Selasa, 7 Julai 2015

.

.


Mungkin Mahathir sedang berbicara panjang dengan Muhyiddin

Posted: 07 Jul 2015 03:35 AM PDT

ILUSI                                                                                                                    

Barang kali sebaik sahaja Jawatankuasa Khas yang menyiasat dakwaan WSJ berhubung berlaku pengaliran wang 1MDB sebanyak USD600 juta mengumumkan enam akaun milik orang tertentu yang dipercayai kepunyaan Najib Razak dibekukan semalam, Dr Mahathir Mohamad terus menghubungi Muhyiddin Yassin.

Mungkin dalam percakapan itu Mahathir meminta Muhyiddin bersiap sedia untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Najib. Buat permulaan ialah memangku jawatan perdana menteri.

Iya, sekiranya siasatan selanjutnya menemui bukti lebih jelas bahawa akaun yang dibekukan itu sah milik Najib tidak teragak-agak lagi Najib dengan penuh sukarela perlu berundur atau pun setidak-tidaknya bercuti. Kalau beliau bercuti Muhyiddin akan dilantik menjadi pemangku perdana menteri.



Reputasi Najib ketika ini sangat buruk dan ia membusuk bukan sahaja maruah keluarganya, tetapi negara juga.

Seperti mana kata Mahathir isu Najib dengan isu 1MDB mengotorkan negara ini.

Kebusukan yang diruapkan oleh Najib bukan sahaja kepada hidung parti pembangkang tetapi ikut sama memasuki ke lubang hidup pimpinan dalam kerajaan sendiri. Hampir 50 peratus menteri Kabinet dari semua fraksi sudah mulai sangsi kepada Najib.

Pendedahan dibuat oleh jawatankuasa khas itu menyebabkan para pembela Najib tidak dapat berbuat apa-apa lagi. Mereka dengan sendiri kena menghentikan senanam duduk bangun, bangun duduk mempertahankan Najib.

Yang menganggotai jawatankuasa itu bukan sembarangan. Ia terdiri daripada Peguam Negara, Ghani Petail, Gebenur Bank Negara, Zetti Aziz, Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar dan Pengerusi SPRM Abu Kassim. Semuanya bertaraf negara. 

Mungkin ramai orang sedang menanti apa komen Bung Mokhtar, Abdul Rahman Dahlan, Ahmad Maslan, Shahrir Abdul Samad, Annuar Musa, Musa Azis, Syed Ali Alabsi dan lain-lain berhubung pembekuan enam akaun itu.

Sehingga jam 6:12 minit petang ini belum ada apa-apa komentar daripada mereka. Tampaknya mereka masih berpuasa tanpa sahur mengenai hal ini. Yang ada hanya dari ketua Perkasa(m) yang meminta bersabar menunggu siasatan lanjut dan dalam masa sama menghentam pemimpin DAP dan PKR, serta mengecualikan pemimpin Pas, kerana katanya dia ada hajat dengan Pas.

Berbalik kepada kemungkinan Mahathir menghubungi Muhyiddin tadi, mungkin juga Mahathir minta TPM datang berjumpanya malam ini. Kalau malam kelmarin Najib mengadakan perjumpaan sulit bagi membincang masalahnya, mungkin malam ini giliran Mahathir pula. Mahathir akan mejadi lead merangkakan tindakan seterusnya bagi pihak Muhyiddin.

Jaga-jaga dan pakat lihat malam ini ke mana orang-orang seperti Shafei Afdal, Ahmad Zaid Hamidi, Khairy Jamaluddin, Mukhriz Mahathir, Annuar Musa, dan beberapa yang lain berbuka puasa atau pun berqiamulail untuk menanti "lailatu qadar." Sama-sama pakat perhatian.

Esok atau lusa pasti akan ada satu kenyataan bersama menggemparkan dikeluarkan meminta Najib Razak bercuti dan mendesak supaya Muhyiddin memangku jawatan Perdana Meteri. Kita tunggu. [wm.kl.6:24 pm 07/0715]

Malam lailatu qadar Najib sudah tiada erti lagi

Posted: 07 Jul 2015 02:56 AM PDT

POJOK PETANG - Qublaikhan (3)

Nampaknya sepuluh malam terakhir Ramdhan ini bukan merupakan saat-saat dinanti dan membahagiakan perdana menteri Malaysia Najib Razak. Pengumuman oleh jawatankuasa khas, mengenai pembekuan enam akaun yang dipercayai terlibat dalam menarik masuk wang 1MDB, benar-benar menganggu kosentrasi Najib untuk beribadat.

Mungkin bagi Najib soal mengejar "lailatu qadar" tidak menjadi kepentingan utama lagi. Doa-doa panjang beliau selepas solat mungkin meminta agar dirinya terbabas dari malapetaka yang berlaku sekarang ini.

Desahan kata dan persepsi bahawa dia telah melakukan jenayah mungkin terngia-ngia di telinganya. Mungkin serentak itu juga mata Najib telah ternampak jejak besi dan tembok batu. Atau pun dia terkelih kelih dan ternampak nampak yang Anwar Ibrahim sedang memanggilnya.

Cuma Kublaikhan hendak minta pihak keselamatan negara perlu perketatkan pintu keluar dari negara ini. Semua sempadan dan laluan tikus juga hendaklah ditutup serapi mungkin. Begitu juga kawalan di pelabuhan dan lapangan terbang serta pengkalan haram seperti di sungai Golok dan Munduk.

Jangan ada mana-mana halekopter terbang malam atau jet peribadi dibenar berada dilandasan untuk take off. Kepentingan rakyat dan negara perlu diutamakan.

Terfikir dalam kepala Kublaikhan, kalaulah formula persaraan Najib yang dikemukakan sebelum April lalu seperti mana MSO tulis dalam blognya diikuti, mungkin Najib dan Rosmah masih boleh sambut Aidifitri seperti biasa dan sempat bergaya dengan fesyen baju raja 2015.

Qublaikhan - sudah cari daun palas untuk buat ketupat.

Anwar: Penjara Bukan Pusara

Posted: 06 Jul 2015 09:11 PM PDT

PROGLOG                                                                                                           

SUDAH lebih lebih 100 hari Anwar Ibrahim meringkuk dalam penjara dihimpit keseksaan dan dimamah kehancuran. Beliau menanggung segala keseksaan dan derita bersendirian. Dia mengulik nestapa diri dan membangun kekuatan jiwa kesendirian. Namun, dia tidak pernah menyesal terhadap apa yang berlaku. Jauh sekali berputus asa dan kecewa. Suaranya tetap bergema dan memecah tembok batu memesankan salam dan menebarkan seruan jihad setiap masa terluang. Lawan tetap lawan...

Anwar: Penjara bukan pusara.
Anwar tidak pernah pasrah kepada takdir, beliau tidak mahu sampai ke pita penamat dalam perlarian juangnya yang sudah dilewati ribuan kilometer.

Reformasi membela rakyat diteruskan. Api refomasi yang dinyalakan 17 tahun lalu tidak akan mudah padam, selagi ia tidak membakar lumat menjadi debu segala penyelewengan, ketidakadilan, kezaliman pemerintah ke atas rakyat, ia diteruskan.



Ternyata, walaupun ramai kawan-kawan yang menjadi pemegang atau pembakar obor reformasi bersamanya sudah melarikan diri kerana tidak betah menahan panas api, tetapi ia tetap menyala dan hangat. Mereka yang lari itu adalah sang pengecut yang oportunis mencari sebuku dua gula dan setitik madu untuk memaniskan hidup.

Api berunggunkan di jantung hati itu tidak akan dipadam, terus dihembus dan ditup ke segenap jagat nusa bangsa. Tiada kepayahan bagi seorang pejuang baginya untuk menyuntik semangat itu.
Jeriji besi dan tembok batu bukan jadi pelerai jiwanya dengan pejuang dan ia tidak bisa mematikan harapan berkobar rakyat. Semangat juangnya tetap terpanggung atas atmajiwa. Bagi Anwar penjara bukan penamat segalanya.

Dia tidak memperdulikan sakit. Sangsara baginya adalah makanan dan pencaroba bagi seorang pejuang. Dia tidak melayan rindu dendam kepada isteri, anak-anak dan lebih-lebih kepada cucu-cucunya. Usia sepertinya, cucu adalah permainan yang menghiburkan. Cucu adalah bunga-bungaan yang mewangi hidup seorang datuk dan nenak.

Keletah dan gelak tawa cucu-cucu senantiasa menyirai dimata dan menjadi pengubat kelenguhan dan lelah. Namun itu tidak pernah mengheretnya ke pinggir duka dan air matanya tidak tumpah kerana keranuman cinta. Mungkin juga kolam matanya sudah gersang disedup mentari cabaran dan dugaan perjuangan sepanjang zaman yang silih berganti.

Tetapi ada perkara yang tersumbat sendut dihatinya. Jiwanya menjadi lara dan lirih, apabila mengenangkan medan juang yang dianyamnya. Pergolakan di luar menyebabkan dia risau dan resah menyekang mata mencari makna dan ikhtiar penyelesaian. Doanya menjadi panjang bukan untuk kebebasan dirinya, tetapi demi menghentikan gelora yang memanjangkan musim pertapaanya yang membantutkan mengapai kemerdekaan rakyat.

Wadah berupa tikar terbang keramat bernama Pakatan Rakyat yang dibentangkan untuk rakyat hasil tajaanya kesekian lama, sudah robek dan carik. Dukanya untuk ini lebih dalam daripada kekesalannya atas kezaliman menimpa dirinya. Kalau dia tiba-tiba tersendu dan tersenguk dipalang pintu penjara, inilah isbabnya.

Dari tembok batu Sungai Buloh, orang tidak memahami apakah resah dan kesalnya paling besar, melainkan kepada kepunahan tikar hikmat itu. Bahtera yang dibina bersama yang menulang aspirasi rakyat kini sudah tercabut layar dan sauhnya putus menyebabkan teroleng-oleng ditengah laut tanpa bisa diistirehatkan, apa lagi untuk terus maju ke destinasi hujung. Tikar atau bahtera itu kini berjalan sendiri mengikut jalur kabur tanpa kelasi yang memandunya. Ia terserah nasib kepada alunan dan bedalan ombak ganas di samudra luas.

Itulah duka panjang dan dalam Anwar bin Ibrahim. Yang mengacakan rasa pilu di hujung hatinya. Kenapa semua itu harus berlaku? Apa dapat difahami, ini terjadi sesudah beliau "tiada", apabila fizikalnya "disendur" dalam penjara. Jadi ternyata sebelum ini beliaulah yang menganyam segala harapan rakyat, yang menjahit perca-perca cita rakyat kemudian disatukan atas sebidang wadah bernama Pakatan Rakyat untuk menjadi landasan menentang kezaliman penguasa.

Kalau bukan dia, mungkin tikar hikmat itu tidak wujud. Dan sesudah dia "tiada" ia musnah. Ini mencerminkan pakatan itu dibentuk bukan atas kesatuan hati dan kepaduan harapan luhur, tetapi kerana elemen kepuraan-puraan. Ia bersatu lantaran menghormati gamitan beliau. Pantaslah Tuhan tidak membenarkan tikar hikmat itu melayang mengapai kemenangan pada pilihan raya lepas.

Di sinilah menimbulkan persoalan tanpa terjawab olehku. Apakah pengorbanaan beliau selama ini, bermula daripada meninggalkan jawatan, kedudukan, kerana membela rakyat dibiarkan begitu sahaja. Pengorbanan kubranya, sehinggakan dipukul, diterajang dan diaibkan tidak terasa oleh orang lain.
Kemudian meringkuk dalam penjara selama empat tahun dan kini diulang tambah selama lima tahun. Apakah pengorbanan dan balasan untuk beliau? Apakah sumur budi kita sudah gersang?

Anwar tidak mahu apa-apa daripada rakan-rakananya. Dia tidak meminta jasanya dibalas, tetapi mahu budinya dikembalikan kepada rakyat. Dia hanya mahu kepada sebuah perpaduan menjatikan perjungan untuk rakyat. Dia tidak meminta, untuk menjaga keluarganya, hatta nyawanya sendiri tidak dipedulikan. Tetapi hasrat dan impian rakyat hendaklah dihormati dan dipelihara. Dia tidak mahu apa yang dilakarkan demi rakyat dan negara itu disia-siakan.

Anwar berpuas hati kalau dia terus menjadi dian membakar diri memberi sejalur cahaya buat semua. Cuma apa yang diharapkan, tepislah angin dan ribut dari meliuk lintukkan cahaya yang beliau nyalakan agar rakyat dapat menikmatik sorot itu sewajarnya.

Dan semalam Anwar masih menghantar mesej dari celah-celah batu penjara agar rakan diluar memupuk semangat juang berlandasakan aspirasi Pakatan Rakyat. Katanya kandati pun pakatan itu sudah tidak wujud secara formal tetapi bingkai persefahaman yang telah membuahkan hasil harus diteruskan.

Mesej itu menunjukkan kesungguhan dan iltizam beliau kepada perjuangan membela rakyat menerusi Pakatan Rakyat. Ia menzahirkan keyakinan bahawa kemenangan dapat dicapai apabila tangan-tangan tergenggam erat.

Demikian Anwar yang tidak pernah kalah dan kecewa dalam apa pun keadaan. Dan baginya PENJARA BUKAN PUSARA, yang mengabadikan segala cita-cita dan azamnya di dalam gubuk kezaliman itu. Bagi Anwar dia tidak pernah termimpi nisan menandakan perjuangannya demi rakyat akan tercacak di sisi jasadnya. Tidak. [wm.kl.11:55 am 07/07/15]


Husam cadang Muhyiddin ambil alih pentadbiran negara

Posted: 06 Jul 2015 04:23 AM PDT

KENYATAAN                                                                                                      

Bekas Naib Presiden Pas, Husam Musa hari ini menggesakan Muhyiddin Yassin mengambil alih pentadbiran negara sesegara mungkin daripada tangan Najib Razak.

Sehubungan itu juga Husam menggesa semua pihak melakukan sesuatu agar Najib berundur demi untuk menyelamatkan negara daripada menjadi lebih teruk.

Dalam satu kenyataan yang dihantar kepada blog ini sekejap tadi, Husam menyebut; negara kini benar-benar dalam keadaan sangat kritikal pertama kali seumpamanya apabila Perdana Menteri selaku ketua pengurus negara dilingkari tanda-tanda penyalahgunaan kuasa yang amat dahsyat.

Tegas Husam kenyataan berani oleh Peguam Negara pada Sabtu lepas yang mengaku sudah melihat dokumen berhubung penyelewengan dikatakan membabitkan Najib dan mengarah siasatan dijalan sudah cukup untuk Najib berundur.

Dalam pada itu Adun Salor itu juga mencadangkan Muhyiddin segera menghadap Yang diPertuan Agong bersama Peguam Negara dengan membawa bersama dokumen berkaitan penyelewengan membabitkan Najib.

Berikut adalah kenyataan penuh Husam;

Muhyidin Perlu Segera Ambil Alih Negara 

Negara kini benar-benar berada dalam keadaan sangat kritikal pertama kali seumpamanya.Ketika Perdana Menteri selaku ketua pengurus negara dilingkari tanda-tanda penyalahgunaan kuasa yang amat dahsyat, kemudi negara untuk membetulkan keadaan itu masih di tangan beliau sendiri.
Tidak mungkin pembetulan untuk meletakkan negara kembali ke landasan keluhuran undang-undang sebagai kunci perjalanan kerajaan di atas dasar jujur dan amanah serta menjamin keamanan dan kedaulatan negara dapat dilakukan.

Kenyataan berani dan terbuka Peguam Negara pada Sabtu lepas sebenarnya sudah cukup bagi seorang pemimpin yang bermaruah mengambil langkah mengundurkan diri. Segalanya telah tersimpul dalam kenyataan itu dan hingga petang ini, Isnin 6 Julai, empat hari selepas kenyataan itu, PM gagal mengeluarkan sebarang penjelasan terhadap kenyataan AG.

Ketika AG membuat kenyataan telah melihat sendiri dokumen-dokumen berkaitan dan mengarahkan serbuan dibuat ke atas syarikat berkaitan, negara kita sepatutnya telah pun diambil alih oleh seorang PM yang baru atau paling kurang Pemangku PM.

Ketiadaan sebarang reaksi dan tindakan ekoran kenyatan AG itu, hanya akan membuka jalan kepada penutupan jenayah dan pelbagai manipulasi politik.

Kenyataan oleh badan-badan mahasiswa UIA pada hari ini adalah sangat bermakna dalam situasi kritikal sekarang. Saya mengucapkan syabas kepada semua mahasiswa UIA khususnya pemimpin mereka Saudara Hanif Mahpa dan Ahmad Fadhli Umar Aminolhuda dan lain-lain.

Sesuatu mesti dilakukan oleh semua pihak dalam negara kita untuk memaksa PM melepaskan tanggung jawab dan kuasanya setidak-tidaknya untuk sementara waktu bagi membolehkan siasatan dan tindakan yang bebas dapat diambil.

Saya bersetuju TPM mesti mengambil inisiatif utama untuk meluruskan langkah pembetulan negara.

TPM sewajibnya menemui DYMM YDP Agung bersama AG untuk menyembah maklum keadaan yang ada dan seterusnya mencadangkan pelucutan jawatan PM.

Ahli Parlimen seluruhnya perlu menunjukkan sikap patriotik mereka termasuk memberikan sokongan kepada TPM untuk mengambil alih negara dari DS Najib sekalipun mereka adalah dari parti-parti di luar kerajaan.

Tan Sri Muhyiddin juga perlu menjamin suatu tindakan undang-undang diambil tanpa mengira kedudukan dan pangkat. Lebih banyak malapetaka akan berlaku jika tindakan segera tidak diambil.
Husam Musa
6 Julai 2015
19 Ramadhan 1436H

[wm.kl.7:17 pm 06/07/15]

Tiada ulasan: