Rabu, 1 Julai 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Masa PRK minyak tak naik, nak raya lain pula cerita

Posted: 01 Jul 2015 03:00 AM PDT


 
 
SHAH ALAM - Dalam keadaan ekonomi yang terus menjerut rakyat, harga minyak negara sekurang-kurangnya perlu kekal atau dikurangkan, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, ini kerana berdasarkan graf harga minyak dunia, ia sebenarnya agak mendatar kepada trend menurun pada bulan Mei ke Jun 2015.

"Ini menimbulkan persoalan apakah peningkatan harga minyak kali ini adalah berkait dengan kejatuhan nilai Ringgit," dakwanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Ujarnya di samping itu,  kenaikan kali ini menonjolkan lagi sikap hipokrit kerajaan dalam menentukan harga minyak bulanan.
"Ketika harga minyak meningkat di bulan April, kerajaan memilih untuk tidak menaikkan harga minyak di bulan Mei kerana bertembung dengan dua pilihan raya kecil iaitu Rompin dan Permatang Pauh ketika itu.

"Cubalah kerajaan melihat sendiri di cermin, jika kerajaan boleh menahan kenaikan harga minyak semata-mata demi pilihan raya kecil, mengapa kerajaan sanggup menaikkan harga minyak ketika harga minyak sedunia turun dan sambutan Hari Raya Aidilfitri bakal menjelang? Apakah nasib Umno di pilihan raya kecil jauh lebih penting daripada nasib seluruh rakyat Malaysia?," katanya.

Menurut Tuan Ibrahim, untuk menghentikan spekulasi dan demi keadilan, Pas menuntut kerajaan mengeluarkan cara perkiraan harga minyak pada akhir setiap bulan sebelum mengisytiharkan harga minyak yang baru pada 1hb bulan berikutnya.

Harga runcit petrol RON95 naik 10 sen manakala RON97  naik sebanyak 20 sen seliter bagi Julai 2015  , namun harga diesel kekal pada RM2.05 seliter menurut Timbalan Presiden Persatuan Penjual Pengusaha Stesen Minyak Malaysia, Datuk Zulkifli Mokti.

Katanya, harga baharu RON95 ialah RM2.15 seliter manakala RON97 sebanyak RM2.55 seliter selepas Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Dalam perkembangan lain Pas menyarankan agar  Plus dan lebuhraya lain turut sama cuti bersama rakyat Malaysia sempena musim perayaan besar selama seminggu bagi membantu meringkan beban rakyat.

"Sekurang-kurangnya ini dapat mengurangkan beban rakyat yang terpaksa menghabiskan minyak kereta yang bertambah mahal di dalam kesesakan.

"Pas yakin kehilangan pendapatan seperti ini tidak akan menjejaskan operasi mana-mana konsesi lebuhraya di negara ini. Anggaplah ini sebagai rebat kepada pelanggan tetap rakyat Malaysia yang tetap setia menggunakan lebuhraya selama ini," katanya.


Kad kredit umpama 'pisau'

Posted: 01 Jul 2015 02:49 AM PDT

kad kredit
 
 
 
KUALA LUMPUR - Sebanyak 2.8 juta permohonan kad kredit diterima institusi kewangan negara tahun lalu.

Timbalan Menteri Kewangan II, Datuk Chua Tee Yong berkata, daripada jumlah itu hanya 1.2 juta permohonan diluluskan.

Menurutnya, langkah itu diambil Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mengawal penggunaan kad kredit khususnya golongan muda.


"Kad kredit ini umpama pisau, jika diguna dengan baik akan beri manfaat tetapi jika di salah guna akan membahayakan," katanya pada Dewan Negara ketika menjawab soalan Senator Datuk Ng Chiang Chin.

Chiang Chin meminta penjelasan menteri apakah tindakan kerajaan bagi mengetatkan syarat pengeluaran kad kredit khususnya pada graduan yang baru bekerja.

Menurut Tee Yong, kerajaan melalui BNM telah mengetatkan syarat pengeluaran kad kredit dengan menaikkan syarat minimum daripada RM18,000 setahun kepada RM24,000.

"Pemegang kad kredit yang berpendapatan RM36,000 setahun atau kurang hanya boleh memiliki kad kredit dari dua pengeluar sahaja serta had maksimum kredit tidak melebihi dua kali ganda pendapatan bulanan pemegang kad.

"Pengeluar kad kredit perlu mengambil kira potongan berkanun seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan cukai pendapatan serta obligasi pembayaran balik hutang semasa, sebelum meluluskan sebarang permohonan kad kredit," katanya.

Jelasnya, BNM juga memberikan tekanan terhadap pendidikan kepada pengguna kad kredit secara berhemah melalui web Bankinginfo dan buku kecil maklumat

Tee Yong berkata,  sejak Januari 2011 hingga Mei 2015 seramai 732,051 telah menghadiri program kewangan di bawah anjuran Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Menurutnya, daripada data Jabatan Insolvensi sebab utama kebankrapan bukanlah disebabkan kad kredit sebaliknya kegagalan menjelaskan  bayaran sewa beli kenderaan dan pinjaman perumahan.


1MDB: Parahnya Krisis Keyakinan Yang Kita Hadapi

Posted: 01 Jul 2015 02:45 AM PDT



Oleh Mohammad Agus Yusoff


Isu hangat dalam politik negara sekarang ialah 1MDB. Ini kerana banyaknya hutang 1MDB yang dijamin oleh negara.Yang menjadi pertanyaan ramai ialah mengapa begitu banyak hutangnya? Apakah jenis perniagaannya? Siapakah yang menguruskannya? Apakah berlaku penyelewengan?

Pelbagai jawapan telah pun diberikan oleh kerajaan tentang isu 1MDB ini. Yang jelas kerajaan memberitahu tidak ada penyelewengan. Dan kerajaan meminta kita menunggu laporan audit untuk mengetahui kedudukan sebenar kewangan 1MDB.

Ironinya, apapun penjelasan kerajaan tentang 1MDB ini kita melihat kesan berikut: nilai saham semakin jatuh, nilai ringgit semakin turun, harga barang semakin meningkat, dan kos hidup semakin tinggi.

Kesemua ini menunjukkan satu perkara: semakin parahnya krisis keyakinan pasaran kepada kepimpinan hari ini. Atasilah.

Lagi soalan untuk Annuar Musa isu Mara

Posted: 01 Jul 2015 02:43 AM PDT

Annuar Musa Annuar Musa
 
 
KUALA LUMPUR - Pusat Pemantauan dan Pendedah Maklumat Nasional (NOW) hari ini mengajukan lagi soalan kepada Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tan Sri Annuar Musa berkaitan pembelian hartanah di Australia yang hangat diperkatakan kebelakangan ini.

Pengarahnya, Akmal Nasir berkata, Annuar ataupun mana-mana pihak yang mempunyai jawapan perlu menjawab kerana isu itu melibatkan kepentingan awam.

"NOW ada soalan cepumas untuk Tan Sri Annuar atau mana-mana pihak jawab. Mengapa Mara meluluskan pembelian 51 Queen Street yang harganya RM18 juta lebih mahal daripada harga pasaran?

"Siapakah yang memiliki 51 Queen Street sebelum Mara Inc (Mara Incorporated Sdn Bhd) membelinya? Dan adakah hartanah keempat iaitu 746 Swanston Street turut melibatkan pembelian pada harga yang lebih tinggi daripada pasaran?," katanya pada sidang media di pejabat NOW, di sini, hari ini.

Terdahulu, akhbar Australia, The Age mendedahkan anak syarikat Mara itu membida harga lebih tinggi bagi memiliki blok apartmen Dudley International House RM51.5 juta kepada RM65 juta.

Isnin lalu, NOW mendedahkan tiga lagi hartanah yang didakwa dibeli oleh Mara Inc di Melbourne, Australia iaitu 746 Swanston Street, 333 Exhibition Street dan 51 Queen Street.

Dalam sidang media hari ini, NOW memetik laporan dana hartanah yang pernah memiliki bangunan 51 Queen Street, Quintessential Equity yang menyebut Mara Inc membeli bangunan 51 Queen Street dari pihak yang tidak dinamakan pada harga RM70.4 juta pada Mac 2013.

"Pembelian ini adalah RM18 juta lebih mahal dari harga yang dibeli dari Quintessential Group of Companies (QGC).

"Ini menunjukkan pembelian 51 Queen Street melibatkan kaedah sama dengan pembelian Dudley International House dan 333 Exibition Street iaitu harga yang dibayar Mara Inc jauh lebih tinggi dari harga pasaran," katanya.

Pada sidang media sama, beliau mendedahkan bahawa lebihan bayaran bagi pembelian tiga hartanah Mara Inc, Dudley International House, 333 Exhibition Street juga 51 Queen Street itu berjumlah RM66.2 juta.

"Jumlah lebihan bayaran bagi Dudley House, RM15.2 juta; 333 Exibition Street RM33 juta dan 51 Queen Street RM18 juta menjadikan jumlah keseluruhan RM66.2 juta.

"Berdasarkan bukti-bukti didedahkan setakat ini, ianya seolah-olah menunjukkan satu modus operasi yang sistematik dan NOW yakin wujudnya unsur pecah amanah," katanya.


Mangsa mercun pertama di Kelantan

Posted: 01 Jul 2015 02:36 AM PDT


 
 
KOTA BHARU - Pelajar tingkatan tiga hancur empat hujung jari kanannya kecuali jari kelingking terkena mercun buatan sendiri dalam kejadian di Kampung Kubang Palas, Wakaf Bharu, Tumpat, malam tadi.

Ibunya, Che Rosmaini Che Sulaiman, 38, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, anak kedua daripada lima beradik, Muhammad Rizaimie Zamri dikatakan bermain bersama tiga rakannya berdekatan rumah mereka.

"Dia keluar ke masjid sesudah berbuka, beberapa minit kemudian saya terdengar bunyi dentuman cukup kuat dan terkejut sebaik mengetahui tentang kejadian menimpa anak lelakinya itu.

"Saya sangkakan budak-budak kampung yang bermain mercun, dan langsung tidak menyangka anak sendiri terlibat sehingga mencederakan, saya hanya melihat kecederaannya di sini (hospital) kerana dia terus dikejarkan ke hospital oleh abang saya serta- merta," katanya kepada media di sini, hari ini.


Harga minyak sepatutnya turun

Posted: 01 Jul 2015 02:34 AM PDT




Oleh RAFIZI RAMLI


Keputusan pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menaikkan harga minyak sebanyak 10 sen bagi RON95 dan 20 sen bagi RON97 menunjukkan jemaah menteri yang ada sudah terpisah sepenuhnya dari suara hati rakyat di bawah.

Kenaikan harga minyak ini berlaku pada kala rakyat sudah pun terbeban dengan kenaikan harga barang terutamanya akibat GST.

Semakan harga minyak mentah dunia bagi sepanjang bulan Jun 2015 menunjukkan penurunan dari harga sekitar AS$66 setong pada awal Jun kepada harga sekitar AS$62 setong di akhir Jun.

Semakan harga RON95 yang dipadankan kepada harga minyak mentah juga menunjukkan bahawa harga RON95 ditetapkan pada RM1.70 seliter bagi Februari 2015 pada kala harga minyak mentah dunia sekitar AS$60 setong.

Ini bermakna apabila harga minyak mentah dunia menurun ke arah paras AS$60 setong seperti yang berlaku di akhir Jun, harga RON95 sepatutnya diturunkan ke arah paras RM1.70 seliter.

Sebaliknya, pentadbiran Datuk Seri Najib Razak menaikkan harga RON95 yang bertentangan dengan paras harga minyak mentah dunia.

Saya telah berulang-ulang kali menegaskan bahawa Datuk Seri Najib Razak mesti menangani masalah kejatuhan nilai mata wang ringgit berbanding dollar Amerika Syarikat dengan segera dan berkesan kerana kejatuhan itu membebankan rakyat melalui dua cara:

1. Harga barang import akan meningkat terutamanya makanan mentah kerana negata masih banyak bergantung kepada import

2. Rakyat tidak akan dapat menikmati harga minyak yang murah hasil dari paras harga minyak mentah yang rendah di pasaran dunia kerana nilai matawang ringgit yang rendah.

Walaupun bukan faktor yang paling dominan, kejatuhan nilai mata wang ringgit menyebabkan rakyat Malaysia menjadi mangsa menanggung harga petrol dan diesel pada harga yang lebih tinggi.

Kegagalan menangani kejatuhan nilai matawang ringgit ini adalah tanggungjawab Datuk Seri Najib Razak sebagai menteri kewangan.

Datuk Seri Najib Razak juga telah membuat beberapa keputusan percukaian yang menambah beban kepada rakyat. Saya telah dedahkan di awal tahun 2015 bagaimana pentadbiran beliau mengenakan cukai tersembunyi ke atas petrol dan diesel sehingga mengutip anggaran RM2 bilion dalam tempoh 3 bulan.

Sejak 1 April 2015 pula, beliau mengenakan cukai GST ke atas setiap rakyat dan sebanyak RM6 bilion telah dikutip dalam tempoh 2 bulan. Ini bermakna cukai yang dikutip dari setiap rakyat bagi pembelian petrol, diesel dan barang keperluan bagi tempoh 6 bulan pertama tahun ini telah melebihi RM10 bilion.

Oleh sebab itu saya mengulangi gesaan saya sebelum ini bahawa kerajaan perlu mengekalkan subsidi minyak, kalau pun dalam bentuk yang berbeza dari amalan sebelum ini.

Saya telah mencadangkan sebelum ini bahawa kerajaan perlu memberi subsidi sekurang-kurangnya 30 sen seliter bagi mengambil kira perubahan kadar matawang dan faktor lain.

Anggaran saya jika subsidi 30 sen seliter bagi setiap pembelian petrol atau diesel ini diperkenalkan, Kerajaan Persekutuan menanggung sekitar RM7 bilion subsidi setahun.

Jika ia diperkenalkan bermula Ogos 2015 ini, jumlah tanggungan kerajaan persekutuan bagi tahun ini hanyalah RM3 bilion berbanding lebih RM10 bilion yang telah dikutip dalam bentuk cukai petrol dan GST dalam tempoh 6 bulan pertama tahun ini.

Ini bermakna kerajaan persekutuan ada kemampuan kewangan untuk menampung subsidi 30 sen seliter ini dan rakyat berhak mendapatkannya kerana rakyat telah membayar cukai tambahan yang tinggi sejak awal tahun ini.

Saya juga akan memfailkan rang undang-undang persendirian untuk mewujudkan Tabung Penstabilan Harga Minyak di Parlimen dalam sesi akan datang.

Mekanisme tabung seperti ini sudah menjadi keperluan mendesak kerana Datuk Seri Najib Razak enggan mengekalkan subsidi minyak.

Saya menyeru supaya rakan-rakan ahli Parlimen dari BN juga menyokong rang undang-undang persendirian ini kerana ia menyentuh kebajikan rakyat terbanyak.

Saya juga akan duduk dengan pelbagai kumpulan termasuk NGO untuk menggerakkan satu kempen mendesak agar subsidi minyak dikembalikan.

Saya yakin Datuk Seri Najib Razak hanya takut dengan gelombang bantahan rakyat dan jika bantahan itu jelas, beliau akan terpaksa mengembalikan subsidi minyak untuk meringankan beban rakyat.


RAFIZI RAMLI naib presiden PKR dan MP Pandan.


Baru dapat rebat tol, harga minyak pula naik

Posted: 01 Jul 2015 02:30 AM PDT


Oleh TUAN IBRAHIM TUAN MAN


Rakyat kais pagi, kerajaan makan. Rakyat kais petang, kerajaan makan juga. Begitulah ibaratnya pengumuman kenaikan harga minyak semalam setelah PLUS mengumumkan rebat tol sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.

Kenaikan harga minyak

Trend harga minyak sedunia sebenarnya agak mendatar kepada trend menurun pada bulan Mei ke Jun 2015 (rujuk graf). Sepatutnya harga minyak negara sekurang-kurangnya kekal atau dikurangkan berbanding paras Mei 2015 (RM1.95) di bulan Jun (RM2.05) dan Julai RM(2.15).

Ini menimbulkan persoalan apakah peningkatan harga minyak kali adalah berkait dengan kejatuhan nilai Ringgit.

Meskipun begitu, kenaikan kali ini menonjolkan lagi sikap hipokrit kerajaan dalam menentukan harga minyak bulanan.

Ketika harga minyak meningkat di bulan April, kerajaan memilih untuk tidak menaikkan harga minyak di bulan Mei kerana bertembung dengan dua pilihan raya kecil iaitu Rompin dan Permatang Pauh ketika itu.

Cubalah kerajaan melihat sendiri di cermin, jika kerajaan boleh menahan kenaikan harga minyak semata-mata demi pilihan raya kecil, mengapa kerajaan sanggup menaikkan harga minyak ketika harga minyak sedunia turun dan sambutan Hari Raya Aidilfitri bakal menjelang? Apakah nasib Umno di pilihan raya kecil jauh lebih penting daripada nasib seluruh rakyat Malaysia?

Untuk menghentikan spekulasi dan demi keadilan, PAS menuntut kerajaan mengeluarkan cara perkiraan harga minyak pada akhir setiap bulan sebelum mengisytiharkan harga minyak yang baru pada 1hb bulan berikutnya.

Rebat tol

PAS mengucapkan terima kasih kepada kesudian PLUS untuk memberikan rebat tol. Namun PAS berharap rebat di hari raya bukanlah pembuka jalan kepada kenaikan harga tol selepas hari raya nanti.

Setiap kali sempena cuti panjang, sebenarnya rakyat kehilangan nikmat menggunakan lebuhraya yang sewajarnya dinikmati melalui kadar tol yang dibayar. Perjalanan di lebuh raya tidak menjimatkan masa malah ada yang terperangkap dalam kesesakan berjam-jam lamanya.

Memandangkan keadaan begitu, apakah mungkin PLUS dan lebuhraya lain turut sama cuti bersama rakyat Malaysia sempena musim perayaan besar selama seminggu? Sekurang-kurangnya ini dapat mengurangkan beban rakyat yang terpaksa menghabiskan minyak kereta yang bertambah mahal di dalam kesesakan.

PAS yakin kehilangan pendapatan seperti ini tidak akan menjejaskan operasi mana-mana konsesi lebuh raya di negara ini. Anggaplah ini sebagai rebat kepada pelanggan tetap rakyat Malaysia yang tetap setia menggunakan lebuh raya selama ini.

(*)  TUAN IBRAHIM TUAN MAN Timbalan Presiden PAS

Semua agama larang pakaian mencolok mata

Posted: 01 Jul 2015 02:27 AM PDT

Ridhuan Tee menyifatkan puak yang membantah kod etika pemakaian sebagai tidak bertamadun


Ridhuan-Tee-Abdullah



PETALING JAYA: Penceramah bebas, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah mencabar puak ultra kiasu dan pihak yang tidak bersetuju dengan etika pemakaian supaya masuk ke gereja atau tokong dengan hanya berseluar dalam.

Dia membuat cabaran itu selepas salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) DAP, Ng Sze Han, yang sengaja menyindir kod etika pemakaian ketika berurusan di pejabat kerajaan.

Mohd Ridhuan Tee turut menyifatkan mereka yang membantah kod etika pemakaian sebagai individu tidak bertamadun.

"Puak-puak jenis ini manusia tak bertamadun. Tidak ada agama yang membenarkan pakaian mencolok mata.

"Elok juga mereka-mereka ini masuk ke gereja atau tokong dengan berseluar dalam sahaja selepas ini jika tidak percaya kepada etika pakaian," katanya lapor Ismaweb.net.

Menjelaskan mengenai perkara itu, beliau yang juga pensyarah di Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) berkata, tidak ada agama yang membenarkan penganutnya berpakaian mencolok mata.

Ridhuan berkata demikian ketika menngulas mengenai status Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara itu, Ng Sze Han di Facebooknya yang menyatakan orang ramai boleh memilih apa sahaja yang ingin dipakainya ketika berurusan dengannya.

Sze Han berkata, mereka bebas memakai pakaian sama ada menutup aurat, kasual, skirt pendek bahkan jika ingin berpakaian gimrama turut dibenarkan.

PAS gesa kerajaan batalkan kenaikan harga petrol

Posted: 01 Jul 2015 02:24 AM PDT

 Oleh Shuhaniza Said

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: PAS mengkritik tindakan kerajaan yang menaikkan harga petrol RON95 dan RON97 dan menyifatkan langkah berkenaan sebagai tidak wajar setelah rakyat dibebankan dengan kenaikan harga barangan setelah pelaksanaan cukai GST, 1 April lalu. 
 
Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, kerajaan sewajarnya mengambil pendekatan yang lebih bijak untuk mengurangkan beban rakyat, apatah lagi sambutan Aidilfitri akan berlangsung kira-kira dua minggu saja lagi.
 
"Kerajaan Malaysia didesak untuk membatalkan kenaikan harga runcit Petrol RON 95 sebanyak 10 sen seliter dan Petrol 97 sebanyak 20 sen seliter serta merta. 
 
"Tindakan menaikkannya adalah sangat tidak munasabah kerana berdasarkan Crude Oil Brent, harga pasaran dunia dalam relatif rendah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
 
Harga runcit petrol RON95 naik 10 sen manakala RON97 sebanyak 20 sen seliter bagi Julai 2015 berkuat kuasa tengah malam tadi. Namun harga diesel kekal pada RM2.05 seliter.
 
Ini menjadikan harga RON95 pada waktu kini RM 2.15 manakala RON97 adalah RM 2.55.
 
Nasrudin dalam pada itu juga membidas tindakan kerajaan yang memaklumkan notis pemberitahuan mengenai perubahan harga minyak hanya akan diberikan kepada pengusaha minyak, setiap hujun bulan. 
 
"Kerajaan Malaysia juga dilihat cuba mengelirukan rakyat apabila mengambil sikap lepas tangan dengan tidak lagi memberikan notis awal kenaikan bahan api ini setiap hujung bulan. 
 
"Ini sekali lagi membuktikan bahawa kerajaan tidak serius untuk membela nasib rakyat apatah lagi untuk mengambil langkah konstruktif mengurangkan beban rakyat," ujarnya.
 
Tambah Ahli Parlimen Temerloh itu, tekanan kos sara hidup dan peningkatan inflasi ini dijangka akan terus berlarutan dan ia akan terus menekan golongan berpendapatan rendah. 
 
"PAS mendesak sekali lagi supaya kerajaan membatalkan kenaikan ini serta merta kerana tidak terdapat justifikasi kukuh," katanya lagi.
 
 
 

Kerajaan Semacam Tak Peka Derita Rakyat

Posted: 01 Jul 2015 02:16 AM PDT



Oleh Abu Hassan Adam 


Kerajaan Malaysia tentulah ada sebab-sebab tertentu mengapa mereka menaikkan harga minyak. Ron 95 naik 10 sen. Ron 97 naik 20 sen. Dan tentulah pihak kerajaan telah begitu bersedia dengan berbagai alasan untuk menaikkan harga minyak. Samada alasan itu alasan yang munasabah atau tidak, kelihatan semacam tidak dipedulikan. Yang pentingnya harga minyak perlu dinaikkan demi untuk 'kepentingan negara'.

Rakyat Malaysia terpaksa akhur dengan keputusan berkenaan walaupun jauh di sudut hati seluruh rakyat Malaysia merasakan bahawa pemimpin kerjaan kini semacam tidak bertimbangrasa atas nasib yang dideritai oleh rakyat ekoran kenaikan harga minyak ini. Hendak disuarakan penderitaan itu, tentulah tidak ada siapa yang ingin mendengarnya. Tambahan pula 'siapa kita' yang boleh mengubah pendirian kerajaan Malaysia yang telah begitu yakin dengan tindakan mereka bahawa kedudukan mereka tidak akan tergugat, walau dengan apa cara sekali pun.

Para pemimpin negara seolah-olah memejamkan mata dan memekakkan telinga apabila muncul suara-suara rakyat yang mengatakan penderitaan rakyat sudah semacam sampai hampir ke kemuncaknya. Rakyat Malaysia yang sentiasa bersabar ini pasti akan terus tersenyum lebar apabila ditanyakan oleh TV atau akhbar dari media perdana tentang kehidupan mereka dengan pengenalan GST. Dan pastinya jawapan dan 'senyuman' mereka adalah sama sekiranya ditanyakan tentang kenaikan harga minyak.

Rakyat Malaysia sememangnya 'hebat' dari segi menyembunyikan perasaan mereka. Orang Melayu khususnya akan tetap tersenyum walaupun dalam derita. Pergilah ke kampung-kampung masih akan terdengar lagi hilai dan gelak ketawa orang Melayu miskin walaupun sebenarnya mereka hidup seperti ayam kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Para pemimpin negara tahu yang orang Melayu di kampung dan di kawasan Felda tidak akan menentang kerajaan kerana para pemimpin negara kita tahu tentang 'ubat dan tonik' yang hendak diberi sekiranya berlaku keadaan demikian.

Bukan sahaja BRIM yang boleh dijadikan ubat dan tonik untuk mententeramkan orang Melayu di kampung ( dan di bandar juga) tetapi kata-kata penawar yang boleh 'menyejukkan' hati golongan sedemikian. Bandingkan sahaja penderitaan yang dideritai hari ini dengan keadaan derita orang Melayu pada zaman pemerintahan Jepun misalnya. Pasti hati orang Melayu akan terubat apabila diberikan 'penawar' sedemikian. Pasti orang Melayu akan bersetuji yang kerajaan hari ini adalah lebih baik berbanding dengan zaman pemerintahan Jepun.

Sebenarnya keadaan negara kita kini dalam keadaan yang amat 'perit'. Mungkin para pemimpin negara kita hanya mendengar tentang keperitan yang dialami oleh rakyat kini tetapi tidak merasai dan mengalami sendiri apakah yang sebenarnya erti 'keperitan' itu. Maknanya mereka tidak faham erti keperitan dan kesusahan yang dialami oleh rakyat. Mereka hanya pandai menyebut perkataan 'derita rakyat' tetapi tidak berusaha untuk mengubahkan keadaan yang menyebabkan rakyat derita.

Derita rakyat belum begitu reda ekoran daripada pengenalan GST, dan kini telah 'diketemukan' pula dengan kenaikan harga petrol pula. Hanya kenaikan 10 sen. Betul. Tetapi para peniaga hanya menunggu peluang sebegini untuk mencarikan alasan menaikkan harga barang. Tidak ramai para peniaga yang ikhlas yang tidak mengambil peluang menggunakan kesempatan ini. Pergilah ke kedai menjual ayam, harga ayam akan naik disebabkan harga petrol naik. Pergilah ke kedai menjual sayur, harga sayur akan naik disebabkan harga petrol naik. Malah peniaga di Pasar Ramdhan pun akan menaikkan harga disebabkan harga petrol sudah naik.

Dan biasanya ekoran daripada kenaikan harga petrol ini, Menteri berkaitan akan memberi amaran kepada peniaga supaya jangan menaikkan harga barang dan sekiranya dilakukan juga tindakan sewajarnya akan diambi. Rakyat semacam sudah jemu untuk mendengar kenyataan-kenyataan sedemikian. Dan jikalau pihak kementerian berkenaan ikhlas dalam menjalankan tugasnya, tentulah sudah ramai para peniaga yang tidak bertanggungjawab itu dihadapkan ke mahkamah. Malangnya sehingga kini hampir tidak kedengaran tindakan yang dijalankan oleh pihak berkenaan.

Akir-akhir ini kelihatan bahawa pihak kerajaan semacam tidak begitu ambil peduli tentang derita rakyat. Rakyat semacam dianggap seperti anjing yang menyalak gunung. Bukan sahaja cerita GST dan kenaikan harga petrol tetapi berbagai penyelewengan lain yang dilakukan seolah-olah menepati apa yang dikatakan seperti 'pat pat siku lipat'. Siapa cepat dia dapat. Sebagaimana yang didakwa oleh pihak-pihak tertentu penyelewengan dalam IMDB belum selesai. Penyelewengan yang dilakukan oleh Lembaga Tabung Haji juga belum selesai. Penyelewengan dalam Felda terus menerus. Kini telah muncul pula kisah penyelewengan yang dilakukan oleh MARA.

Sekiranya betullah apa yang didakwa oleh pihak-pihak tertentu itu, maka jelaslah bahawa para pemimpin kita samada pemimpin politik ataupun pemimpin organisasi memang tidak ambil peduli tentang derita dan perasaan rakyat. Yang boleh 'mencuri' akan terus mencuri dan yang berpeluang menjalankan 'rompakan' akan terus merompak tanpa titik noktah.

Malangnya nasib negara ku. Harap-harap janganlah kita senasib dengan Greece.

Penyakit 1MDB, Felda Merebak Ke Mara?

Posted: 30 Jun 2015 07:03 PM PDT

shahbudindotcom



Setelah didedahkan oleh akhbar The Age berkenaan pembelian apartment Dudley International House di Melbourne oleh Mara dengan harga lebih mahal sebanyak RM13.7 yang kemudian dikembalikan dalam bentuk rasuah melalui sebuah syarikat di Singapura, rupa-rupanya agensi itu juga memiliki tiga hartanah lain di Australia yang dibeli pada 2013 lalu.

Dalam keseluruhan empat hartanah yang dibeli oleh Mara melalui unit pelaburannya yang baru ditubuhkan iaitu Mara Inc Sdn Bhd itu, sejumlah RM375.4 juta telah dibelanjakan bagi tujuan tersebut.

Sebagaimana yang didedahkan oleh Rafizi Ramli selaku Pengarah National Oversight and Whistleblowers atau NOW, selain apartmen di Dudley yang didapati dibeli dengan harga lebih tinggi, sebuah lagi hartanah yang beli oleh Mara Inc juga dibelenggu penyakit yang sama.

Beliau mendedahkan, hartanah di 333 Exhibition Street yang dibeli pada Mac 2013 itu didapati dibayar lebih tinggi sebanyak RM27 juta berbanding harga pasaran.

Woww...baru dua hartanah yang didapati dibeli dengan harga lebih mahal. Bagaimana dengan dua yang lain itu?

Pendedahan ini sekali lagi memburukkan imej agensi tersebut kerana Mara itu sendiri diambil daripada singkatan nama yang cukup murni dan terpuji iaitu Majlis Amanah Rakyat yang tentunya menuntut mereka yang berkuasa harus selalu amanah kepada rakyat dalam setiap sen yang dibelanjakannya.

Dalam aktiviti hariannya melalui tag amanah kepada rakyat itu, Mara secara khususnya menumpukan kepada bidang pendidikan, keusahawanan dan kemahiran bagi melahirkan anak bangsa yang maju dan mampu bersaing dengan kaum-kaum lain.

Lebih-lebih lagi dalam konteks pembelian hartanah di Australia, ia adalah untuk kegunaan pelajar tajaan Mara yang sedang menuntut di sana.

Meskipun siasatan sedang dijalankan dalam kes sebagaimana yang didedahkan oleh The Age itu, tetapi pada pandangan umum isu ini amat memalukan sekali kerana seolah-olah mereka yang mahu mengaut keuntungan secara tidak halal ini tidak peduli sedikit pun sama ada ia berkaitan pendidikan anak bangsa atau sebagainya.

Barangkali jika berkaitan masjid sekali pun, kiranya boleh buat wang, tetap akan dilakukan juga.

Berserta pendedahan The Age dan NOW itu, pihak berkuasa seharusnya melakukan penyiasatan lebih mendalam untuk membongkar kemungkinan berlakunya penyelewengan dan unsur-unsur rasuah didalamnya.

Ini adalah ujian kepada SPRM dan sejauh mana kerajaan benar-benar serius mahu menangani rasuah di negara ini.

Tidak sekadar penyiasatan biasa, sebaliknya siasatan secara forensik sehingga akar umbi perlu dilakukan untuk menyelongkar dan mendedahkan apa saja kecurangan yang mungkin berlaku dan seterusnya membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan.

Belum kering bibir setiap rakyat membicarakan mengenai pembelian IPP dengan harga lebih tinggi oleh 1MDB, begitu juga dengan Felda yang membeli ladang di Indonesia dengan harga lebih mahal daripada pasaran, kini Mara juga seperti dijangkiti penyakit yang sama.

Lantaran itu, tiada pilihan selain membiarkan penyiasatan yang bebas dan telus dilakukan terhadap semua pembelian hartanah Mara ini. Mara harus segera dibersihkan dan dikembalikan kepada fungsi asalnya yang sebenar.

Begitu juga dalam lain-lain anak syarikat Mara, harus diperhatikan sama oleh SPRM dan lain-lain agensi penguatkuasaan kalau-kalau sekarang ini lebih menjadi medan berlakunya "rompakan wang rakyat" daripada membela dan menjaga amanah rakyat.


KDN bincang hantar pulang pekerja asing

Posted: 30 Jun 2015 07:01 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengadakan perbincangan dengan beberapa negara untuk mengeluarkan dokumen perjalanan satu hala dalam usaha menghantar semula pekerja asing tanpa izin pulang ke negara asal.
  
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata perbincangan tersebut diadakan melalui duta negara berkenaan di Malaysia, sekali gus menangkis salah faham yang timbul berkenaan kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh ke negara ini.
  
"Saya minta agar badan bukan kerajaan (NGO) atau agensi pekerjaan dapat memahami hasrat kerajaan ini dengan tidak menyogokkan (berita) bahawa ini adalah tambahan (kemasukan 1.5 juta warga Bangladesh) untuk bekerja di negara ini.
  
"Kemasukan mereka adalah bagi menggantikan pekerja-pekerja asing yang akan dihantar balik ke negara asal," katanya kepada pemberita ketika menghadiri 'The 5th Annual Grand Iftar' melibatkan komuniti Palestin di Malaysia di ibu negara semalam.
  
Beliau berkata demikian bagi membidas dakwaan pihak tertentu yang beranggapan rancangan membawa masuk kira-kira 1.5 juta pekerja warga Bangladesh ke negara ini bagi tempoh tiga tahun sebagai tidak wajar.

Ahmad Zahid berkata kemasukan mereka adalah bagi memenuhi permintaan kekurangan pekerja di sektor pembinaan, perladangan, perkilangan dan industri berat negara.
  
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah, Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), Muslim Imran berharap kerajaan Malaysia akan menawarkan lebih banyak biasiswa kepada pelajar Palestin di sini.
  
Pada 2013, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menawarkan biasiswa bernilai RM400,000 kepada 10 petugas akademik di universiti di Gaza untuk mengikuti pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di UTM.
  
Program biasiswa berkenaan dimulakan sebagai maklum balas terhadap persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menawarkan 100 biasiswa pengajian tinggi untuk penduduk Gaza.
  
Selain biasiswa, Imran dalam ucapannya pada majlis itu, turut meminta kerajaan Malaysia melanjutkan tempoh visa ketibaan untuk rakyat Palestin dari 30 hari kepada tiga bulan.
  
Menurut laporan, pada tahun lepas, rakyat Palestin mempunyai kemudahan bebas visa atau memohon visa di tempat ketibaan di 35 buah negara.-Bernama


 

Mendiang Oniya akan disemadikan di KL

Posted: 30 Jun 2015 06:56 PM PDT

THE RAKYAT POST


Oniya
Pemilihan Kuala Lumpur dibuat berikutan ia merupakan laluan utama untuk masuk ke negara ini, sekali gus memudahkan anggota keluarganya memberikan penghormatan di pusara mendiang berusia 30 tahun itu nanti.



KUALA TERENGGANU-  Mendiang kapten pasukan T-Team, David Faramola Oniya dari Nigeria akan dikebumikan di Kuala Lumpur, demikian diputuskan oleh abang mendiang Andefaramade Oniya.


Beliau berkata keluarganya memutuskan tidak akan membawa pulang mayat adiknya ke Lagos, Nigeria dan sebaliknya memilih Kuala Lumpur sebagai lokasi pengebumian.

Katanya keputusan tersebut diambil berikutan pantang larang budaya mereka untuk orang tua tidak boleh melihat mayat orang muda termasuk urusan pengembumian.

Malah katanya, pemilihan Kuala Lumpur dibuat berikutan ia merupakan laluan utama untuk masuk ke negara ini, sekali gus memudahkan anggota keluarganya memberikan penghormatan di pusara mendiang berusia 30 tahun itu nanti.

"Bagaimanapun, kami masih melihat proses pengembumian di Kuala Lumpur, bila dan di mana akan dimaklumkan kemudian kerana kami hanya ada masa dua minggu di Malaysia," katanya pada sidang media di pejabat T-Team di sini, hari ini.

Pada 13 Jun lepas, Faramola, pemain kelahiran Lagos itu rebah sebelum meninggalkan dunia ketika beraksi dalam perlawanan persahabatan dengan Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baharu.

Pemain itu disahkan meninggalkan dunia akibat komplikasi jantung. Mendiang meninggalkan balu, Lyubov Rogozina, 25, dan anak perempuan Angel, berusia lima tahun.

Sebelim ini, isteri mendiang dan anak tunggalnya sudah memberi penghormatan terakhir kepada mendiang di Bilik Mayat Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Baharu.

Adefaramade dan ejen pemain, Felix Ndukwu serta wakil Persatuan Bola Sepak Nigeria di Malaysia, Micheal Omojuwa tiba di sini semalam untuk menguruskan mayat Faramola.

Mengenai pampasan kepada mendiang adiknya , Adefaramade, 34, berkata mesyuarat mengenai isu itu akan disambung esok dengan pihak pengurusan T-Team.

"Sekurang-kurangnya keputusan kami ini dapat menjimatkan kos penghantaran mayat balik ke Nigeria," katanya.

Menurutnya biarpun pengurusan T-Team membuat tawaran untuk mengembumikan mendiang di negeri ini berikutan sumbangan dan jasa Faramola membantu pasukan The Titans itu, namun beliau menegaskan keputusan Kuala Lumpur sebagai pilihan itu telah dipersetujui ahli keluarganya sebelum ini.

Difahamkan, Adefaramade dan dua rakannya itu akan dibawa oleh pihak pengurusan T-Team hari ini untuk menuntut dan menguruskan mayat di HRPZII. Untuk rekod, Faramola merupakan anak ketiga daripada enam adik beradik.

Pembeli untung RM26j dari jualan hartanah Australia

Posted: 30 Jun 2015 06:25 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Pembeli tidak diketahui didakwa mendapat keuntungan A$9 juta (RM26 juta) hanya dalam tempoh enam bulan dengan menjual pejabat di Melbourne kepada Mara Inc Sdn Bhd, dakwa anggota parlimen Pandan Rafizi Ramli.

Berdasarkan dokumen yang dibocorkan padanya minggu lepas, Rafizi berkata, Majlis Mara meluluskan pembelian harta tanah 333, Exhibition Street dengan nilai A$31 juta (RM89.7 juta) pada 21 Februari, dengan pemerolehan dilakukan pada 29 Mac 2013.

Bagaimanapun, berdasarkan laporan syarikat harta tanah Quintessential Equity, Mara Inc menandatangani kontrak jualan untuk harta tanah sama pada A$22 juta (RM63.7 juta) pada Oktober 2012, dan menyelesaikan jualan dengan pembeli yang tidak dinamakan pada awal Februari tahun berikutnya.

"Ini jelas membuktikan bahawa pembelian 333 Exhibition Street ini melibatkan kaedah yang sama dengan pembelian Dudley House, iaitu harga yang dibayar oleh MARA Inc adalah jauh lebih tinggi dari harga pasaran," kata Rafizi.


Projek RM10 juta, JPJ dapat cuma RM1 juta

Posted: 30 Jun 2015 06:19 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menerima keuntungan kasar RM1 juta hasil premium daripada hak yang diberikan kepada Yayasan Patriot Negara Malaysia (YPN) melelong nombor plat istimewa "Patriot".

Ia adalah sebahagian kecil daripada pungutan kasar yang dianggarkan sebanyak RM10 juta diperoleh YPN melalui jualan 9,999 nombor plat istimewa itu.

Perkara itu diakui oleh Presiden Yayasan Patriot Negara Malaysia(YPN) Datuk Nadzim Johan kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

JPJ tidak akan rugi apa-apa, kata Nadzim, sebaliknya membuat keuntungan walaupun YPN gagal menjual nombor plat berkenaan.

Beliau berkata projek itu dianugerahkan kepada JPJ melalui rundingan langsung ketika Datuk Seri Hishammuddin Hussein menjadi menteri pengangkutan sebelum ini.

Presiden YPN Brigadier General Datuk Husainay Hashim pula berkata tidak pernah mengeksploitasi perhubungannya untuk mendapatkan projek daripada bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Husainay sebelum ini bertugas sebagai setiausaha kerja Umno.

Beliau menegaskan tiada apa-apa untuk disembunyikan dan mengalu-alukan perkara sama diajukan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri.


Siapa di belakang nombor plat mahal 'Patriot'?

Posted: 30 Jun 2015 06:18 PM PDT

MALAYSIAKINI




 
 
 
Yayasan Patriot Negara Malaysia (YPN) mensasarkan antara RM10 juta dan RM15 juta untung daripada jualan nombor plat kenderaan yang bermula dengan perkataan "Patriot"

Bagaimanapun, skim itu menimbulkan tanda tanya selepas lelongannya dibuat oleh sebuah NGO dan bukan kerajaan.

Lagi pula, harga permulaan untuk "Patriot 1" ditetapkan pada RM1 juta – paling mahal dalam sejarah Malaysia.

Laporan media menyebut bahawa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberikan kebenaran kepada YPN menjalankan bidaan. Nombor plat itu diperkenalkan bagi menyemai semangat patriotisme.

Timbalan Pengerusi YPN Datuk Nadzim Johan mengakui NGO itu turut mendapat faedah kewangan daripada skim itu, tetapi enggan menghuraikan lanjut bagaimana ia dikongsi dengan JPJ.

Beliau juga mendedahkan bahawa lima orang sedang mengintai nombor plat "Patriot 1". Ketika tulisan ini disediakan, bidaan sudah mencecah angka RM1.3 juta.

Setakat ini, bidaan nombor plat paling tinggi dibuat oleh Sultan Johor Sultan Ibrahim Ismail yang membayar RM520,000 untuk mendapatkan "WWW 1" pada 2012.

Dua tahun kemudian, Sultan Ibrahim juga mendapatkan nombor "W1N" dengan bidaan bernilai RM748,000.

Untuk bidaan nombor plat bermula dengan perkataan Patriot, pembida harus membayar RM20 yuran keahlian menjadi Briged Patriot, menurut laman erb YPN.

Bidaan yang bermula 1 Jun lalu akan berakhir hari ini.

JPJ masih tidak menjelaskan kenapa urusan itu diserahkan kepada YPN.

Tanya menteri

Ketua pengarahnya Datuk Ismail Ahmad enggan mengulas perkara itu dan berkata soalan itu sepatutnya diajukan pada Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Ketiadaan jawapan-jawapan itu mengundang kritikan sama ada amalan kronisme terlibat dalam urusan bidaan itu.

Ketika laman automotif popular Paultan.org menulis tentang skim itu, ramai pengguna Internet membangkitkan perkara sama.

"NGO atau kroni-kroni?" tulis seorang pengguna maya menggunakan nama 'George Abdul.

Nadzim bagaimanapun menafikan perkara itu.

[Baca berita asal]


Laporan tambahan oleh Geraldine Tong.
 

ADUN: Pakai apa saja janji jangan telanjang

Posted: 30 Jun 2015 06:13 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara Ng Sze Han mungkin mahu menempa kontroversi baru dengan memperolok-olokkan kod etika pakaian di pejabat kerajaan.

Beliau memuat naik gambar di Facebook memaparkan notis cara berpakaian untuk berurusan di pejabatnya yang membenarkan sebarang bentuk pemakaian "selagi tidak berbogel".

"Anda dialu-alukan berskrit mini atau berseluar, baju tiada lengan dan apa saja yang anda selesa, selagi tidak berbogel.

"Anda tidak akan diberikan kain sarung atau tuala.

"Kami hormat kebebasan anda dan kebebasan cara berpakaian," menurut gambar notis yang dimuat naik semalam.

Beliau juga memuat naik tujuh cara berpakaian yang dibenarkan sebagai panduan untuk pengguna.

Ia termasuk gaya kasual (gambar berseluar pendek), profesional (berdasi dan tali leher), tradisional (pakaian Melayu), pakaian ketat, anggun (berkain belah ke paha) dan pakaian sukan (ala ahli gimnastik).

Bergambar dengan tuala, sarung

Malah, dimuat naik juga gambar beliau dan beberapa orang bergambar dengan notis itu, kain sarung dan tuala sambil tersenyum.

Sebelum ini, tindakan seorang wanita diminta memakai kain sarung ketika berurusan di pejabat kerajaan mencetuskan kontroversi di alam maya.


Begitu juga dengan gambar wanita yang lain bertuala yang disebarkan meluas serta insiden hampir sama melibatkan wartawan di bangunan kerajaan negeri Selangor.

Tidak cukup dengan itu, kaedah pemakaian ahli gimnastik negara Farah Ann Abdul Hadi juga dikritik banyak pihak walaupun beliau mengharumkan nama negara dengan membawa pulang pingat emas dalam kejohanan baru- baru ini.

Sementara itu, tindakan Ng itu berpotensi menimbulkan kembali kontroversi sekitar cara pemakaian yang mula reda itu.

Sementara itu, diminta mengulas tindakannya itu, Ng berkata sebagai pusat khidmat masyarakat, mereka tidak akan berpaling daripada sesiapa pun hanya kerana pakaian.

"Saya hendak ulang apa Tun Mahathir (Mohamad) cakap beberapa hari lalu, apabila menjalankan perkhidmatan awam, semua orang dialu-alukan tidak kira cara penampilan mereka," katanya kepada Malaysiakini.

Tumor 4cm: PM arah rawatan untuk Anwar

Posted: 30 Jun 2015 05:47 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengarahkan rawatan wajar diberikan terhadap bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang merengkok di Penjara Sungai Buloh.

"Saya ambil maklum kesihatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan saya mahu pihak berkenaan memastikan beliau menerima rawatan sewajarnya," kata Najib di Twintter hari ini.

Peguam Anwar hari ini menggesa pihak berkuasa untuk mengeluarkan bekas ketua umum PKR itu bawah tahanan rumah bagi membolehkannya mendapat rawatan kesihatan.

Sivarasa Rasiah dan Jared Genser berkata kesihatan Anwar semakin teruk dan amat membimbangkan setelah susut berat badan 6 kilogram.

Mereka juga berkata terdapat ketumbuhan 4cm di buah pinggang Anwar, otot bahunya terkoyak serta masalah artritis kronik.

Perkara itu disimpulkan mereka selepas Anwar dimasukkan ke Hospital Besar Kuala Lumpur dua hari pada 2 Jun lalu.

Peguam Anwar berkata keadaan panas dan lembab dengan pengudaraan minimum memburukkan lagi masalah kesihatannya.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun selepas disabitkan kesalahan meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan oleh mahkamah.


Menteri janji jawab isu MARA dalam seminggu

Posted: 30 Jun 2015 05:43 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


MARA akan menjawab dakwaan isu yang melibatkan urusan pembelian pangsapuri di Melbourne, Australia yang melibatkan agensi itu pada minggu hadapan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata beliau akan mengadakan sidang media berhubung perkara itu dalam majlis berbuka puasa anjuran MARA di German-Malaysian Institute (GMI).

"Perkara (berkaitan) MARA saya akan hebahkan semasa buka puasa MARA pada 7 hari bulan," katanya kepada pemberita selepas majlis buka puasa anjuran kementeriannya di INFRA, Serdang.

Sebelum ini laporan akhbar Australia The Age mendedahkan bahawa MARA membelanjakan A$22.5juta (RM65 juta) untuk membeli sebuah blok pangsapuri "The Dudley" di Melbourne.

Pembelian, yang antara lain melibatkan bekas ahli politik, didakwa terlebih bayar dengan jumlah A$4.75juta (RM13.7 juta).


Ia bukan pemilihan MIC, kata Subra

Posted: 30 Jun 2015 05:40 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Datuk Seri Dr S Subramaniam menyifatkan pemilihan yang dipanggil oleh Datuk Seri G Palanivel sebagai "bukan pemilihan MIC".

Dr Subramaniam, yang mengaku beliau adalah pemangku Presiden MIC, berkata: "Itu adalah pemilihan sebuah organisasi bukan kerajaan. Terdapat hanya satu siri pemilihan MIC."

Beliau menasihatkan pengerusi cawangan dan anggota-anggota parti supaya mengemukakan kertas pencalonan mereka pada 10, 11 dan 12 Julai ini.

"Jika tidak, 3,400 cawangan mungkin tidak berfungsi," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Interim 2009 di ibu pejabat MIC di ibunegara semalam.

Dr Subramaniam berkata cawangan-cawangan yang berdaftar sethingga 2012 dan telah membayar yuran ahli sehingga 2015 dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam pemilihan.

Beliau berkata pengerusi cawangan akan dimaklumkan mengenai pemilihan menjelang akhir minggu ini dan pemilihan cawangan akan berlangsung dari 20 hingga 26 Julai.

"Saya yakin 90 peratus daripada pengerusi cawangan akan mengemukakan kertas pencalonan," kata beliau.

Kelmarin Palanivel yang menegaskan beliau masih presiden parti itu, menetapkan September ini bagi pemilihan presiden dan 24 hingga 26 Julai bagi pemilihan peringkat cawangan. - Bernama


 

Rakyat M'sia perlu bersedia hadapi cuaca lebih panas

Posted: 30 Jun 2015 05:38 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Rakyat Malaysia perlu bersedia menghadapi cuaca lebih panas berikutan monsun barat daya yang sedang melanda negara ini.

Ketua pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), Datuk Che Gayah Ismail berkata musim monsun itu akan membawa cuaca panas dan kering, manakala musim kemarau diramalkan berlanjutan hingga September.

"Hanya terdapat sedikit hujan, terutama pada awal pagi di kawasan pantai dan kawasan di selatan Selangor," katanya kepada Bernama semalam sambil menjelaskan bahawa keadaan cuaca mungkin bertambah buruk serta mengakibatkan jerebu sekiranya terdapat pembakaran terbuka secara berleluasa.

Pemerhatian rambang di ibunegara semalam mendapati keadaan agak berjerubu, tetapi, menurut Che Gayah, keadaan itu mungkin kerana tiada hujan sejak beberapa hari lepas.

Beliau berkata ia bukan berpunca daripada aktiviti gunung berapi di Gunung Sinabung di Sumatra Utara, walaupun abu gunung berapi menuju ke arah tengah Semenanjung Malaysia dengan ketinggiannya ketika melalui Semenanjung adalah lebih 6,000 kaki.

Berdasarkan imej terbaru satelit Pusat Meteorologi Khas ASEAN (AMSC), tiada tompok panas dikesan di Semenanjung Malaysia, tetapi terdapat masing-masing dua di Sabah dan Sarawak.

Semakan dengan Jabatan Alam Sekitar mendapati kesemua 52 kawasan yang dibuat pemantauan kualiti udara di seluruh negara semalam menunjukkan Indeks  Pencemaran Udara berada pada paras baik dan sederhana.

Sementara itu, presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr Ashok Philip berkata musim panas sekarang boleh mengakibatkan penyahhidratan sekiranya manusia banyak berpeluh dan tidak minum cukup air.

Katanya, keadaaan itu boleh berlaku walaupun mereka tinggal di tempat teduh, manakala keadaan lebih teruk akan menimpa mereka yang terdedah secara langsung kepada cahaya matahari.

"Apabila kadar penyahhidratan meningkat, seseorang yang terjejas akan mula berasa lemah, pening dan tidak menentu atau keliru kerana tekanan darah mula menurun dan suhu tubuh pula meningkat.

"Untuk sentiasa berada dalam keadaan sejuk dan bagi mengelak daripada masalah berkaitan haba, minumlah banyak air," katanya kepada Bernama melalui emel semalam, sambil menjelaskan bahawa mereka yang mengalami penyahhidratan perlu berpindah ke tempat sejuk dan minum banyak air.

"Beringatlah agar tidak meninggalkan seseorang dengan bersendirian di dalam kereta yang tidak bergerak dengan penghawa dinginnya ditutup dan tingkapnya pula tidak dibuka - suhu boleh meningkat dengan mendadak kepada lebih 50 darjah Celsius akibat kesan rumah tanaman," katanya.

Dr Ashok juga menasihati mereka yang berpuasa supaya sering minum air pada waktu malam dan menambah pengambilan bendalir sebelum memulakan puasa.

Kata beliau, walaupun langkah itu mungkin menimbulkan keadaaan yang agak tidak selesa kerana boleh menyebabkan seseorang itu kerap ke tandas, tetapi itulah yang perlu dilakukan untuk terus berasa sejuk dan sihat. - Bernama


 

Masih gagal hasilkan keputusan isu PR Selangor

Posted: 30 Jun 2015 05:35 PM PDT

SINAR HARIAN


 Azmin Ali Azmin Ali - Foto Sinar Harian
 
 
 
SHAH ALAM - Perbincangan pemimpin DAP Selangor dengan Menteri Besar Mohamed Azmin Ali hari ini tentang kemelut hubungan antara parti itu dengan Pas dalam kerajaan negeri tidak mencapai sebarang keputusan.

Pengerusi DAP Selangor Tony Pua berkata berikutan perjumpaan dengan Timbalan Presiden PKR selama hampir setengah jam itu, satu lagi perjumpaan akan diadakan selepas hari raya Aidilfitri.

Namun hasil daripada pertemuan itu, pihaknya kini lebih jelas mengenai kedudukan wakil-wakil daripada DAP, Pas dan PKR dalam pentadbiran kerajaan Selangor, katanya kepada pemberita di lobi Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Ketika ditanya sama ada pemimpin DAP menyokong pentadbiran Mohamed Azmin, Pua berkata pihaknya tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan Adun Bukit Antarabangsa itu.

"Isunya bukan sebab kedudukan Azmin sebagai menteri besar. Kita ada bincang mengenai kedudukan Pas untuk kekalkan Selangor kepada PR namun tiada keputusan dicapai," katanya.

Sementara itu, Mohamed Azmin menafikan pentadbiran kerajaan Selangor dilanda kemelut seperti yang diuar-uarkan sebaliknya memberi jaminan akan terus membangunkan negeri ini.

Katanya pertemuan dengan DAP adalah perjumpaan berkala bagi membincangkan beberapa perkara dan menyifatkan ia berjalan dengan harmoni walaupun tidak mencapai sebarang keputusan.

Pada 16 Jun lepas, DAP mengisytiharkan PR yang terdiri daripada parti itu, PKR dan Pas tidak lagi wujud apabila Muktamar Pas baru-baru ini memutuskan hubungan dengan DAP dilihat 'membunuh' pakatan itu.

Namun, pada 21 Jun lepas, Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail  berkata kerjasama dan semangat dalam menjalin hubungan kerja antara ketiga-tiga parti itu masih diteruskan.

Pas pula menerusi Majlis Syuranya setakat ini dijangka memuktamadkan cadangan memutuskan hubungan dengan DAP selepas Aidilfitri nanti. - Bernama


Isu air: Hanya satu perkara belum selesai

Posted: 30 Jun 2015 05:30 PM PDT

SINAR HARIAN


Azmin Ali Azmin Ali
 
 
SHAH ALAM - Kerajaan Selangor memberi jaminan proses penstrukturan semula industri perkhidmatan air negeri itu akan dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat memandangkan hanya satu perkara lagi yang perlu diselesaikan.

Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu sedang cuba diselesaikan pihaknya dengan kerajaan Persekutuan setelah perbincangan lanjut dilakukan dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (Kettha) minggu lepas.

"Saya sudah jumpa menteri (Datuk Seri Dr Maximus Ongkili) untuk bincangkan tiga perkara yang masih dipertikai dan ia dapat diselesaikan. Namun satu saja perkara lagi belum dipersetujui kedua-dua pihak. Saya sendiri sudah berjumpa dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) untuk minta pandangan tentang pendekatan yang kita ambil dalam hal itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin enggan menyatakan perkara yang sedang cuba diselesaikan itu.

Pada 17 Jun lepas, kerajaan Persekutuan menggesa kerajaan Selangor meneruskan kerjasama bagi menjayakan penstrukturan dan pelaksanaan projek Loji Rawatan Air Langat 2 (LRAL2) seperti yang telah dipersetujui kepimpinan negeri sebelum ini.

Menurut Ongkili, sekiranya perjanjian tersebut masih tidak menemui jalan penyelesaian, kerajaan Persekutuan boleh mengambil alih kawalan operasi pengagihan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mengikut Seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.

Tindakan itu adalah susulan daripada penangguhan beberapa kali yang dibuat Mohamed Azmin termasuk kemungkinan membatalkan perjanjian tersebut pada Mac lepas atas alasan Putrajaya melanggar terma Perjanjian Utama yang ditandatangani pada 12 Sept 2014.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Azmin berkata, pihaknya kini sedang bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan membina Projek Mitigasi 2 bagi mengalihkan bekalan air bersih dari kawasan utara Selangor ke selatan negeri itu.

Katanya, kerja tersebut yang dijangka siap pada September ini adalah bagi menampung permintaan tinggi bekalan air mentah di kawasan selatan Selangor selain mengelakkan daripada berlakunya catuan air.

"Kita alihkan air kerana kapasiti air di kawasan utara melebih permintaan dan menerusi projek ini, kita yakin dapat menangani masalah bekalan air pada masa depan.

"Cuma buat sementara waktu, bagi beberapa kawasan pada masa ini yang mengalami kekurangan bekalan, kita arahkan Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor) terus salurkan air bersih kepada pengguna," katanya.

Mohamed Azmin berkata, pihaknya turut membina tangki-tangki air di kawasan yang sering mengalami gangguan bekalan sebagai langkah jangka panjang menangani masalah tersebut.  - Bernama

Harga runcit petrol RON95, RON97 naik

Posted: 30 Jun 2015 05:28 PM PDT

SINAR HARIAN


minyak
 
 
 
KUALA LUMPUR - Harga runcit petrol RON95 naik 10 sen manakala RON97 sebanyak 20 sen seliter bagi Julai 2015 berkuat kuasa tengah malam ini.

"Namun harga diesel kekal pada RM2.05 seliter," kata Timbalan Presiden Persatuan Penjual Pengusaha Stesen Minyak Malaysia Datuk Zulkifli Mokti ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata harga baharu RON95 ialah RM2.15 seliter manakala RON97 sebanyak RM2.55 seliter selepas Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

"Harga tersebut berkuat kuasa mulai 12.01 pagi, 1 Julai ini," katanya. - Bernama


Akur nasihat Arka, Azwan Ali minta maaf

Posted: 30 Jun 2015 05:23 PM PDT

Azwan Ali
 
 
KURANG 24 jam dari tempoh seminggu yang diberikan, selebriti kontroversi negara, Azwan Ali‎, akhirnya tampil membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi laman akaun sosialnya, malam tadi.‎
 
Petikan status di Facebooknya menunjukkan tanda-tanda perdamaian nyata mengejutkan semua pihak, terutamanya netizen yang sebelum ini pedas menyindir Azwan.
 
Sebaik umat Islam berbuka puasa semalam, Azwan secara terbuka meminta maaf dan menyatakan rasa hormatnya terhadap  Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah‎ yang terdahulu, memberi amaran keras untuk membuat laporan polis terhadap kelantangannya menghina orang Melayu.
 
"Bila Ayah cabar Azwan Ali? Tak jadi masalah..Bersaksikan lebih 82,500 followers (pengikut), saya Azwan Ali meminta maaf jika ada pihak yang terus tersingggung! Azwan Ali seorang yang hormat orang tua seperti ayah.‎
 
"Tidak ada masalah langsung (walau sebesar hama) dan ‎harap bersifat terbuka. Hentikan isu yang telah diperbesarkan oleh pihak ketiga yang tidak bertanggungjawab," katanya.
 
Abdul Rani atau lebih dikenali dengan panggilan Ayah Arka memberikan tempoh seminggu bagi selebriti itu untuk membuat permohonan maaf sebelum laporan polis dibuat.
 
 
Menurut Arka, amaran itu bertujuan melindungi kedaulatan institusi Diraja serta menjaga kepentingan orang Melayu di negara ini.
 
Sementara itu, tambah Azwan lagi: "Bak kata Ayah, ini hari baik, bulan baik. Kepada semua Melayu khasnya si batu api, tolong muhasabah! Azwan Ali tidak gentar untuk berdepan dengan apa juga kebenaran.
 
"Baca terima maaf Azwan Ali dan stop all the nonsense! (hentikan semua hal mengarut!)," katanya lagi.
 
Kontroversi bermula apabila  Azwan yang menggelar dirinya Diva AA meminta cadangan lokasi restoran yang kurang dikunjungi ramai Melayu untuk menikmati hidangan steak menerusi akaun Twitternya.
 
Tweetnya itu turut mendapat respons dari seorang pengikutnya, @NurAziraWA yang secara ringkas menjawab 'menate'.
 
Selebriti dan bekas hos televisyen itu yang tersalah tafsir jawapan tersebut terus menyerang dan menghina wanita berkenaan.
 
Namun, @NurAziraWA tidak cepat melatah dan menjawab bahawa dia hanya merujuk sebuah restoran yang diberi nama 'Menate' dan bukan mengutuk.
 
"Maksud saya Steak House Menate," jawabnya.
 
Salah faham itu mendapat pelbagai reaksi dari netizen lain selepas 'screen shot' perbualannya dengan selebriti itu menjadi viral di media sosial.
 
 

Tiada ulasan: