Ahad, 30 Ogos 2015

.

.


Sajak sempena merdeka negara

Posted: 29 Aug 2015 08:55 PM PDT

MARI KITA RAMPAS KEMERDEKAAN ITU

Mari kita rampas kemerdekaan itu
yang kosong makna dan erti buat kita
berambat dekad kita dijajah
dengan kuasa sebuah "kemerdekaan".

Kita ertikan semula kemerdekaan ini
biar menjadi milik hakiki
menghilang haus sebuah kebebasan
kita negarakan kemerdekaan
menandakan sempadan berdaulat keramat.

Mari kita rampas kemerdekaan itu
yang dipesongkan tujuannya
kita perangi pembelengguan
ke atas penguasa setia
yang dimandatkan
kita tanggalkan cemati birokrasi
yang terpundak lenguh dibahu mereka
kita pastikan ia subur
atas padang adat dan peraturan agama.

Mari kita rampas kemerdekaan itu
kita nyahkan sang maharajalela gila
kita buka setiap topeng sumpah kealiman
kita tangkap dan rejam pembaca-pembaca kitab
yang sombong dan menyesatkan
kita halau kolonailisme bernama demokrasi.

Mari kita rampas kemerdekaan itu
kita salin kuasa mereka
kita tuangkan iltizam bangsa
ke dalam acuan nusa
kita lantik wali-wali baharu
biar mereka
memanggungkan kuasa atas singgahsana
kita tebus segala gadaian
yang menjadikan kita sebagai galangnya
kita lunasi tuntutan kehausan wangsa
kita pegangkemas segala hak.

Mari kita rampas kemerdekaan itu
kita selongkar ke mana hilangnya 42 billion
kita cari pemurah dana 2.6 billion
kita pancung kebajingannya.

Mari kita rampas kemerdekaan itu
kita tambah nilai ringgit negara
kemaskan pepasir
jamin tanah sejantung ini tidak terhakis.

Mari kita rampas kemerdekaan itu
tanpa lengah.

MOHD SAYUTI OMAR.
Wangsa Maju
25-28 Ogos 2015 [wm.kl.11:49 am 30/08/15]

Himpunan Bersih 4 hari pertama berjaya

Posted: 29 Aug 2015 06:22 AM PDT

CORETAN BERSIH 4

Jenguk rakan di ICU Selayang. Doakan...
Selepas Asar tadi saya sempat turun ke ibu kota untuk meninjau reptai himpunan Bersih 4 yang bermula sejak petang tadi. Mulanya saya berhajat ke hospital Selayang dahulu untuk menziarahi seorang rakan yang terlantar di ward ICU, tetapi mengenangkan waktu melawati di sebelah tengah hari sudah ditutup saya bersama Zulaimi dan Zamani mengubah niat melencung ke ibu kota untuk tinjau Bersih.

Ingat besok sahaja untuk menyertai himpunan Bersih, tetapi rasa tidak adil dan tidak kena pula apabila membiarkan ribuan rakyat sudah mula bergerak ke kawasan himpunan tetapi saya masih di rumah. Rasa berdoa pula kerana tidak ikut sama, sedang himpunan itu adalah untuk kebaikan bersama. Perjuangan rakyat.


Gambar-gambar dan status yang diangkat oleh rakan dalam facebook dan twiter juga memanggil-manggil untuk segera datang bergabung diri.

LRT penuh dengan si kuning.
Saya tidak senang berada di rumah. Kerana rasa bimbang himpunan itu tidak berjaya memalu-malu dinding dada. Maklumlah larangan dan perwartaan himpunan sebagai HARAM sudah dibuat oleh menteri KDN dan laman-laman web Bersih juga sudah ditutup.

Gertakan Menteri Dalam Negeri, Zahid Hamidi dan lain-lain menyebabkan terfikir apakah himpunan kali ini gagal. Ia ditambah pula dengan sikap parti Pas yang tidak bersama dalam himpunan kali ini.

Pas kononnya sudah mulai insaf bahawa tindakannya selama ini menyertai Bersih sesuatu yang tidak baik. Mungkin Pas mengambil tindakan memulaukan Bersih sebagai suatu pertaubatan atas perbuatannya selama ini. Inilah kesan daripada perubahan kepimpinan Pas yang dikuasi sepenuhnya golongan ad-Din.

Mulanya untuk tinjau menerusi kenderaan sahaja. Tetapi kami ubah niat dengan memargking kereta di bawah bangunan Sunway dahulu The Mall. Dari itu mengambil LRT untuk menuju ke kawasan himpunan. Di setsen LRT Putra sebaik melihat orang ramai bagaikan bunga semarak api keguguran, kekuningan memakai baju Bersih bulu roma sudah berdiri tegak. Diri sudah terasa lain macam. Semangat refomasi yang di tahun-tahuan 90an dulu sudah mengembang dalam diri.

Hampir semua mereka yang berlegar di setesen LRT itu berbaju kuning. Mereka adalah peserta Bersih. Mereka muncul dari kiri kanan dan semua tangga dipenuhi manusia berbaju kuning. Ini menujukan mereka membawa haluan dan tujuan sama dengan kami. Menggembirakan semuanya ramah tamah dan bersapaan seolah-olah kami sudah mengenali lama dulu.

Melihat keadaan itu rasa bimbang himpunan akan dingin sedikit sebanyak sudah terhakis. Ia bertukar menjadi kuat dan yakin. Apa lagi pemandangan di sepanjang Jalan Raja Laut pula dipenuhi dengan orang baju kuning menjadikan jiwa semakin segar. Jalan Raja Laut sudah jadi macam ladang tulip.

Di atas LRT usah ceritalah. Semua gerbak dipenuhi penumpang berbaju kuning. Semacamlah LRT hari ini disewakah khas oleh penumpang baju kuning. Ramalan dan tuduhan mengatakan Bersih menjejaskan perniagaan adalah tidak benar bagi LRT.

Dalam kegembiraan dan bangga itu cuma satu yang berdegus dalam hati saya. Hampir 65 mereka yang hadir atau menuju ke lokasi himpunan itu terdiri daripada orang Cina. Kebanyakan mereka terdiri daripada remaja Cina. Melihat itu saya sudah boleh menyifatkan bahawa Bersih kali ini dikuasai oleh orang-orang Cina sepenuhnya. Orang Melayu bolehlah dikatakan sebagai pengenap sahaja.

Dari setesen Bandaraya kami mengharungi Jalan Raja Laut yang dipenuhi ribuan peserta Bersih. Para peserta berjujutan berhilir mudir di sepanjang jalan itu. Semua menuju menghampiri kawasan Dataran Merdeka. Mereka boleh sampai dipinggir DM sahaja sebab keseluruhan kawasan itu dikawal dan ditutup.

Apa yang sempat saya saksikan adalah himpunan di satu lokasi sahaja, sebelah Jalan Raja Laut. Manakala di empat lokasi lagi di Masjid Jamek, Masjid Negara, Pasar Seni dan Sogo, tidak dapat diketahui. Katanya jumlahnya berkali ganda dari di Jalan Raja Laut. Saya tidak berani mengatakan berapa jumlah sebenarnya sekitar jam 5:00 petang tadi, tetapi melihat kepada suasana dan keriuhan angkanya mungkin mencecah 60,000.

Angka itu kian bertambah kerana peserta masih dalam perjalanan menuju ke ibu kota. Lagipun puncak himpunan ialah esok. Adalah dianggarkan jumlah yang disasarkan 100,000 akan tercapai matlamat esok.

Kehadiran Dr Mahathir Mohamad ke kawasan himpunan menjelang Magrib tadi sedikit sebanyak akan menyuntik semangat para peserta. Sudah pasti kehadiran Mahathir itu menjadi pembuka selera anak-anak muda yang mengkagumi Mahathir. Kedatangan Mahathir itu adalah isyarat jelas yang beliau menyokong Bersih.

Daripada yang saya saksikan petang tadi saya dapat membuat beberapa kesimpulan terhadap himpunan Bersih kali ini. Pertama himpunan kali ini sangat berjaya. Masyarakat Cina jelas menguasai himpunan kali ini. Boleh dikatakan 65 peratus masyarakat Cina menguasai himpunan berkenaan. Kali ini orang-orang Cina benar-benar bangkit. Keadaan ini memberi gambaran potensi DAP untuk menang besar dalam pilihan raya akan datang makin kukuh.

Dalam pada itu kehadiran masyarakat India kurang menggalakkan. Orang India seolah tidak berasakan ada apa-apa keperluan untuk mereka berhimpun kali ini. Perpecahan dalam MIC tidak memberi apa-apa kesan dan menambah nilai himpunan Bersih 4 dari konterks masyarakat India. Suasana ini wujud mungkin kerana tidak ada mediator yang boleh membawa orang India bergabung dalam Bersih.

Saya yakin kalau Anwar Ibrahim berada di luar mungkin jumlah orang India lebih ramai. Kepercayaan orang India kepada Anwar mengatasi kepercayaan mereka kepada tokoh-tokoh pembangkang lain.

Penolakan Pas untuk tidak bersama dalam himpunan kali ini memberi kesan buruk kepada parti itu sendiri. Ternyata walaupun mereka tidak bergabung tetapi jumlah himpunan membanggakan. Sebaliknya ketiadaan Pas itu memberi keuntungan kepada GHB. Apa lagi masyarakat Melayu yang hadir terdiri dari kalangan anak-anak muda atau mereka berumur di bawah 50 tahun. Selepas ini Pas akan terus menjadi kera duku yang kesumbangan.

Apakah ini memberi pentunjuk GHB akan dimonopoli oleh anak-anak muda Melayu dan ia berpotensi mengambil alih tempat Pas dalam acara-acara sebegitu?  Boleh jadi.

Perkara lain yang boleh disebutkan sepanjang saya bertada di situ selama dua jam tidak ada kedengaran atau terlihat kejadian tidak baik berlaku. Tidak ada provokasi berlaku yang boleh mencetuskan huruhara atau kejadian ganas. Sehingga ke saat ini pihak polis juga dapat mengawal keadaan dengan baik. Walaupun SB berkeliaran tetapi mereka masih waras dan menjaga profesionalisme mereka dengan baik.

Belum ada tangkapan apa-apa sehingga malam ini. Walaupun Ketua Polis Negara memberi amaran keras, tetapi belum ada tindakan polis yang mencetuskan kemarahan para peserta. Kalau ini berterusan sampai esok, himpunan ini adalah terbaik, terbersih dan paling berjaya.

Biarpun Najib tidak akan turun dengan himpunan ini tetapi setidak-tidak rakyat berasa puas hati kerana mereka dapat melempiaskan rasa jengkil dan kemarahan kepada perdana menteri itu. [wm.kl.9:20 pm 28/08/15]

Pasukan keselamatan rileks.

Memedati di hujung jalan Raja Laut.

Peserta tenang bila tidak ada provokasi.

Pemandangan di pinggir jalan Raja Laut.



Setesen LRT Bandaraya penuh dengan baju kuning.

Tiada ulasan: