Rabu, 17 Jun 2015

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


SAMBUTLAH RAMADHAN DENGAN SEPENUH KETAQWAAN

Posted: 17 Jun 2015 08:44 AM PDT

30 Syaaban 1436 / 17 Jun 2015
Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran :
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan bagimu berpuasa, sebagaimana telah diwajibkan pada orang-orang sebelum kamu. Mudah-mudahan kamu bertaqwa."
(Surah Al-Baqarah : Ayat 183)

Seluruh ummat Islam di Malaysia akan mula menunaikan ibadat puasa sebulan di Ramadhan bermula esok. Maka dengan ini, saya mengambil kesempatan yang ada ini untuk berpesan kepada diri saya , ahli PAS dan seluruh rakyat Malaysia supaya mengambil kesempatan yang ada untuk kita mengejar redha Allah SWT dengan Islam yang sempurna ini.

Kita berharap kepada Allah SWT, semoga Ramadhan yang akan kita tempuhi bersama tahun ini menghasilkan natijah yang baik untuk kita semua. Bulan yang berkat dan mulia ini, yang diturunkannya Al-Quran dan adanya malam yang yang lebih baik daripada 1000 bulan, iaitulah Lailatul Qadar mampu mengembalikan keimanan dan ketaqwaan kita kepada kemuncak yang diredhai Allah SWT.

Dalam suasana kita mengharungi Ramadhan ini, jangan kita lupa nasib agama kita, saudara-saudara kita yang tidak bernasib baik di seluruh dunia seperti nasib Dr Muhammad Morsi yang dihukum oleh regim zalim As-Sisi, nasib saudara kita di Palestin yang ditindas oleh zionis israel, nasib saudara kita yang dibiarkan tanpa tanah air di bumi Arakan, Myanmar dan lain-lain lagi.

Semoga lembaran Ramadhan kali ini juga, berjaya mengembalikan semangat kita membuat perubahan kepada diri kita, masyarakat kita dan seterusnya negara kita ke arah yang diredhai Allah SWT. Kita perlu berusaha dan terus berjuang supaya Islam tertegak dengan hak-hak yang ditetapkan oleh Allah dan mengambil semangat ramadhan yang ada, yang pernah mendatangkan kejayaan gemilang kepada saudara-saudara seaqidah kita yang terdahulu.

Justeru, marilah kita bersama-sama menempuh ramadhan tahun ini dengan harapan kita berjaya menjadi manusia-manusia bertaqwa seperti yang disebut oleh Allah SWT dalam Al-Quran apabila menyebut tentang pensyariatan puasa di bulan Ramadhan.

"Beristiqamah Hingga Kemenangan"

DATO' SERI TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG

Presiden PAS

Kenyataan Media Presiden PKR

Posted: 17 Jun 2015 04:35 AM PDT

KENYATAAN MEDIA
Pakatan Rakyat ditubuhkan pasca Pilihanraya Umum ke-12 tahun 2008 atas initiatif Sdr Anwar Ibrahim bersama pimpinan utama dengan membawa tiga parti pembangkang terbesar dalam negara sebagai bergabung menentang Barisan Nasional.

KEADILAN yakin bahawa sokongan padu kepada Pakatan Rakyat (KEADILAN, DAP dan PAS) selama ini dipacu oleh arus rakyat yang benar-benar dahagakan perubahan. Satu harapan yang besar digalaskan kepada Pakatan Rakyat untuk menggantikan Barisan Nasional.
Harapan rakyat itu berpaksikan kepada prinsip-prinsip bersama yang dipersetujui dan diperjuangkan bersama oleh Pakatan Rakyat selama ini seperti yang dimeterai di dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat, termasuklah:

1. Keterangkuman semua kaum, kumpulan dan setiap rakyat dalam membina Persekutuan Malaysia yang adil dan sejahtera;

2. Mempertahankan kedudukan agama Islam, kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputra, institusi raja-raja dan bahasa Melayu mengikut peruntukan Perlembagaan dengan menjamin hak kaum dan agama lain;

3. Menyuburkan sebuah negara bertatakelola baik dan berlandaskan prinsip demokrasi dan keluhuran undang-undang;

4. Mensejahterakan ekonomi negara yang berkepedulian rakyat, berdaya saing dengan membanteras gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

KEADILAN sangat menghargai permuafakatan yang digembleng bersama dengan PAS dan DAP sebelum ini dan dukungan padu rakyat yang melonjakkan Pakatan Rakyat sehingga mendapat sokongan 52% pengundi dalam PRU13.

Mengambil kira perkembangan terkini Biro Politik KEADILAN yang bermesyuarat pada 16 Jun 2015 telah memutuskan:

1. Menyatakan rasa kesal atas usul yang diterima tanpa bahas di Muktamar PAS ke-61 dan berikutnya Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP telah mengumumkan penamatan riwayat Pakatan Rakyat yang kami anggap tindakan tergesa-gesa. Ekoran dari itu, gabungan politik PR tidak lagi berfungsi secara formal;

2. Namun, kami bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana semangat dan permuafakatan Pakatan Rakyat di Selangor di bawah pimpinan Dato' Menteri Besar Sdr Azmin Ali, dan di bawah pimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang, Sdr Lim Guan Eng terus kekal. Dan dalam semangat yang sama, dan tertakluk kepada Dasar Bersama Pakatan Rakyat, KEADILAN akan terus memberikan sokongan kepada Dato' Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob;

3. KEADILAN akan terus merintis usaha-usaha membina permuafakatan parti-parti politik, badan bukan kerajaan (NGO), kumpulan-kumpulan rakyat dan tokoh-tokoh berpengaruh untuk menumbangkan Barisan Nasional.
Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
Presiden KEADILAN
17 Jun 2015

Tiada ulasan: