Selasa, 9 Jun 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Muhyiddin Disingkir, Shahrir Dan Annuar Kembali Sertai Kabinet?

Posted: 09 Jun 2015 03:00 AM PDT

shahbudindotcom

 
 
 
Lawatan rasmi Najib Razak ke Arab Saudi sambil menunaikan umrah bermula Sabtu lalu hingga semalam bersama dua Naib Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dan Hishammuddin Hussein,  menimbulkan spekulasi yang makin meluas bahawa ia akan disusuli dengan rombakan kabinet selepas ini.

Baik dalam suasana aman, apatah lagi ketika gelora politik makin membara berikutan kritikan berterusan daripada bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad ketika ini,  hakikatnya amat janggal bagi Perdana Menteri membawa dua orang Naib Presiden UMNO sekaligus untuk mengiringinya bagi menunaikan umrah, kecuali ada permuafakatan yang perlu disepakati di tanah suci itu.

Lantaran itu menjadi perbualan ramai bahawa pemergian mereka ini ada kaitan dengan suasana politik yang sedang melanda negara. Apatah lagi, pemergian itu ketika tragedi gemba bumi Sabah sedang berlaku dan seolah-olah membawa kedua-dua Naib Presiden UMNO lebih penting daripada segala-galanya.

Seorang lagi Naib Presiden UMNO, Shafie Apdal yang diketahui agak berbeza pendirian dengan Najib sejak kebelakangan ini, terutama berhubung isu 1MDB, tidak ikut serta atau barangkali juga tidak dipelawa untuk berumrah bersama-sama ini.

Beliau difahamkan kini berada di Russia atas urusan rasmi kementeriannya.

Dengan Najib membawa kedua-dua Naib Presiden itu ke Mekah, cakap-cakap paling sensasi menjadi bualan ialah kemungkinan Muhyiddin Yassin akan digugurkan sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana kedudukannya dalam kabinet lebih dianggap sebagai ancaman serta "duri dalam daging" kepada masa depan Perdana Menteri.

Najib dikatakan sudah tidak dapat menahan sabar lagi dengan karenah dan tingkah laku Muhyiddin yang tidak cukup setia dan kurang konsisten dengannya, terutama sejak isu 1MDB meletus.

Melalui penyingkiran Muhyiddin daripada jawatan nombor dua dalam kerajaan itu, Najib bukan saja ingin membuktikan sikap ingin terus melawannya terhadap serangan Tun Mahathir, bahkan mahu menunjukkan beliau benar-benar pahlawan Bugis yang masih ada sisa-sisa keberaniannya.

Tempat Muhyiddin sebagai Timbalan Perdana Menteri dikatakan akan diambil alih oleh Zahid Hamidi manakala Hishammuddin yang merupakan sepupu Najib akan dikanankan lagi kedudukannya dengan diberikan portfolio Kementerian Kewangan untuk persediaan sebagai calon Perdana Menteri masa depan.

Shafie Apdal pula akan dipindahkan di kementerian lain yang kurang penting bagi mengekang pengaruh serta pergerakannya daripada terus memberi kesan negatif kepada Najib.

Sebuah agensi kerajaan yang berkaitan dengan perang saraf dikatakan telah menemui Najib beberapa minggu lalu dan mengemukakan cadangan yang antaranya ialah penyingkiran Muhyiddin daripada kerajaan dengan alasan "masa bertahan sudah berakhir" jika Perdana Menteri ingin terus kekal memimpin parti dan negara. 

Agensi itu juga mahukan Najib memulakan fasa "menembak" dan "menyerang" pula selepas sekian lama mengambil pendekatan berdiam diri dan bertahan.

Selain itu, beberapa menteri juga difahamkan bakal digugurkan dalam rombakan yang akan dilakukan ini kerana Najib kini mula menyedari sebahagian daripada mereka hanya "bermain selamat" dan tidak membantunya menghadapi serangan, baik daripada Tun Mahathir atau pembangkang.

Antara pemimpin yang disebut-sebut bakal dimasukkan kembali ke dalam kabinet ialah Shahrir Samad, Pengerusi BNBBC yang sejak kebelakangan ini paling lantang mempertahankan Najib daripada serangan Tun Mahathir.

Najib dikatakan amat berpuas hati dengan cara, pendekatan dan hujah Ahli Parlimen Johor Bahru itu ketika membalas serangan yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.

Nama lain yang turut disebut bakal dibawa kembali ke dalam kabinet sejak dua tiga hari ini ialah Annuar Musa, Ahli Parlimen Ketereh kerana Najib ingin memanfaatkan keberanian dan kepetahan bekas menteri itu sebagai perisai barunya.

Dalam menghadapi serangan dan kritikan Tun Mahathir yang dijangka lebih panas selepas ini, Najib dikatakan tiada pilihan lain selain melantik Timbalan Perdana Menteri baru, menyusun semula kabinetnya dan meletakkan pemimpin senior yang berani seperti Shahrir Samad dan Annuar Musa untuk membentengi kedudukannya.

Bersekali dengan rombakan kabinet yang bukan saja menyaksikan penyingkiran Muhyiddin dan digantikan dengan Zahid Hamidi tetapi juga disertai dengan kemasukan semula Shahrir dan Annuar itu, sekaligus menunjukkan pahlawan Bugis sudah sedia berentap sehingga "bumi berkeping dua" sebagaimana madah yang selalu diucapkannya sebelum ini.

 

Anwar rayu PAS jangan berpisah

Posted: 09 Jun 2015 02:52 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa PAS mengkaji semula keputusan muktamar parti Islam itu untuk memutuskan hubungan dengan DAP.

Bekas timbalan perdana menteri itu menyatakan rasa kesal dan bimbang kerana keputusan tersebut akan menjejaskan kerjasama dalam Pakatan Rakyat.

"Saya kesal dengan usul untuk memutus hubungan dengan DAP yang telah diterima di Muktamar PAS. Saya gesa rakan politik kami PAS untuk mengkaji semula usul tersebut yang telah dilulus tanpa dibahas, dan agar ia tidak dilaksana pada ketika ini.

"DAP yang telah lama menjadi teman dan rakan seperjuangan, terus komited dengan perjuangan untuk membawa perubahan," katanya.

"Saya juga tahu yang DAP bersama kami dalam usaha memastikan Pakatan Rakyat terus utuh dan menjadi pilihan alternatif rakyat," katanya dalam satu kenyataan.

Anwar yang kini sedang menjalani hukuman penjara mengirim kenyataan tersebut melalui anggota biro politik PKR, N Surendran yang juga MP Padang Serai.

Pesanan sama turut dikirim kepada pemimpin utama PAS dan DAP, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang, katanya.

Bekas MP Permatang Pauh itu juga berkata, PAS perlu menilai harapan penyokong Pakatan yang berharap agar gabungan parti itu akan dapat menyelesaikan masalah politik dan ekonomi bawah BN.

"Di bawah BN, keadaan semakin teruk. Rakyat terbelenggu dengan GST dan hutang mahabesar 1MDB; manakala polemik perkauman dan agama masih belum reda," katanya.


Pelancong bogel didakwa minta bantuan negaranya

Posted: 09 Jun 2015 02:48 AM PDT

ANTARA POS.COM


Post Pic
 
 
 
PETALING JAYA: Dua warganegara Kanada, antara 10 pelancong asing yang berbogel di atas puncak Gunung Kinabalu dilaporkan meminta bantuan daripada Jabatan Luar Negaranya.
 
Menurut laporan The Canadian Press, jurucakap jabatan tersebut pada Selasa berkata mereka menyedari dua warganegara Kanada itu tidak dibenarkan untuk meninggalkan negara ini.
 
Malah, katanya, pegawai konsular Kanada di sini turut berhubung dengan pihak berkuasa.
 
Agensi berita tersebut berkata jabatan berkenaan tidak dapat mengesahkan identiti dua individu terbabit dengan menegaskan bimbang mengenai privasi mereka.
 
"Namun Kementerian Luar Malaysia mengenal pasti individu tersebut sebagai pasangan adik beradik dari Kanada, Lindsey Petersen dan Danielle Petersen," menurut laporan itu.
 
Pada Isnin, seorang lelaki warga Eropah berusia 38 tahun ditahan tetapi dibebaskan semula pada hari yang sama kerana dia tidak terlibat bersama 10 pelancong asing itu.
 
Pada 30 Mei lalu, seramai 10 pelancong bergambar dalam keadaan berbogel dan membuang air kecil di atas puncak Gunung Kinabalu.
 
Gambar tersebut bagaimanapun menjadi viral di laman media sosial.
 
Tindakan tersebut mendapat kritikan penduduk Kadazandusun yang menyifatkan perbuatan itu sebagai satu penghinaan kerana bagi mereka gunung itu adalah tempat suci.
 
Penduduk tempatan di Sabah turut percaya bahawa kejadian gempa bumi di Sabah pada Jumaat lalu yang menggorbankan 18 nyawa disebabkan tindakan biadap pelancong asing tersebut.
 
 

Dewan Pemuda PAS umum barisan kabinet baru sesi 2015-2017

Posted: 09 Jun 2015 02:45 AM PDT

ANTARA POS.COM


Post Pic

 
 
SHAH ALAM: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPM) di bawah teraju ketuanya yang baru, Nik Abduh Nik Aziz telah menyempurnakan pelantikan Jawatankuasa Harian dalam mesyuarat pertama yang berlangsung semalam.
 
Bagaimanapun, penyempurnakan perlantikan penuh jawatankuasa dan portfolio akan dilakukan pada mesyuarat kedua DPPM dan selepas selesai siri lawatan ke beberapa negeri untuk tujuan 'bottom up management review' pada bulan Ramadan.    
 
Berikut adalah senarai kabinet sayap berkenaan bagi sesi 2015-2017:  
 
Ketua Pemuda: 
YB Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (Pengerusi Lajnah Politik)
 
Timbalan Ketua Pemuda:
Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi (Pengerusi Lajnah Antarabangsa)
 
Naib Ketua Pemuda: 
Ir. Hj. Khairil Nizam Khirudin (Pengerusi Akademi Kepimpinan Pemuda)
 
Setiausaha: 
Ustaz Afnan Hamimi Taib Azzamuddin (Pengerusi Majlis Setiausaha Pemuda (Sekretariat))
 
Bendahari: 
Engr. Muhtar Suhaili
 
Ketua Penerangan: 
Ustaz Ahmad Fadhli Shaari
 
Pengarah Pilihanraya Pemuda: 
Ustaz Syarhan Humaizi Abdul Halim
 
Penolong Setiausaha 1: 
Sdr. Nurul Islam Mohamed Yusoff
 
Penolong Setiausaha 2: 
Sdr. Damanhuri Dol
 
Penolong Setiausaha 3:
Sdr. Eikhwan Ali
 
 

20% Majikan Malaysia (Peruncitan, Hospitaliti, Pembuatan) Cadang Buang Pekerja Gara-gara GST?

Posted: 09 Jun 2015 02:43 AM PDT

Berita Semasa


20% Majikan Malaysia (Peruncitan, Hospitaliti, Pembuatan) Cadang Buang Pekerja Gara-gara GST?
Nampaknya selepas GST mula memasuki bulan ketiga pelaksanaan, ia terus menjadi ingauan negeri bagi kalangan majikan dan peniaga SME, peniaga kecil di Malaysia. Ini diakui sendiri oleh Persekutuan Majikan Malaysia (MEF).

Masakan tidak, satu demi satu pekerja diberhentikan dek kerana tidak mahu bertahan dengan kos operasi yang melonjak tinggi selepas sahaja GST dilaksanakan.

majikan malaysia

  • Persekutuan Majikan malaysia (MEF) mempunyai 5000 syarikat berdaftar, 22 persatuan perdagangan
  • 20% Majikan Malaysia (peruncitan, hospitaliti, pembuatan) di bawah Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) mempertimbangkan untuk memberhentikan pekerja mereka
  • Perniagaan ahli mereka jatuh kerugian sejumlah 30% selepas GST
  • Sektor perniagaan peruncitan jatuh keuntungan sejumlah 20%-50%
  • Dengan kadar tukaran asing bagi ringgit Malaysia sekarang semakin berlambak di pasaran sekarang akibat tidak laku, di mana mencatatkan pagi ini berada pada paras RM3.71 bagi setiap 1 dollar Amerika, syarikat yang terpaksa mengimport barang dan bahan mentah daripada luar serta syarikat trading semakin terjejas
  • Harga minyak dunia tidak semewah seperti dahulu sekaligus pemberian dividen oleh Petronas kepada kerajaan semakin berkurang
Berita Semasa difahamkan ada syarikat yang pendapatan mereka kurang daripada RM500,000 telah ditolak permohonan mereka berdaftar dengan GST atas sebab-sebab yang tidak diketahui dengan jelas. Mengapa jadi begini?

PP/S : Rakyat Malaysia dilihat semakin berhati-hati ketika berbelanja pada hari ini. Berita kenaikan harga minyak bukan lagi tekanan hebat kepada rakyat Malaysia tetapi pelaksanaan GST yang dikenakan kepada penguna bagi kebanyakan uruniaga dan perbelanjaan, itulah yang menyebabkan perbelanjaan boleh guna mereka semakin menipis. Apa kata anda pula?

LAGI CERITA RESTORAN MAMAK CEKIK DARAH DENGAN HARGA YANG LANGSUNG TIDAK MUNASABAH!!!

Posted: 09 Jun 2015 02:37 AM PDT





Berang dikenakan harga makanan yang mahal, seorang pelanggan yang merasakan dirinya dianiaya memuat naik dua gambar restoran tersebut di laman Facebook.
"Nasi Kandap Cekik Darah. Nampaknya kita memang kena boikot kedai mamak semua. Melampau sangat mahalnya,"

Demikian kenyataan yang dimuat naik oleh pengendali laman Perak Today yang tidak berpuas hati dengan harga yang dikenakan.

Berdasarkan gambar, restoran yang dimaksudkan itu adalah Restoran U Kandar (NS) Sdn Bhd, di Mydin, Seremban 2.



Antara hidangannya ialah briyani, telur sebiji dan ikan berjumlah RM18.00 termasuk air, dicampur dengan 6% GST menjadikan jumlah keseluruhannya RM19.08.

Menurut netizen yang pernah berkunjung ke restoran eksklusif ini berkata, restoran ini memang sering mengenakan harga makanan yang mahal.

Ada juga yang berpendapat, harga RM19.00 adalah harga standard atau paling rendah.

Namun, menurut seorang netizen, mana-mana restoran yang berniaga nasi kandar luar dari kawasan Pulau Pinang, harga yang dikenakan mahal dan tidak masuk akal.

"Sudahlah tak sedap, nasi kandar penipu Bangla yang masak. Kami duduk Pulau, kami tahulah kat luar dari Pulau Pinang itu semua nasi kandar penipu. Boleh makan pun sebab lapar nak bagi kenyang saja," katanya.

GST: Tempoh hantar penyata taksiran dilanjut

Posted: 09 Jun 2015 02:32 AM PDT

SINAR HARIAN


Datuk Subromaniam Tholasy Datuk Subromaniam Tholasy
 
 
KUALA LUMPUR - Tempoh penghantaran penyata taksiran bagi syarikat wajib berdaftar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) telah dilanjutkan kepada selewat-lewatnya 15 Jun tanpa sebarang penalti, kata Pengarah GST Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Subromaniam Tholasy.

Beliau berkata, daripada 75,000 syarikat yang layak dikenakan cukai, masih terdapat 12,000 syarikat belum menghantar penyata taksiran mereka.
  
"Selepas 15 haribulan, sistem GST ini akan mengeluarkan notis taksiran secara automatik berserta jumlah cukai yang perlu dibayar.
 
"Sekiranya notis tersebut telah dikeluarkan, agak sukar buat mereka kerana kami akan terus membawa kes ini ke mahkamah sivil," katanya selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan mengenai Pelaksanaan GST kali ketiga di sini hari ini.

Subromaniam berkata, bagi tempoh akan datang, sebarang kelewatan dalam penghantaran penyata taksiran akan dikenakan kompaun sebanyak RM50,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekiranya disabit kesalahan mengikut Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014.
  
Sementara itu, beliau berkata Jabatan Kastam menerima 19,000 permohonan untuk pembayaran semula GST bagi bulan April, yang kebanyakannya terdiri daripada pengimport dan pengeksport.
 
Tempoh proses pembayaran semula GST di negara ini adalah antara yang paling cepat berbanding negara lain, iaitu 14 hari waktu bekerja berbanding dua bulan tempoh purata yang biasa.
  
"Sistem GST di Malaysia adalah yang terbaik di dunia serta diiktiraf oleh IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa). Ini menunjukkan sistem yang kita gunakan sekarang sangat efisien," katanya. - Bernama


Pas masih belum putus kedudukan dalam PR

Posted: 09 Jun 2015 02:08 AM PDT


 
 
KUALA LUMPUR - Penolong Setiausaha Agung Pas Pusat, Datuk Takiyuddin Hassan menegaskan parti itu masih bersama PR dan belum memutuskan untuk meneruskan atau menghentikan kerjasama politiknya dalam perikatan itu.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan desakan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menggesa agar pimpinan Pas mengeluarkan arahan agar wakil Pas meletakkan jawatan di Pulau Pinang.

"Saya setuju (wakil Pas letak jawatan) jika itu (tinggalkan PR) keputusan Pas. Sekarang ini, Pas masih belum lagi buat keputusan mengenai hubungan dengan parti-parti dalam PR. Jadi mengapa perlu kita lakukannya sekarang?

"Keputusan belum lagi dibuat berhubung kedudukan Pas di dalam PR. Oleh itu kedudukan sekarang ini, Pas masih di dalam PR," katanya ketika ditemui di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Guan Eng berkata, Pas perlu  mengarahkan wakilnya meletakkan semua jawatan dalam kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi menunjukkan parti itu masih mempunyai maruah.

Ketika ditanya mengenai mesyuarat Majlis Syura Ulama yang akan membincangkan usul Dewan Ulama yang diterima tanpa bahas pada muktamar lalu, Takiyuddin memberitahu tidak mempunyai sebarang maklumat setakat ini.

Setakat ini, bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu sudah pun melepaskan jawatannya dalam kerajaan negeri Pulau Pinang dan kini Timbalan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa turut mengikut jejak langkah sama.

Sementara itu, menyentuh soal amanat bekas Ketua Pembangkang yang kini sedang menjalani hukuman penjara di Sungai Buloh, Takiyuddin memberitahu, pihaknya akan memberi maklumat terkini kepada Anwar.

Sabtu lalu, Pas meluluskan usul memutuskan hubungan dengan DAP tanpa bahas pada Muktamar Pas Pusat ke-61.


Anwar mahu PAS kaji semula hubungan dengan DAP

Posted: 09 Jun 2015 02:06 AM PDT

anwar
Roketkini.com


SUNGAI BULOH: Sikap DAP yang komited memperjuangkan perubahan cukup untuk PAS mengkaji semula usul mereka memutuskan hubungan sesama parti, kata Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam kenyataan dikeluarkan bekas ketua pembangkang itu hari ini, Anwar berkata, beliau kesal kerana usul dicetuskan oleh Dewan Ulama PAS diterima muktamar.

Malaysia General Election 2013

"Saya menggesa rakan politik kami, PAS, untuk mengkaji semula usul tersebut yang telah dilulus tanpa dibahas dan agar ia tidak dilaksanakan pada ketika ini," katanya.

Kenyataan Anwar disampaikan kepada umum oleh Ahli Parlimen Padang Serai N Surendran.

Dalam muktamar minggu lalu PAS membuat ketetapan untuk memutuskan hubungan dengan DAP ekoran beberapa isu berbangkit antara kedua-dua parti.

Bagaimanapun terdapat satu kumpulan lain dalam PAS yang berpendapat sebaliknya.

Namun di sebalik situasi itu perwakilan PAS memilih untuk menyingkirkan semua pemimpin sederhana dalam parti berkenaan sehingga jawatankuasa pusat serta dewan pemuda, muslimat dan ulamanya dimonopoli penyokong konservatif.

Usul memutuskan hubungan dengan DAP pula diterima tanpa dibahas.

Menurut Anwar, beliau tahu DAP tetap bersama PKR dalam usaha memastikan Pakatan Rakyat terus utuh dan menjadi pilihan alternatif rakyat

"Rakyat meletakkan harapan tinggi kepada Pakatan Rakyat untuk terus mara bagi menyelesaikan masalah politik dan ekonomi yang semakin teruk di bawah pentadbiran BN. – Roketkini.com

Najib pula kata Mahathir tak faham GST

Posted: 09 Jun 2015 01:55 AM PDT

najibbb
Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan ternyata tidak bersendirian apabila beliau mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad tidak memahami isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
 


klcc-batal-gst2"Beliau menentang pelaksanaan GST, walaupun semua pakar ekonomi berwibawa percaya memperluas asas cukai negara adalah perkara yang patut dilakukan dan pendapatan diperoleh akan digunakan untuk kebajikan rakyat.

"Malah, idea tersebut diilhamkan semasa pentadbiran beliau," kata Najib dalam laman web peribadinya najibrazak.com.

April lalu Ahmad menjawab kritikan berterusan Dr Mahathir terhadap GST dengan menuduhnya tidak memahami cukai berkenaan.

Turut didakwa Ahmad tidak memahami GST ialah Mufti Perlis Datuk Dr Asri Zainul Abidin.

Dalam pos terbarunya hari ini, Najib juga mengecam tindakan Dr Mahathir mengkritik pentadbirannya tanpa sebarang bukti kukuh dan hanya mempercayai "khabar angin" saja.

"Dia mengetahui banyak dakwaan telah dibuat semasa pentadbirannya dan sering memberikan jawapan 'Mana bukti?'

"Dr Mahathir sepatutnya menyatakan perkara yang sama berhubung apa yang beliau dengar sekarang ini," ujar Najib.

Tegas Najib lagi, Dr Mahathir tidak punya hak untuk menyuruh beliau letak jawatan kerana beliau dipilih oleh UMNO dan rakyat bukannya dari bekas Perdana Menteri itu.

"Saya dipilih UMNO dan rakyat negara ini, untuk memimpin mereka.

"Saya mempunyai mandat dan bertanggungjawab kepada parti serta rakyat bukannya mana-mana individu," katanya. – Roketkini.com

PAS hipokrit jika tidak keluar Pakatan

Posted: 09 Jun 2015 01:49 AM PDT

MOHAMED HANIPA MAIDIN 

 

 


Kini semua orang tahu bahawa keputusan pemilihan dalam muktamar PAS memberi satu petunjuk yang amat jelas – para perwakilan telah bersuara dan mahukan golongan agamawan menerajui pimpanan parti di peringkat Pusat.

Keputusan ketiga-tiga Dewan dalam PAS iaitu Dewan Pemuda, Muslimat dan Ulama juga memberi petunjuk yang sama.

Isu sama ada pimpinan PAS yang ada sekarang adalah pemimpin dari chai tertentu tidak lagi menjadi persoalan.

Hakikatnya saf pimpinan PAS yang ada adalah jelas diwakili secara majoritinya golongan ustaz dan agamawan yang mesra presiden PAS. Mereka akan dilihat sentiasa menyokong segala keputusan presiden PAS tanpa berbelah bahagi.

Hakikat ini diperakui sendiri oleh ketua Dewan Ulama yang baru iaitu Dato Dr Mahfoz Mohamed dalam temuramah beliau bersama akhbar Mingguan Malaysia Ahad lepas.

Antara lain beliau dilaporkan berkata PAS tidak boleh membuat keputusan kerana dominasi golongan profesional.

"Sebab itulah kadang kadang tok guru terpaksa buat keputusan sendiri.Beliau merujuk kepada Majlis Syura sahaja.

"Kalau dibawa kepada AJK pusat memang kalah. Kali ini apabila kebanyakan AJK sokong ulama maka memang kerja akan menjadi mudah kerana masing-masing tahu dasar-dasar PAS.

"Semua ustaz memahami perkara itu dan memang kesetiaan mereka kepada presiden akan lebih kukuh."

Jelas daripada kenyataan Dato Dr Mahfoz tersebut bahawa selama ini golongan profesional atau juga digelar sebagai golongan progresif dalam PAS menjadi penghalang utama kepada presiden PAS dalam membuat satu satu keputusan.

Jika mengikut logik ketua Dewan Ulama PAS, kekalahan golongan progresif dalam PAS ini sekali gus, akan memudahkan kerja-kerja presiden PAS.

Mungkin kita perlu menyoroti ke belakang sedikit dan melihat senario yang berlaku sebelum proses pemilihan tersebut dilakukan. Kita bukan sahaja melihat betapa aktif dan agresifnya kempen golongan ulama dalam PAS, tetapi juga dua aliran atau jalur pemikiran dalam PAS.

Satu golongan yang boleh dikatakan mempromosi politik eksklusif yang tercerna dalam slogan mempertahan kepimpinan ulama. Ia amat berlawanan dengan politik inklusif yang PAS cuba tonjolkan sebelum ini dengan slogan seperti PAS for All, Islam rahmat untuk semua dan lain-lain.

Politik inklusif ini bertujuan bagi memastikan PAS dibawa ke pentas utama dalam persada politik Malaysia.

Bertolak daripada slogan kepimpinan ulama itu, ia membawa mesej yang amat jelas dan keras kepada para perwakilan bahawa kompromi dan toleransi PAS dengan rakan Pakatan khususnya DAP telah melepasi tahap yang dibenarkan oleh Islam sekali gus menghilangkan jati diri PAS sebagai sebuah gerakan Islam.

Politik esklusif itu menyebabkan mana-mana pihak dalam PAS yang kritikal dengan pendekatan tersebut dilihat sebagai tembok penghalang untuk PAS mempertahankan jati diri Islamnya.

Bukan sahaja pelbagai label diwujudkan bagi melabel tembok penghalang tersebut, malahan di saat akhir kempen pemilihan, ahli PAS khususnya para perwakilan terpaksa memilih – sama ada mereka ingin memilih calon yang cenderung kepada DAP atau calon yang ingin pertahankan jati diri PAS?

Slogan itu juga mempromosi tema bahawa kemenangan dalam pilihan raya bukan segala-galanya dan yang penting adalah keredaan Allah.

Apa guna PAS melalui Pakatan dapat menawan Putrajaya jika Islam tidak dapat ditegakkan? Ya, Islam yang mereka tonjolkan adalah Islam yang lebih bersifat hukum daripada Islam sebagai rahmatan lil 'alamin (Islam rahmat untuk semua).

Islam yang dipromosi itu juga mewujudkan satu persepsi bahawa penafsir tunggal Islam, terutamanya dalam PAS itu sendiri, adalah golongan agamawan sahaja.

Dan terbukti slogan murah itu mudah mempengaruhi ahli PAS dan perwakilan sehingga mereka boleh dikatakan telah hilang rasional dalam berfikir dan bertindak. Natijahnya, keputusan muktamar memihak kepada golongan agamawan dan mengenepikan sama sekali tokoh golongan progresif dalam PAS.

Melihat kepada perbahasan di Muktamar PAS, majoriti pembahas boleh dikatakan menghentam DAP dan mahu PAS berpegang kepada prinsip perjuangan. Dewan Ulama mahu hubungan dengan DAP diputuskan dan dalam masa yang sama terus bersama Pakatan.

Usul tersebut diterima oleh Muktamar tanpa bahas dan penerimaan usul itu sendiri sudah cukup menunjukkan PAS hakikatnya sudah bersedia mengambil risiko demi mempertahankan prinsip dan jati dirinya.

Dengan ketiadaan tokoh tokoh progresif dalam saf kepimpinan PAS kini, sepatutnya kepimpinan baru dalam PAS tidak mempunyai masalah untuk meneruskan visi dan misi mereka. Mereka sewajarnya konsisten berpegang kepada pendekatan keras tersebut dan tidak sama sekali berpusing ke belakang.

Dengan erti kata lain, mereka sewajarnya membawa PAS keluar daripada Pakatan kerana visi dan misi yang mereka perjuangkan tidak selaras dengan misi dan visi Pakatan.

Mereka tidak sewajarnya berdolak dalik lagi dengan menyatakan kami bersama Pakatan tapi tidak bersama DAP sedangkan tanpa DAP hakikatnya tidak wujud lagi Pakatan.

Kepimpinan baru PAS tidak sewajarnya mempedulikan kehilangan kepentingan PAS di negeri yang Pakatan perintah khususnya di Selangor demi mempertahankan prinsip perjuangan dan mendapat keredaan Allah.

Jika mereka sebaliknya terus ingin menjaga kepentingan PAS di Selangor dan dalam masa yang sama cuba mempertahankan prinsip perjuangan dan reda Allah ianya menampakkan mereka tidak ikhlas dan tidak konsisten. Dengan lain perkataan mereka mungkin akan dituduh hipokrit .

Kalau mereka tidak berani bertegas dengan pendirian keras mereka seperti yang dijelmakan di pra muktamar dan masih mahu terus ingin bersama Pakatan (tanpa DAP) mereka pasti akan ditertawakan.

Mereka juga mungkin sukar melarikan diri dari tuduhan bahawa segala apa yang dicakap dan dibuat sebelun muktamar hanya semata-mata untuk menang dalam muktamar.

Maka satu-satunya jalan bagi mempertahankan jati diri PAS, kepimpinan baru sewajarnya berani, tegas dan konsisten mempertahankan prinsip perjuangan dan satu-satunya jalan bagi merealisasikan hal tersebut ialah dengan PAS keluar daripada Pakatan secara hormat .

Jika PAS masih ragu-ragu dan takut kehilangan kepentingan di Selangor berbanding mempertahankan keredaan Allah, segala apa yang dikatakan sebelum muktamar akan dilihat sebagai gimik semata-mata dan ini pasti akan melukakan PAS itu sendiri.



MOHAMED HANIPA MAIDIN MP Sepang.

Najib: Yang buat serabut ialah Dr M sendiri

Posted: 09 Jun 2015 01:45 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, keadaan "berserabut" yang dikatakan wujud di bawah pentadbirannya ialah tindak-tanduk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri.

Najib berkata, keadaan "berserabut" yang dirujuk Tun, sebahagian besarnya adalah akibat serangannya sendiri dan mengulangi dakwaan fitnah dan pembohongan pembangkang.

"Tuduhan-tuduhan ini telah diperbesarkan lagi melalui internet," kata Najib dalam satu set soalan lazim yang dipaparkan diblognya malam tadi.

Malah Najib berkata, bekas pemimpin negara selama 22 tahun itu juga telah mempercayai pembohongan di talian.

"Hanya kerana satu pembohongan disebarkan  seribu kali, itu tidak bermakna ianya benar," katanya Najib

Menurut Najib lagi, dengan adanya serangan yang dilakukan di talian, tidak hairan jika Mahathir merasakan wujud keadaan berserabut yang lebih besar hari ini.

Najib berkata demkian sebagai menjawab dakwaan Mahathir yang mendesak ahli parlimen Pekan itu meletakkan jawatan sebagai perdana menteri berikutan dakwaan keadaan negara yang begitu 'berserabut" berbanding sewaktu perdana menteri sebelum ini, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Bagaimanapun, Najib tidak menyentuh dakwaan Mahathir mengenai gaya hidup mewahnya.

Najib berkata serangan yang dihadapinya sekarang tidak seperti apa yang Mahathir terpaksa hadapi semasa menjadi perdana menteri selama 22 tahun.

"Ini adalah sesuatu yang Tun tidak perlu berdepan semasa beliau menjadi perdana menteri," katanya sambil menambah, pada waktu itu, Mahathir tidak perlu menghadapi tuduhan yang tiada akhirnya yang dikitar semula berulang-ulang dan dikongsi selaju kilat.

"Perkataan 'viral' hampir tidak wujud semasa pentadbiran beliau," kata Najib.

Najib (gambar) menyalahkan media dalam talian yang menurutnya 'mempunyai agenda tersembunyi yang memutarbelit tajuk utama dan memuat naik pembohongan yang begitu cepat dikongsi'.


Jahat sungguh DAP, kata Khalid Samad

Posted: 09 Jun 2015 01:44 AM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
 
Bekas Ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Khalid Samad 'menempelak DAP kerana melantik begitu ramai ahli mengisi jawatan dalam kerajaan negeri Pulau Pinang.

Dalam tulisan terbaru Khalid dalam blognya, Khalid berkata beliau berharap usul daripada Dewan Ulama PAS yang mahu memutuskan hubungan parti itu dengan DAP dilaksanakan

"Bagi saya, untuk mengotakan semangat di sebalik usul itu dan supaya PAS tidak dituduh tunduk kepada DAP, kemaruk jawatan serta sebagai parti tidak bermaruah, hasrat usul tersebut perlu dilaksanakan.

"Lebih-lebih lagi apabila usul tersebut telah diterima – walaupun tanpa bahas – oleh muktamar PAS.

"Maka biarlah tindakan tegas dan berani meletakkan harapan hanya pada Allah. Berani kerana benar dan yakin Allah bersama pihak yang benar," tulis beliau dalam rencana bertajuk 'Pascamuktamar PAS ke-61 dan pembaharuan yang diidamkan'.

Khalid adalah salah seorang pemimpin kumpulan progresif yang diketepikan oleh perwakilan PAS dalam muktamar tahunan mereka di Kuala Selangor minggu lalu.

Selain Khalid, antara pemimpin sederhana yang kalah ialah MP Sepang, Hanipa Maidin; Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Hatta Ramli dan Mohamad Sabu.

Khalid yang juga MP Shah Alam untuk penggal kedua berkata, tindakan Mohamad meletakkan jawatannya dalam agensi kerajaan negeri di Pulau Pinang adalah tepat kerana ia bersifat lantikan atas kapasiti parti.

"Ramai juga wakil PAS yang dilantik walaupun PAS hanya menang satu kerusi. Dilantik pula oleh kerajaan Pakatan Rakyat yang hampir kesemuanya DAP.

"Jahat sungguh DAP kerana melantik begitu ramai wakil PAS! Menyulitkan. Ujian dan dugaan.

"Sepertimana Mat Sabu dilantik, dia boleh juga dipecat. Tidak perlu tunggu dipecat. Lebih berprinsip letak jawatan.

"Lebih-lebih lagi apabila PAS yang menyerang DAP dan ingin memutuskan hubungan dengan mereka," katanya.


 

Dr M: Saya tak boleh terima angka 1MDB

Posted: 09 Jun 2015 01:38 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Presiden dan pengarah eksekutif 1MDB, Arul Kanda mungkin telah memberi angka-angka mengenai di mana syarikat itu membelanjakan RM41.8 bilion, tetapi ia tidak dapat meyakinkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mahathir mendakwa ia kerana Arul Kanda telah beberapa kali didapati berbohong dan oleh itu tidak dapat memberi keyakinan tersebut.

"Saya tertarik dengan keupayaan 1MDB untuk melabur RM42 bilion dalam banyak perniagaan," katanya dalam catatan di blog beliau hari ini.

Sepatutnya, tegas Mahathir, beliau berpuas hati dengan bagaimana 1MDB membelanjakan pinjaman besar yang diperolehlinya.

Tetapi malangnya, tegas Mahathir, beliau tidak yakin dengannya kerana maklumat itu datang dari pengarah ekksekutif sekarang, Arul Kanda, yang didakwanya tealah beberapa kali didapati berbohong.


Ribut musnahkan 50 rumah, gerai

Posted: 08 Jun 2015 05:40 PM PDT

Ribut musnahkan 50 rumah, gerai Kelihatan kepingan bumbung rumah penduduk yang rosak akibat diterbangkan ribut kelmarin.
 
 
KLANG - Lebih 50 rumah dan gerai di sekitar Kampung Sungai Udang, Telok Pulai dan Kampung Delek rosak akibat dilanda ribut, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 7 petang itu, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.

Saksi, Zabariah Ali, 45, berkata ketika kejadian, dia sedang memberi kucing makan di luar rumah, sebelum dikejutkan dengan bunyi angin kuat seolah-olah kawasan perumahan itu dilanda puting beliung.

"Apabila bunyi semakin kuat, saya lihat gumpalan berwarna putih menuju ke arah rumah jiran dan menjerit memanggil suami yang berada di dalam rumah.

"Dalam keadaan ketakutan, saya sempat menyuruh suami melaungkan azan sebelum ribut reda beberapa saat kemudian," katanya.

Sementara itu, Zabariah berkata, akibat ribut berkenaan, bumbung hadapan rumah jirannya, Hamidah Zainal, 62, diterbangkan angin kencang, termasuk beberapa rumah jiran di sekitar kawasan berkenaan yang turut mengalami nasib sama.

Seorang peniaga, Abdul Khir Said, mengakui, kejadian ribut kelmarin yang paling teruk melanda kawasan berkenaan.

"Sebelum ini ribut pernah melanda tetapi kali ini lebih kuat berikutan banyak pokok tumbang serta bumbung rumah dan gerai di sekitar Kampung Delek terjejas teruk.

"Ketika kejadian, saya tergerak hati untuk melihat keadaan gerai selepas mendengar berita kawasan sekitar dilanda ribut.

"Tidak sangka, gerai kami turut musnah termasuk kediaman adik yang berada di kawasan berdekatan," katanya.

Dalam pada itu, dimaklumkan beberapa pusat gerakan bencana sementara dibuka oleh Majlis Perbandaran Klang sejak malam kelmarin bagi membantu mangsa.

Pas sudah tekad, tak akan patah balik

Posted: 08 Jun 2015 05:31 PM PDT


 
 
KUALA LUMPUR - Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Mahfuz Omar berpandangan parti berkenaan tidak akan berpatah balik mengenai usul putus kerjasama dengan DAP.

Beliau berkata, kredibiliti parti itu akan tercalar sekiranya berpatah balik daripada keputusan usul tanpa bahas pada muktamar lalu.

"Jika kita berpatah balik, pasti orang Islam di negara ini akan memandang negatif terhadap Pas yang memperjuangkan Islam.

"Pasti mereka (orang Islam) akan kata Pas tidak konsisten. Jadi imej kami akan buruk," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, semalam.

Mahfuz berkata, sekiranya Pas berpatah balik untuk bekerjasama semula dengan DAP rakyat akan melihat bahawa Pas lebih mementingkan jawatan berbanding prinsip parti.

Menurutnya, usul memutuskan hubungan DAP yang diluluskan sebulat suara dalam Muktamar Dewan Ulama Pas pusat telah di bawa oleh ahli jawatankuasanya sendiri.

"Sebenarnya sebahagian Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama adalah Ahli Majlis Syura Ulama. Jadi secara prinsipnya Majlis Syura telah memutuskannya.

"Apa pun kita tunggu ia dibawa ke dalam mesyuarat Majlis Syura nanti," jelasnya.

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata cubaan PKR untuk menjadi orang tengah bagi mendamaikan DAP dan Pas dilihat sebagai usaha yang sia-sia.

"Itu satu usaha yang sangat sukar kerana usul yang dibawa Dewan Ulama Pas sudah menggariskan sembilan alasan tentang keperluan untuk putus kerjasama dengan DAP," katanya.

Ditanya adakah Pas akan mengarahkan ahli Pas yang memegang jawatan dalam kerajaan Selangor turut meletakkan jawatan seperti yang digesa oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di Pulau Pinang, Mahfuz berkata ia bergantung kepada PKR.

"Selangor dan Pulau Pinang adalah berbeza. Di Pulau Pinang DAP boleh memerintah tanpa Pas, begitu juga sekiranya tanpa PKR.

"Namun begitu di Selangor ia terpulang kepada PKR. Jika mereka mahu bersama Pas, DAP perlu berundur. Kalau PKR mahu bersama DAP, Pas terpaksa berundur," katanya.

Ditanya lagi, adakah Pas akan bekerjasama dengan BN di Selangor, Mahfuz berkata perkara tersebut tidak akan berlaku.

"Moral politiknya, kita tidak akan bekerjasama dengan BN. Pas boleh jadi komponen besar bagi kerajaan pakatan," katanya.


10 Aura Shila Amzah Digilai Peminat di China

Posted: 08 Jun 2015 05:23 PM PDT

RAKYATNEWS


 


KUALA LUMPUR - Tidak dinafikan bakat yang dimiliki penyanyi kelahiran Malaysia, Shila Amzah.

Pemilik nama penuh Nurshahila binti Amir Amzah ini mula mencipta kerjaya di persada seni tanah air namun melebarkan sayapnya sehingga ke persada antarabangsa.

Shila berhijrah ke China pada tahun 2012 untuk mengembangkan bakatnya.

Beliau terpilih untuk menyertai pertandingan nyanyian anjuran sebuah stesen televisyen di Hunan.

Peluang itu sekaligus dijadikan batu loncatan buat gadis berusia 24 tahun ini.

Laman portal Astro Gempak mendedahkan 10 sebab mengapa Shila Amzah amat popular di China :-

1 - Pada mulanya, Shila tidak tahu berbahasa Mandarin. Namun beliau mempelajari bahasa pertuturan itu agar memudahkannya berkomunikasi selain membuatkan dirinya dianggap serius ketika bertanding.

2 - Shila menawan hati peminat menerusi dendangan tersendirinya terhadap lagu 'The Night I Was Missing You'. Para peminat menyatakan loghat yang dinyanyikan seakan-akan seorang yang bertutur Mandarin sejak kecil.

3 - Sedang mempelajari bahasa Kantonis agar dapat mengorak langkah ke dunia seni Hong Kong.

4 - Mula mendapat perhatian peminat cilik apabila terpilih menjadi mentor bagi sebuah rancangan televisyen kanak-kanak berjudul Let's Sing, Kids, pada tahun 2014.

5 - Mempunyai hubungan baik dengan media cina dan antarabangsa. Konflik dengan media tempatan yang berlarutan menyebabkan Shila kurang mendapat liputan di Malaysia.

6 - Mempunyai jumlah pengikut yang ramai apabila lebih 2.5 juta peminat berdaftar di Weibo, iaitu sebuah laman mikro blog yang popular di China.

7 - Perpindahan ke China membuatkan penyanyi yang berasal dari Setapak ini bekerja lebih keras untuk menjadi seorang penyanyi dan penghibur yang disegani.

8 - Dinobatkan anugerah istimewa oleh kerajaan China atas sumbangan khasnya dalam mengeratkan perhubungan di antara Malaysia dan China.

9 - Diangkat menjadi duta budaya setelah Shila menghiburkan presiden China, Xi Jinping semasa lawatannya ke Malaysia pada Oktober 2013.

10 - Meskipun mempunyai bapa yang juga seorang penyanyi popular satu ketika dahulu, Shila berjaya membuang bayangan bapanya lantas mencipta imej tersendiri.


Usul Tragedi Gempa Bumi di Sabah Dibentang Hari ini

Posted: 08 Jun 2015 05:21 PM PDT

RAKYATNEWS


 


KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata satu usul untuk menzahirkan rasa dukacita terhadap kejadian gempa bumi di Sabah akan dibentangkan di persidangan Dewan Rakyat, Selasa.

Katanya sekiranya usul itu diterima oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, ia dijangka mula dibahas pada pukul 4.30 petang Selasa selama sejam.

"Usul itu akan dibawa oleh seorang wakil anggota Parlimen daripada Barisan Nasional, namun saya tak mahu sebut itu siapa...Terserah kepada keputusan speaker untuk terima atau tidak," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Parlimen, Isnin.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kritikan orang ramai terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak berada di Sabah sejurus selepas kejadian gempa bumi, Shahidan berkata:

"Perdana Menteri (Najib) pergi ke Makkah untuk lawatan rasmi atas jemputan kerajaan Arab Saudi.

"Namun beliau selepas itu telah membuat keputusan untuk pulang lebih awal ke tanah air bagi melawat mangsa bencana gempa bumi dan menyampaikan sumbangan kepada mereka di Sabah," katanya.

Shahidan berkata tiada gunanya untuk mempersoalkan kehadiran Najib di tempat bencana asalkan usaha mencari dan menyelamat berjaya dilaksanakan.


Perkasa : Kemenangan Pro Ulama Realisasi Perpaduan PAS-UMNO

Posted: 08 Jun 2015 05:19 PM PDT

RAKYATNEWS


 


KUALA LUMPUR  - Perkasa Selangor menyifatkan kemenangan kumpulan pro ulama dalam PAS diharap dapat membawa kepada agenda perpaduan dua parti politik Islam dalam negara ini.

Bagaimanapun, Yang Dipertua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya berkata, agenda perpaduan tidak semestinya dua parti ini bergabung membentuk kerajaan sebaliknya membawa kepada kedudukan agama dan bangsa ‎pada tahap lebih tinggi.

"Lihat bagaimana kerjasama PAS dan UMNO yang erat ketika banjir di Kelantan, apa yang dibuat kedua-dua parti ini untuk rakyat dan sokongan UMNO Kelantan ketika PAS membentangkan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan baru-baru ini.

"Bibit_bibit kejayaan demi Islam dan Melayu itu telah berputik, oleh hal demikian pimpinan kedua-dua parti perlu mengambil peluang dengan membajanya agar lebih mekar," katanya memetik laporan Sinar Online.‎

Beliau berkata demikian mengulas kemenangan pro ulama dalam PAS pada Muktamar ke-61 Jumaat lalu.

Dalam pemilihan itu, ‎Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sekali lagi mengekalkan jawatan Presiden PAS selepas 13 tahun.‎

Jawatan Timbalan Presiden disandang Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man apabila penyandangnya Mohamad Sabu tewas.

Manakala Naib Presiden diwakili tiga muka baharu iaitu, Datuk Iskandar Samad, ‎Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Idris Ahmad.‎

Katanya lagi, persefahaman ini amat penting menjadikan ia sebagai tauladan dan penanda aras kedua-dua parti.

"Sekiranya parti Islam ini bertelagah‎, kita risau ada pihak yang akan mengambil kesempatan.

"Keadaan ini yang bimbang berlaku dalam negara," katanya.‎

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai kedudukan wakil PAS dalam pentadbiran Selangor apabila usul Dewan Ulama yang meminta PAS memutuskan kerjasama dengan DAP, beliau berkata, ‎mereka tidak perlu tergesa-gesa kerana usul itu hanya peringkat awal.

"Majlis Syura belum membuat ketetapan berhubung keputusan itu, tunggulah,...jangan tergesa-gesa.‎

"Biar badan tertinggi PAS itu buat keputusan dahulu," katanya.


Pelantikan semula Ahmad Jauhari keputusan kejam – Nurul Izzah

Posted: 08 Jun 2015 05:11 PM PDT

 
Beliau mendesak Khazanah Nasional mengkaji semula pelantikan itu dan menjelaskan kriteria pemilihan Ahli Lembaga Pengarah Malaysia Airlines


Nurul, Jauhari



PETALING JAYA: Pelantikan semula bekas Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Datuk Ahmad Jauhari sebagai Ahli Lembaga Pengarah Malaysia Airlines Berhad (MAB) merupakan tindakan tidak adil kepada 6,000 bekas kakitangan MAS yang dipecat.

Katanya, keputusan itu juga kejam kerana Ahmad telah gagal memberikan prestasi tetapi dibawa masuk semula dengan pelbagai faedah dan ganjaran lumayan.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar berkata, Ahmad bertanggung jawab sepenuhnya terhadap salah tadbir urus MAS sehingga menyebabkan menanggung kerugian besar.

"Pelantikan Ahmad ini amat mengejutkan. Jika syarikat baru ditubuhkan untuk memasuki fasa baru, ia sepatutnya memutuskan hubungan terus dengan pentadbiran lama," katanya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, laman sesawang Malaysia Airlines memaklumkan pelantikan itu berkuatkuasa Mei lalu.

Katanya, merujuk laporan kepada Bursa Malaysia, MAS mencatatkan kerugian RM4.22 bilion dalam tempoh September 2011 sehingga September 2015.

Bermula Jun 2015, kesemua 20,000 kakitangan MAS telah diberikan surat pemecatan dengan 14,000 ditawarkan semula bekerja dengan pengurusan baharu, MAB, manakala 6,000 telah hilang pekerjaan.

"Pelantikan ini jelas satu skandal apabila pihak yang bertanggungjawab dalam salah urus tadbir dan kegagalan MAS dibawa masuk kembali dengan menerima gaji Pengarah dan ganjaran lain manakala beribu pekerja yang setia telah diabaikan," katanya.

Nurul Izzah berkata, Khazanah Nasional perlu memberi penjelasan terhadap keputusan kejam itu atau membatalkan pelantikan itu jika gagal mempertahankannya.

"Saya mendesak Khazanah Nasional mengkaji semula pelantikan Ahmad dan menjelaskan kriteria pemilihan Lembaga Pengarah MAB.

"Saya tidak dapat bayangkan bekas CEO MAS yang gagal menunjukkan prestasi yang baik dibawa masuk semula dengan pelbagai faedah sedangkan pekerja lain dipecat atas dasar penjimatan operasi," katanya.

1MDB bayar penuh hutang RM3.6 bilion

Posted: 08 Jun 2015 05:07 PM PDT

 
Bayaran itu membuktikan komitmen 1MDB mengurangkan kadar hutang dan selari dengan pelan pemulihan.


arul kanda



PETALING JAYA : Syarikat pelaburan milik penuh negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah membayar hutang kepada konsortium bank berjumlah RM3.6 bilion atau USD975 juta.

Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kandasamy berkata, bayaran penuh itu telah dibuat pada Isnin.

Katanya, bayaran hutang itu mencerminkan komitment 1MDB untuk mengurangkan hutang dan selari dengan pelan pemulihan.

"Pembayaran penuh hutang RM3.6 bilion mencerminkan komitmen 1MDB mengurangkan kadat hutang dan selari dengan pelan rationalisasi yang telah diluluskan oleh Kabinet," katanya dalam kenyataan media.

Baru-baru ini, syarikat berpangkalan di Abu Dhabi, International Petroleum Industry Company (IPIC) telah mengadakan perjanjian dengan 1MDB yang melibatkan pembayaran pendahuluan berjumlah USD1 bilion atau RM3.6 bilion.

Ramai yang percaya bayaran pendahuluan itu untuk 1MDB membayar hutang kepada korsortium enam bank antara bangsa.

Gempa bumi: Semenanjung Malaysia masih selamat

Posted: 08 Jun 2015 05:05 PM PDT

 
Gegaran akan dirasai di semenanjung apabila berlakunya gempa bumi di Sumatera Indonesia.


sabah_gempa-bumi_600



PETALING JAYA: Pakar Kaji Bumi memberi jaminan gempa bumi tidak akan berlaku di Semenanjung Malaysia.

Bahkan, ia masih dianggap sebagai kawasan yang bebas dan selamat daripada ancaman bencana itu.
Ketua Kluster Sumber Asli dan Alam Sekitar, Majlis Profesor Negara (MPN), Datuk Prof Dr Ibrahim Komoo menyatakan, gegaran hanya dirasai di Semenanjung apabila berlaku gempa bumi di Sumatera, Indonesia.

"Di Semenanjung, apa yang ada hanyalah 'tremor' iaitu gegaran yang lebih rendah dari gempa bumi. Ia hanyalah bermagnitud dua hingga tiga sahaja," ujarnya.

Ketika dihubungi FMT, beliau yang juga, Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu turut menggesa supaya penduduk di Semenanjung tidak khuatir mengenai risiko gempa yang terjadi kerana ia tidak akan menjejaskan bangunan pencakar langit.

"Gegaran yang lebih kuat telah terjadi sebelum ini, seperti tsunami. Tetapi tidak ada satu bangunan pencakar langit di Semenanjung runtuh. Setiap bangunan tersebut telah dilengkapi dengan alat keselamatan yang tinggi bagi menangkis gegaran," jelasnya lagi.

Ibrahim turut memperjelaskan bahawa gempa bumi yang berlaku di Ranau, Sabah merupakan perkara biasa. Selain, ia bukan kejadian pertama yang berlaku di kawasan tersebut.

"Kejadian yang berlaku pada 5 Jun lalu bukannya kejadian pertama kerana gegaran yang sama pernah berlaku pada tahun 1976, 1991, dan tahun ini.

"Secara puratanya, gegaran yang berlaku ini terjadi pada setiap 25 hingga 30 tahun sekali," katanya.

Tiada ulasan: