Khamis, 4 Jun 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Anak Daim disaman di Singapura

Posted: 04 Jun 2015 02:55 AM PDT

MMALAYSIAKINI


 


Timbalan Pengerusi Eksekutif LionGold Corp, salah satu daripada tiga syarikat yang disiasat di Singapura selepas sahamnya jatuh pada Oktober 2013, disaman untuk membayar balik wang yang dipinjam untuk membeli saham.

MD Wira Dani Abdul Daim berhutang S$2.6 juta dengan Maybank Kim Eng Securities Pte supaya saham LionGold dibeli dengan akaun leveraj, menurut saman difailkan di Mahkamah Tinggi Singapura pada April.

Mahkamah memberikan keizinan bulan lepas untuk menyampaikan saman itu kepada anak bekas menteri kewangan Malaysia itu Tun  Daim Zainuddin, lapor Bloomberg.

Saham LionGold, Blumont Group Ltd dan Asiasons Capital Ltd jatuh pada 2013, hilang AS$6.9 bilion nilai pasaran dalam tempoh tiga hari.

Perkara itu menyebabkan pihak berkuasa Singapura menyiasat ketidakaturan yang disyaki dalam urus niaga saham oleh pihak bank dan broker untuk mendapatkan semula sekurang-kurangnya AS$230 juta.

Ketiga-tiga syarikat berkata tidak tahu menahu kenapa perkara itu berlaku.

Maybank Kim Eng enggan mengulas dalam kenyataan melalui e-mel, dengan membangkitkan soal kerahsiaan pelanggan.

MD Wira tidak menjawab tiga e-mel dikirim atau membalas tujuh panggilan telefon yang mahukan ulasannya.

MD Wira dalam e-melnya pada Januari kepada unit pembrokeran Malayan Banking Bhd, pemuitung terbesar Malaysia berkata beliau akan menyelesaikan keadaan itu dengan baik,


'Serah usul putus dengan DAP pada perwakilan'

Posted: 04 Jun 2015 02:53 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini enggan menyatakan sama ada beliau bersetuju dengan usul Dewan Ulama untuk memutuskan hubungan dengan DAP.

Beliau bagaimanapun berkata menyerahkan kepada perwakilan dalam muktamar, badan tertinggi pembuat keputusan dalam PAS, untuk memutuskannya.

"Itu belum lagi satu keputusan muktamar. (PAS) Pusat belum lagi memilih siapa-siapa. Hanya usul sahaja belum lagi dibahas.

"Itu demokrasi dalam PAS.

"Saya serah kepada perwakilan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan PAS ke-61 di Kuala Selangor hari ini.

Semalam, Dewan Ulama meluluskan usul untuk memutuskan hubungan dengan DAP. Bagaimanapun, usul tersebut akan mula dibahaskan esok.

Sementara itu, mengulas ketidakhadiran wakil DAP pada perasmian muktamar hari ini, Hadi berkata perkara itu perlu ditanya kepada parti tersebut memandangkan pihaknya telah menjemput mereka.

Ditanya mengenai saranan Dewan Muslimat supaya Hadi dan pemimpin DAP Lim Kit Siang mengetepikan ego masing-masing dan berbincang bagi menjernihkan hubungan dalam Pakatan, beliau hanya berkata:

"Hal peribadi perlu selesai secara peribadi.

"Sikap DAP (yang tidak hadir) terpulang kepada DAP. Kena tanya DAP, jangan tanya saya.

"Kita jemput semua hadir untuk muktamar kita untuk memeriahkan muktamar. (Wakil) daripada PKR datang, perwakilan asing datang," kata Hadi lagi. 


Separuh perbelanjaan 1MDB meragukan – Rafizi

Posted: 04 Jun 2015 02:38 AM PDT

FREE MALAYSIA TODAY
 
1MDB perlu membuktikan syarikat yang dilaburkan itu mempunyai bangunan, kilang, tanah dan saham untuk mematikan spekulasi


rafizi-ramli



PETALING JAYA: Pendedahan perbelanjaan 1MDB telah mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya separuh dari RM42 bilion jumlah pinjaman telah dibelanjakan bagi tujuan yang diragui.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, perbelanjaan itu juga mungkin bertentangan dari kelulusan awal Bank Negara Malaysia (BNM).

Ini kerana, katanya, sejumlah RM15.4 bilion yang dilaburkan menerusi syarikat-syarikat yang tidak dapat dipastikan aktiviti perniagaan atau asetnya iaitu Brazen Sky, Aabar dan 1MDB GIL.

Katanya, ia sekali gus mengesahkan bahawa 1MDB tidak boleh menerangkan ke mana wang itu telah dibelanjakan.

"Jika syarikat-syarikat ini mempunyai bangunan, kilang, tanah, saham dan lain-lain maka sudah tentu 1MDB boleh menunjukkan aset-aset ini untuk mematikan sebarang spekulasi," katanya menerusi kenyataan media.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, pendedahan perbelanjaan 1MDB juga menunjukkan aset yang dimiliki tidak mampu membayar hutang RM42 bilion malah tidak sampai pun separuh jumlah hutang itu.

"Pembelian syarikat-syarikat penjana bebas dari Ananda Krishnan dan Genting dikhuatiri dibuat pada harga yang merugikan rakyat.

"Pengumuman 1MDB mengesahkan bahawa bukan sahaja 1MDB membeli pada harga yang lebih mahal malah turut menanggung hutang RM6 bilion dari syarikat-syarikat itu," katanya.

Dalam pendedahkan perbelanjaan, 1MDB memaklumkan, RM18 bilion dibelanjakan untuk pembelian janakuasa bebas milik Ananda Krishnan dan Genting, RM1.7 bilion pembelian tanah keajaan, RM5.8 bilion perbelanjaan kewangan, RM15.4 bilion dana pelaburan manakala RM0.9 bilion lebihan tunai yang kesemua berjumlah RM41.8 bilion.

Sehubungan itu, Rafizi menyeru supaya Bank Negara Malaysia (BNM) menyiasat sehinggalah satu laporan dapat dibentangkan di Parlimen untuk menyenaraikan semua perbelanjaan secara terperinci yang melibatkan hutang RM42 bilion itu.

Dr M: Bila Najib kalah, mahkamah mula memburu

Posted: 04 Jun 2015 02:36 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau yakin bahawa langkah penstrukturan semula 1MDB tidak akan berjaya mendapatkan semula wang firma itu yang hilang.

Beliau juga meramalkan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan diburu dengan pelbagai tindakan mahkamah selepas ini.

"Terlalu banyak bukti mengenai usaha menyembunyikan kebenaran oleh ahli politik dan penjawat awam.

"Apabila Najib tewas, dan saya pasti beliau kalah dalam pilihan raya akan datang, tindakan mahkamah yang akan menyusul tidak akan dapat ditahan lagi.

Ahad lalu, Mahathir menuduh terdapat cubaan menyembunyikan kes dan salah laku jenayah  selepas kenyataan menyebut dana 1MDB di Singapura dalam bentuk tunai, sebelum ditukar kepada aset.

Bagaimanapun Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata ia dalam  bentuk "unit", tanpa menghuraikan lanjut maksudnya.

Mahathir berharap rancangan penstrukturan untuk menyelamatkan 1MDB akan berhasil tetapi ia masih tidak membebaskan pentadbiran Najib daripada dakwaan wang itu "hilang".


AirAsia, Malindo Air tawar kerja kepada bekas MAS

Posted: 04 Jun 2015 02:33 AM PDT

SINAR HARIAN


Air Asia  
Air Asia



SEPANG - Dua syarikat penerbangan tempatan iaitu AirAsia dan Malindo Air sedia menawarkan peluang pekerjaan kepada kakitangan Malaysia Airlines System (MAS) yang terlibat dengan pemberhentian kerja berikutan penstrukturan semula syarikat itu.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, perkembangan positif itu adalah kesan daripada keuntungan yang diraih jika negara mempunyai lebih daripada satu syarikat penerbangan.


"Ini satu petunjuk baik dalam bidang penerbangan apabila kita ada banyak syarikat penerbangan yang boleh menampung keperluan kakitangan yang diberhentikan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan perkhidmatan Malindo WiFi, Malindo Mobile dan majalah Malindomag di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (KLIA2) di sini hari ini.

Pada Isnin, Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Christoph Mueller berkata jumlah sebenar kakitangan MAS yang bakal diberhentikan hanya akan ditentukan dalam tempoh dua minggu lagi, kerana ia bergantung kepada keputusan 14,000 kakitangan syarikat penerbangan itu sama ada mahu menerima tawaran kerja baharu daripada MAS atau sebaliknya.

Mueller berkata mengikut perancangan seramai 6,000 kakitangan MAS akan menerima surat pemberhentian pekerja dan 14,000 lagi akan menerima surat tawaran kerja bermula 1 Jun.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air Chandran Rama Muthy berkata syarikat penerbangan itu menawarkan sejumlah 500 peluang pekerjaan kepada bekas kakitangan MAS dalam pelbagai jawatan.

"Kami sudah dapat permohonan daripada kakitangan MAS untuk macam-macam jawatan termasuk juruterbang, pramugari serta jawatan bukan teknikal seperti pemasaran serta penjualan tiket," katanya.

Chandran berkata pada dasarnya Malindo Air mempunyai 600 kekosongan jawatan sehingga hujung tahun ini, namun syarikat itu memberi keutamaan kepada bekas kakitangan MAS untuk mengisinya.

"Adalah lebih baik untuk mengambil bekas kakitangan MAS kerana mereka sememangnya mempunyai kemahiran dan pengalaman," katanya.  - Bernama

Menang atau kalah, dua-dua pun boleh terus khidmat

Posted: 04 Jun 2015 02:31 AM PDT



[DIKEMASKINI] PENDIRIAN Pas tidak akan berganjak untuk terus membela nasib orang Melayu dan Islam.

Muktamar Pas kali ini juga diharap dapat memberi peluang kepada ahli fokus isu rakyat dan memberi tempoh bertenang kepada rakan  partinya, DAP yang dikatakan banyak memberi kritikan sehingga PR dikatakan sedang bergolak.

Ikuti temubual Ketua Wartawan Sinar Harian Pahang, Aswany Omar bersama Naib Presiden Pas, DATUK TUAN IBRAHIM TUAN MAN berkaitan beberapa perkara membabitkan sekutunya, PR dan beberapa isu berkaitan Pas.

Datuk bakal menentang Mohamad Sabu (Mat Sabu) untuk kedudukan nombor dua parti pada pemilihan kali ini. Apa yang Datuk harapkan pada pemilihan kali ini.

Sudah tiga penggal saya dicalonkan, tetapi saya tolak dan kali ini saya terima. Tapi ahli-ahli parti perlu pilih yang terbaik yang yakin boleh beri sumbangan.

Bagi saya, Pas mesti kuat. DAP sudah mencapai tahap maksima dan bebanan terletak pada pada Pas dan Pas mesti mendapat undi Melayu. Sekarang orang Melayu yang melihat Pas lebih tegas hari ini menjadikan peningkatan ahli Pas lebih 100 peratus di kawasan Felda dan kampung.

Boleh Datuk jelaskan apa yang berlaku dalam Pas ketika ini hingga ada yang menyatakan berlaku kemelut dalaman Pas membabitkan kumpulan pro Ulama dan kumpulan Profesional?

Itu memang tidak betul kerana bagi saya, beberapa usaha cuba menggambarkan Pas dalam dua kumpulan seperti yang berlaku sebelum ini, cuba membawa pas supaya dilihat  tidak cenderung kepada Pas dan cenderung kepada PKR.

Muktamar Pas kali dilihat bakal mencipta sejarah tersendiri dalam kepimpinan Pas, Apa yang Datuk harapkan pada pemilihan kali ini.

Saya harapkan kali ini seluruh perwakilan menghormati dan memelihara akhlak  dalam Pas, tidak timbulkan polemik dan jangan ada yang bertindak memboikot atau memulau ucapan daripada siapa sekali pun kerana kepimpinan itu adalah yang dipilih oleh muktamar lalu, Jangan juga ada kumpulan yang mengapi-apikan, provokasi atau ejekan.

Bagi saya menang, pegang jawatan dan yang  kalah bukan bererti dia dikalahkan. Dalam Pas, dipilih atau tidak dipilih, parti tetap memberi peluang untuk menyumbang kepada parti.

Hubungan Pas dengan DAP dilihat semakin renggang terutamanya melibatkan isu hudud yang mendapat tentangan hebat DAP.

Kita mengadakan mesyuarat akhir Majlis Pimpinan PR beberapa hari sebelum Datuk Seri Anwar Ibrahim dijatuhkan hukuman penjara.

Selepas itu, tiada lagi mesyuarat pimpinan, tapi mesyuarat di peringkat negeri berjalan macam biasa. Hubungan dengan DAP kritikal terutama apabila pimpinan tertinggi DAP sering kali mengkritik Presiden (Abdul Hadi) secara profesional dan mempertikaikan perkara yang kita anggap campur tangan dalam dasar dan polisi Pas.

Bagi saya, kita tak boleh terima pihak luar yang mengkritik Presiden sebab semua ahli Pas memang mendukung kepimpinan Presiden. Saya tegur tindakan DAP kerana tidak membantu memperkukuhkan PR.

Mohamad Sabu baru-baru ini mengkritik kepimpinan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara terbuka. Apa pandangan Datuk terhadap tindakan beliau itu?

Saya dapat maklumat, apa yang dilaporkan dalam media itu tidak betul. Dia sebut bahawa hasil muafakat kita berjaya menang. Pandangan dia, dalam konteks muafakat bersama.

Katanya, walaupun hebat, tapi gagal, maksudnya kita berjaya hasil muafakat dan ini normal. Mungkin beliau akan ambil tindakan undang-undang kepada media terbabit kerana memutarbelitkan kenyataannya. Ada tegurannya dianggap sinis yang boleh diinterpretasikan oleh media. Sebenarnya 'double meaning' ni boleh dianggap macam-macam oleh orang lain.

Tindakan Setiausaha DAP, Lim Guan Eng secara terbuka mengkritik Presiden Pas hingga mengakibatkan kepimpinan Pas serta ahli pas tidak berpuas hati dengan tindakan itu, apakah pandangan Datuk?

Pertama kita lihat isu yang berlaku di Selangor yang mungkin menjadi pencetus kepada polemik sekarang, kemudian sambung lagi isu hudud dan pilihan raya tempatan (pilihan raya kecil) di Penang yang ditolak Pas dan pergolakan makin panjang.

Ketegasan Presiden Pas dianggap sebagai  menyusahkan, tapi bagi saya, beliau (presiden) bertindak atas prinsip Pas dan bukan berjuang secara peribadi dan bukan membela ahli keluarga atau diri sendiri. itu yang perlu kita hormati.

Pas mengambil masa berapa lama lagi untuk bersama DAP jika parti itu terus mengkritik.

Yang membabitkan dasar, kita serah pada Majlis Syura dan Jawatankuasa Ulama untuk melihat. Kalau dia (DAP) ambil sikap tidak boleh kerjasama dengan Pas, kita perlu ada satu pendirian sebab Pas pun ditendang keluar PKR dan DAP di Sabah dan Sarawak, tapi Pas masih sabar dan kita akan bergerak sendirian.

Sekiranya Datuk terpilih, bagaimana Datuk mahu selesaikan kemelut dalaman Pas serta kemelut yang sedang melanda Pas dan DAP.

Saya tidak mahu berjanji perkara yang besar kerana tidak mungkin boleh berjaya tanpa dukungan dari seluruh ahli. Untuk satukan Pas sama ada ulama atau profesional, perlu balik pada akhlak Islam dan satukan semula pemikiran kita.

Lagipun pengaruh media baharu tidak boleh dikawal dan telah pecah belahkan gerakan Islam dunia. Saya ambil sebagai satu cabaran untuk eratkan ukhuwah dalam kalangan ahli.

Selepas muktamar, kita boleh himpunkan semua ahli dan adakan program di peringkat kawasan dan negeri. Dalam PR pula, kita perlu tempoh bertenang untuk masing-masing perkukuhkan parti atau baiki kelemahan yang ada sebelum pilihan raya umum depan.

Kita kekalkan jawatankuasa yang ada dan peringkat pimpinan, perlu perbetulkan sikap.... tiada masalah, kita boleh duduk semeja. Tapi kalau orang kritik dan hentam kita dan kata macam-macam, saya fikir, semua orang tidak akan sanggup.

Pas dilihat mampu menggantikan Umno sebagai kuasa orang Melayu dan Islam dalam pentadbiran negara sekiranya kepercayaan rakyat terhadap Umno terus hilang, apa pandangan Datuk dan apa yang Pas akan laksanakan ketika itu.

Memang masa depan orang Melayu dilihat pada Pas dan bukan pada Umno. Umno dilihat parti yang berjuang untuk agama, bangsa dan tanah air, tapi hari ini orang dah tak bercakap perkara itu. Harapan masyarakat yang berfikir memang pada Pas.

Kita harap, Pas dapat ambil peranan membela hak dan nasib orang Melayu. Bagi Pas, apabila akidah selamat akan selamat ekonomi, politik dan undang-undang.


Dr M: 1MDB salah guna kuasa beli tanah

Posted: 04 Jun 2015 02:29 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau percaya rancangan untuk menyelamatkan 1MDB akan mengakibatkan rakyat menanggung bebannya.

Beliau merujuk kepada usaha rancangan firma Abu Dhabi, International Petroleum Investment Company (IPIC) untuk menyuntik dana sebagai tukaran bagi tanah 1MDB.

Ini kerana, 1MDB memperolehi tanah tersebut dengan murah daripada kerajaan, yang disifatkannya sebagai "penyalahgunaan kuasa".

"1MDB mendapatkan tanah kerajaan bernilai antara RM4,000 dan RM7,000 sekaki persegi dengan harga antara RM60 hingga RM90 sekaki persegi.

"Sebenarnya harga yang dibayar oleh 1MDB untuk tanah kerajaan itu mencerminkan penyalahgunaan kuasa.

"Langkah yang betul adalah membayar dengan harga pasaran sebelum dibangunkan atau digunakan," katanya.

Beliau merujuk kepada tanah 1MDB di Tun Razak Exchange dan Bandar Malaysia.


'Malam ini, saya dan Rosmah tidur nyenyak'

Posted: 04 Jun 2015 02:28 AM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
 
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak merasa lega dan berkata beliau dan isterinya boleh tidur nyenyak malam ini kerana BN Sarawak BN jelas begitu ikhlas menyokongnya.
 
"Ketua Menteri Sarawak (Tan Sri Adenan Satem) tadi kata awak tidak
berseorangan, saya sambut dengan (berkata) saya gembira kerana saya tidak berseorangan.
 
"Malam ini saya boleh tidur nyenyak, isteri saya pun boleh tidur nyenyak, kami tidur sebantal, mimpi pun  sama, kami rasa lega kerana Sarawak BN jelas begitu ikhlas menyokong, saya boleh baca hati orang," katanya Najib dalam laporan Bernama.
 
Perdana menteri menegaskan demikian ketika berucap di majlis pemimpin bersama rakyat #sarawakfornajib di Stadium
Perpaduan di Kuching hari ini.
 
Menurut Najib, beliau adalah perdana menteri yang paling kerap melawat Sarawak, dan kehadiranya tidak pernah dengan tangan kosong.
 
Bernama melaporkan Najib berkata bahawa dalam tempoh lima tahun pentadbirannya, beliau telah meluluskan peruntukan pembangunan berjumlah lebih RM1 billion secara 'serta merta' buat pelbagai projek di Sarawak.

 

Mahathir-Najib bersemuka esok?

Posted: 04 Jun 2015 02:20 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Adakah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak akan tampil bersemuka dengan pengkritiknya Tun Dr Mahathir Mohamad?

Pada hari Selasa, sebuah NGO - SukaGuam - mengumumkan ia menganjurkan satu sesi dialog selama dua jam antara Najib dengan NGO dan kumpulan masyarakat sivil, esok

Pengerusi SukaGuam Datuk Khairul Anwar Rahmat (foto) memberitahu pemberita bahawa Najib telah mengesahkan untuk menghadiri sesi soal jawab itu.

Khairul, yang berjanji bahawa peserta boleh menyoal Najib mengenai semua isu seperti 1MDB dan kekayaan peribadinya, berkata SukaGuam juga akan menjemput Dr Mahathir.

"Ini adalah satu forum terbuka. Jika Dr Mahathir datang, kami akan menyambutnya. Saya akan menjemputnya jika beliau belum menerima jemputan," katanya.

Apabila disoal mengenai perkara itu semalam, Dr Mahathir berkata: "Saya tak tahu, saya tak dijemput."

Bagaimanapun, seorang pembantu kepada bekas perdana menteri itu memberitahu Malaysiakini bahawa "besar kemungkinan" Dr Mahathir menghadiri sesi dialog itu.

Malah Mahathir pernah bersetuju untuk mengadakan debat awam dengan Najib, tetapi perdana menteri tidak menjawab, sebaliknya lebih suka menangkis kritikan bekas perdana menteri itu melalui blognya.

Mahathir telah berulang kali mendesak Najib meletak jawatan, dengan memberi amaran bahawa kehadiran Najib akan menyebabkan Umno dan BN kalah dalam pilihan raya akan datang.

Najib pula telah menegaskan bahawa ini zaman beliau sebagai perdana menteri dan akan terus berjuang.

"Takkan saya kena turun kerana kehendak seorang," kata ketika berucap di majlis pemimpin bersama rakyat #sarawakfornajib di Kuching hari ini.


Kabinet perlu bersetuju dengan PM

Posted: 04 Jun 2015 02:15 AM PDT

SINAR HARIAN



Ahmad Zahid Hamidi Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika sidang media berkaitan isu kem pemerdagangan manusia di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Perlis pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri hari ini. - Foto Bernama
 
 
PUTRAJAYA - Anggota Kabinet perlu bersetuju dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam semua keputusan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
  
Beliau berkata, jika ada dalam kalangan anggota kabinet yang hilang kepercayaan atau mempertikai keputusan (Perdana Menteri) apatah lagi di tempat yang terbuka dan mengeluarkan kenyataan secara terbuka maka tentu cara yang terhormat ialah dengan melepaskan jawatan tanpa diminta.
  
"Saya tidak fikir perlu menunggu Perdana Menteri buat keputusan untuk melakukan pemecatan atau penyingkiran," katanya ketika diminta mengulas mengenai kata dua Perdana Menteri kepada jemaah menteri sekiranya mereka tidak menyokong beliau dalam isu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
  
Ahmad Zahid berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.
  
Semalam, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menafikan khabar angin yang tersebar dengan meluas bahawa beliau berhasrat untuk meletak jawatannya di dalam kabinet.
   
Turut menafikan akan melepaskan jawatan dalam kabinet ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
  
Media sebelum ini melaporkan Najib memberi kata dua kepada jemaah menteri dan meminta mereka melepaskan jawatan sekiranya mereka tidak menyokong beliau berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB). - Bernama


Hadi: Golongan profesional banyak bantu Pas

Posted: 04 Jun 2015 02:11 AM PDT


 
 
KUALA SELANGOR – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menafikan wujud pemisah di antara golongan ulama dan profesional dalam parti itu.

Sebaliknya, kata beliau, kedua-dua golongan tersebut sama-sama berganding bahu menubuhkan dan menggerakkan Pas sehingga hari ini.

"Golongan profesional adalah tenaga yang sangat penting dalam parti. Sebagaimana pentingnya golongan ulama dan aktivis parti.

"Bahkan kita menerima siapa saja yang ingin menyumbang kepada kemenangan Islam. Jangan ada dalam kalangan kita terperangkap dengan mainan musuh yang cuba memecahbelahkan kita dengan melontarkan slogan pengasingan antara ulama dan profesional," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar di Muktamar Tahunan Pas ke-61, di sini, hari ini.

Menurut beliau, golongan profesional juga telah terbukti memberi banyak sumbangan kepada parti.

"Gagasan kita jelas dalam puluhan muktamar, bahawa kitalah yang menggerakkan usaha mengulamakan profesional dan memprofesionalkan ulama. Golongan profesional dalam Pas telah dan secara berterusan memberikan sumbangan kepada parti.

"Sama ada dalam bidang ekonomi, pembangunan dasar dan polisi, strategi, hubungan antarabangsa dan sebagainya. Semua ini adalah mutiara indah yang menjadi khazanah berharga dalam Pas di atas pengorbanan mereka untuk bersama memenangkan perjuangan Islam," katanya.

Dalam pada itu, katanya, Pas kini berdepan dengan tempias sekularisme yang diwujudkan untuk menghalang kebangkitan Islam dan cuba masuk ke dalam saf gerakan Islam.

"Usaha sebegini dilakukan musuh Islam di seluruh pelusuk dunia, dengan mengambil kesempatan daripada kelemahan yang wujud dalam saf kebangkitan Islam  terkini.

"Maka, di sana wujud golongan yang mahu menang secara cepat dan tergopoh-gapah, berjuang secara tasahul dan tasyaddud," katanya.


Umno bakal berkubur jika tidak bersatu

Posted: 04 Jun 2015 02:04 AM PDT

bendera Umno
 
 
SHAH ALAM - Umno digesa menyelesaikan segera pergolakan dalaman parti itu khususnya ketika berdepan dengan isu berkepentingan negara secara bersama jika tidak mahu ia berkubur dalam politik negara ini.
 
Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), Datuk Moehamed Izat Emir menegaskan segala masalah boleh diselesaikan jika semua pimpinan Umno boleh bertolak ansur.
 
"Sekiranya Umno berpecah sekali lagi kerana kepentingan jawatan atau isu-isu yang boleh diselesaikan bersama tetapi tidak mahu berpakat baik-baik, saya khuatir dan bimbang ia akan menguburkan Umno sebagai tulang belakang pemerintahan kerajaan.
 
"Saya mohon agar kepimpinan negara tidak berpecah belah untuk mengharungi badai perjuangan menjadikan Malaysia negara maju dan rakyat yang berpendapatan tinggi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
 
Moehamed Izat juga berkata masih tidak terlewat bagi Umno untuk memperbetulkan keadaan kerana masih belum terlewat untuk berbuat demikian.
 
"Pergolakan yang berlaku dalam Umno belum lagi melemah dan melumpuhkannya sebagai satu parti yang terus menerus memerintah negara yang tercinta," ujarnya.
 
Sehubungan itu, beliau turut menggesa rakyat Malaysia agar memberi peluang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meneruskan usaha pembaharuan kepada rakyat Malaysia.
 
"Gagasan 1Malaysia merupakan cadangan yang paling sesuai untuk menyatupadukan rakyat dan bantuan serta pertolongan diberikan kepada semua yang memerlukan.
 
"Rakyat perlu bersama-sama memikul tanggungjawab ini untuk memastikan negara kita sihat untuk masa depan anak cucu kita," katanya lagi.
 
 

Sepupu Pun Sudah Goyang Maa...

Posted: 03 Jun 2015 05:34 PM PDT

shahbudindotcom



Tanggapan umum dalam UMNO selama ini ialah Hishammuddin Hussein selaku Naib Presiden UMNO dan Menteri Pertahanan adalah orang yang sanggup sehidup semati dengan Najib Razak, bahkan jika ingin meninggalkannya pun, beliau mungkin yang terakhir sekali berbuat demikian.

Ia bukan saja disebabkan hubungan darah sepupu antara keduanya, tetapi yang lebih penting ialah Najib Razak juga dikatakan memainkan peranan penting dalam menentukan kemenangan Hishammuddin mengekalkan jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan 2013 lalu.

Ketika itu, Najib bukan saja dikhabarkan memberitahu beberapa pihak mengenai keinginannya agar Hishammuddin terus memegang jawatan Naib Presiden UMNO, bahkan campurtangannya juga dikatakan menjadikan semua 11 Bahagian UMNO di Pahang tidak memberi undi kepada Mukhriz Mahathir yang merupakan pesaing terdekatnya dalam pemilihan tersebut.

Akhirnya, dalam pemilihan itu, Hishammuddin yang pada mulanya diramal tewas kepada Mukhriz yang baru dilantik sebagai Menteri Besar Kedah, berjaya memenanginya dengan undi tipis di tempat ketiga. Tempat pertama Naib Presiden UMNO dimenangi oleh Ahmad Zahid Hamidi dan tempat kedua oleh Shafie Apdal.

Sejak Najib menjadi Perdana Menteri, Hishammuddin dianggap penyokong paling kanan kepadanya. Banyak cakap-cakap juga menyebut Najib sedang merencanakan untuk meletakkan sepupunya itu sebagai penggantinya apabila bersara nanti dengan mengenepikan Muhyiddin yang menjadi orang nombor dua serta Zahid atau Shafie yang berkedudukan lebih kanan dalam UMNO.

Namun, kemelut berpanjangan mengenai 1MDB yang menyaksikan sokongan rakyat kepada Najib makin merosot hari demi hari dan berpaut kepadanya tidak lagi menjamin masa depan yang cerah, nampaknya turut membuatkan pendirian Hishammuddin juga goyang dibuatnya.

Dalam reaksinya mengenai laporan yang mengatakan Najib memberi kata dua kepada anggota kabinetnya sama ada mahu bersamanya atau mengundurkan diri jika tidak bersetuju dengan pelan hala tuju yang dibentangkan mengenai 1MDB, Hishammuddin jelas tidak lagi bersama atau senada lagi dengan abang sepupunya itu.

Menulis di twitter miliknya, Hishammuddin bukan saja tidak menyatakan sokongannya terhadap pelan pemulihan 1MDB itu, bahkan telah meletakkan tiga syarat mengenai sokongannya.

Katanya, beliau bersetuju dengan kata dua itu tetapi dengan syarat dilaksanakan tiga perkara iaitu, rasionalisasi, akauntabiliti sekiranya berlaku kesalahan dan ketelusan bagi kedua-dua perkara itu.

Ramai yang bertanya, apa sudah jadi dengan Hishammuddin sekarang, sudah berani letak syarat bagai kepada Perdana Menteri?  Apakah beliau sudah tidak ingin bersama dengan Najib lagi?

Sementara ramai menteri lain menyembunyikan reaksi mereka dan lebih gemar bersikap tunggu dan lihat terhadap kata dua Najib itu, Hishammuddin sebaliknya bersikap amat terbuka dan ini benar-benar mengundang banyak spekulasi dan perbualan ramai mengenainya.

Tetapi pendirian beliau itu mendapat sokongan daripada ramai pengikutnya  di Twitter dan mereka memuji ketegasan serta pendirian yang ditunjukkannya.

Apakah Hishammuddin kini melihat Najib sebagai pohon yang hampir tumbang dan beliau perlu menunjukkan pendirian yang sealiran dengan kehendak rakyat dan tidak lagi totok kepada sepupunya itu bagi mengelakkan masa depannya turut berkubur sama?

Mungkinkah pendirian berbeza dan mempamer unsur ketegasan itu kerana Hishammuddin sudah dapat membaca mood sebenar di kalangan ahli UMNO dan juga rakyat ketika ini?

Sebelum ini, hanya Muhyiddin Yassin dan Shafie Apdal yang dilihat jelas berbeza pendirian dengan Najib dalam isu 1MDB ini. Kedua-dua mereka bukan saja mengeluarkan beberapa kenyataan yang menunjukkan pendirian masing-masing, bahkan juga tidak hadir dalam beberapa perjumpaan antara Najib dengan kepimpinan UMNO sebelum ini.

Adakah tiga syarat Hishammuddin ini merupakan tanda-tanda beliau akan meninggalkan Najib tidak lama lagi? Berbanding pertalian darah dan jasa Najib kepada, apakah Hishammuddin akhirnya melihat kepentingan masa depannya lebih utama daripada segala-galanya?

Selepas Hishammuddin yang berdarah sepupu pun sudah goyang pendiriannya, siapa lagi akan berbuat demikian selepas ini?


Ketika menteri lain berdiam diri atau menyembunyikan pendirian mereka berhubung kata dua Najib, Hishammuddin sebaliknya menunjukkan sikap terbuka dan beraninya...


KPN, Panglima ATM bincang peranan tentera

Posted: 03 Jun 2015 05:29 PM PDT

SINAR HARIAN



Datuk Seri Hishammuddin Hishammuddin

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara dan Panglima Angkatan Tentera akan berbincang tentang peranan yang perlu dimainkan pihak tentera bagi meningkatkan keselamatan di sempadan negara, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata, kedua-dua pegawai tertinggi itu akan membincangkan perkara tersebut dalam tempoh terdekat berikutan ancaman yang terdapat di kawasan sempadan, terutama avtiviti sindiket pemerdagangan manusia di sempadan Malaysia-Thailand.

"Saya juga telah menghubungi rakan sejawatan saya dari Thailand berkaitan usaha untuk memastikan sempadan kita berada dalam keadaan lebih kukuh dan selamat.

"Hasilnya akan diumumkan pada masa sesuai," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat pasca Kabinet di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Sementara itu, mengulas cadangan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi seperti yang dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini bahawa tentera perlu mengambil alih kawalan berikutan ancaman keselamatan dan amalan rasuah yang wujud di sempadan, Hishammuddin berkata secara peribadi, beliau bersetuju dengan langkah itu, tetapi lebih banyak perbincangan perlu diadakan sebelum memuktamadkannya.

"Saya tidak pasti tentang laporan itu .. saya tidak menyedarinya. Tetapi, semua saksi berkenaan perlu tampil ke depan.


"Saya tak ada bantahan (terhadap langkah itu) seperti yang saya maklumkan kepada beliau (Zahid) pada mesyuarat Kabinet hari ini," kata beliau.

Menurut laporan berkenaan, Ahmad Zahid mahu pihak tentera mengambil alih kawalan keselamatan di kawasan sempadan, sejajar dengan gesaan kementeriannya agar langkah drastik dilaksanakan bagi membanteras amalan rasuah di sempadan Malaysia.

Laporan itu juga memetik sumber Cawangan Khas yang mendedahkan bahawa 83 peratus anggota keselamatan dan pegawai penguat kuasa undang-undang Malaysia yang bertugas di kawasan sempadan negara ini, terlibat dengan rasuah.

Ditanya sama ada langkah itu akan melibatkan semua anggota pasukan penguat kuasa di sempadan, Hishammuddin berkata ia tidak akan melibatkan pertukaran penuh kerana sesetengah bahagian di sempadan kini dikawal oleh anggota tentera.

Mengenai perkara yang menjadi keutamaan kementeriannya dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11, beliau berkata ia meliputi empat teras iaitu peningkatan kesiapsiagaan aset untuk menangani ancaman tradisional dan bukan tradisional seperti yang sedang dihadapi di Sabah, kebajikan anggota dan veteran tentera, meningkatkan inovasi dan industri pertahanan. - Bernama


Pengurus Sahkan Erra Fazira Kini Berhijab

Posted: 03 Jun 2015 05:24 PM PDT

RAKYATNEWS


Foto - Blackpepper Production
 

KUALA LUMPUR - Pengurus pelakon Erra Fazira yang dikenali sebagai Poji Samad mengesahkan pengacara Primadona itu sudah mula berhijrah dan berhijab penuh semalam sempena bulan Syaaban.

Poji Samad berkata niat untuk berhijab sudah lama diluahkan Erra Fazira kepadanya iaitu sejak setahun lalu lagi, namun keputusan berhijab kali ini adalah tetap dan sepenuhnya.

"Ya betul, Erra sudah berhijab penuh sejak semalam sempena bulan Syaaban. Dia sudah lama beritahu saya untuk berhijab dan meminta pandangan saya sejak setahun lalu.

"Saya ada beritahu dia kalau benar hendak berhijab biarlah dengan hati yang ikhlas tanpa pengaruh sesiapa dan sebagai pengurus saya menyokongnya," katanya kepada memetik laporan murai.com.my.

Malah sejak Erra menyatakan hasratnya itu, Pojie menyedari Erra mula mendalami ilmu agama serta belajar mengaji al-Quran.

"Nampak perubahan dia sedikit demi sedikit sejak setahun yang lalu apabila dia mula menghadiri kelas agama serta belajar mengaji.

"Saya akan terus mendoakan dia tetapkan hatinya dan istiqomah dengan penghijarahannya itu," ceritanya.

Terdahulu Erra dalam kenyataannya dalam sebuah akhbar dia meminta supaya penghijarahannya dipermudahkan.


Bekalan air di Semenyih mungkin dicatu

Posted: 03 Jun 2015 05:17 PM PDT

 
SYABAS diminta menghantar tangki air kepada penduduk yang terjejas di Semenyih


catuan air,selangor


PETALING JAYA: Kerajaan Selangor tidak menolak kemungkinan untuk melaksanakan catuan air sebagai salah satu penyelesaian terhadap masalah bekalan di Semenyih.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohamed Khusrin Munawi bagaimanapun berkata, Jawatankuasa Air Negeri mempunyai beberapa cadangan untuk menyelesaikan masalah itu.

Katanya, pihaknya perlu meneliti secara mendalam sebelum melaksanakan cadangan berkenaan termasuk catuan air.

Sementara jalan penyelesaian ditemui, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) telah diminta untuk membantu pengguna di Semenyih.

"Kita sedang mencari penyelesaian. Ada beberapa cadangan tetapi perlu diteliti dahulu sebelum dilaksanakan.

"Jawatankuasa Air sedang mencari jalan terbaik untuk mengurangkan masalah ini.

"Untuk sementara waktu, kita minta SYABAS membantu penduduk dengan penghantaran tangki air kepada penduduk yang terjejas," katanya menerusi Sistem Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) kepada FMT.

Khusrin diminta mengulas desakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Johan Abd Aziz supaya kerajaan negeri melaksanakan catuan air di Semenyih yang telah menghadapi masalah air sejak setahun lalu.

Katanya, kira-kira 600,000 penduduk dari 137 taman perumahan menghadapi bekalan air tidak menentu kerana kekurangan air terawat.

Dewan Ulama lulus usul putus dengan DAP

Posted: 03 Jun 2015 05:10 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Muktamar Dewan Ulama PAS sebulat suara mencadangkan kepada Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa pusat PAS supaya membatalkan kerjasama dengan DAP tetapi kekal bekerjasama dengan PKR dan Pakatan Rakyat.

Usul tergempar oleh ahli jawatankuasa Dewan Ulama Mokhtar Senik dibuat rentetan daripada serangan dahsyat DAP terhadap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan parti itu.

"DAP dengan lantang menggugat kedudukan PAS dan presiden dengan mengisytiharkan memutuskan hubungan dengan presiden yang menjadi ayah kita dalam PAS.

"Kita tidak sanggup menyerahkan presiden kita dinodai parti rakan DAP. Keberanian DAP itu disebabkan setengah kita tidak memberi walak kepada presiden.

"Mereka masuk dalam rumah kita, cuba ganti ayah dalam rumah kita. Sikap DAP seolah-olah dia memimpin PAS dan cuba mengawal PAS, seolah-olah PAS tidak ada presiden," katanya.

Beliau mendakwa DAP cuba melakukan pencerobohan dalam PAS dengan cuba mengawal muktamar PAS dengan menghantar isyarat jika hendak mengukuhkan PAS dalam Pakatan, maka hendaklah mengekalkan kepimpinan pro-Pakatan.

"Jadi kita usulkan, putuskan hubungan dengan DAP tapi bukan dengan PKR dan Pakatan.

"Kita mahu menghantar isyarat bahawa parti Islam ini ada dasar dan prinsip," katanya.

Kemudian, Perwakilan Dewan Ulama Perak, Nor Azli Musa bangun untuk membahaskan usul tergempar itu dengan menyeru semua perwakilan bangunan sebagai tanda sokongan kepada usul tersebut.

Semua perwakilan yang hadir bangun dan mengucapkan takbir beberapa kali sehingga bergema di dewan Datuk Fadzil Monhd Noor di Taman Melewar, Gombak.

Usul itu kemudiannya diisytihar diterima sebulat suara oleh pengerusi tetap.

Selepas itu, perwakilan Kelantan Hassan Mahmood bangun mahu cadangan itu dipinda sedikit supaya Majlis Syura mengkaji kedudukan PAS dalam Pakatan dari sudut maslahah dan politik sebelum membuat keputusan itu.

Bagaimanapun Nor Azli kemudiannya bangun semula membantah syor Hassan memandangkan usul itu telah diterima sebulat suara.

Pengerusi tetap memutuskan cadangan memutus hubungan DAP dikekalkan tanpa pindaan. 


Diagnosis Dr M, kabinet gagal ujian 1MDB

Posted: 03 Jun 2015 05:09 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Tun Dr Mahathir Mohamad kini memperluaskan serangannya, merangkumi keseluruhan kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Bekas perdana menteri itu berkata para menteri nampaknya tidak mampu menangani isu 1MDB itu.

Apa yang paling jelas, katanya, ialah seluruh kabinet seolah-olah tidak dapat menangani masalah tersebut.

Menurut Dr Mahathir, ada antara mereka yang nampak seperti tidak faham, ada yang merasakan ia bukan urusan mereka dan ada pula merasakan lebih selamat tidak bercakap apa-apa.

Beliau memberitahu pemberita demikian di Kuala Lumpur hari ini, ketika ditanya menteri mana yang harus meletak jawatan.




Ahmad Husni elak jawab mengenai Jho Low

Posted: 03 Jun 2015 05:01 PM PDT

 
Ahmad Husni menjelaskan tidak perlu untuk mengaitkan Jho Low dengan 1MDB serta tidak perlu juga untuk mempopularkannya.


husnu,Jho Low


 PETALING JAYA: Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dilihat cuba mengelak daripada menjelaskan lebih lanjut Low Taek Jho atau Jho Low yang dilihat sebagai individu penting dalam menghurai kemelut 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketika ditemu bual dalam rancangan, `1MDB di mana wangnya' yang disiarkan di TV1 pada Rabu, Ahmad Husni berkata, tidak perlu untuk mengaitkannya dengan 1MDB serta tidak perlu juga untuk mempopularkannya.

"Pasal apa kita nak glamorkan Jho Low ini. Ini semua dari laporan media. Itu sebab di Parlimen saya jawab, kita tidak boleh membincangkan perkara yang dilaporkan oleh media kerana ia tidak ada pengesahan," katanya dalam rancangan tersebut yang bersiaran secara langsung selama satu jam.

Soalan berkenaan Jho Low itu dtanyakan oleh Suhaimi Mohamad yang merupakan seorang daripada hos dalam rancangan berkenaan bersama seorang lagi rakannya Syed Munawar Syed Mustafa.

Dia mengetengahkan soalan berkenaan selepas melihat pertanyaan demi pertanyaan yang dibangkitkan penonton di laman Twitter.

Antara mereka Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua yang mahu mengetahui tentang AS$1.2 bilion yang didakwa dibayar oleh 1MDB kepada Good Star milik Jho Low dengan alasan sebagai peminjam kepada Petro Saudi.

Menjawab soalan itu, Ahmad Husni berkata soalan Tony Pua itu sendiri tidak betul kerana jika merujuk laporan media jumlah yang disebut dengan perkara itu adalah hanya RM700 juta sahaja.

"Itu saja tidak betul, mana datang jumlah RM1.2 bilion. Kita tahu setiap kali pembangkang ini buat cerita banyak yang tidak betul,"ujarnya.

PGA kawal kem tahanan Lubuk Sireh

Posted: 03 Jun 2015 04:48 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Kawasan kem tahanan Lubuk Sireh (Perlis) dikawal rapi Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi membolehkan kerja fasa kedua menggali kubur mangsa sindiket pemerdagangan manusia dijalankan.

Media Malaysia yang melakukan tinjauan melalui laluan Ban Ta Lok di Padang Besar mengambil kira-kira sejam untuk mendaki bukit sebelum sampai di batu sempadan Malaysia yang dipagar dengan kawat duri.

Dari batu sempadan itu, kedengaran bunyi pokok ditebang apabila kumpulan media semakin menghampiri hutan simpan Perlis itu yang dikatakan menjadi laluan pihak forensik dan polis bagi memasuki kawasan kem transit berkenaan.

Namun kehadiran 10 wartawan itu disedari anggota PGA yang sedang bertugas dan mereka dinasihatkan supaya keluar dari kawasan tersebut dan turut diiringi keluar sehingga ke batu sempadan.

Seorang pegawai PGA yang enggan dikenali berkata keseluruhan kawasan berkenaan dari batu sempadan Thailand di Ban Ta Lok hingga kaki bukit Wang Kelian merupakan kawasan larangan.

"Media tidak dibenarkan masuk atas faktor keselamatan dan kawasan ini adalah kawasan larangan," katanya yang mengiringi media keluar.

Operasi menggali fasa kedua dijangka bermula semalam namun menurut pegawai PGA tersebut, pihaknya kini dalam proses mendirikan kem sementara untuk pasukan pertugas forensik dan polis.

Menurutnya operasi menggali dijangka selesai sebelum 8 Jun ini.

Pada sebelah pagi, kumpulan media berkumpul di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Padang Besar bagi meninjau persiapan pasukan polis dan forensik bagi operasi menggali, bagaimanapun mereka tidak dibenarkan berbuat demikian.

Tinjauan di IPD Padang Besar pada pukul 9 pagi mendapati pihak polis sedang memuat peralatan menggali dan keperluan asas ke dalam enam buah kenderaan 'Landrover Defender' sebelum bertolak melalui pintu sempadan Thailand di Padang Besar.

Perjalanan dari kaki bukit melalui perkampungan Ban Ta Lok mengambil masa kira-kira sejam untuk sampai ke sempadan Malaysia-Thailand yang akan digunakan polis Malaysia untuk operasi menggali.

Sebelum ini pihak polis mendedahkan satu lagi kem transit kedua yang dikatakan yang terbesar terletak di hutan simpan Mata Ayer, Lubuk Sireh dan mereka turut mengenal pasti 91 buah kubur di kawasan tersebut.

Laluan ke kem itu dikatakan lebih mudah melalui pintu Thailand kerana kawasannya terletak hanya kira-kira 100 meter dari sempadan dan tidak securam laluan di Wang Kelian.

Sementara itu, operasi menggali 91 buah kubur fasa kedua di Hutan Simpan Mata Ayer, Lubuk Sireh, Perlis diteruskan semula hari ini selepas dihentikan dua hari berikutan kekurangan bahan bantuan.

Ketua Polis Perlis SAC Shafie Ismail berkata operasi di kawasan yang terletak kira-kira 100 meter dari sempadan Thailand itu melibatkan lebih 90 anggota polis dengan beberapa kelengkapan termasuk barangan logistik, makanan, minuman dan khemah telah dihantar ke kawasan itu.

Operasi melibatkan Laluan Ban Talok selepas pihak berkuasa Thailand membenarkan laluan itu digunakan pihak Malaysia untuk proses membawa turun mayat.

Dalam pada itu, seorang pesara Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) dikenali PakLan memberitahu Bernama bahawa Pulau Pinang mungkin menjadi hab pemerdagangan manusia.

Beliau berkata dalam operasi yang dijalankan dari tahun 1996 hingga 2003, sekurang-kurangnya dua atau tiga pelarian Rohingya dan pendatang Bangladesh ditangkap.

Sindiket yang melibatkan tekong darat itu dikatakan menggunakan bahasa isyarat 'Penang' untuk memanggil keluar pelarian yang bersembunyi di beberapa jalan tikus.

Setakat ini, 35 mayat dipercayai mangsa aktiviti pemerdagangan manusia telah digali semula dari Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Perlis sejak kem-kem transit dijumpai Isnin lepas dan dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar, Kedah untuk proses patologi.

Ia adalah sebahagian rangka manusia yang dikeluarkan dari 139 kubur yang dikesan pihak berkuasa di 28 kem transit yang diwujudkan oleh sindiket pemerdagangan manusia di sepanjang sempadan Perlis-Thailand. -  Bernama


 

1MDB akan beri kerjasama penuh pada BNM

Posted: 03 Jun 2015 04:46 PM PDT

MALAYSIAKINI


1MDB akan memberi kerjasama penuh kepada Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung siasatan terhadap proses tadbir urus syarikat tersebut dan berharap penyelesaian segera bagi perkara itu.

"Kami mengesahkan Bank Negara Malaysia telah memulakan siasatan ke atas 1MDB, yang memerlukan maklumat dan kenyataan daripada individu yang terlibat dalam proses tadbir urus syarikat," kata Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Arul Kanda, dalam satu kenyataan semalam.

Terdahulu Bank Negara Malaysia (BNM) memulakan siasatan rasmi ke atas 1Malaysia Development Bhd (1MDB) bagi meneliti sama ada berlaku sebarang
pelanggaran terhadap peraturan dan undang-undang bank pusat.

"Ini melibatkan arahan undang-undang dikeluarkan untuk mendapatkan maklumat daripada entiti tersebut," kata BNM dalam satu kenyataan semalam.

BNM juga sedang mengambil kenyataan individu-individu yang terlibat dalam proses tadbir urus dan mendapatkan maklumat daripada pihak dalam negeri dan luar negeri yang berkenaan.

Selain itu, BNM berkata, ia telah menghantar maklumat yang diterima dari pihak berkuasa asing kepada agensi penyiasatan yang berkenaan setelah mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa asing.

"Bank Negara Malaysia ingin menegaskan bahawa sebarang penzahiran lanjut maklumat siasatan boleh menjejaskan hasil siasatan.

"Bank Negara Malaysia sedang mengambil segala langkah yang perlu di bawah bidang kuasa perundangannya, termasuk bekerjasama dengan agensi lain, untuk menyumbang ke arah penyelesaian perkara ini dengan secepat mungkin," kata bank pusat. - Bernama


Tiga penyandang jawatan utama Dewan Muslimat PAS tewas

Posted: 03 Jun 2015 04:45 PM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
 
Tiga penyandang bagi jawatan ketua Dewan Muslimat PAS Siti Zailah Mohd Yusoff, timbalan ketua Dr Siti Mariah Mahmud dan naib ketua Mumtaz Md Nawi gagal mempertahankan jawatan masing-masing.

Dalam pemilihan bagi dewan tersebut kali ini, Siti Zailah tewas kepada ketua Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, Nuridah Saleh.

Siti Zailah (gambar) gagal mempertahankan jawatannya apabila memperolehi 329 undi, manakala Nuridah mendapat 359 undi.

Nuridah pernah menerajui Dewan Muslimat pada 2007 sebelum tewas kepada Siti Zailah empat tahun kemudian.

Manakala Dr Siti Mariah yang juga ahli Parlimen Kota Raja, gagal mempertahan jawatan timbalan ketua Muslimat apabila tewas kepada pencabarnya, Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Dr Rosni Adam.

Dr Rosni menang besar dengan mendapat 414 undi manakala Siti Mariah memperolehi 274 undi.

Jawatan naib ketua Muslimat pula dimenangi oleh Salamiah Mohd Noor.

Salamiah mendapat 358 undi, manakala Mumtaz memperolehi 350 undi.

Manakala 12 ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS yang diumumkan menang ialah:

1.  Dr Che Faridah Ismail,
2. Dr Halimah Ali
3. Hamidah Wan Daud
4. Normala Sudirman
5. Siti Murshidah Ramly
6. Kartini Ahmad
7. Dr Uyun Abd Malek
8. Dr Uzaimah Ibrahim
9. Dr Wahibah Tahir
10. Wan Hasrina Wan Hassan
11. Dr Najihatussolehan Ahmad
12. Siti Aisyah Ghazali

Keputusan ini diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Asmuni Awi pada jam 12.15 malam selepas selesai sesi penggulungan muktamar tahunan ke- 55 Dewan Muslimat PAS di Shah Alam.

Seramai 705 perwakilan memilih kepimpinan ini bagi sesi 2015- 2017. 
 
 

Tiada ulasan: