KOTA BHARU - Walaupun Pas Kelantan membenarkan Gerakan Harapan Baru (GHB) membuat perasmiannya di negeri itu, namun mana-mana ahlinya yang terlibat tetap tidak akan lari daripada dikenakan hukuman.
 
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar memberi amaran dan mengingatkan keahlian mereka yang terlibat dalam gerakan tersebut boleh terlucut sebagaimana yang termaktub dalam fasal-fasal perlembagaan parti Islam itu.
 
"Mana-mana ahli Pas yang menyertai parti politik yang lain, keahliannya gugur secara automatik," katanya kepada Sinar Harian, semalam.
 
Beliau diminta mengulas mengenai sebarang tindakan yang akan dikenakan kepada ahli Pas yang dijangka menyertai GHB, yang kini dalam proses memulakan siri jelajah perasmiannya minggu ini.
 
Antara pemimpin besar Kelantan yang didakwa terlibat ialah Datuk Husam Musa, Datuk Kamaruddin Jaffar, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah dan Dr Hatta Ramli, serta tidak kurang juga pemimpin-pemimpin dari DAP dan PKR seperti Lim Kit Siang, Datuk Saifuddin Nasution, Khalid Samad serta ramai lagi.
 
Selepas Majlis Syura Ulama membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan DAP, masih ada beberapa bekas pemimpin Pas yang meneruskan kerjasama dengan PKR dalam PR dan ada yang berpendapat Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) juga turut akan terkesan dengan keputusan tersebut.
 
Mengulas isu berkenaan, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar menyatakan, DHPP adalah sebahagian daripada Pas dan antara sayap penting parti itu walaupun mereka bukan beragama Islam serta masih menyokong perjuangan yang ditekankan Pas selama ini.
 
"DHPP diberi kepercayaan untuk mengambil alih peranan DAP bagi menarik sokongan orang bukan Islam. Kita usaha setakat yang mampu. Bukan semua orang bukan Islam tolak Pas. Masih ramai yang menyokong," katanya.
 
Ketika ditanya mengenai kemampuan DHPP untuk mengambil alih tugas besar tersebut, Mohd Amar berkata, beliau tetap percaya DHPP mampu melaksanakannya kerana perjuangan yang besar bermula dari yang kecil.
 
Sementara itu di SHAH ALAM, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas mahu melihat sejauh mana kesetiaan ahli untuk terus kekal dalam parti itu dan tidak menyertai GHB.
 
Menurutnya, kewujudan GHB hanya memecahkan-belah Pas dan ahli parti itu dituntut agar terus istiqamah dengan keputusan muktamar lalu. 
 
"Untuk keluar daripada parti perlu ada asas yang kukuh. Bukan kerana kita kecewa ataupun tidak puas hati seterusnya keluar parti dan membentuk parti baru. 
 
"Pas melihat ahli perlu mematuhi dasar yang telah disepakati semasa muktamar lalu," katanya. 
 
Beliau berkata, sebarang penubuhan parti baharu perlu mempunyai dasar dan tujuan yang besar. 
 
"Dalam konteks negara ini, saya lihat tidak perlu ada parti pembangkang baru kerana hanya akan timbulkan polemik selain tidak mempunyai nilai tambah kepada PR," katanya.
 
Sehubungan itu, katanya, Pas tidak mungkin akan bekerjasama dengan GHB yang jelas ditubuhkan oleh golongan yang kecewa dengan keputusan muktamar lalu.
 
"Ahli Pas yang tubuhkan GHB sebenarnya telah pun ada dalam Pas. Jadi kenapa kita hendak bekerjasama lagi dengan mereka? Kalau nak bekerjasama, lebih baik mereka kekal dalam Pas dan membantu perjuangan parti.
 
"Dalam PR pula kita akan lihat bagaimana dasar penubuhan GHB dalam muafakat pakatan. Kita buat keputusan kemudian," katanya.