.

Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UIA Hanif Mahpa dan exconya Afiqah Zulkifli digantung pengajian setelah menjemput Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli sebagai penceramah pada satu forum GST, Mei lalu.

Facebook yang menyokong mereka, We Are All UIA2, memuat naik gambar-gambar perhimpunan di masjid UIA di kampus utama Gombak.

"Terima kasih kepada yang memberi sokongan dengan menghadiri solidariti selepas solat Jumaat tadi dan mereka yang di luar sana yang tak putus-putus menyatakan sokongan buat mereka.

"Semoga doa kita semua dapat membuka mata pihak pentadbiran UIAM yang terang-terangan menzalimi hak mahasiswa. Teruskan bersolidariti sehingga kezaliman dapat ditumbangkan," tulisan itu dipetik.

 

#Solidarity4UIA2Solidariti buat Hanif Mahpa dan Afiqah Zulkifli berlangsung dengan baik sebentar tadi.Terima kasih...Posted by We Are All UIA2 on Friday, 14 August 2015

Orang ramai membawa pelbagai tanda sokongan termasuk sepanduk dan poster yang mengecam tindakan tersebut.

Ia antaranya menyampaikan mesej "kebebasan akademik", "kuat bersama" dan "Universiti ini ada masalah".

Selain itu, perhimpunan yang berlangsung kira-kira sejam itu turut sertakan dengan ucapan Pengerusi We Unite for Islam (Wufi) UIAM, Azzan Aznan.

"Ini merupakan satu lagi tindakan tidak bermaruah daripada sebuah IPT bertaraf antarabangsa.

"Tindakan ini juga membuktikan bahawa moto rasmi UIAM iaitu Taman Ilmu dan Budi hanyalah retorik dan penipuan kepada intelek pelajar," kata Azzan ketika berucap di perhimpunan tersebut.

Kedua-dua pemimpin siswa tersebut dikenakan tindakan gantung pengajian selama dua semester dan diberi amaran keras oleh UIA ekoran penganjuran forum GST pada 13 Mei 2015.

Forum pada 13 Mei itu bertukar kecoh apabila polis menyekat Rafizi daripada berucap di majlis berkenaan.

Seorang lagi pemimpin politik, bekas anggota exco Pemuda Umno, Lokman Adam bagaimanapun dibenarkan berucap di acara sama.

Rafizi kasihan lihat nasib ahli Umno

Posted: 14 Aug 2015 06:06 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Umno tidak lagi mendengar suara akar umbi ahli parti itu kerana presidennya dan 191 ketua bahagiannya terlalu mengutamakan kepentingan diri masing-masing dakwa Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Kata Ahli Parlimen Pandan itu, ahli di peringkat bawahan Umno selalu menyuarakan kebimbangan terhadap masa depan negara dan parti mereka namun pihak atasan, termasuk presiden parti tidak mempedulikan keluhan mereka.

"Ini yang saya kasihan kawan-kawan Umno. Mereka adalah rakyat seperti kita, faham (masalah dihadapi) dan (mereka) menyuarakan kebimbangan rakyat biasa dalam mesyuarat mereka.

"Umno ini tidak pernah dikawal oleh akar umbi. Umno dikawal oleh 191 ketua bahagian. Kalau di atas sekali presiden, Datuk Seri Najib Razak, dia ada kepentingan dia…

"Dan yang 191 ketua bahagian ada kepentingan dia juga. Walau suara akar umbi dalam Umno kuat pun, masing-masing (Najib dan ketua bahagian) jaga kepentingan mereka. Suara akar umbi tidak akan dipedulikan di bahagian atas," katanya di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

Rafizi berkata demikian ketika mengulas kenyataan perwakilan Wanita Umno Langkawi Anina Saadudin yang mendakwa tiga juta anggota parti itu kini menjadi mangsa "kencing" Najib.

Kata Rafizi lagi walaupun Presiden Umno menyedari terdapat keluhan daripada akar umbi, namun oleh kerana wujud budaya mendahulukan kepentingan peribadi, Najib tidak berbuat apa-apa.


'RM jatuh akibat politik, tapi puncanya PM'

Posted: 14 Aug 2015 06:04 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


PKR mengakui perkembangan politik semasa antara penyumbang kejatuhan harga ringgit, menjadikannya yang terburuk dalam tempoh 17 tahun.

Bagaimanapun, hujah parti itu, ia sebenarnya berpunca isu kewibawaan Datuk Seri Najib Razak dalam isu derma RM2.6 bilion dan 1MDB.

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata, perkara itu berlaku apabila pelabur kurang yakin untuk melabur di negara ini.

"Memang betul kejatuhan kerana masalah politik tapi ia kerana kredibiliti dia (Najib) mengenai 1MDB, aliran wang yang masuk (dalam akaun Najib), mengenai tindakan dia kebelakangan ini," katanya.

Bercakap kepada pemberita di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Rafizi berkata untuk mengembalikan kepercayaan pelabur antarabangsa, Najib harus meletakkan jawatan.

"Najib sedar kejatuhan ringgit berpunca daripada beliau dan tahu rakyat tidak gembira dan majoriti mahukan Najib letak jawatan

"Tetapi itu sudah jadi budaya dalam Umno, bahawa apabila seseorang mempunyai kuasa dia akan meletakkan kepentingan melebihi kuasa, keluarga, kerabat dari kepentingan rakyat.

"Saya yakin Datuk Seri Najib faham, tetapi kepentingan itu terlalu banyak sehingga beliau tidak sanggup mengorbankan kepentingan dia untuk rakyat," katanya.

Semalam Najib menyalahkan spekulasi politik antara punca kejatuhan ringgit yang sudah mencecah tahap RM4 untuk sedolar Amerika Syarikat (AS).

Najib juga cuba menenangkan keadaan dengan memberi jaminan untuk berusaha sedaya upaya untuk menangani masalah itu. 


Jangan cuba-cuba keruh hubungan polis-SPRM

Posted: 14 Aug 2015 06:01 AM PDT

SINAR HARIAN


Noor Rashid Ibrahim
Noor Rashid Ibrahim
 
 
KULIM - Pihak polis memberi amaran ia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang cuba mengeruhkan hubungan baiknya dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
    
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berkata, tindakan tegas menanti mereka yang cuba berbuat demikian terhadap kedua-dua agensi penguatkuasa itu.
 
"Golongan yang mahu mengeruhkan keadaan akan berhadapan dengan tindakan tegas. Saya ingatkan semua pihak jangan mengambil kesempatan mengeruhkan hubungan baik pihak polis dengan SPRM melalui media maya atau sebarang siaran", katanya hari ini.
 
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penutupan Perkhemahan Kor Kadet Polis Peringkat Kebangsaan Kali Ke-17 di sini hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya.
 
Noor Rashid mengulas tindakan beberapa pihak yang cuba mengeruhkan hubungan baik sedia terjalin di antara polis dan SPRM menerusi pelbagai laporan tidak berasas di dalam media sosial.
 
Mengenai usaha polis untuk melumpuhkan kegiatan pengganas IS di negara ini, Timbalan Ketua Polis Negara itu berkata, pihaknya telah berjaya menangkap kira-kira 100 individu yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas itu.
 
Menerusi usaha perisikan yang berterusan, kegiatan kumpulan itu untuk merekrut lebih ramai rakyat negara ini untuk menganggotai IS telah hampir dilumpuhkan, katanya.
 
Katanya, siasatan menunjukkan laman sosial merupakan medium perhubungan utama untuk mempengaruhi individu di negara ini untuk menyertai pertubuhan pengganas itu di Syria.
 
Kontinjen Terengganu muncul sebagai juara keseluruhan Perkhemahan Kor Kadet Polis Peringkat Kebangsaan Kali ke-17 tahun ini. - Bernama 
 
 

'Buat rakan yang tawar hati, pergilah dari PAS'

Posted: 14 Aug 2015 05:56 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


PAS mungkin tidak dapat bersabar lagi langkah Gerakan Harapan Baru (GBH) yang dilihat terus menjadi duri dalam daging parti Islam itu.

Keadaan itu mungkin memaksa Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Mat menulis panjang menyeru golongan itu keluar parti kerana tiada lagi hujah untuk kekal dalamnya.

"Orang lain boleh mempersoal jemaah baru anda, syarie atau tidak. Anda pun berhak mempertahankan 'ijtihad' anda keluar PAS. Syarie atau tidak.

"Tetapi anda tak punya sedikit pun hujah syarie untuk kekal dalam PAS, dan dengan amanah jawatan yang anda masih pegang itu, anda gunakan untuk sabotaj PAS.

"Itu khianat dan tidak ada khianat sejelas itu," katanya tanpa menyebut secara langsung nama GBH, kumpulan serpihan yang digerakkan bekas pemimpin kanan parti itu.

GHH pimpinan bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu sedang berusaha menubuhkan sebuah parti Islam baru.

Mereka juga dilihat bakal menggantikan PAS dalam gabungan baru pembangkang bersama PKR dan DAP.

Pakatan Rakyat sebelum ini berkubur susulan perselisihan pendapat dan pendirian berpanjangan PAS dan DAP, terutamanya dalam isu hudud.


Muhyiddin: PM dakwa minta AG buat penjelasan

Posted: 14 Aug 2015 05:53 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Datuk Seri Najib Razak memberitahu bekas peguam negara, Tan Sri Abdul Gani Patail supaya membuat penjelasan mengenai sumbangan dana bernilai RM2.6 bilion, kata bekas perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bercakap di Mesyuarat Agung Umno Kemaman hari ini, Muhyiddin berkata, kabinet terkejut selepas kewujudan dana itu dilaporkan The Wall Street Journal (WSJ).

"Saya menghantar mesej kepada perdana menteri memberitahu, dakwaan ini serius dan beliau perlu membuat penjelasan kerana tiada sesiapa boleh membuat dakwaan begitu.

"Beliau (perdana menteri) membalas "terima kasih" dan berkata beliau akan mengarahkan AG memberi penjelasan," katanya.

Menurut Muhyiddin, itu adalah kali terakhir beliau mendengar mengenai isu berkenaan sebelum dipanggil Najib dan mengakui menerima dana RM2.6 bilion daripada penderma tidak dikenali dari Timur Tengah.


Dengar suara akar umbi, kata Shafie

Posted: 14 Aug 2015 05:51 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal mahu kepimpinan parti untuk mendengar suara akar umbi.

Bekas menteri yang baru digugurkan daripada kabinet itu berkata, langkah itu sudah menjadi tradisi parti bagi memastikan ia kekal relevan dan tidak ketinggalan zaman.

Beliau juga berkata perkara itu juga penting supaya Umno kekal sebagai pilihan untuk generasi lebih muda.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Semporna hari ini, ketika ditanya tentang tiga usul kontroversi oleh Pemuda Umno Semporna berkaitan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ketika laporan ini ditulis, mesyuarat agung tahunan Pemuda Umno Semporna masih berlangsung.

Ia bermula pada jam 2 petang tadi.


PM umum pelan selia dana politik demi integriti

Posted: 14 Aug 2015 05:49 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak hari ini mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP).

Menurutnya, jawatankuasa itu akan merangka satu pelan pembiayaan politik berintegriti yang komprehensif dan inklusif, khususnya untuk menentukan proses konsultatif di semua peringkat dan mengambil kira pandangan semua pihak.

"Pelan ini yang akan menangani isu pembiayaan politik adalah penting memandangkan walaupun perkara ini pernah dibangkitkan oleh saya sendiri dengan beberapa pihak lain sejak 2009 lalu, namun ia tidak mendapat sambutan.

"Selain daripada itu, pada masa ini tidak terdapat peraturan mengenai pembiayaan politik yang boleh menentukan sesuatu itu adalah salah atau tidak, walaupun terdapat beberapa peraturan mengenai perbelanjaan pilihanraya," kata Najib dalam satu sidang akhbar hari ini.

Perdana menteri berkata, JKNMPP akan menghasilkan pelan tindakan pembiayaan politik berintegriti melalui pembaharuan dan penambahbaikan undang-undang yang diperlukan untuk disediakan dalam tempoh setahun, seterusnya dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.

"Pelan ini diharapkan akan meningkatkan keyakinan bukan sahaja kepada ahli parti-parti politik, malahan rakyat dan generasi yang akan datang," tambahnya.

Najib berkata, terdapat keperluan mendesak untuk mengawal selia pembiayaan politik bagi memastikan kebertanggungjawaban dan ketelusan demi mewujudkan amalan politik yang sihat.

JKNMPP akan dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Paul Low manakala seorang lagi menteri di JPM Datuk Seri Idris Jala sebagai timbalannya.

Institut Integriti Malaysia (IIM) akan bertindak sebagai Pusat Rujukan dan Rundingcara JKNMPP dengan bantuan sekretariat, dan peruntukan disediakan oleh Bahagian Integriti dan Tadbir Urus (BITU) JPM.

JKNMPP ini akan dianggotai oleh wakil parti politik, tokoh masyarakat, ahli akademik, pemikir, wakil agensi-agensi kerajaan yang berkaitan, wakil sektor swasta, wakil pertubuhan masyarakat sivil dan pihak-pihak berkepentingan, termasuk generasi muda.

"JKNMPP akan menimbang semua aspek peraturan pembiayaan politik termasuk perubahan institusi, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan baru," tambahnya.

Menurut Najib lagi, JKNMPP akan menjadi penasihat kepada kerajaan dalam hal pembiayaan politik berintegriti.

"Jawatankuasa ini juga akan menyediakan forum untuk ahli-ahlinya mengemukakan buah fikiran bagi menentukan mekanisme dan model pembiayaan politik yang berintegriti.

"Jawatankuasa ini juga akan menyelia usaha dialog konsultatif dengan segenap lapisan masyarakat di seluruh negara.

"Proses konsultatif akan berdasarkan amalan terbaik serantau dan sedunia," tambahnya.


Ringgit jatuh: Berhenti salahkan pihak lain!

Posted: 14 Aug 2015 05:46 AM PDT

Azmin Ali
Azmin Ali


SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu berhenti mengalihkan isu sebenar berhubung faktor kejatuhan mata wang Ringgit Malaysia berbanding dolar Amerika dengan menyalahkan kelembapan pasaran mata wang di rantau Asia pada tahun ini.

Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali menegaskan, sikap Najib menyalahkan spekulasi politik yang keterlaluan menyebabkan ketidaktentuan dalam pentadbiran negara juga dilihat secara jelas menyalahkan pihak lain ekoran penyusutan ringgit dan bukan dirinya sendiri.

"Sentimen tidak menentu itu lebih dikaitkan dengan skandal kewangan yang mencengkam negara berhubung dana RM2.6 bilion yang dipindahkan secara rahsia ke akaun peribadinya, sebagaimana besarnya kemelut kewangan 1MDB," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga berkata, kemunculan pakatan sulit dan konspirasi tertinggi didakwa telah mengganggu pasukan petugas khas 1MDB dan menyebabkan pasukan tersebut 'tiba-tiba lenyap'.

"Ia juga membawa kepada pembubaran Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan halangan terang-terangan ke atas pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap siasatan mereka.

"Tindakan itu menjadi faktor utama menularnya persepsi negatif terhadap kepimpinan negara," ujarnya.

Sementara itu, beliau turut mendesak Putrajaya supaya berhenti mengganggu Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz daripada melakukan tugasnya sebagai Gabenor Bank Negara.

"Kita mengutuk tindakan itu termasuk apa-apa kuasa yang di bawah keadaan adalah sama seperti campur tangan dalam Bank Negara Malaysia ke atas siasatan yang masih berterusan," katanya lagi.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Zeti kembali, umum BNM selesai siasat 1MDB ]

[ ARTIKEL BERKAITAN:  BNM tidak akan tambat ringgit, kawal modal ]


Harapan Baru sedia cabar Pas dalam pilihan raya

Posted: 14 Aug 2015 05:44 AM PDT

Harapan Baru sedia cabar Pas dalam pilihan raya
Sidang media penubuhan Harapan Baru Selangor, hari ini. – Foto Sinar Harian


SHAH ALAM - Gerakan Harapan Baru (Harapan Baru) bersedia menentang Pas dalam pilihan raya sekiranya ada keperluan untuk berbuat demikian.

Penyelaras Harapan Baru Selangor, Ir Izham Hashim berkata, kesediaan menentang Pas bukannya bermaksud Harapan Baru akan mencabar setiap kerusi yang ditandingi Pas sebaliknya bergantung pada rundingan masa depan bersama Pakatan 2.0 iaitu PKR dan DAP.

"Saya tidak boleh kata secara khusus Harapan Baru akan mencabar setiap kerusi ditandingi Pas. Saya tidak mahu disalah tafsir sedemikian.

"Ia bergantung pada keadaan jika boleh kita cuba untuk minimumkan masalah kerana matlamat utama menumpaskan BN," katanya ketika sidang media mengumumkan penubuhan Harapan Baru Selangor di sini, hari ini.

Beliau yang masih menjawat posisi Yang Dipertua Pas Kelana Jaya menjelaskan, tidak adil sekiranya dikonklusikan bahawa Harapan Baru akan mengasak setiap kawasan yang ditandingi Pas.

"Itu seperti orang dendam, orang marah. Tidak...Tidak.. Kita (Harapan Baru) bukan begitu, konsensus pakatan baharu akan dipertahankan.

"Bagaimanapun tidak menolak kemungkinan pertembungan dengan Pas akan berlaku dalam pilihan raya akan datang. Bergantung pada keadaan dan keperluan situasi akan datang," katanya.

Ir Izham menegaskan selagi Harapan Baru tidak dibentuk sebagai parti politik pada 31 Ogos ini mereka masih lagi ahli Pas.

Bagaimanapun menyerahkan kepada tindakan yang bakal diambil Pas sama ada untuk memecat mereka atau tidak selepas parti progresif itu terbentuk.

"Sedia dipecat Pas? Itu kita serah kepada parti, buat masa ini kita masih beroperasi sebagai sebuah gerakan rakyat dan masih ahli Pas.

"Pas Selangor belum hantar sebarang surat rasmi untuk tindakan namun berlaku penyingkiran dalam kumpulan perbualan di aplikasi WhatsApp sekiranya  mereka mengesyaki individu terbabit cenderung ke arah Harapan Baru," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa Harapan Baru tidak akan sesekali memujuk, membeli, memaksa mahupun memancing Adun Pas untuk menyertai gerakan baharu berkenaan.

"Wujud dikalangan Adun Pas Selangor yang secara tidak terbuka menyatakan minat untuk menyertai Harapan Baru.

"Mereka boleh fikir sendiri demi kerjaya politik pada masa akan datang. Kita perlukan alternatif dalam usaha mengembalikan Pakatan 2.0," katanya.

Sementara itu, Adun Hulu Klang, Saari Sungib tegas mempertahankan bahawa tindakan ahli Pas menyertai Harapan Baru tidak sesekali melanggar baiah Pas kerana mereka masih mendukung perjuangan menghapuskan Umno-BN.

"Baiah itu dari segi konteks pilihan raya kalau lompat parti, pindah parti ke BN barulah langgar baiah.

"Masuk Harapan Baru tidak langgar baiah ini gerakan ke arah parti baharu. Malah komitmen parti ini ilah menumbangkan Umno-BN, kita masih kekal lawan Umno ini bukan tindakan pindah parti yang salah," katanya.


Dilapor sudah meninggal, Pie mohon doa kesihatan

Posted: 14 Aug 2015 05:41 AM PDT

Pie
Keadaan Pie ketika ditemui wartawan Sinar Harian di Hospital Kepala Batas. - Foto Sinar Harian
 
 
"DOAKAN saya sihat selalu, itu pun sudah cukup buat saya", luah pelakon serta pelawak terkenal, Shafiee Jaafar atau mesra dengan panggilan Pie.
 
Pie yang kini ditempatkan di wad Hospital Kepala Batas dimasukkan ke hospital berkenaan setelah mengadu demam sejak lima hari lalu.
 
Pie berkata, dia dalam keadaan sihat semenjak dimasukkan ke Hospital Kepala Batas sejak Ahad lalu.
 
"Masa malam kejadian itu, saya berada di rumah anak, Shariman di Taman Serai Wangi, Padang Serai.
 
"Tiba-tiba terasa sejuk dan menggigil satu badan, tak pernah saya rasa macam itu, sebelum ini pun ada juga demam, tapi tak teruk mana, saya minta Shariman bawa saya ke hospital," katanya kepada Sinar Harian.
 
Mengulas lanjut mengenai viral mengenai kematiannya di media sosial, katanya dia agak sedih dengan penyebaran berita tersebut.
 
"Saya ni dan berusia 85 tahun, bila-bila masa sahaja Dia boleh jemput, apa pun yang berlaku, saya minta agar orang ramai doakan kesihatan saya untuk saya kembali sembuh seperti sediakala.
 
"Alhamdulillah, sejak lima hari saya berada di hospital ini, saya terima layanan yang terbaik sekali, saya ucapkan terima kasih kepada semua," katanya.
 
 

Tiada laporan rasmi MT Umno tangguh lagi - Bung Moktar [TONTON VIDEO]

Posted: 13 Aug 2015 09:52 PM PDT

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic

 
SHAH ALAM: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin mengesahkan masih belum menerima sebarang makluman rasmi tentang dakwaan Mesyuarat Tertinggi (MT) Umno yang mungkin ditangguhkan sekali lagi.
 
"Belum ada apa-apa lagi notis rasmi," katanya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
 
Bung diminta mengulas khabar angin yang mengatakan Mesyuarat MT Umno yang sepatutnya diadakan 28 Ogos depan bakal ditangguhkan lagi akibat kemelut dalaman parti yang masih berterusan.
 
Ia dipercayai berlaku susulan rombakan kabinet pada bulan lepas.
 
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor juga dikatakan sehingga kini masih belum mengeluarkan notis sama ada mesyuarat berkenaan akan diteruskan pada hari yang sama atau sebaliknya.
 
Kononnya Tengku Adnan 'sukar' membuat keputusan berhubung mesyuarat tersebut kerana wujud tekanan dan rasa tidak puas hati di kalangan pemimpin dan ahli-ahli parti terhadap rombakan kabinet yang telah dilakukan.
 
Bung kemudiannya diminta mengulas dakwaan berkenaan.
 
"Saya tidak nafikan ada sedikit kebimbangan di peringkat akar umbi. Namun saya tidak nampak ia boleh merosakkan Umno. Penangguhan ini mungkin kerana keadaan yang tidak mengizinkan.
 
"Masing-masing ada pendirian yang berbeza. Jika kita tenangkan keadaan dahulu, baru dapat keputusan yang baik," ulasnya.
 
Pada 29 Julai lalu, mesyuarat MT Umno juga dibatalkan pada saat akhir di mana difahamkan ia sepatutnya diadakan bagi membuat keputusan berhubung status Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal.
 
Bekas Timbalan Perdana Menteri dan bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah tersebut disingkirkan daripada Kabinet Datuk Seri Najib Razak dikatakan akibat perbezaan pendapat dalam isu syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
 
 

Pokok tumbang jejaskan khidmat KTM Komuter laluan Rawang

Posted: 13 Aug 2015 09:51 PM PDT

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) laluan Rawang hari ini tergendala hampir empat jam selepas sebatang pokok tumbang dan menghalang landasan di laluan Stesen Putra ke Segambut semalam.
 
Jurucakap KTMB berkata kejadian yang berlaku pada kira-kira 6 petang itu menyebabkan tren yang menggunakan laluan berkenaan mengalami kelewatan melebihi 30 minit.
 
"Perkhidmatan di laluan terbabit kembali pulih pada pukul 9.30 malam tadi tetapi hanya satu landasan beroperasi ketika ini," katanya dipetik Bernama semalam.
 
Beliau berkata kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan dan ia dijangka pulih sepenuhnya pada tengah malam nanti.
 
Penolong Kanan Penguasa Bomba Kuala Lumpur Wahid Mahat ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit selepas menerima panggilan kecemasan daripada pihak KTMB pada 7.15 malam tadi.
 
"Pokok yang tumbang itu menghalang laluan di kedua-dua landasan yang terlibat dan sebanyak dua jentera dengan kekuatan 18 anggota dari Balai Bomba Hang Tuah serta Sentul dikerahkan ke lokasi kejadian.
 
"Proses pemotongan pokok tumbang di landasan terjejas dibersihkan bomba bersama pekerja daripada KTMB," katanya.
 
 

Umno mahu ketepikan saman 'derma' RM2.6 bilion oleh pembangkang

Posted: 13 Aug 2015 09:49 PM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Umno kini sedang mendapatkan kebenaran mahkamah untuk membatalkan saman yang dikemukakan pembangkang terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dikemukakan semalam di Mahkamah Tinggi .  
 
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata demikian ketika diminta mengulas saman yang difailkan pembangkang berhubung 'derma' RM2.6 bilion yang digunakan oleh Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.
 
"Ya, saman sudah difailkan semalam. Dan kita sedang menunggu (perkembangan selanjutnya). Apabila sudah ada kita akan ketepikan ia (saman). Sebab mereka tak boleh buat begitu, kita akan lihat nanti bagaimana," katanya kepada pemberita hari ini.
 
Semalam pembangkang memfailkan saman terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
 
Saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Jalan Duta ekoran 'derma' RM2.6 bilion yang diterima digunakan oleh Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 disifatkan sebagai rasuah oleh pembangkang. 
 
Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata selain bertentangan dengan perlembagaan negara, SPR juga seolah-olah terlibat dalam konspirasi untuk terus memenangkan BN.
 
Sehubungan itu pembangkang menggesa keputusan PRU-13 dibatalkan dan sebuah lagi pilihan raya umum yang baru diadakan.
 
Saman berkenaan difailkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua; Pengarah Pilihanraya PKR, Datuk Saifuddin Nasution dan Setiausaha Gerakan Harapan Baru (GHB), Dr Dzulkefy Ahmad.
 
 

Seksyen 124B penghinaan kepada demokrasi berparlimen?

Posted: 13 Aug 2015 09:48 PM PDT

MICHAEL MURTY

 

MOKH0987 L
Gobind mahu mahkamah mengehadkan definisi Seksyen 124B Kanun Keseksaan. - Foto arkib TRP


PETALING JAYA, Seksyen 124B Kanun Keseksaan mempunyai definisi luas, jadi ia terbuka kepada pelbagai interpretasi dan boleh mengundang penyalahgunaan.

Ketua Biro Undang-undang DAP, Gobind Singh Deo berkata, walaupun berada dalam satu sidang media, di mana sekumpulan individu mengumumkan pendirian mereka berhubung satu perhimpunan, ia masih boleh dianggap 'menjejaskan demokrasi berparlimen.'

"Jika anda lihat pada definisi peruntukan, tiada apa yang anda tidak boleh lakukan dan dianggap menjejaskan demokrasi berparlimen.

"Kanun Keseksaan wujud untuk membasmi jenayah dan undang-undang memberi ruang kepada mahkamah untuk berdepan jenayah, namun di sini, penindasan boleh berlaku.

"Anda ada senario di mana polis menahan pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat dakwaan dibangkitkan rakyat. Adakah ini tujuan undang-undang digubal?" soalnya pada forum "Seksyen 124B, penghinaan kepada demokrasi berparlimen" anjuran DAP, pada Khamis malam.

Ahli Parlimen Puchong itu mempersoalkan jika ini adalah maksud Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz bahawa undang-undang berkenaan tidak akan digunakan terhadap ahli-ahli politik?

"Mahkamah perlu mengehadkan definisi undang-undang itu," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang menyifatkan ia sebagai 'peruntukan raksasa'.

"Undang-undang dilihat digunakan untuk menutup mulut mereka yang mahukan perubahan, ia menjadi peruntukan undang-undang raksasa yang digunakan terhadap sebarang bentuk kritikan ke atas kerajaan," katanya.

Pakar undang-undang DAP, Dr Abdul Aziz Bari pula berkata, mereka yang disiasat di bawah peruntukan undang-undang itu, sebenarnya berusaha mewujudkan demokrasi di negara ini.

"Ia adalah kerja pembangkang untuk memantau kerajaan, tetapi kami diancam dengan undang-undang sedemikian.

"Sekarang, kami lihat institusi seperti SPRM dan Bank Negara disiasat di bawah peruntukan undang-undang itu, disebabkan siasatan ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Ini adalah strategi untuk menakutkan rakyat. Tetapi, saya tidak lihat bagaimana mereka boleh menghadapkan orang-orang ini ke mahkamah," katanya.

Dalam pada itu, peguam dan aktivis, Syahredzan Johan berkata, Seksyen 124B memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun yang menjadikan ia kesalahan serius.

"Undang-undang perlulah spesifik dan jelas, tetapi sebaliknya ia meluas, inilah sebabnya ia disalahgunakan.

"Kerajaan kata mereka yakin kepada kita, tetapi kami tidak akan menyalahgunakan undang-undang dan dengan Akta Pencegahan Keganasan (POTA), mereka kata hanya akan gunakan ke atas pengganas, tetapi kami telah lihat Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan kami ada masalah percaya kepada kerajaan," katanya.

Beliau juga yakin kerajaan akan meluluskan satu undang-undang di Parlimen untuk mengawal selia media sosial, pada Oktober ini.

"Mereka cuba penjarakan minda kita sekarang. Rakyat tidak boleh berhenti berjuang untuk sekatan-sekatan sedemikian dan jika kita mahu membentuk Malaysia yang lebih baik, kita perlu tabah," katanya.

Tambahnya, penggunaan undang-undang itu untuk kes seperti kenyataan yang dibuat dalam sidang media bertentangan dengan perlembagaan dan boleh dicabar di mahkamah.

"Ini bergantung kepada kes dan kami akan cabarnya, jika perlu," katanya.

Turut hadir adalah Pensyarah Undang-Undang Universiti Malaya, Prof Azmi Sharom, peguam, Datuk Ambiga Sreenavasan dan ahli Gerakan Harapan Baru, Mohamed Hanipa Maidin.

Pelancong masih takut ke Cameron Highlands

Posted: 13 Aug 2015 09:45 PM PDT

FERNANDO FONG

 

cameron
Keadaan di kawasan penempatan Lembah Bertam, selepas dilanda banjir lumpur pada Oktober 2013. - Foto arkib TRP/ Fernando Fong


KUALA LUMPUR, Industri pelancongan di Cameron Highlands masih menerima kesan daripada kejadian banjir lumpur yang melanda Lembah Bertam pada November tahun lalu, kerana pelancong bimbang bencana itu akan berulang.


Pemilik hotel butik, Siva Dass berkata, kejadian banjir lumpur yang mendapat liputan meluas media tahun lalu, masih menghantui ramai pelancong, khasnya orang tempatan.

"Malangnya, mereka tidak sedar kejadian itu hanya berlaku di Lembah Bertam yang bukan merupakan destinasi pelancongan.

"Sehingga hari ini, masih ada pelancong yang tanya saya, adakah selamat untuk mereka datang ke Cameron Highlands," katanya kepada The Rakyat Post.

Siva yang juga pengasas dan pengendali laman sesawang tempahan hotel di tanah tinggi itu, CameronHighlands.com berkata, pelancong masih beranggapan seluruh Cameron Highlands berisiko dilanda tanah runtuh dan bencana alam lain.

Cameron Highlands menjadi tumpuan media, susulan banjir lumpur pada Oktober 2013 yang meragut beberapa nyawa dan memusnahkan rumah-rumah serta lebih 100 kenderaan, sebelum kejadian itu berulang pada November lalu.

Susulan itu, sektor perhotelan di tanah tinggi itu terjejas teruk, kerana ramai pelancong membatalkan tempahan mereka.

Seorang lagi pemilik hotel, Datuk Yee Shan Kon berkata, kejatuhan nilai ringgit hanya memberi sedikit kesan kepada pelancong berbelanja di Cameron Highlands.

Yee yang mengendalikan beberapa hotel di Tanah Rata dan Brinchang berkata, kadar tempahan hotel dalam tempoh beberapa bulan ini tidak banyak meningkat, tetapi ia bukan disebabkan kejatuhan nilai mata wang tempatan.

"Pelancong asing di Cameron Highlands biasanya membuat tempahan jauh lebih awal sebelum percutian mereka bermula, biasanya tidak dipengaruhi kadar pertukaran mata wang.

"Bagaimanapun, mereka akan berbelanja lebih, jika nilai mata wang mereka mengukuh, ketika mereka bercuti di sini," katanya yang juga Pengerusi MCA Bahagian Cameron Highlands.

Pemandu pelancong, S. Raju pula berpendapat, kesesakan lalu lintas antara faktor pelancong tidak mengunjungi Cameron Highlands.

Beliau memberi contoh cuti umum sempena Hari Pekerja pada 1 Mei lalu, di mana kesesakan lalu lintas yang teruk menyebabkan pengunjung dari Kuala Lumpur mengambil masa 10 jam untuk sampai ke Cameron Highlands.

"Kesesakan trafik mencetuskan huru-hara di bandar-bandar utama, apabila perjalanan 20 minit mengambil masa lebih dua jam.

"Pelancong amat marah dan ramai kata mereka tidak mahu datang lagi," katanya sambil menambah, ia adalah mimpi ngeri, khasnya pada hujung minggu dan cuti umum atau cuti sekolah.

Mahkamah tolak permohonan The Edge tangguh penggantungan penerbitan

Posted: 13 Aug 2015 09:37 PM PDT

HAN KAR KAY

 

gavel-m11-Jun
Dalam permohonan penangguhan yang dikemukakan oleh The Edge Communications Sdn Bhd, mereka dinilai kemungkinan kehilangan RM14 juta bagi tempoh tersebut.


KUALA LUMPUR, Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan Kumpulan Media The Edge untuk menangguhkan penggantungan terhadap dua penerbitannya sebagaimana yang diarahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN).


Hakim Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa-kuasa Khas) Datuk Asmabi Mohamad menolak permohonan penangguhan itu dalam kamar berdasarkan tiga alasan.

Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke Yee yang mewakili Setiausaha Agung Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian itu sendiri berkata, plaintif tidak membenarkan hal keadaan khas untuk diberikan kepada kedua-dua penerbitan.

"Jika mereka menang kemudiannya (dalam semakan kehakiman), penerbitan (kredibiliti) akan dibenarkan.
 
"Mahkamah juga memutuskan bahawa sekiranya The Edge menang dalam permohonan substantif, maka penerbitan akan diberi pampasan yang secukupnya," katanya kepada pemberita hari ini.

Dalam permohonan penangguhan yang dikemukakan oleh The Edge Communications Sdn Bhd, mereka dinilai kemungkinan kehilangan RM14 juta bagi tempoh tersebut.

Mahkamah telah menetapkan 7 September ini untuk pendengaran semakan kehakiman.
Peguam Darryl Goon, Raja Eileen Suraya Raja Aman dan Joni Jacqueline Benedict mewakili Kumpulan Media The Edge.
Kementerian Dalam Negeri menggantung permit penerbitan selama tiga bulan berkuatkuasa 27 Julai lalu.
Arahan penangguhan itu dibuat oleh kementerian berikutan penyiaran laporan terhadap 1MDB yang 'memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan atau mungkin mencetuskan pendapat umum'.

Pada 27 Julai, The Edge melalui firma undang-undang Raja, Darryl and Loh Advocates and Solicitors memfailkan permohonan semakan kehakiman yang ingin membatalkan perintah penggantungan tiga bulan oleh kementerian.

Read more: http://bm.therakyatpost.com/berita/2015/08/14/mahkamah-tolak-permohonan-the-edge-tangguh-penggantungan-penerbitan/#ixzz3ilEf3ZT1

BERSIH serah notis pemberitahuan

Posted: 13 Aug 2015 05:08 PM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah hari ini menyerahkan notis pemberitahuan perhimpunan aman yang dijadual dianjurkan NGO itu akhir bulan ini.
 
Maria hadir di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi pada jam 5.15 petang tadi bersama peguamnya untuk mengadakan perbincangan dengan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol Samah.

Maria bagaimanapun mendakwa polis enggan menerimanya sehinggalah beberapa dokumen berkaitan dilengkapkan.
 
"Saya telah menghantar surat notis kepada polis hari ini tetapi Tuan Zainol tidak mahu menerimanya, sehingga saya melengkapkan permohonan itu dengan mengisi beberapa borang dan dokumen `review' untuk mendapat kebenaran," katanya kepada pemberita selepas sejam bertemu dengan pegawai polis berkenaan.
 
Borang Notis Pemberitahuan diperlukan diisi di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
 
BERSIH sebelum ini ‎menyatakan kesediaan untuk berbincang dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam isu keselamatan di Pesta Demokrasi BERSIH 4 yang dijadual pada 29 sehingga 30 Ogos ini.
 
Maria juga turut memberi jaminan berhubung aspek keselamatan rakyat dan lalu lintas di ibu kota akan terkawal pada hari berkenaan.
 
Selain Kuala Lumpur, BERSIH 4 juga dijadual diadakan di Kuching dan Kota Kinabalu.
 
Khalid sebelum ini memberi peringatan kepada penganjur dan peserta perhimpunan BERSIH 4 agar mengikut saluran yang betul untuk menganjurkannya.
 
Khalid berkata, kegagalan untuk berbuat demikian membolehkan pihak polis mengambil tindakan ke atas mereka kerana melanggar undang-undang negara.
 
 

Mahathir-Razaleigh berganding asak Najib?

Posted: 13 Aug 2015 05:04 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Dalam politik apa sahaja boleh berlaku. Musuh masa lalu boleh menjadi kawan pada masa ini, serta sebaliknya.

Begitu yang dilihat berlaku dalam perkembangan politik terkini apabila Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah dikatakan telah mengadakan pertemuan awal minggu ini.

Tindakan itu meningkatkan spekulasi berkaitan langkah mereka bersama terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang sedang berdepan krisis kepercayaan awam ekoran dakwaan skandal 1MDB.

Sumber yang rapat dengan Mahathir, perdana menteri paling lama dalam sejarah Malaysia, mengesahkan bahawa pertemuan itu berlangsung pada Selasa tetapi tiada butiran lain diketahui setakat ini.

Pertemuan itu turut dilaporkan oleh Asia Sentinel yang mendakwa ia berkaitan pembentukan kerajaan perpaduan untuk mengetepikan Najib.

"Terdapat kemelut kepimpinan di Malaysia dan muafakat dicapai hanya seorang sahaja calon untuk tamatkannya.

"Orang itu ialah Ku Li (Razaleigh), satu-satunya jalan," seorang rakan Razaleigh yang tidak dinamakan dipetik sebagai berkata.

Halangan terbesar, menurut analisis Asia Sentinel, dalam isu undi tidak percaya di parlimen.

Menurut portal berita itu, kedua-dua mereka percaya terhadap sokongan bulat pembangkang, yang menguasai 89 daripada 222 kerusi, walaupun undi PAS masih boleh dipersoal.

BN memiliki 132 kerusi dengan 88 daripadanya milik Umno.

Selain itu, kata Asia Sentinel lagi, satu lagi halangan yang mungkin wujud daripada speaker dewan Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Mahathir, 90, dan Razaleigh, 78, pernah menjadi musuh dalam perebutan kerusi presiden Umno pada 1987.

Pertembungan itu menyebabkan lahirnya parti serpihan Semangat 46. Parti Melayu itu bagaimanapun kemudian dibubarkan dan Razaleigh kembali menyertai Umno.


'Mungkin ditangkap jika sentuh akaun seseorang'

Posted: 13 Aug 2015 04:59 PM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz hari ini tidak mahu menyentuh tentang RM2.6 bilion yang didepositkan ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak, dengan berkata beliau mungkin ditangkap jika bercakap tentang akaun individu tertentu.
 
"Saya perlu berhati-hati apa yang saya cakap - bahawa ia perlu dalam batasan undang-undang.
 
"Jika tidak, sebaik sahaja saya melangkah keluar dari pintu ini, saya akan berdepan ditangkap kerana bercakap tentang akaun seseorang individu sekarang.
 
"Dan saya yakin anda tidak mahu perkara ini berlaku," katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat bank pusat itu di Kuala Lumpur hari ini.
 
Respons Zeti itu disambut dengan ketawa wartawan dan pegawai Bank Negara yang hadir.
 
Satu klip video mengenai respons beliau itu juga dimuat naik di Pocketimes.
 
Zeti ditanya sama ada Bank Negara mempunyai apa-apa pengetahuan mengenai deposit yang besar itu ke dalam akaun bank peribadi perdana menteri.
 
Hari ini merupakan penampilan pertama beliau sejak beberapa minggu ubu selepas menjadi sasaran serangan berhubung peranan Bank Negara Malaysia dalam menyiasat 1MDB, di mana pihak-pihak tertentu menuduh bank pusat itu membocorkan maklumat.
 
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat mengenai deposit itu menyaksikan penyiasatnya ditangkap polis dan rumah serta pejabat mereka digelidah.
 
Penyiasat utama SPRM dalam kes itu dipindahkan keluar secara mendadak tetapi ia kemudiannya dibatalkan ekoran bantahan awam.
 
SPRM berkata RM2.6 bilion itu bukan dari 1MDB tetapi "sumbangan penderma".
 
Ia merancang memanggil Najib untuk menjelaskan mengenai deposit tersebut.
 
 

Amelia-Fie Cho singkir bergu utama dunia

Posted: 13 Aug 2015 04:57 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Beregu wanita negara, Amelia Alicia Anscelly/Soong Fie Cho membuat kejutan pada Kejohanan Badminton Dunia apabila mengalahkan beregu nombor satu dunia, Misaki Matsutomo/Ayaka Takahashi dalam pusingan ketiga di Stadium Tertutup Istora Senayan, di Jakarta semalam.

Beregu emas Sukan SEA Singapura itu bertindak tenang serta memperagakan aksi cemerlang untuk mengatasi gandingan Jepun itu dalam rubber set 21-15, 12-21 dan 21-14 untuk menempah slot ke suku akhir buat julung kali pada kejohanan itu.

"Memang tidak sangka, kami sangat gembira dengan kemenangan ini. Ini adalah kali pertama kami menang ke atas beregu Jepun itu selepas dua kali kalah kepada mereka sebelum ini.

"Mereka pemain nombor satu dunia...kami hanya bermain seperti biasa," kata Fie Cho kepada pemberita selepas pertarungan selama 58 minit itu.

Pada saingan suku akhir esok, beregu negara itu akan berdepan dengan pasangan Maheswari Nitya Krishinda/Greysia Polii selepas beregu tuan rumah itu mengalahkan wakil Jepun, Matsuo Shizuka/Naito Mami, 21-17, 21-19 pada perlawanan pusingan ketiga.

Dalam acara perseorangan lelaki, bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei mara ke suku akhir setelah menumpaskan pemain China, Wang Zheming dalam straight set 21-17 dan 21-19.

Chong Wei akan berdepan dengan pemain Hong Kong, Hu Yun pada suku akhir. Dalam pertarungan selama 49 minit itu, Chong Wei menunjukkan semangat yang membara dengan menampilkan rentak pantas.

"Saya mahu lepas geram, saya memang sangat geram kerana didapati positif doping selepas kejohanan dunia ini pada tahun lepas dan tahun ini saya mahu lepas geram betul-betul," katanya ketika ditemui.

Beliau berkata walaupun Zheming cuba mengheretnya ke perlawanan rubber set tetapi ia dapat mengelak dengan bermain secara pantas bagi meletihkan lawannya itu.

Menurutnya, beliau tidak mahu memberi peluang kepada Zheming supaya rekod tanpa kalah sebanyak 12 kali dengan pemain nombor lapan dunia itu tidak tercalar.

Chong Wei berkata kemenangan itu adalah untuk membuktikan beliau akan membuat kemunculan kembali selepas bebas daripada hukuman penggantungan.

"Selama lapan bulan digantung, saya tidak membuang masa, saya terus berlatih dan tidak sabar untuk beraksi di sini," katanya.

Bagaimanapun, Chong Wei merupakan wakil tunggal negara dalam acara perseorangan lelaki selepas Zulfadli Zulkifli tersingkir pada pusingan ketiga apabila kalah kepada pemain Hong Kong, Wei Nan dengan 15-21 dan9-21.

"Saya hilang rentak tetapi Wei Nan juga bermain dengan bagus dan dia lebih berpengalaman dari saya," kata bekas juara remaja dunia berusia 21 tahun itu yang melakukan penampilan sulung pada kejohanan itu.

Sementara itu, beregu lelaki negara, Goh V Shem/Tan Wee Kiong gagal meneruskan kemaraan ke suku akhir apabila tewas 21-18 dan 21-18 kepada beregu China, Liu Xiaolong/Qiu Zihan. - Bernama


 

Tiada ulasan: