Ahad, 7 Jun 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


50 penumpang cemas kereta api tergelincir di Beaufort

Posted: 07 Jun 2015 03:31 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
BEAUFORT: Lebih 50 penumpang menempuh detik cemas apabila kereta api yang dinaiki tergelincir dari landasan sejauh kira-kira 50 meter ketika dalam perjalanan ke Tenom selepas berlepas dari Stesen Kereta Api Beaufort, di sini. 
 
Kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari di Kampung Batu 60 itu menyebabkan dua daripada tiga gerabak kereta api berkenaan hampir terbalik menyebabkan penumpang tertindih sesama sendiri. 
 
Tiada kecederaan dilaporkan namun insiden itu menyebabkan penumpang terkandas sebelum bantuan tiba.
 
 

Lanun rampas kapal tangki minyak Malaysia

Posted: 07 Jun 2015 03:30 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
PETALING JAYA: Sebuah kapal tangki minyak dari Malaysia dirampas di luar pesisir pantai timur.
 
Menurut laporan Dewan Perdagangan Antarabangsa (ICC), sekumpulan lelaki bersenjata menawan kapal tersebut di 14 kilometer barat daya Pulau Aur berhampiran Mersing pada Khamis.
 
"Mereka membawa bersama semua krew sebagai tebusan, mengubah perjalanan kapal dan memindahkan minyak dari kapal tersebut," menurut laporan itu.
 
Sebelum meninggalkan kapal tersebut, sekumpulan lanun itu mencuri barang yang terdapat di dalam kapal dan juga milik krew serta  merosakkan radio di kapal berkenaan.
 
Kapal tersebut kemudiannya berlayar ke pelabuhan yang selamat.
 
Seorang pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengesahkan rampasan kapal yang disahkan sebagai Orkim Victory.
 
"Kapal tersebut selamat tiba di Kuantan kira-kira pukul 7 malam Khamis, kata Pengarah C3i (Command, Control, Communication and Information) Maritim, Kapten Maritim Hamid Mohd Amin kepada The Star.
 
Hamid berkata 18 krew kapal tersebut berada dalam keadaan selamat dan sekumpulan lanun itu melarikan diri ke Pulau Matek di Kepulauan Anambas di Indonesia.
 
Malah, pengawal pantai Indonesia turut dimaklumkan mengenai rampasan kapal itu.
 
APMM sedang menyiasat kes tersebut.
 
Portal berita IHS Maritime 360 dipetik sebagai berkata, kapal tersebut dalam perjalanan dari Sungai Udang di Melaka ke Kuantan sebelum dirampas.
 
Menurut laporan ICC pada 21 April lalu, lebih separuh daripada kejadian lanun dan rompakan bersenjata berlaku antara Januari dan Mac di perairan Asean.
 
 

Mat Taib belum putus tinggalkan PAS, ambil sikap tunggu dan lihat

Posted: 07 Jun 2015 03:24 AM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhammad Muhd Taib masih belum membuat keputusan sama ada untuk meninggalkan PAS atau tidak kerana beliau hendak melihat dulu apa yang bakal terjadi di bawah kepimpinan baru parti itu yang selepas muktamar lalu dibarisi pemimpin daripada kalangan pro ulama.
 
Bekas menteri besar Selangor itu berkata, peluang perlu diberikan kepada kepimpinan PAS yang baharu itu bagaimana mahu mencorakkan parti dan bentuk objektif yang ingin diperjuangkan.
 
"Saya belum ada apa-apa keputusan lagi. Kita beri 'benefit of the doubt' pada kepimpinan yang baharu ini, mereka sudah pun diberi mandat.
 
"Saya tidak mahu bincang mengenai cara pemilihan ini. Ada macam-macam tentang cara pemilihan ini yang kita dengar," katanya dipetik kepada The Malaysian Insider.
 
Muhammad yang juga dikenali sebagai Mat Taib berkata, perwakilan sudah pun membuat keputusan sebijak-bijaknya dan mereka perlu bertanggungjawab terhadap masa depan parti itu selepas ini.
 
Katanya, perwakilan sudah pun membuat keputusan sama ada mahu melihat PAS menerajui negara bersama Pakatan Rakyat (PR) atau terus berdiri sebagai satu entiti politik.
 
"Inilah keputusan muktamar tahun ini. Masing-masing boleh buat interpretasi mengenai keputusan ini. Saya berharap pimpinan baru dapat memimpin sebaik-baiknya.
 
"Sama ada mereka terikut-ikut dengan 'chai' atau ini keputusan mereka, mereka bertanggungjawab memilih pemimpin yang dianggap baik.
 
"Saya tak kecewa, cuma kita tengok natijah selepas ini. Apa hala tuju, apa perjuangan yang mereka nak bawa," katanya.
 
Bekas naib presiden Umno itu pada hujung bulan lalu memberi amaran PAS bakal dipinggirkan golongan profesional selepas Muktamar Tahunan ke-61 parti itu yang berakhir semalam.
 
Kenyataan itu dibuatnya selepas mengkritik sesetengah pemimpin PAS yang pakar dalam agama, tetapi menurutnya jahil ilmu ekonomi dan perkembangan semasa negara.
 
"Kalau selepas ini PAS buang golongan profesional, selepas ini golongan profesional tidak mahu masuk PAS lagi," katanya.
 
Mat Taib sebelum ini berkata, mereka yang menghafal Al-Quran dan hadis, tetapi tidak dapat memahami isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak layak memimpin negara.
 
Disebabkan perkara itu, beliau dilaporkan mengaku mula hilang minat dengan PAS.
 
Bagaimanapun, katanya sebelum ini, beliau akan menunggu sehingga selesai muktamar untuk menilai barisan kepimpinan baru PAS itu.
 
Namun, pada sebuah forum kemudiannya, Mat Taib menjelaskan beliau bukannya "merajuk" dengan PAS seperti sangkaan sesetengah pihak.
 
"Bukan saya tidak minat dengan PAS, tetapi tidak minat perangai sesetengah pimpinan PAS," katanya.
 
 

Identiti lapan mayat warga Singapura, termasuk enam pelajar mangsa gempa Sabah sudah dikenalpasti

Posted: 07 Jun 2015 03:20 AM PDT

THE RAKYAT POST

 

Tribute mangsa gempa Singapura
Seorang pengguna laman Facebook, Rudy Rohaine memuat naik gambar ini di Facebook Sekolah Rendah Tanjung Katong meminta "Keluarga TK" agar tabah dengan hashtag #prayforTKPSclimbers.

 

 

KUALA LUMPUR-Kementerian Pendidikan (MOE) Singapura hari ini mengumumkan lapan mayat warganya yang ditemui pihak berkuasa Malaysia telah dikenal pasti waris masing-masing sebagai enam pelajar dan seorang guru dari Sekolah Rendah Tanjong Katong (SRTK) serta seorang jurulatih lasak.

 

Mayat mangsa warga Singapura yang pertama ditemui ialah pada lewat malam Jumaat, iaitu pelajar perempuan sekolah rendah berkenaan berusia 12 tahun dikenali sebagai Peony Wee Ying Ping.

Mayatnya dibawa turun bersama mayat malim gunung, Robbi Sapinggi.

Manakala mayat lima lagi pelajar SRTK telah dikenalpasti waris masing-masing ialah Ameer Ryyan Mohd Adeed Sanjay, Emilie Giovanna Ramu, Matahom Karyl Mitzi Higuit, Rachel Ho Yann Shiuan dan Sonia Jhala.

Sementara itu, mayat guru terbabit disahkan sebagai Loo Jian Liang Terrence Sebastian dan jurulatih aktiviti lasak yang mengiringi rombongan pelajar SRTK yang turut terkorban adalah Muhammad Daanish Amran.

Semua mangsa terbabit adalah sebahagian daripada 29 peserta ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu sekolah itu.

"Operasi kini diteruskan bagi mengesan seorang lagi pelajar Navdeep Singh Jaryal Raj Kumar serta seorang lagi guru Mohammad Ghazi Mohamed," kata MOE Singapura dalam kenyataan berkenaan.

Menurut kenyataan itu lagi, para pegawai MOE Singapura dan beberapa kementerian lain republik itu kini berada di Kota Kinabalu untuk memberi bantuan serta sokongan kepada keluarga terbabit dalam menghadapi detik-detik memilukan ini.

Persiapan sedang dibuat untuk membawa pulang anggota keluarga dan mayat mangsa ke Singapura secepat mungkin.

Laporan media sebelum ini menyebut bahawa sekumpulan pelajar dari SRTK berada di Gunung Kinabalu ketika gempa bumi itu berlaku pada Jumaat.

Dalam perkembangan berkaitan, mayat Peony Wee Ying Ping yang diterbangkan pulang dari Sabah pagi tadi dilaporkan telah selamat tiba di Singapura.

Mayat mangsa sebelum itu dituntut dari bilik mayat Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu oleh kedua ibu bapanya yang datang dari Singapura.

Sementara itu, pihak SRTK telah mewujudkan satu sudut khas di sekolah itu untuk orang ramai menzahirkan rasa sedih serta ucapan takziah masing-masing ekoran kematian pelajar serta guru sekolah itu dalam gempa bumi bermagnitud 6.0 pada skala Richter itu.

Sudut berkenaan yang bermula hari ini akan dibuka sehingga Selasa, 9 Jun ini.

NGO dahului usaha membina rumah kekal berbanding kerajaan negeri dan Pusat

Posted: 07 Jun 2015 03:16 AM PDT

THE RAKYAT POST

TRP-Tok Pa serah kunci rumah banjir-Adnan
Mustapa (kiri) bersama Abdul Fatah (dua dari kiri) beramah mesra dengan tiga penerima pertama kunci rumah bina kekal untuk mangsa banjir di Kampung Dusun Nyior, Kuala Krai, hari ini. - Foto TRP/Adnan Mohamad



KUALA KRAI :Berdasarkan statistik terbaru, badan bukan kerajaan (NGO) kini mendahului usaha membina rumah kekal untuk mangsa banjir di Kelantan berbanding kerajaan negeri dan Pusat.

Ini kerana setelah lebih enam bulan banjir teruk yang melanda Kelantan hujung tahun lepas berlalu, pihak berkenaan sudahpun menyiapkan 60 unit rumah untuk mangsa yang kehilangan tempat tinggal akibat bencana itu.

"Sehingga kini kerajaan pusat sudah menyiapkan 11 buah rumah bina kekal manakala 434 masih dalam pembinaan.

"Manakala kerajaan negeri pula sudah menyiapkan 12 unit rumah dan 422 dalam pembinaan sementara NGO pula sudah membina lebih 60 unit rumah," kata Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pasca Banjir Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini.

Mustapa memaklumkan angka terkini itu pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Pembinaan Kediaman Kekal mangsa banjir di Kampung Telekong Ahad.

Sebanyak 130 unit rumah kekal bakal dibina di kampung berkenaan hasil kerjasama kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan NGO, iaitu projek perintis pasca banjir di negeri ini.

Menurut Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli, Fasa I projek itu membabitkan 20 unit rumah dijangka siap menjelang September ini.

Katanya lagi, kerjasama dalam projek itu amat unik apabila tiga pihak berkenaan memainkan peranan masing-masing dengan kerajaan negeri menyediakan tanah seluas 12 hektar sementara kerajaan Pusat memperuntukkan RM3.9 juta bagi kos pembinaan kemudahan infrastruktur termasuk jalan, meratakan tanah serta pembinaan longkang.

Manakala NGO yang turut membantu ialah Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang menyediakan peruntukkan RM10 juta bagi pembinaan 100 unit rumah serta Yayasan Tan Sri Muhyiddin Yassin membelanjakan RM2 juta bagi membina 30 unit rumah, jelas beliau.

"Justeru itu, nasib kira-kira 101 keluarga yang bakal ditempatkan di kawasan terbabit (Kampung Telekong) dianggap selesai," kata Mustapa.

Menurut Mustapa lagi, tujuh lagi lokasi lain yang sudah dikenalpasti bagi pembinaan rumah kekal untuk mangsa banjir termasuklah di Chenulang, Simpang Tiga Pulai, Limau Kasturi, Bertam Baru dan Tanah Putih.

Semuanya akan menggunakan pendekatan sama iaitu membabitkan kerjasama tiga pihak.

Pada majlis sama, Mustapa turut merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Kediaman Kekal kepada tiga penerima pertama daripada 11 pemilik (mangsa banjir) di Kampung Dusun Nyior.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood yang menjelaskan bahawa mangsa banjir yang tidak memiliki tanah tidak akan diberikan hak milik kekal untuk rumah baharu mereka.

Sebaliknya, beliau menjelaskan, status hak milik hanya akan dipertimbangkan selepas 10 tahun mangsa banjir terbabit mendiami rumah yang diberi bertujuan mengelakkan kediaman baru itu dijual atau disewa.

Darah Bugis Najib makan diri

Posted: 07 Jun 2015 03:12 AM PDT

 
Orang Bugis juga bukanlah selalu menjerit sahaja, tetapi dalam masa sama kerap memberi helah untuk melindungi sesuatu.


darah bugis



PETALING JAYA: Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang tidak menghadirkan diri di dalam forum 'Nothing2Hide' itu tidak menggambarkan sikap sebenar orang Bugis.

Mereka dikatakan mempunyai keberanian dan jati diri yang kuat, walaupun kerap diam.

Bahkan, orang Bugis juga bukanlah selalu menjerit sahaja, tetapi dalam masa sama kerap memberi helah untuk melindungi sesuatu.

Bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Wangsa Maju, Shahbudin Husin menyatakan tindakan Najib yang berbangga dengan darah Bugis yang mengalir dalam tubuhnya semakin hari semakin tidak membawa kelebihan untuknya mempertahankan kedudukannya.

"Dalam forum 'Nothing To Hide' yang turut dihadiri oleh mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad bagaikan suatu pengesahan mutlak seolah-olah tiada setitik pun darah Bugis mengalir dalam pembuluh darahnya," katanya.

Menulis di blog www.shahbudindotcom.blogspot.com, Shahbudin menjelaskan sikap sebenar orang
Bugis adalah jika bertempik hendak berlawan, maka orang Bugis akan tetap melawan walau terasak ke dinding sekalipun.

Jelas beliau lagi, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim merupakan contoh terbaik untuk memperlihatkan keperibadian dan keberanian orang Bugis.

"Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim adalah yang paling awal menyatakan pendiriannya berhubung tindakan mengecewakan Najib itu," ujarnya.

Bukan itu sahaja, TMJ juga terkenal dengan sikap dan kelantangannya bercakap dalam pelbagai isu serta keberaniannya membangunkan bolasepak negeri Johor.

"Tidak disangkal lagi, darah Bugis sedang mengalir dengan lancar dalam seluruh tubuh baginda.
Keberanian dan jujur meluahkan pendirian ini tentunya akan menjadikan baginda lebih disayangi sebagai bakal raja kerana tidak takut menegur pemimpin serta memahami perasaan rakyat jelata.

"Apalagi mahu dikatakan selain "Ini baru darah Bugis" atas sikap berani, jujur dan bersama-sama rakyat yang ditunjukkan oleh Tuanku Mahkota Johor ini," jelasnya lagi.

Hospital, 9 klinik terjejas akibat gempa bumi

Posted: 07 Jun 2015 03:06 AM PDT

SINAR HARIAN


gempa bumi Antara kemusnahan akibat gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter awal pagi Jumaat. - Foto Bernama
 
 
GEORGETOWN - Hospital Ranau dan sekurang-kurangnya sembilan buah klinik di sekitar daerah Ranau, Tuaran dan Papar, Sabah dikesan mengalami kerosakan akibat gempa bumi di Sabah pada Jumaat lepas.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, kuarters empat tingkat di Hospital Ranau turut mengalami keretakan di bahagian dinding dan telah dikosongkan.

Selain itu siling di bahagian pesakit luar (OPD) di hospital tersebut turut runtuh dengan lampu dan kipasnya tercabut namun tiada kecederaan dilaporkan, katanya.

"Jurutera sedang buat penilaian kerosakan terlibat dan saya berhasrat untuk ke sana bagi melihat sendiri keadaan fasiliti yang terjejas dan perkembangan penduduk di sana," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Klinik yang retak di Papar ialah Klinik Daerah Lohan, Klinik Kesihatan Bundu Tuhan, Klinik Kesihatan Kundasang, Klinik Daerah Terolobou, Klinik Daerah Rondogung dan Klinik Daerah Pinawantai.

Klinik Kesihatan Ibu dan Anak turut mengalami keretakan pada dinding di pintu utama.

Manakala di Tuaran, ia melibatkan Klinik Daerah Bantayan Tamparuli dan Klinik Daerah Kelawat yang mengalami keretakan pada tangga serta tiang selain terdapat kesan rekahan pada kuarters Klinik Kesihatan Simpangan.

Dr Hilmi berkata, setakat ini pihaknya menempatkan tiga pasukan di 'Medical Base Timpohon' yang terletak di kaki Gunung Kinabalu yang terdiri daripada pakar, doktor, pegawai perubatan, jururawat dan kakitangan sokongan.

"Setakat ini kita menerima 13 mayat dan kesemua mereka telah dikenal pasti serta empat bahagian anggota badan dipercayai dari mangsa berlainan," katanya.

Semalam sejumlah 11 mayat ditemui di kawasan Gunung Kinabalu menjadikan jumlah mangsa terkorban akibat bencana itu ialah 13 orang manakala enam pendaki masih hilang.

Dalam kejadian pada 7.15 pagi Jumaat itu, gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter melanda kawasan Ranau  menjadikannya gempa terkuat yang pernah dialami Malaysia setakat ini.

Gempa bumi sederhana itu disusuli gegaran kecil di empat kawasan lain iaitu di Tambunan, Tuaran, Kota Kinabalu dan Kota Belud. – Bernama


Guan Eng: Melayu lain akan isi kekosongan PAS

Posted: 07 Jun 2015 02:56 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Kekosongan yang akan ditinggalkan oleh wakil PAS dalam kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP akan terus diisi oleh orang Melayu.

Begitu janji ketua menterinya Lim Guan Eng selepas muktamar PAS meluluskan usul memutuskan hubungan dengan DAP.

"Kita mempunyai ramai lagi orang Melayu yang berkelayakan, justeru tiada masalah hendak isi kedudukan (dikosongkan)," kata Lim dalam sidang media di George Town hari ini.

"Jawatan itu akan kami isi dengan orang Melayu yang bukan daripada PAS, saya harap perkara ini jelas." 


KJ: Orang lain tak dapat tolong PM, Dr M

Posted: 07 Jun 2015 02:55 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Orang lain tidak akan dapat membantu menyelesaikan pertikaian antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan mantan perdana menteri Tun Mahathir Mohamad, kata Khairy Jamaluddin.

Sebaliknya, kata menteri belia dan sukan itu, ia perlu diselesaikan melalui perbincangan empat mata.

"Saya rasa mereka dapat buat secara (perbincangan) empat mata, tak perlu ada pihak ketiga," katanya dalam sidang media hari ini.

Jumaat lalu, NGO Sukaguam melangsungkan majlis dialog terus tetang Nothing2Hide antara Najib dan pertubuhan bukan kerajaan.

Najib tidak hadir atas nasihat polis yang bimbangkan isu keselamatan beliau.

Mahathir sebaliknya hadir penuh gaya dan berjaya mencuri pentas untuk berucap sebentar sebelum dihentikan dan diiring beredar oleh polis.

Tanpa kemunculan Najib, perdana menteri dilempar pelbagai tuduhan negatif, seperti penakut.

Sementara itu, Khairy turut bersetuju supaya sesi dialog Najib-Mahathir dibuat secara langsung di televisyen.

Beliau bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan memanggil Mahathir untuk membantu siasatan 1MDB oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

"Siapa-siapa yang dipanggil mestilah ada kaitan dengan isu prosiding. Contohnya cadangan nak panggil Tun Dr Mahathir. Tun tak ada kena mengena dengan 1MDB.

"Jadi kita hanya (panggil mereka) dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC),  mereka hanya panggil sesiapa terlibat dengan 1MDB," katanya. 


Malim Gunung Kinabalu tarik perhatian dunia

Posted: 07 Jun 2015 02:36 AM PDT

SINAR HARIAN



gempa bumi Beberapa kesan runtuhan dapat dilihat di kawasan puncak Gunung Kinabalu ekoran gempa bumi yang melanda Sabah. - Foto Bernama
 
 
KUALA LUMPUR - Peranan dan pengorbanan malim gunung dalam menyelamatkan pendaki yang terkandas di Gunung Kinabalu dalam kejadian gempa bumi baru-baru ini menarik perhatian masyarakat dunia.

Kisah keberanian dan susah payah mereka ketika menyelamatkan pendaki terbabit kini tersebar dengan meluas melalui media tempatan dan asing.

Ramai pendaki yang terkandas di gunung tertinggi di Asia Tenggara itu memuji kemahiran dan ketangkasan wira berkenaan dalam menyelamatkan mereka selepas gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter melanda Ranau pada 7.15 pagi Jumaat, yang turut menggegarkan Gunung Kinabalu.

Australian Broadcasting Corporation (ABC) dalam laporannya menyifatkan malim Gunung Kinabalu sebagai wira yang perlu diberi sanjungan.

Pendaki Australia, Vee Jin Dumlao memberitahu ABC bahawa beliau amat terhutang budi kepada malim gunung bernama Jomius, yang telah bertungkus-lumus membantu para pendaki untuk tiba di tempat selamat selepas kejadian itu.

"Malim gunung adalah wira sejati. Mereka menggadai nyawa dan membuat keputusan rumit, yang akhirnya berjaya menyelamatkan nyawa kami," katanya.

Cable News Network (CNN) pula melaporkan bahawa para malim gunung muncul sebagai wira dalam menyelamatkan mereka yang terkandas di puncak Gunung Kinabalu berikutan gempa bumi itu.

Pendaki tempatan, Nurul Hani Ideris, 29, memberitahu CNN: "Para malim gunung itu nampaknya tahu setiap inci kawasan dan berjaya membuka ruang melalui landskap yang musnah teruk, dengan memotong dahan serta mengikat tali untuk mewujudkan laluan baharu".

Lynn Siang, seorang jurucakap agensi pelancongan, menyifatkan para malim gunung berkenaan sebagai wira kerana telah melaksanakan tugas penting dalam usaha menyelamat di laluan yang terhalang oleh bungkahan batu melalui penggunaan tali.

"Apabila pendaki selesai melintas tali itu, mereka akan memijak bahu malim gunung yang menjadikan tubuh mereka sebagai kusyen," katanya kepada CNN.

Setakat ini, gempa bumi itu disahkan meragut nyawa 13 pendaki, termasuk seorang malim gunung bernama Robbi Sapinggi, manakala sekurang-kurangnya enam lagi masih belum dapat dikesan. - Bernama


TPM, Hadi bergegas keluar akibat gegaran susulan

Posted: 07 Jun 2015 02:30 AM PDT


 
 
KUNDASANG - [DIKEMASKINI] Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bergegas keluar meninggalkan bangunan ketika taklimat perkembangan Gempa Bumi Sabah selepas berlaku gegaran susulan jam 1.35 petang tadi.‎
 
Taklimat yang diadakan di Liwagu, Kundasang terpaksa ditangguhkan seketika ekoran gegaran itu.
 
Difahamkan, gegaran berkenaan adalah kali ke 35 selepas kejadian pertama Jumaat lalu.
 
Turut kelihatan bergegas keluar meninggalkan bangunan tempat itu tersebut ialah Presiden Pas yang juga Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.
 
Sementara itu, memetik laporan Astro Awani, situasi tersebut membuatkan semua orang yang berada dalam ruang itu, termasuk petugas media dan pegawai pengiring bergegas keluar.
 
Dalam taklimat itu, Muhyiddin diberitahu perkembangan usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa di Gunung Kinabalu.
 
Difahamkan, setelah suasana kembali tenang dan dilaporkan selamat, taklimat diteruskan diluar bangunan dan diakhiri dengan sidang media.
 
 

Tujuh lagi rakyat Singapura disahkan maut

Posted: 07 Jun 2015 02:27 AM PDT

SINAR HARIAN


Usaha cari enam pendaki diteruskan hari ini Helikopter jenis EC725 TUDM dan Mi17 Bomba membawa pasukan penyelamat ke Laban Rata, Gunung Kinabalu bagi mencari enam pendaki yang masih hilang.
 
 
 
SINGAPURA - Kementerian Pendidikan (MOE) Singapura hari ini mengumumkan mayat yang ditemui pihak berkuasa Malaysia telah dikenal pasti waris masing-masing sebagai lima pelajar dan seorang guru dari Sekolah Rendah Tanjong Katong.
 
Mereka ialah Ameer Ryyan Mohd Adeed Sanjay, Emilie Giovanna Ramu, Loo Jian Liang Terrence Sebastian (guru), Matahom Karyl Mitzi Higuit, Rachel Ho Yann Shiuan dan Sonia Jhala.
 
Mayat jurupandu warganegara Singapura, Muhammad Daanish Amran yang mengiringi pelajar berkenaan juga telah dikenal pasti.
 
Pada Sabtu, mayat pelajar Wee Ying Ping Peony telah dikenal pasti. Hingga kini, lapan mayat rakyat Singapura telah dikenal pasti waris masing-masing.
 
Laporan sebelum ini menyebut bahawa sekumpulan pelajar dari Sekolah Rendah Tanjong Katong berada di Gunung Kinabalu ketika gempa bumi itu berlaku pada Jumaat.  
 
MOE berkata operasi sedang diteruskan untuk mengesan seorang lagi pelajar iaitu Navdeep Singh Jaryal S/O Raj Kumar dan seorng guru Mohammad Ghazi Mohamed.
 
Kata kementerian itu, para pegawai MOE dan kementerian lain kini berada di Kota Kinabalu untuk memberi bantuan serta sokongan kepada keluarga terbabit dalam menghadapi detik-detik memilukan ini.
 
Persiapan sedang dibuat untuk membawa pulang anggota keluarga dan mayat mangsa ke Singapura secepat mungkin. -Bernama
 
 

Anuar Manan tolak andaian prestasi merosot

Posted: 07 Jun 2015 02:25 AM PDT

SINAR HARIAN



Anuar Manan Anuar Manan
 
 
PELUMBA lebuh raya profesional negara Anuar Manan menolak andaian bahawa prestasi seseorang pelumba akan merosot selepas mereka berkahwin.
 
Beliau yang baru berkahwin bulan lalu berkata ia turut bergantung pada komitmen serta disiplin seseorang atlet untuk mengekalkan prestasi mereka.
 
"Semuanya terpulang kepada pelumba itu sendiri. Jika mereka mampu mengekalkan disiplin serta menjalani latihan berterusan, ia sedikit pun tidak akan mengganggu prestasi mereka biarpun setelah berkahwin.
 
"Ramai rakan seperjuangan saya telah menamatkan zaman bujang seperti Mohamed Zamri Salleh, malahan prestasi dia semakin meningkat selepas berkahwin," katanya kepada Bernama.
 
Malah anak jati Kuala Ibai ini berazam untuk mengekalkan prestasi dalam arena berbasikal negara biar pun memegang status sebagai suami dan menegaskan statusnya itu malah memberi semangat baru untuknya melakar lebih banyak kejayaan.
 
Anuar, 29, diijab kabul dengan pasangannya Maizura Kamal pada 22 Mei lalu di Ampang, Selangor.
 
Beliau yang akan membawa cabaran negara pada Sukan Sea ke-28 di Singapura berhasrat memburu kilauan emas dalam acara lebuh raya sebagai hadiah istimewa untuk isterinya dan negara.
 
"Saya akan cuba sedaya upaya untuk membawa pulang pingat emas untuk dijadikan hadiah istimewa buat pasangan saya sekali gus menamatkan kemarau emas yang saya idamkan," katanya di sini hari ini.
 
Selain Anuar, skuad lebuh raya negara dibarisi Mohd Adiq Husainie Othman, Mohd Harrif dan Mohamed Zamri Salleh.
 
Untuk rekod, Anuar pernah melakar sejarah selaku pelumba Malaysia pertama menyarung jersi Hijau selaku Raja Pecut pada Le Tour de Langkawi 2010. -Bernama
 
 

KPDNKK terima 530 aduan berkaitan GST di Kedah

Posted: 07 Jun 2015 02:22 AM PDT

SINAR HARIAN



GST
 
 
ALOR SETAR -  Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menerima sejumlah 530 aduan berhubung Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di Kedah sejak ia dilaksana pada 1 April lepas.
 
Pengarah Pejabat KPDNKK Kedah Mohamad Fitri Hassan berkata pihaknya berkata pihaknya banyak menerima aduan berkaitan GST melalui e-aduan dengan 339 aduan diikuti 122 aduan menerusi panggilan dan 69 aduan yang dilaporkan pengguna sendiri di pejabat KPDNKK.
 
Selain menerima aduan pihaknya turut mengeluarkan 62 notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP) kepada peniaga.
 
Beliau juga berkata sejumlah 70 kes disiasat mengikut AKHAP 2011 hasil Ops Catut ke atas 27,976 premis perniagaan di seluruh Kedah yang mana Sungai Petani mencatatkan kes paling banyak dengan 21 kes diikuti Alor Setar (15), Kubang Pasu (14), Kulim (10), Baling (tujuh) dan Langkawi dengan tiga kes.
 
"Sebanyak 106 kes telah dicatatkan secara keseluruhan yang mana melibatkan 70 kes di bawah AKHAP, 32 kes di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 (ATS), tiga kes di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 (APP) dan satu kes di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (APD).
 
"Hasil pemeriksaan mendapati nilai kompaun bagi keseluruhan kes ini berjumlah RM14,500 dan melibatkan nilai rampasan berjumlah RM9,380.48," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini. -Bernama
 
 

Bongkah Batu Sebesar Trak Bergolek Menuju Ke Arah Pelajar-Pelajar Dari Singapura - Saksi

Posted: 06 Jun 2015 05:43 PM PDT

MSTAR ONLINE
 
 
Gambar salah satu bongkah batu yang terjatuh di atas jalan raya akibat gempa bumi.
 
 
 
KOTA KINABALU: Bongkah batu yang besar dan bertan-tan beratnya telah bergolek menuju ke arah sebahagian besar pelajar-pelajar sekolah rendah dari Singapura yang kebetulan pada masa kejadian sedang bersiap sedia menuruni Gunung Kinabalu iaitu gunung tertinggi di Asia Tenggara pada Jumaat di kawasan trek yang bertali.

Ia adalah kejadian yang sangat malang serta menyayat hati.

Gempa bumi yang berlaku pada jam 7.17 pagi itu dengan magnitud hampir enam pada skala Richter telah mengegar Gunung Kinabalu dengan dahsyat sekali - mengorbankan 19 nyawa setakat ini. 
 
Sebahagian daripada 30 malim Gunung Kinabalu menyertai misi menyelamat pendaki-pendaki yang terkandas di puncak gunung tertinggi Asia Tenggara itu.

Dan pada saat bongkah batu yang besar dan berat itu sedang bergolek menuruni curam dan lereng gunung berkenaan, sekumpulan 40 murid sekolah rendah dan guru mereka dari Singapura secara kebetulan sedang berada di bawah dan bersiap sedia untuk menggunakan tali di trek via ferrata.

Mereka dibahagikan kepada lima kumpulan. Setengah daripada mereka baru sahaja memasang tali keselamatan pada badan apabila mereka mendengar bunyi kuat gegaran bagaikan guruh dari atas mereka yang sebenarnya adalah bongkah-bongkah batu besar yang sedang bergolek turun ke arah mereka.

Runtuhan besar berlaku di Gunung Kinabalu menyebabkan banyak bongkah-bongkah besar jatuh di kaki gunung.

Via ferrata dikendalikan oleh Mountain Torq yang mana pemiliknya Wilfred Tok memberitahu debu dan kabus yang terhasil daripada runtuhan bongkah-bongkah besar itu telah menghalang pemandangan jurupandu daripada melihat bahaya yang sedang bergerak ke arah mereka.

Akibatnya, mereka gagal bertindak segera untuk menyelamatkan murid-murid itu yang masih terikat pada tali keselamatan mereka.

Menurut Tok, segala-galanya berlaku dengan begitu pantas sekali sehingga menyebabkan mereka tergamam dan gagal bertindak segera menyelamatkan diri.

Mayat pendaki dibawa menaiki helikopter untuk diterbangkan ke Kota Kinabalu.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Farhan Lee Abdullah berkata, kebanyakan 19 mangsa yang terkorban dalam gempa bumi itu adalah berdekatan dengan trek via ferrata trek.

Tok menambah, andai kata, gempa bumi itu berlaku 15 atau 30 minit awal, murid-murid berkenaan tidak akan berada di trek berkenaan lagi dan mereka mungkin terselamat.

Katanya, gempa bumi itu telah memusnahkan keseluruhan trek pendakian puncak Tunku Abdul Rahman.

Kawasan pendakian amat bahaya kerana terhakis.

Sebahagian besar bongkah batu dan serpihan yang bergolek ke bawah adalah di bahagian atau seksyen tali putih yang merupakan sebahagian daripada laluan Laban Rata menuju ke arah jejak ke puncak.

Runtuhan bongkah batu itu begitu teruk sehingga ia menghalang sama sekali laluan turun yang menyebabkan lebih 100 pendaki tersadai di penara puncak selama lebih 12 jam.

Saki baki serpihan batu dan bongkah besar yang pecah dan bergolek sesetengahnya sebesar trak telah menghempap via ferrata dan mengenai beberapa murid dari Singapura itu. Ada yang terus bergolek sehingga menghempap Rumah Rehat Panar Laban. 



Ada Mayat Dikhuatiri Tak Dapat Dikeluarkan

Posted: 06 Jun 2015 05:37 PM PDT

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
 
KUNDASANG: Anggota pasukan menyelamat dan mencari insiden gempa bumi di Gunung Kinabalu khuatir tidak dapat mengeluarkan beberapa mayat dari kawasan kejadian pada Sabtu kerana sesetengahnya telah dihempap dengan bongkah batu yang sangat besar.

Masalah kedua ialah, helikopter tidak dapat merapati kawasan kejadian kerana faktor cuaca dan juga keadaan muka bumi yang berbahaya.

Para penyelamat yang baru turun dari kawasan kejadian sempat memberitahu kepada para pemberita mereka yang helikopter berhadapan dengan kesukaran untuk turun di kawasan yang dikhaskan kerana faktor cuaca dan juga muka bumi.

Mereka juga berkata terdapat mayat mangsa yang berada dalam keadaan yang teruk dihempap bongkah batu yang besar malah ada di antaranya masih tersepit di celah-celah bongkah berkenaan.

Dan mereka berhadapan dengan kesukaran untuk mengeluarkan mayat-mayat berkenaan kerana batu yang menghempap mangsa terlalu besar dan berat untuk dialihkan.

Keadaan sekitar yang semakin gelap lebih menyukarkan keadaan.

"Kami dapat melihat bahagian anggota mangsa di bawah serpihan bongkah batu itu," kata salah seorang daripada mereka.

Daripada 19 mayat yang telah ditemui, 11 telah berjaya dibawa keluar dan diterbangkan dengan segera ke Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu.
 
 

Gempa Sabah: Wisma Putra Buka Talian Bantuan 24 Jam

Posted: 06 Jun 2015 05:34 PM PDT



MSTAR ONLINE





PETALING JAYA: Kementerian Luar menubuhkan bilik gerakan yang beroperasi 24 jam bagi membantu mereka yang terjejas akibat gempa bumi pada Jumaat di Sabah.

"Kementerian ingin menyampaikan rasa simpati dan takziah kepada keluarga mangsa.

"Pihak kami akan sentiasa mengambil langkah-langkah dalam membantu usaha menyelamat dengan segera dan pemulihan kepada rakyat yang terbabit dalam bencana ini, " katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu 
.
Bilik gerakan boleh  dihubungi di +603-88874570 dan +603-88892746.
 
 

Tiga pasangan terima ijazah serentak

Posted: 06 Jun 2015 05:23 PM PDT


 
 
TANJUNG MALIM – Istiadat Konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) kali ke-17 kali ini mencipta sejarah bagi tiga pasangan suami isteri apabila menerima ijazah masing-masing secara serentak, kelmarin.

Keenam-enam mereka yang melalui pengajian jarak jauh (PJJ) di bawah Program Pensiswazahan Guru (PPG) menerima pembiayaan yuran pengajian selama empat tahun daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Pasangan N Panir Selvam, 35, dan isterinya, P Puspam, 35, sama-sama mengajar di Kangkar, Pulai, Johor berkata, kemasukan mereka ke Upsi adalah permohonan kedua.

Panir yang juga Guru Penolong Kanan Kokurikulum menerima Ijazah Sarjana Muda Bahasa Tamil berkata, pemilihan Upsi adalah tepat berdasarkan kualiti dan pencapaian institusi itu sebelum ini.

"Sistem online untuk PJJ di Upsi mudah, apatah lagi kami mendapat kerjasama baik daripada kalangan pensyarah.

"Sepanjang pengajian ini, kami akui memang sibuk, selalunya kami lakukan tugasan secara bersama selepas menidurkan anak," katanya.

Pasangan ini memiliki tiga cahaya mata berusia antara 2 hingga 8 tahun.

Bagi pasangan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sekolah Rendah, Riduan Ramle, 38, bersama isteri, Norhazliza Husin, 39, menganggap belajar di Upsi sebagai pilihan tepat kerana sistem pembelajaran yang efisien dan sesuai untuk guru.

Mereka yang berasal dari Felda Sungai Koyan, Raub, Pahang sebelum ini, pernah menolak tawaran melanjutkan pengajian ke universiti tempatan lain kerana memilih mendirikan rumah tangga.

"Tawaran ke Upsi pada 2011 disambut kerana kedudukan rumah tidak jauh dengan kampus Upsi," kata Riduan yang mengajar di SK Tun Teja, Rawang.

Pasangan Anwar Ariffin, 33, dan isteri, Noridayu Mohamad Sayed, 31, mengakui belajar secara PJJ menuntut kesabaran yang tinggi kerana terpaksa menguruskan keluarga dan pengajian.

Mereka yang sama-sama mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Indah, Klang, Selangor  sejak 10 tahun lalu menganggap sistem online yang dibangunkan Upsi amat membantu untuk berinteraksi dengan pensyarah dan rakan, berforum serta proses penghantaran tugasan.
 
 

Perkhidmatan dobi mesra pengguna

Posted: 06 Jun 2015 05:19 PM PDT

Perkhidmatan dobi mesra pengguna Kedai dobi Laundry 15.
 
 
IDEA menjadikan perkhidmatan dobi mesra pengguna menyebabkan Farrahanie Yasmin Ahmad Yusoff, 27, mengambil inisiatif memperkenalkan aplikasi telefon bimbit Laundry 15 Pickup&Delivery.

Aplikasi pertama seumpamanya di Malaysia itu, menjadi taruhan Farrahanie Yasmin mencipta kelainan bagi pengguna setia perkhidmatan dobi miliknya.

"Pengguna tidak perlu lagi untuk menghantar atau menunggu pakaian dibasuh di dobi sebaliknya kami akan mengambil pakaian dari rumah. Mereka hanya perlu mengisi butiran maklumat pada aplikasi tersebut dan turut disertakan adalah kadar yang dikenakan untuk perkhidmatan itu.

"Selepas itu, kami akan datang ambil berdasarkan tarikh dan waktu yang telah ditetapkan dalam aplikasi tersebut," katanya.  

Menurutnya, aplikasi yang dilancarkan pada awal tahun ini lebih tertumpu kepada pelanggan sekitar Putrajaya, Cyberjaya dan Bandar Baru Bangi.

"Kami menyediakan van untuk mengambil dan menghantar pakaian setelah dibasuh. Kami akan mengambil pakaian setiap Selasa, Rabu, Jumaat dan Ahad," katanya.

Kata Farrahanie Yasmin, idea mencipta aplikasi itu timbul apabila ramai rakan-rakanya yang berkerjaya tidak sempat untuk menguruskan pakaian  kerana penat bekerja.

"Konsep ini sebenarnya sudah lama dipraktikkan di luar negara, tetapi masih belum sampai ke Malaysia. Pendekatan kami agak ke hadapan dan baharu dalam mendekati pengguna," katanya.

Suami beri galakkan 

Mengakui kejayaannya adalah atas galakan dan sokongan suaminya Ahmad Amir Ismail, 30, yang menjadi tulang belakang dalam penghasilan aplikasi itu.

Kata Farrahanie Yasmin, suaminya mencipta dan mewujudkan aplikasi tersebut bagi memberi nilai tambah perkhidmatan dobi miliknya.

"Bagi masyarakat, dobi hanya sebagai tempat membasuh baju. Kami tidak mahu industri dobi ini berada di takuk lama dan mahu ia menjadi lebih menarik. Biar orang terkejut bahawa perkhidmatan dobi pun ada aplikasi.

"Suami saya, seorang jurutera tetapi menyukai perkara berkaitan teknologi maklumat (IT). Percubaan pertama melancarkan aplikasi itu berjaya menarik hampir 50 pelanggan untuk bulan pertama," katanya.

Menurutnya, perkhidmatan disediakan mendapat reaksi positif pelanggan.

"Mereka memuji cara kami yang secara tidak langsung membantu menguruskan pakaian yang tidak sempat dibasuh," katanya.

Dia dan suami sedang berusaha mempromosikan aplikasi tersebut dan bagi yang berminat boleh dapatkannya di Play Store atau Apple Store.

Perluas perkhidmatan dobi

Dia juga merancang membuka lebih banyak cawangan dobi miliknya tetapi tidak mahu terburu-buru bimbang tersilap langkah.

"Buat masa ini, kami ada cawangan di Nilai Impian, Negeri Sembilan yang dibuka penghujung tahun lalu.

"Untuk tahun ini, kami mahu buka tiga lagi cawangan sekitar Shah Alam dan Kuala Lumpur dan menambah van untuk perkhidmatan ambil dan hantar pakaian," katanya.

Jelasnya, modal membuka kedai pertama dikongsi bersama suami.

"Modal kami pada ketika itu RM90,000 dan menjangkakan pulangan modal pada tahun ini sebelum membuka cawangan lain.

"Di kedai dobi kami ini juga menjalankan perkhidmatan dobi biasa dan mengambil kontrak cucian. Terbaru, kami mengambil kontrak membersihkan baju pekerja syarikat makanan( H5 Food Factory di Nilai 3) dan akan cuba menjalinkan hubungan perniagaan dengan syarikat lain," katanya.

Cari kelainan untuk berjaya

Dia turut menasihati mereka yang ingin menceburi bidang perniagaan supaya mencari kelainan dalam sesuatu yang diusahakan.

"Untuk berjaya, kita perlukan sesuatu yang berbeza supaya dapat menarik minat pelanggan. Jangan takut untuk mencuba," katanya.

'Kami tak mampu nak beli ubat'

Posted: 06 Jun 2015 05:14 PM PDT


 
 
PUCHONG – Seorang kanak-kanak yang menghidap kanser 'neuroblastoma' memerlukan kos rawatan dan pembelian ubat khas yang dianggarkan mencecah RM20,000.

Siti Salwa Abdullah, 30, memberitahu, anaknya Muhammad Haris Wafiq Mohd Hawary, 5, akan menjalani pembedahan hujung bulan ini dan perlu mendapatkan rawatan susulan menggunakan ubat khas.

Katanya, pihak hospital memberitahu bayaran ubat khas yang berfungsi mematikan sel kanser perlu dilunaskan segera supaya rawatan tidak tertangguh selepas pembedahan.

"Pendapatan suami hanya RM1,200 sebulan, tak mampu nak sediakan duit untuk beli ubat," katanya yang tinggal di Jalan TK4/13, di pangsapuri kos rendah Taman Kinrara.

Menurut Siti Salwa, kira-kira RM1,000 diperuntukkan bagi kos penjagaan Muhammad Haris termasuk membeli peralatan tiub, lampin pakai buang dan kos pengangkutan ke hospital.

Segala-galanya bermula pada bulan Mac lalu selepas anaknya demam selama sebulan, sakit kaki dan timbul benjol di bahagian leher kiri.

Selepas berulang-alik ke klinik dan hospital, doktor mengesahkan Muhammad Haris menghidap kanser. Anaknya tidak dapat bergerak seperti kanak-kanak lain selain berat badan turun mendadak.

"Memang terasa gelap dunia ketika itu, anak saya hanya sempat sekolah tadika sebulan, bila kakinya dah tak boleh berjalan saya terpaksa berhentikan dia," katanya.

Memang bukan mudah untuk dia menerima keadaan itu kerana sebelum ini anaknya l tidak pernah sakit. Selepas disahkan menghidap penyakit itu anaknya terpaksa menjalani rawatan kemoterapi selang 10 hari.

Bermula dari itu dia terpaksa mengambil cuti tanpa gaji bagi memberi tumpuan khusus menjaga anak sulung daripada dua beradik itu.

Selepas menjalani beberapa rawatan kemoterapi, Muhammad Haris akhirnya boleh berjalan tetapi akan cepat berasa letih.

"Doktor kata peluang untuk anak saya sembuh antara 20 hingga 30 peratus saja tapi sebagai ibu saya harap pembedahan berjaya dan kos rawatannya dipermudahkan," katanya.


Berakhir dengan baik walau ada tidak setuju

Posted: 06 Jun 2015 05:13 PM PDT


 
 
KUALA SELANGOR - Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din menasihati semua kepimpinan Pas yang menang atau tewas agar bermuhasabah.

Beliau berkata, muktamar sepatutnya berakhir dengan baik walaupun ada perkara yang tidak dipersetujui.

"Jangan ada hati yang terguris di muktamar ini sama ada perkara itu perlu dibahaskan berakhir dengan tidak dibahaskan.

"Yang menang dan tidak menang ada sedikit perasan... saya harap hayatilah," katanya ucapan penggulungan pada hari terakhir Muktamar Tahunan Pas ke - 61, semalam.

Menurutnya, walaupun ada perkara yang tidak disukai berlaku itu adalah demi kebaikan dan sebaliknya.

"Mungkin apa yang anda tidak suka berlaku juga. Itu adalah kebaikan kepada kamu. Dan mungkin yang kamu suka sangat tetapi tidak berlaku itu mungkin kejahatan kepada kamu," katanya.

Muktamar Pas kali ini dihadiri lebih 1,000 perwakilan daripada 191 kawasan berlangsung selama tiga hari di Stadium Tertutup Kuala Selangor dan berakhir dengan baik, semalam.

Muktamar kali ini dianggap panas apabila berlaku rombakan besar-besaran dalam kepimpinan Pas.


DHPP hairan ulama tak kawal fitnah dalam PAS

Posted: 06 Jun 2015 05:10 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) N Balasubramaniam menyatakan rasa terkejutnya melihat amalan fitnah memfitnah dan saling melabel yang berlaku dalam parti Islam itu.

Pada masa yang sama, beliau bertanya kepada PAS khususnya kumpulan ulama sama ada terdapat larangan dalam al-Quran yang menghalang seseorang melakukan amalan berkenaan.

"Saya tidak pasti sama dalam Islam, dalam al-Quran ada tidak larangan supaya jangan memffitnah dan jangan melabel orang lain. Kalau ada, kenapa ulama tidak mengawal ini berlaku dalam parti.

"Kenapa ulama tidak menegur gejala ini. Kalau label melabel ini ada dalam al-Quran, saya minta jasa baik ulama agar menunjukkan saya ayat mana dan terjemahannya.

"Kami ingin sangat mengamalkan kerana DHPP tidak mahu amalan fitnah dan label melabel berlaku dalam DHPP. Kami berharap Islam yang dibawa oleh kepimpinan ulama supaya ke hadapan.

"Kami menumpang kasih Islam yang dibawa oleh PAS," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan dalam muktamar PAS di Kuala Selangor hari ini.

Sehubungan itu, Balasubramaniam berkata gejala fitnah memftnah dan label melabel perlu diberikan perhatian oleh ulama.

Beliau juga mengajak ahli dan pimpinan PAS meneruskan gerak kerja untuk menewaskan Umno.

"Ahli dan pemimpin parti bersatu. Ulama dan profesional meneruskan gerak kerja yang berterusan sehingga ditakuti oleh Umno dan BN," katanya. 


Usul Dewan Ulama tak jejas PAS Selangor

Posted: 06 Jun 2015 05:01 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Walaupun kerajaan Pulau Pinang meminta supaya ahli PAS melepaskan jawatan dalam kerajaan negeri, namun perkara itu tidak akan terjadi di Selangor.

Exco Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad memberi jaminan pentadbiran negeri itu akan berjalan seperti biasa memandangkan perkara yang dibawa oleh Dewan Ulama hanya sekadar usul dan ia belum diputuskan oleh Majlis Syura.

"Selangor akan berjalan seperti biasa. Seperti saya katakan, usul itu hanya dibawa untuk dibincang di peringkat lebih atas, Jadi tak bermakna usul itu diterima. Sebab ada juga usul yang tak dilaksanakan.

"Maknanya usul itu telah diluluskan untuk dibawa perbincangan," katanya yang baru saja memenangi jawatan Naib Presiden PAS dalam muktamar kali ini.

Iskandar yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor menyatakan, di Selangor tidak sebarang masalah dihadapi ekoran usul dibawa - dan tidak dibahaskan - oleh Dewan Ulama semalam.

Bercakap kepada media selepas muktamar di Kuala Selangor itu berakhir, Iskandar berkata, kerja pemimpin PAS akan diteruskan seperti biasa di Selangor.

"Kita akan teruskan kerja kita sebab ada tanggungjawab kepada rakyat. Rakyat dah pilih kita atas nama Pakatan Rakyat, bermakna kalau kita berhenti atau membiarkan isu ini, ia akan mengganggu kita dan harapan rakyat telah kita khianati," katanya.

Terdahulu Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan meminta ahli PAS yang mendapat tempat dalam agensi kerajaan negeri supaya meletakkan jawatan.

Kata Lim, walaupun beliau tidak menghadapi masalah bekerja dengan sebahagian daripada ahli PAS, peletakan jawatan itu wajar kerana berkaitan dengan usul yang diluluskan tanpa bahas oleh muktamar.

Malah, bekas timbalan presiden PAS Mohamad Sabu juga berhasrat untuk melepaskan semua jawatannya dalam kerajaan Pulau Pinang minggu ini ekoran keputusan muktamar memutuskan hubungan dengan DAP.


Imej Pas tercalar kerana salah laku pemimpin PR

Posted: 06 Jun 2015 04:55 PM PDT

 
Abdul-Hadi-Awang_pkr_600


KUALA SELANGOR: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tanpa berselindung kesal dengan sikap komponen rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat (PR).

Menurutnya, Pas sejak dahulu lagi merupakan parti yang berdisiplin dan tetap mengamalkan tahaluf siyasi walaupun ketika 'berperang'.

Kata Ahli Parlimen Marang itu, pendekatan yang dipraktikkan itu bukan bermakna ia menutup pintu sebaliknya akan berdamai sekiranya diajak berbuat demiikian.

Jelasnya, apa yang dipraktik menunjukkan adalah bagi menggambarkan kemuliaan pendekatan Islam di antara komponen di dalam PR.

"Kita telah menghadapi liku-liku yang mencabar. Alhamdulillah, Pas tetap berdisiplin dalam bertahaluf siyasi serta Pas langsung tidak mengkhianati bahkan beradab dalam tahaluf," katanya sewaktu berucap di dalam sesi penggulungan di Muktamar Tahunan Pas ke-61.

Bagaimanapun, sikap mulia yang ditunjukkan Pas itu telah dicemari dengan sikap dan kelakuan dari rakan-rakan dalam PR yang menyentuh isu aqidah, syariat dan kepimpinan parti.

"Kita juga langsung tidak berkempen dalam urusan parti lain," ujar beliau lagi.

Bahkan, akibat salah laku dan sikap kurang baik yang ditunjukkan pemimpin dalam PR secara tidak langsung telah menyebabkan pemimpin dalam Pas menerima tempias dan kredibiliti mereka telah tercalar.

"Ini bukan silap kita tetapi silap rakan kita. Mereka mencuri ahli kita, tetapi kita tidak mencuri ahli. Ada juga kes salah laku pemimpin mereka, ia termasuk dalam isu-isu agama Islam," jelasnya.

Putuskan DAP: Keputusan belum muktamad

Posted: 06 Jun 2015 04:48 PM PDT

mustafa ali Mustafa Ali - Foto Sinar Harian
 
 
KUALA SELANGOR - Keputusan Dewan Ulama Pas Pusat yang sebulat suara memutuskan hubungan dengan DAP bukannya sesuatu yang muktamad.

Demikian kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali sambil menegaskan walaupun usul itu mahu dibahaskan dalam Muktamar Pas Pusat kali ini, namun ia bukan keputusan rasmi parti.

"Usul ulama itu tak payah bincang dan usul itu diiserahkan kepada Majlis Syura Ulama, memang betul dia batalkan kerjasama DAP, tapi belum muktamad.

"Kalau bincang hari ini pun, kita tak keluar (keputusan), kerana ada masalah hukum yang perlu dirujuk kepada Majlis Syura Ulama," katanya berucap pada sesi penggulungan Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-61 di Stadium Tertutup Kuala Selangor, di sini, hari ini.

Dewan Ulama Pas Pusat sebelum ini sebulat suara meluluskan usul untuk memutuskan kerjasama politik dengan DAP berikutan kelantangan parti itu menyerang kepimpinan dan perjuangan Pas.

Sementara itu, menyentuh komplot menjatuhkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, beliau berkata perkara tersebut mempunyai hubung kait dengan pemilihan parti itu.

Sehubungan itu, katanya lagi, tiada keperluan kepada jawatankuasa siasatan Pas Pusat untuk membuka semula kes tersebut kerana pemilihan sudah berlaku.

"Pemilihan sudah berlaku, bagi saya tiada kes lagi kes nak disiasat lagi.

"Kes itu sudah diambil alih kejadian kerana ada hubung kait dengan pemilihan Pas, jadi saya rasa tidak perlu korek (siasat) lagi," ujarnya.

Tiada ulasan: