Ahad, 2 Ogos 2015

.

.


Badi Mahathir kini sudah terkena Najib

Posted: 01 Aug 2015 10:35 PM PDT

DARI BINGKAI MATA

Segala tindakan Najib Razak termasuk tindakan secara pejam mata (berani) memecat timbalannya Muhyiddin Yassin, serta tindakan susulan oleh PDRM tentunya atas arahan Zahid Hamdi yang baru menerima ghanimah jawatan TPM dari Najib, menahan beberapa individu tertentu tidak akan menyelesaikan masalah Najib.

Bahkan segala tindakan itu memberi alasan dan hujah baharu kepada penentang Perdana Menteri itu agar berundur. Tindakan itu menimbulkan kemarahan dan kebencian baharu kepadanya. Kalau dahulu orang di luar Umno yang serabut dan benci dengan Najib tetapi tindakan terbaru mengundang kemarahan dari dalam Umno.


Mereka yang bersimpati dengan Muhyiddin kini sudah lantang menyuarakan kemarahan dan kebencian kepada Najib. Senario ini akan kelihatan di sepanjang Umno di semua peringkat mengadakan mesyuarat peringkat bahagian yang sudah pun bermula kini. Keadaan menunjukkan Umno terbelah dua akan terpamer dari sikap dan tindak tanduk ahli ekoran tragedi itu.

Najib dalam menghadapi saat-saat genting gagal mengurangkan musuh tetapi ralik menambahkan musuhnya.

Nasib diterima Dr Mahathir Mohamad tahun 1998 ekoran memecat timbalannya Anwar Ibrahim, dimana Mahathir didesak dan diasak agar melepaskan jawatan kini sudah berjangkit, badi Mahathir sudah terkena kepada Najib. Walaupun tidak ada bangkitan segera daripada Umno tetapi momentum ke arah itu sudah bergerak.

Muhyiddin juga hari ini telah memberi isyarat dia tidak akan membisukan diri daripada terus memperkatakan isu 1MDB. Muhyiddin kata dia tidak akan berada dalam sindrom bisu. Ertinya skandal 1MDB akan dijadikan modal besar untuk Muhyiddin bergerak menggerudi Najib.

Tindakan memecat Muhyiddin itu satu perkiraan mendalam dibuat Najib. Tindakan itu sebenarnya satu pilihan terakhir yang harus dibuat secara pantas. Najib tidak ada pilihan kedua atau ketiga, hanya ada satu pilihan sahaja. Pecat Muhyiddin.

Muhyiddin bukan sahaja setakat menjadi duri dalam daging kepadanya, tetapi tindakan dan ketegasan Muhyiddin dalam isu 1MDB dan akaun peribadi Najib menjadikan, sikap Muhyiddin terhadap isu itu menjadikan ia bagaikan api dihadapan dan duri di belakang bagi Najib. Najib harus menyelamatkan diri dari keadaan itu.

Najib satu masa sukar untuk mengambil tindakan terhadap Muhyiddin tetapi dalam masa lain beliau terpaksa berbuat demikian apabila gagal menjinakkan Muhyiddin. Dipercayai Najib mula tertekan dan hilang akal apabila Muhyiddin menunjukkkan sikapnya tidak sedia berkompromi dengan Najib dengan memberi kata dua; berhenti atau Najib memecat beliau.

Sikap Muhyiddin itu menggambarkan beliau sudah tidak boleh lagi untuk berdiplomasi memikul masalah Najib, berhubung pengaliran wang dana 1MDB ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri itu sebanyak RM2.6 billion. Muhyiddin berbuat begitu kerana dia sendiri berasa malu berketuakan orang seperti Najib. Sebagai seorang yang dididik dengan nilai-nilai Islam sedari kecil Muhyiddin tidak sampai hati mengkhianati saksiah dirinya.

Manakala Najib pula, setelah berada dipersimpangan, yang amat sukar, akhirnya pada Selasa lepas telah mengambil risiko memecat Muhyiddin kemudian menyandarkan kepada Zahid Hamidi sebagai batu besar menghalang gelombang yang bakal meledak ekoran pemecatan itu. Masih menjadi tanda tanya apakah Zahid mampu menyelamatkan bosnya itu itu atau gelombang itu turut sama menenggelamkannya.

Zahid sudah pun mula bertindak. Dipercayai penahaan beberapa individu berautoriti dalam pelbagai agensi seperti Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Sazilee Abdul Khairy dan dua yang lain Rashpal Singh dan Jessica Gurmeet Kaur, adalah atas arahan Zahid selaku TPM dan Menteri Dalam Negeri. Tindakan itu dibuat apabila Zahid sedia mencemarkan dakwat merahnya untuk mempertahankan Najib, menanda tangani memerintah polis menahan dan siasat mereka.

Penahanan individu berkenaan memberi gambaran betapa terdesak dan kritikalnya keadaan Najib sehingga terpaksa menggunakan aparat rakyat untuk membelanya. Tindakan itu terpaska diambil untuk menyelamatkan kedudukan dan kekuasaan Najib, bukan dibuat atas kebaikan rakyat. Hanya dengan kuasa yang tersisa yang ada sahaja yang membebaskan Najib dari penjara? Sampai bila?

Dipercayai lebih ramai lagi akan menjadi mangsa keadaan yang terwujud oleh Najib ini, dan Zahid akan memainkan peranan lebih luas lagi. Zahid yang terheret dalam permainan ini secara tidak langsung telah meletakkan dirinya dalam keadaan serba salah. Nasib politik Zahid juga akan ditentukan oleh nasib politik Najib.

Zahid sendiri tidak ada pilihan lain untuk menyelamatkan nyawa politiknya kerana beliau dikenali bukan kumpilan Muhyiddin. Satu masa Zahid pernah membuat kenyataan akan mencabar kedudukan Muhyiddin dalam Umno. Chemistry itu menyebabkan Zahid tidak betah dan mempunyai lorong cerah dalam Umno kalau Muhyiddin menjadi perdana menteri atau presiden parti.

Kalau satu masa dulu Zahid seakan menyerahkan nasib politiknya kepada Anwar Ibrahim, tetapi dia terselamat apabila cekap (baca munafik) mengambil sikap melarikan diri dan mufarakah atau berpaling tadah diri dari saf Anwar. Zahid yang bersama Anwar tetapi akhirnya meninggalkan Anwar kesepian dalam penjara.

Perubahan jawatan PM daripada Mahathir Mohamad kepada Abdullah Ahmad Badawi memberi peluang kepada Zahid membina semula imej politiknya, apabila Abdullah mengambil Zahid menyertai kabinet.

Hari ini Zahid yang tidak mempunyai kekuatan (karismatik) politik tersendiri sudah terheret jauh dalam percaturan politik kuasa Najib dan menjatuhkan Muhyiddin. Zahid kini walaupun bergelar jawatan timbalan perdana menteri, hakikatnya dia adalah "algojo" kepada Najib untuk menggantung sesiapa sahaja yang cuba mencabar dan menganggu Najib.

Justeru keadaan dan kedudukan Zahid, kelamaan dan kependekan dia memegang jawatan TPM itu bergantung kepada nyawa Najib Razak. Hari ini Najib berundur esok juga Zahid akan berundur. Atau kedua-duanya akan terkorban dalam tragedi serangan daripada rakyat jelata yang akan dimulakan pada bila-bila masa sahaja.

Zahid sebagai kawan dan pembela Najib sedia mengorbankan jari jemarinya dengan kekotoran kuasa yang ada kepadanya. Lihatlah nanti. [wm.kl.1:13 pm 02/08/15]

Tempias kabinet Najib kepada Umno Kelantan

Posted: 01 Aug 2015 07:57 PM PDT

 PANDANGAN PAGI

Walaupun rombakan kabinet Najib Razak minggu lepas adalah untuk mengukuhkan kedudukannya dan membuang duri dalam daging dalam Umno, (Muhyuddin Yassin) tetapi sedikit sebanyak ia memberi tempias kepada Umno Kelantan apabila dua orang timbalan menteri baharu berasal dari negeri itu.

Ahmad Jazlan Yaakob
Perlantikan Asyraf Wajdi Dusuki dan Ahmad Jazlan Yaakob itu menggembirakan rakyat Kelantan amnya dan khasnya Umno kerana ia memberi kesan kepada parti itu. Kedua-dua mereka merupakan muka baharu yang dikira dapat memberi suntikan semangat kepada Umno Kelantan.

Asyraf dilantik menjadi timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, manakala Jazlan dilantik menjadi timbalan menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah II. Kedua kementerian itu dilihat dapat memberi kelabaan kepada Umno Kelantan sebagai menghadapi pilihan umum akan datang, kerana kedua kementerian itu boleh memberi fungsi tersendiri dalam menaikkan imej Umno di Kelantan.

Alwi Che Amat
Asyraf Wajdi Dusuki
Bila berbicara mengenai perlantikan dan tuah mereka itu, tidak dapat tidak, perlantikan kedua mereka itu adalah atas kehendak Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan Mustapa Mohamed. Najib sudah pasti akan meminta Mustapa mengemukakan nama untuk diangkat sebagai jemaah menteri, dan Mustapa pula sudah tentu mengambil kira kemampaun atau sumbangan bakal diberikan oleh kedua timbalan menteri itu.

Tidak ada guna mereka dilantik menjadi jemaah kabinet kalau ia tidak memberi apa-apa signifiken kepada Kelantan. Apa lagi kalau setakat melakatkan glamour kepada mereka.Asyraf terutamanya janganlah menggunakan jawatan itu untuk mempromosi dan mengiklan diri berlebihan-lebihan dengan penampilan elita. Beliau perlu menampakkan berjiwa rakyat mirip-mirip Mustapa Mohamed.

Baik bagi Asyraf dan Jazlan perlantikan itu satu ujian kepada mereka sejauh mana mereka mampu untuk meletakkan diri mereka sebagai orang politik dan pejuang rakyat. Mereka kini sedang memasuk ke fasa kedua dalam politik, kalau diibarat kepada murid mereka sudah melangkah ke bilik peperiksaan.

Ramzi Abdul Rahman melayan tetamu dalam satu majlisnya.
Yang hendak dinilai, apakah tindakan Mustapa itu benar dan kedatangan kedua timbalan itu memberi impak kepada Umno? Dapat membantu Umno untuk merampas Kelantan dalam pilihan raya umum akan datang?

Umum tahu kedudukan Umno Kelantan pada masa ini dalam keadaan terbaik untuk merampas kerajaan Kelantan daripada Pas. Dengan segala masalah dihadapi Pas baik dari segi pengurusan kerajaan negeri yang lemah, kewangan yang terhad dan perpecahan dalam parti itu ia membuka harapan kepada Umno. Keadaan dan masalah itu akan diguna sebaik mungkin oleh Umno. Kegagalan kerajaan Pas melaksanakan beberapa projek asas sangat menekan rakyat Kelantan dewasa ini.

Perpecahan dalam Pas ekoran penubuhan Gerakan Harapan Baru (GHB), atau parti baru, meletakkan Pas dalam keadaan tidak seampuh dahulu. Penubuhan parti baru menyebabkan Pas Kelantan akan kehilangan darah untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang. Pas Kelantan tidak perlu mengalami kekurangan sokongan kesan daripada wujud GHB sampai 50 peratus, tetapi cukup untuk 20 peratus sahaja, ia sudah membolehkan Pas tertumus.

Dalam penilaian ringkas saya, sekiranya GHB benar-benar wujud di Kelantan dan mengambil bahagian dalam pilihan raya, atau berlaku pertandingan tiga penjuru, Umno akan mampu menguasai 35 kerusi dan keadaan ini sudah meletakkan Pas di pinggir "neraka politik". Kalaupun Umno tidak dapat mengulangi sejarah tahun 1978, tetapi ada kemungkinan sejarah itu akan berulang.

Mungkin angka dan penilaian sama sudah dibuat oleh Mustapa Mohamed tentang realiti dihadapi Pas dalam PRU akan datang. Justeru perlantikan Pengerusi Yayasan Dakwah Islam (Yadim) Asyraf dan ahli Parlimen Machang, Jazlan itu sebagai menjadi pemangkin kepada harapan itu.

Persoalannya sejauh mana kedua mereka dapat menjadi "katalis" kepada harapan itu? Apakah keduanya berkemampuan membantu Umno dengan perlantikan itu atau mereka sendiri tidak pernah berasakan perlantikan mereka itu adalah penanam modal (investment) oleh Umno untuk pilihan raya akan datang? 

Perlantikan kedua mereka itu seperti diterima baik oleh Umno Kelantan apabila tidak ada kedengaran suara-suara sumbangan disebalik perlantikan. Tetapi dari kalangan pemerhati dan mereka yang matang politik akan "bersoksek-soksek" mengenainya. Langkah Mustapa memilih kedua orang itu boleh dipertikaikan.

Misalnya ada suara yang menyebut, perlantikan Asyraf dan Jazlan membelangkang beberapa nama lain yang dilihat lebih mampu dan munasabah kalau dibawa masuk ke dalam kabinet. Mereka lebih dominan dalam konteks rakyat Kelantan daripada kedua timbalan menteri itu. Mustapa walaupun ada alasan dan hujah sendiri seakan tidak terpandang kepada beberapa senior lain. Mustapa tampaknya tidak melihat kepada senioriti dalam parti dan obses kepada perubahan semasa.

Kenapa mereka dipersoal, kerana mereka masih mentah dan junior dalam politik. Sepatutnya cukup salah seorang daripada mereka sahaja dan seorang lagi diberikan kepada junior dari kalangan mereka yang sudah berpangalaman dan masak dalam politik. Pembahagian golongan itu akan memperlihatkan ada keadilan dan logik dalam Umno Kelantan.

Sebelum ini ada orang mengagak Annuar Musa akan dibawa balik ke dalam kabinet. Beliau juga telah menunjukkan kehendak itu apabila melakukan pembelaan saat-saat akhir kepada Najib Razak. Usaha beliau untuk membersihkan MARA yang dibelenggu penyelewengan pembelian hartanah yang luar biasa, menampakkan beliau berminat besar. Tetapi usaha saat-saat akhir itu tidak berjaya memancing hati Najib.

Memang tepat kalau Annuar Musa tidak dibawa masuk semula ke dalam kabinet memandangkan beliau sudah berdekad menjadi menteri dan sekaligus menjadi pembawa suara rakyat Kelantan dan pemanggil pembangunan ke Kelantan. Masa selama lebih 20 tahun diberikan kepadanya menjadi menteri sudah mencukupi.

Selama menjadi menteri Annuar tidak ada apa-apa legasi ditinggalkan di Kelantan, jelas menunjukkan peluang yang diberikan kepadanya disia-siakan begitu sahaja. Jadi elok kalau Mustapa atau Najib tidak memilih Annuar untuk disenaraikan dalam kabinet menyelamat dan mengukuhkan Najib itu. Lagipun Annuar bukan lagi aset kepada Umno tetapi sudah menjadi liabiliti dengan sejarah-sejarah yang dicetaknya.

Tetapi, dengan mengambil dua muka baharu kononnya untuk melakukan perubahan dan menjadi daya tarikan baharu - anak-anak muda, dirasakan kurang bijak apabila masih ada tokoh yang dikira layak dan pantas berada dalam kabinet. Sepatutnya tokoh ini diambil, apa lagi sumbangannya kepada kekuatan Umno Kelantan khususnya dalam memberi modal kepada Umno sangat ketara.

Orang-orang yang dimaksudkan itu ialah Md Alwi Che Ahmad, Adun Kok Lanas dan juga Ramzi Abdul Rahman. Apabila ada kuota untuk Kelantan dilantik menjadi anggota kabinet, seharusnya Mustapa tidak melupai nama-nama ini. Barang kali tidak perlu diungkitkan jasa-jasa atau sumbangan mereka terutamanya Alwi kepada Umno Kelantan muasir ini, kerana sebagai seorang yang cekap politik tahu mengenai peranan Alwi ini.

Isu hudud yang selama ini menjadi masalah kepada Umno kerana ia berjaya "dipolek" oleh Pas, sedikit sebanyak terombak apabila Alwi telah berjaya memperdayakan Pas dengan isu itu apabila membuat pernyataan Umno sedia membantu Pas. Alwi telah menumpahkan air mata keikhlansannya di DUN Kelantan untuk melihat hudud terlaksana di Kelantan. Airmatanya itu berjaya memperlihatkan Umno tidak lagi jadi penentang hudud. Alwi menerusi isu hudud telah meletakkan persesi umum yang Umno juga mahukan hudud. 

Bukan itu sahaja, pengalaman politik dan pentadbiran yang diperolehinya semasa menjadi pengerusi atau ahli lembaga pengarah, ahli jawatan kuasa dalam beberapa buah agensi kerajaan dan badan berkanun melayakkan beliau dilantik menjadi jemaah menteri. Kalau hendak diukur dari segi pengalaman politik antara beliau dengan Asyraf dan Jazlan, orang kata panggil tidak dengar.

Pengalaman paling mahal ditimba Alwi ialah semasa menjadi ahli Parlimen Kok Lanas dan juga ketika menjadi Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, semasa Abdullah Ahmad Badawi menjadi PM. Pengalam ini merupaka aset besar bagi Alwi. Semasa menjadi Setiausaha Politik PM beliau juga antara orang yang merangka ke arah perpaduan Melayu di negara ini dan menguatkan kedudukan Islam.

Apakah aset dan kehebatan yang dimiliki Alwi itu tidak dilihat oleh Najib atau pun Mustapa Mohamed. Katanya ada maklumat mengatakan, Najib mahukan orang muda dalam kabinetnya bagi dijadikan pemain baharu dalam politik kontemporari. Dalam sisi politik, sebenarnya Alwi juga adalah seorang muda kerana beliau tidak pernah menjadi menteri atau memasuki jemaah menteri.

Hakikat "orang muda" dalam politik inilah yang mungkin gagal ditafsirkan oleh Mustapa Mohamed atau Najib. Orang muda dalam politik ialah mereka yang fresh, belum pernah menjadi menteri. Ia bukan sahaja diukur kepada usia tetapi kepada penglibatannya dalam kabinet. Walaupun usia Alwi dengan Annuar Musa hampir sama sekitar 60, tetapi dari segi politik usia Alwi lebih jauh muda dari Annuar kerana beliau tidak pernah menyertai kabinet dan juga masih bersih dari melakukan dosa dan noda kepada rakyat Kelantan.

Mungkin apa yang berlaku itu - mencicirkan senior dalam Umno Kelantan satu kekhilafan Mustapa atau pun keputusan terbaik bagi menguatkan sokongan anak muda kepada Umno? Bagaimana pun disamping Mustapa khasnya dan Umno amnya jangan ghairah meletakkan harapan kepada anak muda sehinggakan mengabaikan jasa dan pengalaman orang tua.

Bukan sahaja Alwi atau Razmi, senior lain juga haruslah diberikan tempat sewajarnya. Kepaduan antara dua golongan itu terutama dalam memegang jawatan menjadi kekuatan kepada Umno. [wm.kl.10:38 am 02/08/15]

Tiada ulasan: