Sabtu, 6 Jun 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Pelajar Singapura antara korban gempa di Sabah

Posted: 06 Jun 2015 04:13 AM PDT

 
Kematian akibat gempa bumi disahkan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun


mayat_gempabumi_600


KUNDASANG: Salah seorang korban gempa bumi di Gunung Kinabalu, disahkan pelajar dari Singapura.
Mayat kanak-kanak perempuan dikenali Wee Yee Ping, 12, dijangka dibedah siasat di Hospital Queen Elizabeth (QEH) sebelum diurus dan diserahkan kepada keluarga atau waris.

Menurut laporan yang dipetik dari Bernama, dua mayat telah dibawa turun ke Pondok Timpohon di tapak pendakian Gunung Kinabalu iaitu gunung tertinggi di Asia Tenggara, kira-kira 8.30 malam pada Jumaat.

Seorang daripada mangsa disahkan penduduk tempatan yang berkhidmat sebagai malim gunung bernama Rubbi Sapinggi, 30 tahun.

Sebelum ini pengesahan kematian pendaki telah dibuat Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun melalui laman Twitter beliau.

"Dengan amat dukacita saya hendak memaklumkan bahawa ada kematian di Gunung Kinabalu," katanya sambil menambah bahawa butirannya akan diumumkan pada Sabtu.

Gempa bumi yang berlaku pada 7.15 pagi di daerah Ranau pada Jumaat juga menyebabkan gempa susulan di lokasi-lokasi seperti Kota Kinabalu, Tambunan, Pedalaman, Tuaran dan Kota Belud.

DAP cabar Najib dedah peranan dalam 1MDB di Dewan Rakyat

Posted: 06 Jun 2015 04:11 AM PDT

najib razak
Roketkini.com


JOHOR BAHRU: DAP mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk memberitahu Dewan Rakyat tentang peranannya dalam skandal 1MDB, lebih-lebih lagi selepas ketidakhadirannya dalam forum dialog Nothing2hide semalam.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, jika Najib memang benar-benar tidak menyembunyikan apa-apa dalam skandal RM42 bilion 1MDB, beliau perlu memberitahu Dewan Rakyat.
LKS
"Sudah enam tahun Najib menyembunyikan hakikat bahawa beliaulah yang memberikan kelulusan akhir kepada perjanjian 1MDB.

"Ini membolehkan beliau mengelak dipertanggungjawabkan sejak 2009 dengan berpura-pura kononnya tidak terlibat dalam perjanjian, urusniaga dan pelaburan 1MDB.

"Tapi kini, Najib mesti mesti mendedahkan semuanya di parlimen," katanya dalam kenyataan hari ini.

Najib semalam dijadual untuk hadir dalam forum anjuran SukaGuam tapi menarik diri atas nasihat Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dengan alasan ia boleh menganggu ketenteraman awam dan keharmonian negara.

Acara tersebut akhirnya telah ditangguhkan dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir mengambil alih pentas sebelum diminta berhenti oleh pihak polis.

Berikutan ketidakhadirannya, Najib telah dikritik hebat oleh orang ramai dan pengguna media sosial dengan gelaran negatif seperti penakut. – Roketkini.com

Peletakan jawatan wakil PAS: Guan Eng terima tanpa soal

Posted: 06 Jun 2015 04:09 AM PDT

lge

Roketkini.com


GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng memaklumkan bahawa beliau akan menerima peretakan jawatan wakil PAS dalam kerajaan negeri itu tanpa sebarang soalan.

Beliau berkata, ini berikutan peletakan jawatan tersebut langsung tidak memberi sebarang impak terhadap kestabilan, kesinambungan dan kredibiliti kerajaan negeri Pulau Pinang.

lge1-650x400"Peletakan jawatan wakil PAS dalam kerajaan negeri tidak dapat dielakkan berikutan keputusan muktamar yang menerima usul Dewan Ulama tanpa perbahasan bagi memutuskan hubungan dengan DAP, meskipun kekal dalam Pakatan Rakyat (PR)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Guan Eng, biarpun tidak ada perdebatan dibenarkan semasa muktamar bagi usul itu, kepimpinan baru PAS berhak untuk mengemudi parti mereka dengan cara yang difikirkan wajar, melalui demokrasi atau autokrasi.

"Saya tidak akan mengulas tetapi menyerahkannya kepada PAS untuk menjawab kedudukan kontradik mereka apabila memutuskan hubungan dengan DAP tapi kekal dalam PR.

"Walhal PR berfungsi atas konsensus kesemua tiga parti dan tidak ada satu parti pun boleh membuat keputusan bagi pihak PR.

"Namun PAS mempunyai kebebasan dan hak untuk memutuskan hubungan dengan DAP," ujar beliau.

Bagaimanapun, Guan Eng menyatakan, beliau sedikit kesal kerana selama ini mempunyai hubungan kerja amat mesra dan baik dengan kebanyakan wakil PAS.

"Adalah suatu yang tidak dapat dipertahankan dari segi politik bagi mereka untuk kekal dalam kerajaan negeri yang diterajui oleh saya," katanya. – Roketkini.com

Ini Baru Darah Bugis!!

Posted: 06 Jun 2015 04:06 AM PDT

shahbudindotcom

 

Tindakan Najib Razak yang selalu berbangga dengah darah Bugis yang mengalir dalam tubuhnya, semakin hari semakin tidak membawa kelebihan kepadanya untuk mempertahankan kerusi Perdana Menteri yang semakin bergoyang sekarang ini.


Setelah direkodkan beberapa tindakan pengecut dan penakutnya sebelum ini, keputusannya tidak hadir, walaupun sudah bersetuju sebelum ini, dalam forum Nothing To Hide yang turut dihadiri oleh Tun Mahathir Mohamad, bagaikan suatu pengesahan mutlak seolah-olah tiada setitik pun darah Bugis mengalir dalam pembuluh darahnya.

Ini kerana orang Bugis bukanlah seperti yang ditunjukkan oleh Najib itu. Mereka ada keberanian dan jati diri yang kuat, walaupun kerap diam. Orang Bugis bukan selalu menjerit tapi dalam masa yang sama kerap pula memberi helah untuk melindungi sesuatu.

Kalau dah bertempik kata nak berlawan, orang Bugis tetap akan melawan walau hingga terasak ke dinding sekali pun.

Setelah tidak menyahut cadangan berforum terbuka sebagaimana yang telah dipersetujui oleh Tun Mahathir, tindakannya "lari malam" daripada bertentang mata dan mempertahankan hujah dalam program tersebut benar-benar memalukan dirinya, UMNO yang dipimpinnya serta kerajaan di di mana beliau menjadi ketuanya.

Tidak pernah kita ada pemimpin sebegini rupa, hanya gah bermadah dan berbicara sehala tetapi takut untuk berhujah secara bersemuka. Jauh sekali orang Bugis pernah berbuat demikian.

Lantaran itu, semua pihak terpanggil memberi reaksi masing-masing atas sikap yang ditunjukkan Najib itu. Setelah rakyat biasa dan pelbagai khalayak lain memberikan reaksi kerana ketidakhadirannya dalam forum tersebut, golongan istana juga tidak terkecuali berbuat demikian.

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim adalah yang paling awal menyatakan pendiriannya berhubung tindakan mengecewakan Najib itu. Menulis di facebook Johor Southern Tigers, baginda meluahkan kata-kata, "Bagaimana boleh diadakan suatu forum  bertajuk Nothing2Hide dengan mengetengahkan seseorang yang ingin menyembunyikan segala-galanya? Tentu sekali dia tidak akan muncul.

"Kepada mereka yang telah diberikan amanah, jangan salahkan rakyat kerana hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap anda, tetapi fikirkanlah mengapa rakyat telah hilang keyakinan dan kepercayaan terhadap anda."

Memang sudah menjadi pengetahuan umum, Kesultanan Johor ini adalah berdarah Bugis. Sebagai Tunku Mahkota Johor, dengan kelantangannya bercakap dalam pelbagai isu sebelum ini serta keberaniannya membangunkan bolasepak negeri Johor, tidak disangkal lagi darah Bugis sedang mengalir dengan lancar dalam seluruh tubuh baginda.

Baginda bukan saja berani mempertahankan idea dan perancangannya dalam membangunkan sukan bolasepak itu, bahkan tidak gentar untuk berhujah dengan sesiapa saja. Jika tidak bersetuju, baginda bukan saja tidak gentar memberikan teguran, bahkan meletakkan jawatan dan mengasingkan diri daripada Persatuan Bolasepak Malaysia atau FAM berikutan ada perkara-perkara yang tidak dipersetujuinya.

Baginda dengan jelas tanpa ragu-ragu memihak kepada rakyat dalam isu ketidakhadiran Najib dalam forum tersebut. Sebagaimana rakyat kecewa dengan tindakan Najib menyembunyikan diri dan berselindung di sebalik helah keselamatan kerana tiada kekuatan untuk menghadiri forum itu, baginda juga nampaknya senada dengannya.

Keberanian dan jujur meluahkan pendirian ini tentunya akan menjadikan baginda lebih disayangi sebagai bakal raja kerana tidak takut menegur pemimpin serta memahami perasaan rakyat jelata.

Apalagi mahu dikatakan selain "Ini baru darah Bugis" atas sikap  berani, jujur dan bersama-sama rakyat yang ditunjukkan oleh Tuanku Mahkota Johor ini. 

Daulat Tuanku!! 
 
 

Jaipk tarik balik sijil halal

Posted: 06 Jun 2015 04:00 AM PDT


 
 
IPOH – Sijil halal sebuah pusat penyembelihan ayam di Seri Manjung ditarik balik kerana melanggar Prosedur Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) setelah notis ketidakpatuhan semasa audit lapangan (NCR) diberikan sebanyak dua kali.

Perkara itu disahkan Exco Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Nizar Zakaria yang memaklumkan surat telah dikeluarkan Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk) bertarikh 1 Jun kepada syarikat yang mengendalikan pusat penyembelihan terbabit.

Menurutnya, keputusan penarikan sijil halal itu telah dibuat pada Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Negeri Perak Bil.04/2015 bersidang pada 29 Mei lalu.

"Kita tarik balik sijil halal daripada syarikat tersebut disebabkan berlakunya perlanggaran dari sudut pemprosesan produk.

"Sijil halal yang ditarik balik itu juga akan dikembalikan sekiranya pihak berkenaan memperbetulkan kesalahan dan tidak mengulanginya kembali," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Peruntukan kepada Masjid dan Surau di Perak, di sini, semalam.

Mohd Nizar berkata, pada ketika ini syarikat berkenaan tidak dibenarkan menggunakan logo halal Malaysia pada produk atau premis-premis di seluruh cawangan kerana ia menjadi kesalahan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

"Perkara itu jelas dan penguatkuasaan yang dibuat merujuk kepada akta berkenaan," katanya.

Selain itu, katanya, penarikan sijil halal berkenaan bukan sahaja membabitkan pusat penyembelihan itu bahkan ada juga beberapa pihak atau pengusaha lain yang dikenakan tindakan sama.

"Memang ada ditarik balik (sijil halal) dan ada juga yang di dalam perhatian pihak kami," katanya.

Sejak semalam, satu surat mengenai penarikan sijil halal itu mula viral di laman-laman sosial serta mengundang tanda tanya pelbagai pihak.

Dalam pada itu, menjelang Ramadan ini, beliau berkata, pihaknya akan melakukan pemantauan terhadap para peniaga, pengusaha restoran dan hotel yang menjalankan perniagaan di bulan Ramadan ini bagi mengelakkan masalah berkaitan status halal berulang kembali.

"Pemantauan juga akan melibatkan faktor pengurusan makanan, keadaan dapur, tempat menghasilkan produk makanan dan bahan yang terkandung dalam produk itu juga akan diberi penumpuan sepenuhnya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Nizar berkata, hampir setengah juta ringgit disumbangkan kepada 11 masjid dan surau di Perak khusus bagi membaik pulih prasarana serta kemudahan asas sedia ada.

"Jumlah peruntukan yang diberikan itu berbeza dan mengikut jenis kerosakan atau kemudahan yang hendak diganti dan dibaik pulih," katanya.

Katanya, sumbangan itu juga membuktikan bahawa kerajaan negeri amat prihatin dan komited dalam membantu membaik pulih rumah ibadat.

"Ia juga merupakan tugas dan tanggungjawab kami dalam menggalas kepercayaan dan amanah yang diberikan oleh rakyat," katanya.
 
 

Korban gempa di Gunung Kinabalu meningkat

Posted: 06 Jun 2015 03:58 AM PDT

 
Dua lagi mayat ditemui menjadikan angka korban sehingga tengahari Sabtu meningkat kepada 13 nyawa


mayat-1


RANAU : Dua lagi mayat ditemukan dalam operasi mencari dan menyelamat di sekitar Gunung Kinabalu pada petang Sabtu.

Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Mohd. Farhan Lee Abdullah berkata, jumlah itu menjadikan bilangan mereka yang terkorban adalah seramai 13 orang.

Pihaknya kini masih mengesan baki enam lagi mangsa yang dipercayai terkandas di gunung itu.

Sebelum ini, seorang warga tempatan yang bertugas sebagai malim gunung dan seorang pelajar berusia 12 tahun disahkan antara mangsa korban gempa.

Cari punca sokongan menurun

Posted: 06 Jun 2015 03:53 AM PDT

Nor Azariza Mohd Alawi Nor Azariza Mohd Alawi
 
 
PELBAGAI perancangan dirangka Pemuda Pas Kota Bharu untuk tingkatkan sokongan anak muda Muktamar Pas 2015 berlangsung semalam sehingga 6 Jun ini.

Bagaimanapun, sebelum menjelangnya hari yang ditunggu-tunggu sebelum ini, banyak kritikan dan serangan dilemparkan terhadap Pas terutama dalam usaha pelaksanaan hudud di Kelantan.

Wartawan Sinar Harian, SITI FATIMAH AWANG berkesempatan mewawancara Timbalan Ketua Pemuda Pas Kelantan, NOR AZARIA MOHD ALAWI yang juga Ketua Pemuda Pas Kota Bharu bagi mengupas beberapa isu yang sering dibincangkan sejak kebelakangan ini.

Sebagai Ketua Pemuda Pas Kota Bharu dan Timbalan Ketua Pemuda Pas Kelantan yang baharu, apakah perancangan Ustaz untuk meningkatkan lagi sokongan muda mudi terhadap Pas yang dikatakan sedikit menurun sejak kebelakangan ini?

Jika ditanya mengenai perancangan tersebut khususnya di Kelantan dan Kota Bharu, pertamanya kita mesti tahu apakah punca jadi penyebab sokongan anak muda itu semakin menurun. Maka daripada situlah, kita perlu menyelesaikan masalah tersebut.

Jika anak muda mengatakan ia berlaku kerana wujudnya kemelut dalam Pas, maka Pemuda Kota Bharu dan Pemuda Kelantan bersedia menyelesaikan kemelut ini.

Yang keduanya, antara perancangan ditulis Pemuda Pas Kota Bharu ialah meningkatkan kerjasama dengan rakan Pakatan Rakyat (PR). Setiap program mestilah dilakukan bersama supaya nampak kebersamaan kita dan mengurangkan kontroversi antara PR.

Kita juga sasarkan anak muda yang berada di luar Kelantan. Kita ada bermesyuarat, antaranya ialah Karnival Anak Muda di perantauan akan diadakan selepas raya ini. Insya-ALLAH, semua ini perancangan kita untuk tingkatkan keyakinan anak muda terhadap Pas Kelantan. Kita juga ada menganjurkan seminar, malah ada juga diadakan di luar Kelantan.

Bagaimana hubungan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dengan Pemuda Pas negeri. Dalam beberapa aspek, kedua-dua sayap parti komponen PR ini dilihat tidak seiring.

Itu perkara biasa kerana AMK dengan ideologinya dan kita dengan ideologi kita tetapi kita bekerjasama atas perkara disepakati dan bertolak ansur serta saling faham memahami. Apabila peringkat atasan sudah ada persetujuan 'agree to disagree', maka benda ini tidak sepatutnya menjadi masalah. Saya nampak Pas kena kembali kepada matlamat perjuangan asal, sebab sokongan ini bukannya datang daripada anak muda yang berada di luar Pas, sokongan yang penting bagi kita juga ialah orang asal Pas itu. Orang asal Pas ini apabila mereka lihat Pas semakin lari dengan matlamat asal, maka kemungkinan sokongan itu akan lari juga. Ini penting untuk kita. Tidak lari daripada matlamat perjuangan asal untuk tegakkan Islam. Dalam masa sama, kita perlu tarik orang luar Pas. Kedua-duanya penting.

Sebagai pemimpin Pas Kota Bharu yang terdiri daripada golongan ulama, bagaimana kedudukan Ustaz tatkala majoriti pemimpin tertinggi Pas Kota Bharu terdiri daripada golongan bukan ulama?

Jika nak dikatakan fokus Kota Bharu, saya berada di sini sejak 2006. Sampai sekarang, tidak timbul masalah, saya anggap Yang Dipertua, Datuk Wan Rahim Wan Abdullah adalah guru politik yang saya selesa bekerjasama dengannya. Tidak timbul isu apa-apa.

Apakah pendapat Ustaz mengenai keputusan Pas Kota Bharu mencalonkan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai Presiden Pas dan menganjurkan ceramah membabitkan Lim Kit Siang di Kota Bharu baru-baru ini?

Saya salah seorang daripada tiga individu yang tidak bersetuju dengan pencalonan tersebut. Saya tetap dengan pendirian presiden kini lebih sesuai dan kekal tetapi keputusan telah dibuat dan ia adalah suara majoriti, maka tidak ada apa-apa yang perlu dipertikaikan lagi.

Kita ikut majoritilah, tidak perlulah kita memberontak dan sebagainya. Kita bermesyuarat, masing-masing ada pandangan sendiri.

Tentang ceramah tersebut, saya rasa tidak ada masalah. Saya hadir sebelum ini semasa Ahmad Awang dijemput sebelum ini, cuma ketika ceramah di Padang Perdana itu, saya berada di luar kawasan. Saya tahu semuanya, tidak ada masalah.

Saya anggap memang patut kita mengajak ketiga-tiga wakil daripada parti itu, cumanya adalah lebih manis jika sebelum ceramah, kita beritahu kepada panel supaya dia menyebut tentang isu sensitif atau bincangkan tentang Pulau Pinang berbanding dengan hudud Pas Kelantan.

Kalau saya ada, mungkin saya akan beritahu macam itu, mungkin akan ada 'guideline' dulu.

Ustaz dikatakan mempunyai hubungan kurang baik dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), termasuk kononnya pernah tidak disambung tauliah sebagai imam mukim. Jika benar, kenapa keadaan ini berlaku?

Saya balik dari Pakistan pada 2005 dan pada 2006, menjawat jawatan Imam Masjid Cempaka selama dua tahun, selepas itu Masjid Cherang dua tahun.

Sewaktu mula-mula balik, jadual tidak ketat tetapi apabila sudah mula berkecimpung dalam dunia ceramah ini, dengan jemputan yang banyak, maka kekangan masa untuk menjalankan tugas sebagai imam itu agak terhad.

Jadi itu mungkin kecuaian saya yang tidak menjalankan tugas imam muda dengan baik, menyebabkan Maik memberhentikan kontrak saya. Cumanya ada beberapa faktor yang saya rasa tidak berlaku.

Contohnya berkhutbah, saya pernah dipanggil dan ditegur mengenai hal tersebut, kenapa tidak membaca khutbah mengikut teks dan saya kata, saya ini semasa mula-mula menjadi imam, saya telah diberi kursus dan pemberi kursus ketika itu ialah timbalan mufti yang kini Mufti Kelantan.

Beliau ada menyebut bahawa imam boleh berkhutbah sendiri asalkan jangan keluar daripada garis panduan dan saya rasa tidak salah saya berkhutbah kerana saya mampu melakukannya, dan teks disediakan adalah untuk mereka yang tidak mampu memberi khutbah.

Namun, perkara itu telah disangkal Maik ketika itu yang tetap juga mahukan saya berkhutbah mengikut teks dan sebagainya. Keterlibatan saya dalam politik juga diambil kira kerana sebagai seorang imam, saya tidak boleh menjawat jawatan penting dalam politik.

Jadi saya diberikan pilihan sama ada memilih imam atau politik, saya kata dua-dua pun saya nak sebab kedua-duanya medan dakwah. Maka saya pilih politik.

Saya tidak menandatangani surat pemberhentian imam itu sehinggalah akhir tahun, ia tidak disambung secara automatik. Alasan kukuh yang diberhentikan adalah disebabkan politik. Hubungan kini tidak ada masalah.

Bagaimana Ustaz melihat hala tuju Pas selepas berakhirnya Muktamar Tahunan Pas, khususnya dalam konteks kedudukannya dalam PR?

 Saya menaruh kepercayaan tinggi terhadap presiden. Saya sering dengar presiden mengatakan kita akan tetap dalam PR. Presiden orang lama dalam politik dan beliau amat tahu bahawa kita nak memerintah ini memerlukan hubungan dengan PR.

Kalau kita berpisah, kita seorang diri, maka untuk mencapai kemenangan itu agak sukar, namun ia bukanlah mustahil.

Sebab itulah saya nampak, selepas muktamar ini pun Pas akan tetap terus bersama dengan PR. Tidak ada apa-apa yang akan membezakan kecuali DAP keluar PR, itu kita tidak boleh cakap apa lah. Tuan guru (Abdul Hadi) banyak kali cakap macam itu, dan saya amat yakin dengan kata-katanya.

Dalam PR, PKR bagaikan berdiam diri seketika tetapi DAP dilihat semakin hari semakin menyerang Pas. Adakah disebabkan perkara itu menyebabkan wujud kumpulan dalam Pas yang mahukan Pas bersendirian.

Itu adatlah, adat berkawan. Serupa dengan hubungan suami isteri, duduk bertahun-tahun pun kalau berlainan pendapat itu perkara biasa, adat. PR ini pun baru beberapa tahun, tambah pula kita dengan DAP mempunyai haluan berbeza.

Satu sahaja yang saya nampak, masing-masing ingin mengekalkan sokongan. DAP ada penyokongnya, kita pun ada penyokong kita.

Kalau dia menegaskan untuk tidak menyokong hudud, semata-mata nak jaga sokongan orang bukan Islam terhadapnya, DAP kena sedar yang kita ini parti Islam, ramai orang Islam menyokong kita.

Kita tidak boleh keluarkan kenyataan senang-senang nak berhenti daripada melaksanakan hudud, tidak boleh, penyokong di bawah yang letak harapan tinggi pada kita akan kecewa nanti. Jadi bagi saya, apa yang berlaku sekarang tidak ada masalah, DAP dengan pendiriannya.

Biar nampak tegang, tapi pihak atasan itu pandai-pandailah duduk semeja. Kita selesaikanlah masalah ini. Ramai penganalisis membayangkan akan berpecah tapi Pas tidak akan keluar. DAP keluar atau DAP dan PKR tendang Pas. Itu cerita lainlah. Sebagaimana presiden sebut, kita ada pengalaman bersendiri.

Apa komen Ustaz atas dakwaan kerajaan Kelantan mengabaikan perkara asas mengenai kebajikan rakyat termasuk pembelaan mangsa banjir dan menggunakan isu hudud bagi menutup kekurangan ini?

Itu satu dakwaan tidak berasas kerana kerajaan Kelantan masih konsisten dengan peruntukan cukup terhad. Kebajikan tetap macam biasa, semua ada. Cuma banjir datang tanpa disangka.

Maka kerajaan Kelantan yang mempunyai kewangan terhad, mungkin nampak agak perlahan menjaga kebajikan mangsa banjir. Nak selesaikan masalah rumah bukan mudah, dengan adanya khemah sekarang ini itulah yang kerajaan mampu buat setakat ini.

Ada juga yang ada rumah tapi sengaja duduk dalam khemah supaya sentiasa mendapat bantuan daripada kerajaan.

Pemuda negeri kini diberikan tanggungjawab mengetuai satu usaha, yang mana kita mahu lihat sebelum Syawal ini khemah tidak akan wujud lagi. Insya-ALLAH, kerajaan Kelantan sudah buat banyak, yang tinggal hanya birokrasi kerajaan pusat sahaja.


23 sekolah terjejas akibat gempa bumi akan dibantu

Posted: 06 Jun 2015 03:47 AM PDT

SINAR HARIAN


Muhyiddin Yassin Muhyiddin Yassin
 
 
KUALA LUMPUR - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, 23 sekolah di enam daerah di Sabah terjejas akibat gempa bumi dan khidmat pakar akan digunakan bagi mengenal pasti sama ada bangunan terlibat selamat digunakan sebelum langkah pembaikan dilaksanakan.

Timbalan perdana menteri berkata, laporan awal Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah menunjukkan ia membabitkan 16 Sekolah Kebangsaan, enam Sekolah Menengah Kebangsaan dan sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di daerah Ranau, Tuaran, Kota Belud, Penampang, Nabawan dan Keningau.

Dalam kenyataan hari ini, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, kerosakan dikesan pada struktur di bangunan sekolah, kuarters guru, jalan raya dan tanah di sekitar kawasan sekolah.

"Kementerian sedang mendapatkan khidmat pakar dari Unit Forensik Jabatan Kerja Raya untuk mengenal pasti sama ada bangunan-bangunan terlibat selamat digunakan sebelum tindakan pembaikan dibuat," katanya.

Muhyiddin berkata, peruntukan mencukupi akan disalurkan segera kepada JPN Sabah supaya kerosakan ini dapat dibaiki supaya tidak mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah terbabit.

Kementerian Pendidikan, kata Muhyiddin, sedang menunggu laporan penuh daripada JPN Sabah mengenai anggaran kerosakan.

"Keutamaan kementerian ialah untuk memastikan keselamatan pelajar dan guru terjamin dan proses pengajaran dan pembelajaran tidak tergendala apabila sesi persekolahan dibuka semula," katanya.

Beliau berkata, sekiranya perlu, pihak kementerian akan menempatkan pelajar yang terjejas ke sekolah-sekolah berdekatan supaya mereka dapat mengikuti pembelajaran seperti biasa.

Gempa bumi sederhana berukuran 5.9 pada skala Richter berlaku di Ranau pada 7.15 pagi semalam disusuli gegaran-gegaran kecil sehingga malam tadi.

Gegaran turut dirasai di kawasan lain seperti Tambunan, Tuaran, Kota Kinabalu dan Kota Belud.

Polis Ranau setakat ini mengesahkan dua kematian akibat kejadian gempa berkenaan yang turut mengakibatkan pendaki-pendaki Gunung Kinabalu dan malim atau jurupandu gunung terkandas sebelum diselamatkan pasukan penyelamat.

Usaha masih dilakukan untuk mengesan 17 pendaki gunung dan jurupandu berkenaan. - Bernama


Khalid kritik Azmin lagi isu air

Posted: 06 Jun 2015 03:44 AM PDT

 
Tiada alasan kerajaan Selangor menangguhkan pengambilalihan industri air kerana perkara asas perjanjian telah pun diselesaikan 


Khalid-Ibrahim_langat_water_600


PELABUHAN KLANG: Kelewatan Kerajaan Selangor menyelesaikan penstrukturan semula air bakal menyebabkan rakyat menderita.

Bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, bukan sahaja Langat 2 tidak dapat diteruskan malah kerajaan Selangor juga tidak melaksanakan projek HORAS yang bertujuan menambah bekalan air bersih.

"Kerajaan Negeri perlu cepat bertindak bagi memenuhi keperluan pengguna dan industri.

"Tiada alasan untuk pengambilalihan air oleh kerajaan negeri ditangguhkan lagi kerana perkara asas perjanjian telah saya selesaikan, katanya yang meletak jawatan September tahun lalu.

Beliau menghadiri program Tahlil Perdana dan Sajian Rakyat di Pulau Indah pada Sabtu.

Abdul Khalid berkata, masalah kewangan bukan alasan kerana kerajaan Persekutuan telah setuju memberi dana RM2 bilion untuk kerajaan Selangor ambil alih empat syarikat konsesi.

"Jumlah ini tidak seberapa berbanding aset-aset air yang dimiliki kerajaan negeri yang dianggarkan bernilai RM7 bilion," katanya.

Katanya, isu pemilikan tanah sepatutnya tidak dijadikan alasan untuk pengambilalihan itu ditangguh kerana ia telah pun dipersetujui antara kerajaan negeri dan Persekutuan sebelum ini.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) mendakwa bekakan air terawat berada paras kritikal kerana projek penambahan air tidak dapat dilaksanakan sehingga penstrukturan selesai

Khalid jawab dakwaan bakal sertai Pas

Posted: 06 Jun 2015 03:42 AM PDT

 
Hubungan baik dengan golongan ulama Pas telah terjalin sejak beliau menjadi Setiausaha agung PKR 


Khalid-Ibrahim_pas_600_1


PELABUHAN KLANG: Tan Sri Khalid Ibrahim menafikan beliau akan menyertai Pas kerana hubungan rapatnya dengan pemimpin pro ulama.

Bekas Menteri Besar Selangor itu berkata, hubungan rapat itu telah terjalin semenjak beliau menjadi Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Masuk Pas? Perkara ini tiada dalam agenda saya," jawabnya ringkas ketika ditanya desas desus itu selepas program Tahlil Perdana dan Sajian Rakyat di Pulau Indah pada Sabtu.

Beliau sebelum itu hadir sebagai pemerhati bebas di Muktamar Pas di Kuala Selangor dan disambut meriah pemimpin dan ahli Pas yang seakan-akan mengesahkan dakwaan Ahli Parlimen Bebas Bandar Tun Razak itu akan menyertai Pas.

Dalam perkembangan lain, Abdul Khalid berkata, perubahan kepemimpinan Pas disebabkan sikap campur tangan DAP dalam hal ehwal parti itu.

Katanya, perubahan drastik dalam Pas itu sebagai pengajaran kepada parti lain supaya tidak mencampuri urusan dalaman rakan parti lain.

Beliau bagaimanapun percaya, Pas dan DAP mampu menyelesaikan masalah antara mereka dengan baik

Penulis blog manipulasi Twitter Hannah Yeoh

Posted: 06 Jun 2015 03:40 AM PDT

 
Berikutan kesilapan maklumat yang dimuat naik, ia telah disebarkan di laman sosial dan menjadi bahan kutukan


Hannah-Yeoh_tweet_600



PETALING JAYA: Sebuah laman blog memuat naik status lama Twitter Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, DAP Hannah Yeoh dan cuba mengaitkannya dengan kejadian gempa bumi di Sabah, pada Jumaat.

Penulis yang dikenali sebagai khairulryezal kemudian menggunakan status itu dan menyebarkan melalui entri di blognya.

"Hendak dikatakan bengap, beliau merupakan salah seorang ADUN di Selangor. Namun, sikap beliau yang tidak sensitif terhadap isu nasional amat dikesali. Apakah Hannah Yeoh tidak mengetahui gempa bumi yang berlaku pada pagi ini adalah di Sabah dan bukannya Sarawak?

"Kita tahulah Sarawak akan mengadakan Pilihan Raya Negeri tidak lama lagi. Tidak perlulah membodek sebegitu rupa. Tidak salah berdoa untuk rakyat Sarawak. Cuma kita doakanlah dahulu untuk Rakyat Sabah yang ditipa bencana alam. Ada yang hendak kena tambat dekat Gunung Kinabalu kalau macam ni," komen seorang penulis di laman blognya, khairulryezal.blogspot.com

Berikutan kesilapan maklumat yang dimuat naik, ia telah disebarkan di laman sosial dan menjadi bahan kutukan yang mempersoalkan tahap pengetahuannya.

FMT bagaimanapun difahamkan bahawa entri tersebut telah dipadam daripada blog terbabit.

'Saya tidak tahu lagi, saya tidak tahu'

Posted: 06 Jun 2015 03:36 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata beliau menunggu laporan rasmi daripada DAP berhubung permintaan Ketua Menteri Pulau Pinang supaya semua wakil PAS di negeri itu meletakkan jaawatan daripada agensi kerajaan negeri.

Sehingga laporan rasmi diterimanya, Abdul Hadi berkata beliau tidak dapat memberikan sebarang kenyataan mengenai permintaan Lim Guan Eng itu.

Malah Presiden PAS itu juga menjelaskan usul memutuskan hubungan dengan DAP oleh Dewan Ulama itu hanya dipersetujui di peringkat muktamar.

Katanya, usul berkenaan perlu dibawa pula ke Majlis Syura dan keputusan tidak dibuat dalam muktamar.

"Saya perlu menunggu laporan daripada rakan-rakan Pulau Pinang terlebih dahulu. Tak boleh nak buat apa-apa kenyataan sebelum mendapat kenyataan yang terperinci.

"Usul itu sebenarnya diterima untuk dibawa ke Majlis Syura dan tidak buat keputusan di dalam muktamar," katanya di sidang media selepas berakhirnya muktamar PAS tahun ini.

Abdul Hadi yang menang dalam pemilihan selepas dicabar untuk kali pertama sejak menjadi presiden berkata, usul Dewan UIama itu perlu dikaji terlebih dulu oleh Majlis Syura.

Ditanya bilakah usul mengenai memutuskan hubungan dengan DAP akan dibincangkan, Ahli Parlimen Marang itu berkata ia akan dilakukan segera.

"Seberapa segera yang dapat dilaksanakan," katanya ringkas.

Berhubung hasrat bekas Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu yang ingin melepaskan semua jawatannya dalam kerajaan Pulau Pinang, Hadi hanya berkata: "Saya tak tahu lagi. Saya tak tahu," katanya ringkas.


Ulama tetap wala' walau terkilan

Posted: 06 Jun 2015 03:34 AM PDT

Mahfodz Mahfodz. Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB
 
 
KUALA SELANGOR - Dewan Ulama Pas Pusat hari ini berasa terkilan apabila usul tahaluf siyasi dengan DAP hanya diterima tanpa bahas dalam Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-61.

Ketuanya, Datuk Dr Mahfodz Mohamad bagaimanapun berkata, pihaknya sedia menerima apa juga keputusan yang bakal diputuskan oleh Majlis Syura Ulama (MSU) selepas Muktamar Pas Pusat.

"Namun, ulama tetap wala' kepada kepimpinan (Pas), lepas ini kita tak akan panggil wartawan luahkan perasaan tak setuju dengan keputusan itu.

"Kita cadangkan MSU buat keputusan sama ada nak terima atau tolak, kalau tolak, ulama akan mula-mula menyokong keputusan MSU itu," katanya berucap pada sesi penggulungan Muktamar Pas Pusat ke-61, di Stadium Tertutup, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mahfodz juga menegaskan bahawa tidak wujud pertembungan antara golongan ulama dan profesional pada mesyuarat tahunan parti itu.

"Tidak berlaku pertembungan antara ulama dan profesional kerana dalam golongan ulama sendiri ada juga profesional dan sebaliknya.

"Pertembungan itu hanyalah berlaku kerana mereka ini mempunyai pemikiran yang berbeza sahaja," katanya lagi.


Mat Sabu lepas jawatan di Pulau Pinang

Posted: 06 Jun 2015 03:30 AM PDT

SINAR HARIAN


Mohamad Sabu Mohamad Sabu - Foto Bernama

 
 
‎KUALA SELANGOR - Bekas Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu‎ hari ini memutuskan untuk melepaskan jawatannya sebagai Lembaga Pengarah bekalan air Pulau Pinang dan Penang International Halal Hub (PIHH).
  
Beliau yang lebih dikenali 'Mat Sabu' berkata, keputusan itu dibuat berikutan keputusan Muktamar Tahunan Pas Pusat kali ke-61 menerima usul Dewan Ulama tanpa perbahasan iaitu memutuskan hubungan dengan DAP, meskipun kekal dalam PR.
  
"Saya mulakan (peletakan jawatan) ini dan mungkin boleh diikuti rakan-rakan di Selangor. Kita (Pas) akan kuat bila berseorangan," katanya yang dilihat penuh dengan nada merajuk dan sinis pada sesi penggulungan di hari terakhir Muktamar kali ke-61, di sini hari ini.
  
Mat Sabu yang dilihat pemerhati politik sebagai pro-DAP, gagal mempertahankan jawatannya pada pemilihan Pas Khamis lalu selepas tewas kepada Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
  
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Usul, Datuk Mahfuz Omar memaklumkan usul Dewan Ulama itu tidak akan dibahaskan hari ini kerana ia (usul) sensitif dan perlu diputuskan oleh pimpinan Pas.
  
Mahfuz yang juga Ketua Penerangan Pas berkata, usul berkenaan perlu dibincangkan di peringkat pimpinan kerana dibimbangi ia akan menjejaskan kedudukan parti itu di Pulau Pinang dan Selangor.
  
Semalam, Tuan Ibrahim ketika dihubungi Bernama mengesahkan usul berkenaan akan dikaji di peringkat Majlis Syura dan Jawatankuasa Kerja Pas Pusat. - Bernama


Gempa Ranau: Empat mayat dibawa turun, tujuh masih di Laban Rata

Posted: 06 Jun 2015 03:24 AM PDT

THE RAKYAT POST

 

KDN-Ops Kinabalu-Mayat Kumpul-Laban Rata
Semua 11 mayat yang ditemui dikumpulkan di Laban Rata, dan empat daripadanya sudah dibawa turun. - Foto Twitter KDN



KUNDASANG: Dua lagi mayat yang terbunuh di Gunung Kinabalu akibat kejadian gempa bumi semalam dan daripada jumlah itu, empat mayat telah dibawa turun ke kaki gunung oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

 

Menurut Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Farhan Lee Abdullah, dua mayat diusung turun oleh anggota pasukan SAR manakala dua lagi diterbangkan turun menggunakan helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Beliau mejelaskan, tujuh lagi mayat kini masih berada di Laban Rata dan semua mayat ditemui dalam keadaan baik.

"Semua mayat dikumpulkan di Laban Rata, iaitu stesen terakhir sebelum pendaki meneruskan pendakian ke puncak Kinabalu.

"Helikopter berkenaan berjaya mendarat di Laban Rata dan membawa turun dua mayat terus ke helipad (tapak pendaratan helikopter) di Kundasang.



Helikopter TUDM membantu menerbangkan dua mayat mangsa ke Kundasang hari ini, manakala dua lagi mayat diusung turun anggota pasukan SAR sebelum itu. - Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah.
Helikopter TUDM membantu menerbangkan dua mayat mangsa ke Kundasang hari ini, 
 manakala dua lagi mayat diusung turun anggota pasukan SAR sebelum itu. – Foto Jabatan
 Bomba dan Penyelamat Sabah.

"Dua lagi mayat sudah diusung turun sebelum itu, namun ia mungkin memakan masa untuk tiba ke kaki gunung memandangkan keadaan laluan trek yang rosak," jelas beliau.

Katanya lagi, pihak berkuasa dan pasukan SAR berharap dapat membawa turun semua tujuh lagi mayat yang masih berada di Laban Rata hari ini.

"Mayat mangsa warga tempatan akan dihantar ke Hospital Daerah Ranau untuk diibedah siasat, manakala proses yang sama untuk mayat warga asing akan dijalankan di Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu," katanya sambil menambah anggota pasukan forensik sedang menunggu ketibaan semua mayat bagi membantu proses pengecaman dan pengesahan identiti.

Farhan turut memaklumkan kebanyakan kes kematian berpusat sekitar kawasan Via Feratta, yang terletak antara Kilometer 6.5 dan 7.5 daripada Timpohon Gate, iaitu gerbang masuk ke Gunung Kinabalu.

"Kami akan meneruskan operasi mencari dan menyelamat enam lagi inndividu yang masih hilang. Kami mendoakan yang terbaik bagi baki mangsa yang belum ditemui ini," katanya.


Sembilan lagi mayat ditemui di Gunung Kinabalu

Posted: 05 Jun 2015 11:11 PM PDT

SINAR HARIAN



gempa bumi Beberapa kesan runtuhan dapat dilihat di kawasan puncak Gunung Kinabalu ekoran gempa bumi yang melanda Sabah. - Foto Bernama


SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Sembilan lagi mayat ditemui di Gunung Kinabalu sehingga tengah hari ini, jadikan keseluruhan 11 maut akibat gempa bumi yang berlaku di Sabah, semalam.

Semalam, dua mayat telah berjaya dibawa turun dari Gunung Kinabalu dan salah seorang darinya adalah malim gunung bernama Rubbi Sapinggi, 30, manakala seorang lagi ialah wanita warga asing.

Sementara itu, menurut Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun, lapan individu masih belum dapat dikesan.

Beliau berkata, identiti mayat yang dijumpai hari ini, belum dikenal pasti.

"Pihak forensik daripada PDRM (Polis Diraja Malaysia) sudah pun tiba di sini untuk mengenal pasti mereka yang berkenaan, dan kenyataan lanjut akan dikeluarkan pihak polis nanti.

"Kenyataan akan dikeluarkan apabila semua tugasan mengenal pasti mereka yang terlibat sudah diselesaikan," ," katanya yang dipetik Bernama.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di pusat operasi yang dibuka di Taman Kinabalu, pintu masuk ke gunung itu di sini.

Beliau berkata anggota pasukan SAR sedang berusaha sedaya upaya untuk mengesan mereka yang hilang.
Gempa bumi yang berlaku pada 7.15 pagi di daerah Ranau itu juga menyebabkan gempa susulan di lokasi-lokasi seperti Kota Kinabalu, Tambunan, Pedalaman, Tuaran dan Kota Belud.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia berkata, gegaran lemah dirasai di Ranau pada 11.13 malam dan 11.32 malam semalam.

Gegaran itu bermagnitud, masing-masing 4.3 dan 2.8 pada skala Richter.

Petugas media dan anggota lain yang berkumpul di pusat operasi ditubuhkan di Taman Kinabalu, yang menjadi pintu masuk ke gunung itu di Kundasang, dilihat bergegas lari untuk menyelamatkan diri. - Bernama

Lebih 25 gegaran susulan dirasai di Ranau

Posted: 05 Jun 2015 11:03 PM PDT

ANTARAPOS.COM

 
Post Pic
 
 
 
KOTA KINABALU: Sekurang-kurangnya 25 gegaran susulan dirasai di Ranau selepas gempa bumi pertama berukuran 5.9 pada skala Richter yang berpusat di daerah itu, jam 7.15 pagi semalam. 
 
Berdasarkan laman web Jabatan Meteorologi Malaysia, semua gempa bumi lemah itu yang direkodkan ialah berukuran 2.5 hingga 4.3 pada skala Richter. 
 
Gegaran paling kuat ialah pada jam 11.13 malam tadi, berukuran 4.3 pada skala Richter yang dilaporkan dirasai hingga ke Kota Kinabalu menyebabkan ada penghuni pangsapuri diarah mengosongkan bangunan sementara atas faktor keselamatan. 
 
Kali terakhir gegaran dirasai ialah pada 11.32 malam.
 
 

Bas ekspres terbakar, 30 penumpang selamat

Posted: 05 Jun 2015 10:58 PM PDT

ANTARAPOS.COM


Post Pic

 
 
BUTTERWORTH: Sebuah bas ekspres yang membawa 30 penumpang terbakar di Kilometer 149.7 Lebuhraya Utara Selatan arah utara, dekat Juru pagi tadi. 
 
Dalam kejadian jam 9.20 pagi itu, bas yang di dalam perjalanan menuju arah selatan Pulau Pinang itu terbakar lebih 70 peratus dipercayai bermula dari enjin di bahagian belakang bas. 
 
Jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan dari orang awam pada jam 9.26 pagi.
 
"Dua jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Prai dan Sungai Bakap tiba di tempat kejadian lapan minit kemudian dan kerja pemadaman api berjalan dengan lancar. 
 
"Api dapat dipadamkan dalam tempoh 20 minit dan tiada sebarang kecederaan yang dilaporkan setakat ini. Siasatan sedang dijalankan bagi mengenalpasti punca kebakaran," katanya.
 
 

PAS terima usul tahaluf siyasi dan hudud Kelantan tanpa bahas

Posted: 05 Jun 2015 10:57 PM PDT

 Oleh Wan Anis Ilyani W. M. Azhar, Shuhaniza Said, Sharifah Azmawati Syed Abd Aziz & Zeanaaiam Mohd Yusof

 
Post Pic
 
 
KUALA SELANGOR: Usul agar PAS memutuskan hubungan dengan DAP tetapi kekal dalam Pakatan Rakyat yang dibawa Dewan Ulama dan PAS kawasan Tumpat dilulus tanpa bahas pada Muktamar PAS ke-61 kali ini.
 
Usul itu turut mendesak agar PAS tetap bertegas dengan DAP dan PKR agar menghormati pendirian, polisi dan dasar parti masing-masing.
 
Dua parti komponen itu juga didesak agar tidak menyekat dan mengganggu dasar perjuangan PAS yang didokong sejak sekian lama.
 
Usul itu dirangka rentetan tingkah laku DAP dan PKR akhir-akhir ini yang menjadikan PAS sebagai sasaran kritikan sehingga mengheret Pakatan Rakyat ke krisis dalaman yang paling rumit setakat ini. 
 
"Menyedari bahawa segala prinsip kerjasama antara rakan Pakatan Rakyat sudah mulai retak ekoran kenyataan dan tindakan pimpinan tertinggi DAP yang tidak menghormati prinsip 'bersetuju untuk tidak bersetuju'.
 
"Menyedari bahawa kenyataan DAP yang memutuskan hubungan dengan Presiden PAS tetapi kekal bersama PAS adalah satu sikap menghina Presiden dan PAS itu sendiri," usul itu dipetik sebagai berkata.
 
Selain usul putus hubungan dengan DAP, Muktamar juga meluluskan tanpa bahas usul Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan.
 
Usul berkenaan dibawa oleh Dewan Pemuda PAS Pusat dan Dewan Muslimat PAS Pusat.
 
"Kesemua peringkat PAS dituntut untuk memberikan sokongan penuh kepada pelaksanaan undang-undang Islam itu yang telah dipinda dan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeru Kelantan pada Mac lalu.
 
"Sementelah ia melalui pelbagai proses untuk membolehkan ia dilaksanakan pada hujung tahun ini, PAS mahu sesi penerangan dan kerjasama dakwah diadakan kepada setiap lapisan masyarakat," usul itu dipetik sebagai berkata.
 
Untuk rekod, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudahpun menghantar notis ke Dewan Rakyat agar PAS Kelantan dibenar membentang rang undang-undang (RUU) persendirian pelaksanaan hudud di negeri itu.
 
Tindakan itu menyebabkan DAP secara lantang memutuskan hubungan dengan Hadi dan menuduh Ahli Parlimen Marang itu sebagai pemimpin yang tidak jujur dan tidak beramanah.
 
PAS bagaimanapun meminta DAP dan PKR agar menghormati hak demokrasi PAS untuk memperjuangkan agenda yang sejak sekian lama dirangka parti itu.
 
 

Bahaya ‘berita dari warga’ dan pentingnya kewartawanan ‘sebenar’

Posted: 05 Jun 2015 10:55 PM PDT




Oleh Hazlan Zakaria


Profesion dan amalan kewartawanan di Malaysia telah menerima banyak kritikan beberapa tahun kebelakangan ini. Reputasi kedua-duanya merudum, akibat kesalahan sendiri dan juga campur tangan 'luar'.

Ditambah pula dengan banyak dakwaan sama ada menjadi 'lidah' kepada penguasa atau 'kaki tohmah' bagi pihak pembangkang. Serta tindakan-tindakan pihak yang memiliki media untuk mempengaruhi dasar editorial dan bahan berita.

Kemudian ada pihak yang benar-benar menyeleweng dalam kewartawanan, yang mungkin layak menerima penghinaan dan rasa tidak percaya orang awam terhadap bidang ini secara keseluruhan. Ini adalah satu trend yang merosakkan profesion dan industri.

Rasa tidak percaya orang ramai terhadap media sudah mencapai satu tahap di mana mereka tidak lagi yakin terhadap berita yang dilaporkan. Mereka lebih cenderung menjadikan media sosial seperti Facebook dan Twitter sebagai sumber mendapat berita.

Tetapi seperti yang terlihat baru-baru ini, timbulnya bahaya apabila orang awam yang tidak terlatih 'menjadi' wartawan dengan berita-berita yang berlegar di media sosial. Sama seperti pengamal media yang tidak profesional dan tidak boleh dipercayai.

Mereka yang merakam video dan menulis tentang peristiwa yang dirakam, kemudian memuatnaiknya di media sosial sebagai 'berita terkini' secara suka-suka adalah lebih bahaya berbanding 'wira papan kekunci' yang gemar berkongsi berita yang belum tentu sah atau tidak.

Kewujudan kamera telefon dan meluasnya perkhidmatan jalur lebar internet membantu kelahiran 'pahlawan telefon' media sosial yang aktif ini.

Hal ini jelas terbukti dalam perbualan pengacara bicara pagi radio kegemaran saya baru-baru ini, yang menyebut tentang satu kes melibatkan video yang tersebar di internet, tentang orang ramai yang memecahkan tingkap kereta untuk menyelamatkan bayi.

Nampaknya individu yang merakam dan memuatnaik video itu tiba lambat ke tempat kejadian, dan hanya ketika orang ramai sudah pecah masuk ke dalam kereta.


Maka dia merasakan yang si ibu-lah yang meninggalkan bayi di dalam kereta, dan orang ramai bertindak sendiri untuk menyelamatkannya. 

Dan memang inilah yang digambarkannya dalam posting itu. Video itu menjadi viral dan orang yang menontonnya turut membuat pandangan yang sama.

Ini menyebabkan kecaman yang tidak sepatutnya kepada ibu tersebut. Insiden ini turut dilaporkan laman berita, dan mencetuskan kegemparan.

Seperti yang disebut dalam siaran radio itu, perkara sebenarnya adalah berbeza. Ibu kepada bayi itu memang ada di sana dan meminta orang ramai menolongnya memecahkan kereta untuk menyelamatkan anaknya. Ini kerana 'auto-lock' keretanya rosak, menyebabkan anaknya terperangkap.

Individu yang memuat naik video tersebut kini meminta maaf kepada wanita itu kerana secara tidak sengaja menyebabkan beliau dikecam.

Sementara saya tidak boleh bercakap bagi pihak semua wartawan, saya boleh katakan ramai wartawan yang saya kenal sekurang-kurangnya akan bercakap dengan si ibu yang ada di sana, atau bertanya orang yang memecahkan kereta tentang apa yang berlaku, dan mendapat sedikit latar dan maklumat sebelum menulis atau memuatnaik video tentangnya.

Standard dalam membuat laporan mungkin pelbagai, dan setiap organisasi media memiliki kecondongan dan 'angle' yang berbeza. Tetapi standard yang sama terpakai kepada semua wartawan yang terlatih.

Percaya atau tidak, hal ini ditekankan bertubi-tubi ketika latihan kami, dan oleh sub-editor dan editor setiap hari dan setiap masa. 

Ini adalah pergelutan harian dalam kewartawanan; membuat pengesahan, sentiasa menelefon dan mengejar, berlegar di setiap acara yang bermula dengan 'waktu Malaysia' dengan VIP yang sentiasa lambat, dan menunggu penuh cemas untuk tokoh-tokoh menelefon anda kembali sebelum 'deadline'.

Editor memang diketahui akan membuat macam-macam 'perkara' kepada wartawan yang tidak mengesahkan berita dan sumber mereka, atau gagal menyiapkannya mengikut masa yang diperuntukkan.

Apa-apa pun, insiden ini menunjukkan mengapa keadaan orang ramai yang menjadi wartawan tanpa sekurang-kurangnya asas etika dan prinsip kewartawanan, boleh jadi bahaya.

Walaupun ia juga menonjolkan keburukan sesetengah wartawan yang tidak mengamalkan prinsip sama, walhal ini adalah bidang mereka. Mereka ternyata bersalah kerana tidak mendapatkan cerita sebenar ketika mengambil video viral ini sebagai bahan berita.

Maka di sini ada pengajaran bagi kedua-dua pihak; agar orang ramai sentiasa ingat untuk lebih berhati-hati sebelum 'menjadi' wartawan, memandangkan berita di zaman digital boleh tersebar begitu laju dan memberi kesan meluas.

Bagi wartawan pula, ia adalah satu lagi peringatan agar mengamalkan apa yang dipelajari dan sentiasa ingat pedoman penting atau 'golden rule' dalam kewartawanan – sahkan dan pastikan fakta yang benar. Ini adalah sesuatu yang kita, wartawan sendiri perlu pegang dengan lebih erat.


Bank Negara perlu bongkar ke mana RM42 bilion wang 1MDB

Posted: 05 Jun 2015 10:43 PM PDT

Rafizi

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR- Bank Negara Malaysia perlu menyenaraikan perbelanjaan terpeinci hutang yang ditanggung syarikat 1Malaysia Development Berhad sebanyak RM42 bilion, kata Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Beliau berkata, siasatan itu perlu dilakukan sehingga satu laporan dibentangkan di parlimen dan 1MDB perlu didakwa sekiranya dana yang dipinjam atau dilaburkan berlainan dari kelulusan awal Bank Negara.
Mengalu-alukan siasasatn tersebut, Rafizi berkata pengumuman BNM itu dibuat pada hari sama 1MDB mengumumkan perbelanjaannya semalam.
 
Katanya, daripada RM42 bilion hutang bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2014, hanya RM19.7 bilion boleh dipadankan dengan aset nyata dan boleh dijual semula.

Jumlah itu terdiri daripada pembelian penjana bebas (IPP) daripada jutawan Tan Sri Ananda Krishnan dan Genting yang menelan belanja RM18 bilion dan pembelian tanah kerajaan berjumlah RM1.7 bilion.

Namun katanya, pembelian IPP itu dikhuatiri merugikan rakyat berdasarkan laporan media yang menyebut harga yang dibayar kepada mereka lebih tinggi daripada harga pasaran.

"Pengumuman 1MDB mengesahkan bahawa bukan sahaja 1MDB membeli pada harga yang lebih mahal malah turut menanggung hutang RM6 bilion dari syarikat-syarikat itu," katanya yang juga Naib Presiden KEADILAN.

Tambahnya, jumlah RM15.4 bilion dalam syarikat-syarikat yang tidak dapat dipastikan aktiviti perniagaan atau asetnya iaitu Brazen Sky, Aabar dan 1MDB GIL mengesahkan bahawa 1MDB tidak boleh menerangkan ke mana wang itu dibelanjakan.

"Jika syarikat-syarikat ini mempunyai bangunan, kilang, tanah, saham dan lain-lain maka sudah tentu 1MDB boleh menunjukkan aset-aset ini untuk mematikan sebarang spekulasi

"Hakikatnya, kenyataan 1MDB hanya mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya separuh dari RM42 bilion itu telah dibelanjakan bagi tujuan yang diragui dan mungkin bertentangan dari kelulusan awal Bank Negara Malaysia," ujarnya.

"Oleh yang demikian, saya menyeru supaya Bank Negara Malaysia menyiasat sehinggalah satu laporan dapat dibentangkan di Parlimen untuk menyenaraikan semua perbelanjaan secara terperinci yang melibatkan hutang RM42 bilion itu.

Polis tiada kuasa batal forum 1MDB – Surendran

Posted: 05 Jun 2015 10:41 PM PDT

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR - Tindakan Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar membatalkan forum berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah menyalahi undang-undang, kata Ahli Parlimen Padang Serai N Surendran.

Jelasnya, pihak polis tidak mempunyai kuasa di bawah Akta Polis 1967 atau mana-mana undang-undang di Malaysia untuk melarang perbincangan terbuka mengenai soal kepentingan awam dan akauntabiliti di negara ini.

n_surendran"Tindakan Ketua Polis Negara adalah tidak demokratik dan terang-terangan melanggar undang-undang.

"KPN dan pasukan polis tidak mempunyai kewajipan, hak atau kuasa untuk mengawal selia wacana awam di negara ini. Mereka telah bertindak melampaui kuasa mereka dan perkara ini mesti dihentikan," katanya pada kenyataan.

Tan Sri Khalid Abu Bakar pagi tadi mengeluarkan arahan supaya majlis dialog bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tentang 1MDB yang turut dihadiri bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dibatalkan dengan alasan untuk ketenteraman awam.

Program tersebut kemudiannya bertukar menjadi majlis bicara bersama Dr Mahathir yang bermula sekitar jam 10.30 pagi.

Ketika Dr Mahathir sedang berucap di pentas, beliau didatangi seorang anggota polis yang meminta beliau menghentikan ucapan.

Polis kemudiannya mematikan mikrofon dan membawa Dr Mahathir meninggalkan Dewan Tun Hussein Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut kata Surendran, tindakan Khalid itu juga telah melanggar kedaulatan undang-undang dan hak untuk kebebasan bersuara di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Lebih teruk lagi kata Surendran, polis telah memasuki premis forum dan menghalang Dr Mahathir daripada meneruskan ucapannya.

"Bagaimana forum mengenai salah urus badan awam boleh menjadi ancaman kepada ketenteraman awam dan keharmonian.
Dr Mahathir
"Najib Razak dan kerajaan Umno Barisan Nasional berhutang dengan semua rakyat Malaysia mengenai penjelasan segera berhubung tindakan pihak polis itu," ujarnya lagi.

Justeru, Surendran menggesa agar satu penyiasatan bebas perlu dilakukan terhadap tindakan Ketua Polis Negara yang mengarahkan pembatalan forum tersebut.

"Masanya telah tiba untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira fahaman politik, untuk bersatu menentang tindakan mencabuli kedaulatan undang-undang yang semakin menjadi-jadi dan penafian hak kebebasan asasi kita," tegasnya.

Gempa Bumi Sabah: Dua Mayat Dibawa Turun

Posted: 05 Jun 2015 05:42 PM PDT

MSTAR ONLINE
 
 
Anggota penyelamat menurunkan mayat ke kem kaki bukit di Taman Kinabalu, Kundasang padaJumaat. - NORMIMIE DIUN/The Star
 
 
 
KUNDASANG: Dua mayat mangsa gempa bumi di Gunung Kinabalu telah dibawa turun ke kem kaki bukit kira-kira pukul 8.30 malam Jumaat.

Jenazah penduduk tempatan Robi Sapinggi, 30, adalah yang pertama dibawa turun dari Laban Rata di mana dia didapati terperangkap di antara batu-batu.

Mayat kedua dipercayai seorang budak perempuan warga asing yang tidak dapat dikenal pasti identitinya.

Korban dijangka meningkat ketika penyelamat berusaha untuk tiba ke kawasan di mana 10 orang telah dilaporkan tidak sedarkan diri di laluan Via Feratta di atas gunung. Tiga malim lain juga terperangkap di antara batu-batu di kawasan yang sama.

Pegawai berkata, mereka mengejar masa untuk sampai ke lokasi di mana mangsa lain tidak sedarkan diri terperangkap sejak gempa bumi pada pukul 7.17 pagi itu melanda di sebelah barat Gunung Kinabalu.

Turut terperangkap di dataran tinggi itu ialah 105 orang di mana penyelamat cuba untuk mengukir jalan melalui batu-batu yang jatuh dan untuk membawa mereka ke bawah.
 
 

Gempa Sabah: 104 Pendaki Dibawa Turun Dari Laban Rata

Posted: 05 Jun 2015 05:41 PM PDT

MSTAR ONLINE


Anggota Bomba dan Penyelamat serta malim Gunung Kinabalu mengusung mayat mangsa pertama runtuhan gempa bumi dari Kilometer 6.5 Gunung Kinabalu ke Timpohon Gate pada Jumaat. Foto BERNAMA
 
 

RANAU: Sebanyak 104 lagi pendaki sedang dibawa turun oleh petugas keselamatan dari Laban Rata, kata Petugas Taman-Taman Sabah Justinus Guntabid.

Justinus berkata, kesemua mereka dibawa turun pada 9.15 malam Jumaat.

"Pada 10.04 malam, satu pasukan penyelamat yang terakhir membawa seorang lagi mangsa (pendaki) yang berada dalam keadaan stabil.

"Sekarang, petugas kami masih berada di Pondok Timpohon untuk menunggu pendaki yang sedang dalam perjalanan turun," katanya ketika ditemui di Pusat Gerakan Operasi Menyelamat di Taman Kinabalu di sini.

Justinus berkata, petugas akan merekodkan pendaki yang telah sampai ke Pondok Timpohon bagi memudahkan pihaknya mengenal pasti pendaki yang belum dibawa turun.

Ditanya mengenai dua mayat dibawa turun ke Pondok Timpohon, Justinus berkata, pihaknya telah dimaklumkan mengenai perkara itu.

Katanya seorang mangsa adalah malim gunung Robbi Sapinggi, manakala seorang lagi belum dapat dipastikan identitinya.

Kedua-dua mayat dibawa turun pada 8.25 dan 8.45 malam.

Mayat berkenaan dikeluarkan daripada kawasan runtuhan iaitu 6.5 kilometer dari Pondok Timpohon.

Gempa bumi: ‘Saya lihat tiang elektrik bergoyang’

Posted: 05 Jun 2015 05:32 PM PDT


 
 
"KETIKA itu kami dalam kereta sebab saya hendak pergi kelas dan abang saya hendak pergi kerja, ketika tiba di lampu isyarat abang saya tegur, adakah saya terasa gegaran sepertinya," demikian menurut Haind Rick, 21, ketika menceritakan detik cemas di Kolombong, Inanam turut dilanda gempa bumi pagi tadi.

Berbicara lanjut, Haind berkata, selepas dia dan abangnya merasai gegaran itu, dia memerhati keadaan sekeliling dan apa yang lebih menakutkannya ialah kelihatan tiang elektrik seolah-olah bergoyang.

"Cemas bila saya tengok sekeliling… saya perhatikan tiang elektrik bergoyang… termasuk kereta kami, lagi-lagi waktu itu lampu merah jadi kereta tidak boleh bergerak, masa itulah kami terasa gegaran yang cukup kuat," ujarnya kepada Sinar Online hari ini.

Namun ujarnya, nasib mereka baik apabila gegaran kuat itu hanya dirasai mereka dalam masa yang singkat.

"Gegaran itu hanya sekejap... Kami ingatkan hanya di kawasan kami saja. Rupanya kawasan lain turut merasakan gegaran itu.

"Apa-apapun kami bersyukur kerana kami semua selamat," katanya.

Sementara menurut rakannya, Hilmi Chang Vui Yuan, 18, yang menetap di Sepanggar, Kota Kinabalu turut mengalami pengalaman yang hampir sama dengan Haind.

"Kami menetap di Seri Maju Apartment, Sepanggar, waktu kejadian kami bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri.

"Gegarannya kuat, tetapi hanya sekejap, kami turun ke bawah dan berkumpul, sementara kanak-kanak ditempatkan di Dewan Orang Ramai, semuanya selamat," katanya.

Gempa bumi sederhana berukuran 5.9 pada skala Richter berlaku 7.15 pagi ini di Ranau dan gegaran itu turut dirasai di kebanyakan tempat di pantai barat Sabah termasuk Tambunan, Tuaran, Pedalaman, Kota Kinabalu dan Kota Belud.


Tiada ulasan: