Jumaat, 21 Ogos 2015

.

.


Najib hendak kawal Internet setelah dia menjadi mangsa

Posted: 21 Aug 2015 12:56 AM PDT

ULASAN PETANG

Kata orang setelah teratuk baru hendak mengadah, begitulah keadaan dialami Naji Razak kini yang membayangkan cadangan untuk menyekat kebebasan laporan dalam Internet. Menurutnya kerajaan bercadang untuk melaksanakan standard antarabangsa bagi mengawal selia Internet.

Macam manahkah standard antarabangsa itu?

Kita faham kenapa Najib baru menyedari perkara itu sekarang ini dan tidak sebelum ini. Jawabanya kerana beliau sudah merasai kesakitan akibat kebebasan Internet atau cara rakyat negara ini mengamalkan kemudahan berkenaan. Kebebasan Internet tidak mengikut standard antarabangsa telah memakan dirinya?



Pendedahan cerita busuk mengenai skandal 1MDB sangat-sangat memakan diri Najib.

Sebelum ini ketika orang lain menjadi mangsa Internet, Najib hanya diam membisu dan seolah-olah mepercayai apa yang dilaporkan. Misalnya apa diterima dan dialami oleh bekas Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dimana moralnya dijatuhkan menerusi Internet, Najib dan kerajaan tidak pun berkata apa-apa mengenai hal itu.

Najib memerhati dengan penuh senyuman dan dalam hati berkata mujur.

Bahkan laporan dan pendedahan fitnah menerusi Internet mengenai rendah moral Anwar dipetik disiarkan pula oleh akhbar kebangsaan yang kononnya mempunyai integriti, sebenarnya menjadi lidah kepada Umno sendiri. Najib jelas doubles standard dalam hal ini bertindak apabila sesudah ia terkena ke atas batang hidungnya.

Tindakan Najib sebegini bukan menggambarkan seorang pemimpin yang adil jauh sekali yang mendahului kehendak rakyat seperti mana yang dihemburkan dalam slogannya.

Secara peribadi memang saya setuju kalau penggunaan Internet dan penyiaran laporan berkaitan seseorang dikawal bagi mengelakkan terjadi penganiyaaa melampau. Tidak dinafikan fitnah berlambak-lambak dalam Internat dan ia mudah dipercayai. Kerana tidak ada kawalan dari segi menilai berita dilaporkan daripada penggunaan menyebabkan fitnah dianggap satu kebenaran.

Untuk melakukannya juga mudah kerana tiada kawalan. Oleh kerana itu kawalan, tetapi kalau hendak dilaksanakan bukan setelah diri kita terkena dengan fenomena Internet, tetapi buatlah secara menyeluruh dan untuk kebaikan bersama.

Najib dalam hal ini bukan sahaja perlu menyelamatkan dirinya tetapi diri orang lain sama. Untuk itu beliau harus juga membuat kenyataan bahawa setiap laporan yang dilemparkan ke atas diri Anwar Ibrahim atau mana-mana tokoh sebelum ini adalah mangsa kebebasan Internet seperti mana yang beliau rasai kini.

Dalam pada itu kerajaan selain daripada cuba mengekang kebebasan Internet demikian perlu juga memperkenalkan tatacara atau piagam untuk melayani setiap laporan Internet sebelum dipercayai. Rakyat atau waga Internet juga perlu diberi kesedaran dan kefahaman menggunakan, menerima atau mengakses laporan Internet secara benar dan bertanggungjawab. [wm.kl.3:54 pm 21/08/15]

Pendedahan Mustapa yang tidak untungkan Hadi

Posted: 20 Aug 2015 04:00 AM PDT

ULASAN PETANG

Mustapa kurang bijak.
Pendedahan oleh Mustapa Ali, sebuah cerita lama bagaimana Pas membuat keputusan anih yang boleh ditafsirkan sebagai pengkhianat menjelang pilihan raya ke-13 dahulu yang mana mahu menukarkan jawatan perdana menteri daripada Anwar Ibrahim kepada Tengku Razaleigh Hamzah sekiranya Pakatan Rakyat menang, bukan mendedahkan ketulusan Mustapa dan Pas, sebaliknya membuka kelemahan diri dan parti sendiri.

Mustapa sekonyong-konyong menjelaskan usaha menukar jawatan PM daripada Anwar kepada Tengku Razaliegh Hamzah dicadangkan oleh Pas. Tujuan Mustapa mendedahkan cerita "benar" yang dianggap tidak ada moral dan setiakawan bagi Pas itu bagi membela dan mempertahankan presiden Pas, yang dituduh oleh DAP menolak Anwar.

Penjelasan Mustapa itu tidak menguntungkan Pas sebenarnya, tetapi mendedah hakikat yang selama ini dipersoalkan oleh umum terhadap presiden parti itu. Apabila Pas mencadangkan nama Tengku Razaleigh sebagai menjadi PM, tetapi tidak nama Abdul Hadi Awang, jelas menunjukkan presiden Pas itu tidak layak untuk menjadi PM.

Abdul Hadi bagi Pas sendiri tidak disenaraikan sebagai pemimpin nombor satu Malaysia.

Bertolak dari realiti itulah mungkin maka berlaku protes dari kalangan bekas pimpinan Pas kepada Abdul Hadi Awang. Mereka malu dan segan untuk berketuakan kepada orang yang tidak tersenarai sebagai perdana menteri.

Sekiranya Abdul Hadi mencapai standard sebagai PM, sudah tentu nama beliau dicadang menggantikan Anwar Ibrahim apabila Majlis Syura Ulama (MSU) membuat pertimbangan dari segi moral Anwar tidak layak. Nama Abdul Hadilah paling layak apabila nama Lim Kit Siang juga bermasalah selepas nama Anwar tidak diperlukan bukannya Tengku Razaleigh orang yang berada di luar lingkungan Pakatan Rakyat.

Tanpa Pas menamakan presidennya sendiri sebaliknya menggadaikan jawatan itu kepada Tengku Razaleig menunjukkan Abdul Hadi dalam keadaan teruk dan tidak bermutu. Tanpa disedari penamaan Tengku Razaleigh itu sebagai penghinaan secara halus terhadap Abdul Hadi yang mungkin hanya disengehinya sahaja.

Yang merujakan lagi bukan sahaja kalangan Jawatankuasa kerja Pas tidak mencadangkan Abdul Hadi menjadi PM, tetapi MSU badan yang dikira tertinggi dimana Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi Mursyidul juga tidak terliur dengan Abdul Hadi.

Walasil balik, walasal balik asil, pendedahan Mustapa bertujuan untuk memburuk-buruk Lim Kit Siang dan menunjukkan Pas, khasnya Abdul Hadi baik dan bersih, jadi sebaliknya. Pendedahan itu secara tidak langsung merenah-rendahkan martabat Abdul Hadi sebagai pemimpin bertaraf dunia yang disanjungi, dan ia jelas tidak setanding dengan status yang diraih Anwar.

Makanya lain kalau Mustapa hendak membuat kejutan dan membuka cerita-cerita sebenar yang misteri dan berlapis, harus berfikir banyak kali dan melihat apakah implikasi daripada yang dilakukan. Jangan pula kerana hendak membungkus nangka, kain kita pula terkoyak.  [wm.kl.6:54 pm 20/08/15]

Tiada ulasan: