Isnin, 13 Julai 2015

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


KES GADUH DI LOWYAT DAN NASIHAT OLEH : DR ZAHARUDDIN ABD RAHMAN PRESIDEN MURSHID

Posted: 12 Jul 2015 08:06 PM PDT

Ustaz Dr. Zaharuddin Abd Rahman
KES GADUH DI LOWYAT DAN NASIHAT
OLEH : DR ZAHARUDDIN ABD RAHMAN
PRESIDEN MURSHID

Saya menyeru mereka yang terlibat dan ingin rasa ingin terlibat dalam pergaduhan di Low Yat tidak lagi meneruskan dendam dan pergaduhan, khususnya di bulan Ramadhan yang merupakan bulan penuh kesabaran. Nabi mengingatkan :-

الصيام جنة فلا يرفث ولا يجهل وإن امرؤ قاتله أو شاتمه فليقل إني صائم مرتين
Ertinya : Puasa itu benteng, justeru jangan seseorang berkata buruk dan melakukan perbuatan orang jahil lagi bodoh, dan sekiranya ada yang mencari gaduh, mencercanya, lalu katalah: Aku berpuasa, sebanyak dua kali. (Riwayat Al-Bukhari)

Saya pernah ditipu malah bernilai puluhan ribu ringgit disebabkan pembeli & penjual menipu, mereka dari pelbagai bangsa, justeru saya sangat faham perasaan kemarahan apabila ditipu. PUN BEGITU, KES LOWYAT SAMA ADA DISEBABKAN OLEH TIPU ATAU CURI, namun berkumpul ramai dan tindakan menyerbu Low Yat semalam adalah TIDAK WAJAR malah berpotensi membawa MUDARAT AWAM khususnya melibatkan 'ketegangan antara kaum'. Dibimbangi hal ini jika berpanjangan, boleh mencetus sesuatu yang lebih buruk dan merebak kepada individu & kedai yang tidak terlibat, akhirnya terjebak sehingga boleh menjadi antara kaum. Sedangkan ini SEPATUTNYA bukan hal KAUM tetapi adalah kakitangan SEBUAH KEDAI dan PELANGGANNYA sahaja. Selesaikanlah secara spesifik dan terhad bukan merebak kepada yang lain.

CUKUPLAH dengan apa yang telah berlaku dan berhentilah dari terus ingin 'menyerbu' Low Yat. Malah jika benar mereka kerap menipu, BOIKOTLAH sahaja. Bagi mangsa penipuan, laporlah kepada polis dan buat tuntutan di Tuntutan Tribunal Malaysia jika nilainya di bawah RM 25,000. Insha Allah, keadilan di pihak mangsa mampu dicapai. Saya pernah menggunakan Tribunal Malaysia dan hak saya berjaya diperolehi kembali.

Juga ingin ditegaskan, bagi mereka yang bergaduh di mana-mana sahaja, JANGANLAH sewenangnya melaungkan lafaz takbir sewaktu nafsu amarah itu sedang dilayani. Pergaduhan & kebencian akibat dari hal DUNIAWI semata-mata TIDAK LAYAK dilaungkan lafaz mulia itu malah boleh merosakkan imej Islam.

HUDUD MEMBAWA SAYA KEPADA PAS DAN TERUS KEKAL BERSAMANYA

Posted: 12 Jul 2015 07:25 PM PDT

Teringat saya ketika mula-mula mendengar kehendak kerajaan Kelantan melaksanakan Hudud. Dek kerana kurang ilmu berkaitan dengan undang-undang Islam maka saya memilih untuk menyokong pandangan bahawa Hudud tidak sesuai pada zaman ini.

Peluang melanjutkan pengajian di UTM Jalan Semarak telah membuka ruang kepada saya untuk memahami apa itu hudud yang sebenarnya. Walaupun pengajian saya di UTM dalam bidang Kejuruteraan namun saya berpeluang untuk mengenali Hudud melalui subjek Pengajian Islam dan kuliah-kuliah agama di tempat lain.

Saya mula menyedari bahawa Hudud itu adalah undang-undang dari Allah S.W.T, Tuhan saya dan Tuhan kepada seluruh makhluk di atas dunia ini. Tidak mungkin Hudud akan menzalimi manusia kerana Islam itu adil untuk semua.

Saya memilih untuk menyertai PAS selepas tamat pengajian di UTM pada tahun 1997 walaupun keluarga saya adalah penggerak UMNO di Kluang. Saya akui bahawa Hudud membawa saya menyertai PAS walaupun saya sedar pada ketika itu, PAS adalah parti kerdil jika dilihat dari sudut bilangan ahli dan cawangannya jika nak dibandingkan dengan UMNO.

Saya membesar dengan pelbagai aktiviti UMNO dan tidak kekok untuk menyertai program UMNO pada ketika itu. Namun di atas sikap dan pendirian kepimpinan UMNO yang mempermain-mainkan Hudud dan menjadikan Hudud sebagai bahan kempen politik maka hati saya tidak cenderung lagi kepada parti cap keris tak bersarung ini.

Saya percaya kepada kepimpinan almarhum tok guru Nik Aziz di Kelantan yang serius untuk melaksanakan undang-undang ciptaan Allah. Saya percaya kepada kepimpinan PAS Pusat yang terus mendokong kerajaan Kelantan untuk melaksanakan Hudud.

PAS terus konsisten memperjuangkan Hudud walaupun ditekan dan diinjak dalam pelbagai bentuk serangan yang menguji kesabaran.

Kekonsistenan PAS untuk memperjuangkan Hudud masih utuh walaupun adakalanya ia tidak mendapat sokongan yang baik daripada pelbagai pihak termasuklah daripada anggota dalam parti.

Saya akui kadang-kadang terasa juga kesedihan di dalam hati apabila ada di kalangan sahabat-sahabat seangkatan saya mahu meninggalkan PAS kerana marah, tidak puas hati, kecewa, geram dan apa jua yang sewaktu dengannya apabila berhadapan dengan situasi dalaman ketika ini.

Kerana itu wahai para sahabat, saya akan terus kekal bersama PAS kerana Hudud telah membawa saya ke dalam jamaah dan parti ini. Saya sertai PAS bukan kerana pemimpin tertentu tetapi percaya kepada dasar perjuangannya. Selagi dasarnya tidak berubah maka disinilah saya akan terus berjuang, insya Allah.

Usaha untuk merealisasikan Hudud mungkin jalannya akan lebih sukar selepas ini namun saya percaya bahawa Allah akan sentiasa ada bersama.

Semoga Allah kuatkan dan semangat serta tetapkan pendirian saya dan para sahabat semua.

‪#‎TerusBeristiqamah‬
‪#‎BeristiqamahHinggaKemenangan‬

Wassalam

Khairul Faizi Ahmad Kamil
www.khairulfaizi.net
25 Ramadhan 1436

"KEKALKAN MUAFAKAT, ELAK PROVOKASI"

Posted: 12 Jul 2015 07:13 PM PDT

KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
26 Ramadan 1436H / 13 Julai 2015

"KEKALKAN MUAFAKAT, ELAK PROVOKASI"

Oleh: Nik Mohamad Abduh Bin Nik Abdul Aziz
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ahli Parlimen Pasir Mas.

Dewan Pemuda PAS Malaysia melahirkan rasa dukacita yang mendalam dan begitu perihatin terhadap kejadian pergaduhan yang berlaku di Plaza Low Yatt sejak semalam yang melibatkan anak-anak muda Malaysia yang berjiwa merdeka. Ia dalam apa jua keadaan pun begitu mencemari kemuliaan bulan Ramadhan yang mendidik kita kepada kejernihan, kesabaran, kasih sayang dan kesantunan yang tinggi.
Dengan harapan yang begitu tinggi, kami menyeru semua pihak agar bertenang dan bersama menyokong dan mendorong kepada usaha-usaha penjernihan dan permuafakatan.

Walaupun kita sedih dengan kes jenayah perniagaan yang samada berpunca daripada pihak peniaga atau pun pembeli, ia tidak boleh sama sekali mendorong kepada tindakan beremosi dan merajakan nafsu dalam proses mencapai jalan penyelesaian. Tindakan sedemikian pastinya akan menambahkan lagi kekusutan dan membawa akibat yang lebih buruk.
Justeru Dewan Pemuda PAS Malaysia menyeru anak muda Malaysia agar tidak mudah terpengaruh dengan suara-suara buruk yang bersifat perkauman dan permusuhan. Seperti pesan Rasulullah صلى الله عليه وسلم, dengan kedatangan Islam yang mulia, seruan perkauman dan rasis sudah menjadi bangkai jahiliyah yang ditinggalkan.
Dewan Pemuda PAS Malaysia juga menyeru pihak kerajaan agar segera menjalankan siasatan menyeluruh ke atas kejadian yang berlaku dalam mengenal pasti punca sebenar dan membawa pihak yang bersalah ke muka pengadilan.

Adalah perlu untuk rakyat Malaysia melihat kejadian ini dalam kerangka fikir yang lebih besar. Kerajaan perlulah menjadi contoh dan teladan terbaik ke arah sifat amanah, telus dan benar di dalam menangani isu-isu jenayah perniagaan dan ekonomi yang melanda negara kita. Baik sesebuah kerajaan yang memerintah akan banyak membantu kepada baiknya kehidupan rakyat jelata.

Dewan Pemuda PAS juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada nasihat khas yang telah disampaikan oleh Saudara Afdlin Syauki (https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10155779379060527&id=19005495526) yang menyeru semua pihak agar bertenang. Ia nasihat baik dan benar yang wajar diikuti.

Terima kasih.

“SEMUA PIHAK PERLU BERTENANG, ELAKKAN PROVOKASI”

Posted: 12 Jul 2015 04:29 PM PDT

Kenyataan Media Presiden PAS
Isnin 26 Ramadan 1436 / 13 Julai 2015
"SEMUA PIHAK PERLU BERTENANG, ELAKKAN PROVOKASI"

Parti Islam SeMalaysia (PAS) sangat kesal dengan peristiwa kekecohan yang berlaku di kawasan tengah Bandaraya Kuala Lumpur dalam tempoh 12 jam yang lalu.
Sehubungan dengan itu, PAS ingin merayu dan meminta semua pihak yang ada dalam negara ini, terutamanya di kawasan sekitar titik panas Bukit Bintang Kuala Lumpur agar bertenang dan mengelakkan sebarang provokasi baharu yang boleh menghangatkan suasana.

Jangan kita cemari keharmonian pelbagai kaum yang ada dalam negara ini dengan insiden yang boleh melebarkan hubungan baik semua pihak yang sedia terjalin sejak zaman berzaman.

PAS meminta semua pihak agar menangani semua isu yang timbul, walau apapun puncanya, dengan jiwa terbuka dan penuh dengan kesabaran terutamanya dalam bulan Ramadan yang mulia ini.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Tiada ulasan: