Jumaat, 19 Jun 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Posted: 19 Jun 2015 04:03 AM PDT

Isu PR: Keputusan MSU berdasarkan Quran dan Sunnah

pakatan rakyat
Dr Mahfodz berkata keputusan status kerjasama dalam Pakatan Rakyat akan dibincangkan melalui mesyuarat dan diputuskan mengikut hukum yang akan melibatkan badan tertinggi PAS iaitu Majlis Syura Ulama. 



KUALA LUMPUR: Keputusan PAS berkenaan status kerjasama politik bersama DAP dan PKR melalui Pakatan Rakyat akan dibuat dalam tempoh terdekat ini.


Menurut Ketua Dewan Ulama, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, keputusan berkenaan akan dibincangkan melalui mesyuarat dan diputuskan mengikut hukum yang akan melibatkan badan tertinggi PAS iaitu Majlis Syura Ulama (MSU).

"Keputusan yang diambil PKR dan DAP dibuat sebab mereka tidak faham keputusan Muktamar. Kami Majlis Syura Ulama akan putuskan tanpa pengaruh dari mana-mana pihak, sebab ini melibatkan hukum dan keputusan yang akan dibuat adalah berasaskan Quran dan Sunnah.

"Itu keputusan DAP.. kita (PAS) akan bergantung kepada mesyuarat Majlis Syura Ulama dalam masa seminggu lagi. Kita tidak boleh buat keputusan berdasarkan kenyataan DAP," katanya.

Dr Mahfodz ketika dihubungi The Rakyat Post berkata PAS tetap akan mengadakan mesyuarat MSU dalam masa terdekat sama ada hubungan bersama DAP kekal atau sebaliknya.

Jelasnya PAS tekad menunggu keputusan MSU kerana perkara itu berkaitan dengan hukum dan hanya boleh dibincangkan melalui MSU.

"Ahad akan diadakan mesyuarat Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan selepas itu baru Majlis Syura untuk bincang usul berkenaan.

"Kerana itu adalah cadangan daripada Dewan Ulama yang mencadangkan Majlis Syura Ulama untuk buat keputusan," ujarnya.

Dalam perkembangan yang sama, Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Nik Muhammad Zawawi Nik Salleh berkata, Majlis Syura Ulama sudah menetapkan tarikh untuk diadakan mesyuarat pertama MSU yang dijangka diadakan minggu hadapan.

Bagaimanapun Nik Muhammad Zawawi enggan mendedahkan maklumat lanjut berhubung mesyuarat berkenaan.

"Maaf, saya tak boleh beritahu tarikh. Tapi memang sudah ditetapkan tarikh, masa dan tempatnya," katanya ketika dihubungi The Rakyat Post hari ini.

Terdahulu, PAS melalui Muktamarnya baru-baru ini meluluskan usul memutuskan hubungan dengan DAP tanpa bahas untuk dibawa ke MSU.

Susulan perkara itu, DAP mengumumkan bahawa PR telah menemui titik noktahnya yang di dakwa berpunca daripada keputusan yang dibuat melalui Muktamar parti Islam itu.

Khabar gembira menjelang Maghrib

Posted: 19 Jun 2015 03:47 AM PDT




Khabar gembira menjelang Maghrib  
Bad Latif disambut ahli keluarga ketika dibebaskan setelah mendapat pengampunan daripada Sultan Perak, malam tadi.


TAPAH - Seramai 11 banduan yang mendapat pengampunan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersyukur kepada ALLAH dan berterima kasih kepada keprihatinan sultan.

Salah seorang daripada mereka, Zulhaizam Zulkifli, 31, khabar baik itu diterima sebelum Maghrib apabila Pegawai Penjara Tapah memaklumkan dia bersama 10 rakan yang lain dibebaskan pada hari yang sama.

Menurutnya, dia turut melahirkan rasa kegembiraan berjumpa dengan tiga orang anak berusia di antara tiga tahun hingga tiga bulan, isteri serta kedua ibu bapanya.

"Ketika berada dalam penjara, banyak perkara bermanfaat kami lakukan selain memperbaiki diri.

"Kami kumpul kekuatan  untuk terus lawan di luar," katanya ketika ditemui di pekarangan pintu masuk Penjara Tapah, malam tadi.

Dalam nada sama, Bad Latif Mansor, 49, berkata, dia dan rakannya melakukan sujud syukur apabila menerima berita pembebasan mereka.

Dia bersyukuran kepada ALLAH dan berterima kasih kepada Sultan Perak setelah menerima pemberitahuan pembebasannya bersama-sama  10 rakannya lain.

"Saya akan terus berjuang...saya ahli Pas dan penyokong PR akan berjuang dalam platform itu  malahan kehidupan akan diteruskan.

"Terima kasih kepada kakitangan Penjara Kajang dan Tapah kerana layan dengan baik walaupun ada kalanya kami tertekan namun penjara tetap penjara, kami tetap lalui," katanya.

Bad Latif memberitahu, dia dan  10 rakannya yang lain turut bergaul dengan banduan lain selain mengenali mereka selain banyak dapat pelajari.

Katanya, dia dan juga rakannya tidak melepaskan peluang untuk mendalami ilmu agama selain bertadarus bersama-sama ketika berada di dalam penjara selama tga bulan," katanya.


Perkenal program 'Peti Ais Rakyat'

Posted: 19 Jun 2015 03:45 AM PDT


 
 
AMPANG - Buat pertama kalinya di negara ini, program kebajikan menerusi pendekatan baharu, 'Peti Ais Rakyat', diperkenalkan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Ampang sebagai saluran bantuan makanan kepada golongan memerlukan.

Ahli Parlimen Ampang, Zuraidah Kamaruddin berkata, inisiatif berkenaan diwujudkan setelah mengambil kira situasi ekonomi masa kini dalam masa sama sebagai langkah mengelakkan pembaziran makanan.

Menurutnya, sehingga kini, terdapat enam restoran bersetuju untuk menjalinkan kerjasama dalam menyalurkan bantuan makanan berlebihan untuk disumbangkan di 'Peti Ais Rakyat' ini.

"Perkara ini telah dicadangkan ke peringkat kerajaan negeri untuk dilaksanakan di Selangor, bagaimanapun, Parlimen Ampang menjadi model dalam pelaksanaannya sebelum diperluaskan ke kawasan-kawasan lain.

"Menerusi program ini, masyarakat berkemampuan yang mempunyai makanan berlebihan tetapi bukan sisa, boleh salurkan sumbangan, dan sesiapa sahaja yang merasakan dirinya dan keluarga memerlukan makanan, boleh datang ambil. Jadi konsepnya adalah dari rakyat kepada rakyat," katanya ditemui ketika pelancaran program amal berkenaan, baru-baru ini.

'Peti Ais Rakyat' ditempatkan di salah satu premis di kawasan tempat letak kereta, Satay Station, Ampang dan dibuka setiap hari kecuali Rabu, dengan waktu pemberian bermula jam 7 malam hingga 11 malam manakala waktu penerimaan ditetapkan pada jam 9 pagi hingga 11 malam.

Zuraidah menambah, sesiapa sahaja boleh menyumbangkan makanan dengan syarat ianya hendaklah halal, dan makanan atau lauk yang dimasak mesti dalam keadaan baik.

"Makanan segar seperti ayam, ikan, daging, sotong, buah-buahan dan sayur digalakkan dibungkus dan dilabel dengan rapi.

"Mana-mana individu yang mahu membuat pengumpulan makanan di sesuatu kawasan juga, kita ada petugas yang bergerak secara mobil untuk pengambilan," katanya.

Projek amal berkenaan diharapkan mampu membantu mengurangkan beban masyarakat setempat di samping menggalakkan amalan bersedekah sempena Ramadan.


'Debat dengan Azizah OK-lah, kata Nazri'

Posted: 19 Jun 2015 03:33 AM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
 
Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjawab soalan-soalan kontroversi termasuk isu 1MDB menggunakan blog dipertahankan seorang menteri kabinet.

Menteri kebudayaan dan pelancongan Datuk Seri Nazri Aziz berkata tindakan itu membolehkan Najib berfikir terlebih dahulu sebelum menulisnya dalam keadaan santai.

"Kami ada masa untuk fikir sebelum jawab, ia lebih santai.

"Tetapi jika kamu debat, sukar... suasana dan persekitarannya.

"Seterusnya, kamu ada fakta, tetapi kami tidak boleh rujuk padanya (pada masa itu)," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini minggu lepas.

Debat tidak akan menyelesaikan masalah, kata anggota parlimen Padang Rengas itu.

Nazri juga berkata, oleh kerana Mahathir merujuk dirinya sebagai rakyat biasa, Najib tidak perlu berdebat dengan perdana menteri keempat itu.

"Ini tidak pernah menjadi amalan kita. Belum pernah ada seorang pun perdana menteri berdebat dengan rakyat biasa. Semak sejarah dulu sebelum buat kesimpulan," katanya.

"Jika seorang rakyat biasa ajak debat, saya akan kata jangan," katanya sambil menambah tindakan itu akan menggalakkan lebih ramai orang mencabar perdana menteri.

Bagaimanapun, katanya, jika mahu berdebat, pihak paling sesuai menjadi lawannya ialah Ketua Pembangkang Datuk Seri Wan Azizah atau pemimpin luar negara. 
 
 

Kes demam denggi terus meningkat

Posted: 19 Jun 2015 03:22 AM PDT


 
 
KUANTAN – Sebanyak 466 kompaun dengan nilai RM 233,000 dikeluarkan terhadap pemilik yang membiarkan  kediaman dan premis mereka menjadi kawasan pembiakan nyamuk aedes di seluruh negeri.

Manakala  321 Notis Seksyen 8  dikeluarkan bagi arahan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat berpotensi pembiakan aedes.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Zainal Ariffin Omar berkata, Zainal Ariffin berkata, dalam tempoh Januari hingga 13 Jun tahun ini, jabatan kesihatan telah melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan kes demam denggi dengan melakukan  semburan kabus ke atas 702,837 premis.

Menurutnya,  pemeriksaan pembiakan aedes turut dilakukan ke atas 204,852 premis dan daripada jumlah itu,  sebanyak 70,152 premis dibubuh abate bagi pemusnahan jentik-jentik.

"Setakat ini berdasarkan rekod, sebanyak 203 aktiviti gotong-royong dicatatkan dengan kehadiran seramai 20,240 penduduk," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Dr Zainal Ariffin berkata, di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Pindaan 2000) penduduk atau penghuni rumah membiarkan jentik-jentik aedes di premis mereka jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya, walaupun pelbagai tindakan diambil bagi menangani wabak itu, kes deman denggi di negeri ini terus menunjukkan peningkatan apabila mencatatkan jumlah 1,134 kes dalam tempoh Januari sehingga 13 Jun lalu.

"Malah dalam tempoh 1 hingga 13 Jun lalu sahaja sebanyak 93 kes dicatatkan di seluruh negeri bagaimanapun jumlah kematian masih kekal lima orang.

Secara keseluruhannya, ia meningkat sebanyak 617 kes atau 119 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2014 dengan 517 kes," katanya.

Beliau berkata, daerah Kuantan terus kekal catat kes tertinggi kes demam denggi tertinggi,  713 kes, Temerloh 150 kes, Jerantut 98 kes, Maran 50 kes, Raub 39 kes, Bera 35 kes,  Lipis 14 kes,  Bentong 12 kes, Rompin 12  kes, Pekan 10 kes dan Cameron Highlands 1 kes.

"Kini terdapat enam wabak aktif di Pahang melibatkan  dua daerah iaitu lokaliti wabak terkawal di Taman Tualang Indah, Temerloh (9 kes), Taman Seri Kemuning, Temerloh (3 kes ), Taman Irama IM 1, Kuantan (4 kes), Taman Tan Chong, Kuantan (3 kes), Taman Fairmount, Kuantan (4 kes) dan Taman Balok Makmur Fasa 2 (2 kes)," katanya.

Beliau berkata, masyarakat perlu bertanggungjawab memastikan kawasan persekitaran rumah masing (dalam dan luar) dan tempat-tempat awam sentiasa  bersih dan bebas dari tempat pembiakan nyamuk aedes.

"Bagi mereka yang mengalami demam  kuat secara tiba-tiba disertai sakit kepala atau sakit badan dan sendi juga diminta mendapat rawatan segera ke klinik atau hospital," katanya.


Mahathir diselar guna taktik Anwar pada Najib

Posted: 19 Jun 2015 03:19 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Ahli Majlis Tertinggi Umno Tan Sri Annuar Musa berkata, semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri, beliau tidak suka apabila bekas timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecamnya di media luar negara.

Bagaimanapun, bekas menteri kabinet itu berkata, Mahathir kini menggunakan taktik sama bagi melepaskan rasa tidak puas hatinya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Kecewa dengan kenyataan Mahathir dalam akhbar harian Amerika Syarikat, The New York Times Annuar berkata:

"Kita berdukacita Tun memilih untuk bersuara kepada media luar negara.

"Sesuatu yang Tun sendiri sangat tak suka dulu, waktu saya dalam kabinet Tun. Tun selalu menyebut betapa dia tak gembira bila ada pihak, waktu itu Anwar, menggunakan media luar negara.

"Walaupun saya agak terkeliru sedikit sebagai menteri yang berkhidmat di zaman dia, (tetapi) apa yang Tun sampaikan waktu dia jadi perdana menteri dulu, saya lihat dia sendiri tak praktikkan," katanya kepada pemberita di ibu pejabat Majlis Amanah Rakyat (MARA) hari ini.

Dalam temubual bersama New York Times yang disiarkan pada 17 Jun, Mahathir menyifatkan Umno telah menjadi 'lubuk untuk ahli politik bernaung'.


Hadi: Pakatan Rakyat belum berkubur

Posted: 19 Jun 2015 03:17 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini menegaskan Pakatan Rakyat masih wujud dan belum berkubur biarpun rakan sekutunya DAP sudah mengisytiharkan pakatan pembangkang itu tidak lagi wujud.

Malah Abdul Hadi berkata DAP tidak berhak mengumumkan PR dibubarkan selain dengan sinis menyatakan parti berkenaan tidak memahami maksud 'Pakatan Rakyat' sehingga terburu-buru bertindak sedemikian. lapor Bernama.

"Itu kenyataan peribadi, pada saya ia merupakan kenyataan yang tidak tepat kerana satu parti bukanlah (boleh dipanggil) Pakatan. Pakatan mesti merangkumi banyak parti...boleh bukalah kamus dewan apa makna Pakatan... sorang-sorang boleh dipanggil Pakatan ke? Tidak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di rumahnya sebaik sahaja selesai kuliah Jumaat di Rusila di Marang hari ini.

Pakatan Rakyat merupakan pakatan tidak rasmi yang dibentuk pada 1 April 2008 oleh DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas Pilihan Raya Umum ke-12.

Ditanya sama ada status Pakatan itu masih lagi wujud, Abdul Hadi berkata: "Ya, masih lagi wujud".

Menurutnya setakat ini PAS belum menerima sebarang kenyataan rasmi berhubung tindakan DAP bubar Pakatan Rakyat dan PAS juga belum terima kenyataan rakan sekutunya, PKR.

"... PKR tidak membuat kenyataan yang menunjukkan kami berpisah dan menunjukkan pakatan antara dua parti masih ada...dan DAP setakat ini, kami tak dapat keputusan secara rasmi (cuma) kami dapat melalui laporan media sahaja," katanya.

Ditanya sekiranya PKR lebih menjurus memilih untuk bersama-sama DAP berbanding PAS, Hadi berkata beliau tidak akan membuat keputusan sebelum PKR keluarkan kenyataan.

"Sehingga PKR ada keluarkan kenyataan, kemudian barulah saya boleh buat keputusan. Terpulang kepada PAS dan terpulang kepada PKR. Kalau PAS tak setuju PAS boleh keluar, PKR tak setuju PKR boleh keluar. Sehingga hari ini PAS tak buat kenyataan keluar Pakatan.

"Kami sayangkan perpaduan kaum kerana mempunyai masyarakat majmuk di Malaysia. Terpulang kepada masyarakat menilai kenyataan dia (Guan Eng) tu," katanya. - Bernama


 

Aziz Bari: Siasat jika Tunku Idris menghasut

Posted: 19 Jun 2015 03:14 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Pakar perlembagaan Abdul Aziz Bari berkata, polis perlu menyiasat jika putera raja Johor bertindak menghasut melalui kenyataan berhubung hak Johor keluar daripada Malaysia.

Abdul Aziz berkata, Putera Johor Tunku Idris Sultan Ibrahim tidak menikmati kekebalan undang-undang seperti sembilan orang Raja-Raja Melayu.

"Dalam apa jua kes, Peguam Negara dan pasukan polis perlu membuat pendirian sama ada putera raja tersebut melanggar undang-undang, khususnya Akta Hasutan 1948.

"Jabatan ini bertanggungjawab untuk menguatkuasa undang-undang dengan adil ke atas semua rakyat; putera raja Johor tidak kebal daripada undang-undang.

"Hanya sembilan orang raja-raja Melayu yang menikmati keistimewaan ini, tertakluk kepada peruntukan mahkamah khas untuk raja-raja," kata Abdul Aziz dalam kenyataannya.

Katanya, tindakan itu perlu dilakukan dengan pantas, seperti operasi ke atas aktivis Sabah dan Sarawak yang didakwa menghasut untuk membawa negeri itu keluar dari persekutuan Malaysia.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, Tunku Idris juga sepatutnya mengehadkan ulasan dalam ruang lintup Perlembagaan Persekutuan.

Konteks hujah

Ini kerana, ulasan Tunku Idris di Instagram dilihat mengandungi fakta sejarah tidak tepat apabila menyebut Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu dibuat pada 1946, sedangkan ia dimeterai pada 1948.

Tambahan pula, tulisan tersebut menyatakan bahawa sekiranya mana-mana daripada syarat tersebut dilanggar, maka terkeluarlah Johor daripada Malaysia – yang hanya wujud 17 tahun kemudian pada 1963.

"Undang-undang asas pada masa ini ialah Perlembagaan Persekutuan. Ini adalah undang-undang yang menentukan hubungan dan hak di antara negeri dan kerajaan pusat.

"Putra Johor mungkin ada hujah tetapi dia perlu tumpukan dalam konteks dan skema Perlembagaan Persekutuan.

"Sesuatu perjanjian pada masa lalu sudah kehilangan keabsahan dan kuasa, apabila ada Perlembagaan Persekutuan, undang-undang paling agung di tanah ini," tegas Abdul Aziz.

Tulisan di Instagram itu adalah rentetan kepada kenyataan Menteri Kabinet, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang menegur Tengku Mahkota Johor agar tidak campur tangan dalam politik.

Nazri bertindak demikian ekoran kritikan Tunku Ismail Sultan Ibrahim ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana tidak hadir dalam debat bersama bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.


WSJ: Najib didakwa guna dana 1MDB untuk PRU13

Posted: 19 Jun 2015 03:10 AM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
 
Laporan Wall Street Journal (WSJ) hari ini mendakwa bahawa dana 1MDB telah digunakan untuk membiayai kempen Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Laporan itu mendakwa bahawa ia dilakukan dengan 1MDB membuat pembelian aset pada harga yang tinggi dari Genting Group pada 2012.

Genting kemudiannya didakwa membuat sumbangan kepada sebuah yayasan yang didakwa ada kaitan dengan Najib sebelum PRU13 dan dana itu telah digunakan untuk berkempen.

"1MDB pada Oktober 2012 memperolehi satu unit Genting yang memiliki 75 peratus kepentingan dalam loji janakuasa arang batu 720 megawatt berhampiran Kuala Lumpur," kata laporan itu.

WSJ mendakwa, pembelian 1MDB terhadap kepentingan Genting dalam aset kuasa itu adalah kira-kira lima kali ganda nilainya ketika itu.


Laporan itu mendakwanya "harganya yang bersamaan dengan kira-kira AS$740 juta pada masa itu, menjadi RM2.3 bilion.

"Beberapa bulan selepas jual-beli itu, satu unit Genting yang dikenali sebagai Genting Plantation Berhad membuat sumbangan kira-kira AS$10 juta kepada sebuah badan amal yang mempunyai kaitan dengan Najib, menurut jurucakap untuk Genting Plantation," dakwa laporan itu lagi.

WSJ mendakwa bahawa yayasan itu ialah Yayasan Rakyat 1Malaysia, yang menyenaraikan Najib sebagai pengerusinya di laman web yayasan tersebut.

Menurut laporan WSJ itu lagi, walaupun ditubuhkan untuk membantu rakyat Malaysia yang kurang bernasib baik melalui pendidikan dan sukan, namun badan kebajikan itu kemudiannya terlibat dengan perbelanjaan yang dilihat untuk membantu Najib mengekalkan kuasanya dalam pilihan raya umum Mei 2013.
 
 

DAP jangan angkuh sangat pecat wakil Pas

Posted: 19 Jun 2015 03:08 AM PDT


 
SHAH ALAM - Pemuda Pas hari ini mengingatkan DAP bahawa Pas tetap mempunyai hak di Pulau Pinang walau hanya satu kerusi diwakili oleh parti Islam itu.

Timbalan Ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi mendakwa khabar terbaharu yang menyebut pimpinan DAP itu membuat U-turn mungkin kerana mahu  'menunggu' keputusan Majlis Syura Ulama yang masih belum memutuskan sebarang keputusan terhadap usul putus hubungan yang diluluskan dalam muktamar  lalu.

"Pulau Pinang Darul PR atau Darul DAP ? Apa yang penting Pulau Pinang adalah sebahagian daripada bumi yang menjadi milik ALLAH.

"Di Pulau Pinang walaupun wakil Pas hanya satu kerusi sahaja tetapi kami pun ada hak. Dan kami telah bersetuju di dalam musyawarah induk Pas untuk menyerahkannya kepada Majlis Syura Ulama untuk memutuskannya.

Dengar khabar LKS (Lim Kit Siang) dan LGE (Lim Guan Eng) dah 'U-turn'. Barangkali nak tunggu keputusan MSU juga," katanya melalui catatan terbaharu di Facebook, hari ini.

Selasa lalu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengumumkan bahawa gabungan pembangkang, PR sudah tidak wujud lagi (cease to exist) namun dua hari kemudian Penasihat DAP, Lim Kit Siang pula menegaskan bahawa parti itu tidak pernah membuat pengumuman untuk menamatkan riwayat PR.

Dalam pada itu, Muhammad Khalil menasihatkan agar DAP tidak angkuh dalam memecat dan meminta wakil Pas meletakkan jawatan kerana kuasa yang dimiliki itu hanya bersifat sementara.

"DAP jangan angkuh sangat nak berhentikan orang itu dan nak minta orang ini supaya meletak jawatan. Ingat kuasa itu hanya sementara, Allah boleh beri dan Allah boleh tarik bila-bila masa. Sama juga macam Umno jangan ingat boleh memerintah sampai bila-bila.

Apabila tiba masa akan jatuh juga sama ada dengan PR atau dengan apa cara sekalipun.

"Orang menjangkakan Soviet Union akan kalah dengan Amerika Syarikat tetapi ianya jatuh tersungkur dengan tangan-tangan pihak komunis sendiri yang 'murtad' daripada ideologi komunis. Adakah Umno juga akan menerima nasib yang sama. Tunggu dan lihat," katanya.


Dua penjenayah ditembak mati

Posted: 19 Jun 2015 03:06 AM PDT


 
 
IPOH - Polis menembak mati dua penjenayah dipercayai warga asing yang terbabit dalam kejadian samun dan pecah rumah berhampiran Kampung Tekah di sini awal pagi tadi.
 
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu kedua-dua penjenayah terbabit dipercayai melepaskan tembakan ke arah polis terlebih dahulu.
 
Turut ditemui di lokasi sepucuk pistol semi automatik dipercayai milik penjenayah terbabit.
 
Ketika ini polis sedang menjalankan gerakan memburu seorang lagi penjenayah yang dipercayai masih bersembunyi di sekitar kawasan belukar berhampiran.
 
Operasi menjejaki penjenayah turut disertai  anggota dari Pasukan Gerakan Am (PGA), Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Unit Anjing Pengesan (K9).
 
 

Kru MT Orkim Harmony selamat, perampas lari

Posted: 19 Jun 2015 03:02 AM PDT

MT Orkim Harmony Keadaan terkini kapal MT Orkim Harmony yang yang dipadam namanya menjadi Kim Harmon ditemui pesawat P3C Orion milik Tentera Udara Diraja Australia ketika melakukan rondaan mengesan kapal berkenaan di lokasi 210 batu nautika utara Pulau Redang. - Foto Twitter @ChiefofNavy.
 
 
KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kesemua 22 anak kapal tangki MT Orkim Harmony berjaya dibebaskan kira-kira pukul 2.30 pagi ini, menurut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Datuk Ahmad Puzi berkata, pembebasan kru kapal itu adalah menerusi rundingan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan perampas kapal berkenaan.

Beliau berkata, kapal MT Orkim Harmony akan dibawa ke Pelabuhan Kuantan dan dijangka tiba seawal 6 petang ini.

"Bagaimanapun, seorang daripada anak kapal berkenaan mengalami cedera ringan dan akan dihantar ke hospital berdekatan sama ada di Kuantan atau Terengganu untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sementara itu, Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar ketika dihubungi berkata perampas bagaimanapun berjaya melarikan diri menaiki bot penyelamat kapal berkenaan kira-kira jam 8.30 malam tadi.

Kapal MT Orkim Harmony yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta dilaporkan hilang pada pukul 8.57 malam, 11 Jun lepas ketika dalam perjalanan dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan, Pahang.   
Kapal yang dimiliki oleh Syarikat Magna Meridian Sdn Bhd itu membawa 22 anak kapal terdiri 16 rakyat Malaysia, lima Indonesia dan seorang Myanmar.

Sementara itu, menerusi Twitter, Abdul Aziz berkata, mangsa yang cedera adalah tukang masak warga Indonesia yang terkena tembakan pada bahagian peha.

Lapan lanun rampas kapal ditahan di Vietnam

Posted: 19 Jun 2015 03:00 AM PDT

SINAR HARIAN


Lapan lanun rampas kapal ditahan di Vietnam Lapan lanun yang ditahan di Pulau Thou Chu sebentar tadi.
 
 
PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Lapan suspek yang merompak kapal tangki MT Orkim Harmony ditahan pihak berkuasa Vietnam, kata Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM Laksamana Madya Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar berkata mereka ditahan berhampiran Pulau Tho Chu, selatan Vietnam semasa cuba meloloskan diri daripada pemburuan.

"Mereka kini sedang disoal siasat oleh pihak berkuasa Vietnam," katanya dalam sidang media mengenai perkembangan MT Orkim Harmony di sini, hari ini.

Ahmad Puzi berkata, pihaknya telah berhubung dengan pihak berkuasa Vietnam bagi mendapat kerjasama untuk membawa penjenayah itu ke Malaysia. - Bernama


Mahkamah benar peguam tarik diri wakili Azilah

Posted: 19 Jun 2015 02:58 AM PDT

SINAR HARIAN


kes mahkamah
 
 
SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan seorang peguam menarik diri daripada mewakili seorang daripada defendan dalam saman sivil yang dikemukakan keluarga model Mongolia, mendiang Altantuya Shaariibuu.

Hakim Datuk Suraya Othman membenarkan permohonan Datuk Hazman Ahmad itu, yang sebelum ini mewakili Cif Inspektor Azilah Hadri dalam kes berkenaan, tanpa kos.

Sementara itu, mahkamah juga memerintahkan peguam Ram Karpal Singh, yang mewakili plaintif, supaya mengemukakan borang tertentu kepada pejabat Mahkamah Tinggi selewat-lewatnya 23 Jun ini.

Borang berkenaan perlu dikemukakan bagi membolehkannya mengemukakan notis permohonan untuk meminda writ saman dan kenyataan tuntutan melibatkan seorang lagi defendan, Koperal Sirul Azhar Umar, yang kini berada di Australia.

Suraya berkata protokol tertentu perlu dipatuhi untuk menyerahkan notis berkenaan kepada Sirul melalui konsulat Malaysia di Sydney, Australia.

Ibu bapa Altantuya, Shaariibuu Setev dan Altantsetseg Sanjaa, serta dua anak lelaki mendiang, Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan saman itu pada 4 Jun 2007.

Mereka menamakan anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah dan Sirul Azhar, penganalisis politik Abdul Razak Abdullah Baginda dan kerajaan Malaysia sebagai defenden.

Abdul Razak dituduh bersubahat dengan Azilah dan Sirul Azhar untuk membunuh wanita Mongolia berusia 28 tahun itu pada 2006.

Beliau bagaimanapun dibebaskan daripada tuduhan itu pada Oktober 2008, tanpa dipanggil membela diri, manakala Azilah dan Sirul Azhar didapati bersalah pada 2009.

Pada 23 Ogos 2013, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Azilah dan Sirul Azhar serta membebaskan mereka daripada tuduhan itu.

Bagaimanapun, pada 13 Jan tahun ini, Mahkamah Persekutuan membenarkan permohonan pendakwa dan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan itu apabila mendapati Sirul Azhar serta Azilah bersalah dan menjatuhi hukuman mati terhadap mereka.

Dalam kenyataan tuntutan mereka, keluarga Altantuya mendakwa kematian wanita itu mengakibatkan mereka mengalami kejutan mental dan trauma psikologi.

Mereka mendakwa Abdul Razak bersubahat dengan dua pegawi polis tersebut untuk membunuh Altantuya.

Mereka juga mendakwa Altantuya ditembak mati dan mayatnya diletupkan dengan bahan letupan C-4 oleh Azilah dan Sirul Azhar hingga berkecai di satu kawawan hutan di Puncak Alam, Shah Alam pada 7 Nov 2006.

Plaintif seterusnya mendakwa, akibat tindakan Azilah, Sirul Azhar dan Abdul Razak itu, mereka mengalami penderitaan, terutama anak Altantuya yang kehilangan ibu tersayang serta sumber rezeki. - Bernama

Resipi nasi goreng cili bertangkai Ahmad Maslan igauan ramai

Posted: 18 Jun 2015 07:17 PM PDT

nasgor
 Roketkini.com


CHONG: Selepas jutaan orang mentertawakan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan memuat naik gambarnya memasak nasi goreng berhiaskan timun dan cili bertangkai di dalam kuali beberapa hari lalu, hari ini ADUN Kinrara Ng Sze Han pula bergurau menggunakan idea sama.

ng
Memuat naik gambarnya memasak di laman Twitter, Sze Han menyatakan dia dan Ahmad mempunyai persamaan kegemaran iaitu memasak.

"Saya berkongsi hobi yang sama dengan Maslan, gemar masak di rumah. Tapi saya kurang hebat kerana yang saya masak semua kena GST," sindir beliau.

Demi membuktikan beliau dan kerajaan sangat prihatin kepada rakyat, Ahmad Maslan pada 14 Jun lalu telah memuat naik gambarnya memasak nasi goreng tanpa GST.

"Sesekali sedia sarapan untuk keluarga. Nasi goreng campur resepi tiada GST. Hidang terus. Lepas masak ini ada program UMNO", ujarnya di Twitter ketika itu.  – Roketkini.com

Anak Kapal MT Orkim Harmony Kirimkan Wang Untuk Belanja Ramadan Keluarga

Posted: 18 Jun 2015 06:56 PM PDT

MSTAR ONLINE



Mohamad Adib yang hilang bersama MT Orkim Harmony sejak minggu lalu.


PENDANG: Seorang anak kapal tangki MT Orkim Harmony yang dilaporkan hilang Khamis lepas sempat menelefon dan mengirimkan wang kepada ibunya sehari sebelum kejadian itu.

Mohamad Adib Jamaludin, 22, dari Felda Sungai Tiang dekat sini juga turut memberitahu ibunya Marina Desa, 52, mengenai keadaan dirinya yang sihat dan sedang belayar, menurut abang mangsa, Mohd Izzat, 28.

Katanya, wang yang dimasukan ke dalam akaun ibunya adalah untuk perbelanjaan pada Ramadan dan ia merupakan gaji pertama adiknya selepas tiga bulan bekerja dengan syarikat kapal tangki itu.

Anak kelima dari tujuh beradik itu yang bertugas sebagai jurutera enjin kapal berkenaan juga sering berhubungan dengan anggota keluarga lain melalui aplikasi WhatsApp, katanya.

"Agak terkejut bila syarikat di mana adik saya bekerja menghubungi emak Jumaat lepas dan memaklumkan kejadian itu. Kami agak sedih tetapi kami tak putus harapan berdoa agar dia (Mohamad Adib) selamat," kata Mohd Izzat ketika ditemui, Rabu.


Mohd Izzat.

Menurutnya, kedua ibu bapanya kini berada di Kuala Lumpur selepas diminta hadir ke pejabat syarikat kapal tangki itu untuk diberi taklimat dan maklumat berkaitan nasib kesemua krew kapal terbabit.

Ahli keluarga dan jiran tetangga katanya, sering mengadakan bacaan Yasin dan solat hajat memohon kesemua krew kapal tersebut berjaya pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.

"Kami semua hendak tahu keadaan Mohamad Adib. Itu sahaja yang kami tunggu," katanya.

Katanya, sebelum ini adiknya hanya bekerja di Pulau Pinang dalam sektor perkapalan dan ini merupakan pelayaran pertama Mohamad Adib selepas lebih dua tahun bekerja dalam sektor itu.

"Memang dia tidak pernah berjauhan dengan ahli keluarga terutamanya menyambut Ramadan dan Aidilfitri. Kali ini kami amat sedih selepas dia hilang tanpa berita," katanya.

Kapal MT Orkim yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta dilaporkan hilang pada 8.57 malam pada Khamis lepas ketika dalam perjalanan dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan, Pahang.

Kapal yang dimiliki oleh Syarikat Magna Meridian Sdn Bhd itu membawa 22 anak kapal termasuk 16 rakyat Melaysia. Anak kapal lain terdiri daripada rakyat Indonesia dan Myanmar.-- Bernama

“Syukur Dapat Tengok Anak Kahwin Lepas Raya” – Banduan Pengampunan Sultan Perak

Posted: 18 Jun 2015 06:46 PM PDT

Oleh: IWAN SHU-ASWAD SHUAIB

 


Pembebasan Bad Latif (belakang kiri) disambut ahli keluarganya termasuk isteri, Nashita (depan kanan) yang menunggu di Penjara Tapah pada hari pertama Ramadan.



PETALING JAYA: Seorang daripada 11 banduan yang mendapat pengampunan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bukan sahaja bersyukur kerana dibebaskan pada hari pertama Ramadan, malah tambah gembira apabila kini berpeluang menguruskan majlis perkahwinan anak sulungnya yang akan berlangsung selepas Aidilfitri.
Bad Latif Mansor, 49, mengakui pada mulanya rasa tertekan kerana pertama kali menjadi penghuni tirai besi, selain terpaksa berjauhan daripada keluarga.
Bapa kepada empat anak ini juga terkilan apabila setiap kali memikirkan dia perlu menjalani ibadah puasa dan meraikan Aidilfitri hanya bertemankan rakan banduan lain.
"Bila terkenangkan Ramadan dan Syawal, saya terus rasa sayu, tetapi syukur Alhamdulillah dapat pengampunan Sultan Perak.
"Walaupun baru sahaja dibebaskan hari ini, dah ada banyak perancangan yang akan dilakukan melibatkan hal keluarga.
"Selain berpeluang berpuasa dan beraya bersama keluarga, saya juga dapat lihat anak sulung kahwin lepas hari raya nanti," katanya ketika dihubungi mStar Online pada malam Khamis.
Bad Latif adalah salah seorang daripada 11 banduan yang dihukum penjara sejak 18 Mac lalu, diberikan pengampunan oleh Sultan Nazrin Shah bersempena hari pertama Ramadan pada Khamis.

Kesemua 11 banduan itu menjalani hukuman penjara di Penjara Tapah atas kesalahan membabitkan diri dalam perhimpunan haram di hadapan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar, ketika membantah pelantikan Menteri Besar yang baharu pada 2009.
Bad Latif yang dibebaskan pada malam Khamis berkata, anak lelaki sulungnya Anas, 22, bakal berkahwin pada 30 Ogos depan dan tarikh perkahwinan itu sebenarnya telah dipersetujui keluarga kedua belah pihak sebelum dia dipenjara.
"Tarikh perkahwinan sudah pun ditetapkan lebih awal lagi. Tetapi bila saya dihukum penjara, saya berpesan kepada isteri supaya teruskan majlis perkahwinan walaupun tanpa saya. Nak kata sedih, memanglah sedih sebab tak dapat lihat anak kahwin.
"Tapi sekarang saya cukup bersyukur dan terharu dengan peluang yang diberikan Sultan Perak kerana 'menghadiahkan' pembebasan ini untuk bersama keluarga malah dapat membantu persiapan untuk perkahwinan anak nanti," katanya dengan nada gembira.
Ditanya mengenai pengalamannya di penjara sejak Mac lalu, lelaki berusia 49 tahun itu berkata, hukuman itu mengajarnya mengenali tentang diri sendiri serta hubungan kemanusiaan.
"Saya banyak bermuhasabah diri dan mempertingkatkan amalan agama. Saya juga banyak berinteraksi dengan banduan-banduan lain yang membuatkan saya belajar tentang kemanusiaan," katanya.
Sementara itu, isteri Bad Latif, Nashita Md Noor, 49, ketika dihubungi berkali-kali mengucapkan syukur di atas berita gembira pada hari pertama Ramadan.
"Pengampunan untuk pembebasan suami sememangnya berita gembira buat saya dan Alhamdulillah ia berlaku pada hari pertama Ramadan, saya melihatnya sebagai satu bonus," katanya.
Mengenai perkahwinan anak sulung, Nashita memberitahu, dia tidak membuat persiapan rapi memandangkan suaminya berada di penjara sebelum ini.

"Tetapi saya yakin dia akan dapat pengampunan dan berharap dapat dibebaskan lebih awal. 
 
Alhamdulillah, suami sudah bebas. Saya berharap perkahwinan anak saya berjalan lancar, InsyaAllah," katanya.  
 

'MIC perlu orang tengah selesai krisis'

Posted: 18 Jun 2015 06:18 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Krisis dalaman MIC yang semakin meruncing memerlukan campur tangan pihak berkecuali sebagai perantara dalam menyelesaikan kemelut parti politik kaum India itu, menurut pandangan veteran dan penganalisis politik tanah air.

Mereka berpendapat Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel dan timbalannya Datuk Seri Dr S Subramaniam mendapatkan bantuan orang tengah bagi menyelesaikan masalah parti itu.

Veteran MCA, Datuk Yap Pian Hon berkata MIC perlu mengambil langkah seperti MCA semasa berhadapan dengan krisis parti pada tahun 1980-an dengan memberi peluang kepada BN untuk membantu parti itu menyelesaikan krisis dalaman mereka.

Beliau berkata krisis MIC ketika ini hampir sama dengan apa yang pernah dialami oleh MCA pada masa itu apabila presiden dan timbalan presiden parti tidak sehaluan.

"Dengan bantuan rundingan daripada BN, MCA kembali bersatu," katanya kepada Bernama semalam.

Beliau merujuk kepada krisis kepimpinan tertinggi MCA membabitkan Datuk Dr Neo Yee Pan dan Datuk Mak Hoon Kam dengan Tan Koon Swan pada 1985.

Veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub berkata MIC tidak perlu dingin terhadap bantuan yang ditawarkan pihak ketiga terutama daripada parti komponen BN yang ingin membantu.

"Hasrat BN nak membantu MIC selesaikan masalah, tetapi jangan sampai niat baik kita disalah tafsir. Terbukti hari ini MIC tidak boleh selesai secara dalaman maka eloklah MIC mencari jalan penyelesaian melalui orang tengah di luar MIC tidak kira bantuan dari Umno atau MCA ataupun Gerakan," katanya.

Bagi bekas Ketua Pergerakan Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz, beliau berpendapat mana-mana parti komponen BN perlu memberi keutamaan kepada kepentingan parti dan BN.

Beliau berkata jika mana-mana parti dalam BN benar-benar menghadapi kebuntuan dalam menyelesaikan kemelut yang melanda, maka kepimpinan parti itu perlulah mendapatkan nasihat pimpinan tertinggi BN.

"Walau apapun (masalah dalaman berlaku) jangan biarkan perselisihan menggugat parti, memecahbelahkan ahli dan memberi kesan kepada BN. Perkara ini saya merujuk kepada semua komponen BN," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik, Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed dari Universiti Utara Malaysia (UUM), berkata kedua-dua pemimpin tertinggi MIC harus mengetepikan kepentingan peribadi masing-masing dan berkompromi dalam menyelesaikan krisis tersebut.

"Saya yakin mereka sedar, jika mereka tidak duduk semeja dan menyelesaikan krisis ini secara baik, maka MIC akan ditakdirkan gagal dan menjadi tidak relevan," kata dekan Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa UUM itu.

Beliau berkata walaupun krisis MIC bukan sesuatu yang baru kerana ia juga pernah berlaku semasa kepimpinan sebelum ini, namun Palanivel dilihat seolah-olah mengheret krisis tanpa penyelesaian yang jelas.

Malah, katanya, keputusan mahkamah menolak permohonan Palanivel dan empat yang lain untuk membatalkan arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengadakan pemilihan semula parti itu telah membawa satu perkembangan yang baru.

BN sebelum ini cuba menghulurkan bantuan dengan menjadi orang tengah untuk menyelesaikan krisis tersebut tetapi pemimpin MIC enggan menerimanya kerana mahu menyelesaikan masalah mereka sendiri.

Seorang lagi penganalisis politik, Porf Madya Dr Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia (USM), mencadangkan pemilihan semula semua jawatan termasuk jawatan presiden dan timbalan presiden merupakan penyelesaian terbaik.

"Pada pendapat saya, cadangan ini akan dapat meletakkan titik noktah dalam krisis ini. Krisis ini tidak harus berlarutan sehingga menjejaskan imejh parti berusia 68 tahun itu," katanya. - Bernama


Wanita diserang, putus telinga kanan

Posted: 18 Jun 2015 06:16 PM PDT

MALAYSIAKINI


Seorang wanita putus telinga kanan, patah beberapa batang gigi serta cedera pada bahagian kepala dipercayai diserang seorang lelaki yang tidak dikenali di Kampung Teluk Selendang, Mukim Teluk Baru di Teluk Intan kelmarin.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata dalam kejadian kira-kira pukul 7.44 malam itu, Jamiaaton Debab, 55, ditemui tertiarap oleh anak bongsunya berusia 13 tahun ketika baharu pulang dari sekolah.

"Semasa anak mangsa sampai di rumah, dia memanggil ibunya namun panggilannya tidak berjawab. Ketika masuk ke dalam rumah, dia menemui ibunya dalam keadaan tertiarap dengan berlumuran darah.

"Dia memanggil makciknya yang baru menghantarnya pulang dari sekolah serta menceritakan keadaan ibunya dan menghubungi bapa serta abangnya untuk memaklumkan kejadian itu," katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata mangsa yang tidak sedarkan diri dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk rawatan lanjut.

Mohd Shuhaily berkata hasil maklumat daripada anak mangsa serta orang awam, suspek dari Kampung Sungai Bakong ditahan kira-kira pukul 9.30 malam pada hari yang sama di rumah ketua kampung.

"Suspek dipercayai di bawah pengaruh dadah ketika melakukan perbuatan tersebut," katanya.

Beliau berkata polis turut merampas sebilah parang dipercayai digunakan untuk mencederakan mangsa dan sebuah motosikal.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan, katanya. - Bernama


 

Perampas MT Orkim Harmony cuba lari

Posted: 18 Jun 2015 06:14 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Kapal tangki MT Orkim Harmony dilaporkan beralih arah belayar ke timur Indonesia menuju ke Kepulauan Natuna dalam cubaan sekumpulan perampas bersenjata yang menawan kapal itu, untuk melepaskan diri.

Panglima Wilayah Laut 1 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Muda Datuk Azahari Abdul Rashid berkata kumpulan perampas terbabit juga meminta pihak penguatkuasa menyediakan bot ketika mereka sampai di Pulau Natuna.

"Proses rundingan masih berjalan... apabila sampai di Pulau Natuna, mereka (perampas kapal) meminta disediakan sebuah bot untuk mereka melepaskan diri, sementara pihak TLDM masih mengiringi kapal tangki itu ke sana.

"Kapal itu dijangka sampai ke pulau berkenaan pada Sabtu pagi dan TLDM juga telah memaklumkan kepada pihak penguatkuasa Maritim Indonesia mengenai perkara itu," katanya ketika dihubungi Bernama malam tadi.

Pada masa ini, KD Terengganu masih meneruskan rundingan dengan perompak supaya mereka menyerah diri.

TLDM masih menunggu arahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam usaha menyelamatkan anak kapal terdiri dari 16 rakyat Malaysia, lima Indonesia dan seorang Myanmar, yang kini dalam tawanan sekurang-kurangnya lapan perampas bersenjatakan pistol dan parang.

Kapal tangki milik Syarikat Magna Meridian Sdn Bhd yang membawa 6,000 tan metrik petrol bernilai RM21 juta itu, dilaporkan hilang sejak Khamis lalu ketika
dalam perjalanan dari Melaka ke Pelabuhan Kuantan, Pahang.

Kapal itu yang disahkan ditemui hari ini oleh pihak berkuasa, telah dicat semula dan ditukar nama kepada 'Kim Harmon'.

Azahari berkata sehingga kini, sebanyak 16 buah kapal dan empat pesawat berserta 1,200 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi tersebut. - Bernama


 

Anifah bidas kecaman Dr M dalam surat pada NYT

Posted: 18 Jun 2015 06:12 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman membidas kecaman bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap pentadbiran negara dan parti politik dalam surat terbuka kepada editor akhbar harian Amerika Syarikat, The New York Times.

Anifah kesal melihat Dr Mahathir cuba untuk merosakkan negaranya sendiri dalam media antarabangsa sebagai sebahagian daripada dendam politik peribadi.

"Ia adalah tidak bertanggungjawab bagi mana-mana warga negara, apatah lagi seorang bekas perdana menteri, untuk menyebarkan pembohongan dan memutarbelit mengenai kedudukan syarikat-syarikat milik negara," kata beliau dalam surat terbuka itu, yang dikirim kepada Bernama semalam.

Anifah mengkritik serangan Dr Mahathir terhadap 1MDB, Umno dan tuduhan terhadap perdana menteri yang masih berkhidmat, Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Ini ialah beberapa petikan surat Anifah mengenai 1MDB.

"Contohnya dengan menyatakan bahawa RM42 bilion lesap dari 1MDB untuk menimbulkan kebimbangan awam sedangkan hakikatnya ini hutang yang diaudit bersandarkan aset bernilai RM51 bilion. Dakwaan-dakwaan melulu ini memberi kesan kepada sentimen pasaran terhadap Malaysia.

"Selain itu, beliau terus melancarkan serangan, dan tidak sebaliknya menunggu hasil siasatan yang dijalankan oleh Bank Negara Malaysia, Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.

"Ini menunjukkan bahawa Tun Mahathir tidak berminat kepada jawapan dari pihak berkuasa berkenaan yang sah. Sebaliknya, beliau hanya menggunakan 1MDB sebagai alasan untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak."

Mengenai pandangan Dr Mahathir terhadap Umno yang menjadi 'lubuk untuk ahli politik bernaung', Anifah berkata: "Tun Mahathir yang mengetuai parti selama 22 tahun. Beliaulah semasa pemerintahannya berusaha untuk memupuk budaya "yes men" (Pak Turut) dan mengukuhkan kedudukannya."

Mengenai tuduhan Dr Mahathir terhadap Najib, Anifah berkata ia semata-mata keterlaluan, dan tidak benar sama sekali.

Beliau berkata ia adalah hasil daripada langkah pembaharuan yang dilaksanakan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib yang membolehkan Tun Mahathir mempunyai kebebasan untuk bersuara begitu kritikal terhadap parti dan kerajaan yang beliau pernah memimpin.

"Kebanyakan rakyat Malaysia lebih suka melihat Dr Mahathir bersara secara hormat daripada terus merosakkan kedudukan negara sendiri untuk kepentingan politik peribadinya," katanya. - Bernama


Tiada ulasan: