Kelab Greenboc |
Hubungan PAS-PKR Putus Jika PKR Sertai Gabungan Baharu Posted: 25 Jul 2015 11:30 PM PDT Putus hubungan jika PKR sertai gabungan baharu, kata PAS PAS sedia menamatkan hubungan dengan PKR sekiranya parti itu bersetuju menyertai DAP dan Gerakan Harapan Baru (GHB) membentuk satu pakatan pembangkang baharu, kata Datuk Dr Haron Din dilaporkan akhbar Mingguan Malaysia. Mursyidul am PAS itu dilaporkan berkata, kemungkinan pendirian itu dibuat selepas meneliti kenyataan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini yang menggambarkan seolah-olah mahu memutuskan hubungan dengan parti Islam itu. "Dengan keputusan itu maka akan terputuslah hubungan antara kedua-dua parti dan masing-masing bakal meneroka jalan sendiri selepas terbubarnya pakatan pembangkang. "Kalau mereka hendak menubuhkan parti baharu, saya ucapkan selamat maju jaya," katanya seperti dilaporkan edisi Ahad Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia. Haron berkata, pihaknya yakin PAS tetap kuat dan berdiri teguh memperjuangkan Islam walaupun sekumpulan ahlinya akan menubuhkan parti baharu GHB. Katanya, ini kerana PAS pernah mengalami situasi sana melalui sejarah penubuhan Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (Berjasa) dan Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim). "Semoga GHB tidak tinggal harapan sahaja dan masa akan menentukan. Jika umur kita panjang, kita akan melihat apa yang berlaku seterusnya," katanya. Anwar dalam kenyataan pada 24 Jun lalu membayangkan penubuhan pakatan baharu yang merangkumi semua kumpulan progresif termasuk Bersih, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) dan GHB. Penasihat DAP Lim Kit Siang berkata, PAS tidak akan dilibatkan dalam pakatan baharu tersebut kerana parti Islam itu menjadi punca kematian Pakatan Rakyat. -TMI
ULASAN GB Sewajarnya PAS bersendirian. Sebab golongan ulama dalam PAS sudah merasa kuat. Sudah merasa cukup. Tak perlu sokongan dan bantuan parti lain, malah tak perlu sokongan dan penyertaan kumpulan professional. Setelah berpatah arang berkerat rotan dengan DAP, PAS cuba menghasut PKR untuk tidak bekerjasama dengan parti itu. Sesuatu yang tidak mungkin berlaku kerana DAP adalah sebuah parti yang mendapat sokongan majoriti kaum bukan Melayu khususnya Cina. Pembentukan kerajaan di negara ini tidak mungkin boleh mengabaikan penyertaan mereka dan tidak mungkin juga PKR menjadi tidak siuman untuk mendengar hasutan PAS untuk tidak menerima DAP. UMNO sendiri tidak mungkin dapat menjadi kerajaan tanpa sokongan parti-parti bukan-Melayu. Semuga selepas ini, PAS benar-benar memilih untuk bersendirian. Kerana itu mungkin lebih baik bagi PAS sepertimana disarankan oleh menantu Allahyarham Usta Fadil Nor, Ahmad Sabky Yusof iaitu selepas ini, PAS bolehlah melangkah selesaikan masalah organisasi yang seterusnya -iaitu masalah kepimpinan. |
Tidak Ada Apa-apa Yang Boleh Halang Wakil Rakyat PAS Sertai Harapan Baru... Posted: 25 Jul 2015 06:55 PM PDT Wakil rakyat PAS Selangor sertai GHB, enggan letak jawatan Wakil rakyat PAS di Selangor yang menyertai Gerakan Harapan Baru (GHB) menolak desakan beberapa pemimpin PAS yang menggesa supaya meletakkan jawatan atas alasan undi yang diperoleh mereka berdasarkan sokongan Pakatan Rakyat (PR) walaupun bertanding atas tiket parti Islam itu. Ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud berkata, tidak ada sebab beliau berbuat demikian kerana dirinya masih ahli PAS yang sah dan GHB bukan satu entiti parti politik. Katanya, undi majoriti 29,000 yang diperoleh adalah berdasarkan rakyat yang memilih PR dan bukan hanya terhad daripada ahli PAS sahaja, malah menganggapnya satu pembaziran berjuta ringgit jika memaksa diadakan semula pilihan raya. "Saya masih ahli PAS. Saya tidak akan meletakkan jawatan sebagai ahli Parlimen kerana saya dipilih oleh rakyat. Yang undi saya bukan ahli PAS sahaja. "Jadi, saya masih berkhidmat untuk rakyat dan akan teruskan khidmat saya," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider. Bekas timbalan ketua Dewan Muslimat PAS Pusat itu mencabar ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Selangor yang lain meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat kerana mereka juga menang disebabkan tiket PR. Katanya, PAS bukan lagi sebahagian kerajaan PR di Selangor selepas pendirian rasmi Dewan Ulama PAS Pusat membatalkan hubungan dengan DAP pada 11 Julai lalu. "Adun PAS perlu letak jawatan sebab mereka menang atas sokongan PR bukan hanya undi PAS. Kena faham situasi di Selangor tak sama macam di Kelantan," katanya. Ditanya kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din mengenai wakil rakyat yang menyertai GHB diharamkan menikmati gaji dan elaun, Dr Mariah menegaskan wang itu bukan untuk tujuan peribadi tetapi untuk rakyat. "Selama ini saya bukan goyang kaki dan saya dibayar oleh kerajaan untuk rakyat, bukan untuk PAS atau hanya untuk isu PAS sahaja," katanya. Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata, desakan supaya meletakkan jawatan kerana menyertai GHB itu tidak logik kerana bukan undi ahli PAS sahaja yang membawa kemenangan semasa pilihan raya umum lalu. Sebaliknya bekas ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu berkata, PAS Pusat perlu bermesyuarat, keluarkan satu kenyataan rasmi dan menghantar surat rasmi kepada mereka yang terlibat bagi melenyapkan kekeliruan pandangan peribadi yang berbeza mengenai status mereka. "Ada yang kata belum langgar peraturan, ada yang kata sudah langgar. "Sepatutnya pendirian datang bukan melalui media tetapi melalui surat mengenai pendirian rasmi yang diputuskan PAS Pusat selepas mendengar penjelasan kedua-dua pihak," katanya yang masih belum menerima sebarang surat rasmi daripada ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur. Seperti Dr Siti Mariah, beliau juga menganggap kenyataan Haron sebagai satu pandangan peribadi. "Itu pandangan dia, kita pun ada hujah sendiri," katanya yang menjangkakan PAS Pusat bermesyuarat pada 8 Ogos ini. Setiausaha PAS Selangor Mohd Khairuddin Othman semalam dilaporkan berkata, Adun dan ahli Parlimen PAS yang berhasrat menyertai GHB perlu mengosongkan kerusi mereka kerana ia ditandingi dan dimenangi atas tiket PAS. "Mengapa terlalu lama untuk isytiharkan diri keluar PAS? Kenapa perlu berselindung?" soalnya dalam satu kenyataan, mengulas laporan sebuah akhbar mengenai tiga wakil rakyat Selangor dikatakan menjadi sebahagian daripada GHB. Selain Dr Siti Mariah, 2 lagi adalah Adun Morib Hasnul Baharuddin dan Adun Hulu Klang Saari Sungib, kedua-duanya sebelum ini digantung keahlian kerana menyokong Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar Selangor.-TMI
ULASAN GB Desakan dan ugutan supaya wakil rakyat yang menyertai Harapan Baru supaya meletakkan jawatan tidak perlu dilayan. Dari sudut apa sekalipun dipandang, tidak ada apa-apa kesalahan yang dilakukan oleh mereka sehingga memerlukan mereka untuk meletakkan jawatan. Dari sudut undang-undang, meskipun pada bulan April 1991, Kerajaan Negeri Kelantan telah meluluskan pindaan kepada Perlembagaan Negeri bahawa jika mana-mana ahli Dewan Undangan Negeri yang merupakan ahli kepada sesebuah parti politik, keluar atau disingkirkan daripada parti politik itu, kerusinya hendaklah dikosongkan, namun undang-undang itu telah dicabar di Mahkamah. Dalam kes Dewan Undangan Negeri Kelantan v Nordin bin Salleh & Seorang lagi [1992], Mahkamah Agung memutuskan bahawa undang-undang anti lompat parti yang diluluskan oleh Kerajaan Kelantan sebagai tidak sah kerana ia melanggar hak kebebasan berpersatuan yang dijamin dalam Artikel 10(1)(c) Perlembagaan Persekutuan. Hak ini juga merujuk kepada hak untuk keluar dari persatuan. Mahkamah juga berpendapat bahawa undang-undang ini 'ultra vires' dengan Perlembagaan Persekutuan kerana Kerajaan Persekutuan sahaja berkuasa untuk menggubal undang-undang sebegini. Seterusnya, Mahkamah Agung berpendapat bahawa undang-undang ini tidak boleh digubal menggunakan alasan moraliti kerana perkataan 'moraliti' dalam Artikel 10(2)(c) Perlembagaan Persekutuan merujuk kepada moraliti seksual sahaja. Justeru itu mereka yang mendesak supaya wakil rakyat PAS meletakkan jawatan ternyata mereka yang buta undang-undang dan tidak faham apakah yang dimaksudkan "moral" yang ditekankan oleh mereka selama ini. Malah jika dari sudut moral sekalipun, wakil rakyat PAS yang menyertai Harapan Baru tidak perlu meletakkan jawatan kerana tindakan mereka menyertai Harapan Baru itu lebih tinggi moralnya dari wakil-wakil rakyat yang masih berada di dalam PAS. Ini kerana rakyat mengundi mereka bukan kerana mereka PAS semata-mata tetapi adalah kerana pada pilihanraya rakyat mengundi di atas dasar Pakatan Rakyat, bukan semata-mata kerana mereka bertanding di atas PAS. Tentang baiah ia telah telah kita elas sebelum ini. Baiah itu telah terbatal sebaik saja PAS memutuskan tahaluf siyasi dengan rakan komponen Pakatan Rakyat. Ini kerana yang terpilih sebagai wakil rakyat itu adalah ketika mana PAS masih berada di dalam Pakatan Rakyat. Apabila "kondisi" itu sudah berubah, maka dengan sendirinya baiah itu sudah tidak dapat dikuatkuasakan. Langkah memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP adalah kesilapan PAS yang paling besar. Begitu juga dengan baiah talak yang telah pun diperbincangkan oleh para ugamawan dengan panjang lebar. Ia telah dinyatakan dengan jelas oleh Mufti Pulau Pinang bahawa: Talaq tidak sah kecuali dengan niat dan keazaman yang ikhlas oleh sisuami untuk menceraikan isterinya, bukan dengan tujuan-tujuan yang lain seperti untuk mencegah dirinya daripada melakukan sesuatu atau untuk mengukuhkan tekadnya bagi mencapai sesuatu matlamat yang diingini. Justeru itu beliau menyatakan sumpah taklik talak isteri wakil-wakil rakyat PAS (jika ada) adalah tidak sah. Setiausaha Majlis Syura Ulama di dalam kenyataannya menyatakan, ba'iah talak tiga tiada dalam bai'ah yang diluluskan oleh parti dan Majlis Syura. Dan oleh kerana baiah sedemikian tidak diluluskan oleh Majlis Syura, maka baiah talak itu tidak boleh diterima dan tidak boleh dikuatkuasakan. Kerana Majlis Syura Ulama adalah badan tertinggi parti dan setiap keputusannya adalah muktamad. Oleh itu jelas kini bahawa tiada ada apa-apa yang boleh menghalang wakil-wakil rakyat PAS untuk menyertai Harapan Baru. |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan