Isnin, 20 Julai 2015

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


[VIDEO & GAMBAR] Sambutan Luar Dugaan Himpunan GHB Di Kota Bharu & Kangar

Posted: 19 Jul 2015 11:18 PM PDT


Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib melahirkan rasa gembiranya dan mengucapkan tahniah dengan sambutan yang sangat baik rakyat terhadap majlis Hari Raya Gerakan Harapan Baru yang diadakan serentak di dua negeri malam tadi iaitu di Perlis dan Kelantan.

Di dalam satu kenyataannya, Muhammad berkata GHB nyata lahir tatkala rakyat Malaysia umumnya ternanti-nanti dan tertanya-tanya bilakah suatu wadah baru akan wujud agar mahu diberi mandat untuk memimpin negara supaya negara dapat keluar dari kemelut serta gejala tidak keyakinan rakyat kepada pimpinan Umno dan BN sekarang.

Beliau mengamnggap ombak telah ppun bermula dan ombak berkenaan kian membesar.

"Kepimpinan Mat Sabu dan seluruh pendukungnya dalam Gerakan Harapan Baru (GHB) dilihat bergerak sebagai satu pasukan dan tahu membaca gerak hati rakyat Malaysia yg kini amat dahaga kepada kepimpinan yg baik serta beramanah sesuai dengan ajaran Islam," tambah kenyataan itu lagi.

Muhammad Taib telah menyertai PAS pada April 2013 dan merupakan bekas Menteri Besar Selangor ke-11 dan menggalas jawatan itu selama hampir 12 tahun sejak 1986.

Tetapi telah beberapa kali meluahkan perasaan kecewanya pernah menyatakan bahawa beliau tidak menolak kemungkinan akan meninggalkan Pas. Katanya, tindakan itu berpunca daripada rasa kecewanya kepada Pas, yang mana parti itu dilihat seolah-olah tidak lagi mempedulikan penyokong bukan Islam di negara ini

Namun beliau merasa gembira dengan sambutan rakyat terhadap GHB dan beliau telah turut serta menghadiri perhimpunan "Perjuangan Baru Bermula" oleh kumpulan progresif PAS di Bakri Muar beberapa bulan lalu.

GHB sama pegangan dengan Nik Aziz, ganti kerajaan sedia ada, kata Husam

Datuk Husam Musa melihat tiada salahnya puak profesional PAS yang tewas dalam pemilihan parti pada Jun lalu menubuhkan Gerakan Harapan Baru (GHB) yang dilihat selari dengan pegangan bekas mursyidul am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Bekas naib presiden PAS itu berkata, Nik Aziz selama ini berharap agar agenda islah bernegara dan berkerajaan dapat diteruskan dengan keyakinan kerajaan sedia ada wajib digantikan secara total.

"Kerajaan sedia ada perlu dan wajib digantikan secara total dengan pasukan baru yang mempunyai komitmen tinggi, idealisme murni, cita-cita politik luhur dan azam membawa perubahan bagi rahmat untuk seluruh rakyat Malaysia.

"Ini satu usaha 'al-birri' (kebajikan) dan agama kita menganjurkan kita tolong menolong atas kebaikan.

"Sekalipun saya pemimpin kecil PAS, saya melihat telur GHB ini perlu disantuni untuk membawa kebaikan kepada perjuangan bersama yang kita tekuni sejak sekian lama," katanya dalam satu kenyataan tengah malam tadi.

Husam berkata, hasrat ramai rakyat Malaysia, khususnya anak muda, untuk melihat perubahan bagi mengakhiri segala keangkuhan kuasa dan penindasan ke atas rakyat jelata, hasil salah guna kuasa dan hilangnya pedoman, serta segala macam kemungkaran politik, ekonomi dan agama, tidak harus dikecewakan.

"Derita rakyat adalah derita kita bersama. Harapan rakyat adalah harapan kita bersama.

"Saya mendoakan sebuah gerakan untuk membantu meneruskan agenda rakyat belayar di alam nyata politik Malaysia menjadi kenyataan," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri Salor di Kelantan itu berkata, menjadi harapannya untuk hadir ke ceramah GHB di Kangar, Perlis pada malam tadi, namun kesihatannya belum pulih sepenuhnya.

Katanya, tiada sebab baginya untuk tidak menghadirkan diri malam tadi kerana Aidilfitri itu sendiri menuntut untuk memperkukuhkan silaturahim.

"Saya dijemput untuk hadir dalam perjumpaan Hari Raya pada malam ini. Saya memang bercadang untuk hadir, sekalipun penganjurnya atas nama GHB, satu nama bagi gerakan masih di alam rahim.

"Apa salahnya kita memperkukuh silaturahim sesama umat?" soalnya.

Malam tadi, dua majlis perhimpunan Gerakan Harapan Baru (Harapan Baru) diadakan - satu di Kota Baru, Kelantan dan satu lagi di Kangar, Perlis - selepas ia dibentuk dengan rasminya Isnin 13 Julai lalu.

Kehadiran di Dewan Himpunan Cina Kota Bharu, diketuai Dr Mohd Hatta Ramli dan Khalid Samad, melimpah hingga keluar. Begitu juga keadaannya di Dataran Paduka Sena, Kangar yang dipimpin pengerusinya, Mohamad Sabu. -TMI


KEKENYATAAN PENUH DATO HUSAM MUSA

ۘ وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pelanggaran. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah amat berat siksa-Nya [al-Mâidah/5;2]

Saya dijemput untuk hadhir dalam perjumpaan Hari Raya pada malam ini. Saya memang bercadang untuk hadhir, sekalipun penganjurnya atas nama Gerakan Harapan Baru, satu nama bagi gerakan masih di alam rahim.

Atas dua sebab,

Pertama : Idil fitri itu sendiri adalah untuk menyambung silaturrahim. Apa salahnya kita memperkukuh silaturrahim sesama ummat?

Kedua : Saya melihat Harapan Baru sama pegangan dengan saya, juga rasanya sama pegangan dengan guru kita semua - al Marhum Tok Guru Nik Aziz - meneruskan agenda Islah bernegara dan berkerajaan dengan keyakinan kerajaan sedia ada perlu dan wajib di gantikan secara total dengan pasukan baru yang mempunyai komitmen tinggi, idealisma murni, cita cita politik luhur dan azam membawa perubahan bagi rahmat untuk seluruh rakyat Malaysia.

Ini adalah satu usaha al 'birri' dan agama kita menganjurkan kita tolong menolong atas kebaikan.

Apa lagi ada pepatah, musuh kepada musuh kita seharusnya menjadi kawan kita, kecuali kita mencari sebab menjadikan mereka musuh kita.

Sekalipun saya adalah pemimpin kecil Pas, saya melihat telur GHB ini perlu di santuni untuk membawa kebaikan kepada perjuangan bersama yang kita tekuni sejak sekian lama, kecuali kuasa yang dulu di anggap taghut sudah di harap menjadi kawan.

Malangnya, saya masih belum sembuh sepenuhnya sehingga saya terhalang untuk bersama.

Hasrat teramai rakyat Malaysia khususnya anak anak muda untuk melihat perubahan bagi mengakhiri segala keangkuhan kuasa, penindasan dan beban ke atas rakyat jelata hasil salah guna kuasa dan hilangnya pedoman, dan segala macam kemungkaran politik, ekonomi, agama dll, tidak harus dikecewakan. Derita rakyat adalah derita kita bersama.

Harapan rakyat adalah harapan kita bersama.

Saya mendoakan sebuah gerakan untuk membantu meneruskan agenda rakyat belayar di alam nyata politik Malaysia menjadi kenyataan. 'Berlumba lah kamu untuk melaksanakan kebaikan kebaikan....'

Sekian.

Husam Musa
3 Syawal 1436H






Mujahid anggap sertai GHB keputusan paling sukar dalam hidup

Ahli Parlimen PAS, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa menganggap keputusannya melancarkan Gerakan Harapan Baru (GHB) bersama pemimpin progresif lain dari parti itu awal minggu ini sebagai paling sukar dalam hidupnya.

Titik perubahan dalam dunia politiknya itu mungkin menyaksikan beliau meninggalkan parti Islam itu dan menjadi anggota pengasas sebuah pertubuhan politik baharu bersama rakan-rakan yang "dipinggirkan".

"Ia keputusan yang paling sukar dalam hidup saya. Saya dilahirkan dan dibesarkan dalam politik PAS. Ibu saya mengandungkan saya apabila bapa saya berkempen di Perlis pada tahun 1964.

"Apabila saya dilahirkan pada 25 Oktober tahun itu, bapa saya terpaksa mencari nama yang mencerminkan cabaran yang beliau lalui. Sebab itu saya dinamakan Mujahid, maksudnya seorang pejuang yang tidak berputus asa.

"Saya mesti menghidupkan nama saya dengan kesukaran yang saya hadapi. Ia membentuk diri saya sekarang," katanya kepada The Malaysian Insider.

Mujahid, 50, dan pemimpin PAS progresif lain disingkirkan kumpulan konservatif dalam pemilihan parti awal bulan lalu.

Penyingkiran itu, katanya, membuatkan mereka sedar, parti itu tidak berpegang teguh kepada prinsip Islam dan menerima pakai kefahaman agama yang jumud, menjauhkan mereka yang ingin mengetahui Islam dengan lebih mendalam.

"Hari ini, di dunia sekarang, Islam dianggap pengganas, agama yang mundur dan konservatif, seperti apa yang Isis (Negara Islam Syria dan Iraq) lakukan.

"Menjadi tanggungjawab kita membetulkan persepsi dan realiti. Itulah yang kami cuba lakukan dengan Harapan Baru ini," katanya, merujuk kepada parti baharu yang beliau dan rakan-rakan progresif sedang pertimbangkan.

Mereka berharap parti baharu itu akan menjadi parti Islam alternatif kepada PAS dan seterusnya membawa kepada penubuhan pakatan pembangkang baharu menggantikan Pakatan Rakyat (PR) yang terkubur selepas PAS putus hubungan dengan DAP pada muktamar lalu.

Mujahid berkata, mereka mahu membawa imej Islam yang berlainan melalui parti baharu itu bagi menunjukkan ia agama keamanan, kasih sayang dan belas kasihan, serta meraikan kepelbagaian.

"Ia satu perjuangan yang besar, bukan hanya mengenai sekumpulan pemimpin yang hilang kedudukan mereka.

"Jika anda tanya sama ada saya akan memilih parti atau menyelamatkan Islam, maka saya memilih menyelamatkan Islam. Parti politik datang dan pergi tetapi Islam itu kekal."

Mujahid berkata, keluarganya menyokong tindakannya kerana mereka juga melihat PAS kini berubah.

"Ketika arwah bapa masih ada, dia memberitahu abang dan kakak saya supaya sentiasa menyokong saya kerana saya satu-satunya yang mengikuti jejaknya dalam politik.

"Salah seorang kakak saya menyertai sayap Muslimat PAS... Tentunya, dia juga digulingkan pada muktamar lalu.

"Itulah yang paling menggembirakan... mempunyai keluarga di belakang kita, mereka yang menyokong kita dan mempercayai kita. Adik-beradik saya percaya adik lelaki mereka ini tidak akan melakukan perkara yang bodoh," katanya mengenai 10 abang dan kakaknya.

Arwah bapa Mujahid, Yusof Abdullah atau lebih dikenali sebagai Yusof Rawa, merupakan bekas timbalan menteri, bekas duta ke Afghanistan, Turki dan Iran, bekas presiden PAS dan mursyidul am pertama parti itu.

Mujahid menyertai PAS pada 1992 selepas pulang ke Pulau Pinang dari Mesir. Beliau kemudian berpindah ke Melaka, di mana beliau menjadi seorang pensyarah, dan tidak lama kemudian mula berminat secara serius dengan parti.

Beliau meninggalkan dunia akademik untuk menjadi ahli politik sepenuh masa pada 1999, bertanding kerusi Parlimen Jasin. Beliau kalah sekali lagi pada pilihan raya umum 2004 apabila bertanding di kerusi Parlimen Tasek Gelugor.

Tetapi, beliau berusaha sendiri dari bawah. Beliau berkata, bantuan yang diberikan ayahnya hanya dalam bentuk kata-kata nasihat – satu-satunya cara untuk naik ialah dengan membuktikan kemampuan dirinya, jangan meminta apa-apa dari parti dan serahkan segalanya kepada Tuhan.

Mujahid tidak lama kemudian berjaya ke peringkat jawatankuasa kebangsaan Pemuda PAS sebelum menganggotai jawatankuasa kerja PAS Pusat pada 2005 dan ditugaskan mengendalikan biro perpaduan negara.

Beliau menubuhkan Kongres Penyokong bukan Islam PAS dan terus mempromosikan parti dan menggalakkan orang ramai lebih memahami Islam dalam sebuah negara berbilang kaum.

Mujahid juga membentuk slogan "PAS Untuk Semua" bagi parti itu pada pilihan raya umum 2013, yang melembutkan imej keras parti Islam itu dan mendapat sokongan pengundi bukan Islam.

Mujahid juga dikenali dengan kerja-kerja antara agama, terutama kejayaannya berbincang dengan gereja dan orang Kristian walaupun terdapat ketegangan antara orang Islam dan bukan Islam berhubung isu kalimah "Allah".

"Parti mendapat manfaat daripada usaha itu tetapi akhirnya, PAS berhenti menghala ke jalan yang betul.

"Saya cuba menggalakkan amalan yang melibatkan agama lain melalui dialog dan saling menghormati antara semua agama, tetapi bagi PAS, ia seolah-olah idea yang pelik.

"Tidak ramai yang menyokong dan terdapat cakap-cakap yang kami menjadi sebahagian agenda Kristian, yang kami berkawan dengan musuh Allah. Semua ini teori konspirasi.

"Ia menyukarkan kerja saya tetapi saya teruskan juga dan oleh kerana itu, saya dilabel liberal dan seorang yang pro-Kristian."

Mujahid berkata beliau tidak akan membuat keputusan drastik menerajui GHB jika tidak ada satu pasukan pemimpin PAS yang berfikiran serupa dengannya dan ahli akar umbi yang tidak berkenan dengan apa yang terjadi dengan PAS kini.

Jelajah seluruh negara mereka, katanya, dibincangkan di kalangan ahli PAS dan ada yang bertanya bagaimana bekas timbalan presiden parti seperti Mohamad Sabu boleh ditendang keluar selepas begitu banyak pengorbanan yang dilakukannya.

"Di Johor, 80% daripada akar umbi bersama kami kerana mereka tidak suka dengan keadaan sekarang. Kongres Penyokong PAS, yang merupakan idea saya, akan menyertai kami. Banyak lagi akan turut serta."

Di tengah-tengah perkembangan ini, Mujahid berkata, kehidupan diteruskan seperti biasa di kawasan Parlimennya, Parit Buntar, di mana pengundi lebih mementingkan sama ada beliau akan dapat meluangkan masa untuk mereka atau tidak.

"Mereka tidak begitu peduli tentang apa yang berlaku, selagi mereka lihat anda sebagai seorang yang baik dan wakil rakyat yang boleh memenuhi permintaan mereka. Mereka hanya akan risau dan sedih kalau kita tak hadir jemputan mereka untuk puasa berbuka atau kenduri."

Seperti pemimpin progresif lain, Mujahid juga sibuk bercakap dengan orang ramai di seluruh negara mengenai Gerakan Harapan Baru dan tidak dapat mengadakan sebarang acara antara agama mutakhir ini.

Katanya, selepas beliau tewas pada pemilihan parti, Biskop Pulau Pinang Sebastian Francis memberitahu beliau dalam mesej teks yang beliau akan mendoakannya dan Mujahid harus meneruskan kehidupan.

"Hubungan (antara kami) masih aktif," katanya, sambil berjanji kerja-kerja antara agamanya akan diteruskan dan ia seharusnya menjadi lebih mudah dalam parti baru mereka itu dengan rekodnya sebelum ini bersama komuniti berlainan agama. – TMI


HARAPAN BARU DI PERLIS








[BERGAMBAR] Sokongan Untuk GHB Terus Mencurah

Posted: 19 Jul 2015 07:45 AM PDT

Sokongan untuk Harapan Baru mencurah, termasuk dari jurulatih bola negara

Sokongan secara terbuka kepada penubuhan Gerakan Harapan Baru mencurah-curah ekoran pelancarannya Isnin lepas, termasuk daripada individu dan juga pertubuhan.

Kebanyakan mereka menzahirkan sokongan ini melalui kenyataan yang dibuat secara terbuka melalui media sosial, khasnya laman Facebook.

Antara sokongan yang mengejutkan datang daripada Karathu Muruthaiah, jurulatih bola sepak negara yang lebih dikenali M Karathu, yang secara terbuka menyatakannya kepada penyelaras Harapan Baru Kelantan Datuk Wan Abdul Rahim Abdullah.

"I like your Harapan Baru. I wish your new party all the success. Majukan Harapan Baru (Saya suka Harapan Baru anda. Saya doakan semoga parti baru anda berjaya. Majukan Harapan Baru)," tulis jurulatih bolasepak Perak itu kepada Wan Rahim melalui Facebook.

"Terima kasih Datuk. Datang dari personaliti semacam anda, ia memberikan makna yang besar kepada saya," tulis Wan Rahim membalas ucapan itu.

Sementara itu, Ikram Malaysia menjadi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang pertama menyatakan sokongan terbuka kepada Harapan Baru.

"Ikram dengan ini mengalu-alukan Gerakan Harapan Baru; sebuah NGO yang mendukungi Islam yang syumul dengan pendekatan yang inklusif, progresif dan peduli kepada rakyat," kata timbalan presiden Ikram, Hasanudin Mohd Yunus dalam satu kenyataannya.

Serentak dengan pengumuman Harapan Baru oleh pengerusinya Mohamad Sabu Isnin lepas, mereka menubuhkan jawatankuasa pro-tem di setiap negeri dan kawasan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Di Johor, tapak utama gerakan ini, ia dipimpin sendiri barisan pimpinan PAS negeri sebelum ini apabila bekas pesuruhjaya sesi lalu, yang juga ahli Dewan Undangan Negeri Parit Yaani, Aminul Huda Hassan, menjadi penyelarasnya.

Di Perak, bekas bendahari PAS Pusat, Asmuni Awi sendiri memimpin gerakan itu dengan bekas menteri besar Perak Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin sebagai timbalannya.

Di Wilayah Persekutuan pula, bekas pengarah pilihan raya PAS Dr Mohamad Hatta Ramli sendiri memimpinnya manakala di Kedah ia dipimpin bekas exco Kedah, Dr Ismail Salleh.

Pemimpin lain ialah Wan Rahim yang menerajui usaha itu di Kelantan, Dr Hamzah Jaafar (Pahang), Hamzah Abdullah (Sabah), Abang Ahmad Kerdi Abang Masagus (Sarawak), Izham Hashim (Selangor), Adly Zahari (Melaka) dan Zulkifli Mohamad Omar (Negeri Sembilan).

Harapan Baru dilancarkan dengan rasminya Isnin 13 Julai lalu oleh pemimpin progresif yang tersingkir PAS.

Ia merupakan medium aktiviti kumpulan tersebut sebelum parti mereka diluluskan dengan rasmi oleh Pendaftar Pertubuhan.

Bagaimanapun, ketika sokongan mencurah untuk mereka, serangan mula datang daripada parti lama mereka iaitu PAS.

Pengarah pilihan raya PAS Datuk Mustafa Ali menyifatkan parti ini tidak akan berjaya kerana ia hanya proksi DAP, manakala ketua penerangannya Nasrudin Hassan menyifatkan pemimpin mereka sebagai pengkhianat kepada PAS.

Strategis PAS Dr Zuhdi Marzuki pula menyifatkan Islam mereka ala Islam Amerika dan akan disenangi Sister in Islam, Lawyer for Liberty, Comango, pendukung golongan LGBT dan DAP sendiri. –TMI


KENAPA PAS PERLU NAK MARAH HARAPAN BARU?
Oleh: Dr Tanaka Mustafa

1) Gerakan Harapan Baru (GHB) yang diumum baru-baru ini membuatkan mereka menjadi sasaran tembakan peluru-peluru PAS. Pimpinan PAS menyerang mereka bertubi-tubi samada dalam ceramah, mahupun blog dan media sosial.

2) Dalam banyak-banyak serangan, saya simpulkan bahawa peluru yang digunakan adalah berupa serangan psikologi dengan menggelar GHB ini sebagai kumpulan orang kecewa kalah pemilihan.

3) Serangan psikologi ini diasak dan disalut dengan dalil-dalil yang sedap didengar, tajam menikam, panas berapi - membuatkan ahli-ahli dari ceruk kampung tidak akan mendekati kumpulan ini.

4) Apa sebenarnya yang pimpinan PAS mahu?

Sebenarnya tak perlu sindir, tak perlu serang. Biarlah GHB tubuh parti baru. Tak perlu pecat, mereka akan gugur keahlian dengan sendiri jika menubuh parti baru.

5) Sepatutnya pimpinan PAS bersyukur kerana orang yang mereka singkir itu benar-benar hilang daripada PAS. Lega bukan? Tapi sebaliknya, pemimpin PAS terjerit-jerit serang psikologi seolah-olah tak mahu mereka keluar daripada PAS.

6) Apakah PAS mahu mereka terus berada dalam PAS supaya psikologi mereka boleh didera secara halus? Jika tidak suka, biarkan mereka. PAS patut buat kenduri macam Ibrahim Ali. Syukur kerana jebon-jebon dah lari.

7) Perlu diingat, kamu gunakan serangan psikologi "orang kecewa kalah pemilihan".

Walhal saya beranggapan mereka bukanlah memilih GHB kerana tewas pemilihan. Tetapi mereka tidak boleh terima cara pemilihan yang dilakukan.

8 ) Pemilihan itu bukan sekadar hari Muktamar. Semua orang tahu, berbulan-bulan sebelum Muktamar, mereka digelar sebagai jebon, munafik haraki, macai-DAP, geng liberal dan sebagainya. Mereka dicaci, disindir, diherdik sesuaka hati.

Malah siap berdalil aqli dan naqli. Bukan itu sahaja, mereka diasak dengan persepsi untuk menjatuhkan presiden.

9) Hasil cacian dan makian itu meresap masuk ke dalam minda perwakilan dan akhirnya diterjemah melalui pemilihan. Malah pencalonan Ustaz Ahmad Awang memberi bonus kepada kempen "menghapuskan orang yang mahu jatuhkan Presiden".

10) Siapa tidak terasa. Kamu beri contoh Ustaz Hassan Syukri yang tewas tapi tetap istiqamah dengan PAS. Adakah Ustaz Hassan dimaki dan dicaci sebagai jebon dan munafik haraki sebelum pemilihan? Tunjukkan siapa yang telah terus istiqamah selepas dilabel begitu?

11) Ustaz Nasharudin Mat Isa pun terbarai akibat serangan "UG UG UG" dan serangan "agen Umno" yang menyaksikan beliau tewas kepada Mat Sabu. Ke mana Ustaz Nasharudin selepas itu? Hilang dari peta politik PAS.

Kecewa dan membawa diri, bukan kerana kalah semata, tetapi kalah kerana hati terluka akibat dicaci maki. Itu sebab dia seorang. Kalau dia seramai 20 orang, dah lama dia gerakkan G20 versi dia sendiri. (saya pernah terlintas, apakah pemilihan lalu adalah manifestasi balas dendam kumpulan ulama ke atas penyingkiran Ustaz Nasha oleh kumpulan progresif)

12) Pemimpin PAS perlu muhasabah, kenapa mereka mahu menyerang GHB. Saya terbaca tulisan Dr Zuhdi yang penuh fakta dan kaji selidik, berdalil bagai. Tetapi saya tak nampak semua hujah itu terkena kepada kumpulan GHB itu. Sekadar andaian dan tuduhan yang tak berasas.

13) Ya, orang kampung, pembaca harakah cetak, para penyokong bawahan yang kurang maklumat, pasti bersertuju dan hadam habis tulisan Dr Zuhdi itu. Tapi orang-orang yang keluar daripada momokan dan doktrin halus, mereka tidak akan menerima dakyah sedemikian. Jika tidak suka dengan GHB sekalipun, bukanlah tulisan Dr Zuhdi itu hujahnya.

14) Saya antara orang-orang yang tidak bersetuju penubuhan GHB. Tetapi saya tidak menolak penubuhannya kerana mereka yang mahu menubuh GHB lebih tahu apa yang mereka perlu buat.

Mereka merasai keperitannya dihalau secara clean sweep.

15) Berbalik kepada serangan psikologi pemimpin PAS, saya rasa lebih baik PAS diam sahaja dan biarkan mereka bergerak mengikut haluan mereka. PAS sudah halau mereka, maka usah sedih dengan kehilangan mereka.

Tak perlu serang mereka dengan label pengkhianat, jebon dan munafik haraki lagi.

16) Semua itu hanya akan mendatangkan simpati kepada mereka dan backfire kepada PAS. Bukankah PAS yakin dengan kekuatan sendiri dan sudah bersih daripada unsur-unsur jebon yang mahu jatuhkan Presiden? Mereka tidak akan mampu tarik ahli PAS yang setia. Yang tak setia kepada PAS, buka jalan keluar kepada mereka, usah ditangisi, usah dirindui. PAS akan bersih. Buat kerjalah dengan senang hati. Biarkan mereka, usah meroyan pula.

Sekian.



Bagi sesiapa yg tidak mengetahui akan perkara sebenarnya.....tanyalah pimpinan PAS Sendiri

Bagi sesiapa yg tidak mengetahui akan perkara sebenarnya.....tanyalah pimpinan Pas sekarang ini, siapa yg pertahan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan yakni EJSK di dalam dan luar Parlimen..dan dimana jua pentasnya..samada kpd lawan atau kawan...Siapa?...yang dituduh menolak hudud itulah yang mempertahankan perlaksanaan Hudud di Kelantan termasuk dipentas2 forum brbahasa BI dan BM....samada yg dianjur parti politik atau NGO2...

Namun ingat sdra....Perjuangan
ISLAM bukan hanya sekadar Perjuangan Hudud.....Perjuangan Islam adalah perjuangan untuk Menegakkan (Tamkin) Syariat Seutuhnya dalam sebuah masyarakat dan negara Madani yang perlu menghormati Kedaulatan undang2 atau As-Siyadah al-Qanuniyah atau Rule of Law.

Perjuangan yang sedari awal ditahap Makkiyah lagi telah mengherdik dan membidas (wailul lil..) golongan Mutaffifin yang Curang, Culas dan Khianat dalam Tadbir-Kelola Urusniaga dan menzalimi dan memperbudakkan golongan Marhaen...lantas "Mengangkat Karamah Insaniyah"..Human Dignity dan memberikan manusia erti

Kemerdekaan Insan sebenarnya..dalam Erti Hifzul Hurriyah yang Hakiki...
Perjuangan Islam yang mendobrak segala bentuk Asobiyah yang membelenggu keintelektualan manusia berfikir dan membuat keputusan yang wajar dan waras bersandarkan Ilmu Naqli dan Aqli.. BEBAS dari Unsor dan Politik Ketakutan dan Peras Ugut...termasuk Asobiyah Kepartaian yang melampau sehingga "Mengagung dan Mentaqdis" Pemimpin meskipun ternyata mereka Silap dan Kekal dalam kesilapan....

Perjuangan untuk "Memakmurkan Bumi dengan Mengurus Khazanah Kekayaan Negara" dengan Mampan dan Kompeten serta bebas dari melakukan Khusran atau Kerosakan sehingga lahir "Kesejahteraan dan Kemakmuran buat Semua Rakyat" dengan TIDAK diizinkan Kekayaan DiBolot oleh segelintir penguasa politik yang RAKUS bersekongkol dgn segelintir koporat Tamak sehingga lahir Segelintir manusia menjadi SUPER-KAYA serta Wujud JURANG ATAU KESENJANGAN KAYA-MISKIN yang terlalu lebar dan terus melebar...

Tidak dapatkah anda mengungkap perjuangan Islam selain dari perjuangan Hudud saja sehingga bila Lawan dan Musuh yang masih Rasuah, BoRos dan Bolot 'tampak semacam nak terima Hudud'..maka kita Mudah2 ditemberang dan ditipu sebab mereka sudah mahu sokong Hudud..??......Apakah sebegitu wajarya?

Mengapa sebegini Kekakuan Pengungkapan Perjuangan Islam...satu " Intellectual Paralysis" yang sangat mengaibkan dan menyempitkan...

Ingat apa yang kedua-dua AlMarhum Ustaz Fadzil Noor dan TGNA sebut dan peringatkan kita akan tipu-helah musuh ....husnuz dzan biar bertempat dengan mrngambil kira juga tuntutan Hazar...."Berwaspada" sebagai peringatan Kitob AlLah..

Panjang pulak saya dah bersyarah......memang banyak lagi yang boleh dihuraikan akan perjuangan Islam yang Syumul dan semestinya Bukan Hanya Sekadar Hudud...sudah banyak kali juga rasanya telah saya sebutkan dan tuliskan.....

AlLahu 'Alam
AlLahu al Musta'an...

Pencerahan dari Dr Dzulkifli Ahmad
S/U GHB Pusat




LIVE CERAMAH GHB DI KANGAR PERLIS
DIBAWAKAN OLEH RADIO PEDASFM



Get the Flash Player to see this player.











Tiada ulasan: