Ahad, 12 Julai 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


TMJ letak jawatan sebagai Presiden PBNJ

Posted: 12 Jul 2015 04:29 AM PDT

TMJ
Tunku Ismail
 
 
TUNKU Ismail Ibni Sultan Ibrahim, mengisytiharkan beliau meletak jawatan  sebagai Presiden Persatuan Bola sepak Negeri Johor (PBNJ) jam 5 petang tadi.
 
Serentak dengan peletakan jawatan itu, Tunku Ismail berkata, Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Ismail  Karim dilantik menjadi Presiden PBNJ yang baharu.
 
"Bagaimanapun segala perancangan, pengurusan kewangan, pentadbiran, pembentukan akademi dan stadium baru serta polisi persatuan akan diteruskan.
 
"Segala perancangan jangka masa panjang dalam sukan bola sepak Negeri Johor termasuk dari segi infrastruktur dan segala yang berkaitan akan tetap dilaksanakan. Sekian, terima kasih. Hidup Johor, demi Johor," kata Setiausaha Kehormat PBNJ, Mohd Fahmy Yahya dalam satu kenyataan, hari ini.
 
Tunku Ismail telah  membuat perubahan besar terhadap bola sepak Johor ke arah yang lebih profesional sejak memegang jawatan tersebut.
 
 

Kenyataan Pengerusi TH satu pembohongan-APANAMA

Posted: 12 Jul 2015 04:26 AM PDT

 
Selepas dua bulan, status penjualan hartanah yang dibeli TH dari 1MDB masih jadi tanda tanya


apanama-trx-TH



PETALING JAYA: Pasukan petugas khas yang menyiasat 1MDB diminta supaya turut menyiasat Lembaga Tabung Haji (TH).

Ia perlu dilakukan kerana sehingga kini urusan penjualannya masih menjadi tanda tanya dan keadaan itu menimbulkan kerisauan di kalangan pendeposit.

"Ingat, wang yang digunakan untuk 'membeli' tanah kerajaan dari 1MDB adalah wang pendeposit dan bukan-nya wang Tabung Haji, Kerajaan ataupun milik mana-mana pemimpin atau keluarga mereka.

Mungkin pihak task force yang menyiasat 1MDB juga harus memberi sedikit tumpuan khusus kepada isu Tabung Haji ini kerana ramai pendeposit sudah mula risau," tulis blogger APANAMA.

Katanya lagi, mereka perlu tahu status pembelian hartanah di TRX yang dikatakan dengan 40 kali ganda dari 1MDB.

Soalnya lagi sekiranya tanah berkenaan dijual semula, TH perlu menyatakan keuntungan dan sekiranya masih belum dijual, ia perlu menyatakan alasannya.

Ekoran pendekatan kunci mulut Pengerusi Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, penulis blog APANAMA menyifatkan kenyataan yang dibuat sebelum ini satu pembohongan.

"Berikut Kenyataan Pengerusi Tabung Haji yang dibuat DUA BULAN lepas pada 9hb Mei 2015, berikutan nasihat Perdana Menteri, hanya PEMBOHONGAN?," tulisnya.

Rombakan Kabinet: Siapa dua Menteri bakal digugurkan?

Posted: 12 Jul 2015 04:23 AM PDT

 
Shafie Apdal dan Shabery Cheek diramal bertukar portfolio manakala Shahrir Samad dikatakan akan dibawa masuk ke Kabinet sebagai Menteri kanan.


kabinet-malaysia-2013xx



PETALING JAYA: Dua Menteri Kabinet dijangka digugurkan menerusi rombakan kabinet yang diramal dilakukan selepas sambutan Aidilfitri.

Akhbar Mingguan Malaysia dalam ruangan Bisik-bisik Awang Selamat pada Ahad meramalkan, salah seorang Menteri yang digugurkan itu akan ditawarkan sebagai Pengerusi di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Akhbar itu turut meramalkan Menteri Pembangunan luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafiee Apdal akan bertukar portfolio.

Shafie, antara pemimpin UMNO yang dilihat tidak senada dengan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kontroversi 1MDB.

Malah, cakap-cakap politik mendakwa skandal pembelian hartanah Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Australia lebih mensasar untuk menjatuhkan reputasi Shafie sebagai Menteri yang bertanggungjawab.

Seorang lagi, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek turut dinamakan akan bertukar pottfolio.

"Jawatan Menteri Sumber Hijau dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel kemungkinan dikosongkan buat sementara sehingga pemilihan semula MIC September depan. Jika itu terjadi, seorang menteri lain akan memangku jawatan tersebut," tulis Awang Selamat.

Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Samad pula dikatakan akan dibawa masuk semula ke Kabinet dan bakal menjadi Menteri kanan.

"Najib tidak boleh ambil mudah. Maka beliau perlukan pasukan baharu yang bukan sahaja dinamik malah komited menyokongnya dalam saat-saat yang sukar dan ketika berdepan krisis.

"Ia juga mesej jelas kepada semua bahawa beliau mahu bangkit daripada dugaan politik yang dihadapi terutama berkaitan isu 1MDB. Malah kemungkinan Najib membuat perubahan drastik tidak boleh ditolak. Mana tahu ada kejutan lebih besar, kita tunggu," kata Awang Selamat.

Hanya pemimpin amanah berani bercakap benar – Mufti Perlis

Posted: 12 Jul 2015 04:18 AM PDT

Beliau menghuraikan ungkapan Abu Bakar al-Siddiq 'Benar itu amanah, bohong itu khianat' mengikut keadaan semasa.


mohd-asri_600



PETALING JAYA: Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin meneruskan siri-siri mengkritik pemimpin negara yang pada pendapat dan pandangannya gagal melaksanakan tanggung jawab dengan baik terhadap rakyat.

Kali ini, beliau yang lebih dikenali sebagai Dr Maza memperli pemimpin yang suka berbohong dan mengarahkan orang lain berbohong bagi pihaknya.

Tanpa menuju kepada sesiapa secara spesifik, katanya, pemimpin yang suka berbohong bukanlah seorang pemimpin yang baik dan amat malang bagi rakyat yang terpaksa hidup di bawah pembohongan itu.

Beliau memetik kata-kata Abu Bakar al-Siddiq pada awal pelantikan sebagai Khalifah Islam yang berbunyi 'benar itu amanah, bohong itu khianat' dan menghuraikannya berdasarkan keadaan semasa.

"Ternyata bahawa pemimpin jika dia bercakap benar maka itulah amanah beliau.

"Apabila beliau berbohong maka itulah bukti pengkhianatan.

"Hanya pemimpin yang amanah sahaja berani bercakap benar sedangkan pemimpin yang khianat terpaksa berbohong dengan segala bahasa dan helah agar pengkhianatan tidak terdedah.

"Lebih dari itu orang lain juga akan dikerahkan berbohong untuknya maka hilanglah kewibawaan dan hiduplah rakyat di bawah pembohong dan pembohongan.

"Demikianlah mendalamnya maksudnya ungkapan Abu Bakar al-Siddiq itu," tulisnya di Facebook.
Dr Maza berkata, walaupun kata-kata itu ringkas namun hakikatnya ia sesuai merentasi zaman dan tempat.

Beliau dipercayai merujuk kepada senario politik semasa yang digemparkan dengan pendedahan demi pendedahan melibatkan Perdana Menteri dan isterinya yang dikaitkan dengan kontroversi 1MDB.


Jangan kait insiden gaduh dengan perkauman! – Polis

Posted: 12 Jul 2015 04:16 AM PDT

BERNAMA

 

lowyat650X360
Polis sudah menahan suspek, warga tempatan berusia 22 tahun, selain mengesan rakan yang lain. Foto Facebook



KUALA LUMPUR- Polis meminta orang ramai tidak mengaitkan insiden pergaduhan di Plaza Lowyat, semalam dengan isu perkauman dan menegaskan tindakan boleh diambil terhadap penyebaran berita palsu sehingga mengganggu keselamatan dan ketenteraman awam.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad, berkata demikian berhubung perkembangan siasatan pergaduhan di Plaza Lowyat yang menjadi viral di laman media sosial hari ini.

"Polis tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap penyebaran berita palsu yang boleh mengganggu keselamatan dan ketenteraman awam mengikut undang-undang yang ada," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kejadian pada jam 7.38 malam itu, Zainuddin berkata, polis sudah menahan remaja lelaki berusia 22 tahun yang dipercayai terbabit, selain mengesan rakan suspek yang lain .

"Kejadian berpunca daripada perasaan tidak puas hati suspek yang ditahan pegawai keselamatan Plaza Lowyat kerana dituduh mencuri sebuah telefon bimbit.

"Pengawal keselamatan bertindak menyerahkan remaja itu kepada pihak polis, lanjutan daripada itu, remaja terbabit menghubungi rakan-rakannya lalu bertindak memukul pekerja di situ dan memecah barang-barang di dalam kedai terbabit yang menyebabkan kerugian dianggarkan bernilai RM70,000," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Muez Abd Aziz, berkata pihaknya turut menjalankan siasatan mengenai dakwaan terdapat penjualan barang tiruan di Plaza Lowyat.

"Kami menghantar petugas untuk membuat risikan sama ada wujud penipuan oleh penjual atau sebaliknya, sekiranya ada penipuan, maka KPDNKK akan mengambil tindakan lanjut," katanya.

Muez berkata, sehingga kini pihaknya belum menerima aduan rasmi daripada pengguna berhubung penjualan barang-barang tiruan di plaza itu, namun pemantauan sentiasa dijalankan bagi menjaga hak pengguna agar tidak ditipu.

Sementara itu, tinjauan di Plaza Lowyat hari ini mendapati kedai menjual telefon bimbit tersebut ditutup buat sementara waktu dan suasana persekitaran kembali seperti biasa.

Seorang penjual telefon bimbit di kedai berhampiran dengan lokasi kejadian, Ivan Lau, 20, menolak dakwaan di laman sosial bahawa peniaga di Plaza Lowyat menjual barang tiruan atau 'klon' kerana ia dibeli terus daripada pembekal yang sah.

"Kalau saya menipu, sudah pasti tiada pembeli datang ke sini…lagipun pengurusan Plaza Lowyat akan ambil tindakan mengenakan denda atau menutup serta-merta kedai yang didapati menjual barang 'klon' di sini," katanya.

Azwan Ali buat hal di Makkah

Posted: 11 Jul 2015 04:57 PM PDT

 
Diva AA dikatakan tidak berpuas hati dengan perubahan jadual perjalanannya dari Madinah ke Makkah.


azwan-ali
Screen-Shot-2015-07-11-at-2.56.27-PM-630x414 

PETALING JAYA: Pengacara kontroversi, Azwan Ali tidak sudah-sudah membuat kecoh apabila dia yang kini sedang mengerjakan umrah dikatakan mengamuk dengan agensi yang menguruskan perjalanannya di tanah suci.

Menerusi status terbaru yang dikemaskini di laman Instagramnya, selebriti yang dikenali menerusi rancangan Melodi itu berang dengan agensi tersebut ekoran satu insiden kelewatan bas jemaah umrah yang bertolak dari Madinah ke Makkah.

Difahamkan bas yang sepatutnya dinaiki Azwan berlepas awal pagi tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya apabila bas tersebut hanya tiba jam 10.30 pagi.

"Dari Madinah ke Mekah, dekat ke? Dah terlajak lebih Asar baru nak masuk Mekah. Memanglah problem, budak tak sekolah pun tahu logiknya.

"Show my whatsapp to your no. 1 bos (tunjuk whatsapp saya pada bos awak) k" tulisnya.

Status yang dikemaskini Azwan itu ditujukan kepada pemilik agensi haji dan umrah yang menguruskannya.
Bagaimanapun salah seorang pegawai agensi yang pernah mengendalikan Azwan tampil memberikan penjelasan.

Jelasnya yang dipetik daripada portal Rotikaya, perubahan jadual memang amalan biasa sejak bertahun untuk bertolak sekitar 10.00 pagi dari Madinah ke Makkah.


01-Azwan-Ali-Mengamuk-Lagi-Kali-Ini-Dengan-Agensi-Umrah-ROTIKAYA-1000x704

"Kenapa saya ingin kongsikan perkara ini, kerana saya pun bekerja sebagai (ejen) menguruskan jemaah untuk menunaikan umrah. Dan dia pernah sekali pergi umrah dengan agensi kami. Kami penat nak layan kerenah dia sebelum pergi dan sampai di sana pun ada yang tidak puas hati," ujar pegawai yang menggunakan nama Samuel Prince di Facebook.


Putus hubungan dengan DAP: Pas Selangor tunggu arahan

Posted: 11 Jul 2015 04:49 PM PDT

 
Kerjasama antara Pas-DAP dalam kerajaan Selangor diteruskan sehingga arahan dikeluarkan oleh Jawatankuasa kerja Pas Pusat.
Iskandar Abdul Samad



PETALING JAYA: Pas Selangor menunggu arahan rasmi daripada Pas Pusat berhubung kerjasama dalam Kerajaan Selangor susulan keputusan Majlis Syura Ulama yang membatalkan tahaluf siasi dengan DAP.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, selagi arahan rasmi tidak dikeluarkan maka pihaknya akan meneruskan kerjasama sedia ada dalam kerajaan Selangor.

"Kami mengesahkan hubungan dan kerjasama dalam kerajaan negeri berdasarkan jawatan EXCO, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Majlis dan ketua kampung. Kerjasama ini diteruskan demi memegang amanah rakyat," katanya menerusi kenyataam di Facebook.

Iskandar berkata, keputusan Majlis Syura Ulama itu telah pun dimaklumkan kepada Jawatankuasa Kerja Pas Pusat mengikut situasi politik semasa.

Setiausaha Majlis Syura Ulama, Dato' Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh pada Sabtu mengumumkan tahaluf siasi dengan DAP dibatalkan kerana tindakan-tindakan provokasi berterusan dan keputusan DAP yang mengecam dan melanggar semangat kerjasama Pakatan Rakyat (PR).

Malah, DAP juga sering kali campur tangan dalam soal aqidah, dasar dan matlamat Pas.

Bagaimanapun, Pas tetap mengekalkan tahaluf siasi bersama PKR.

‘Cable’ apa Pemuda Umno dapat beli tanah di Australia

Posted: 11 Jul 2015 04:40 PM PDT

Oleh: Nadia Hanafi


KUALA LUMPUR- Setiausaha Agung KEADILAN, Rafizi Ramli membidas Khairy Jamaluddin kerana memperlekeh pendedahan berhubung skandal pembelian hartanah oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Ketua Pemuda Umno itu  menyifatkan usaha National Oversight And Whistleblowers (NOW) mendedahkan tiga Exco Pemuda Umno yang terlibat dalam pembelian hartanah itu sebagai bodoh.

"Saya rasa kecewa ketua pemuda Umno yang berpendidikan di Oxford tapi mentaliti politiknya tidak banyak berbeza daripada Pekida (Pertubuhan Kebangsaan Dakwah Islamiah) dan juga rakan-rakan Umno yang tidak berpendidikan di Oxford," sindirnya.

Menurut Rafizi beliau mempersolakan mengapa mereka yang tiada kaitan dengan MARA menjadi orang penting dalam urusniaga itu sehingga berlaku ketirisan RM129 juta.

Jelasnya, berdasarkan kaji selidik dan maklumat tidak rasmi, mereka mempunyai kepentingan perniagaan bersama dan hubungkait dengan Mara, selain sangat rapat dengan pimpinan Umno.

"Jadi saya mempersoalkan 'cable' mana yang dia dapat yang membolehkan mereka ini terlibat dalam urusniaga hartanah ini," katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN.

Isnin lalu, Rafizi mendakwa 5 Pemuda Umno terbabit dalam 3 pembelian hartanah di Australia yang belum didedahkan, iaitu 746 Swanston Street, 333 Exhibition Street dan 51 Queen Street.

Namun katanya, dua Pemuda Umno yang berada dalam syarikat Thrushcross Land Holdings Limited tiada kena mengena dengan Mara tetapi terlibat dalam urus niaga pembelian hartanah di 746 Swanston Street.

Mereka juga dikatakan terlibat dalam syarikat Optimus Capital Sdn Bhd dan Biosis Group Berhad. Individu yang berada dalam Biosis itu pula memegang jawatan kedua tertinggi dalam pergerakan sayap Umno itu.

Pada masa sama, Rafizi yang juga pengarah NOW memberitahu, Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun mengugut untuk menyamannya berikutan dakwaan itu.

"Azwan ugut untuk saman saya. Saya biasa kena saman dan saya rasa saya lebih tahu undang-undang fitnah dari dia. Saya yakin soalan saya tanya tu bukan bersifat memfitnah dan soalan yang sama juga akan ditujukan oleh rakyat," katanya



Anwar dirawat di Hospital Besar Kuala Lumpur

Posted: 11 Jul 2015 04:37 PM PDT

KEADILAN DAILY

 

Anwar 7mmm


KUALA LUMPUR  : Keluarga Ketua Umum KEADILAN, Saudara Anwar Ibrahim dimaklumkan tokoh reformasi itu sekali lagi dimasukkan ke Hospital Besar Kuala Lumpur(HKL) setelah peguam mendakwa keadaan kesihatannya membimbangkan.

Menurut Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil, Anwar dijangka menerima rawatan lanjut dan dijangka ditahan beberapa hari.

"Beliau akan diberi rawatan fisioterapi intensif untuk kesakitan di bahagian bahu, tekanan darah beliau akan dipantau, dan (imbasan) CT scan akan dibuat ke atas buah pinggang beliau," kata Fahmi.

Isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga ketua pembangkang juga telah bertemu dengan Anwar.

Anwar antaranya dikatakan mempunyai masalah ketumbuhan 4cm di buah pinggang,susut berat badan 6 kilogram, otot bahu terkoyak serta masalah artritis kronik.

Peguam juga mendakwa pemeriksaan ketika ditahan di hospital sama sebelum ini tidak mencukupi.

Pas T'ganu sokong tamat kerjasama dengan DAP

Posted: 11 Jul 2015 04:30 PM PDT

SINAR HARIAN
 
 
Pas
 
 
KUALA TERENGGANU - Badan Perhubungan Pas Negeri Terengganu (BPPNT) menyokong penuh keputusan Majlis Syura Ulamak parti itu yang memutuskan untuk menamatkan tahaluf siyasi (kerjasama politik) dengan DAP.  
 
Pesuruhjayanya, Satiful Bahri Mamat berkata, PasTerengganu juga bersedia menghadapi sebarang risiko yang akan tercetus hasil keputusan itu dan akan terus berpegang teguh dengan prinsip perjuangan Islam yang didokong selama ini.
 
"Diharap semua pimpinan dan ahli di peringkat akar umbi berlapang dada dengan keputusan tersebut serta dapatkan maklumat terkini dari pimpinan Pas dari masa ke semasa.
 
"Kita tetap yakin bahawa perjuangan Pas tetap akan memperolehi kemenangan‎ dan paling penting perjuangan ini mendapatkan keredhaan ALLAH, manakala segala rintangan yang dihadapi akan lebih mematangkan Pas dan ahlinya," katanya kepada Bernama hari ini.
 
Beliau mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh mengenai pembatalan kerjasama politik dengan DAP.

Sementara itu, badan perhubungan Pas Pulau Pinang menyeru ahli-ahlinya supaya mendokong penuh keputusan Majlis Syura Ulamak itu.  

Ketua Penerangan Pas Negeri Mohd Yusni Mat Piah berkata sebagai negeri yang terlibat secara langsung dalam pembinaan negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang, sudah pasti keputusan majlis itu akan memberikan kesan kepada ahli dan pentadbiran negeri ini.

Katanya, ahli-ahli Pas Negeri dinasihati agar siap sedia menjalankan arahan-arahan pimpinan parti.

"Usah bertindak melulu dan terburu-buru tanpa menghiraukan arahan parti," katanya dalam satu kenyataan.  - Bernama
 
 

Menteri: Tak benar laman sosial akan ditutup

Posted: 11 Jul 2015 04:28 PM PDT

SINAR HARIAN
 
 
Ahmad Shabery Cheek

Ahmad Shabery Cheek
 
 
KEMAMAN - Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menafikan dakwaan bahawa kerajaan akan menyekat beberapa laman sosial di negara ini.  
 
Dakwaan itu dibuat menerusi penyebaran kenyataan oleh sesetengah pihak tidak bertanggungjawab bagi menimbulkan rasa ketidakpuasan hati kepada seluruh kalangan rakyat negara ini.
 
Menteri berkenaan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyifatkan individu yang menyebarkan dakwaan tersebut tidak bertanggungjawab dan berniat jahat terhadap negara.
 
"Itu tidak benar sama sekali. Saya percaya ada pihak yang cuba kaut keuntungan dengan sebarkan berita-berita sensasi sebegini yang kononnya kerajaan akan menutup laman-laman media sosial di negara ini.  
 
"Dulunya kita pernah mengkaji apabila orang mencadangkan, tetapi saya katakan ia tidak wajar kerana Malaysia adalah sebuah negara demokrasi dengan (orang ramai) boleh menyatakan kewajaran dan pandangan.  
 
"Akan tetapi dalam masa yang sama, ia mestilah tidak mencetuskan huru-hara dan jangan timbulkan kebimbangan dan keresahan orang ramai.  
 
"Jangan bimbang bahawa Facebook, Twitter dan laman-laman sosial lain takkan ditutup. Jangan percaya dengan sebaran itu sama sekali," katanya kepada pemberita selepas program penyerahan bubur lambuk bersempena Program Eksplorasi Sehati Sejiwa 2015 di Hadapan Pasaraya Centre Point Kemaman di sini hari ini.
 
Sebelum ini, heboh diperkatakan di dalam media sosial bahawa kerajaan akan menyekat semua jenis laman sosial seperti Facebook, Twitter, WhatsApp, Instagram dan lain-lain berkuatkuasa 1 Ogos.
 
Beliau berkata: "Tindakan akan kita buat (kepada penyebar) sekiranya melanggar undang-undang.  

"Jangan perlekehkan peraturan kerana undang-undang adalah menjaga keamanan.
 
Misalnya lagu Negaraku yang diubahsuai, orang ramai tidak patut sokong dan 'share' kan perkara itu," katanya.  
 
Dalam majlis tersebut, sebanyak 2,000 bungkus bubur lambuk diagihkan oleh Pejabat Parlimen Kemaman dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) kepada penduduk sekitar kawasan itu.   - Bernama
 
 

Media sosial sukar dikawal

Posted: 11 Jul 2015 04:26 PM PDT

AHMED SYAHRIL ZULKEPLY

 

Computer keyboard with special keys for social media
Pengguna media sosial bijak akan berkongsi berita yang meragukan di laman pihak berkuasa bagi mengelakkan timbul kesan negatif seperti membangkitkan perasaan cemas, pergaduhan dan merosakkan perniagaan orang lain. Foto hiasan TRP



KUALA LUMPUR- Timbalan Pengarah Bahagian Gerak Saraf dan Pengurusan Isu Jabatan Penerangan Malaysia Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Erwin Khairul Ahmad berkata, benar atau palsu sesuatu hebahan media sosial itu sukar untuk disahkan pada hari ini.


"Sekarang zaman pakar teknologi maklumat (IT), pakar-pakar yang belajar melalui Wikipedia dan Google membuatkan kami sukar untuk berdebat dengan mereka.

"Ini kerana, mereka berguru dengan guru yang tidak sah contohnya dalam isu mengenai pesawat MH370, mereka boleh ceritakan teori-teori dan konspirasi yang pelbagai seperti seorang pakar sedangkan mereka hanya mencari maklumat itu dalam laman pencarian," katanya.

Beliau berkata sedemikian dalam ucapannya semasa sesi Dialog Intelektual Belia dan Pengaruh Media Sosial di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras, di sini hari ini.

Erwin Khairul berkata, dua hari lalu pengguna media sosial menviralkan pula cerita Zahra dan kisah itu dikongsi ramai kerana ia menyentuh mengenai denyutan nadi orang muda yang hendakkan kehidupan yang selesa.

"Selain itu, dakwaan yang mengatakan bahawa kerajaan akan menyekat laman Facebook, Whatapps, Twitter dan media sosial lain tidak benar dan ia boleh menggelirukan orang ramai.

"Masa banjir di Kelantan dulu pun, ada yang menyebarkan maklumat tidak benar mengenai penemuan mayat bergelimpangan di Manek Urai sehingga mencetuskan perasaan tidak senang oleh pengguna media sosial," katanya.

Jelasnya, ciri-ciri maklumat palsu adalah berita yang disebarkan itu menggunakan rujukan yang tidak tepat, tidak logik dan memaparkan sumber yang tidak jelas.

"Kenapa mereka menyebarkan berita seumpama itu adalah berkemungkinan mereka mengidap penyakit mental, mahu menjana kewangan sebagai 'keyboard warrior', sekadar suka-suka atau mahu membangkitkan kemarahan tanpa mengira kesan yang bakal belaku.

"Antara kesan lain akibat perbuatan itu boleh mencetuskan perasaan cemas, pergaduhan dan boleh merosakkan perniagaan orang lain," katanya.

Tambahnya, setiap pengguna media sosial perlu bijak menggunakan teknologi ini dan jika menerima berita yang meragukan, janganlah terus dikongsi sebaliknya kongsilah berita itu dengan laman seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), SKMM atau pihak berkuasa lain.

"Setiap maklumat yang ingin dikongsi dalam media sosial perlulah merujuk sumber yang sah.

"Kalau boleh rujuk media arus perdana terlebih dahulu, tunggu kenyataan rasmi dan jangan sebarkan maklumat itu," katanya.

Kebakaran Kampung Chubadak Tambahan: 10 keluarga tinggal sehelai sepinggang

Posted: 11 Jul 2015 04:24 PM PDT

BERNAMA

 

kebakaran650X360
Ketiadaan pili bomba selain cuaca kering dan angin kuat menyebabkan api marak dengan cepat. Foto fail TRP



KUALA LUMPUR,-Tiada lagi kemeriahan Aidilfitri yang berbaki seminggu buat 10 keluarga di Kampung Chubadak Tambahan, Sentul, dekat sini, selepas lapan rumah setinggan di situ hangus dijilat api, petang semalam.


Malah, seorang ibu yang sarat mengandung enam bulan hanya mampu memandang sepi sepasang sepatu baharu milik anaknya, sambil sesekali menggilap kesan hitam yang mengotorinya.

"Ini baru saya beli semalam," kata Haszura Huri – yang mengandung anak kedua – sambil membelek sepatu anak lelakinya yang berusia setahun enam bulan.

"Ingatkan nak bagi anak saya pakai waktu hari raya nanti. Kakak beli tiga pasang kasut untuk dia, tapi dapat selamatkan satu saja. Itu pun macam dah tidak boleh pakai."

Kata Haszura yang tinggal di rumah berusia lebih 40 tahun bersama suami, anak dan ibu mertuanya, beliau dan suami membeli keperluan menyambut hari raya semalam, termasuk karpet bagi membuat kejutan untuk ibu mertuanya, sebelum semuanya hangus dijilat api.

Haszura berkata ketika kejadian, beliau baharu pulang ke rumah dan sedang tidurkan anak, sebelum ternampak asap tebal, dan terus melarikan anaknya dan ibu mertuanya ke rumah kakaknya.

"Selepas keluar dari rumah tak sampai lima minit, api dah mulai marak, dan tak sempat nak selamatkan barangan lain," katanya.

Haszura adalah seorang daripada 47 mangsa daripada 10 keluarga terbabit yang tinggal sehelai sepinggang, apabila api membakar kediaman mereka, kurang tiga jam sebelum berbuka puasa.

Dalam kejadian kebakaran kira-kira 4.30 petang, rumah papan dan batu terbabit gagal diselamatkan berikutan kawasan penempatan setinggan itu tiada pili bomba.

Sementara itu, Ketua Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani, berkata kira-kira 55 anggota Bomba dan Penyelamat dari tujuh balai termasuk bomba sukarela, tujuh jentera bomba dan tiga buah jentera tangka air digerakkan bagi operasi kebakaran berkenaan.

"Kita terima panggilan kira-kira pukul 4.38 minit, dan bergerak sejurus kemudian. Api hanya dapat dipadamkan sepenuhnya kira-kira 6.30 petang.

"Di kawasan setinggan ini tiada pili bomba jadi kita terpaksa menggunakan air daripada kawasan perumahan berdekatan, selain tiga buah jentera tangki air," katanya.

Beliau berkata, cuaca kering dan angin kuat selain faktor rumah separuh kayu dan batu menyebabkan api marak dengan cepat.

Katanya, kebakaran kemungkinan berpunca daripada litar pintas bahagian dapur salah sebuah rumah yang terlibat sebelum merebak ke rumah-rumah lain.

"Bagaimanapun, ini kita akan lihat dari siasatan pasukan forensik, apa yang penting tiada kemalangan jiwa," katanya, menambah bahawa kesemua mangsa akan dipindahkan ke Dewan Komuniti Taman Datuk Senu untuk sementara waktu.

Bahulu masih menjadi pilihan di Aidilfitri

Posted: 11 Jul 2015 04:19 PM PDT

ZALINAH NOORDIN

 

 bahulunorhana940X470

Norhana menyusun bahulu dan kuih raya lain yang dijual di kedainya. Foto TRP/ Zalinah Noordin



PULAU PINANG- Ketika Aidilfitri hanya berbaki lagi lima hari, tempahan kuih bahulu masih tanpa henti, juadah hari raya sepanjang zaman yang bagaikan wajib dihidang setiap isi rumah.


Sejak beberapa minggu lalu, Norhana Mohd Noor, 42, telah menerima tempahan tidak lebih daripada 30,000 biji kuih bahulu dan dia menjangkakan lebih banyak menjelang hari raya.

Sejak 20 tahun lalu, apabila Raya kian hampir, Norhana sibuk menyiapkan tempahan bagi kuih bahulunya yang terkenal, resipi turun temurun daripada emaknya.

"Pada zaman emak saya dulu, tempahan tiba sehingga raya semakin hampir dan ketika itu hanya berharga RM12. Emak buat bahulu untuk jualan dan perlahan-lahan berkembang menjadi perniagaan dari rumah yang menguntungkan.

"Dulu, emak buat bahulu di dapurnya menggunakan dapur arang tetapi kini, kami sudah perluaskan, menggunakan mesin namun, masih mengekalkan resipi sama," katanya ketika ditemui di kedai, Zana Bahulu di Mengkuang Titi.

Kata Norhana, populariti kuih bahulu ibunya menyebabkan beliau mempunyai pelanggang `turun temurun' yang mewarisi tempahan daripada orang tua mereka dan sanggup datang dari jauh semata-mata untuk membeli bahulu di kedainya.
norhanabahulu650X360
Sebahagian ahli keluarga yang membantu proses membuat bahulu di dapur. Foto TRP/ Zalinah Noordin
"Kami juga ada pelanggang baru yang membeli terus dari kedai setiap hari. Namun, kebanyakan pelanggan kami adalah pelanggan tetap," kata Norhana.

Dia mendedahkan rahsia menghasilkan bahulu cerah dan gebu adalah pada proses campurannya.

"Ini adalah bahagian paling membosankan apabila anda harus memastikan bahan-bahan dipukul dengan betul secara berterusan bagi mendapatkan tekstur yang dikehendaki.

"Satu lagi keistimewaan bahulu kami adalah dibakar segar setiap hari tanpa bahan pengaet tetapi jika disimpan baik, ia kekal sehingga beberapa minggu," kata Norhana.

Untuk menghasilkan 30,000 biji bahulu setiap hari, 2,000 telur digunakan selain dua guna tepung dan lima guna gula dicampur dalam tiga penggaul besar, sebelum dibakar dalam enam pembakar.

Kata Norhana: "Kami turut membekalkan kuih bahulu kepada peniaga."

Beliau mengendalikan kedainya sendiri bersama suami sambil dibantu ahli keluarga lain di bahagian dapur, bermula proses campuran bahan sehingga peringkat akhir, pembungkusan produk.

Dengan menawarkan harga RM9 sekotak membabitkan 30 biji bahulu, Zana Bahulu juga menyediakan perasa strawberi, coklat selain nenas berdasarkan permintaan.

Selain itu, kedainya turut menyediakan pelbagai biskut raya seperti tart nenas, biskut almond dan semperit.

MH17: Siasatan masih berjalan

Posted: 11 Jul 2015 04:16 PM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
 
Pasukan penyiasatan jenayah kini mempunyai gambaran lebih jelas mengenai kemungkinan punca tragedi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 di Ukraine pada 17 Julai tahun lepas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata Pasukan Penyiasatan Bersama (JIT) dengan Belanda selaku penyelaras dan dianggotai Australia, Belgium, Malaysia dan Ukraine, sedang meneliti dan menyiasat semua senario dengan terperinci.

"Kerja-kerja siasatan terperinci masih dijalankan," katanya pada upacara memperingati tragedi MH17 di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang hari ini.

Dalam tragedi 17 Julai 2014, penerbangan MH17 itu sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur semasa ia ditembak jatuh di Ukraine, mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal pesawat berkenaan, termasuk 43 rakyat Malaysia.

Majlis itu dihadiri waris dan anggota keluarga mangsa MH17 dan warga MAS.

Hadir sama termasuk isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, menteri-menteri kabinet, pemimpin-pemimpin agama dan perwakilan-perwakilan asing.

Najib berkata kerja-kerja siasatan terperinci masih dijalankan dan ia dipertanggungjawabkan kepada perkhidmatan polis dan pihak pendakwaan bagi mengumpul nahas bukti dalam mengenal pasti punca serta pihak yang bertanggungjawab terhadap nahas MH17.

"JIT menjangkakan siasatan akan diteruskan sehingga sekurang-kurangnya pada akhir tahun ini," katanya.

Tak tuding jari

Najib berkata tujuan penyiasatan jenayah yang sedang dijalankan adalah untuk membawa mereka yang bertanggungjawab mengakibatkan insiden malang itu ke muka pengadilan dan semua mekanisme pendakwaan juga sedang dipertimbangkan.

"Walau bagaimanapun, kita tidak menuding jari kepada mana-mana pihak atas perbuatan itu sehinggalah bukti benar-benar sahih dapat disahkan. Namun begitu, kita mengutuk dengan sekeras-kerasnya tindakan yang tidak berhati perut, tidak bertamadun, bersifat ganas lagi tidak bertanggungjawab itu.

"Kita akan memastikan pihak yang bertanggungjawab ini menerima hukuman yang setimpal," kata perdana menteri.

Najib berkata Malaysia telah membentangkan satu pelan resolusi kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk menggesa tribunal antarabangsa bagi membawa pihak yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat ke muka pengadilan.

Beliau berkata usul resolusi dan tribunal jenayah terbabit melibatkan kerjasama antara kerajaan Malaysia, Australia, Belanda, Belgium dan Ukraine diedarkan kepada 15 anggota Majlis Keselamatan PBB untuk proses undian dilaksanakan.

"Kita berharap agar dengan gesaan berterusan kerajaan Malaysia melalui platform-platform antarabangsa sebegini akan sedikit sebanyak dapat memberi ketenangan kepada ahli keluarga dan rakan mangsa dalam menyampaikan keadilan kepada mereka.

"Ini penting agar ahli keluarga mangsa dapat meneruskan kehidupan mereka secara sebaik mungkin meskipun setelah kehilangan orang yang amat disayangi," katanya. - Bernama
 
 
 

Kit Siang: Maaf atas kematian Pakatan

Posted: 11 Jul 2015 04:14 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Lim Kit Siang memohon maaf kepada orang ramai atas kegagalan Pakatan Rakyat bertahan lebih lama seperti diharapkan.

Berucap di majlis berbuka puasa di Shah Alam malam tadi, Lim berkata, di sebalik "kematian" Pakatan, DAP akan meneruskan perjuangan seperti dipersetujui dalam Dasar Bersama Pakatan.

Kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu, matlamat mereka ialah mencapai matlamat negara yang bersatu, inklusif, progresif dan adil.

"(Dasar Bersama Pakatan) akan terus hidup dan menjadi asas kepada perjuangan DAP untuk mencapai Malaysia baru sehingga tertubuh kerajaan baru di Putrajaya," katanya.

Melihat kepada realiti politik di Malaysia, Lim berkata, tiada mana-mana parti tunggal boleh memerintah.

Justeru, katanya, semua pemimpin politik "progresif dan patriotik" - termasuk dalam BN - perlu bekerjasama menyelamatkan Malaysia.

"Tidak adakah seorang ahli parlimen dari BN atau Umno yang tidak berasa kecewa dengan rasuah, salah guna kuasa, ketidakadilan sosioekonomi dan runtuhnnya urus tadbir baik yang berleluasa ketika ini?

"Saya tidak fikir begitu," katanya.


'Kalau Najib undur siapa ganti?"

Posted: 11 Jul 2015 04:11 PM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
 
Selepas mengadakan protes di Putrajaya semalam, kumpulan mahasiswa hari ini mengadakan bantahan sama di hadapan pusat beli-belah Sogo di Kuala Lumpur.

Kira-kira 30 orang mahasiswa daripada Gerakan Mahasiswa Selamatkan Malaysia berkumpul dalam kesibukan orang ramai untuk menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjawab dakwaan The Wall Street Journal (WSJ).

Selain berucap, mereka juga mengumpulkan tanda tangan daripada orang ramai bagi menunjukkan sokongan untuk mendesak Najib meletakkan jawatan.

Kumpulan mahasiswa itu turut membawa kain rentang bertulis "Mahasiswa tuntut #Najibundur" dan plakad bertulis "Kami sayang negara" serta "Selamatkan negara".

Protes itu turut diwarnai laungan "Hidup mahasiswa" dan "Undur Najib".

Bagaimanapun, seorang lelaki bertopi, berbaju merah dan berseluar pendek menghampiri kumpulan tersebut dan mempersoalkan tindakan mereka menggesa Najib berundur.

Lelaki tersebut mempersoalkan, jika Najib tidak menjadi perdana menteri siapakah individu yang layak memegang jawatan itu.

"Kamu buat ni tak betul. Kalau kamu suruh Najib berundur, kamu rasa siapa yang layak jadi perdana menteri?" kata lelaki tersebut.

Bagaimanapun tiada sebarang pergelutan berlaku dan lelaki berkenaan kemudian beredar selepas bercakap kira-kira dua minit.

Perhimpunan itu berlangsung selama sejam - bermula kira-kira jam 2.30 petang - memang menarik perhatian pengunjung yang membeli-belah di Sogo, malah sebahagian daripada mereka meluangkan masa mendengar ucapan kumpulan berkenaan.

Tuntut kembalikan mandat

Beberapa anggota polis berkawal sepanjang perhimpunan itu berlangsung.

Ketika berucap, Pengerusi Gerakan Mahasiswa Selamatkan Negara Lukman Nul Haqim Zul Razali (gambar) berkata, mereka menggesa Najib memberi penjelasan berhubung dakwaan WSJ yang mengatakan sejumlah wang dimasukkan ke akaun peribadinya.

Jika Najib tidak berbuat demikian, Lukman berkata pihaknya menggesa ahli parlimen Pekan itu meletakkan jawatan dan membubar Parlimen.

"Kita minta Datuk Seri Najib jawab tiga tuntutan kami. Kalau gagal, bubar parlimen dan serah mandat kepada rakyat kembali," katanya.

Minggu lalu, WSJ dan Sarawak Report melaporkan sebanyak AS$700 bilion dimasukkan ke akaun peribadi Najib pada 2013.

Bagaimanapun, Najib menafikan laporan itu dan  telah memulakan proses tindakan undang-undang terhadap WSJ.
 
 
 
 

Dana Aman Palestin dirampas, dituduh pengganas

Posted: 11 Jul 2015 04:06 PM PDT

Aman Palestin
 
 
 
SHAH ALAM – Badan yang giat membantu Palestin, Aman Palestin menafikan tuduhan dibuat Israel yang menyenaraikan badan itu dalam senarai organisasi pengganas.

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Berhad, Awang Suffian Awang Piut berkata, tindakan itu menjadi alasan untuk pasukan rejim tersebut merampas wang dana Al-Aqsa Association untuk program Ramadan hasil sumbangan rakyat Malaysia.

"Aman Palestin sebagai sebuah badan bantuan kemanusiaan antarabangsa menafikan sekeras-kerasnya tuduhan tersebut. Objektif penubuhan Aman Palestin adalah untuk mengumpul dana daripada rakyat Malaysia untuk disalurkan kepada rakyat Palestin yang ditindas secara kejam di tanah air mereka sendiri oleh penjajah Zionis Israel.

"Pertubuhan kami tidak pernah sekali-kali terbabit dalam apa juga aktiviti keganasan mahupun menyokong atau memberi dana kepada mana-mana pihak bagi tujuan keganasan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Portal berita Palestine News Network melaporkan Israel merampas wang sumbangan Al-Aqsa Association selepas Kementerian Pertahanan Israel menyenaraikan organisasi itu dalam senarai pengganas dua minggu lalu.

Menteri Pertahanannya, Moshe Ya'alon mengarahkan Israeli Occupation Forces (IOF) untuk merampas tanpa amaran sejumlah wang yang banyak milik Al-Aqsa Association dari bank.

Dalam pada itu, pihak Aman Palestin mengutuk tindakan merampas wang dana untuk program 'Ramadhan Charity Project 2015' itu yang akan disalurkan kepada rakyat Palestin.

"Aman Palestin menyalurkan dana dikumpulkan semata-mata demi membantu rakyat Palestin menjalani kehidupan dengan membekalkan bantuan makanan, keperluan perubatan, infrastruktur, pertanian serta keperluan asas lain yang telah dinafikan oleh pihak rejim.

"Kami juga mengutuk tindakan pihak rejim Zionis yang merampas wang dana dari akaun bank milik Al-Aqsa Association. Dana ini adalah untuk program Ramadhan Charity Project 2015, di mana hampir 20,000 rakyat Palestin di tanah Palestin '48 tanpa mengira agama akan menerima bantuan dalam bentuk pek makanan, baucer makanan, jamuan berbuka puasa serta sumbangan kepada anak-anak yatim dan fakir miskin," katanya.

Sehubungan itu, pihaknya menyeru agar negara-negara jiran Palestin dan komuniti antarabangsa turut mengutuk tindakan Israel tersebut.

"Aman Palestin berpendirian bahawa pengisytiharan rejim Zionis terhadap Aman Palestin ini adalah taktik terbaru untuk menekan rakyat Palestin agar terus hidup sengsara, iaitu dengan menyasarkan organisasi bantuan kemanusiaan seterusnya menghalang bantuan daripada disalurkan.

"Kami ingin menyeru negara-negara jiran Palestin serta komuniti antarabangsa agar turut mengutuk tindakan ini dan menggesa pihak rejim menghentikan 'harrasment' mereka kepada organisasi bantuan kemanusiaan.

"Aman Palestin berasa terpanggil untuk menjawab dan menyelar fitnah pihak rejim ini semata-mata demi tanggungjawab kami kepada semua penyumbang, serta untuk menjelaskan perkara sebenar kepada masyarakat antarabangsa," katanya.

Tegasnya, meskipun ditekan, Aman Palestin tidak akan sesekali berhenti daripada meneruskan perjuangan suci itu dalam memberikan bantuan, tenaga, masa dan wang ringgit kepada rakyat Palestin untuk mengembalikan hak mereka sebagai sebuah negara yang merdeka.
 
 

Tak perlu khidmat jurulatih luar, kata KJ

Posted: 11 Jul 2015 04:00 PM PDT

SINAR HARIAN
 
 
Khairy Jamaluddin

Khairy Jamaluddin
 
 
KOTA KINABALU - Pengambilan khidmat jurulatih luar semata-mata bagi meningkatkan corak prestasi permainan pasukan bola sepak negara adalah tidak perlu, kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
 
Beliau berkata, meskipun sekiranya khidmat jurulatih luar digunakan dalam membentuk pasukan bola sepak yang kuat namun perkara itu belum tentu menjamin perubahan pada corak permainan pasukan negara.
 
Katanya, peningkatan prestasi permainan negara mungkin boleh dilihat sekiranya pasukan bola sepak sedia ada bersara dan diganti dengan pemain-pemain muda baharu.
 
"Cara mereka (pasukan sekarang) bermain hambar. Kita tunggu mereka bersara baru kita bina pasukan baharu dari kalangan Harimau Muda," katanya kepada pemberita di sini hari ini. - Bernama
 
 

PAS mahu tanding kesemua 59 kerusi DUN Perak pada PRU14?

Posted: 11 Jul 2015 03:55 PM PDT

vsivakumar

Roketkini.


IPOH: DAP menghormati rakan-rakan PAS yang masih meneruskan perjuangan menentang Barisan Nasional tetapi menolak mereka yang mahu memecahbelahkan pembangkang untuk memberi nafas baru kepada rejim BN.

Timbalan Pengerusi DAP Perak, V. Sivakumar berkata, rakyat sedang menanti pembangkang kembali mengambil alih kerajaan Perak melalui pilihanraya untuk membebaskan mereka daripada belenggu kezaliman kerajaan BN.

Namun, katanya, aspirasi dan harapan rakyat negeri Perak bakal dihancurkan oleh pemimpin seperti
Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, yang didakwanya berniat jahat serta bersikap tamak.

Menurutnya, Razman membuat provokasi dalam laman Facebooknya kira-kira jam 1 pagi tadi dengan menyatakan: "Mungkin PAS Perak akan bertanding 59 kerusi dalam pru 14. Menuruskan perjuangan Nabi saw".

"Saya tidak tahu sama ada kenyataan yang dibuat oleh beliau itu adalah setelah berunding dengan PAS Pusat. Walau bagaimanapun, saya juga terpanggil untuk menyentuh tentang keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulama di dalam isu hubungan dengan DAP.

"Dalam mesyuarat yang diadakan pada 10 Julai 2015, Majlis Syura Ulama telah memutuskan bahawa hubungan tahaluf siyasi dengan DAP terbatal. Dalam masa yang sama, PAS mahu mengekalkan tahaluf siyasi bersama PKR.

"Kenyataan Haji Razman untuk PAS bertanding di 59 kerusi DUN Perak juga melibatkan kerusi-kerusi yang ditandingi oleh parti PKR. Jadi, bagaimana pula PAS boleh mengekalkan hubungan tahaluf siasi dengan PKR?" kata beliau dalam satu kenyataan.

Dalam PRU12 pada 2008, PAS Perak bertanding 20 kerusi dan menang 6 kerusi. Dalam PRU13 pada 2013, PAS Perak bertanding 22 kerusi tetapi hanya menang 5 kerusi.

"Pada pandangan saya kenyataan Pesuruhjaya PAS Perak itu adalah berniat memenangkan BN di Perak dalam PRU14. Saya tidak nampak semangat perjuangan yang sebenar untuk menumbangkan BN yang zalim di negeri Perak," tambah beliau. – Roketkini.


Tiada ulasan: