Jumaat, 24 Julai 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


ADUN Morib dakwa PAS sudah tidak wujud

Posted: 24 Jul 2015 03:54 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Selepas putuskan hubungan dengan DAP, PAS tidak lagi wujud, tegas ADUN Morib, Hasnul Baharuddin.
 
Malah Hasnul berkata PAS harus dipersalahkan kerana membuat keputusan memutuskan hubungan dengan DAP sedangkan gabungan bersama dalam pakatan pembangkang yang menjadikan Pakatan Rakyat (PR) mampu menawan Selangor.
 
"Saya bukan alat DAP. Sebaliknya saya benar-benar kecewa dengan tindakan pemimpin PAS.
 
"Selama ini pakatan bersama, tetapi bila sudah jadi begini, saya buat keputusan ini (menyertai GHB)," katanya dipetik akhbar Berita Harian.
 
Hasnul berkata beliau akan keluar daripada PAS dan tindakannya itu tidak menyalahi enakmen perundangan negara.
 
"Memang benar saya akan keluar PAS dan mengikut enakmen tidak menjadi kesalahan mana-mana ADUN berpindah parti.
 
"Tak jejaskan jawatan saya sebagai wakil rakyat pun," katanya.
 
Beliau bagaimanapun tidak mengulas lafaz bai'ah yang kini menjadi perbualan hangat banyak pihak.
 
Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob semalam memberitahu lafaz bai'ah memang wujud dan bukan perkara main-main.
 
Lafaz itu turut merangkumi jatuh talak tiga kepada isteri mana-mana wakil rakyat PAS yang bertindak menyertai parti politik lain.
 
Lafaz tersebut digunapakai sejak 2004 lagi, kata Ahmad lagi.
 
 

Kelahiran GHB hasil permukahan politik sesama sendiri

Posted: 24 Jul 2015 03:36 AM PDT

MSO

Perlancaran Gerakan Harapan Baru (GHB) yang akan muncul sebagai sebuah lagi parti politik baru di negara ini menggelisahkan beberapa pihak tertentu. Yang pastinya ialah daripada Pas sendiri kerana hampir seratus peratus mereka yang terlibat dengan GHB itu merupakan bekas pemimpin dan ahli Pas. Paling membimbangkan Pas, kerana tawaran atau bentuk perjuangan GHB ini bersifat progresif, peduli massa dan serasi dengan jiwa anak-anak muda.

Pakatan sudah relai? 
Memerhati kepada beberapa majlis membabitkan GHB kehadiran anak-anak muda telah memeriahkan suasana. GHB berpotensi menjadi sebuah gelanggang massa, masa depan yang ditangani anak-anak muda.

Kenapa mereka (bekas pemimpin Pas) mengambil keputusan yang mendukacitakan itu, dan satu situasi yang tidak menenangkan keadaan Pas; umum sudah sedia maklum, akan sebab musababnya. Saya tidak bercadang untuk menghuraikannya lagi di sini secara lebih mendalam dan tuntas bagi mengelak saya bias. Cuma apa yang hendak disebut tuduhan mereka kecewa sehingga membentuk wadah baru adalah subjektif sekali.

Umno turut gelisah

Bukan sahaja Pas, tetapi Umno juga gelisah dan tidak tenang dengan kewujudan GHB, walaupun ianya tidak sedukacita para pemimpin Pas dan pencinta Pas hari ini. Bagi Umno melihat kemunculan Harapan Baru, tidak menuntaskan segala kehendak dan perancangnnya selama ini. GHB telah memancung impi angan Umno sebelum ini untuk meletakkan parti itu terus di atas tunggak kekuasaanya.

Sejak wujudnya Pakatan Rakyat secara rasmi selepas pilihan raya 2008 dan membawa kepada saat berakhirnya riwayat pakatan itu (Jun 2015), ia memberi tekanan berat kepada Umno dan BN seluruhnya, Pencapaian Pakatan Rakyat dalam dua pilihan raya 2008 dan 2013 dimana hampir-hampir menenggelamkan kekuasaan UBN, menyebabkan parti itu terperagah begitu sekali.

Bentuk fraksi baru Pakatan.
Kejayaan menguasai empat buah negeri, Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah serta mengekalkan Kelantan (2008) serta sekali gus menguasai majoriti 2/3 di parlimen menjadikan Umno tidak senang duduk. Sejak itu Umno menjadi patah tulang berlakang dan dikhuatir akan lumpuh. Ia menghampiri kepada kenyataan itu jikalau Pakatan Rakyat terus utuh.

Umno walaupun masih memerintah tetapi parti itu tidak tenang, resah gelisah sepanjang masa. Kemenangan tidak menjadi tilam dan bantal lembut buat mereka. Bayangan kekalahan menjelma setiap saat dalam mata parti berkenaan selepas itu. Kesan daripada keserabutan itu menyebabkan Umno berkecemukan dan bergasak sesama sendiri walaupun tanpa menggunakan siku dan lutut.

Tunding menunding berlaku menyalahkan antara satu sama lain. Umno dan BN kehilangan gah. Perbalahan bukan sahaja menimpa Umno tetapi kekecamukan juga melanda parti komponen BN yang lain. Sayangnya situasi ini tidak dapat dibaca oleh semua komponen Pakatan Rakyat, khasnya Pas, yang ia memberi peluang besar kepada masa depan Pakatan Rakyat.

Selepas pilihan raya umum tahun 2008, ekoran hentakkan kuat daripada Pakatan Rakyat menyebabkan Abdullah Ahmad Badawi terpaksa melepaskan jawatan sebagai perdana menteri dan presiden Umno. Perletakan jawatan Abdullah itu ada hubung kait dengan kejayaan Pakatan Rakyat. Umno mengharapkan kelemahan yang disebabkan Abdullah dapat dipulihkan dan kembali kuat apabila Abdullah disingkirkan.

Malangnya apa diharapkan Umno itu tidak kesampaian. Penyingkiran Abdullah secara diplomasi berstrategi itu tidak menyelesaikan masalah. Umno bahkan menjadi lebih teruk lagi. Pilihan raya umum ke-13, 2013 yang dikepalai Najib Razak yang mengambil alih jawatan daripada Abdullah Badawi dan disokong kuat oleh bekas PM dan presiden Dr Mahathir Mohamad, ternyata tidak dapat mengembalikan kekuatan UBN. Patah tulang belakang yang menimpa Umno semakin parah.

Kekuataan atau pun serangan daripada Pakatan Rakyat menjadikan Umno terkapai-kapai. Keadaan ini menjadikan Umno hilang formula dan berbagai penawar diguna tidak mujarab lagi. Umno seperti sudah kehilangan kompas dan kepandiran akal dan kebebalan tindakan. Umno berkeadaan seperti dimakan sumpah dan hukum karma alam.

Kali ini Pakatan Rakyat bukan sahaja menafikan majoriti 2/3 di parlimen tetapi undi popularnya juga melebihi 2 peratus berbanding dengan UBN. Pakatan Rakyat meraih 51% undi bersamaan (5.5 juta undi) manakala UBN sebanyak 47% undi bersama 5.2 juta undi. Keputusan atau pencapaian ini pertama kali dalam sejarah politik Malaysia dimana parti kerajaan kehilangan suara popular.

Kedudukan ini menyebabkan Umno bingkas dan membuat penilaian serta insaf mengakui sekiranya mereka hilang 4 peratus undi sahaja lagi dalam piihan raya akan datang, mereka akan hilang kerjaan dikuasai selama lebih setengah abad. Situasi inilah yang memanikkan Dr Mahathir menyebabkan orang tua itu tidak lena tidur memikirkan nasib dan masa depan Umno, yang mana kelangsungan kekuasaan Umno akan menyelamatkan jenayah dilakukannya.

Mahathir bimbang kehilangan kerajaan UBN bukan sahaja beliau tidak sempat meninggalkan legasinya, menakhtaikan anaknya, tetapi ia menjadi pintu penjara makin luas menghadapnya.

Itulah keadaan dan realiti dalam Umno. Menyedari itulah maka Umno mula merancang dan membuat persiapa untuk memulihkan keadaan. By hood or crook mesti dilakukan. Salah satau langkah yang diambil Umno ialah, mereka harus memecahkan perapaduan pembangkang dalam Pakatan Rakyat.

Umno percaya dan yakin, kekuatan dan perpaduan Pakatan Rakyat perlu digoncangkan kalau mereka ingin selamat dan terus menjadi pemerintah. Bermula pada tahun 2008 Umno tidak melengah-lengahkan terus mengatur strategi politik dan melakukan psywar untuk menghancurkan Pakatan Rakyat.

Dalam usaha ini Umno melakukan apa cara yang termampu dan dalam hal ini parti itu menggunakan apa sahaja oportuniti yang ada dalam kerajaan. Semua agensi keselamatan, pusat perang saraf, badan kewangan, NGO digunakan untuk menghancurkan Pakatan Rakyat. Apakah ia suatu tindakan halal atau sebaliknya, Umno tidak mempedulikannya.

Dalam usaha untuk memecahkan kepaduan Pakaran Rakyat, Umno meniru tektik peperangan untuk survive dilakukan singa dan harimau takkala memburu kerbau atau lembu untuk dijadikan makanan. Bagaimana harimau dan singa akan mencari mangsa yang lemah untuk dikejarnya, begitulah Umno. Dalam Pakatan Rakyat Umno melihat mangsa yang lemah yang mudah dikejar ialah Pas, maka mereka menumpukan pemburuan kepada Pas. Mereka perlu mengasingkan Pas dari kumpulan itu kemudian melanyak dan meratahnya mentah-mentah.

Ilmu dan pengalaman yang ada, Umno sudah nampak Pas adalah parti yang mudah untuk disihir atau pun diperdayakan. Berdasarkan kepada chemistery keduanya ia memudahkan untuk Umno menarik Pas keluar daripada Pakatan Rakyat. Bagi Umno, Pas tak ubah seperti kumpulan Al Mamunah yang boleh diperdaya dan melembutkan hati mereka di Bukit Jenalik itu hanya dengan mendendangkan lagu P Ramlee sahaja.

Umno berkeyakinan sekiranya Pas sudah tidak bersama Pakatan Rakyat, maka riwayat pakatan itu akan relai atau tidak akan menjadi ampuh lagi, dan saat inilah ia boleh menjadi "mangak" kembali.

Untuk tujuan itu Umno mendekati Pas dan bermanis-manisan dengan Pas.  Mauduk utama yang ditawarkan atau dimainkan Umno ialah sentimen bangsa dan agama. Umno arif mengenai kelemahan Pas atau keterpesonaan Pas ialah terhadap Islam dan bangsa Melayu. Pas begitu excited dengan Islam walaupun kadang kala terbabas menjadi ekstrim. Jadi Umno memainkan kedua isu ini untuk menuba permikiran Pas.

Dua kaedah dilakukan Umno dalam menjinak Pas ini. Pertama secara tidak langsung melalui dialog dan perbincangan santai dan almiah antara orang tertertu dalam Pas dengan agen-agen Umno. Biasanya agen ini mereka yang kelihatan tidak berpihak ke mana mana-mana puak tetapi sebenarnya mereka adalah strategis Umno. Kaedah kedua ialah menerusi dialog atau pertemuan secara rasmi yang dibuat secara sulit. Ia diurus atau melibatkan beberapa kerat pemimpin sahaja. Saya ada simpan gambar dalam salah satu majlis dialog berkenaan.

Antara topik atau tema yang kemukakan Umno dalam pertemuan dan perbincangan untuk mempengaruhi Pas ialah;

1. Umno bersetuju dan menjanjikan untuk membantu Pas melaksanakan hukum hudud dan iktisas lain.

2. Meyakinkan pemimpin Pas bahawa DAP adalah sebuah parti chuvenis yang berjuang untuk kepentingan Cina, dan dalam masa sama mereka anti Islam.

3. Pas diperlukan untuk membantu Umno demi menyelamatkan bangsa yang akan lemah kerana perpecahan ekoran itu menyebabkan agama akan terjejas.

4. Menggunakan fitnah yang menimpa ke atas Anwar Ibrahim sebagai satu alat untuk mengurangkan keyakinan kepada Pakatan Rakyat kerana Anwar dinobat sebagai ketua dan roh Pakatan itu sendiri terletak ditangan Anwar.

5. Dalam pada itu menawarkan berbagai kemudahan kebendaan dan kewangan serta bantu Pas mengatur strategi macam mana untuk menguasai Pas, termasuk mempertahankan kerajaan Kelantan tanpa berkongsi dengan golongan profesional.

6. Dan, pemenjaraan Anwar Ibrahim selama lima tahun atas dakwaan liwat juga merupakan strategi memecahkan Pakatan Rakyat.

Melihat kepada beberapa langkah itu Umno serius dan melangkahi jauh ke dalam Pas demi mencapai matlamatnya. Untuk tujuan ini juga Pas dilayan dengan baik, tanpa menyedari layanan itu sebenarnya layanan Ali Baba kepada Kassim Baba sahaja.

Sayangnya tektik dan strategi Umno ini tidak terbaca oleh sesetengah pemimpin Pas yang mudah terulik dengan bacaan ayat-ayat Quran yang didendangkan dengan berbagai taranum, al Bayyati, Soba, Hijaz, Nahwand, Rast, Sikh dan Jirarkah dan sebagainya.

Hasil daripada bantuan dan strategi yang dibuat Umno itu, akhirnya mereka berjaya, fasal pertamanya membuang golongan profesional dalam Pas, dan membiarkan Pas dikuasai oleh golongan agama yang mudah dijinakan. Tindakan pertama dalam proses ini ialah menyingkirkan Husam Musa dari kerajaan Kelantan, kemudian diikuti tindakan dalam muktamar.

Selepas kejayaan itu ia membawa hasil besar apabila golongan ulama telah mengusulkan agar memutuskan hubungan dengan DAP. Perpecahan Pas dengan DAP adalah satu kejayaan besar Umno yang diharapkan mereka akan dapat menguasai semula kecemerlangan politik. Tindakan ulama itu boleh dianggap dewan ulama telah memainkan peranan Umno.  Umno ketawa terbahak-bahak meraikan kejayaan ini.

Perlu disebut, perpcahan Pas dengan DAP, bukan sahaja disebabkan kelalaian dan kecetekan politik Pas membaca strategi Umno, tetapi DAP juga gelojoh dalam membuat keputusan. Tindakan Lim Guan Eng yang bertindak mematikan Pakatan Rakyat (tanpa Pas) hanya kerana usul daripada Dewan Ulama yang belum diputuskan sesuatu tindakan gelojoh dan tidak praktikal.

Sikap DAP ini juga disukai oleh Umno dan parti itu terus mengipas agar bara perpecahan dalam Pakatan terus menyala dan berasap. Umno kini sedang membaca talqin atas kematian Pakatan Rakyat.

Demikianlah senario yang berlaku dan memporak perandakan Pas seperti hari. Justeru kalau diperhatikan kepada senario itu, ahli atau pemimpin Pas tidak perlu kesal dan marah dengan kewujudan GHB ini. Mereka perlu juga menyalahkan diri mereka sendiri sehingga GHB menjadi kenyataan. Mereka perlu mengingati apakah perbuatan tercela yang dilakukan sehingga memungkin GHB termengandung.

Sejak awal lagi saya sudah memberi bayangan akan masalah ini akan terjadi, dan musibah ini perlu dielakkan. Tetapi pemimpin Pas yang baru tidak mempedulikannya. Mereka "semabur" dengan kedudukan dan gila glamour. Hanya hari ini setelah kandungan GHB sudah membesar dan bakal dilahirkan baru menaruh kebimbangan dan mula berifki bayi itu perlu dibunuh. Politik jahiliah tidak pantas lagi diamalkan di era ini.

Sebelum ini pemimpin Pas memandang sepi dan menghina usaha golongan yang kalah ini. Apa yang mereka tidak kata dan luahkan. Ada yang mengucap selamat dan membayangkan GHB akan mati dalam kandungan dan kalau pun lahir akan cacat. Ada pula yang kata GHB boleh bertahan dua tahun sahaja. Nah, kalau begitu kenapa harus dibimbang dan dipedulikan.

Saking marahnya, sesetengah pemimpin Pas menggunakan apa sahaja untuk menghalang hasrat dan niat bekas pemimpin Pas itu. Paling akhir cuba pula menggukan ayat-ayat Quran untuk memagar mereka agar tetap bersama Pas dan menjauhi GHB. Paling baharu isu ikrar bai'ah pula digunakan. Percayalah semua perkakas itu, (ayat-ayat Quran, ikrar dan janji, atau maki hamun dan sumpah seranah) tidak akan merubah kedaaan. Mekanisme itu sudah tidak relevan di zaman era langit terbuka dan mata "terbahar" ini.

Konsep dan prinsip ayat-ayat Quran itu sendiri ia diturun dan terpakai kepada orang-orang beriman sahaja. Dalam politik sekular ayat-ayat Quran bukan menjadi satu pegangan atau bukti atau alat menakutkan. Dalam pokitik sekular, saksiah, komitmen dan tanggungjawab seseorang (pemimpin) itu yang akan dipedulikan. Manakala kejayaan yang diperjuangkan itu adalah kemuncak kepada kehebatan dunia politik sekular.

Bukankan kita semua hari ini begelumbang dalam politik sekular? Sekular bukan sahaja kepada Umno, DAP, PKR atau GHB, sekular juga kepada Pas. Ayat-ayat Quran, hadith dan ijmak yang dibaca oleh pemimpin Pas, bukan menjadi pagar dan didengari lagi, bahkan ia tidak relevan dalam politik sekular. Lainlah kalau Pas meninggalkan sistem politik sekular dan kembali kepada politik haraki sepenuhnya, baharulah ayat-ayat Quran dan hadith yang lunak dibaca itu terpakai. Itupun berlaku kepada ahli Pas sahaja.

Sumpah dan janji tidak ada dalam politik. Perjanjian dalam politik bukan untuk disetiai, tetapi untuk dimungkiri. Tidak ada yang mustahil dalam politik. Dalam politik wang boleh mengabui wajah Tuhan.

Bertolak daripada frasa kata itu, paling adfal bagi ahli Pas yang kini mulai kepanasan dengan kewujudan parti baharu, ialah kembali ke dalam diri, perkuatkan organisasi sendiri, dan jangan peduli apa yang berlaku dalam rumah orang lain. Jagalah tepi jubah kita dahulu untuk mengatakan pelikat orang lain kontot.

Bekas pemimpin Pas kini sedang membina dan menempa rumahnya sendiri apabila mereka dihalau kejam, biarlah mereka hiasi rumah mereka mengikut kehendak dan citarasanya. Hormatilah mereka. Dan jika ia sudah siap sempurna nanti, kalau kita teringin untuk menziarahinya, atau makan kenduri naik rumah, silakan. Rasanya mereka takkan akan murih.

Saya jamin mereka tidak akan menghalau kerana orang Pas adalah darah daging mereka juga yang bertutur dalam loghat Melayu, beragama Islam, dan sama-sama suka makan ikan perkasam. Pas perlu ingat kelahiran GHB atau parti baru dari usaha GHB itu adalah anak hasil permukahan politik Pas sesama sendiri. Anak itu tetap suci dan mulia, melainkan bapak-bapak mereka yang berdosa dan perlu bertanggungjawab. 

Dan .. ini punch line, penubuhan parti baru yang diusahakan GHB ini telah menjadi anti klimeks kepada Umno yang mahu melihat Pakatan Rakyat hancur, tetapi apa yang terjadinya GHB bukan sahaja menjadi penyambung nyawa kepada Pakatan Rakyat, tetapi GHB akan menjadi tali yang akan mengikat kejap dan kemas Pakatan Rakyat untuk berdepan dengan UBN dalam pilihan raya akan datang. Ikatan kali ini mungkin menjadi lebih kuat dan kejap lagi, apabila komponen-komponen yang ragu-ragu seperti Pas sudah tidak ada bersama lagi.


Selepas Syed Mokhtar, Tony Pua Kini 'Serang' 1MDB - Rahman Dahlan

Posted: 24 Jul 2015 03:32 AM PDT

Oleh: T. AVINESHWARAN
 
 
Abdul Rahman Dahlan
Datuk Abdul Rahman Dahlan
 
 
PETALING JAYA: Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua telah berusaha melemahkan kerajaan sebelum pilihan raya umum ke-13 dan kini mengalih serangannya terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) itu berkata, ketika itu Pua menyerang Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, tetapi kini seolah-olah 'merancang' serangan ke atas pada 1MDB pula.

"Objektif utamanya sudah tentu untuk anda (rakyat) akhirnya membenci dan marah dengan kerajaan.

"Dengan harapan pada masa pilihan raya umum 2013, anda akan cukup marah untuk mengundi BN walaupun ia sebenarnya menyebarkan kegelisahan yang boleh menjejaskan ekonomi," kata Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Pada Khamis, beliau menulis di laman Facebook bagaimana pembangkang bertindak melulu membuat 'tuduhan liar' yang boleh menjejaskan ekonomi negara.

Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Kota Belud, menceritakan kejadian beberapa tahun lalu apabila Pua menulis beberapa artikel dalam blognya mengenai bagaimana perniagaan Syed Mokhtar menimbulkan bahaya ke atas ekonomi dan pembayar cukai.

Menurut beliau, Pua menulis dalam blognya pada 23 Jun 2012 bahawa hutang RM34.3 bilion empayar perniagaan Syed Mokhtar boleh 'menimbulkan kebimbangan apabila wang pembayar cukai digunakan sebagai 'bailout'.

"Pua tidak hanya menulis artikel dalam blognya tetapi juga bercakap mengenainya dengan penuh semangat di Parlimen dan dalam ceramahnya (kempen). Sudah tentu, jentera DAP tanpa belas kasihan meluaskan mesej ini.

"Cukup jelas bahawa beliau yang melantik dirinya sendiri sebagai 'pembawa berita buruk'ini mahu orang ramai percaya bahawa hutang Tan Sri Syed Mokhtar akan menyebabkan risiko sistemik kepada sistem kewangan dan mungkin membawa kepada keruntuhan ekonomi.

"Dia mahu memberikan gambaran suram ekonomi untuk rakyat Malaysia berasa takut," katanya.

Tiga tahun selepas dakwaan Pua, Abdul Rahman berkata tiada apa yang berlaku kerana sistem perbankan di Malaysia adalah yang sihat dan kukuh.

Tambahnya, empayar perniagaan Syed Mokhtar tidak runtuh kerana hutang dan wang pembayar cukai tidak digunakan sebagai bailout.

Katanya, jika rakyat mempercayai kata-katanya tiga tahun lalu, mereka mungkin akan menjual saham, menangguhkan pelaburan anda dan menangguhkan untuk mengembangkan perniagaan.

"Malah saya tidak akan terkejut jika ada di antara kamu telah membuat keputusan untuk berkemas dan 'cabut lari' bersama keluarga anda dan berhijrah ke negara lain dari negara 'mengerikan' ini.
 
 

The Edge Akan Cabar Di Mahkamah

Posted: 24 Jul 2015 03:29 AM PDT

MSTAR OLINE
 
 
 
 
 
PETALING JAYA: The Edge akan mencabar perintah penggantungan ke atas dua penerbitannya oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) di mahkamah.

Ketua Pegawai Eksekutif dan penerbit The Edge, Ho Kay Tat berkata beliau kecewa dengan penggantungan itu.

"Ini adalah usaha untuk menghalang kita," kata beliau dalam kenyataan.

KDN menggantung permit penerbitan The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily selama tiga bulan bermula 27 Julai.

The Edge berkata pihaknya menerima surat daripada KDN yang memaklumkan bahawa penggantungan itu disebabkan laporan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sumpah bai'ah: Pemimpin GHB tidak boleh buat tafsiran sendiri

Posted: 24 Jul 2015 03:27 AM PDT

 Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohd Azhar

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Kesemua pemimpin Gerakan Harapan Baru (GHB) tidak boleh mentafsir sendiri lafaz bai'ah yang dibuat mereka ketika menerima perlantikan sebagai wakil rakyat PAS, semata-mata mahu 'lepaskan diri' daripada hukum sumpah tersebut.
 
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata kesemua wakil rakyat samada ahli Parlimen atau ADUN PAS perlu merujuk pada yang pakar dan tidak membuat andaian membuta tuli dalam isu serius itu.
 
Ini kerana lafaz bai'ah tersebut melibatkan 'talak tiga' kepada isteri masing-masing dan ia tentunya isu besar dalam arena politik negara.
 
Terdahulu, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad menyatakan pendapatnya bahawa sumpah yang diikrarkan pada 2008 melibatkan 'menceraikan isteri' tidak diperbaharui menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu.
 
"Khalid Samad mencari alasan supaya dia terkeluar dari konteks bai'ah. Tetapi sejauh mana ia terpakai atau tidak, pada saya ia akan dirujuk kepada Mahkamah Syariah. Dan mereka akan berdepan dengan situasi yang agak rumit," katanya ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
 
Khalid juga mendakwa parti Islam itu sendiri yang bertindak melanggar bai'ah dan lari daripada landasan perjuangan Islam.
 
"Sekarang ini mereka cuba menafsir sendiri apa yang dimaksudkan? PAS sudah tentu tidak melanggari bai'ah. Yang melanggar bai'ah adalah mereka (pemimpin GHB), mereka yang melafazkan akad itu sekaligus mereka tertakluk kepada bai'ah. PAS tidak ada kena-mengena, sebab mereka bukan pihak yang berbai'ah," katanya lagi. 
 
Isu sumpah bai'ah kini menjadi pertikaian di kalangan pemimpin PAS dan kumpulan progresif parti itu yang menyertai GHB.
 
Terdahulu, Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yakob mengesahkan bahawa bai'ah talak tiga memang wujud di kalangan wakil rakyat parti itu dan ia bukan perkara main-main.
 
Menyentuh hal ini, Abdullah menyifatkan perkara cerai yang dikaitkan dengan bai'ah itu merupakan 'nilai tambah' yang dilakukan parti berkenaan demi mengekalkan kesetiaan ahli-ahlinya.
 
"Bai'ah dilakukan dalam keadaan suka sama suka. 
 
"Jika nak kata bai'ah itu tidak kena, kita kena lihat di waktu bila mereka mengangkat janji. Bai'ah bukan satu pihak memaksa pihak yang lain, mereka boleh memilih mahu lakukan bai'ah atau sebaliknya. Jadi bila buat bai'ah, mereka kena tanggung risikonya 
 
"Kita sebagai orang luar, nak kata bagus atau tidak, (sedangkan) mereka sudah setuju dengan terma dan syarat bai'ah itu," ujarnya lanjut.
 
Abdullah kemudiannya menambah bai'ah menjadi sebahagian amalan dalam Islam, namun ia tertakluk kepada situasi.
 
Penganalisis politik, Profesor Datuk Dr Agus Yusoff menerusi status laman sosial Facebooknya kelmarin menyifatkan sumpah bai'ah sebagai karut.
 
Beliau juga mempersoalkan kewajaran PAS mengikat wakil rakyatnya dengan cara begitu sehingga menjadikan isteri-isteri mereka sebagai cagaran politik.
 
 

Rombakan Kabinet: Shafie dijangka digugur, Ahmad Maslan Menteri penuh

Posted: 24 Jul 2015 03:24 AM PDT

Perdana Menteri dijangka membuat rombakan Kabinet sebelum Bajet 2016 dan rombakan terakhir sebelum pilihan raya.


kabinet-malaysia-2013xx



PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka mengumumkan rombakan Kabinet antara awal Ogos hingga pertengahan Oktober sebagai persediaan terakhir untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Akhbar China Press melaporkan, rombakan itu dilihat amat penting kerana dijangka merupakan barisan Kabinet terakhir sebelum ketibaan pilihan raya umum.

Rombakan tersebut dijangka diadakan sebelum pengumuman Bajet 2016 pada 23 Oktober untuk memudahkan menteri-menteri baharu melaksanakan tugas-tugas berkaitan.

Akhbar itu melaporkan, antara tujuh hingga lapan Menteri dijangka digantikan termasuk Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Turut dikhabarkan tersenarai ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri. Koperasi dan Kepenggunaan,
Datuk Seri Hasan Malek; Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala yang tempoh senatornya bakal tamat.

Akhar itu memetik sumber sebagai berkata, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dari Sabah akan diberi peranan penting untuk menenangkan keadaan di negeri itu selepas Shafie digugurkan daripada Kabinet.

Najib sendiri dijangka mengambil alih jawatan Menteri Dalam Negeri sementara jawatan Menteri Kewangan akan digantikan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang merupakan Menteri Pertahanan ketika ini.

Walaupun menyebut Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meninggalkan Kementerian Pendidikan, tetapi laporan itu tidak menyebut kementerian yang bakal diteraju Muhyiddin.

Untuk Menteri Kewangan II pula, jawatan itu akan diisi oleh Datuk Seri Abdul Wahid Omar sementara Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah akan mengisi kekosongan yang ditinggalkan Abdul Wahid di Unit Perancang Ekonomi sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Untuk mengimbangi pengaruh Datuk Seri Mukhriz Mahathir di Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang kini merupakan Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air akan dilantik sebagai menteri.

Turut dikhabarkan bakal dilantik sebagai menteri penuh ialah Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan dan Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainuddin. Ahmad dikatakan berpeluang dilantik sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Nama bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Johari Baharom dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim juga disebutkan. Irmohizam dijangka dilantik sebagai timbalan menteri.

Untuk calon MIC pula, Datuk M. Saravanan yang kini merupakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan berpeluang dilantik sebagai menteri sementara seorang senator dari parti itu mengisi jawatan timbalan menteri.

Menteri-menteri daripada kaum Cina dijangka tidak mengalami perubahan melainkan pertukaran jawatan dalam kalangan timbalan menteri.

Dalam pada itu, Presiden SPDP, Datuk Seri Tiong King Sing yang juga Ahli Parlimen Bintulu juga dijangka menyertai Kabinet.

Kehadiran lelaki bogel gemparkan orang ramai

Posted: 24 Jul 2015 03:16 AM PDT

NORAIZURA AHMAD

 

IMG-20150724-WA0017
Lelaki bogel yang tidak dikenal pasti identitinya menggemparkan orang ramai di sekitar kawasan pusat membeli belah Sogo, hari ini. Foto Ihsan PDRM 



KUALA LUMPUR, Warga ibu kota digemparkan dengan gelagat seorang lelaki bogel berkeliaran di sekitar pusat membeli belah Sogo, hari ini.


Dalam kejadian kira-kira 1 petang itu, seorang lelaki dalam lingkungan usia 30-an berjalan tanpa pakaian menyebabkan orang ramai terkejut melihat gelagatnya.

Jurucakap polis berkata, lelaki tersebut dipercayai kurang siuman dan sering berada di lokasi berkenaan.
"Apabila tiba di tempat kejadian, lelaki tersebut sudah tiada.

"Keadaan menjadi reda selepas ada di antara orang awam yang memberikan pakaian kepada lelaki itu,"katanya.

Menurutnya, tiada laporan polis yang dibuat namun pemeriksaan masih dijalankan bagi mengenal pasti lelaki itu.

BNM cari Casey dan Jasmine bantu siasatan 1MDB

Posted: 24 Jul 2015 03:13 AM PDT

 
Mereka dicari bagi membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953.


BANK-negara


PETALING JAYA: Bank Negara Malaysia (BNM) mencari dua individu bagi membantu siasatan berhubung kontroversi syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dalam status Facebook rasmi, BNM memuatkan gambar dua individu yang dicari itu iaitu Casey Tang Keng Chee dan Jasmine Loo Ai Swan.

Kedua-duanya dicari bagi membantu siasatan mengikut Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953.

Alamat terakhir Casey Tang ialah di No. 112, Jalan 5/149G Taman Seri Endah, 57000 Kuala Lumpur.
Manakala Loo, 42, alamat terakhir 25, Jalan Seri Beringin 2, Damansara Heights, 50480 Kuala Lumpur.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedudukan individu ini boleh menghubungi Bank Negara Malaysia di talian 03-26988044 sambungan 8544/7610 atau boleh membuat laporan di balai polis berdekatan," kata BNM.

Casey Tang merupakan bekas Pengarah Eksekutif 1MDB Bahagian Pembangunan Perniagaan secara kontrak tiga tahun berakhir Mac 2011 sebelum jawatan tersebut diambil alih Jasmine Loo yang sebelum itu di Bahagian Strategi.

Tiada ganjaran ditawarkan kepada pemberi maklumat.

300 objek misteri ditemui di Tanjung Balau

Posted: 24 Jul 2015 03:09 AM PDT

SINAR HARIAN


300 objek misteri ditemui di Tanjung Balau
Lebih 300 objek misteri yang menyerupai ukiran pada kuil Borobodur dirakamkan oleh Penolong Kurator Muzium Nelayan Tanjung Balau, Muhammed Iqbal Rosli ketika mengiringi wakil kerajaan negeri ke lokasi tersebut di pantai Tanjung Balau semalam. - Foto Bernama
 
 
KOTA TINGGI - Lebih 300 objek misteri yang menyerupai ukiran pada kuil Borobodur, di Jawa Tengah, Indonesia ditemui di atas batu di pantai Tanjung Balau dekat sini semalam.
  
Sesetengah penduduk setempat berkata objek dalam pelbagai warna itu digunakan untuk membuang ancak atau persembahan kepada makhluk halus.
  
Penolong Kurator Muzium Nelayan Tanjung Balau, Muhammed Iqbal Rosli berkata beliau menyedari kewujudan objek itu ketika mengiringi wakil kerajaan negeri ke lokasi tersebut.
  
Beliau berkata ia secara tidak langsung telah mengganggu pemandangan geologi di Tanjung Balau yang sedang diwarta sebagai kawasan sejarah.
  
"Kami tidak tahu siapa yang meletak objek-objek itu dan upacara yang dijalankan sama ada ia merupakan proses pemujaan atau ritual sesebuah agama.
  
"Pihak kami juga tidak mengalihkannya sebab ia terlalu banyak dan bimbang sekiranya berlaku perkara yang tidak dijangkakan. Bagaimanapun jumlahnya semakin berkurangan kerana dibawa air pasang," kata Muhammed Iqbal.
  
Beliau berkata pengunjung jangan mendekati objek tersebut dan menyentuhnya kerana khuatir akan memudaratkan kerana belum dikenal pasti bahan yang terkandung padanya.
  
"Namun kita difahamkan ia merupakan upacara tahunan agama namun tidak tahu agama apa dan kita masih siasat perkara ini," katanya.
   
Sementara itu Kadi Daerah Kota Tinggi, Mohd Fauzi Bachok berkata pihaknya sedang menyiasat sama ada ia turut melibatkan masyarakat Islam. - Bernama


Haram ambil gaji, elaun lepas sertai Harapan Baru

Posted: 24 Jul 2015 03:06 AM PDT

Haron Din
Haron Din
 
 
SHAH ALAM - Wakil rakyat Pas yang mendukung perjuangan Gerakan Harapan Baru (Harapan Baru) haram menikmati gaji dan elaun masing-masing selepas mereka tekad dengan keputusan itu.

Ini kerana menurut Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din, kerusi yang dimenangi oleh kesemua wakil rakyat itu adalah berdasarkan tiket parti Islam itu.

"Saya menasihatkan pihak yang berbai'ah supaya merenung sedalam-dalamnya kehendak bai'ah itu kerana mereka berbai'ah dengan ALLAH.

"Jika berlaku khianat, mereka khianat dengan ALLAH. Lebih-lebih lagi dalam bai'ah yang menyebut soal elaun dan gaji kerana ia haram dimakan jika berlaku pelanggaran bai'ah," katanya seperti dipetik menerusi laporan akhbar tempatan, hari ini.

Semalam, Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yaakob mengesahkan kewujudan akuan bersumpah bai'ah talak 3 yang perlu dilafazkan setiap wakil rakyat Kelantan sekiranya menyertai parti lain.

Jelasnya, akuan tersebut diguna pakai sejak 2004 lagi kepada mana-mana wakil rakyat Kelantan jika mahu meninggalkan parti Islam tersebut.

"Ba'iah itu memang betul. Seperti dinyatakan Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Kelantan Datuk Daud Muhammad. Perkara ini bukan main-main," katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Daud sebelum ini berkata, mana-mana individu yang melafazkan dan melanggar sumpah dengan menyertai parti lain, maka perlu membuat pengesahan di Mahkamah Syariah kerana lafaz talak yang diikrarkan itu adalah sah.


Makan najis lembu: Polis tahan lima individu

Posted: 24 Jul 2015 03:04 AM PDT

SINAR HARIAN



'Penyamun' dipaksa makan najis lembu
 
 
KUANTAN - Lima individu ditahan berhubung kes dua lelaki yang disyaki mencuri lembu dibelasah, dipaksa makan najis lembu dan kereta mereka dibakar di Felda Jengka 17, Maran pada Rabu lalu.
 
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Mat Rizal Mat Razi berkata, mereka ditahan di Jengka 15 dan Jengka 17 hari ini.
 
Beliau berkata seorang daripada dua mangsa yang dipukul itu telah dibenarkan pulang dari Hospital Bandar Jengka manakala seorang lagi dipindahkan ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh bagi menjalankan pembedahan tangan.
 
[ARTIKEL BERKAITAN:   Penyamun' dipaksa makan najis lembu]
 
"Namun setakat ini belum terdapat laporan polis dibuat oleh pihak yang lembu mereka dikatakan dicuri.

"Keadaan mangsa yang dibelasah dan dipaksa makan najis tersebar luas di laman sosial dan mendapat reaksi pelbagai," katanya.
 
Mat Rizal tidak menafikan kejadian mencuri lembu kerap berlaku di kawasan tersebut namun jarang dilaporkan.

"Lembu-lembu di kawasan ini biasanya dibiarkan bebas berkeliaran di ladang kelapa sawit. Pemilik hanya mengenali lembu mereka berdasarkan rupa bentuk haiwan tersebut misalnya berdasarkan bentuk fizikal dan warna kulit," katanya. - Bernama
 
 

Raja Bahrin akui dipelawa sertai Harapan Baru

Posted: 24 Jul 2015 02:58 AM PDT

Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad
Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad
 
 
KUALA TERENGGANU – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah mengakui menerima pelawaan daripada kumpulan progresif Pas supaya beliau menyertai Gerakan Harapan Baru.

Beliau yang berada di luar negara ketika dihubungi memberitahu, masih belum memberi sebarang maklum balas berhubung perkara itu buat masa ini.
"Ada orang pelawa saya tetapi saya tak beri apa-apa jawapan," katanya.

Bagaimanapun ketika ditanya lebih lanjut, beliau enggan mengulas sama ada akan menerima atau tidak pelawaan tersebut.

Buat masa ini katanya, beliau hanya aktif dengan penglibatan NGO yang dipengerusikannya iaitu Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) serta Selamatkan Alam dan Warisan Kita (Nusantara).

Raja Bahrin adalah antara wakil rakyat daripada golongan profesional Pas negeri ini yang disebut-sebut sebagai salah seorang yang menyertai Harapan Baru dipengerusikan bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu.


Najib harus saman WSJ seperti Harakahdaily

Posted: 24 Jul 2015 02:49 AM PDT

Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim
 
 
SHAH ALAM – Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini mempersoal Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bertindak mendiamkan diri dari menangkis serangan dari portal antarabangsa, Wall Street Journal.

Katanya,Najib harus melakukan tindakan yang sama terhadap  portal antarabangsa tersebut sebagaimana yang diperlakukan kepada portal media Harakahdaily.

Jelasnya lagi, tindakan undang-undang terhadap portal tersebut wajar diambil memandangkan Wall Street Journal telah mencemarkan nama baik negara.

"Mengapa Najib masih berdolak-dalih dalam mengemukakan saman malu terhadap Wall Street Journal sebagaimana yang dilakukannya kepada Harakahdaily?

"Walhal, impak yang dikemukakan WSJ di dalam Bahasa Inggeris dibaca di seluruh dunia dibandingkan impak artikel di Harakahdaily dalam Bahasa Malaysia yang hanya dibaca rata-rata rakyat negara ini. Malah, artikel di Wall Street Journal bukan sahaja mencemar imej Najib, malah negara kerana kedudukannya sebagai Perdana Menteri," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya lagi, Najib tidak boleh berdalih dalam isu Wall Street Journal kerana kontroversi yang dibawakan oleh portal tersebut memberi impak kepada nilai Ringgit Malaysia.

"Najib tidak boleh berdalih lagi. Jika melibatkan beliau sahaja, tak apa. Tapi kesan kontroversi ini kini dirasai seluruh rakyat jelata dengan impaknya terhadap keyakinan negara dan juga nilai Ringgit.

Portal The Wall Street Journal pada awal bulan ini melaporkan pasukan penyiasat yang melakukan siasatan terhadap dana dan urusniaga 1MDB percaya bahawa pengaliran dana 1MDB berakhir ke dalam akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Terbaharu, portal antarabangsa itu dikatakan telah memuat naik dokumen berupa perincian bagaimana hampir AS$700 juta (RM2.6 bilion) disalurkan ke dalam akaun peribadi Najib, sekaligus mengaitkan pemimpin negara ini dengan dana badan pelaburan tersebut.


Tidak ada perlindungan jika maklumat didedahkan kepada media, kata bekas menteri

Posted: 24 Jul 2015 02:45 AM PDT

RAJINA DHILLON

 

ZAID
Zaid Ibrahim berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada mereka yang terlibat dalam penyebaran maklumat mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sama ada boleh dilindungi di bawah akta itu jika mencuri maklumat. - Foto TRP



KUALA LUMPUR, Perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 akan hilang jika maklumat berkenaan didedahkan kepada media, kata bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim.


"Tidak ada perlindungan. Contohnya, anda hanya boleh mendedahkan maklumat kepada polis atau pihak berkuasa.

"Jika anda pergi ke media yang anda tidak dilindungi. Kedua, jika anda melanggar mana-mana undang-undang, seperti Akta Rahsia Rasmi 1972, sekali lagi anda tidak dilindungi," kata Zaid kepada The Post Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada mereka yang terlibat dalam penyebaran maklumat mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sama ada boleh dilindungi di bawah akta itu jika mencuri maklumat.

"Ia bukan juga untuk melindungi pemberi maklumat. Ia hanya satu lagi undang-undang untuk menjadikan Malaysia kelihatan baik. Mereka tidak berminat dengan semua kebenaran mengenai isu ini," jelasnya.

Terdahulu, beberapa individu telah dipanggil termasuk Tony Pua, Rafizi Ramli dan peneraju The Edge untuk dilindungi di bawah akta kerana mendedahkan maklumat tersebut.

Di bawah seksyen 11, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, menyatakan bahawa agensi penguatkuasaan hendaklah membatalkan perlindungan pemberi maklumat yang diberikan di bawah Seksyen 7 jika ia berpendapat, berdasarkan penyiasatannya atau dalam perjalanan penyiasatannya bahawa, pemberi maklumat itu sendiri telah menyertai kelakuan tidak wajar yang didedahkan itu, pemberi maklumat dengan sengaja membuat dalam pendedahan kelakuan tidak wajarnya suatu pernyataan material yang dia tahu atau percaya adalah palsu atau tidak percaya sebagai benar.

Ia termasuk pendedahan kelakuan tidak wajar itu adalah remeh atau menyusahkan serta pendedahan kelakuan tidak wajar mempersoalkan merit dasar kerajaan terutamanya, termasuk dasar sesuatu badan awam.

Sokong jika Harapan Baru sebuah NGO

Posted: 24 Jul 2015 02:40 AM PDT


Harapan Baru


KOTA BHARU - Penubuhan Harapan Baru mencetuskan persepsi berbeza dalam kalangan pimpinan parti politik negara dan pengikutnya.

Pengerusi PKR Kelantan, Ab Aziz Kadir berkata, pihaknya menyokong sekiranya Harapan Baru didaftarkan atas kapasiti badan bukan kerajaan (NGO).

"Kita sokong jika Harapan Baru sebuah NGO tetapi jika parti politik, mungkin kita di peringkat negeri akan mengikut apa yang diputuskan oleh pimpinan parti di peringkat pusat," katanya.

Ab Aziz mengulas kewujudan Harapan Baru  yang kini dalam proses memulakan siri jelajah yang didakwa terdapat penglibatan pemimpin Pas.

Sementara itu, NGO Angkatan Generasi Melayu Muda (Agenda) menerusi Presidennya, Mohamad Zaidan Abdul Rahim berkata, Harapan Baru tidak memberi kesan langsung, mahupun ancaman kepada Pas.

Menurutnya, Harapan Baru dilahirkan daripada kalangan pemimpin yang kecewa dengan keputusan muktamar Pas yang lalu.

"Ia bukan dari akar umbi, masih terlalu awal untuk mengukur sejauh mana gerakan itu akan mewarnai sejarah politik negara.

"Kewujudan Harapan Baru didokong DAP, jelas membuktikan mereka ada agenda lain. Selama ini Pas tenang semasa adanya Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat tetapi setelah ketiadaan beliau, perpecahan yang pernah dikatakan itu kini menjadi nyata," katanya.

Kewujudan Harapan Baru bukti PR makin lemah

Posted: 24 Jul 2015 02:38 AM PDT

Irmohizam Ibrahim
Irmohizam Ibrahim


SHAH ALAM –  Kewujudan Gerakan Harapan Baru yang dijangka akan sertai gabungan baharu pembangkang menggantikan Pas membuktikan PR kini semakin lemah, rapuh dan tidak dapat mewakili rakyat.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, Harapan Baru ini tidak mempunyai sokongan akar umbi yang kuat.

Katanya, kredibiliti pemimpin yang terlibat dalam Harapan Baru ini ditolak bukan sahaja dalam kalangan parti malah rakyat.

"Harapan Baru ini ditubuhkan hanya atas emosi segerombolan bekas pemimpin Pas yang kecewa akibat disingkirkan daripada barisan kepimpinan parti itu pada pemilihan Muktamar yang lepas dan bukannya untuk berbakti atau mewakili rakyat secara telus.

"Kemelut sebegini sememangnya pernah berlaku sebelum ini seperti penubuhan parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim). Apakah rakyat harus terus mempercayai barisan ahli yang tiada prinsip lemah aqidah?," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor berkata, penubuhan Harapan Baru juga bakal menjadi punca krisis politik termasuk di Selangor.

"Keahlian mereka yang terlibat dalam penubuhan ini akan tergugur secara automatik daripada Pas dan mereka sudah tidak boleh mewakili Pas lagi di Parlimen walaupun masih kekal sebagai Ahli Parlimen.

"Secara etikanya wajar mereka meletak jawatan sebagai wakil rakyat kerana sebelum ini mereka bertanding atas tiket Pas," katanya lagi.


KDN gantung permit dua penerbitan The Edge

Posted: 24 Jul 2015 02:34 AM PDT

KDN gantung permit dua penerbitan The Edgeartawan Sinar Harian
The Edge



SHAH ALAM - Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menggantung permit The Edge Weekly dan The Edge Financial Daily untuk tempoh tiga bulan berkuatkuasa 27 Julai ini.

The Edge dalam satu kenyataan berkata, pihaknya telah menerima surat daripada KDN yang menyatakan laporan mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh kedua-dua penerbitan tersebut 'memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan atau mungkin menimbulkan keresahan  umum atau mungkin memudaratkan kepentingan awam dan negara.'

Turut dinyatakan, surat tersebut juga mengandungi amaran yang berbunyi sekiranya pihak The Edge gagal untuk menghentikan penerbitan selama tiga bulan, ia akan menyebabkan permit untuk kedua-dua penerbitannya itu ditarik balik.

Melalui kenyataan yang sama, penerbit dan ketua pegawai eksekutif Kumpulan Media The Edge, Ho Kay Tat berkata beliau kecewa dengan keputusan itu.

"Kami tidak melihat bagaimana mendedahkan kes penipuan untuk menipu rakyat Malaysia sebanyak berbilion ringgit boleh ditafsirkan sebagai sesuatu yang menjejaskan kepentingan awam dan negara.

"Ini adalah satu usaha untuk menutup operasi kami dengan menutup mulut kami," katanya sambil menambah The Edge akan membawa kes itu ke mahkamah untuk menarik balik penggantungan tersebut.

Sekat atau tidak, Tun M tetap sasar 1MDB

Posted: 24 Jul 2015 02:31 AM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
 
Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau akan tetap menulis tentang isu 1MDB walaupun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat Sarawak Report.

"Saya tetap akan menulis (mengenai 1MDB)," kata bekas perdana menteri itu ketika ditemui pemberita di lobi sebuah hotel di ibu negara hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai reaksinya terhadap kritikan yang dibuat kepada 1MDB selepas akses laman sesawang yang aktif membuat pendedahan mengenai agensi itu, Sarawak Report, disekat SKMM.

Sarawak Report telah disekat oleh SKMM di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 setelah menerima aduan dan maklumat daripada orang awam.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai perjumpaan SKMM dengan pengarang portal berita semalam, Dr Mahathir berkata perkara tersebut membuktikan bahawa tapisan terhadap media memang wujud di negara ini.

"Ada tapisan terhadap media. Secara efektifnya, ada tapisan terhadap media," katanya ringkas.

Dalam perjumpaan dengan pengarang-pengarang portal berita semalam SKMM mengingatkan bahawa tindakan boleh diambil terhadap sebarang pemberitaan palsu atau tidak tepat.

Malah, pengarang portal berita dalam talian juga hari ini diingatkan tidak memaparkan semula bahan daripada Sarawak Report yang telah disekat SKMM.

SKMM berkata tindakan menyebarkan semula laporan yang dibuat portal yang telah disekat itu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tindakan juga boleh diambil terhadap penyebaran maklumat palsu yang boleh menggugat keamanan dan keharmonian sesebuah negara, terutamanya dari segi ekonomi dan keselamatan nasional.

Penggantungan The Edge, Financial Daily dikecam

Posted: 24 Jul 2015 02:28 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Bekas anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Saifuddin Abdullah mengecam tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggantung permit penerbitan akhbar The Edge Media Group.

"Saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan menggantung selama tiga bulan The Edge dan Financial Daily," kata Saifuddin melalui status terbaru di Facebook beliau petang ini.

Status tersebut dimuat naik susulan pengumuman The Edge Media Group mengenai tindakan kerajaan hari ini.

Dalam kenyataan kumpulan media itu menyebut, penggantungan berkuat kuasa selama tiga bulan bermula 27 Julai ini.

KDN dilaporkan bertindak demikian berdasarkan laporan media terbabit dalam isu 1MDB yang didakwa "memudaratkan atau mungkin memudaratkan ketenteraman awam, keselamatan atau mungkin menggemparkan pendapat umum atau mungkin memudaratkan orang awam atau kepentingan awam".

KDN juga memberi amaran menarik balik permit The Edge Media Group jika syarikat itu terus menerbitkan akhbar berkenaan dalam tempoh penggantungan.

Demi kepentingan umum

Sementara itu Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Nik Nazmi Nik Ahmad menganggap tindakan KDN itu melanggar prinsip kebebasan media.

"Kerajaan harus menjelaskan mengapa laporan The Edge berkenaan 1MDB dianggap  memudaratkan dan boleh membawa gangguan kepada keselamatan dan ketenteraman awam atau memberi ancaman kepada keselamatan negara.

"Seperti yang telah disebut berulang kali, kegagalan kerajaan menjawab persoalan-persoalan 1MDB sebenarnya yang mengakibatkan rasa tidak puas hati rakyat dengan keadaan sekarang ini, bukannya laporan media," katanya.

Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) berkata, kerajaan perlu menjelaskan bagaimana laporan The Edge mengenai 1MDB mengancam keselamatan negara.

Dalam kenyataan bersama Pengarah CIJ, Sonia Randhawa dan Jac Kee, pertubuhan itu berpendapat The Edge bertindak atas kepentingan awam dan negara dengan mendedahkan isu berkenaan.

Kata mereka, ia boleh dianggap membawa kepada penubuhan pasukan bertindak khas bagi menyiasat dakwaan itu.

"CIJ meminta KDN menarik balik penggantungan penerbitan The Edge serta-merta dan menghormati hak dan kebebasan bersuara," katanya.

Gerakan Media Marah (Geramm) pula melihat keputusan hari ini sebagai langkah pihak berkuasa mengawal media melalui Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

"Geramm mengulangi gesaan supaya kerajaan memansuhkan akta ini memandangkan ia menjadi alat menghalalkan tindakan ke atas media dalam sebarang pertikaian," kata kenyataan dikeluarkan hari ini.

Pada masa sama, Geramm turut mengambil kira wujud persoalan moral dan etika dalam isu berkenaan ekoran pengakuan The Edge mengenai cara mereka mendapatkan maklumat.

"Namun Geramm berpendapat media perlu mempunyai kebebasan menyiasat sesuatu perkara demi kepentingan umum," kata pertubuhan berkenaan.


Tiada ulasan: