Jumaat, 5 Jun 2015

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Haji Hadi Perolehi Lebih Dari Yang Dikehendaki...

Posted: 05 Jun 2015 01:32 AM PDT


Pemimpin kalah disaran tolak jawatan lantikan, biar pasukan Hadi kemudi PAS

Datuk Seri Abdul Hadi Awang berjaya mendapat pasukan beliau sepenuhnya dalam pemilihan PAS malam tadi dan pihak yang kalah dicadangkan supaya menolak tawaran jawatan lantikan, kata seorang perwakilan.

Shazni Munir Mohd Ithnin, perwakilan dari Sekijang berkata ini untuk memberikan peluang kepada Hadi dan pasukannya untuk menentukan hala tuju PAS.

"Kita berharap pemimpin yang kalah ini 'sedar diri' dan tidak menerima sebarang pelantikan," kata Shazni yang juga timbalan yang dipertua PAS kawasan Sekijang.

Bekas pemimpin mahasiswa itu berkata, barisan pimpinan yang terpilih membayangkan semua yang tidak senang dengan cara Hadi memimpin PAS disingkirkan.

Apa yang berlaku dalam pemilihan semalam seperti disebut Hadi ketika memberikan ucapan penutup Muktamar PAS ke-60 di Batu Pahat tahun lalu.

"Jika nak jadi imam juga, cari tanah sendiri, buat masjid sendiri dan jadi iman sendiri," kata Hadi ketika memberikan amaran kepada pengkritiknya.

Kini, apa yang dikehendaki presiden PAS itu menjadi realiti. Mereka yang dilihat tidak bersamanya disingkirkan malam tadi.


Hanya seorang saja daripada senarai pasukan profesional progresif kekal dalam pemilihan kali ini iaitu Mazlan Aliman.

Bekas Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat Datuk Dr Mujahid Yusof yang turut kalah dalam pemilihan semalam berkata beliau masih belum pasti akan menerima atau tidak jika ada ditawarkan untuk apa-apa jawatan.

"Saya bimbang kalau-kalau ada tawaran, itu hanya amalan PR saja. Saya nampak besar kemungkinan tidak akan ada tawaran untuk saya.

"Jika ditawarkan jawatan, saya akan berfikir sama ada untuk menerima atau tidak kerana yang menang hari ini adalah atas kehendak pihak tertentu.

"Ini kerana, ketika saya dan kawan-kawan difitnah, apa yang dikesali adalah, pemimpin tertinggi hanya diam seolah-olah mengiakannya,"
kata Mujahid kepada The Malaysian Insider ketika ditanya apakah beliau akan menyertai semula pasukan pimpinan PAS jika mendapat tawaran.

Mengimbas kembali cara pemilihan yang dibuat malam tadi, Mujahid berkata, para perwakilan mengadu kepadanya mereka diberikan senarai calon yang perlu diundi ketika berbaris untuk mengundi semalam.

"Ada perwakilan mengadu, semasa mereka berbaris, mereka diberikan 'cai' calon yang perlu diundi. Mereka pula memangkahnya di luar kawasan mengundi sambil berbincang sesama mereka," kata Mujahid ketika dihubungi.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata apa yang berlaku dalam PAS sekarang fenomena suram untuk PAS.

"Ia satu fenomena suram dalam PAS selepas sebelum ini kita mendakwa Umno mengundi dengan cara yang sama," kata Mujahid.

Beliau sendiri tidak pasti apakah ia melambangkan kemajuan atau kemunduran untuk PAS dan apa nasib Pakatan Rakyat (PR) selepas ini.

"Saya tidak pasti adakah ia akan memberi kesan kepada kemajuan untuk PAS atau tidak," katanya.

Dalam pemilihan yang diumumkan tengah malam tadi, Hadi menang besar apabila mendapat 928 undi manakala pencabarnya Ahmad Awang hanya mendapat 233 undi.

Timbalan presiden Mohamad Sabu pula tewas di tangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man apabila mendapat hanya 278 undi berbanding pencabarnya 881 undi.

Bagi jawatan naib presiden pula, semuanya dibolot pasukan konservatif dengan Idris Ahmad mendapat undi tertinggi iaitu 942, Datuk Iskandar Abdul Samad (801) dan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah (778).

Penyandang jawatan Salahuddin Ayub dan Datuk Husam Musa serta bekas Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar tewas



ULASAN GB

Haji Hadi perolehi apa yang dia sendiri kehendaki. Malah Allah memberinya lebih ... ditarikNya semua mereka yang dari kumpulan profesyenal dan dimenangkan semua dari kumpulan ulamak.

Itu satu signal dari langit. Terpulang kepadanya samada dapat membaca atau tidak ayat manzurah itu.

Ulamak terlalu nak menang kesemua jawatan. Macam-macam cara dilakukan termasuklah perbuatan CAI. Itu tak lagi dengan melakukan penge"boo"an ke atas kumpulan profesyenal dan juga fitnah-fitnah yang dicipta dan dilemparkan ke atas kumpulan profesyenal termasuh menuduh mereka "agen DAP", JEBON dan sebagainya.

Rakan-rakan dalam UMNO dah pun bertempik sorak... Kita tunggu dan lihat selepas ini.

[KEPUTUSAN TERKINI] Kepimpinan PAS Dikuasai Sepenuhnya Oleh Tim Ulama

Posted: 04 Jun 2015 07:50 PM PDT


Hadi menang, Mat Sabu tewas

Datuk Seri Abdul Hadi Awang berjaya mempertahankan jawatan presiden PAS bagi penggal 2015-2017.

Hadi memperolehi 928 undi untuk menewaskan pencabarnya, Ahmad Awang yang mendapat 233 undi.

Bagaimanapun, Mohamad Sabu gagal mempertahankan jawatan timbalan presiden.

Beliau ditewaskan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mendapat 881 undi.

Mohamad hanya mendapat mendapat 279 undi.

Keputusan itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Asmuni Awi.

Sebaik sahaja nama Hadi diumumkan, kira-kira seratus penyokong, pemerhati dan perwakilan melaungkan takbir.

Sebanyak 1,162 kertas undi dikeluarkan dan bilangan kertas undi yang berada dalam peti undi sebanyak 1,161.

Sebanyak satu kertas undi tidak dikembalikan dan tiada undi rosak.

Keputusan itu menunjukkan kira-kira 70 peratus perwakilan mengundi mengekalkan Hadi sebagai presiden parti, dan memilih Tuan Ibrahim sebagai timbalan Hadi.

Keputusan bagi jawatan lain belum diumumkan.

Kemenangan itu amat bermakna kerana ini kejayaan sulung Hadi di peti undi setelah mengambil alih kerusi itu daripada allahyarham Datuk Fadzil Noor pada 2002.

Dalam 13 tahun menjadi presiden, Hadi tidak pernah dicabar sehinggalah Ahmad, bekas naib presiden dan presiden 17 tahun Persatuan Ulama Malaysia (PUM), tampil memecahkan tradisi itu tahun ini.

Hadi juga mungkin mencipta rekod sebagai presiden PAS paling lama dalam sejarahnya apabila dipilih berkhidmat untuk dua tahun lagi.

Sebelum ini, daripada lapan presiden PAS, belum ada yang berkhidmat melebihi 13 tahun.

Kemenangan Hadi itu dilihat bakal memberi kesan besar kepada hala tuju PAS ketika komitmen beliau kepada Pakatan Rakyat mula dipertikai.

DAP sendiri sebelum ini memutuskan hubungan dengan Hadi.

Antara isu yang sentiasa menjadi duri dalam daging hubungan parti Islam dan DAP, sebuah parti sekular, tentunya berhubung pelaksanaan hudud di Kelantan.

DAP sudah beberapa kali menyatakan kebimbangan riwayat Pakatan mungkin berakhir minggu ini, dipercayai merujuk kepada keputusan hari ini yang sudah dijangkakan oleh penganalisis lebih awal.

KEPUTUSAN TERKINI


Presiden
Haji Abdul Hadi Awang 928
Haji Ahmad Awang 233

Timbalan Presiden
Mohamad Sabu 278
Tuan Ibrahim Tuan Man 881

Naib Presiden
Idris Ahmad 942
Iskandar Samad 801
Mohd Amar Abdullah 778
Salehuddin Ayub 320
Dato Mahfuz Omar 285
Husam Musa 267

AJK PAS Pusat 2015-2017

1- Nasruddin Hassan Tantawi 782
2- Dr Riduan Mohd Nor 782
3- Nasarudin Daud 777
4- Salehan Mukhyi 763
5- Nik Zawawi Saleh 749
6- Dr Khairudin Aman Razali 736
7- Dr Fadhli Hassan 722
8- Abdullah Husin 679
9- Razman Zakaria 674
10- Dr Zuhdi Marzuki 670
11- Mokhtar Senik 656
12- Zaharuddin Mohamad 611
13- Ali Akhbar Gulasan 596
14- Mazlan Aliman 593
15- Dr Rosni Adam 590
16- Mohd Nor Mohammad 566
17- Sanusi Md Nor 560
18- Norazli Musa 544




ULASAN GB

Nampaknya PAS sudah tidak memerlukan "khidmat" para profesyenal lagi. Malah jasa para profesyenal selama ini lansung tidak dihargai dan diktirafkan oleh para perwakilan PAS. Yang penting Haji Hadi dipertahankan.

PAS kini hanya untuk ulamak. Senarai yang menang pun adalah terdiri dari CAI yang dipamerkan oleh Dewan Ulama di dalam facebooknya sebelum ini. Budaya CAI menjadikan pemiilihan perwakilan dibuat tidak berdasarkan kebolehan tetapi berdasarkan senarai blok yang ditetapkan oleh Dewan Ulama sendiri.

GB lansung tidak gusar atau susah hati kerana GB berpegang kepada hukum kebenaran dan keadilan dan hukum itu akan terus berjalan. Yang menang belum tentu benar dan yang kalah belum tentu batil.

[VIDEO] Tak Mampu Berhujjah Di"Boo"nya Hanipa Maidin...

Posted: 04 Jun 2015 07:55 AM PDT


Kerana pertahan kritikan terhadap Hadi, Hanipa di 'boo' perwakilan PAS

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Mohamed Hanipa Maidin diejek 'boo' oleh perwakilan muktamar di Kuala Selangor hari ini apabila seorang perwakilan t mempersoalkan peranannya sebagai pengerusi Lajnah Undang-Undang PAS yang sepatutnya mempertahankan presiden membawa rang undang-undang persendirian hudud ke Parlimen. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 4 Jun, 2015.

Gara-gara mempertahankan tindakannya menegur Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara terbuka dan mengkritik hudud Kelantan, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Mohamed Hanipa Maidin diejek 'boo' perwakilan muktamar di Kuala Selangor hari ini.

Ini bermula apabila seorang perwakilan dari Segambut mempersoalkan peranannya sebagai pengerusi Lajnah Undang-Undang PAS yang sepatutnya mempertahankan presiden membawa rang undang-undang (RUU) persendirian hudud ke Parlimen.

"Inikah tarbiah yang kita hasilkan dengan 'boo' macam itu?

"Saya tiada masalah, dalam Parlimen perangai Umno pun macam ni," katanya semasa memberi penjelasan dalam sesi pembentangan minit mesyuarat PAS 2014 di Kuala Selangor, hari ini.

Ahli Parlimen Sepang itu berkata, isunya adalah RUU persendirian itu tidak pernah dibawa Hadi masuk dalam perbincangan PAS Pusat.

Malah mengakui dirinya, ahli Parlimen PAS lain termasuk Ketua Whip Datuk Mahfuz Omar tidak pernah berpeluang melihat RUU itu sebelum dihantar untuk dibentangkan.

"Dan apabila saya lihat RUU itu ada beberapa kelemahan. Jadi itu persoalannya, bukan nak pinda.

"Kita pertikai cara dan apa salahnya sekiranya kita buat teguran," katanya mempertahankan tindakannya mengkritik Hadi itu membuktikan amalan demokrasi wujud dalam PAS.

Hanipa berkata, dirinya sering mempertahankan hudud Kelantan tidak bercanggah dengan Perlembagaan walaupun menyertai forum "hostile hudud" di Dewan Himpunan Cina Selangor Kuala Lumpur (KLSCAH).

Beliau kemudian mencabar perwakilan membuktikan jika ada kenyataannya mengenai hudud bercanggah dengan presiden.

"Kalau ada kenyataan saya bercanggah dengan presiden, buktikan. Di mana yang bercanggah itu saya tak boleh jawab.

"Saya bagi jaminan kalau RUU dibawa ke Parlimen saya akan pertahankan dan saya akan berani lawan mana-mana wakil Parlimen Umno," katanya.

Hanipa semasa muktamar di Johor tahun lalu pernah menerima nasib sama, apabila mempertikaikan PAS mahu merebut kerusi menteri besar Selangor milik PKR. –TMI


Kena boo, Hanipa jawab 'I love you'

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Hanipa Maidin kena "boo" ketika menjawab soalan perwakilan berhubung dakwaan yang mengatakan beliau memberi kenyataan bercanggah dengan presiden parti bagi isu hudud.

Sebelum itu, semasa pembentangan penyata mesyuarat tahunan muktamar kali ke-60, perwakilan dari Segambut bangun dan mempersoalkan tentang kenyataan Hanipa yang sering bercanggah dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Selepas itu, ahli parlimen Sepang itu kemudian bangun untuk menjawab soalan tersebut bagi memastikan semua perwakilan tidak terpengaruh dengan kenyataan perwakilan tadi.

"Saya kena jawab supaya mengundi nanti tidak dalam keadaan masih percaya dengan apa yang tuan bahaskan tadi," kata Hanipa.

Bagaimanapun kenyataan tersebut mendapat reaksi negatif daripada para pemerhati.

Hanipa kemudian berkata, beliau menyokong pelaksanaan undang-undang hudud di Kelantan.

Namun hanya mempersoalkan mengapa tiada perbincangan dilakukan bersama jawatankuasa Pusat PAS dan Pakatan untuk membentangkan rang undang-undang (RUU) persendirian di Parlimen.

"Bukan rang undang-undang ini isunya. Isunya kenapa sebelum kita bawa ke Parlimen tak dibincangkan dalam PAS Pusat. Saya AJK PAS Pusat tak pernah lihat RUU.

"Kami ahli parlimen PAS dan ketua whip pun tiba-tiba sahaja tahu ada RUU dalam Parlimen dan Pakatan pun tidak diberitahu.

"Itu persoalannya, bukan pertikai rang undang-undang persendirian itu.

"Adakah salah untuk memberi teguran dan kemudian kata 'oh ini tidak walak'. Saya rasa ini tidak betul," kata Hanipa.

'Inilah hasil tarbiahnya'

Kemudian timbalan pengerusi tetap Hussin Ismail menegur Hanipa supaya fokus kepada soalan yang diajukan oleh perwakilan.

"Saya minta fokus pada soalan", kata Hussin.

Selepas teguran itu, Hanipa kemudiannya dilontarkan laungan "boo" oleh perwakilan dan pemerhati.

Ekoran kejadian itu, Hanipa berkata beliau tidak terasa dengan tindakan itu malah telah biasa dengan perkara tersebut semasa di Parlimen.

Malah, beliau dengan sinis mengatakan "I love you" kepada pihak yang "mengejek" beliau apabila di "boo" sekali lagi.

"Inilah tarbiah yang dihasilkan. Menghasilkan benda macam ini.

"Saya tak ada masalah, dalam Parlimen perangai BN pun macam ini. Saya tak ada masalah. Saya dah biasa.

"Saya tak akan terasa. Tak ada masalah, jangan takut. I love you," kata Hanipa sinis.

Selepas itu, Hanipa meminta supaya perwakilan dari Segambut menunjukkan bukti berhubung dakwaan yang mengatakan kenyataannya bercanggah supaya ia dapat dijawab.

Hanipa turut memberi jaminan bahawa sekiranya rang undang-undang persendirian hudud dibentangkan di dalam Parlimen, beliau akan mempertahankan perkara tersebut.

"Kalau ada kenyataan bercanggah dalam isu hudud, tolong jelaskan bukti. Insya-Allah saya akan jawab. Sebab tuan tak cakap di mana (kenyataan itu), saya tak dapat jawab.

"Saya bagi jaminan kalau sekiranya rang undang-undang persendirian di bawa ke Parlimen dan tiba pada hari perbahasan, saudara akan lihat bagaimana saya berbahasa nanti," katanya.
-mk



ULASAN GB

Sudah teruk sangat akhlak dan budaya di kalangan pro-ulama dalam PAS kini. Tak mampu nak berhujjah, pedas kena dengan jawapan profesyenal dari Hanipa, terus di"boo"nya.

Halnya berlaku di muktamar pemuda juga kelmarin. Gb sudah ulas sebelum ini.

Berlaku lagi, seperti tahun lepas, segolongan Pemuda PAS dengan gelagat "memboo".

Namanya Pemuda Parti Islam SeMalaysia, kononnya mereka memperjuangkan dan mempertahankan kepimpinan ulama, tapi akhlaknya syaitan. Mengalahkan akhlak dan perangai parti lawan.

Inilah akibatnya apabila TIADA TINDAKAN TEGAS DIAMBIL terhadap mereka pada muktamar yang lepas. Mustafa Ali, kamu berdiri dan jawab di padang masyar nanti mengapa kamu melakukan tindakan berpilih di dalam hal disiplin ahli dan sikap kamulah yang mengnancurkan parti.

Mereka menuduh orang Jebon, tetapi rupanya merekalah yang berperangai jebon yang sebenarnya. Dan PAS sudah kena tukar nama, tak boleh jadi lagi Parti "Islam" SeMalaysia. Memalukan dan mencemarkan Islam dengan akhlak yang sedemikian rupa.

Allah Maha Tahu dan Maha Adil, hukum kebenaran dan keadilan akan berjalan dan akan menghukum mereka yang "melampau batas" berkenaan.

Taktik Kotor Untuk Menang, Risalah Burukkan Profesyenal Diedar

Posted: 04 Jun 2015 04:38 AM PDT


Risalah Wajah Perosak PAS Diedar

KUALA SELANGOR: Kempen pemilihan PAS semakin agresif pada saat-saat akhir apabila wujudnya risalah yang melabel pemimpin tertentu sebagai perosak parti.

Ditemui diletakkan secara meluas di hentian Rehat dan Rawat (R&R) Kundang, Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LTAR), risalah berkenaan cuba membezakan antara kumpulan 'pendukung fahaman liberal' dan kumpulan yang 'tunduk kepada pendukung liberal'.

Risalah bersaiz A4 dengan cetakan berwarna itu menyenaraikan gambar barisan kempimpinan tertinggi PAS Pusat dan pesuruhjaya negeri bagi sesi 2013-2015.

Daripada 54 gambar dan nama pemimpin yang disenaraikan, 17 daripadanya ditandakan dengan bulatan berwarna biru yang berada dalam kategori 'wajah pendukung liberalisme yang merosakkan PAS dari dalam'.

Kumpulan ini dikatakan cuba menghapuskan dominasi ulama yang menjadi tunjang dalam PAS.

Bukan itu sahaja, mereka yang tersenarai dalam kumpulan ini turut didakwa membawa agenda 'tuan politik' luar kerana ditaja dengan pelbagai bentuk imbuhan dan ditugaskan menguasai PAS demi kepentingan penaja.

Antara yang berada dalam senarai kumpulan biru ialah Datuk Husam Musa, Datuk Kamaruddin Jaafar, Datuk Dr Mujahid Yusoff Rawa, Dr Hatta Ramli, Dr Dzulkefly Ahmad, Dr Siti Mariah Mahmud, Khalid Samad serta Hanipa Maidin.

Selain itu, lapan daripada senarai berkenaan ditandakan dengan bulatan jingga kerana dikatakan sebagai 'pemimpin yang sudah tunduk kepada pendukung liberarisme dan menjadi lalang serta berani menentang golongan ulama dalam PAS secara terang-terangan.

Kumpulan ini terdiri daripada Mohamad Sabu, Salahuddin Ayob, Suhaizan Kayat, Datuk Mahfuz Omar serta Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob.

Penyebaran risalah ini dilihat sebagai cubaan untuk mempengaruhi perwakilan yang akan mengundi pada pemilihan yang akan diadakan pada petang Khamis.

Keputusan pemilihan jawatankuasa tertinggi PAS akan diumumkan secara rasmi pada pagi Jumaat. -mstar

ULASAN GB

Risalah itu menyerupai risalah yang dicipta oleh beberapa cybertrooper PAS yang diedarkan melalui facebook sejak beberapa bulan yang lalu di dalam usaha mereka untuk memburukkan kumpulan profesyenal.


Ia juga menyamai risalah 'Siapakah Perosak Sebenar PAS ?' yang dikesan mula tersebar di alam maya pada bulan April lalu menjelas mesyuaraat PAS Kawasan-kawasan.


Paling aneh risalah itu berlambangkan logo PAS PUSAT. Lansung tiada penafian dari Pejabat Agung PAS Pusat seolah-olah membiarkan buku itu terus diedarkan tanpa sekatan.

Dengan cara kempen sedemikian, mereka menang. Namun hukum kebenaran dan keadilan akan tetap berjalan. Berkatkah kemenangan dengan cara sedemikian?

Tiada ulasan: