Rabu, 8 Julai 2015

.

.


Penyertaan empat anak muda beri suntik kepada PKR

Posted: 08 Jul 2015 12:28 AM PDT

ULASAN                                                                                                            

Rafizi mengumumkan kemasukan empat anak muda ke PKR.
Pengumuman secara rasmi penyertaan seorang penceramah bebas dan tiga pimpinan mahasiswa ke dalam PKR hari ini memberi petanda jelas bahawa perkembangan dan pergolakan dalam Pas waktu ini tidak menjadi perhatian golongan muda.

Hari ini Wan Jin Wan Husin penceramah bebas dan bekas ahli jawatankuasa Dewan Ulama Pas Selangor bersama Ahmas Syukri Razab, Mohammad Zaki Abdul Shukor dan Muhammad Hasny Hasni diumumkan menyertai PKR.

Kemasukan rasmi mereka itu diumumkan Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli.

Penyertaan keempat mereka itu terutamanya tindakan Wan Ji meninggalkan Pas memberi kesan kepada Pas secara tidak langsung menggambarkan parti agama itu tidak diminati oleh golongan muda.

Paling merujakan beberapa hari lalu dua aktivis pemuda Pas, telah mengumumkan keluar dari parti itu dan menyertai DAP. Penyertaan Zulhazmi Sharif dan Sheikh Omar Ali ke dalam DAP itu satu pukulan buah Pas. Dipercayai tindakan mereka sebagai protes kepada perubahan kepimpinan dalam Pas yang kini dimonopoli seratus peratus golonagan agama, konsevertif yang dipilih secara "seraga ayam".

Pembawaan kepimpinan baharu Pas yang kuat berpegang kepada "fakeh politik" menjadikan anak-anak muda takut untuk menyertainya kerana berasakan mereka tidak layak untuk berada dalam parti agama kerana berpendidikan bukan Islam pure yakni tradisi dan keluar dari pengajian institusi Islam.

Mungkin mereka terfikir kalau pemimpin hebat seperti Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub, Husam Musa dan lain-lain sanggup diketepikan kerana beranggapan mereka tidak Islamik apa lagi mereka, golongan muda yang mempunyai fikiran terbuka dan kontamporari, makin tidak mendapat tempat.

Paling ironis lagi dengan tindakan mereka itu, tidak ada mana-mana anak muda yang boleh dianggap pimpinan golongan muda menyertai parti agama itu sebagai mengalu-alukan kehadiran kepimpinan baharu Pas dan juga kejayaan Pas mengembalikan Pas kepada tapak asal yang penuh kosevertif dan menjadikan Pas sebagai elit agama.

Sehubungan dengan penyertaan empat anak muda ke dalam PKR itu ia memberi aset tambahan kepada PKR kerana penyertaan mereka itu akan menjadi ikutan anak-anak muda lain. Penyertaan mereka itu juga menafikan tuduhan bahawa PKR parti yang kian mengecil dan melukut di tepi gantang.

Sebaliknya sekiranya PKR berjaya menguruskan kekuatan parti itu ia boleh muncul sebagai parti pilihan anak-anak muda yang sudah cuak dan cemuh dengan parti penguasa khasnya Umno. [wm.kl.3:21 pm 08/07/15]

Apakah "nota persefahaman" sudah mulai dikaji?

Posted: 07 Jul 2015 10:06 PM PDT

REAKSI                                                                                            

Pergolakan yang berlaku dalam Pas hari ini nampaknya tidak membimbangkan seorang Naib Presiden Pas, Idris Ahmad (foto) yang parti itu akan kehilangan kerajaan mereka di Kelantan. Idris berkeyakinan kerajaan Pas Kelantan akan dapat dipertahankan.

Alasan mudah diberikan oleh beliau, keyakinan itu berdasarkan kepada orang Kelantan mempunyai sentimen yang tinggi kepada agama.

Selain itu Pas Kelantan juga mempunyai ahli yang ramai? Apakah sentimen keagamaan itu akan menyelamatkan kerajaan Pas kali ini? Dan benarkah Pas mempunyai keahlian yang ramai? Dakwaan ini perlu dihuraikan mendalam secara empirikal.

Saya tidak tahu apakah keyakinan dilontarkan Idris itu sebagai satu penyedap mulut untuk mengawal perasaan rakyat agar tidak tergugat sokongan terhadap Pas dengan apa yang berlaku kini. Atau pun berdasarkan kajian ringkas beliau atau pun ada maklumat dalaman yang bersifat sulit?

Mungkin beliau ada data-data tertentu sehinggakan mezahirkan keyakinan itu. Atau mungkin juga beliau mengetahui maklumat sulit yang tidak perlu didedahkan? Sudah tentu sebagai salah seorang pemimpin tertinggi Pas yang terlibat dengan membuat perancangan dan penentu hala tuju parti beliau ada maklumat lebih.

Saya berbeza pendapat dengan Naib Presiden Pas yang baharu ini mengenai peluang Pas di Kelantan. Walaupun kedudukan Umno Kelantan masih tidak padu waktu ini, tetapi ia bukan helah untuk tidak menaruh kebimbangan keanihan yang akan berlaku. Sekiranya perkembangan dalam Pas kini tidak dapat dibendung, Pas Kelantan tidak sekukuh apa yang diperkatakan Idris itu.

Dengan mengambil kira, kalau Pas Kelantan tidak berpadu, tidak berkerjasama dengan Umno dalam pilihan raya, dan kebetulan pula perkembangan hari ini tidak dapat dibendung, Pas dalam keadaan sangat bahaya. Tetapi kalau Pas berkerjasama dengan Umno, mungkin Pas akan dapat menyelamatkan kerajaan mereka di Kelantan seperti diyakini Idris.

Kedudukan dan senario politik kedua parti itu hari ini, Pas boleh menyelamat Umno, Umno boleh menyelamatkan Pas. Dalam konteks nasional, Pas boleh menjadi pemangking kepada Umno untuk mengekalkan dan menambahkan undi Melayu. Kebanyakan undi Pas di kawasan luar bandar ialah orang-orang Melayu. Sekiranya berlaku kerjasama, mereka boleh saling bertukar undi dan kukuh mengukuhi antara satu sama lain. Jadi tali hayat bersama.

Namun situasi itu tidak berlaku di kawasan campuran dan juga kawasan bandar.  Kawasan campuran dan bandar tidak akan terkesan dengan kerjasama Umno - Pas itu. Hampir seratus peratus kawasan bandar dan kawasan campuran akan diboloi oleh pembangkang.

Manakala dalam konteks Kelantan pula, sekiranya Pas bekerjasama dengan Umno mereka boleh menghadapi pilihan raya secara bersama. Kerjasama akan mengelakkan keduanya berlawan di antara satu sama lain. Ini menghindari berlaku pecah undi. Musuh Pas bukan Umno lagi dan sebaliknya. Perlawanan secara tradisi tidak akan berlaku lagi.

Apa yang akan berlaku ialah Pas - Umno akan berhadapan dengan parti pembangkang. Ertinya berlaku pertandingan dua penjuru. Pas Kelantan selamat sekiranya berlaku pertandingan dua penjuru, apa lagi kalau dua penjuru itu Pas duduk bersam Umno. Tetapi kalau terjadi pertandingan tiga penjuru, Pas akan kalah, sebaliknya Umno akan menang besar.

Gambaran akan berlaku kerjasama politik antara Pas dengan Umno sangat jelas dari pihak Umno apabila mutkhir ini pemimpin Umno mengambil pendekatan tidak menyerang Pas. Media massa yang dulunya "berkeluk" menyerang Pas kini semacam sudah bertaubat. Mereka juga jadi sangat mesra dengan pemimpin Pas.

Tertakdir wujud parti baharu, ianya adalah compingan daripada Pas. Parti baharu ini akan memberi ancaman kepada Pas. Mereka akan mencuri penyokong Pas, lebih banyak daripada penyokong Umno. Sementara orang atas pagar yang sudah fobia dengan Umno dan beralih kepada Pas, juga akan membuat perhitungan semula.

Keadaan inilah Pas akan kekurangan undi, dan parti itu akan kalah. Pas tidak perlu kehilangan banyak darah ekoran tertubuhnya parti baharu itu cukup 10 atau 20 persen undinya lari sudah padan untuk menewaskan Pas.

Apa yang pernah berlaku pada tahun 1978 apabila tertubuh Berjasa yang merupakan compingan daripada Pas, akhirnya menyebabkan Pas yang menguasai Kelantan tewas dan hanya dapat mengekalkan satu kerusi sahaja di DUN Manek Urai, dan kerusi Parlimen Pengkalan Chepa. Apakah sejarah ini akan berulang?

Berbalik kepada keyakinan Idris Ahmad tadi, apakah beliau melihat dalam PRU ke-14 nanti Pas akan berkolobrasi dengan Umno? Apakah beliau ada maklumat atau pun sudah menerima salinan "nota persefahaman" antara kedua buah parti itu? Berdasarkan keyakinan Idris itu seakan dia sudah mengetahui sedikit sebanyak apa yang akan berlaku.

Kesimpulannya, perwujudan parti baharu serpihan Pas nanti mencemaskan kerajaan Pas Kelantan, melainkan Pas bergabung dengan Umno. Dan apabila Idris menyeru agar bekas-bekas pimpinan Pas tidak menubuhkan parti baharu, beliau menyedari akan bahaya itu. Namun itu saya nampak sekadar seruan sebagai melindungi sesuatu yang orang ramai masih tidak tahu, ia mungkin berhubung dengan "nota persefahaman" itu.

Sebab itulah Idris nampak yakin bahawa kerajaan Pas Kelantan tidak akan tumbang kerana nota itu sedang dimuktamadkan? [wm.kl.12:51 pm 08/07/15]

Tiada ulasan: