Sabtu, 1 Ogos 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Budak 12 tahun dibelasah penjaga rumah kebajikan

Posted: 31 Jul 2015 10:40 PM PDT

Budak 12 tahun dibelasah penjaga rumah kebajikan
Rumah kebajikan berkenaa disita JKM petang semalam. Gambar kecil: Kesan lebam di bahagian belakang badan mangsa.
 
 
SEMENYIH – Hanya kerana dituduh mencuri wang sebanyak RM3, seorang penghuni rumah kebajikan di sini didakwa disebat dengan tali pinggang berulang kali hingga lebam dan cedera.

Mangsa berusia 12 tahun itu dikatakan dibelasah oleh penjaga rumah tersebut dalam keadaan meniarap dengan keadaan kaki dan tangan dipegang rakannya.

Kejadian berlaku lewat malam 2 Julai lalu itu bagaimanapun hanya diketahui pihak sekolah apabila kanak-kanak lelaki mengadu perkara tersebut kepada gurunya sehari selepas kejadian.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Saujana Impian 2, Datuk Paduka Azami Mohamed berkata, mangsa dipukul kira-kira jam 11.30 malam kerana didakwa mencuri wang milik penghuni lain di pusat kebajikan tersebut.

"Esoknya mangsa menunjukkan kesan birat dan pukulan yang penuh di bahagian belakang badan kepada gurunya. Selepas kejadian itu, saya dapat tahu ada beberapa penghuni lain yang mengadu mereka juga pernah dicabul oleh penjaga pusat kebajikan tersebut." katanya.

Majoriti mengaku pernah didera, kena cabul

Azami berkata, disebabkan tiada apa-apa tindakan diambil selama lebih tiga minggu, beliau yang bimbang nasib penghuni rumah kebajikan persendirian itu mengadu apa yang berlaku kepada Adun Semenyih, Datuk Johan Abd Aziz kelmarin.

"Semalam selepas aduan dibuat, saya diberitahu kesemua 32 penghuni rumah itu dipindahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Hulu Langat ke Jalan Reko manakala rumah kebajikan itu diarah tutup serta-merta," katanya.

Susulan kejadian, Azami berkata, PIBG mengadakan pertemuan dengan penghuni berusia tujuh hingga 12 tahun yang bersekolah di situ dan majoriti mengaku mereka pernah didera dan mengalami gangguan seksual.

Beliau berkata, pembongkaran hasil risikan selama setahun itu adalah untuk menyelamatkan penghuni rumah kebajikan tersebut daripada terus menjadi mangsa.

Sejak semalam katanya, mangsa dan adiknya yang berasal daripada keluarga miskin diambil bapa kanak-kanak itu dan dibawa ke Hulu Selangor.

Sementara itu, Johan menyerahkan kepada pihak polis dan JKM untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, menerima maklumat daripada PIBG yang memberitahu terdapat beberapa kanak-kanak yang membuat pengakuan didera.

"Ini bukan satu-satunya kes yang berlaku di rumah kebajikan, ada banyak yang dibuka tanpa kelulusan, saya minta kementerian berkenaan buat pemantauan dan ambil tindakan penguatkuasaan terhadap pusat kebajikan seperti ini," katanya.

Menurutnya, tidak perlu menunggu sehingga ada berlaku kes penderaan, gangguan seksual atau kecederaan hingga menyebabkan penghuni meninggal dunia barulah tindakan diambil.

"Banyak sangat rumah kebajikan dibuka tanpa pemantauan, banyak kelemahan dikenal pasti. Kementerian perlu sediakan garis panduan dan ambil serius hal ini," katanya.

JKM sita pusat jagaan

Sementara itu, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Langat, Roziah Osman yang dihubungi Sinar Harian memberitahu, pihaknya mengambil tindakan Lak (sita) di bawah Seksyen 16A Akta Pusat Jagaan 1993 terhadap pusat kebajikan terbabit.

Premis digunakan untuk pusat jagaan disita manakala barangan berkaitan termasuk dokumen dirampas untuk tindakan dan siasatan selanjutnya.

Beliau berkata, kesemua kanak-kanak yang menghuni rumah tersebut diselamatkan malam kelmarin dan ditempatkan di bawah jagaan JKM.

Seramai 10 orang daripada kanak-kanak pula dibawa pulang oleh keluarga masing-masing selepas dihubungi.

"Hari ini (semalam) kita datang ke rumah kebajikan tersebut untuk tujuan ambil tindakan penguatkuasaan bukan untuk siasatan kes dera. Pihak pengurusan didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 5 akta yang sama kerana tidak mendaftar," katanya.

Beliau berkata, premis diarah menutup operasi dan diberi notis selama selama 21 hari.

"Lak hanya dibuka sekiranya pengendali dapat kemukakan perakuan pendaftaran pusat  jagaan kepada JKM atau sekiranya mereka mendapat satu perintah mahkamah untuk tidak membenarkan penggunaan premis sebagai pusat jagaan," katanya.


Mat Sabu enggan layan amaran Hadi

Posted: 31 Jul 2015 10:37 PM PDT

SINAR HARIAN


Hadi, Mat Sabu
 
 
BESUT - Pengerusi Gerakan Harapan Baharu (GHB) Mohamad Sabu enggan melayan amaran daripada Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung tindakan disiplin yang akan diambil ke atas pemimpin dan anggota Pas yang menghadiri siri jelajah gerakan itu ke seluruh negara.
 
Malah, bekas timbalan presiden Pas itu berkata, beliau yakin amaran itu tidak akan menjejaskan rancangan GHB untuk meraih sokongan meluas rakyat negara ini termasuk penyertaan dari pemimpin serta anggota Pas sendiri.
 
"Tentang pandangan presiden Pas itu, elok tanya beliaulah, kami tidak terikat dengan pandangan itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas siri jelajah GHB ke Besut di Dataran PGU, Jerteh di sini lewat malam tadi.
 
Turut hadir Anggota Parlimen Kuala Krai Dr Mohd Hatta Ramli yang juga bekas Anggota Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, bekas Naib Presiden Pas Ahmad Awang dan Pengerusi Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) Terengganu Abdul Aziz Abbas selaku tuan rumah.
 
Baru-baru ini, Abdul Hadi berkata Pas tidak akan teragak-agak untuk merujuk pemimpin dan anggota parti itu yang menghadiri siri jelajah GHB kepada lembaga disiplin parti kerana perkara itu dianggap tindakan negatif terhadap Pas. - Bernama
 
 

Beban tugas guru akan dikaji semula

Posted: 31 Jul 2015 10:34 PM PDT

 
Kajian semula itu melibatkan bebanan di luar tugas sebenar seorang guru.


mahadzir-cikgu


PETALING JAYA: Bebanan kerja yang ditanggung guru-guru di seluruh negara akan dikaji semula, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata, langkah itu bagi memastikan guru-guru tidak terlalu dibebani tugas yang bukan tugas hakiki seorang warga pendidik.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis meraikannya yang dilantik sebagai Menteri Pendidikan di Kuala Nerang, Kedah, pada Jumaat.

"Saya menerima banyak runggutan daripada kawan-kawan mengenai perkara ini. Saya rasa perkara ini perlu kajian untuk mengenal pasti permasalahan sebenar.

"Kita akan semak jenis bebanan dan peratusannya. Tapi ia hanya melibatkan bebanan luar bidang tugas sebenar seorang guru," katanya.

Mahdzir berkata, dasar pendidikan negara tidak akan dikaji semula kerana dasar yang sedia ada sesuai dan relevan dengan perkembangan semasa.

Najib tidak boleh pecat Muhyiddin

Posted: 31 Jul 2015 10:32 PM PDT

 
Tidak ada satu peruntukkan di dalam Perlembagaan UMNO yang membenarkan Presiden UMNO untuk memecat Timbalan Presiden UMNO.


najib, Muhyiddin


PETALING JAYA: Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak tidak akan menggugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai Timbalan Presiden UMNO.

Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakob menjelaskan perkara itu tidak akan dilakukan Najib kerana tiada peruntukan dalam perlembagaan memberinya kuasa untuk bertindak sedemikian.

"Tidak boleh, tidak ada peruntukkan dalam Perlembagaan UMNO. Bahkan, tidak ada satu jawatan pun di dalam Majlis Tertinggi (MT) yang boleh digugurkan oleh Presiden UMNO.

"Jawatan-jawatan yang dipegang oleh mereka semuanya ditentukan oleh kuasa pemilihan di dalam perhimpunan agung," katanya.

Sewaktu dihubungi FMT, Mustapha menjelaskan bahawa desas-desus bahawa Najib akan memecat Muhyiddin hanyalah satu spekulasi pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Mereka yang buat spekulasi itu tidak faham dan tidak baca Perlembagaan UMNO serta sengaja membuat fitnah," jelasnya lagi.

Tambahnya lagi, walaupun Muhyiddin tidak lagi memegang mana-mana jawatan di dalam kabinet, tetapi di dalam UMNO, Muhyiddin masih lagi orang nombor dua di dalam parti.

"Muhyiddin tetap jadi nombor dua dalam mesyuarat MT. Muhyiddin tetap akan duduk disebelah Najib, bukannya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi," ujar beliau.

Tags: bahasa, Muhyiddin Yassin, Najib Razak, Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakob


Blog UMNO ramal Mukhriz, Adnan digugur Menteri Besar

Posted: 31 Jul 2015 10:27 PM PDT

 
Zambry Kadir pula dijangka kekal Menteri Besar Perak tetapi Pengerusi UMNO negeri diambil alih Zahid Hamidi.


mukriz,adnan


PETALING JAYA: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dijangka digugurkan, lapor blog pro UMNO, MYKMU.Net.

Mukhriz dijangka digantikan Senator Datuk Seri Ahmad Bashah Hanipah yang menjadi ADUN Bakar Bata sejak 1999.

Namun dua nama lagi yang mungkin menjadi calon mengejut ialah ADUN Bukit Lada, Datuk Ahmad Lebai Sudin dan ADUN Bukit Kayu Hitam, Datuk Haji Ahmad Zaini Zapar.

Sementara itu di Pahang, dua ADUN yang merupakan orang kepercayaan Perdana Menteri disebut-sebut sebagai Menteri Besar Pahang yang baharu.

Calon utama ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri yang merupakan ADUN Lanchang, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin.

Seorang lagi calon Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan Negeri yang juga ADUN Dong, Datuk Shahiruddin Ab. Moin.

Shahirudin merupakan Ketua Bahagian UMNO yang pertama membatalkan jemputan ke atas Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyidddin Yassin untuk merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian. Beliau membatalkan jemputan tersebut sebelum rombakan kabinet lagi.

Sementara Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dijangka diganti oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid dijangka mengambil alih Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Perak sebagai mengukuhkan UMNO Perak menghadapi pilihan raya Umum akan datang.

Bagaimanapun, Zambry dijangka kekal sebagai Menteri Besar Perak.

Rosmah beri tempoh masa 48 jam untuk mohon maaf

Posted: 31 Jul 2015 10:26 PM PDT

 
Tulisan yang disiarkan wartawan Asia Sentinel dikatakan berniat jahat dan ingin menjatuhkan reputasinya.


rosmah,asia


PETALING JAYA: Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor memberi tempoh masa 48 jam kepada wartawan Asia Sentinel, John Berthelsen untuk menuntut maaf secara sukarela.

Melalui kenyataan media yang dikeluarkan firma guaman yang mewakili Rosmah, Tetuan Noorhajran Mohd Noor, ia menegaskan telah diberi kuasa mengeluarkan kenyataan berhubung artikel yang disiarkan 'Malaysia PM's Wife Seek Central Bank Gabenor's Ouster'.

Tuntutan itu dibuat susulan tulisannya yang mengaitkan beliau terbabit dalam cubaan memecat Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Abdul Aziz.

Dalam artikel yang dikeluarkan, Berthelsen mendakwa ia bagi membalas dendam berikutan kebocoran butiran kewangan peribadi Rosmah dan kebimbangan Zeti mempunyai maklumat terperinci berhubung skandal 1MDB yang dikatakan boleh mengugat kedudukan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Dalam kenyataan yang sama, firma guaman itu menjelaskan dakwaan wartawan berkenaan dianggap berniat jahat dan ingin merosakkan reputasi Rosmah.

Pas Kelantan kenal pasti ahli khianati parti

Posted: 31 Jul 2015 10:22 PM PDT

FREE MALAYSIA TODAY

Ia menggunakan kaedah mata dan telinga di setiap cawangan untuk kenal pasti mereka yang terlibat dengan GHB


yaakod,pas,kelantan


KOTA BHARU – Pas Kelantan sedang mengenal pasti anggotanya yang terlibat dalam Gerakan Harapan Baharu 9(GHB) yang dikatakan akan menubuhkan parti berasingan pada September depan.

Pesuruhjaya Pas Negeri, Datuk Ahmad Yakob berkata pihaknya mempunyai 'mata dan telinga' di setiap cawangan yang akan memberi laporan kepada Pas negeri sebelum aduan rasmi dikemukakan kepada Jawatankuasa Tatatertib Pas Pusat untuk tindakan lanjut.

"Kami sedang memerhati (ahli nak sertai Harapan Baharu). Kalau ikut perlembagaan‎ parti, negeri atau dewan-dewan boleh melapor kepada Pas pusat apabila ada anggotanya telah melakukan sesuatu perlanggaran akhlak dengan parti dan Jawatankuasa Tatatertib akan buat keputusan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Pas cawangan Kedai Mulong.

Pada majlis berkenaan, kira-kira 100 ahli Pas cawangan yang diketuai‎ Ketua Pas cawangan Kedai Mulong, Mohamad Abdullah turut melafazkan ikrar taat setia untuk terus bersama-sama dan mengukuhkan perjuangan parti.

Khamis lepas, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dipetik sebagai‎ berkata, Pas akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pemimpin dan ahli parti itu yang menghadiri siri jelajah anjuran Harapan Baharu.‎-BERNAMA

Kenapa kini baru DAP persoal isu hudud? Soal Tuan Ibrahim

Posted: 31 Jul 2015 05:20 PM PDT

 Oleh Azizul Osman

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Kenapa DAP tidak persoal agenda hudud PAS sejak dari awal penubuhan Pakatan Rakyat dan hanya berbuat demikian selepas dua kali Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan?, soal Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
 
Justeru, Pesuruhjaya PAS Pahang itu menolak sebarang dakwaan yang mengatakan Pakatan Rakyat goyah disebabkan kedegilan PAS untuk terus melaksanakan hudud di Kelantan meskipun ditentang DAP dan PKR.
 
Umum mengetahui PAS kini tidak lagi mempunyai kerjasama politik dengan DAP disebabkan perbezaan pendapat berhubung isu hudud.  
 
"PRU (Pilihan raya Umum) ke-12, waktu itu DAP tandatangan untuk bersetuju perkara yang berbeza pendapat, kenapa waktu itu kita boleh setuju? 
 
"Bagi saya ada isu lain yang perlu kita lihat dan fokus kepada benda besar, jangan serang. Dan sekarang PAS buat keputusan (putuskan hubungan dengan DAP) dan kita akan teruskan," katanya kepada Antarapos selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidil Fitri PAS Selangor.
 
Tuan Ibrahim buat kesekian kalinya mengulangi, isu hudud bukan perkara baru dan DAP perlu mengakui pelaksanaan hukum tersebut amat disokong pengundi Melayu diluar sana.
 
"Saya rasa tidak sebab apa yang kita bawa benda (hudud) yang telah diterima sebelumnya, Isu hudud ini bukan baru. PAS berjuang sejak 1951 dan kita dapat sokongan rakyat pada PRU 12 dan 13. Kalau nak kata hudud kenapa masa itu rakyat sokong kita? Sebenarnya ialah pendekatan. Waktu itu kita boleh menghormati polisi masing- masing (dengan DAP-PKR), jadi rakyat sokong kita.
 
"Tapi bila kita serang parti lain kita akan berdepan dengan realiti yang kita sedang hadapi sekarang (disisihkan DAP). Saya fikir bukan hudud," ujarnya.
 
Tuan Ibrahim juga senada dengan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din yang menegaskan PAS bersedia untuk bersendirian jika terpaksa.
 
"Bagi PAS kalau mereka tolak, kita terpaksa terima hakikat bergerak sendirian. PAS pernah bersendirian tetapi bagi kita keutamaan kita pembangkang mesti muafakat dan dapat kita hasilkan kalau kita saling hormat politik polisi parti masing-masing. Selagi kita boleh hormat," katanya lagi.
 
Namun perkembangan semasa politik Pakatan Rakyat nampaknya tidak memihak kepada PAS apabila PKR seperti membayangkan akan menyokong penubuhan parti baru yang akan diasaskan Gerakan Harapan Baru (GHB).
 
GHB adalah gerakan yang wujud hasil serpihan PAS yang disertai beberapa bekas pemimpin parti itu yang kalah dalam pemilihan PAS, 4 Jun lalu.
 
GHB sebelum ini menyatakan komitmen untuk menyertai DAP dan PKR untuk menubuhkan Pakatan Rakyat 2.0.
 

Tiada perbincangan berkenaan AG dan pertukaran MB

Posted: 31 Jul 2015 05:15 PM PDT

QURNISHA HAMKA

 

seri perdana M
Mesyuarat tertutup tersebut berlangsung di kediaman rasmi Perdana Menteri, Kompleks Seri Perdana, selama lebih dua jam dan berakhir pada 7.50 malam. 



PUTRAJAYA, Perjumpaan antara Pengerusi Badan Perhubungan Negeri UMNO besama Presiden parti itu, Datuk Seri Najib Tun Razak berjalan dengan lancar sejak jam 5.30 petang tadi.


Perkara itu dimaklumkan sumber yang enggan dinamakan, namun turut berada dalam pertemuan tertutup tersebut.

Jelasnya, mesyuarat yang berlangsung adalah untuk menjelaskan berkenaan rombakan kabinet yang dilakukan Najib pada Selasa lalu.

"Presiden menjelaskan berkenaan pengguguran Tan Sri Muhyiddin, rombakan kabinet dan tidak membincangkan berkenaan pertukaran peguam negara.

"Perbincangan berjalan lancar dan semua Pengerusi Perhubungan Negeri hadir dalam mesyuarat ini," kata sumber berkenaan.

Sumber berkenaan bagaimanapun tidak menyebut mengenai pertukaran menteri besar seperti yang tersebar sejak tengah hari ini.

Mesyuarat tertutup tersebut berlangsung di kediaman rasmi Perdana Menteri, Kompleks Seri Perdana, selama lebih dua jam dan berakhir pada 7.50 malam.

Walau bagaimanapun, usaha pihak media untuk mendapatkan komen daripada sumber lain yang hadir, gagal.

Antara yang dilihat hadir ke kediaman rasmi Perdana Menteri ialah Pengerusi Perhubungan Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Seri Mohamad Hasan (Negeri Sembilan), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Kedah) dan Datuk Seri Idris Haron.

Turut dilihat masuk kira-kira pukul 5.30 petang Jumaat ialah Timbalan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Perluas zon larangan merokok disambut baik

Posted: 31 Jul 2015 05:13 PM PDT

SARAH M.KHIR

 

a man wearing a suit smoking a cigarette
Keputusan kerajaan itu sememangnya disambut baik kerana dilihat akan melindungi orang ramai daripada terjebak dengan masalah kesihatan.



KUALA LUMPUR, Orang ramai umumnya menyambut baik keputusan kerajaan mewartakan taman awam kecuali tempat letak kereta terbuka sebagai kawasan larangan merokok.


Tinjauan The Rakyat Post mendapati rata-rata orang ramai yang ditemui bersetuju dengan keputusan itu walaupun akan dikuatkuasa dan dilaksanakan selewat-lewatnya pada 1 Januari tahun hadapan.

Kartina Khamsin berpendapat, tindakan itu wajar dilaksanakan atas beberapa sebab antaranya faktor kesihatan dan keselesaan orang ramai.

Jelasnya, tindakan perokok yang tidak menghiraukan keadaan orang sekeliling akan mengakibatkan kesan buruk kepada orang ramai yang berada berhampirannya.

Terutamanya melibatkan kanak-kanak, orang tua serta wanita mengandung.

Menurutnya, keputusan kerajaan itu sememangnya disambut baik kerana dilihat akan melindungi orang ramai daripada terjebak dengan masalah kesihatan terutamanya kanak-kanak apabila berada di taman awam.

"Sepatutnya kerajaan wartakan dari dulu lagi kerana ini bukan perkara baharu namun saya menyambut baik tindakan ini.

"Apabila sebut taman awam saya fikir ia akan memberi kesan baik kepada kanak-kanak khususnya yang boleh bermain dengan baik tanpa menyedut asap rokok," jelasnya kepada The Rakyat Post.

Kartina yang juga pengerusi penduduk di salah sebuah taman perumahan di ibu kota berkata, langkah kerajaan itu memberi ilham kepadanya untuk turut melaksanakan zon larangan merokok di taman permainan di kawasan perumahan itu.

"Saya merancang untuk kemukakan usul ini dalam mesyuarat bersama penduduk minggu hadapan. Ini satu cadangan yang sangat baik," ujarnya.

Sementara itu bagi pegawal keselamatan, Ramlee Mohammad, keputusan kerajaan itu dilihat satu langkah yang baik kepada masyarakat meskipun dia merupakan seorang perokok.

Menyedari kesan buruk asap rokok terhadap orang sekelilingnya, Ramlee mengakui pelaksanaan untuk meletakkan taman awam sebagai zon merokok adalah wajar.

"Saya fikir ia bagus. Mungkin juga akan beri kesedaran kepada kami sebagai perokok untuk lebih peka tentang orang sekeliling terutama kanak-kanak.

"Kalau boleh kami tidak mahu melibatkan orang lain, cukuplah hanya kami yang terkena kesannya," katanya.

Selain daripada itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam dalam laporan media sebelum ini berkata, kedai makan atau restoran berhawa dingin juga telah dikategorikan sebagai kawasan larangan merokok.

Ini membatalkan peraturan sebelum ini yang membenarkan satu pertiga daripada kawasan restoran sebagai zon merokok.

"Keseluruhan tempat makan berhawa dingin adalah tempat dilarang merokok. Kebenaran satu per tiga daripada tempat makan berhawa dingin di bawah Peraturan 21 adalah dimansuhkan," katanya.

Isu GHB: Dulu gesa ahli setia, kini belot kepada PAS - sindir Azman Shapawi

Posted: 31 Jul 2015 05:09 PM PDT

Oleh Syed Mu'az Syed Putra

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Dulu nama-nama besar dalam PAS sering memberi pandangan serta nasihat kepada akar umbi agar berpegang teguh dasar parti, kini bertukar senario apabila mereka pula mahu meninggalkan perjuangan Islam yang dilaungkan selama ini.
 
Malah Pengerusi Lajnah Dakwah PAS Terengganu Azman Shapawi Abdul Rani menyifatkan pimpinan Gerakan Harapan Baru (GHB) tidak berpegang kepada janji untuk setia yang dilafazkan.
 
"Kita merasa sedikit terkilan dengan apa yang berlaku sebab kita anggap mereka ini sebagai saudara dan sahabat perjuangan kita yang begitu lama.
 
"Malah kita sebahagian besar pernah menjadi orang bawah kepada mereka yang kita sentiasa dengar pandangan, nasihat ataupun bimbingan daripada mereka satu masa dulu," katanya kepada Antarapos.
 
Beliau juga melahirkan rasa terkilan dengan perkembangan tersebut yang menyaksikan nama-nama besar PAS seperti Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub, Datuk Dt Mujahid Yusof dan ramai lagi mahu meninggalkan parti Islam itu.
 
"Sedikit terkilan sebab mereka yang beri pandangan serta nasihat tapi tiba-tiba mereka sendiri mengambil sikap meninggalkan perjuangan yang dibawa PAS," katanya.
 
Pada 13 Julai lalu, beberapa pemimpin kanan PAS daripada kumpulan progresif parti itu yang tewas dalam pemilihan parti mengumumkan akan menubuhkan GHB bertujuan menyatukan semula parti politik pembangkang.
 
Gerakan itu dipengerusikan Mohamad yang juga bekas Timbalan Presiden PAS manakala antara anggota jawatankuasa interimnya ialah bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib; bekas Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar; dan bekas Naib Presiden PAS, Salahuddin.
 
GHB yang telah mengemukakan permohonan pendaftaran sebagai sebuah parti politik, dilihat sebagai pengganti PAS dalam gabungan pembangkang Pakatan Rakyat selepas DAP dan PAS memutuskan hubungan.
 
Tiada alasan untuk wujudkan GHB
 
Azman Shapawi menambah kepimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan terus disokong dan akan menolak GHB.
 
"Sebab saya merasakan sampai hari ini saya tidak bertemu satu alasan boleh saya terima dari sudut agama sebab apa mereka keluar daripada PAS?
 
"Kadang-kadang alasan yang diberi saya rasa tidak boleh diterima akal kerana tidak bersetuju dengan presiden kerana kita nak menuju ke Putrajaya dan itu sahaja alasan yang kita terima tak lebih daripada itu," katanya.
 
Tegas beliau, tiada alasan kukuh diberikan untuk menubuhkan GHB dan menganggap GHB diwujudkan atas dasar kekecewaan pihak tertentu kerana tidak tewas dalam pemilihan jawatan pada Muktamar Tahunan PAS, Jun lalu.
 
"Saya menganggap orang yang lari datipada perjuangan PAS yang telah berbai'ah sebelum daripada ini selagi mana PAS tidak menyeleweng daripada agama, al-Quran dan hadis maka dia telah melanggar satu bai'ah.
 
"Sebab kita berada di atas landasan yang betul kemudian dia lari daripada landasan yang betul dan meninggalkan perjuangan Islam itu maka itu salah satu perkara yang dianggap melanggar bai'ah itu sendiri," katanya.
 
 

GHB jangan dekati ahli PAS kalau ikhlas sertai Pakatan Rakyat 2.0 [TONTON VIDEO]

Posted: 31 Jul 2015 05:04 PM PDT

 Oleh Azizul Osman 

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad memberi amaran kepada kepimpinan Gerakan Harapan Baru (GHB) agar tidak mendekati mana-mana pemimpin atau ahli PAS.
 
Malah katanya, GHB tidak perlu memujuk ahli PAS untuk menyertai gerakan itu dan seharusnya mencari ahli lain untuk mengukuhkan kedudukan pembangkang di negara ini.
 
"Kalau GHB betul-betul ikhlas untuk memperkukuhkan pembangkang jangan fokus kepada ahli PAS, tetapi fokus kepada ahli UMNO dan ahli atas pagar.
 
"Sebab UMNO-BN sekarang ini berpecah, inilah masanya untuk kita memperkukuhkan pembangkang. Malangnya terjadi macam sekarang (penubuhan GHB) ini amat malang sekali," katanya dalam Majlis Rumah Terbuka PAS Selangor malam tadi.
 
Iskandar sebelum ini berkata penubuhan GHB hanyalah menguntungkan UMNO-BN dan bukannya PAS.
 
Jelas beliau, landskap politik GHB adalah untuk mengukuhkan kedudukan gerakan berkenaan di kalangan ahli PAS dan bukannya mensasarkan ahli UMNO-BN.
 
Sehingga hari ini, kepimpinan PAS Pusat masih berteka teki mengenai pendirian parti berkenaan terhadap GHB yang ditubuhkan oleh kumpulan progresif PAS setelah tewas pada pemilihan peringkat pusat di Muktamar PAS awal Jun lalu.
 
"Kita kena bincang kemudian sebab kita pun belum bincang dengan DAP-PKR tentang isu ini. Jadi benda ini perlu dibincangkan secara terperinci bukan kita ambil perkara itu berdasarkan kepada kenyataan pemimpin lepas itu terus kita buat keputusan, tidak boleh atau kita buat andaian," katanya lagi.
 
PAS ujar Iskandar perlu meneliti dan berbincang dengan lebih teliti mengenai GHB sebelum membuat apa-apa keputusan yang akan merugikan parti berkenaan kelak.
 
"Saya melihat bahawa kita (PAS) kena bincang secara teratur, duduk dan berbincang," ujarnya.
 
Presiden PAS, Datuk Hadi Awang semalam memberi amaran kepada semua ahli-ahli parti, terutama para pemimpinnya, untuk menjauhkan diri daripada aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh GHB.
 
"Saya melihat bahawa dalam (memecat atau menggantung keahlian) adalah berdasarkan kepada perlembagaan ada menyatakan kalau sesiapa yang menyertai parti baru maka keahlian akan lucut secara automatik. Itu pasti. 
 
"Kalau nak menubuhkan parti baru boleh rujuk kepada Lembaga Displin. Itu memang ada dalam perlembagaan parti. Bukan sesuatu yang baru.
 
"Kalau kita (ahli PAS) berbuat sesuatu yang bertentangan atau merosakkan parti tidak kira lah GHB atau apa parti pun, boleh dirujuk kepada Jawatankuasa Displin bukan sahaja GHB, sesiapa sahaja," kata Iskandar mengenai kenyataan Hadi semalam.
 
Hadi dalam ucapannya pada program Ihtifal Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman berkata tindakan yang berat boleh dikenakan terhadap mana-mana ahli terutama ahli-ahli Parlimen PAS dan ADUN negeri, yang ingkar arahan parti supaya tidak terlibat dengan aktiviti GHB.
 
Malah Hadi turut menyifatkan penglibatan mereka akan memberikan impak negatif terhadap parti kerana gerakan berkenaan tidak ada kena mengena dengan PAS.
 
Untuk itu, PAS akan memantau pergerakan dan aktiviti pemimpin mereka di setiap negeri dan sekiranya didapati terlibat, mereka boleh dihadapkan ke Jawatankuasa Displin parti yang mana boleh dipecat atau digantung keahliannya.
 
 
 

MH370: Keputusan dijangka diketahui esok atau lusa

Posted: 31 Jul 2015 05:00 PM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Keputusan sama ada serpihan bahagian sayap (flaperon) yang ditemui di Pulau Reunion berhampiran Madagascar kelmarin milik pesawat Penerbangan Malaysia (MAS), MH370 dijangka diketahui dalam tempoh satu atau dua hari lagi. 
 
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Abdul Aziz Kaprawi, berkata ketika ini serpihan itu sedang dalam proses penghantaran ke Toulouse, Perancis untuk tujuan siasatan antara semua pihak terbabit. 
 
"Isunya sekarang flaperon itu masih dalam perjalanan ke Toulouse dan tiada pihak boleh membuat pengesahan lagi. 
 
"Apabila sudah tiba di sana, barulah siasatan boleh dilakukan dan Boeing juga akan menyertai siasatan untuk mengesahkan sama ada serpihan itu milik MH370 atau sebaliknya,"katanya ketika ditemui media selepas menghadiri sambutan Rumah Terbuka Kementerian Pengangkutan di sini, hari ini. 
 
Aziz berkata, kementerian turut menghantar pasukan penyiasat ke Toulouse yang diketuai Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman.
 
Semalam seorang pakar penerbangan Perancis mendakwa beliau mungkin sudah menjumpai serpihan pesawat Penerbangan Malaysia (MH370) yang hilang di perairan Malaysia pada Mac 2014. 
 
Bekas juruterbang tentera, Xavier Tytelman yang kini pakar dalam bidang keselamatan penerbangan menerima panggilan telefon daripada seorang penduduk di Pulau Reunion, di Lautan Hindi. 
 
Lelaki berkenaan menghantar beberapa gambar yang menunjukkan serpihan pesawat itu dan beliau berkata, ia mungkin milik pesawat hilang berkenaan. 
 
 

MH370: Waris masih tunggu kenyataan rasmi

Posted: 31 Jul 2015 04:56 PM PDT

SINAR HARIAN



MH370

 
KUALA LUMPUR - Waris penumpang‎ MH370 masih menunggu pengesahan rasmi pihak berkuasa berhubung laporan penemuan serpihan kapal terbang di Pulau La Reunion Rabu lepas, yang berkemungkinan milik pesawat malang itu.
  
Bagi Selamat Omar, 60, bapa kepada penumpang Mohd Khairul Azmi, beliau sejujurnya tidak begitu percaya serpihan ditemui itu milik MH370 berdasarkan jarak yang terlalu jauh dari kawasan pencarian di Lautan Hindi.
  
"Namun saya serahkan segalanya kepada kerajaan dan pasukan penyiasat, apa yang mereka kata saya terima. Kalau serpihan itu memang dari MH370. ‎Alhamdulillah," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
  
Selamat berkata MAS sentiasa menghubunginya bagi memaklumkan setiap perkembangan terbaharu berhubung MH370.
  
"MAS memang ada hubungi saya untuk memberitahu perkembangan semasa tentang pencarian MH370 termasuk penemuan serpihan itu dua hari lepas," katanya.
   ‎
Kelvin Shim, 39, suami kepada pramugari Christine Tan, berkata beliau masih keliru sama ada mahu mengharapkan serpihan itu benar-benar milik MH370 ketika siasatan masih dijalankan.
  
"Sebenarnya, saya tidak tahu sama ada mengharapkan serpihan itu milik MH370. Jika terbukti benar, saya mahu ke sana melihatnya sendiri," katanya.
  
Beliau juga berkata MAS ada mengirimkan dua emel kepadanya semalam dan hari ini untuk memaklumkan perkembangan terkini dan salah satu emel itu mengandungi surat yang dikatakan dari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
  
"Mereka ada menelefon saya bertanya sama ada menerima emel itu dan berkata akan melakukan yang terbaik bagi mendapatkan berita awal untuk kami," katanya.
  
Bagi anak sulung ketua pramugara MH370 Andrew Nari, Maira Elizabeth Nari, 19, beliau mengharapkan sesuatu yang pasti berhubung penemuan terbaharu itu.‎
  
"Saya berasa gementar menantikan pengesahan daripada pasukan penyiasat nanti," katanya.
  
Beliau menyifatkan perkembangan terbaharu mengenai MH370 yang diketahuinya melalui laman sosial itu bukan sesuatu yang boleh diyakini setakat ini dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
  
Rabu lepas, beberapa imej serpihan dipercayai daripada Boeing 777 tersebar dalam media sosial dan memberi harapan baharu dalam usaha mengesan pesawat malang MH370 yang hilang itu.
  
Airlive.net, sebuah laman web yang membawa berita dan maklumat mengenai industri penerbangan mengeluarkan tweet gambar serpihan pesawat dan memuat naik status 'BREAKING Piece of wing found on La RĂ©union Island, could that be flap of #MH370? (BERITA TERKINI Serpihan sayap ditemui di La Reunion Island, mungkinkah ia sayap #MH370?)
 
 Pesawat MH370 hilang dari radar kira-kira tengah malam pada 8 Mac tahun lepas ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 227‎ penumpang dan 12 anak kapal. - Bernama

Tiada ulasan: