Jumaat, 3 Julai 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Mufti: Jutaan hilang tapi masih terlepas

Posted: 03 Jul 2015 12:44 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini mengeluh berhubung penguatkuasaan undang-undang dalam negara yang menyaksikan pesalah berat terlepas begitu sahaja.

Sebaliknya, kata Asri, pihak yang terlibat dalam jenayah kecil pula ditahan polis dan diheret ke penjara.

"Ku simpati pada wajah seorang warga yang ditahan polis kerana tidak membayar saman motosikalnya.

"Ku sedih seorang yang diheret ke penjara kerana mencuri setin susu untuk anaknya.

"Tapi ku hairan mereka yang dikaitkan dengan kehilangan laksa dan juta harta kita masih tersenyum bergaya dan tiada siapa yang menahan dan mengheretnya untuk dibicara," katanya.

Beliau tidak mengatakan secara langsung siapa yang dimaksudkannya tetapi ia secara kebetulan selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilanda kontroversi baru.

Wall Street Journal (WSJ), sebuah media berpengaruh di peringkat global, melaporkan terdapat pergerakan dana hampir AS$700 juta daripada badan dikaitkan dengan 1MDB ke akaun peribadi perdana menteri.

Laman pembocor maklumat Sarawak Report pula melaporkan sebanyak AS$681,999,976 (RM2.6 bilion) dipindahkan daripada dana Abu Dhabi Aabar ke dalam akaun peribadi Najib di AmBank di Kuala Lumpur pada bulan Mac 2013, dua bulan sebelum pilihan raya umum 5 Mei 2013. 


Sejauh mana serius ketumbuhan Anwar?

Posted: 03 Jul 2015 12:41 AM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
 
Sehingga kini sejauh mana keseriusan masalah kesihatan Datuk Seri Anwar Ibrahim masih tidak dapat dipastikan, termasuk berkaitan ketumbuhan 4cm di buah pinggangnya.

Salah seorang peguamnya N Surendran justeru berharap pihak berkuasa dapat menyegerakan rawatan terhadap bekas ketua pembangkang itu bagi mendapatkan maklumat tepat.

"Itu yang kita minta supaya Datuk Seri Anwar dibawa ke wad semula dan dilakukan pemeriksaan (imbasan) CT scan. Tetapi sampai sekarang belum lagi.

"Semasa dua hari di Hospital Besar Kuala Lumpur, mereka ada membuat pemeriksaan tetapi tidak mencukupi. Sebab itu kita minta disegerakan rawatan terhadap Datuk Seri Anwar," katanya ketika ditemui Malaysiakini selepas sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Sebelum ini, peguam Anwar menggesa pihak berkuasa mengeluarkan Anwar daripada penjara Sungai Buloh dan digantikan dengan tahanan rumah bagi membolehkannya mendapat rawatan kesihatan.

Peguam mendakwa kesihatan Anwar semakin teruk dan amat membimbangkan setelah susut berat badan sebanyak 6 kilogram.

Malah selepas Anwar dimasukkan ke Hospital Besar Kuala Lumpur 2 Jun lalu, didakwa beliau mempunyai ketumbuhan 4cm di buah pinggang, otot bahu terkoyak serta masalah artritis kronik. 
 
 
 

PERKASA: Apa Dr M kata isu Altantuya betul

Posted: 03 Jul 2015 12:36 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


PERKASA hari ini menyuarakan pendapat senada dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu siasatan dibuat untuk mencari pihak yang mengarahkan pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Kumpulan pendesak Melayu itu juga bersetuju dengan kritikan keras bekas perdana menteri terhadap Datuk Seri Najib Razak.

"Mahathir bukan tuduh, tapi (minta) siasat, common sense, everybody will support (logik akal, semua orang akan setuju).

"Apa yang Mahathir kata itu betullah itu," kata Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali.

Ibrahim turut membandingkan serangan ke atas Najib dengan serangan Mahathir ke atas penggantinya sebelum ini, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Najib lebih banyak isu berbanding Tun Abdullah Ahmad Badawi. Pak Lah orang kritik tapi Najib lagi banyak (terima kritikan).

Mahathir dalam tulisan di blognya hari ini membangkitkan persoalan berhubung pihak yang mengarahkan pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Mahathir menimbulkan perkara itu susulan reaksi Najib ke atas dakwaan seorang daripada bekas komando polis yang didapati bersalah atas pembunuhan tersebut.

Najib berkata, Sirul Azhar Umar mengarut kerana mendakwa diarah untuk menjalankan pembunuhan itu.

Selain itu, Mahathir turut mengasak Najib dengan membangkitkan persoalan lanjut mengenai 1Malaysia Developement Bhd (1MDB).

Mahathir juga mengulangi amaran bahawa BN akan tewas dalam pilihan raya umum akan datang jika Najib terus menerajui parti itu.

Mahathir juga berkata semua kaum tidak lagi berdiri di belakang pemimpin nombor satu negara itu.


TMJ memang salah, kata Nazri

Posted: 03 Jul 2015 12:19 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Menteri lantang Datuk Seri Nazri Abdul Aziz terus tidak mempedulikan kritikan padanya kerana memberi amaran supaya Tunku Mahkota Johor tidak campur tangan dalam politik atau 'dibelasah'.

"Saya boleh faham jika putera itu kata 'saya sedih kerana dia (Najib) tidak hadir'. Saya boleh terima. Itu tidak campur hal politik.

"Tetapi dia kata, 'sudah tentu dia (Najib) tidak hadir dalam (dialog) Nothing to Hide kerana ada sesuatu hendak disembunyikan.

"Itu bersifat menghukum. Ia bermakna Tunku Ismail Sultan Ibrahim daripada Johor sudah menghukum PM salah. Itu apa yang tidak kerana dengannya," kata Nazri kepada Malaysiakini semalam.

Nazri juga berata kenyataan Tunku Ismail berbeza dengan sokongan sultan Pahang kepada Najib kerana menjadi kebiasaan istana menyokong pemimpin dipilih rakyat dalam sebuah sistem raja berperlembagaan.


Saya tertekan, kata Najib

Posted: 03 Jul 2015 12:17 AM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
 
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengakui bahawa beliau juga tertekan dengan laporan media yang menghakis sokongan kepada BN.

Beliau membangkitkan laporan media mementingkan kecepatan dan bukan ketepatan, yang menurutnya boleh membentuk tanggapan negatif kepada kerajaan.

"Saya pun depress (tertekan). Orang politik pun depress sebab kita mudah jadi sasaran.

"Orang media rugi pengedaran (akhbar). Kita rugi daripada segi undi. Sama juga depress," kata Najib.

Beliau bercakap demikian dalam majlis berbuka puasa bersama media di ibu pejabat Sinar Harian di Shah Alam hari ini.

Najib juga membangkitkan laporan pembelian tanah Tun Razak Exchange oleh Tabung Haji pada hari terakhir kempen dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh sebelum ini sebagai contoh bagaimana berita mempengaruhi undi.

"Takkan kita nak guna duit rakyat untuk bailout (selamatkan) 1MDB. Itu bukan kerajaan punya tanggungjawab. Tapi cerita itu dah viral (dikongsi meluas).

"Inilah cabaran dalam persekitaran baru ni," katanya.

BN tewas dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh. Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Ismail menang dengan majoriti 8,841 undi.
 

PAS tuntut Najib, Rosmah isytihar harta

Posted: 03 Jul 2015 12:16 AM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
 
PAS menuntut Datuk Seri Najib Razak mengisytiharkan harta susulan laporan mendakwa terdapat pergerakan tunai daripada badan dikaitkan dengan 1MDB ke akaun peribadi perdana menteri.

Parti Islam itu juga menuntut isteri perdana menteri Rosmah Mansor mengambil tindakan sama susulan laporan sensasi dan mengejutkan media antarabangsa Wall Street Journal (WSJ) hari ini.

"PAS menggesa Najib untuk mengambil langkah strategik – iaitu melakukan pengisytiharan harta, hutang, pendapatan dan perbelanjaan beliau bersama isterinya untuk membersihkan nama segera.

"Bank-bank yang dinamakan perlu dijadikan saksi dalam pengisytiharan harta ini supaya ia nampak telus dan berwibawa," kata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.

Dalam kenyataannya hari ini, Tuan Ibrahim berkata langkah mengisytiharkan harta jauh lebih berkesan untuk menangkis tuduhan terhadap Najib kali ini.

Tuan Ibrahim juga berkata, pada tahap ini, penafian semata-mata sudah tidak mencukupi untuk menghalang tanggapan negatif pada imej Najib.

Dalam perkembangan berkaitan, PAS juga sidang Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dengan pegawai kanan 1MDB dilakukan segera.

Tuan Ibrahim juga berharap Putrajaya tidak memburukkan lagi keadaan dengan tindakan yang didakwa mencurigakan.

Ini, katanya, termasuk menjadikan laporan interim pengauditan 1MDB sebagai laporan eksklusif bukan untuk awam serta mengenakan surat tunjuk sebab kepada The Edge susulan laporannya berkaitan kontroversi seputar syarikat pelaburan negara itu.

 

ADUN: Najib ada harapan jadi PM pertama CBT

Posted: 03 Jul 2015 12:13 AM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
 
Datuk Seri Najib Razak digesa menjawab dakwaan terkini media antarabangsa Wall Street Journal (WSJ) yang mengaitkan dana 1MDB dengan akaun bank perdana menteri.

"Pendedahan WSJ dan Sarawak Report yang mengaitkan Najib dalam skandal terkini melibatkan 1MDB amat mengejutkan," kata Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Batu Jimmy Puah.

"Jika laporan ini betul, Najib boleh jadi perdana menteri pertama dalam sejarah Malaysia yang disiasat, dituduh dan disabitkan pecah amanah (CBT) atau kesalahan bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009"

Beliau yang juga timbalan pengerusi PKR Johor berkata agak mengecewakan apabila dokumen berkaitan dalam isu itu dikatakan sedang dipegang oleh agensi penguatkuasaan Malaysia.

"Mungkin ini masa paling sesuai untuk peguam negara membuka mulut dalam isu ini," kata Puah.

WSJ, sebuah media berpengaruh di peringkat global, melaporkan terdapat pergerakan dana hampir AS$700 juta daripada badan dikaitkan dengan 1MDB ke akaun peribadi perdana menteri.

Laman pembocor maklumat Sarawak Report pula melaporkan sebanyak AS$681,999,976 (RM2.6 bilion) dipindahkan daripada danaAbu Dhabi Aabar ke dalam akaun peribadi Najib di AmBank di Kuala Lumpur pada bulan Mac 2013, dua bulan sebelum pilihan raya umum pada 5 Mei 2013.

[Baca berita asal]


 

WSJ dakwa kaitan dana 1MDB, akaun Najib

Posted: 03 Jul 2015 12:08 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Dalam satu lagi pendedahan sensasi, Wall Street Journal (WSJ) hari ini melaporkan para penyiasat Malaysia didakwa telah mengesan hampir AS$700 juta deposit ke dalam apa yang mereka percaya adalah akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.
 
WSJ memetik dokumen-dokumen dari satu siasatan kerajaan, yang telah diperolehi oleh akhbar kewangan antarabangsa itu dan laman web pemberi maklumat Sarawak Report.


Menurut WSJ, dokumen-dokumen siasatan itu didakwa menunjukkan buat kali pertamanya Najib telah dikaitkan secara langsung dengan siasatan terhadap dana pelaburan negara yang bermasalah itu.

WSJ mendakwa kerajaan menyiasat dokumen-dokumen yang apa pihak penyiasat percaya adalah pergerakan wang tunai di kalangan agensi-agensi kerajaan, bank-bank dan syarikat-syarikat yang dikaitkan dengan 1MDB sebelum ia berakhir dalam akaun peribadi Najib.

Dakwanya, dokumen-dokumen yang disemak oleh The Wall Street Journal termasuk borang-borang pemindahan bank dan carta aliran yang diperolehi oleh penyiasat kerajaan yang mencerminkan pemahaman mereka tentang laluan wang tunai itu.

Sementara itu, Sarawak Report melaporkan secara berasingan bahawa sebanyak AS$681,999,976 (RM2.6 bilion) didakwa dipindahkan oleh dana Abu Dhabi Aabar ke dalam akaun peribadi Najib di AmBank di Kuala Lumpur pada bulan Mac 2013, dua bulan sebelum pilihan raya umum pada 5 Mei 2013.

Ia mendakwa, pemindahan dari Falcon Bank milik penuh dana itu ke dalam akaun bank peribadi Najib berlaku hanya beberapa hari selepas satu perkongsian strategik ditandatangani antara Malaysia dan Abu Dhabi pada 12 Mac 2013.

Dakwanya lagi, ini membawa kepada penerbitan bon AS$3 bilion yang dijamin oleh kerajaan Malaysia sebagai sebahagian daripada ."'usaha sama 50-50 antara 1MDB dan Aabar untuk membangunkan projek Tun Razak Exchange."

Ia mendakwa "maklumat perbankan itu telah diterima baru-baru ini oleh beberapa penguat kuasa undang-undang utama Malaysia, termasuk peguam negara".

Sarawak Report juga mendakwa RM42 juta lagi telah dipindahkan dari SRC International Sdn Bhd, sebuah syarikat kontroversi yang dikaitkan dengan 1MDB, yang kini di bawah kementerian kewangan, ke dalam tiga akaun peribadi Najib di AmPrivate Banking di Kuala Lumpur sejak beberapa bulan yang lalu.

Menurutnya, dakwaan mengenai wang yang diambil dari SRC International itu adalah satu pendedahan yang mengejutkan, kerana ia didakwa adalah wang yang dipinjamkan oleh dana pencen Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

Ia mendakwa pada 10 Februari 2015, SRC International telah memindahkan RM10 juta ke dalam nombor akaun milik "Dato' Seri Mohd Najib Bin Hj Abd Razak" di AmPrivate Bank.

Begitu juga, dakwanya lagi, pada 26 Disember 2014, dua transaksi awal menyaksikan pemindahan RM27 juta dan RM5 juta lagi dari SRC International Sdn Bhd ke dalam nombor akaun di AmPrivate Banking yang juga milik "Dato' Sri Mohd Najib Bin Hj Abd Razak. "

Gempa bumi lemah landa Ranau

Posted: 03 Jul 2015 12:04 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Gempa bumi lemah berukuran 3.2 pada skala Richter melanda Ranau, Sabah pada 10.35 malam tadi. 
 
Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan di sini berkata, pusat gempa itu adalah di 6 darjah Utara dan 116.6 darjah Timur, 8 kilometer barat laut dari Ranau, telah menghasilkan gegaran di kawasan yang terjejas. 
 
Pada 5 Jun lepas, Ranau digegarkan oleh gempa bumi sederhana berukuran 5.9 pada skala Richter yang meragut 18 nyawa. 
 
Sementara itu dalam kenyataan berasingan Jabatan Meteorologi berkata gempa sederhana berukuran 5.4 pada skala Richter berlaku di Wilayah Timur New Guinea, Papua New Guinea pada 11.01 malam tadi. 
 
Kenyataan itu berkata gempa itu berpusat 100 kilometer di Utara Lae, Papua New Guinea dan 3,362km tenggara Semporna, Sabah.
 
 

Azwan Ali: Ayah tak gertak pun, baca betul-betul!

Posted: 02 Jul 2015 11:57 PM PDT

Azwan Ali
Azwan Ali



"JANGAN biadab!" ringkas pesanan selebriti, Azwan Ali selepas mendakwa isu permohonan maafnya diperbesar-besarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Azwan mendakwa terdapat pihak lain yang menjadi 'panas' selepas timbulnya isu tersebut.

"Yang menjadi masalah adalah kes itu dikutip untuk dilaga-lagakan, sindir-sindirkan Azwan Ali ke tahap yang lebih besar (teruk)," katanya dalam satu temubual dengan sebuah blog hiburan tempatan.

Azwan juga turut meminta orang ramai membaca permohonan Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah‎ atau lebih dikenali sebagai Ayah Arka sebelum ini dengan teliti.

Menurut Azwan, Ayah Arka bukannya menggertaknya seperti yang didakwa sesetengah pihak.

"Itu bukan gertak!

"Bila masa ada ayah gertak aku, tak ada. Jadi anda spoil dia punya isu. Dia tak gertak. Anda baca betul-betul kenyataan Ayah Arka di Sinar Online.

[ARTIKEL BERKAITAN: Minta maaf atau ayah lapor polis Azwan Ali!]

Selain itu, Azwan berkata, dia juga mudah meminta maaf jika perkara itu menyentuh hatinya.

"Saya mudah untuk minta maaf jika orang tersebut guna ayat-ayat menyentuh hati," kata pengacara popular berkenaan

"Termasuk (permintaan) ayah (Arka)," tambahnya.

Sebelum ini,  Ayah Arka memberikan tempoh seminggu bagi selebriti itu untuk membuat permohonan maaf sebelum laporan polis dibuat.

[ARTIKEL BERKAITAN: Akur nasihat Arka, Azwan Ali minta maaf]

"Ramai yang tahu saya sudah minta maaf, dan ramai yang hormati saya (kerana) semudah itu menghulurkan maaf.

"It's actually a small matter (sebenarnya ini masalah kecil)," tegasnya.


'Golongan fobia Islam cabaran saya'

Posted: 02 Jul 2015 11:54 PM PDT

Mohammad Fauzi Yusoff
Mohammad Fauzi Yusoff
 
 
 
AZAMNYA melibatkan diri dalam Pas sejak berusia 19 tahun adalah kerana kecintaannya terhadap Islam dan ingin menghilangkan persepsi buruk agama Islam dalam kalangan masyarakat setempat.

MOHAMMAD FAUZI YUSOFF, 45, menceburkan diri ke dalam dunia politik sejak zaman remajanya sebagai ahli biasa. Beliau pernah menyertai Unit Amal Pas yang melakukan kerja bawahan antaranya menampal poster dan menjaga parkir di sesebuah majlis Pas.

Lulusan dari sebuah universiti di Syria, Mohammad Fauzi kini memegang amanah dari pimpinan Pas Pusat apabila dilantik menjadi Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang yang baharu. Bapa kepada empat orang anak berusia setahun hingga 10 tahun ini kini menguruskan sebuah sekolah agama, Sekolah Rendah Islam Al Ansar di bawah Pas kawasan Balik Pulau.

Anak jati Sungai Rusa, Balik Pulau ini mempunyai isteri yang juga seorang guru di sebuah sekolah di Balik Pulau. Anak sulung dari enam beradik ini sebelum ini pernah memegang beberapa jawatan antaranya Ketua Cawangan Sungai Rusa, Ahli Jawatankuasa Pas Kawasan Balik Pulau, juga Ketua Pemuda Pas Kawasan Balik Pulau dan Yang Dipertua Pas Kawasan Balik Pulau.

Beliau juga pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Pemuda Pas negeri dan Ketua Dewan Ulama Pas negeri namun melepaskan jawatan-jawatan tersebut selepas dilantik menjadi Pesuruhjaya Pas negeri. Ikuti wawancara Mohammad Fauzi bersama wartawan Sinar Harian, SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI ketika ditemui di Sekolah Rendah Islam Al Ansar, Balik Pulau.

Apa tujuan masuk Pas?

Saya masuk Pas bukan untuk tentang Umno, tetapi kerana kefahaman Islam, tentang apa yang nak diperjuangkan Islam. Islam adalah rahmat pada segala alam, yang sempurna. Islam yang dilaksanakan dalam masyarakat sekarang adalah Islam yang belum sempurna. Umat Islam dalam keadaan lemah, sebab itu kita memperjuangkan Islam melalui Pas. 
 
Adakah usaha ini dilihat sebagai satu cabaran?

Ya, saya melihat ini sebagai satu cabaran buat saya dan saya berazam untuk menjadikan ia satu kefahaman kepada masyarakat untuk semua agama, bukan Islam sahaja malah bukan Islam juga.

Sebab Pas ini bukan sahaja parti politik tetapi sebuah gerakan Islam antaranya dakwah, tarbiah (bersifat dalaman) dan pembaikan dalam kalangan ahli sebab kita nak tunjukkan kepimpinan yang baik, bertakwa. Kepimpinan Pas adalah dalam kalangan orang bertakwa, jika jadi pemimpin, masyarakat rasa lega, jika jadi bapa, keluarga akan bahagia, ini yang kita mahukan. 
 
Apakah cabaran untuk Ustaz apabila dilantik menjadi Pesuruhjaya Pas negeri yang baharu?

Cabaran paling besar saya adalah menghapuskan 'fobia Islam' dalam kalangan masyarakat. Itu yang menjadi cabaran paling menduga saya. Bagi saya, kenyataan DAP untuk putuskan hubungan dalam PR bukan satu cabaran yang besar.

Pas ada sejarah, dari penubuhan Pas itu sendiri, masuk BN, kemudiannya masuk PR. Bagi Pas, kita nak teruskan perjuangan kerana itu pendirian yang diambil Pas Pusat. Kita akan teruskan dengan mandat rakyat. Sebab itu kita kekalkan kedudukan jawatan, yang mana tak pecat, kekalkan. Ini kerana, jika kita tinggal (jawatan itu), apa akan jadi pada rakyat? Kita tidak pandangan dari aspek imbuhan atau sebagainya.
 
Hubungan Pas negeri dengan Kerajaan Pulau Pinang?

Setakat mana yang boleh. Maknanya yang dia tak mahu (wakil kita), kita nak kacau buat apa? Dia pecat, kita terima keputusan mereka. Setakat ini, wakil-wakil kita seperti Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) berjalan seperti biasa.

Tidak ada masalah, bagi kita rakyat sebagai keutamaan. Cuma mana yang dia tak mahu dan pecat, itu soal dialah, bukan soal kita. Kita hanya tidak mahu pemecatan berpilih. Jika benar ada, kita nak tanya, kenapa? Ada apa di sebaliknya?
 
Hubungan Pas dengan DAP di Pulau Pinang?

Parti itu biasalah, sebab semuanya terletak pada keputusan rasmi Majlis Syura Ulama. Kita tidak membuat apa-apa tindakan sebelum tindakan diputuskan Majlis Syura. Parti dan kerajaan adalah dua perkara berbeza. Kerajaan berkaitan dengan rakyat.

Jika Pulau Pinang ini, bukan Kerajaan Negeri DAP tetapi Kerajaan Negeri PR. DAP ada 19 kerusi termasuk PKR walaupun dia dominan tetapi dia kena melihat asas kekuatan walaupun Pas hanya ada satu kerusi, namun Pas mempunyai akar umbi yang kuat.

Contohnya kita ada 1,041 orang JKKK, maknanya ada orang Pas yang berkhidmat di kawasan PKR dan DAP juga. Bagi saya, tiada masalah, cuma kita tidak mahu rakyat jadi mangsa. Bagi kita ini soal prinsip yang kita nak bawa, sepatutnya DAP kena hormati prinsip kita dan kita pun hormat prinsip mereka, walaupun bertentangan dengan perjuangan kita, kita faham.
 
Bagaimana ustaz melihat PR sekarang?

Pakatan hanya pakat saja, bukan macam BN. Pas parti lain, DAP lain, PKR lain cuma kebersamaan kita itu yang menyatukan kita. Sebab itu saya kata, di sini tidak ada ketua. Lim Guan Eng tidak boleh putuskan itu dan ini.

Dia dipilih rakyat dan dia menang, memegang amanah dari rakyat. Kerajaan negeri dipegang oleh parti yang menang dalam pilihan raya. Parti yang menang ini adalah pengurus, bukan kerajaan negeri ini milik DAP.

Ini kerajaan negeri, dia pemegang amanah saja, pengurus kepada negeri ini. Dia dibayar gaji, Ketua Menteri dan exco-exco dibayar gaji. Maknanya mereka bekerja dengan rakyat. Ini seharusnya kita kena faham.

Sebab itu saya melihat dalam isu pemecatan beberapa orang dalam kalangan Pas, lantikan ini adalah lantikan kontrak. Boleh diberhentikan, itu tiada masalah, malah kita tidak pertikai, tapi pemecatan sepatutnya ikut Prosedur Operasi Standard (SOP), perlu dipanggil untuk diberitahu mengapa dipecat, jika pemecatan dibuat tanpa alasan, maknanya tidak ikut prosedurlah walaupun kontrak. Masyarakat boleh menilai.
 
Apa pandangan ustaz berhubung senario politik di Pulau Pinang?

Biasa sahaja cuma Pas itu mempunyai cara berbeza dengan Islamnya, kita parti politik tapi parti politik Islam, yang patuh syariah dan tidak membelakangnya. Rakan dalam Pakatan, DAP mereka sosialis, demokratik, sama juga PKR, masing-masing ada prinsip.

Kita menghormati prinsip masing-masing dan sama-sama perjuangkan isu kebersamaan iaitu rasuah, tangani kezaliman. Dalam  masa sama kita ada agenda bersama. DAP mungkin dia lihat benda ini (rasuah) tidak baik kerana beri kesan kepada negara, dan Pas juga melihat perkara sama namun kita percaya, orang yang terima dan beri rasuah akan dimasukkan ke neraka.
 
Komen penolakan hudud oleh DAP.

Itu tidak pelik, kita dah tahu dia tidak sokong dari awal lagi, sebab itu dia kena hormatilah, kita pun tak laksanakan di Pulau Pinang tetapi di Kelantan sebab Pas 'solid' di sana. Oleh itu, di sana lah yang sesuai untuk dilaksanakan.

Kita tidak bincang untuk laksanakan di sini pun. Kita mengutamakan dakwah, Pas sendiri akan menceritakan tentang hudud. Kita kena tunjukkan dulu di Kelantan. Hari ini kita melangkah dengan baik. Rakyat boleh menilai sejauh mana kesungguhan Pas dari dulu hingga kini.
 
Bagaimana dengan kenyataan DAP mengisytiharkan PR sudah berkubur?

Takkan sebuah kerajaan buat keputusan tanpa rujuk keputusan rasmi? Saya melihat usul Dewan Ulama Pas itu baru mencadangkan ke Majlis Syura Ulama Pas kerana yang ada kuasa untuk putuskan hukum adalah Majlis Syura Ulama Pas.

Bagaimanapun, sekarang ini Majlis Syura Ulama Pas belum buat keputusan lagi. Bila belum buat keputusan maknanya tidak rasmi lah. Bagaimana seorang Ketua Menteri boleh buat keputusan tanpa merujuk kepada keputusan rasmi, ini kerajaan.

Muktamar Pas adalah mesyuarat dalaman Pas, Pas boleh bercakap apa sahaja kerana ia dalam rumah tangga Pas, sama macam DAP, mereka juga ada rumah tangga sendiri. Sepatutnya Guan Eng, jika dia matang dan ahli politik yang hebat, dia tidak akan tergopoh-gopoh dan melatah untuk buat keputusan.

Bagaimana pula apabila Ketua Menteri menggunakan kenyataan 'usul diterima tanpa bahas' sebagai alasan untuk mengisytiharkan PR berkubur?

Bagi saya itu fahaman dia, sama ada dia mahu mencari fahaman yang betul dengan merujuk kepada kepimpinan Pas atau dia hanya mendengar  tanpa merujuk kepada kita. Sepatutnya dia perlu merujuk kepada kita.

Itu akhlak dia, kita ada akhlak kita. Masyarakat boleh melihat tindakan mereka dalam keadaan panas ini. Pas ambil keputusan untuk tidak memanaskan keadaan dan kita akan melihat kepada keutamaan rakyat.

Kita kena jalan seperti biasa, setakat mana yang boleh. Tunggu keputusan rasmi oleh kepimpinan Pas. Nak berkubur macam mana, nama pun Pakatan. Pakatan mana boleh satu pihak? Seorang takkan dikatakan Pakatan.

Itu nama dia pakat, pakat sudah tentu banyak pihak. Kita belum buat keputusan lagi, jika DAP nak masuk kubur, itu dia punya pasal lah. Dia nak masuk kubur sendiri, kita tidak boleh buat apa sebab itu tindakan dia sendiri. Kita tidak masuk campur rumah tangga dia. Kita kekal seperti biasa dan jalankan tanggungjawab seperti biasa.
 
Adakah dengan pelantikan ini ustaz berasa terbeban?

Saya sudah biasa dengan banyak jawatan besar sebelum ini. Bagi saya, ini bukan beban tetapi kayu pengukur kewibawaan saya. Saya akan bergerak secara berjemaah. Saya nak dilihat bergerak dengan kekuatan yang boleh dirasai oleh semua masyarakat.

Saya tidak mahu orang nampak saya sahaja sebaliknya cawangan-cawangan, kawasan, Pemuda Pas dan Muslimat Pas yang berperanan.
 
 

Hubungan PKR, Pas di Perak masih utuh

Posted: 02 Jul 2015 11:52 PM PDT

Muhammad Nur Manuty
Muhammad Nur Manuty



IPOH - PKR Perak menegaskan hubungan parti itu dengan Pas Negeri masih utuh walaupun berlaku konflik membabitkan Pas dan DAP di peringkat pusat.

Pengerusinya, Dr Muhammad Nur Manuty berkata, perkara itu jelas menunjukkan tiada sebarang masalah ditimbulkan di antara kedua-dua pihak.

"Persoalan mengenai hubungan PKR dan Pas Perak tidak timbul dalam konflik ini.

"Kita masih kekal menjalinkan hubungan dengan Pas Perak sepertimana sebelum ini sama ada di peringkat negeri mahupun pusat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian, di Wisma PKR Negeri, di sini, semalam.

Menurutnya, PKR pada ketika ini berusaha mencari jalan penyelesaian bagi menjernihkan kembali hubungan antara Pas dan DAP.

"Peranan itu sedang kita jalan sekarang malah telah ada perjumpaan di peringkat pusat antara PKR serta DAP baru-baru ini, membincangkan status dan pengukuhan PR," katanya.

Beliau berkata, di peringkat negeri juga PKR Perak berharap perbincangan antara ketiga-tiga parti dapat berlangsung dalam kadar segera.

"Kita belum bersua muka lagi namun saya optimis PR Perak dapat menangani isu keretakan hubungan ini dengan baik dan penuh semangat setia kawan," katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa supaya kerajaan membebaskan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan kesihatannya pada ketika berada di tahap membimbangkan.

"Seharusnya perkara ini diutamakan oleh pucuk pimpinan ketiga-tiga parti bukan terperangkap dengan permainan BN yang dilihat cuba memecahkan blok PR selepas pemenjaraan Anwar," katanya.


Isu Mara: Kenapa tak panggil Shafie, Idris Jusoh?

Posted: 02 Jul 2015 11:51 PM PDT

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli - Foto Sinar Harian
 
 
 
SHAH ALAM – Tindakan Majlis Amanah Raya (Mara) yang merehatkan dua pegawai tertinggi anak syarikatnya, Mara Incorporated Sdn Bhd semalam dilihat hanya mengambil jalan mudah untuk menunjukkan tindakan sudah diambil.
 
Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli mendakwa tindakan itu tidak memadai kerana dalam masa sama pembuat keputusan yang bertanggungjawab ke atas pembelian hartanah di Melbourne, Australia dibiarkan bebas begitu sahaja.
 
"Mereka ini adalah orang yang bertanggungjawab besar, kerana merekalah yang meluluskan pembelian, kemudian pergi ke Majlis Ekonomi Negara yang dipengerusi dan diluluskan oleh Perdana Menteri.
 
"Saya tahu mereka hanya akan gantung dua orang pegawai untuk jadi kambing hitam, jadi sebarang keputusan atau tindakan yang lebih baik adalah perlu melibatkan kumpulan yang meluluskan urus niaga itu termasuk mereka yang berada di Mara dan juga Majlis Ekonomi," katanya kepada Sinar Online, hari ini.
 
Mengulas lanjut, Rafizi selaku Pengarah Eksekutif National Oversight and Whistleblowers (NOW) menegaskan, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan bekas Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh juga perlu dikenakan tindakan sama seperti dua pegawai tertinggi Mara.
 
"Kalau ahli politik, kecuaian itu adalah satu perkara besar dan dia perlu letak jawatan. Kalau dalam kecuaian itu ada unsur jenayah, maka tindakan perlu diambil kepada mereka.
 
"Hukuman yang dikenakan ke atas dua pegawai tertinggi Mara Inc itu perlu juga dikenakan kepada mereka yang meluluskan jual beli itu, iaitu Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Idris Jusoh dan Shafie Apdal dan mungkin Perdana Menteri sendiri kerana dia mempengerusikan Majlis Ekonomi," ujarnya.
 
Dalam pada itu, Rafizi juga mendakwa, naib presiden Umno itu mempunyai hubungan baik dengan pengerusi Mara Inc susulan beliau adalah seorang Adun Sulabayan dalam kawasan Parlimen Semporna yang diwakilinya.
 
"Ini melambangkan bahawa mereka adalah rapat, jadi timbul persoalan sama ada menteri itu yang melantik Adun Sulabayan ini yang kemudiannya dia digantung atas disyaki terlibat dalam penyelewengan.
 
"Jadi menteri, dia dua kali bertanggungjawab itu dia atas keputusan melantik seorang Adun dari kawasan dia yang dipercayai menipu duit Mara," katanya lagi.
 
Semalam, Mara mengambil keputusan untuk 'merehatkan' dua pegawai kanan Mara Inc sementara sepanjang siasatan dijalankan berhubung isu pembelian hartanah oleh anak syarikat Mara itu di Australia dan United Kingdom.
 
Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa berkata, dua pegawai berkenaan ialah Pengerusi Mara Inc, Datuk Mohammad Lan Allani dan Ketua Pegawai Eksekutif Mara Inc, Datuk Abd Halim A Rahim.
 
 

DAP perlu nyata pendirian selepas Azizah sokong hudud - Tunku Aziz

Posted: 02 Jul 2015 11:45 PM PDT

 Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz

 
Post Pic



SHAH ALAM: DAP perlu memutuskan hubungan dengan Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah selepas ketua pembangkang itu dilihat menggadaikan prinsipnya apabila memfailkan aduan qazaf bagi pihak suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bekas Naib Presiden DAP, Tunku Abdul Aziz Ibrahim berkata, tindakan tidak memutuskan hubungan dengan Presiden PKR itu menterjermahkan lagi DAP sebenarnya tidak mempunyai taring apabila berdepan dengan PKR.

Sehubungan itu, Tunku Aziz meminta Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berani menyatakan status hubungan dengan Wan Azizah selepas bertindak drastik memutuskan hubungan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang apabila parti itu terus memperjuangkan hudud.

"Ya mereka (DAP) perlu berpegang kepada prinsip sebelum ini, kerana selama ini pun DAP tidak pernah menyokong hudud, dan sudah pasti PAS mahukan hudud.

"Apabila Wan Azizah pula cakap dia mahukan (qazaf-hudud), sekarang dia telah berpatah balik atas itu, jadi perlulah Lim Guan Eng menggesa supaya PKR meninggalkan  pakatan mereka.

"Jika tidak ianya menterjermahkan DAP tiada kuasa," katanya kepada Antarapos ketika dihubungi tadi

Beliau mengulas mengenai Timbalan Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, Ng Chok Sin yang mendesak DAP menyatakan pendirian mereka terhadap Wan Azizah selepas dilihat terus mengambil pendirian membisu daripada memberikan sebarang komen berhubung pemfailan aduan qazaf itu.

Tindakan itu juga membuktikan beliau menyokong undang-undang Islam itu, selepas tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan menyokong hasrat PAS yang mahu melaksanakan hukum berkenaan.

Dalam perkembangan yang sama, Tunku Aziz menyifatkan Wan Azizah sebagai pemimpin yang tidak jujur apabila bertindak talam dua muka dalam sesuatu isu terutamanya yang berkait dengan hudud.

"Dalam satu keadaan, dia kata dia sokong hudud (buat aduan qazaf) tetapi dalam satu keadaan dia cakap masih belum sokong hudud, pada saya cara (Wan Azizah) ini tidak betul.

"Dia adalah ketua pembangkang bagi semua parti di bawahnya, pada saya apabila dia (failkan aduan qazaf) dalam kes ini, ianya menunjukkan dia bukan seorang pemimpin yang jujur dan ikhlas," katanya.


DAP masih tak sah daftar RoS 

Sementara itu, Presiden Jawatankuasa Penaja Parti Alternatif Rakyat (PaP), Zulkifli Mohd Noor pula berpendapat sebaliknya.
Zulkifli berkata, tidak ada apa-apa perlu diputuskan DAP memandangkan parti itu dianggotai oleh pemimpin utamanya yang tidak diiktiraf oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).

"Pada saya, tiada apa yang hendak putus (untuk desak DAP putus dengan PKR?) Sekarang ini tiada apa yang hendak diputuskan lagi.

"DAP hidup secara parti bersendiri, PAS bersendiri, jadi tiada apa yang hendak didesak untuk putus dengan PKR lagi sudah," katanya.

"Pakatan ini tidak pernah dicantum secara rasminya, hanya berpakat, maka tiada apa-apa benda yang hendak diputus terutamanya PAS sudah pun mengundur diri, PKR pun bersendiri dan DAP tidak wujud sebab pemimpin dia haram," katanya lagi.

Malah apabila menyentuh tentang pemfailan aduan qazaf oleh Presiden PKR itu, Zulkifli yang juga masih ahli DAP menegaskan pemimpin pembangkang itu dilihat hanya mahu menyelamatkan ahli keluarganya berbanding parti.

"Jadi apa sahaja yang dibuat oleh Datuk Seri Dr. Wan Azizah hari ini pada saya ada kepentingan keluarganya, hendak selamatkan keluarga dia, dia ikut hudud, hendak selamatkan parti dia, dia kata tiada komen...

"Ini adalah pendirian tidak tegas, pendirian bukan datang daripda satu pemimpin yang agung," katanya.
Untuk rekod, pada 26 Jun lalu, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memfailkan aduan qazaf terhadap peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang didakwa memfitnah beliau berhubung kes liwatnya.

Isterinya, Wan Azizah memfailkan aduan itu bagi pihak suaminya di bahagian penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor.

Wan Azizah berkata, aduan qazaf itu dibuat berikutan tindakan Muhammad Shafee yang menuduh Anwar melakukan liwat dengan bekas pembantu peribadinya Saiful Bukhari Azlan tanpa mengemukakan empat orang saksi lelaki atau ikrar orang yang dituduh (Anwar) sepertimana diwajibkan oleh undang-undang.

Tiada ulasan: