Ahad, 26 Julai 2015

ZAKRI ALI

ZAKRI ALI


PM perlu jawab tuduhan duit masuk akaun peribadinya, kata Muhyiddin

Posted: 26 Jul 2015 11:00 PM PDT



Tan Sri Muhyiddin Yassin melihat laporan The Wall Street Journal (WSJ) mengenai sejumlah wang disalurkan ke dalam akuan peribadi Datuk Seri Najib Razak adalah satu perkara serius yang perlu dijelaskan.

Timbalan perdana menteri yang pertama kali mengulas isu tersebut mengakui begitu banyak persoalan mengenai dakwaan media antarabangsa yang masih tidak jelas dan ini menimbulkan kebimbangan kerana ianya bukan melibatkan jumlah kecil tapi hingga beratus juta dolar.

"Pada awal berita itu, saya teks beliau, saya panggi 'sir' (panggilan hormat) saya kata pada dia ini merupakan tuduhan serius anda kena nafi, kemudian beliau jawab terima kasih dan kata sudah nafi.

"Namun walau sudah nafi yang buat itu adalah daripada Jabatan Perdana Menteri, saya kata balik beliau yang kena nafikan sendiri sebab tuduhan itu merujuk kepadanya, dan lepas itu baru ada penafian," katanya semasa merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Cheras di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau juga mendedahkan membangkitkan perkara tersebut berapa kali dalam mesyuarat majlis tertinggi Umno dan mesyuarat Kabinet kerana merasakan tanggungjawabnya sebagai timbalan perdana menteri menyuarakan hal berkenaan.

"Saya ada tanggungjawab sebagai timbalan perdana menteri saya beri pandangan dalam MT sekali sekala, dalam jemaah menteri tiap-tiap minggu saya kata mesti kena ada jalan penyelesaian. Ianya perlu dimuktamadkan.

"Kalau tidak selesai maka ia akan jadi beban, kalau seringgit dua tidak apa, tapi sepatutnya kalau tidak ada 1MDB tidak akan ada masalah," katanya.

Pada masa sama beliau mengakui kerap kali dikecam rakyat kerana dilihat terlalu mendiamkan diri dalam isu tersebut.

Beliau berkata, amat bersetuju sekiranya pasukan petugas khas yang ditubuhkan bagi menyiasat syarikat sarat hutang itu menjalankan tugas mereka tanpa diganggu mana-mana pihak lain.

Katanya tidak mempunyai halangan sekiranya laporan interim Ketua Audit Negara mengenai 1MDB didedahkan kepada umum agar ianya dapat menjawab segala persoalan mengenai skandal tersebut.

"Saya ikhlas nyatakan perkara ini kerana ramai ahli parti kata TPM ini terlalu senyap, kadang geram juga namun isu ini bukan mudah saya kata tidak mahu terlebih batas.

"Saya setuju pasukan khas melaksanakan tanggungjawab tanpa diganggu mana-mana pihak, lagi cepat lagi baik, kalau siasat tahan bersalah dan mesti ada yang salah, lagi cepat lagi baik untuk parti.

"Saya juga tidak ada halangan kalau laporan interim didedahkan umum supaya orang tidak akan tertanya-tanya atau diputar belitkan media antarabangsa," katanya.

- tmi

Ahli MT Umno desak KDN jelaskan langkah gantung The Edge

Posted: 26 Jul 2015 10:15 PM PDT

 
  Ahli MT Umno desak KDN jelaskan langkah gantung The EdgeAhli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican hari ini mendesak supaya Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjelaskan dengan lebih terang punca 2 permit akhbar perniagaan The Edge digantung, serta mempersoalkan bukti kesalahan yang mereka lakukan.

Reezal bagaimanapun menghormati keputusan KDN tetapi berkata ia perlu difahami  rakyat supaya tidak timbul persepsi negatif kerana akhbar tersebut lantang mengkritik syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"The Edge mempunyai reputasi tersendiri. Ia akan menghasilkan pelbagai pandangan daripada orang ramai.

"Saya hormat keputusan tersebut, tapi saya desak penjelasan dengan lebih mendalam, jadi orang ramai dapat faham," katanya semasa ditemui semasa majlis rumah terbuka bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Ahli Parlimen Kepala Batas itu berkata pihak KDN perlu mengemukakan bukti mereka terhadap alasan penggantungan akhbar The Edge.

"KDN perlu jelaskan bahagian mana yang dipalsukan, bahagian mana yang mengelirukan dan bahagian mana yang membawa kebencian?" katanya.

Jumaat lalu, KDN mengumumkan keputusan menggantung penerbitan akhbar harian The Edge Financial Daily dan mingguan The Edge selama 3 bulan mulai 27 Julai.

Menjelaskan tindakan itu, KDN dalam sepucuk surat menyatakan liputan penerbitan itu mengenai 1MDB "memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan atau mungkin menggemparkan fikiran orang ramai atau mungkin memudaratkan kepentingan awam atau negara."

Tindakan KDN itu dikecam hebat pengkritik kerajaan yang menyifatkannya cubaan menutup maklumat disampaikan kepada orang ramai.

Ketua Pegawai Eksekutif The Edge Media Group dan penerbit Ho Kay Tat berkata, mereka akan mencabar penggantungan itu di mahkamah dan akan memfailkan semakan kehakiman pada Isnin. – TMI

Respon Najib isu skandal 1MDB: Okaylah

Posted: 26 Jul 2015 09:30 PM PDT


Respon Najib isu skandal 1MDB: OkaylahWalaupun pelbagai masalah melanda negara dan juga Umno ketika ini, namun para tetamu rumah terbuka bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi termasuk perdana menteri dan timbalannya kelihatan ceria.

Malah, Datuk Seri Najib Abdul Razak hanya sempat mengucapkan satu perkataan kepada para wartawan yang mengerumuninya ketika beliau ingin meninggalkan majlis tersebut.

Ketika para pemberita melontarkan soalan kepadanya berkaitan skandal projek 1MDB, Najib hanya berkata:

"Okaylah," katanya ringkas sebelum memasuki kereta dan terus beredar.

Sementara itu, timbalanya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kelihatan mesra semasa majlis tersebut hanya berdiam diri ketika ditanya mengenai skandal kewangan negara itu.

Tun Abdullah selaku tuan rumah majlis itu pula ketika ditemui juga tidak mahu memberi komen mengenai perkara tersebut.

"Seronok (saya teruja)," kata Abdullah ketika ditanya mengenai perasaannya pada hari ini.

"Suasana okay," kata bekas perdana menteri itu berseloroh ketika diminta mengulas mengenai isu semasa yang dihadapi negara sebelum beliau mengukir senyuman sebelum berjalan kembali beramah mesra dengan tetamunya. - M'kini

Selepas Sarawak Report & The Edge, SIAPA mangsa seterusnya? Oleh Shahbudin Husin

Posted: 26 Jul 2015 08:45 PM PDT

 
Selepas Sarawak Report & The Edge, SIAPA mangsa seterusnya?Secara umumnya ramai yang tidak setuju dengan tindakan kerajaan menggantung permit penerbitan akhbar The Edge selama tiga bulan hanya semata-mata kerana laporan yang disiarkannya mengenai 1MDB.

Tindakan itu menggambarkan kerajaan sedang mengambil langkah ke belakang dari segi kebebasan rakyat memperolehi maklumat, tidak sedia dikritik dan memalukan dirinya sendiri lantaran tidak upaya memberi penjelasan mengenai apa yang disiarkan oleh akhbar tersebut, lalu menggunakan kuasa yang ada sebagai pelindung.

Tambahan lagi, beberapa hari lalu, sebaik menyiarkan laporan mengenai urusniaga 1MDB dengan PetroSaudi International yang didakwanya sebagai helah oleh Jho Low untuk menipu wang negara sebanyak AS$1.83 bilion, akhbar kewangan itu juga tampil dengan kesedian untuk ke mahkamah bagi mempertahan laporan yang dibuatnya.

Ia mengatakan, laporan itu dibuat berdasarkan maklumat daripada dokumen dan ribuan email yang diyakininya sebagai benar dan sedia untuk berhujah mempertahankannya di mercu keadilan yang diiktiraf oleh perlembagaan.

Dalam masa yang sama, pemilik The Edge, Ho Kay Tat juga sudah pun menyerahkan semua dokumen, email bercetak dan cakera keras mengenai 1MDB kepada Bank Negara dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Polis, untuk membantu siasatan kerajaan terhadap syarikat bermasalah dan sarat hutang itu.

Jadi, dengan kesediaan ke mahkamah dan sudah menyerahkan maklumat yang mereka ada, apa logiknya lagi tindakan kerajaan menggantung permit akhbar tersebut?

Atau kerajaan sebenarnya ingin menyekat pendedahan lain yang mungkin lebih menggemparkan mengenai 1MDB, Najib Razak dan lain-lain pihak oleh akhbar tersebut?

Walaupun Kementerian Dalam Negeri atau KDN hari ini tampil dengan mengatakan penggantungan itu berasaskan tiga sebab - laporannya yang boleh menimbulkan persepsi negatif kepada masyarakat, sumber maklumat yang diragukan serta belum tentu kesahihannya dan isu 1MDB sedang disiasat oleh pasukan petugas khas, maka tidak tidak adil laporan sedemikian disiarkan, tetapi hakikatnya semua orang sedang bercakap tentang isu yang sama sekarang.

Jika benar mahukan keadilan, halanglah semua orang daripada bercakap mengenainya, termasuk menteri dan media kerajaan serta arus perdana yang tidak henti-henti mempertahankan 1MDB dan biarkan petugas khas saja menjalankan kerjanya?

Lebih mengaibkan, tindakan terhadap The Edge ini dilakukan hanya beberapa hari selepas laman sesawang Sarawak Report juga disekat oleh SKMM, juga kerana siri pendedahannya sejak sekian lama mengenai syarikat pelaburan kerajaan yang menjadi "anak emas" kepada Perdana Menteri, Najib Razak itu.

Sebagaimana ramai yang sinis dengan tindakan terhadap Sarawak Report, pelbagai pihak turut menyatakan tidak setuju dengan langkah kerajaan terhadap The Edge itu, termasuk daripada adik Najib sendiri iaitu Nazir Razak dan Chandra Muzaffar yang selama ini dikenali sebagai penyokong setia Najib.

Lebih ramai yang merasakan, kerajaan seharusnya memberi penjelasan atau membetulkan, jika terdapat salah maklumat atau silap laporan dalam pemberitaan mengenai The Edge itu.

Yang ternampak di mata rakyat, melalui sekatan terhadap Sarawak Report dan penggantungan The Edge ini ialah kerajaan seolah-olah mahu melindungi sesuatu dan tidak mahu rakyat disajikan dengan maklumat yang betul lagi benar.

Apakah dalam era langit terbuka dan globalisasi ini, kerajaan sebenarnya hanya mahu rakyat menperolehi maklumat daripada TV3, Utusan dan media kerajaan saja?

Selepas tindakan terhadap Sarawak Report dan The Edge ini, kebimbangan seterusnya ialah apakah kerajaan akan terus "mengganas" dengan menyekat beberapa sumber maklumat lain seperti portal berita, blog dan laman-laman sosial yang selama ini banyak mengkritk 1MDB?

Ini berikutan dalam pertemuan SKMM dengan beberapa editor portal berita selepas sekatan terhadap Sarawak Report baru-baru ini, mereka juga diingatkan agar tidak lagi memetik laporan daripada laman pembocor maklumat yang sudah disekat itu kerana ia juga dianggap suatu kesalahan.

Hanya kira-kira enam tahun selepas melaungkan keterbukaan, kesederhanaan, menghargai kewujudan media sosial dan beberapa kali mengatakan "era kerajaan mengetahui segala-galanya sudah berakhir", Najib hanya melalui skandal 1MDB dan ketidakupayaannya memberi penjelasan, sedang mengalih haluan negara ke arah yang salah semata-mata mahu mempertahankan kuasanya. - http://shahbudindotcom.blogspot.com/

PM Najib Diambang "KEJATUHAN" ??

Posted: 26 Jul 2015 08:00 PM PDT

Lagi dakwaan Pemuda UMNO cuba sabotaj Najib

pro-umno
Blog Mykmu.net menyenaraikan beberapa pemimpin Pemuda UMNO yang dipercayai terlibat dalam komplot itu.


PETALING JAYA: Sekumpulan pemimpin Pemuda UMNO Pusat dan mereka yang rapat dengan Ketua Pemuda UMNO didakwa sedang bergerak mempengaruhi Pemuda supaya tidak menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Blog pro kerajaan, Mykmu.net menyiarkan 'paparan skrin' yang mendakwa perbualan kumpulan berkenaan menerusi aplikasi WhatsApps.

Blog berkenaan menamakan pemimpin Pemuda UMNO yang dipercayai terlibat dalam komplot untuk menjatuhkan Najib.

Mereka ialah Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairul Azwan Harun (Wan Bro), Pengerusi Media Sosial Pemuda UMNO (EXCO) Ibdillah Ishak, EXCO Pemuda UMNO (Pengkaderan Politik), Tengku Zuhri Tengku Abdul Aziz, EXCO Pemuda UMNO (Profesional Muda), Shahril Hamdan, Pegawai Khas kepada Ketua Pemuda UMNO, Dax Muhammad.

Blog itu melaporkan antara perbualan kumpulan berkenaan yang mendakwa Perdana Menteri seorang yang berpura-pura jadi tidak salah mereka berpura-pura sokong PM tetapi berbuat sebaliknya.

"Individu yang menggunakan nama DAX Muhammad juga menyatakan PM merayu sokongan Khairy Jamaludin.

"Ibdillah meyakinkan kumpulan ini bahawa beliau mempunyai pasukan media siber yang besar yang boleh menentang penyokong Najib Razak namun enggan menggunakan buat masa ini bagi menyembunyikan kekuatan," dakwa blog itu.

Tulis blog itu lagi, kumpulan berkenaan juga mengkritik Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Muhamad Khairun Aseh yang dikatakan sedang menarik sokongan Ketua-Ketua Pemuda UMNO Bahagian menyokong Perdana Menteri.

Blog itu beberapa bulan lalu mendedahkan bahawa terdapat gerakan dalam Pemuda UMNO Malaysia yang mahu menjatuhkan atau sekurang-kurangnya melemahkan kedudukan Perdana Menteri.


http://www.mykmu.net/2015/07/pemimpin-pemuda-umno-pro-kj-rancang-sabotaj-najib-kali-kedua/

Bukan USD700 juta tapi USD1 bilion, dakwa Azmin Ali FMT Reporters

Posted: 26 Jul 2015 07:15 PM PDT

 
azmin,najib

Beliau mendakwa angka terbaru itu diperoleh daripada pihak berkuasa.


PETALING JAYA: PKR mendakwa sejumlah USD1 bilion wang 1Malaysia Development Sdn Bhd (1MDB) dipindahkan ke akaun peribadi milik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bukannya USD700 juta seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali mendakwa, jumlah itu sangat besar dalam sejarah negara untuk seorang Perdana Menteri.

"Kita sebelum ini ingat jumlah wang yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi USD700 juta.

"Angka terbaru yang saya perolehi daripada 'authority' USD1 bilion dimasukan ke dalam akaun Perdana Menteri," katanya di Pulau Pinang seperti dilapor media rasmi Kerajaan Selangor, Media Selangorku.

Menteri Besar Selangor itu berkata, masalah 1MDB menyumbang kepada kejatuhan nilai Ringgit serta menggugat kedatangan pelabur ke Malaysia.

"Keadaan ini dijangka mengakibatkan peniaga mengambil keputusan menutup perniagaan akibat terpaksa menanggung kerugian besar," katanya.

1MDB - Penghantar Surat Pulak Ditahan Reman

Posted: 26 Jul 2015 06:30 PM PDT


Seorang penghantar surat menjadi individu kelima yang direman bagi membantu siasatan berhubung akaun 1Malaysia Development
Bhd (1MDB).

Perintah reman empat hari bermula hari ini terhadap lelaki berumur 27 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahim di Mahkamah Majistret di Putrajaya.

Menurut pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika ditemui di mahkamah, perintah reman itu bertujuan membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a), Akta SPRM 2009 iaitu menerima rasuah.

Mahkamah sama sebelum ini mengeluarkan perintah reman terhadap empat individu bagi membantu siasatan berhubung kes 1MDB, bagaimanapun dua daripadanya dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Penghantar surat berkenaan ditahan di rumahnya di Bentong, Pahang pada 6.30 petang semalam.

Suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan pemilik tunggal sebuah syarikat perdagangan berumur 28 tahun yang juga direman empat hari bermula Jumaat lepas.

-Bernama

Kalau macam ni mampukah Najib bertahan? Whatsapp Pemuda UMNO Mahu ‘Gulingkan’ Najib Tersebar!!

Posted: 26 Jul 2015 05:45 PM PDT



Para pengguna media sosial Facebook semalam, mendedahkan beberapa imej perbualan menerusi aplikasi WhatsApp dalam komplot yang dikatakan mahu menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

Melalui imej perbualan yang didedahkan oleh individu yang mempunyai akses di dalam kumpulan (group) 'NKPUM SOC MEDIA' (Kumpulan Media Sosial Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia) itu, menunjukkan sikap kurang senang beberapa Exco Pemuda UMNO Malaysia terhadap pentadbiran Najib yang dikatakan sebagai bermuka-muka.

Kumpulan yang dikatakan diketuai oleh Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Khairul Azwan Harun itu turut dianggotai oleh Penolong Setiausaha, Ybhg Dato' Hj Mohamad Saffri Ab Aziz; Exco Pemuda, Tengku Zuhri Tengku Aziz; Exco Pemuda; Ibdillah Ishak; Exco Pemuda, Shahril Hamdan, Pegawai Khas kepada Ketua Pemuda UMNO, Dax Muhammad.

Menerusi perbualan tersebut Dax dilihat antara yang paling mengkritik Najib yang juga Presiden UMNO. "Ko tgk mcm mana PM sendiri bermuka-muka 9am lain, 10am lain, 11am lain 1am lain.

"So what, kita enjut je… PM beg chief (merayu pada Khairy Jamaluddin) untuk dapatkan sokongan" ujarnya memetik imej perbualan yang didedahkan itu. Sementara itu Ibdillah turut dilihat menyokong kenyataan tersebut.

"Dah bro, tapi aku belum mengunakan keseluruhan jentera (siber) untuk menyerang mereka.

"Tak nak dedahkan mereka pada TF dan kumpulan Farid" ujarnya pula. Selain itu kumpulan tersebut turut mendakwa Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Muhd Khairun Aseh Che Mat telah mengumpulkan sejumlah 40 orang Ketua Pemuda UMNO Bahagian untuk menyokong Perdana Menteri.

Ekoran penyebaran imej tersebut, beberapa individu yang dikatakan kumpulan penyokong Najib mendesak Ibdillah untuk tampil memberikan penjelasan berhubung isu tersebut.

Namun Ibdillah dilihat mengambil pendekatan diam tanpa memberikan sebarang jawapan, malah semua status yang dimuatnaik oleh kumpulan penyokong Najib di laman Facebook beliau sejak malam tadi turut dilihat telah dipadamkan.

SuaraTV cuba menghubungi Khairul Azwan, Ibdillah dan Dax bagi mendapatkan pengesahan mereka mengenai imej perbualan tersebut.

Namun semua panggilan yang dibuat tidak berjawab walaupun telah dicuba berkali-kali. April lalu Khairul Azwan bersama beberapa Exco Pemuda pernah dilaporkan mengadakan satu perjumpaan sulit bersama ketua-ketua Pemuda Umno Bahagian di Johor bagi menjatuhkan Najib ~

SuaraTV via ASD


Posted by mountdweller

Muhyiddin - Orang Cakap The Edge Tak Betul, Cuba Cakap Apa Yang Tak Betul?

Posted: 26 Jul 2015 05:00 PM PDT

 Saya baca The Edge untuk faham 1MDB, kata Muhyiddin




Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berucap di mesyuarat Umno Cheras malam ini. Beliau mengaku 'sukar nak faham mengenai 1MDB sehingga terpaksa baca


Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui terpaksa membaca akhbar The Edge untuk mendapatkan maklumat mengenai syarikat bermasalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Timbalan perdana menteri turut mempersoalkan sumber mana lagi yang boleh rakyat percaya mengenai laporan 1MDB jika laporan The Edge tidak boleh dipercayai.

"Saya sendiri pun sukar nak faham mengenai 1MDB, sampai saya terpaksa baca dari The Edge .

"Orang cakap dekat saya laporan The Edge tidak betul, jadi bagitau saya apa yang betul," katanya semasa merasmikan Majlis Perwakilan Umno Bahagian Cheras di Kuala Lumpur malam ini.

- themalaysianinsider

PKR Akhirnya Bersuara, Sedia Kerjasama Dengan Gerakan Harapan Baru

Posted: 26 Jul 2015 01:32 PM PDT



PKR bersikap terbuka dalam menjalin kerjasama dengan mana-mana parti politik yang mengamalkan rangka kerja dasar yang sama, kata presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Saya ingat kita punya persahabatan dengan semua orang walaupun dengan Umno. Kita sama...kita mempunyai perjuangan.

"Kita ada kerangka kerja dasar yang sama di mana kita dan semua anggota politik bersama dengan rakyat Malaysia yang prihatin tentang krisis nasional yang melanda negara, kita ajak bersama untuk menyelesaikannya," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri program Jelajah Amanat Presiden di Butterworth hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, Ketua Penerangan PKR Syed Ibrahim Syed Noh, Pengerusi PKR Pulau Pinang Datuk Dr Mansor Othman dan barisan kepimpinan PKR negeri.

Dr Wan Azizah berkata demikian mengulas kenyataan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din dalam Mingguan Malaysia hari ini yang menyatakan PAS bersedia menamatkan hubungan dengan PKR jika parti itu bersetuju menyertai DAP dan Gerakan Harapan Baru (GHB) untuk membentuk satu pakatan pembangkang yang baru.

Haron dilaporkan berkata kemungkinan pendirian itu dibuat selepas meneliti kenyataan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini yang menggambarkan seolah-olah mahu memutuskan hubungan dengan PAS.

Bagaimanapun, Dr Wan Azizah enggan mengulas berhubung perkara itu dan meminta untuk mengesahkan perkara itu terlebih dahulu.

Ditanya mengenai pendirian yang diambil PKR terhadap GHB, anggota Parlimen Permatang Pauh itu memberi 'jawapan selamat' dengan berkata: "Kita semua kawan...kita ada keterbukaan, mereka kawan lama kita. Kita sebagai kawan, kawanlah...atas kerangka kerja dasar yang sama, kita bersama," katanya.

Sementara itu, Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor berkata keutamaan dan pendirian PKR ketika ini adalah bersikap lebih inklusif untuk menjaga keharmonian dan memakmurkan negara serta ekonomi.

"Kita harus bersedia untuk menonjolkan kepimpinan dan di sini Keadilan perlu memainkan peranan penting bagi memastikan semua parti dan rakyat akan bersama-sama sebagai satu pasukan yang mantap bagi menyelamatkan negara," katanya.

Bekas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu minggu lepas mengumumkan penubuhan GHB yang terdiri daripada pemimpin kanan PAS yang gagal dalam muktamar parti bulan lepas.

GHB, yang telah mengemukakan permohonan pendaftaran sebagai sebuah parti politik, dilihat sebagai pengganti PAS dalam gabungan pembangkang Pakatan Rakyat sekarang selepas DAP dan PAS putus hubungan. Rakan kongsi ketiga dalam Pakatan Rakyat ialah PKR.

-Bernama

PAS perlu ubat 'cirit-birit mulut' kata Mahfuz

Posted: 26 Jul 2015 12:00 AM PDT

 
 

 Ketika tahap sokongan pengundi bukan Melayu - terutamanya komuniti Tionghua - semakin merosot, PAS tidak bertindak bijak sebaliknya menghamburkan "cirit-birit mulut" yang belum terubat.

Bekas Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, PAS wajar menumpukan usaha mengawal pengundi teras - iaitu Melayu Islam - agar tidak hilang atau merosot menjelang pilihan raya umum ke-14.

Pada masa sama, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu, PAS berusaha memulihkan kepercayaan pengundi bukan Melayu Islam khususnya masyarakat Tionghua.

"Tetapi apa yang berlaku kesan di sebalik setiap perkataan yang dihamburkan ialah ia seumpama cirit-birit mulut yang perlu dicari ubat bagi segera menghentikannya," kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Dalam kenyataan sama Mahfuz menjangkakan PAS bakal kehilangan undi yang ketara sama ada daripada masyarakat Melayu atau bukan Melayu ekoran kemelut dihadapi bersama Pakatan Rakyat.

Katanya, apa yang penting ketika ini ialah langkah pimpinan PAS memperbaiki keadaan.

"Sehingga sekarang saya belum nampak sesuatu yang dilakukan. Malah apa yang saya lihat ialah beberapa tindakan dan kenyataan yang dibuat oleh Pimpinan PAS bakal mengundang kemerosotan sokongan pengundi Islam Melayu itu sendiri.

"Respon PAS terhadap Gerakan Harapan Baru (GHB) memperlihatkan kerisauan, kebimbangan dan ketakutan PAS terhadap kemunculan kumpulan tersebut. Kenyataan mengecam GHB dan pimpinannya membuka ruang untuk ahli PAS memberikan respon yang baik terhadap gerakan itu," katanya.

Tambah beliau, kenyataan di kalangan pimpinan PAS yang disiarkan akhbar Harakah hanya akan memburukkan lagi keadaan.

Mahfuz merujuk kepada tulisan disiar akhbar rasmi PAS yang menuduh ahli serta pimpinan dari latar belakang kumpulan lain - seperti Jemaah Islah Malaysia dan Ikram - sebagai perosak parti.

"Semua harus mengakui sedikit sebanyak kekuatan yang ada pada IKRAM yang mempunyai rangkaian di pelbagai peringkat akan menjejaskan kekuatan PAS," katanya.

Tiada ulasan: