Selasa, 23 Jun 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Kod berpakaian didik ketrampilan dan sivik masyarakat

Posted: 23 Jun 2015 03:43 PM PDT

THE RAKYAT POST


kisah skirt pendek
Tiga kisah wanita yang dikatakan berpakaian tidak sopan dan diminta menutup kaki mereka dengan kain sarung dan tuala. (Kiri) kisah seorang wanita yang diminta memakai kain tuala pesakit ketika melawat bapanya di Hospital Sungai Buloh, (tengah) wartawan NST dan penduduk tidak dibenarkan masuk ke bangunan SUK kerana dikatakan pakaian mereka singkat dan (kanan) Suzanne G L Tan yang diminta memakai kain sarung ketika berurusan di pejabat JPJ. 



KUALA LUMPUR -"Kod berpakaian yang dilaksanakan ini adalah bagi meningkatkan ketrampilan dan sivik masyarakat, bukan untuk memalukan individu tertentu."


Demikian menurut pengkaji sosial, Prof Madya Dr Kartini Aboo Talib @Khalid ketika mengulas mengenai insiden terhadap beberapa individu yang dihalang atau diarahkan memakai sarung kerana berpakaian kurang sesuai ketika berurusan di permis kerajaan.

Dr Kartini yang juga pensyarah di Institut Kajian Etnik (KITA) UKM menjelaskan, ini bukan persoalan berkenaan agama, sedangkan rekod jenayah seksual di negara Timur Tengah lebih buruk walaupun kebanyakan rakyatnya bertudung dan menutup aurat.

 Namun Dr Kartini berkata, kesan positif daripada berpakaian sopan pasti akan membantu mengurangkan gangguan seksual dan menghindari daripada berlakunya pelbagai anasir negatif yang lain.

"Insiden di Hospital Sungai Buloh telah pun dinyatakan bahawa tiada peraturan hospital mengenai kod berpakaian yang ditetapkan dalam urusan pesakit dan pelawat.

"Namun, kerana menjadi kebiasaan dan kurangnya penguatkuasaan menyebabkan masyarakat kurang peka terhadap kod pemakaian yang sedia wujud sebelum ini.

"Secara sivik, pelawat diminta rasional dengan memakai pakaian yg sopan," katanya ketika dihubungi The Rakyat Post.

Ujarnya lagi, bukan sahaja di hospital perlu berpakaian sopan, lawatan ke Vatican City di Rome, Italy bagi yang beragama Kristian juga menetapkan kod pemakaian yang sopan dan menutup aurat.

Kod pemakaian ketika berurusan di semua agensi kerajaan sama ada wanita atau lelaki telah ditetapkan bahawa, orang ramai dilarang memakai seluar pendek, skirt pendek dan baju-T tanpa lengan atau tidak dibenarkan masuk ke permis tersebut.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Ahmad Atory Hussain berpendapat beliau bersetuju masyarakat harus peka dengan kod pemakaian di tempat awam.

"Kod berpakaian mengelak daripada masyarakat Malaysia bertindak melampau dalam berpakaian, ini mengekang mereka memakai pakaian yang menjolok mata sedangkan di negara barat juga etika berpakaian amat dititik beratkan,

"Kalau masyarakat kita mahu berpakaian santai dengan berseluar pendek untuk ke pusat membeli belah itu tidak mengapa tetapai jika berurusan di pejabat kerajaan perlu memakai baju yang bersesuaian seperti kemeja, bukan baju-T atau seluar pendek," katanya kepada The Rakyat Post.

Jelasnya, masyarakat perlu menjadi lebih disiplin dan kita perlu mencontohi rakyat di negara maju bukan sahaja dari segi perkembangan ekonomi dan infrastuktur semata-mata tetapi juga etika dan kesedaran sivik yang seiring untuk mencapai tahap negara kelas pertama.

Semalam, wartawan akhbar New Straits Times dan seorang penduduk Klang dihalang memasuki bangunan Setiusaha Kerajaan Negeri Selangor dan diminta memakai kain sarung sebelum dibenarkan masuk.

Insiden ini adalah yang kedua selepas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dikritik pengguna media sosial, kerana menghalang wanita memakai skirt atas paras lutut dan meminta ia ditutup dengan kain batik sebelum dibenarkan berurusan.

Hari ini, tersebar di internet sekeping gambar seorang gadis yang mendakwa terpaksa meminjam kain tuala pesakit untuk melawat bapanya di Hospital Sungai Buloh.


SPRM teliti laporan media asing dakwa pegawai MARA terbabit penipuan jual beli hartanah di Australia

Posted: 23 Jun 2015 03:37 PM PDT

THE RAKYAT POST


SPRM-Dudley International House_Caulfield East_sold for more than $22m-The Age
Foto dari portal akhbar The Age menunjukan kompleks asrama penginapan pelajar Dudley International House di Caulfield East, Melbourne yang didakwa dijual pada harga A$22.5m (RM65.2 juta) lebih tinggi A$4.7 juta dari nilai pasaran sebenar iaitu A$17.8 juta dan lebihan itu dilapor dibayar sebagai rasuah menggunakan alasan "khidmat jururunding dan nasihat" dari firma Malaysia.



KUALA LUMPUR-  Ketika pucuk pimpinan Majlis Amanah Rakyat (MARA) hanya akan membuat kenyataan esok, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berkata akan meneliti laporan portal berita luar negara yang mendakwa pegawai kanan agensi itu terlibat dalam penipuan urus niaga pembelian hartanah di Melbourne, Australia.


Menurut sumber, pihak SPRM akan meneliti laporan media berkenaan dan akan mengambil tindakan selanjutnya sekiranya benar terdapat unsur rasuah seperti yang dilaporkan.

"Setelah segala maklumat awal dikumpulkan dan terbukti adanya unsur rasuah, baharulah kita ambil tindakan mengikut Akta SPRM," kata sumber SPRM itu dipetik daripada laporan agensi berita Bernama, Selasa.

Portal akhbar Australia, The Age melaporkan seorang pegawai tinggi Mara, seorang pegawai kanan dan seorang bekas ahli politik didakwa membelanjakan berjuta-juta ringgit dana kerajaan untuk membeli satu blok apartmen di Melbourne yang dilabel sebagai penipuan urus niaga hartanah.

Akhbar itu mendakwa "sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya" terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok apartmen di bandaraya itu pada 2013.

Ketiga-tiga pegawai itu didakwa "membida lebih tinggi" bagi harga bangunan itu yang dikenali sebagai 'Dudley International House", daripada A$17.8 juta kepada A$22.5 juta (RM65.3 juta), dengan jumlah perbezaan wang itu dijadikan sebagai rasuah di tanah air.

Dudley International House merupakan asrama penginapan pelajar, yang dibeli oleh MARA yang menyediakan biasiswa bagi pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di luar negara.

Bangunan Dudley International House setinggi lima tingkat di sub bandar East Caulfield kini menempatkan 115 pelajar MARA di Monash University.

Pagi tadi, Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan kepada The Rakyat Post pihaknya akan memberikan penjelasan berhubung laporan media asing berkenaan pada sidang media pagi esok.

Beliau ketika dihubungi berkata, pihaknya akan mengadakan satu sidang media berkenaan pada jam 10.30 pagi di Pejabat MARA di ibu negara.


Klip video Ustaz Azhar Idrus naik paramotor jadi viral

Posted: 23 Jun 2015 12:07 AM PDT

THE RAKYAT POST

ustak
Ustaz Azhar Idrus merasai sendiri pengalaman menaiki paramotor di tepi pantai Kuala Terengganu. -Foto Youtube. 



KUALA LUMPUR- Sebuah klip video yang memaparkan aksi Ustaz Azhar Idrus menaiki paramotor secara tandem bersama pengendali paramotor, Anuar Ngah, 46, dari Kuala Terengganu menjadi viral di laman sosial.

Akui Anuar, walaupun gayat dengan ketinggian, Azhar Idrus memberanikan diri untuk merasai pengalaman terbang ke udara.

Beliau berkata, pada tahun lalu, Azhar Idrus ingin mencuba aktiviti ini tetapi beliau gayat dan tidak berani untuk mengatasi ketakutan terhadap ketinggian. Malah, dia juga dikatakan jarang menaiki kapal terbang.

"Namun setelah saya bercakap ia selamat, beliau ingin mencuba. Jadi kami terbang pada 5 Jun lalu selama 30 minit. Pada mulanya beliau nampak takut tetapi selepas itu beliau okay," katanya sambil menambah bahawa Azhar Idrus ingin mencuba paramotor itu sekali lagi pada minggu depan.

Minat yang mendalam dalam penerbangan dan juga fotografi, menarik minat Anuar untuk menceburi aktiviti ini sebagai hobi.

Ini kerana aktiviti berkenaan membolehkan beliau terbang ke udara, sambil merakam pemandangan dari atas menggunakan GoPro.

"Kepuasannya lain dan paramotor ini membolehkan kita merakam gambar dan video dari pelbagai sudut berbanding helikopter mahupun dron.

"Malah kualiti gambar daripada dron tidak sama dan kita pun tidak boleh merasai pengalaman itu kerana ia dikawal dengan alat kawalan jauh," katanya.

Beliau yang mempunyai pekerjaan tetap dalam industri insurans kini mempunyai perniagaan sendiri untuk membawa orang ramai menaiki paramotor.

"Pakej saya adalah RM150 untuk 20 minit. Saya juga akan hasilkan video sekali.

"Untuk orang di kampung ini, RM150 agak mahal tetapi saya terkejut mempunyai permintaan yang banyak," katanya.

Berikut adalah antara video yang dimuat naik oleh Anuar di laman YouTube beliau.


Protes: Bendera DAP dibakar di Komtar

Posted: 22 Jun 2015 11:54 PM PDT

THE RAKYAT POST


Slug: Umno memorandum. GEORGETOWN 23 Jun 2015 - BEBERAPA Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian membakar bendera DAP selepas mereka mengiringi kepimpinan Umno Negeri untuk menyerahkan memorandum kepada Datuk Bandar, Datuk Patahiyah Ismail di KOMTAR Georgetown Pulau Pinang di sini hari ini.  Gambar: Sazali Che Din. Pemberita: Firdaus Ismail (Utusan Malaysia).
Sekumpulan lelaki bertindak membakar bendera DAP selepas Setiausaha UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir menyerahkan memorandum kepada wakil Datuk Bandar, di Komtar hari ini. 



GEORGE TOWN-  Protes berhubung penurunan papan tanda UMNO di Menara UMNO minggu lepas berakhir dengan dua bendera DAP dibakar di pintu masuk Komtar, hari ini.


Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, beberapa lelaki dilihat sedang membakar dua bendera DAP selepas Setiausaha UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir beredar dari bangunan itu selepas menyerahkan memorandum berhubung protes terbabit.

Terdahulu, seramai 50 ahli UMNO menyerahkan memorandum kepada wakil Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kerana tindakan pengawal keselamatan bangunan kerajaan negeri itu yang mengunci pintu masuk atas sebab keselamatan.

Musa terlebih dahulu menyerahkan memorandum berkenaan menerusi ketua keselamatan, Mohd Feroze Mohd Noor yang mewakili Datuk Bandar Datuk Patahiyah Ismail di pejabat kerajaan negeri di Komtar hari ini.

Ruang legar Komtar dilihat dipenuhi oleh ahli UMNO yang tidak berpuas hati yang kemudiannya mengiringi Musa untuk menyerahkan memorandum berkenaan.

Namun tidak semua dibenarkan masuk oleh anggota keselamatan yang bertindak mengunci pintu atas sebab keselamatan.

Musa turut menjelaskan pemusnahan papan tanda berkenaan tidak mengikut prosedur yang ditetapkan.
Malah, beliau turut mempersoalkan hak ahli majlis untuk memberi arahan memusnahkan papan tanda berkenaan sedangkan ia di luar bidang kuasanya.

"Ini adalah salah satu cara untuk memberi tekanan kepada UMNO Pulau Pinang. MBPP telah bertindak melulu dan tidak bertanggungjawab.

"Tindakan ini tidak mengikut Seksyen 72 (6) Akta 133 yang menyatakan bahawa MBPP perlu memberi notis sekurang-kurangnya 30 hari kepada pemilik bangunan untuk membetulkan apa-apa ketidakpatuhan prosedur.

"Mereka tetap terus memusnahkan papan tanda itu selepas UMNO telah mengadakan rundingan dengan MBPP dan pihak ahli majlis meminta UMNO untuk failkan beberapa dokumen untuk permohonan permit bagi meletakkan papan tanda di situ," katanya.

Menurutnya, pihaknya telah bersetuju untuk menghantar dokumen yang diperlukan untuk memohon permit.

"Kita setuju untuk hantar dokumen berkenaan pagi semalam, namun pada Jumaat lalu mereka datang dan merobohkan papan tanda berkenaan," katanya kepada poemberita selepas menyerahkan memorandum.
Musa turut mendakwa kerajaan negeri Pulau Pinang hanya cuba untuk menunjukkan kuasa dengan bertindak sedemikian.

Gempa Bumi Lemah Landa Ranau Pagi Ini

Posted: 22 Jun 2015 10:56 PM PDT

MSTAR ONLINE
 
 
Satu ukiran besar seakan-akan wajah manusia terbentuk susulan runtuhan batu di Gunung Kinabalu berikutan hakisan selepas gempa bumi dapat dilihat oleh pengunjung yang melalui laluan Kota Belud-Ranau. Beberapa episod runtuhan batu yang berlaku selepas gempa bumi telah menyebabkan hakisan di dinding batu berkenaan serta membentuk pelbagai ukiran menarik yang seakan-akan menghiasi dinding batu Gunung Kinabalu.
 
 
 
KUALA LUMPUR: Satu gempa bumi lemah berukuran 3.5 pada skala Richter melanda Ranau, Sabah pada pukul 10.54 pagi, Selasa.

Jabatan Meteorologi dalam satu kenyataan berkata pusat gempa ialah 22km barat Ranau, Sabah.

Pada 5 Jun, gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter menggegarkan Ranau dan mengorbankan 18 nyawa.--Bernama

Nizar Tetap Sebagai Ketua Pembangkang Perak!

Posted: 22 Jun 2015 10:53 PM PDT

KELAB GREENBOC



 

Nizar kekal ketua pembangkang Perak, kata DAP negeri

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Changkat Jering Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang menang kerusi itu atas tiket PAS akan kekal sebagai ketua pembangkang Perak, kata Pengerusi DAP negeri Nga Kor Ming, walaupun kerjasama antara kedua-dua parti itu sudah berakhir.

Nga berkata Nizar yang juga pernah menjadi menteri besar Perak selama 10 bulan ketika Pakatan Rakyat (PR) menang dan mentadbir negeri itu pada 2008, menerima sokongan semua 18 Adun DAP dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Nizar akan kekal sebagai ketua pembangkang walaupun PR tidak lagi wujud dalam negeri ini. Selain wakil daripada DAP, saya percaya Nizar juga memperoleh sokongan daripada 5 lagi Adun PKR," katanya kepada The Malaysian Insider.

Lima lagi wakil, termasuk Nizar adalah daripada PAS dan secara bersama, mereka membentuk 28 Adun pembangkang dalam DUN.

Nga, yang juga Adun Kepayang berkata ini adalah respons sama ada DAP akan menarik sokongannya kepada Nizar untuk kekal sebagai ketua pembangkang, memandangkan DAP dan PAS tidak lagi menjalinkan kerjasama politik.

Ini adalah susulan usul memutuskan hubungan dengan DAP yang diluluskan tanpa bahas di muktamar tahunan PAS awal bulan ini.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng turut mengumumkan jawatankuasa eksekutif pusat parti itu membuat keputusan mengisytiharkan PR sudah terkubur memandangkan parti sekular dan rakan kongsi Islam itu tidak lagi bekerjasama.

Nga berkata walaupun PR tidak lagi wujud, Nizar boleh memegang jawatan itu kerana beliau adalah Adun yang dilantik untuk mewakili Changkat Jering.

"Kedudukan Nizar adalah wakil rakyat yang dilantik dan DAP yang membentuk majoriti pembangkang dalam DUN menyokongnya untuk kekal di situ," katanya.

Nizar menjadi ketua pembangkang negeri sejak Mei 2009.

Nga, yang juga ahli Parlimen Taiping berkata DAP negeri mempunyai hubungan yang mesra dengan kepimpinan PAS Perak yang baharu di bawah Rosman Zakaria.

"Kami bukan musuh PAS atau pemimpinnya. Contohnya, kami akan pergi majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri mereka jika dijemput.

"Bagaimanapun, kami mempunyai hubungan kerja yang cemerlang dengan semua Adun PAS dalam melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat dilantik dalam DUN," katanya.

Nizar sendiri gagal mengekalkan jawatannya dalam Jawatankuasa PAS Pusat bersama sekumpulan ahli "progresif" yang diketuai bekas Timbalan Presiden Mohamad Sabu yang digulingkan dalam pemilihan kedudukan tertinggi parti.

Nizar juga tewas bagi jawatan ketua cawangan PAS Kampar yang disandangnya sejak 14 tahun lalu, kepada Mohd Sofian Rejab, seorang guru agama. -TMI

ULASAN GB

Maka bertempiklah golongan pro-ulama bersama-sama UMNO... Nizar budak suruhan DAP!

Sedangkan Nizar adalah ikon pemersatu parti-parti komponen di dalam PR. Sekalipun PAS memiliki kerusi minoriti di Perak selepas PRU12 dahulu, tetapi Mohd Nizar dilantik sebagai Menteri Besar Perak berdarkan ketokohan dan professionalism yang beliau miliki. 


Dengki dan irihati UMNO menyebabkan beliau dilemparkan dengan pelbagai tuduhan seperti keldai DAP, talibarut Cina dan seumpamanya sehingga timbullah kononnya ada Penjanjian Pangkor II dimana dikatakan Nizar menandatangani satu perjanjian untuk bersetuju tidak melaksanakan hukum Islam apabila menjadi MB Perak. 

Fitnah dari UMNO ini kemudiannya digunakan dan diperpanjangkan oleh kumpulan ulama dalam PAS di dalam grand design mereka untuk menjatuhkan kumpulan profesional dalam PAS termasuk Nizar.

Sekalipun difitnahkan sedemikian rupa, hukum kebenaran dan keadilan tetap berjalan. Sebutir permata tetap permata walaupun dimana ia berada. DS Nizar masih diyakini oleh rakan-rakan komponen PR untuk terus menjawat sebagai Ketua Pembangkang.

Setelah dicantas oleh kumpulan gila jawatan dan gila kuasa di kalangan PAS Perak, mungkin selepas ini nama DS Nizar tiada lagi dalam senarai calon PAS di dalam pilihanraya akan datang.

Pun tidak mengapa, DS Nizar, insyaAllah, salah seorang pendokong parti baharu, dan meloponglah PAS Perak selepas ini... 


Azmin Dicabar Anjur Sidang DUN Tergempar

Posted: 22 Jun 2015 10:50 PM PDT

RAKYATNEWS


alt




SHAH ALAM  – Mohamed Azmin Ali dicabar untuk mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tergempar bagi menentukan sama ada beliau masih lagi mendapat sokongan majoriti sebagai Menteri Besar sekali gus menyelesaikan pergolakan yang berlaku dalam pentadbirannya ketika ini.

Cabaran itu dikemukakan oleh Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Abdul Shukor Idrus yang menyifatkan Mohamed Azmin seolah-olah gagal melaksanakan kepimpinannya di negeri ini apabila dikatakan terlalu mengambil sikap berkecuali dalam menyelesaikan pergeseran di antara Pas dan DAP.

Tegasnya, sebagai Ketua Eksekutif Negeri, beliau sepatutnya mengawal kepemimpinannya selain menyelesaikan kemelut dalaman yang berlaku di antara Pas dan DAP dengan memberikan kata putus mengenai hala tuju pentadbirannya.

"Namun, kita lihat Menteri Besar tidak berani memberikan kata putus atau membuat ketetapan tertentu untuk menyelesaikan kemelut di antara Pas dan DAP sekali gus memastikan kelancaran pentadbiran kerajaan negeri.

"Mungkin kerana beliau (Mohamed Azmin) terlalu memikirkan kedudukannya sebagai Menteri Besar memandangkan Pas dan DAP masing-masing mendominasi kerusi DUN jika memilih menjalinkan kerjasama dengan salah satu daripada kedua-dua parti tersebut.

"Jika demikian, maka beliau (Mohamed Azmin) sepatutnya memanggil sidang DUN tergempar untuk menentukan bahawa beliau masih mendapat sokongan majoriti ahli dewan sebagai Menteri Besar selain memuktamadkan kerjasama di antara PKR, DAP dan Pas diteruskan atau sebaliknya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Dalam pada itu, Abdul Shukor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang turut menegaskan, formula yang diguna pakai oleh PKR, DAP dan Pas dalam membentuk kerajaan bukan hanya tidak bertahan lama tetapi juga tidak menjanjikan apa-apa manfaat yang baik untuk rakyat.

Kegagalan kerjasama ketiga-tiga parti itu, jelasnya, mungkin kerana PKR, DAP dan Pas tidak mempu­nyai kesepakatan di antara satu sama lain selain hanya memperjuangkan agenda peribadi parti masing-ma­sing semata-mata.

"Yang terpaksa menanggung akibatnya ialah rakyat Selangor sendiri apabila banyak masalah tidak dapat diselesaikan sama ada dari segi jaminan bekalan air bersih, perumahan mampu milik dan sebagainya," ujarnya

Tak Akan Jumpa Sultan Demi Azmin

Posted: 22 Jun 2015 10:48 PM PDT

RAKYATNEWS


alt


 
SHAH ALAM - Pembangkang negeri Selangor tidak akan menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menyatakan sokongan terhadap Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berikutan krisis PR yang berlaku.

ADUN Batang Kali, Mat Nadzari Ahmad Dahalan berkata cadangan tersebut adalah unjuran yang tidak munasabah, malah dikatakan tidak akan membuat tindakan tersebut hanya kerana ingin memulihkan kedudukan Azmin daripada segala 'kekotoran' yang dibuat PR.

"Apa perlu kami jumpa nyatakan sokongan, mereka yang buat masalah, mereka yang bertelagah, mereka yang menyusahkan kita, hari ini nak suruh kita hadap sultan? Tak payah, satu anjuran yang tak munasabah," katanya lapor BNBBC.my.

Cadangan tersebut dibuat oleh Ketua Kluster Tadbir urus, Undang-Undang dan Pentadbiran Awam Majlis Professor Negara, Professor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood.

Namun jelas Nadzari, terpulang kepada PAS dan DAP sekiranya ingin berjumpa dengan Sultan bagi menyatakan sokongan terhadap Menteri Besar itu.

"Kalau adun DAP dan PKR nak jumpa, itu mereka punya masalah, selama hari ini, kita sebuah pakatan Pembangkang yang perjuangkan hak rakyat, tak alpa dengan perkara tu, tapi adun-adun BN tidak akan berjumpa dengan Sultan untuk campur tangan menyatakan sokongan terhadap Azmin," katanya lagi.

Begitu juga dengan Shahrum Mohd Sharif, beliau yang merupakan ADUN Dengkil itu berkata beliau tidak akan sesekali bertemu dengan Sultan Selangor untuk menyatakan sokongan terhadap Azmin.

Katanya, masalah dalaman PR yang semakin kritikal sejak 'Langkah Kajang' itu perlu diselesaikan oleh Azmin sendiri selaku Menteri Besar, bukan mengheret sama individu yang tidak berkaitan dalam permasalahan tersebut.

"Daripada Langkah Kajang, pertukaran Menteri Besar, akhirnya mereka bercakar sesama sendiri, kenapa nak heret kita sama sekali perlu jumpa Sultan pula? Itu tak betul.

"Jadi, kita minta rakyat nilai sendiri dengan apa yang dah berlaku," tambahnya.

Bagi ADUN Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi, beliau turut berkata tiada keperluan untuk semua ADUN bertemu dengan Sultan Selangor bagi menyatakan sokongan.

Sebaliknya jelas Budiman, hal dalaman PR perlu diselesaikan sesama sendiri dan Azmin diberi amaran supaya tidak terlalu berpolitik dalam mentadbir negeri Selangor yang akhirnya akan merugikan rakyat.

"Masalah ni masalah PR, tapi dalam keadaan ini sepanjang tempoh setahun, Azmin tak banyak selesaikan apa-apa masalah, isu air tak selesai, KIDEX dibatalkan, dan dia lebih kepada pendekatan yang populis dari menyelsaikan masalah rakyat.

"Dia kena ingat, jangan berpolitik sepanjang kepimpinan dia, sekarang dicuba pula berpolitik di peringkat DUN, ini yang kita tak mahu dan kita tak akan berjumpa dengan Sultan untuk nyatakan sokongan," katanya lagi.

Dengan ini ternyata bahawa pembangkang di Selangor sama sekali tidak akan nyatakan sokongan terhadap kepimpinan Azmin apatah lagi mengadap Sultan Selangor.


Jaminan PM Isu 1MDB Selesai Sebelum Akhir 2015

Posted: 22 Jun 2015 10:46 PM PDT

RAKYATNEWS


 


KUALA LUMPUR  - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan bahawa isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) akan dapat diselesaikan sebelum akhir tahun ini.

Beliau berkata demikian ketika memberi penerangan kepada hampir 1,500 ketua penerangan dan setiausaha bahagian UMNO seluruh negara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), petang tadi.

Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Bagan Datoh, Hasan Hamzah, berkata Perdana Menteri memberi jaminan bahawa isu 1MDB dapat diselesaikan dalam tempoh beberapa bulan atau sebelum akhir tahun ini.

Katanya, 1MDB adalah entiti perniagaan dan semua transaksi perniagaan yang diterangkan oleh Perdana Menteri di majlis itu berbeza dengan apa yang dikatakan di media sosial atau pembangkang.

"Bukan mudah untuk menguruskan perniagaan yang besar, ia mengambil masa dan beliau meminta rakyat supaya memahaminya.

"Berikan masa yang cukup kepadanya dan beliau akan menyelesaikan masalah 1MDB ini dalam masa beberapa bulan," katanya.


Jari kanak-kanak berkecai angkara mercun

Posted: 22 Jun 2015 10:41 PM PDT

 
Mangsa dikatakan bermain mercun " A Boom" bersama rakan di halaman rumah selepas waktu berbuka puasa


mangsa-mercun



PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak berusia 4 tahun mengalami kecederaan parah angkara bermain mercun.

Berdasarkan gambar yang dimuat naik dilaman Facebook Friends of PDRM, ia menunjukkan jari mangsa berkecai.

"Seorang kanak-kanak berumur 4 tahun telah mengalami kecederaan parah apabila jari jemari tangan sebelah kiri hancur akibat bermain mercun "A Boom" bersama rakan-rakan di halaman rumah selepas waktu berbuka tadi," antara maklumat yang dimuat naik di Facebook berkenaan.

Kejadian dikatakan berlaku di Tanjung Sepat, Banting.

Berikutan kecederaan teruk yang dialami, kanak-kanak berkenan yang pada mulanya dikejarkan ke Hospital Banting terpaksa menerima rawatan lanjut di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, di Kelang.

"Sedih tgk..tp ape boleh buat benda dh berlaku..kecik2 dh kudung sbelah..sabar je la keluarga adik ni..harap2 ni last post aku tgk utk bulan ramadan n syawal ni ade bdk hancur tgn..nk maki kang2 ade plak yg back up..biar je la..harap jdi pengajaran kt org lain," tulis Nasari Mit yang bersimpati dengan kejadian yang berlaku.

Suspek lanun akan diekstradisi dua hari lagi

Posted: 22 Jun 2015 10:38 PM PDT

 
APMM serah kepada KDN berhubung untuk mengekstradisi lanun dari Vietnam ke negara ini


lanun



PETALING JAYA: Proses mengekstradisi lapan lanun yang ditahan oleh tentera Vietnam kerana menjadi perampas Kapal Tangki MT Orkim Harmony dijangka memakan masa dua hari lagi.

Menurut sumber Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), pada masa ini pihak Kementerian
Dalam Negeri (KDN) sedang bekerjasama dengan dua negara iaitu Vietnam dan Indonesia untuk membawa semua lanun terbabit bagi tujuan siasatan dan pendakwaan.

Sehingga kini katanya, belum ada sebarang makluman diterima daripada pihak KDN berhubung perkara itu.

"Memandangkan proses ekstradisi ini adalah dalam bidang kuasa KDN, kita menyerahkan sepenuhnya tugas itu kepada mereka.

"Kita sedang menunggu maklumat terkini dan akan memberikan kerjasama jika diperlukan," kata sumber berkenaan ketika dihubungi FMT.

Pada Jumaat lepas, lapan suspek yang dipercayai merampas Kapal Tangki MT Orkim Harmony yang membawa 6,000 tan metrik petrol RON95 bernilai RM21juta ditahan pihak berkuasa Vietnam selepas mereka menceroboh perairan negara berkenaan.

Terdahulu sebelum itu, kesemua mereka telah melarikan diri dengan menaiki bot penyelamat kapal yang terdapat pada kapal tangki berkenaan.

Mereka dijumpai di Pulau Tho Chu, 80 batu nautika dari selatan Vietnam dan 107.4 batu nautika dari sempadan negara dan Indonesia.

Ahli Politik, pegawai kanan MARA didakwa terlibat rasuah

Posted: 22 Jun 2015 10:34 PM PDT

 
Mereka didakwa sengaja menaikkan harga pembelian hartanah di Australia sebanyak RM13 juta sebagai balasan terhadap pembelian itu.


nik,mara


PETALING JAYA: Seorang ahli politik dan pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dipercayai terlibat dengan rasuah berhubung pembelian hartanah di Melbourne Australia bernilai USD22.5 juta (RM65 juta).

Dakwaan itu dibuat oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad berdasarkan laporan media Australia dan media tempatan.

Katanya, wujud dakwaan bahawa nilai hartanah yang dibeli di Dudley International House oleh MARA telah dinaikkan sebanyak USD4.75 juta (RM13 juta).

Menurutnya, jumlah tersebut sengaja dinaikkan dengan tujuan sebagai balasan terhadap pembelian hartanah itu.

"Wang tersebut dijanjikan sebagai yuran pengenalan dan perundingan kepada sebuah syarikat dorman di Singapura.

"Sekiranya tuduhan-tuduhan ini benar, adalah amat mengecewakan memandangkan ia melibatkan bukan sahaja wang rakyat malah reputasi MARA, sebuah institusi penting bagi masyarakat Bumiputera selama ini," katanya menerusi kenyataan media.

Katanya, jika tuduhan tersebut tidak benar, individu terbabit boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menuduh sebagai langkah mempertahankan nama baik mereka.

Nik Nazmi berkata, AMK mendesak agar siasatan penuh dan bebas dilakukan oleh pihak berwajib berhubung dakwaan itu?

Amy Search perluas sekolah tahfiz

Posted: 22 Jun 2015 05:17 PM PDT

Oleh: AFEEQA AFEERA


SHAH ALAM: Sekolah Tahfiz, Al-Bayan School Of Quran & Hadith akan dipindahkan ke lokasi baru yang lebih luas dan selesa di Denai Alam selepas sambutan Syawal.

Pemiliknya yang juga vokalis Search, Suhaimi Abdul Rahman atau Amy, 57, berkata ia berikutan permintaan tinggi dalam kalangan ibu bapa untuk mendaftar anak mereka ke sekolah itu.

Katanya, sekolah tahfiz yang bertempat di Saujana Utama, Sungai Buloh itu kini hanya mampu memuatkan 16 pelajar.
jais amy 1
"Selagi niat baik itu ada, Allah mesti beri jalan kerana kita bermula dengan kecil dan akan berkembang menjadi lebih besar.

"Kini, kita sewa rumah untuk tempatkan pelajar tahfiz tetapi Insya Allah mereka akan dipindahkan ke lot kedai yang lebih besar dan selesa," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Kebenaran Pendaftaran Pusat Tahfiz di pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), hari ini.

Dalam program itu, sekolah miliknya mendapat pengiktirafan JAIS sebagai salah sebuah daripada 185 sekolah tahfiz swasta berdaftar di Selangor.

Al-Bayan School of Quran & Hadith adalah sekolah yang mengkhususkan kanak-kanak yang berumur tujuh tahun hingga 15 tahun.
amy marksgort 2
Mereka diajar menghafal Al-Quran, hadis, Bahasa Arab selain diajar pelajaran asas seperti Bahasa Inggeris dan matematik.

Amy berkata, sekolah yang dibina awal tahun lalu itu tidak perlu menunggu lama untuk mendapat kelulusan JAIS.

Beliau berkata, pihaknya turut menerima respon positif daripada ibu bapa yang berpuas hati terhadap prestasi anak mereka sejak bersekolah di situ.

"Perubahan sikap pelajar sangat baik, mereka saling menghormati dan membantu antara satu sama lain.

"Apa yang kita lakukan sekarang ini adalah satu pengalaman untuk masa akan datang," katanya.-NFN-


Lewat tiba di mahkamah, peguam Anwar dakwa disabotaj

Posted: 22 Jun 2015 05:00 PM PDT

 
Peguam Anwar Ibrahim menuduh peguam Jamil Khir menggunakan taktik kotor dan cuba mensabotaj kes itu.


jamil-khir-anwar



KUALA LUMPUR: Kes rayuan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Syariah yang sepatutnya didengar pada Isnin terpaksa ditangguhkan selepas peguamnya tiba lewat di mahkamah.

Peguam Anwar, Rafie Mohd Shafie hanya tiba di mahkamah sebelum jam 11 pagi sedangkan kes itu sepatutnya didengar jam 9 pagi.

Rafie mendakwa, peguam Datuk Seri Jamil Khir Baharom cuba mensabotaj kes itu kerana notis yang dihantar kepadanya menyatakan kes itu akan berlangsung jam 11 pagi.

"Ini surat yang kami terima, jadi kami hadir sebelum 11 pagi seperti yang terkandung dalam surat pemberitahuan ini," katanya sambil menunjukkan surat pemberitahuan itu.

Seorang lagi peguam Anwar, Kamar Ainiah Kamaruzaman pula berkata, kelakuan peguam Jamil itu tidak beretika.

"Kita mahu kes ini didengar dan Anwar perlu diberi peluang untuk berhujah," katanya.

Sebelum itu, Peguam Jamil Khir, Roslizam Rahim yang berada dalam mahkamah jam 9 pagi telah mengadakan perbincangan dengan Penolong Pendaftar Mahkamah Syariah, Mohd Khairul Nizam Kassim, kerana kelewatan kehadiran peguam Anwar.

Bercakap kepada media selepas itu, Roslizam memberitahu, sepatutnya Anwar hadir bagi menjawab afidavit dan melantik peguamnya.

"Oleh kerana Anwar gagal berbuat demikian, mahkamah telah memutuskan memberi Anwar masa sehingga 6 Julai untuk menjawab afidavit anak guam saya dan untuk Anwar melantik peguam," katanya

Krisis MIC: Tindakan salahkan Najib untuk sembunyi kelemahan diri – KJ

Posted: 22 Jun 2015 04:57 PM PDT

THE RAKYAT POST

 

TRP-G Palanivel MIC-Azrol
Palanivel pada Sabtu lalu, ketika berucap dalam satu perhimpunan yang dianjur bagi menyatakan sokongan terhadap beliau di PWTC mendakwa, Najib bertindak menyebelahi Pendaftar Pertubuhan (RoS) dan memberi tekanan kepada parti itu agar mengetepikan keputusan pemilihannya pada 2013. - Foto arkib TRP/ Azrol Ali



KUALA LUMPURDatuk Seri G. Palanivel menuding jari kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung krisis yang membelenggu MIC, bagi menyembunyikan kelemahan barisan kepimpinan parti berkenaan.


Ketika menyuarakan pandangannya itu hari ini, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, Palanivel tidak sepatutnya meletakkan kesalahan di bahu Perdana Menteri, sedangkan MIC yang mempunyai barisan pemimpin lemah.

"Percubaan beliau untuk menyalahkan PM jelas menunjukkan kelemahan kepimpinan parti itu sendiri.

"Pemuda UMNO berpendapat bahawa Palanivel perlu memikirkan semula tindakannya itu dan melihat kepada kelemahan MIC sendiri yang merupakan sebab bagi pergolakan serta perebutan kuasa dalam parti itu yang jelas tidak mempunyai sebarang kaitan dengan PM.

"Saya percaya PM mahu menyelesaikan krisis berkenaan secepat yang mungkin demi kebaikan," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di ibu negara, hari ini.

Kata Khairy lagi, masalah sebenar yang dihadapi MIC ialah hilang keyakinan terhadap barisan kepimpinan parti sedia ada.

Menurutnya lagi, Pemuda UMNO pada dasarnya tidak akan mencampuri urusan parti komponen Barisan Nasional (BN), tetapi pada masa sama merasakan tidak wajar juga bagi mana-mana parti komponen BN untuk menyalahkan Perdana Menteri untuk masalah mereka sendiri.

"Kami meminta mereka (MIC) untuk segera menyelesaikan perkara ini, kerana kita mendapat sokongan yang baik daripada masyarakat India ketika pilihan raya umum (PRU) lalu dan jika krisis mereka tidak diatasi, kita bimbang sokongan itu akan merosot pada PRU akan datang.

"MIC mesti selesaikan perkara ini secepat mungkin berasaskan suara majoriti dalam MIC sendiri dan kami berharap suara majoriti akan akhirnya dapat menyelesaikan krisis dalaman parti itu," katanya.

Ananthan Kajang diserang

Posted: 22 Jun 2015 04:53 PM PDT

THE RAKYAT POST


broken arm
Ananthan Thangavelunadar mengalami patah tangan dan dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan. - Foto hiasan: bigstockphoto.com



KUALA LUMPUR -Seorang ahli MIC diserang Sabtu petang lalu apabila dia keluar dari bangunan ibu pejabat parti untuk ke keretanya.


Ananthan Thangavelunadar mengalami patah tangan dan dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan.

Ananthan yang tinggal di Kajang dikatakan ahli cawangan MIC Bukit Bintang atau Tun Sambanthan.
Beliau menghadiri perhimpunan yang dianjurkan oleh kem Datuk Seri G Palanivel di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Ananthan, yang juga dikenalio sebagai Ananthan Kajang dikatakan aktif dalam sayap sosial komuniti MIC.
Bekas wartawan akhbar berbahasa Tamil itu adalah bekas exco Kelab Wartawan Kebangsaan.

Laporan polis berkenaan insiden berkenaan telah dilakukan dan siasatan kini dijalankan.

Pada perhimpunan 2,578 cawangan MIC, satu resolusi mengenai Palanivel dan empat yang lain dicapai di mana keahlian mereka dilucutkan serta merta.

Palanivel gagal mendapatkan kebenaran Jawatankuasa Kerja Pusat apabila membuat keputusan membawa Pendaftar Pertubuhan ke mahkamah dan mengisytiharkan keputusan pilihan raya parti 2013 tidak sah dan mahukan pilihan raya baharu diadakan.

Peniaga bazar Ramadan di Perak beri alasan GST naikkan harga hingga 20 peratus

Posted: 22 Jun 2015 04:48 PM PDT

THE RAKYAT POST

Ketika orang ramai digalakkan melakukan ibadah sepeti dengan bersedekah kepada Orang Kelainan Upaya (OKU) seperti yang dilakukan pengunjung Bazar Ramadan di Stadium Shah Alam ini, pada Isnin, ada segelintir peniaga didapati memberikan alasan GST untuk menaikkan harga kuih muih. - Foto Bernama
Ketika orang ramai digalakkan melakukan ibadah sepeti dengan bersedekah kepada Orang Kelainan Upaya (OKU) seperti yang dilakukan pengunjung Bazar Ramadan di Stadium Shah Alam ini, pada Isnin, ada segelintir peniaga didapati memberikan alasan GST untuk menaikkan harga kuih muih. - Foto Bernama



KAMPAR-  Peniaga bazar Ramadan di Perak didapati menaikkan harga makanan dari antara 10 hingga 20 peratus berbanding harga makanan yang dijual tahun lepas, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Sumber Manusia dan Masyarakat Sivil, Datuk Samsuddin Abu Hassan.

Beliau berkata kebanyakan peniaga memberi alasan kenaikan harga berkenaan adalah disebabkan kesan kenaikan harga minyak dan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dikuatkuasakan 1 April lalu.

"Ini adalah alasan yang sengaja diprovokasikan peniaga. Kalau kita lihat kepada kuih yang dijual, bahan asasnya adalah tepung yang merupakan barangan yang terkawal, sifar GST, tetapi peniaga mengambil kesempatan dengan menaikkan harga kuih," katanya.

Samsudin turut mengingatkan peniaga bazar Ramadan supaya meletakkan tanda harga mengikut peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa supaya peniaga tidak mengambil kesempatan.

Dalam pada itu, Samsudin juga menyeru kepada peniaga di bazar Ramadan supaya menitikberatkan etika kebersihan makanan yang dijual dan pemantauan akan dilakukan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan negeri.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di bazar Ramadan di sini sempena program Turun Padang (TURPA) Ramadan anjuran Majlis Daerah Kampar.

Turut hadir Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Meor Ismail Meor Akim.

Pada program itu, seramai enam ketua isi rumah menerima cek bernilai RM1,488 di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) anjuran Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui data e-kasih.

Bantuan berkenaan yang diwujudkan sejak 2007 merupakan bantuan wang rumah sewa yang diberikan kepada ketua isi rumah bagi membantu golongan yang tidak berkemampuan.

Seramai 30 orang dari kawasan Kuala Dipang dan Malim Nawar, di sini turut menerima bantuan berupa makanan di bawah Program Sekilo Budi yang dianjurkan sejak 2011.

Terengganu rayu hukuman gantung Rangel

Posted: 22 Jun 2015 04:44 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan mengemukakan rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung hukuman ke atas penyerang import pasukan itu,  Paulo Rangel yang digantung selama enam bulan.

Presidennya Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Hamid berkata rayuan itu akan dilakukan dalam minggu ini bagi meringankan hukuman ke atas pemain kelahiran Brazil berusia 30 tahun itu.

"Kami juga akan meminta penjelasan lanjut berhubung hukuman yang telah dikenakan itu," katanya kepada pemberita selepas Kongres PBSNT yang diadakan di Kuala Terengganu hari ini.

Sebelum ini Jawatankuasa Tatatertib FAM dalam mesyuaratnya memutuskan bahawa Rangel didapati bersalah menendang bola ke arah penolong pengadil tambahan kedua dan menolak badan pengadil, yang melanggar Artikel 51 (b) Kod Tatatertib FAM 2015 dan dibaca bersama dengan Artikel 18 para 4 Kod Tatatertib FAM 2015.

Pemain yang pernah menyarung jersi pasukan Selangor itu melakukan kesalahan tersebut ketika perlawanan separuh akhir kedua Piala FA antara Terengganu dan Lions XII di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu pada 16 Mei lepas.

Bagaimanapun, jawatankuasa memutuskan untuk mengguna pakai Artikel 35 Kod Tatatertib FAM 2015 bagi menetapkan pemain (Rangel) dikenakan penggantungan selama tiga bulan pertama dahulu (dari 20 Jun hingga 19 Sept) dan baki tiga bulan (dari 20 Sept hingga 19 Dis) ditangguhkan tertakluk kepada kelakuan baik pemain.

Pada kongres tersebut, PBSNT telah meluluskan dua usul iaitu cadangan kepada badan induk bola sepak negara itu untuk menubuhkan pasukan bola sepak sendiri bagi menggalakkan lagi persaingan dalam arena bola sepak tanah air.

Selain itu pihaknya juga telah bersetuju untuk memberikan pas bermusim kepada 15 orang anggota jawatankuasa bagi setiap daerah.

"Kami akan memanjangkan cadangan untuk tubuhkan pasukan ini kepada FAM dan terpulang kepada mereka (FAM) untuk menilai mahupun sebaliknya," katanya.

Wan Ahmad Nizam berkata pihaknya juga telah membuat rayuan berhubung denda yang dikenakan berjumlah RM87,500 kepada PBSNT kerana tindakan penyokong membakar suar dan membuat kecoh pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA lalu.

Beliau berkata pihaknya masih menunggu keputusan daripada FAM berhubung denda terbabit.- Bernama


 

Manusia penyumbang utama kemalangan di LPT2

Posted: 22 Jun 2015 04:30 PM PDT

SINAR HARIAN



LPT2  
LPT2


KUALA LUMPUR - Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) hari ini menegaskan bahawa faktor manusia adalah punca utama menyumbang kepada kemalangan di jajaran Lebuhraya Pantai Timur Fasa II (LPT2).

Ketua Pengarahnya, Datuk Ir Ismail Md Salleh berkata faktor manusia seperti memandu dalam keadaan mengantuk, memandu melebihi had laju terutama pada waktu hujan, cuai serta gagal mematuhi arahan keselamatan adalah punca utama kemalangan di LPT2.

"Daripada 339 kes kemalangan di LPT2 antara 1 Feb hingga 2 Jun lepas, sebanyak 70 peratus atau 238 kemalangan berpunca daripada faktor manusia," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, selebihnya merupakan faktor persekitaran iaitu 19 peratus atau 65 kemalangan termasuk pencerobohan haiwan ternakan seperti lembu dan kerbau serta haiwan liar; juga terdapat lokasi air melintas dan faktor kenderaan sebanyak 11 peratus atau 36 kemalangan.

Ismail berkata, daripada jumlah kemalangan tersebut 10 kes adalah kemalangan maut, 25 kes melibatkan cedera parah, 58 kes melibatkan cedera ringan dan selebihnya tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Beliau berkata, permukaan LPT2 berada dalam keadaan yang baik secara amnya, namun terdapat beberapa kawasan berlaku pemendapan terutama berdekatan struktur jambatan dan permukaan lebuh raya yang beralun di beberapa lokasi.

"Sebahagian lokasi berlaku mendapan dan beralun telah diperbaiki dan proses pembaikan secara keseluruhan akan dilakukan dalam masa yang terdekat," katanya.

Katanya, kerja-kerja penambahbaikan adalah di bawah tanggungan pihak kontraktor asal kerana ia masih dalam Tempoh Tanggungan Kecacatan.

Dalam pada itu, Ismail berkata LLM dan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengambil beberapa tindakan termasuk meningkatkan kekerapan rondaan, membaik pulih pagar rezab yang rosak, mengedarkan risalah kesedaran dan pemasangan papan tanda amaran di lokasi berlakunya pencerobohan haiwan.

"LLM dan JKR juga telah mengenal pasti lokasi air melintas dan selekoh berbahaya dan akan menambah baik permukaan berturap, permukaan lebuh raya serta mengadakan langkah intervensi yang bersesuaian dengan kerjasama pihak polis, Jabatan Pengangkutan Jalan, dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat," katanya.  - Bernama

Tyrese Gibson nafi peluk agama Islam

Posted: 22 Jun 2015 04:27 PM PDT

Tyrese Gibson Salinan paparan Penafian oleh pelakon, Tyrese Gibson.
 
 
PELAKON, Tyrese Gibson hari ini menafikan beliau telah memeluk Islam selepas tersebarnya khabar angin tersebut sejak awal Ramadan tahun ini.

"Dengan hormat saya menjelaskan (bahawa) saya bukan seorang Muslim, saya seorang Kristian sejak dilahirkan.

"Saya menghormati semua agama dan ada ramai kawan Muslim yang sangat baik. Saya sudah mendalami budaya dan saya hormati budaya," kata Gibson hari ini dalam sebuah perkongsian di laman sosial Facebook.

[ARTIKEL BERKAITAN: Aktor Fast & Furious teruja sambut Ramadan]

Beberapa hari lepas, foto ucapan selamat berpuasa dan sebuah lagi foto yang menunjukkan beliau memakai serban dan jubah telah memberi bayangan kepada orang ramai bahawa beliau juga menyambut Ramadan.

Palanivel selalu buat 'u-turn'

Posted: 22 Jun 2015 04:21 PM PDT

G Palanivel Palanivel
 
 
KUALA LUMPUR - Ahli Majlis Tertinggi MIC, P Kamalanathan mendakwa Presiden MIC, Datuk Seri G Palanivel sering membuat kenyataan bercanggah dengan keputusan yang telah dipersetujui dalam sebarang perbincangan termasuk dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Sebagai pemimpin parti dalam komponen BN, kita harus mengambil perkara yang dapat menyelesaikan masalah.

"Saya sedar perkara ini (krisis MIC) telah beberapa kali dibincangkan dan dipersetujui oleh Datuk Seri Subramaniam dan juga Datuk Seri G Palanivel.Tapi setiap kali dipersetujui, pada keesokannya, beliau akan membuat kenyataan yang bertentangan," katanya kepada Sinar Online.

Menurutnya, Palanivel perlu bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku dalam parti.

"Saya pasti Perdana Menteri pun kecewa dan bagi saya mengaitkan Perdana Menteri dalam isu ini tidak rasional sama sekali.

"Sebagai bekas Presiden MIC, beliau bertanggungjawab atas segala kekecohan yang sedang berlaku dalam parti ini," katanya.

Mengulas mengenai desakan ahli pada Perhimpunan Khas MIC semalam agar Palanivel dipecat dari Kabinet, Kamalanathan berkata, semuanya terletak pada tangan Najib.

"Dalam aspek parti, beliau tidak menjadi ahli parti lagi, tapi harus kita ambil maklum bahawa ada juga beberapa ahli kabinet yang tidak mewakili mana-mana parti.

"Mereka dilantik atas keupayaan dan kewibawaan mereka untuk membantu kerajaan. Jadi, itu bukan keutamaan. Terserah kepada kebijaksanaan Perdana Menteri," katanya.

Sementara Naib Presiden MIC, Datuk M Saravanan berkata, Najib terlalu baik pada Palanivel namun dibalas dengan dakwaan sedemikian rupa.

"Jika saya berada di tempat beliau (Najib) dah lama saya pecat G Palanivel. Tidak patut salahkan perdana menteri. Jika orang lain dah lama kena pecat.

"Tidak patut dia buat begitu kerana PM terlalu baik dengan beliau. Terlalu baik sehingga tidak berbuat apa-apa tindakan. Kalau orang lain, contohnya saya, dah lama Palanivel kena pecat. Perdana menteri tak pernah campur hal MIC. Kita pun risau bila PM tak mahu campur," katanya.

Sabtu lalu, Palanivel dilaporkan dalam ucapannya pada Perhimpunan Khas MIC di PWTC menyalahkan Najib kerana menyebelahi Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang membatalkan pemilihan parti itu pada 2013.


SPRM tahan wanita terima suapan RM400,000

Posted: 22 Jun 2015 04:18 PM PDT

SINAR HARIAN


gari
 
 
 
SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam menahan seorang pegawai eksekutif pemasaran wanita yang disyaki mengaut keuntungan mencecah RM400,000 hasil suapan daripada pembekal emas dan berlian kepada syarikatnya.

Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mohd Jamidan Abdullah mengesahkan penahanan wanita itu yang berusia 30-an.

"Kami menahan wanita ini untuk membantu siasatan," kata beliau hari ini.

Sinar Harian difahamkan wanita ini melakukan perbuatan sejak beberapa tahun.‎

SPRM menahan dia hasil maklumat dan aduan yang diterima.

Difahamkan w‎anita ini kesan menggunakan taktik serampang dua mata meminta suapan daripada pembekal bagi membolehkan syarikatnya memperoleh barang kemas berkenaan selain menerima komisen yang ditetapkan syarikat.

K‎egiatan wanita berkenaan menjatuhkan reputasi syarikat yang dilihat seolah mengenakan bayaran tertentu kepada pembekal mereka.

Wanita terbabit dipercaya menyalah guna kuasanya dengan menetapkan bayaran tertentu kepada pembekal sedang k‎omisen yang diterima wanita itu bagi setiap pembekal adalah RM3,000.‎

Dalam pada itu, difahamkan SPRM juga sedang mengesan seorang lagi wanita diburu ketika beliau menjawat Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat disyaki memberi rasuah RM300,000 bagi membolehkan suaminya mendapat saham dalam syarikat  syarikat berkaitan kerajaan GLC di Pahang.

Wanita berusia 60an itu adalah antara beberapa wanita berjawatan kanan di syarikat swasta dan GLC yang dalam siasatan SPRM.


Tiada ulasan: