Sabtu, 13 Jun 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Marilah, TMJ beri isyarat

Posted: 13 Jun 2015 06:00 AM PDT

MALAYSIAKINI







Mungkin kata-kata tidak diperlukan untuk Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk beliau menyampaikan mesejnya.

Dalam klip video dimuat naik pada akau Facebook Johor Southern Tigers petang tadi, anak Sultan Johor itu kelihatan sedang berehat di atas kerusi apabila kamera datang menghampirinya.

Ketika kamera berada di kiri Tunku Ismail, beliau menoleh dan mengangkat tangan kirinya sebelum membuat isyarat "marilah" sambil bersandar di kerusi.

Klip sepanjang 17 saat itu juga bermula dan berakhir dengan bunyi ngauman harimau.

Hanya beberapa jam selepas ditegur Datuk Seri Nazri Aziz, Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim muncul dalam klip pendek sambil membuat aksi mencabar.

Dalam akaun Facebook Johor Southern Tigers, beliau dilihat sedang berehat di atas bangku dan menoleh ketika kamera berada di kirinya.

Menggunakan tangan kiri, Tunku Ismail membuat isyarat memanggil.

Klip video sepanjang 17 saat itu bermula dan berakhir dengan bunyi ngauman harimau.

Tunku Ismail adalah Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor

Walaupun klip video berkenaan tidak disertakan tajuk atau kapsyen, ia dimuat naik hanya selepas beberapa jam Nazri yang juga Menteri Kebudayaan dan Pelancongan memberi amaran supaya Tunku Ismail tidak mencampuri politik.

Kata Nazri (gambar) tindakan Tunku Ismail boleh menyebabkan rakyat hilang rasa hormat kepada beliau jika kerajaan memberi reaksi kepada komennya.

Pos berkenaan juga pantas mendapat reaksi daripada pengguna Facebook.

Dapat reaksi segera

Sehingga jam 8.15 malam ini lebih 2,000 orang menekan butang Like dan sekurang-kurangnya 541 akaun lain berkongsi pautan berkenaan.

Pos berkenaan juga mengundang banyak komen. Pemilik akaun Facebook Nasrulhadi Noh misalnya menulis: "Setengah Menteri sekarang dah tiada rasa hormat dgn Kerabat di Raja. Mintak Tunku halau jek menteri mcm ni dari masuk ke Johor dengan Ahmad Maslan sekali."

Syahriman Paparock pula menulis: "Nazri jp lg mkn kayu hoki koottt".

Bagi Hakeem Neils, video itu mendorongnya menulis: "ape lagi..dah panggil tu..jgn x dtg pulak mcm sorang lagi tu...xD"

Ashhabu Rayati Suud: "Senyum lebar tgok video ni, kerajaan nk belasah kerabat johor, ingt kami anak johor batang pisang."
 

Jalan Sampadi/Lundu mendap, tak selamat diguna

Posted: 13 Jun 2015 05:29 AM PDT

THE RAKYAT POST

Jalan Lundu Mendap
Keadaan mendapan di Jalan Sampadi/Lundu setelah hujan lebat malam tadi yang mengakibatkan laluan di situ hampir terputus sepenuhnya. - Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah


LUNDU, : Sebahagian daripada Jalan Sampadi/Lundu dekat sini mendap selepas hujan lebat malam tadi.


Setakat ini tiada kemalangan atau kecederaan dilaporkan berlaku di lokasi kejadian itu namun jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat memaklumkan jalan berkenaan ketika ini tidak selamat diigunakan.

Sementara menunggu kerja baik pulih dijalankan, pengguna dinasihatkan mengelakkan laluan tersebut, sebaliknya menggunakan Jalan Bau/Sematan.

PM gesa lebih banyak institusi kewangan tawar skim pembiayaan mikro

Posted: 13 Jun 2015 05:25 AM PDT

THE RAKYAT POST


TRP-PM FIM 2015-Syahirah-M
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Franchise International Malaysia 2015 di PWTC, pagi tadi, sambil diperhatikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek (kiri). - Foto TRP/Siti Syahirah Roslan



KUALA LUMPUR:  Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini menggesa lebih banyak institusi kewangan tampil menawarkan skim pembiayaan kewangan mikro.


Menurutnya perkara itu perlu bagi membantu golongan yang ingin memulakan perniagaan francais khususnya golongan berpendapatan rendah.

"Kita mahu lebih banyak usahawan menerima bantuan dan keperluan yang mereka perlukan bagi memulakan perniagaan francais.

"Saya menyeru semua pihak menyokong pengusaha francais terutama golongan muda untuk melebarkan perniagaan mereka.

"Industri francais Malaysia sudah melakukan lonjakan besar sejak kerajaan memperkenal Pelan Tindakan Pembangunan Francais Negara pada 2012," katanya pada perasmian persidangan dan pameran Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) 2015 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara, hari ini.

Turut hadir dalam majlis perasmian berkenaan adalah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek.

Pelan tindakan itu yang antara lain merangkumi arah tuju, bagi meningkatkan daya saing francais Malaysia serta mentransformasikan perniagaan negara menerusi pembiayaan.

Kini negara mempunyai Pelan Tindakan Pembangunan Francais (2016-2020) yang berpotensi mewujudkan 50,000 pekerjaan baharu dalam tempoh itu, katanya yang jjuga Menteri Kewangan.

Dalam Bajet 2015, sebanyak RM20 juta diperuntukkan bagi meningkatkan industri francais, dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) merangka Program Eksport Francais yang bermatlamat menggandakan angka jenama dan premis francais Malaysia di luar negara.

Jelas Najib, bagi merealisasikan hasrat berkenaan, industri francais digalakkan menceburi sektor yang lebih menguntungkan pada masa hadapan seperti pendidikan, produk hijau dan 'medical tourism'.

Dalam pada itu, katanya beliau bangga dengan pencapaian 60 syarikat francais Malaysia yang berjaya menembusi 55 negara luar.

Katanya produk yang dibawa syarikat berkenaan sehingga kini melibatkan 2,160 outlet di seluruh dunia.
"Saya bangga usaha kita kini telah dikenali di peringkat antarabangsa.

"Ini satu usaha penting dalam konteks menjayakan industri francais sebagai salah satu cabang ekonomi.

"Kejayaan menembus pasaran global oleh 60 syarikat kita.. Saya bangga dengan kejayaan ini," katanya.

Sebanyak 85 buah syarikat francais menyertai pameran FIM 2015 termasuk dari Amerika Syarikat, Australia, Singapura, Indonesia, Korea dan Taiwan.

Pada FIM 2015 selama dua hari itu, empat syarikat tempatan – Naza Tutti Fruitti, Marybrown, Kubah Emas Resources dan Smart Reader Worldwide, menandatangani memorandum persefahaman dengan pelbagai syarikat antarabangsa.

Enam muka baru dilantik Pesuruhjaya PAS negeri

Posted: 13 Jun 2015 03:22 AM PDT

THE RAKYAT POST


TRP-2M PAS Yg Gugur
Dua daripada enam Pesuruhjaya PAS negeri yang digantikan dengan muka baru ialah Mahfuz di Kedah dan juga Mat Sabu di Pulau Pinang. - Foto arkib TRP


KUALA LUMPUR: PAS hari ini mengumumkan pelantikan 14 Pesuruhjaya negeri bagi penggal 2015-2017, yang menyaksikan enam negeri mendapat ketua baru.


Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan pejabat Presiden PAS hari ini, enam muka baru itu dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS negeri, dalam mesyuarat pertama Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat penggal 2015-2017 yang diadakan Rabu lalu.

Enam negeri itu adalah Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Johor.

Di Pulau Pinang, bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu digugurkan dan diganti dengan Mohd Fauzi Yusof.

Manakala Ahli Parlimen Pokok Sena yang juga bekas Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar diganti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit, Datuk Amirudin Hamzah.

PAS Negeri Sembilan, Melaka dan Johor juga mendapat Pesuruhjaya negeri baru, selepas Mohamad Taufek Abd Ghani, Adly Zahari dan ADUN Parit Yaani, Aminolhuda Hassan digugurkan.

Jawatan mereka diambil alih Mustafa Daharun (Negeri Sembilan), Kamarudin Sidek (Melaka) dan Datuk Dr Mahfodz Mohamad (Johor).

Bagi Pahang pula, Rosli Jabar dilantik bagi menggantikan penyandang sebelum ini, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang kini menggalas jawatan Timbalan Presiden PAS.

Di negeri-negeri lain, semua penyandang Pesuruhjaya PAS negeri dikekalkan.

Mereka ialah Datuk Ahmad Yaakon (Kelantan); Satiful Bahari Mamat (Terengganu); Shukri Ramli (Perlis); Razman Zakaria (Perak); Datuk Iskandar Abdul Samad (Selangor); Paumin@ Aminuddin Aling (Sabah) dan Adam Ahid (Sarawak).

PR jangan jadi kuda tunggangan Tun M jatuhkan Najib

Posted: 13 Jun 2015 03:18 AM PDT

 
Sejarah telah membuktikan pembangkang bersama Dr Mahathir menjatuhkan Tun Abdullah tetapi pembangkang tidak kemana malah terus dihimpit.


badrul,mahathir,pkr


PETALING JAYA: Pakatan Rakyat diingatkan supaya tidak tertipu dengan pemainan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard berkata, pemimpin dan penyokong PR mungkin menganggap Dr Mahathir membantu pembangkang untuk menjatuhkan Najib.

Namun, hakikat sebenarnya PR menjadi kuda tunggangan kepada Dr Mahathir dan rakan-rakannya demi mencapai cita-cita peribadi dan melindungi kepentingan.

Chegubard berkata, sejarah telah membuktikan ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi dijatuhkan oleh Dr Mahathir, pembangkang pada waktu itu menganggap bekas Perdana Menteri membantu mereka.

"Pembangkang menyerang Tun Abdullah Badawi bersama Mahathir hasilnya Abdullah disingkirkan tetapi UMNO (sila baca kelompok Mahathir khususnya Daim dan kuncu) terus kukuh dan Pakatan Rakyat terus dihimpit. Kenapa perubahan total masih tidak diperolehi?

"Ia kerana imej perubahan itu diterajui oleh Mahathir dan kelompoknya, PR hanya mengikuti dari belakang. Jika sekali lagi kita terperangkap diperkuda Mahathir untuk pusingan kali ini maka PR hanya layak sekali lagi selaku pembangkang yang kuat, " katanya.

Dia berkata, membiarkan Dr Mahathir menyerang dan mengkritik Perdana Menteri tidak bermakna PR perlu membantu Najib.

Sebaliknya, PR perlu mengukuhkan parti dan bersiap sedia mengalahkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) akan datang supaya rakyat menghukum Najib.

Chegubard mengakui Dr Mahathir banyak berjasa kepada negara namun tidak bermakna dosa dan kesilapan yang telah dilakukannya dilupa dan membiarkan orang lain menanggungnya.

Katanya, Dr Mahathir telah banyak menimbul kecelaruan kepada negara dengan meminda Perlembagaan dan menghina institusi beraja apabila mengurangkan kuasa Raja-raja Melayu.

Katanya, pada era pemerintahannya, Dr Mahathir mengamalkan kronisma seperti mewujudkan janakuasa bebas atau IPP untuk kesenangan rakan-rakannya.

Chegubard berkata, ramai yang menjadi mangsa kerakusan Dr Mahathir seperti
Allahyarham Tan Sri Ani Arope yang tidak setuju dengan penubuhan IPP.

"Tan Sri Salleh Abbas dipecat sebagai hakim kerana menentang campur tangan kerajaan dalam sistem kehakiman negara.

"Begitu juga Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjadi mangsa buli kejam Dr Mahathir, " katanya.

Bimbang rakyat tertipu dengan sandiwara Dr Mahathir, Chegubard berkata, SAMM dan beberapa NGO lain akan mengadakan kempen #sudahlahMahathir untuk menyedarkan rakyat punca sebenar permasalahan negara.

Katanya, siri penjelajahan negara akan dimulakan pada Ramadan ini untuk mengedarkan 100,000 buku poket Wajah-wajah Sebenar Mahathir.

"Bermula minggu depan kempen #sudahlahMahathir akan membuka satu demi satu fail baru dan lama yang kami perolehi dari berbagai sumber berkenaan Mahathir dan keluarganya," katanya.

Sabah dilanda satu lagi gempa bumi

Posted: 13 Jun 2015 03:13 AM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
 
Sabah telah dilanda satu lagi gempa awal pagi ini, lapan hari selepas kejadian pertama yang meragut 18 nyawa.

Jabatan Meteorologi Malaysia melaporkan di Facebook bahawa gempa bumi berukuran 5.1 pada skala Richter itu berlaku pada jam 2.29 waktu tempatan, 25 km dari Kota Belud.

Gegaran dirasai di Ranau, Kudat, Beluran, Kota Marudu, Kota Belud, Keningau dan Kinabatangan.

Media sosial menyiarkan posting daripada penduduk yang dalam ketakutan dan warga maya yang prihatin.

Dalam gempa bumi lalu yang berukuran 6.0, beberapa pelajar Singapura turut terkorban di Gunung Kinabalu.

Lebih daripada 130 orang yang mendaki gunung itu terkandas, tetapi kemudiannya diselamatkan.
[Baca berita penuh/asal]
 
 

Khairy tampil bela Farah Ann

Posted: 13 Jun 2015 03:11 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mempertahankan pakaian ahli gimnastik penyumbang emas negara dengan mengatakan pihak yang mengkritik seharusnya memfokuskan pada pencapaian atlet berkenaan.

"Dalam gimnastik, Farah Ann Abdul Hadi memperoleh emas kerana berjaya mengagumkan juri dengan persembahannya.

"Dalam perbuatannya, hanya Tuhan saja yang akan menghakimi beliau. Bukan kamu. Jangan ganggu atlet kami," tulis Khairy dalam Twitter malam tadi.

Kenyataan itu dibuat bagi mengulas tindakan orang ramai yagn pengkritik Farah Ann kerana memakai pakaian gimnastik yang didakwa tidak menutup aurat.

Imej yang dimuat naik oleh atlet berusia 21 tahun itu dalam Facebook dan Twitter dikecam hebat ramai pengguna media sosial atas alasan ia pakaian yang mencolok mata.

Bagaimanapun, bukan semua komen dari pengguna media sosial didapati mengecam beliau. Segelintir daripadanya membela atlit negara itu dengan bertanyakan sekiranya Farah perlu memakai jubah dan tudung untuk menyertai pertandingan berkenaan.


'Kenyataan Nik Abduh gambaran kekolotan'

Posted: 13 Jun 2015 03:09 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Ketua Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz diingatkan supaya menghormati wanita dan tidak menjadikan kaum itu sebagai objek sindiran.

Timbalan Pengerusi Wanita DAP Pulau Pinang Kasthuri Patto berkata, merujuk kepada kenyataan yang dibuat Nik Abduh semalam, ia dilihat bukan sahaja menghina wanita sebagai objek ejekan tetapi berbaur seksis.

"Apakah motif sebenar Ketua Dewan Pemuda PAS dalam ejekannya selain menghina perempuan dan menganggapnya sebagai satu objek sindiran, perli dan ejekan?

"Agama Islam mengajar wanita supaya dihormati dan dilindungi. Janganlah pula Ketua Pemuda Dewan PAS termakan dengan umpan sesetengah pihak bagi memuaskan nafsu jahil mereka, bak kata pepatah habis cupak dari pelelehan.

"Kenyataan berbaur seksis Nik Abduh terhadap wanita di negara ini menunjukkan kekolotan minda seseorang yang sepatutnya dilihat sebagai pembawa obor generasi muda partinya," kata Kasthuri dalam kenyataan media hari ini.

Semalam, Nik Abduh memperkecilkan DAP yang digambarkan tidak cukup jantan untuk berpisah dengan parti Islam itu.

Mengumpamakan seperti hubungan suami isteri, ketua pemuda baru PAS itu berkata DAP seperti tidak yakin hendak "melafazkan cerai" terhadap PAS.

Selain itu, Ahli Parlimen Batu Kawan berkenaan turut melahirkan kekecewa apabila kenyataan tersebut dikeluarkan oleh seorang ahli politik daripada PAS dan bukannya BN.

Jelas Kasthuri, kenyataan itu dilihat mempunyai sangkaan buruk terhadap kaum wanita dan menunjukkan pemikrian Ahli Parlimen Pasir Mas itu yang "kuno" serta "low-standrad" kerana mengheret keperibadian wanita dalam isu politik.

"Mungkin Nik Abduh sudah lupa diri untuk satu tempoh yang agak lama sehingga mempertuhan ideologi patriarki dan dengan bongkak mengeluarkan kenyataan bahawa PAS bersifat jantan dan DAP bersifat perempuan walaupun perbandingan tersebut tidak masuk akal langsung," katanya lagi.

Justeru, Kasthuri mengingatkan bahawa seorang pemimpin tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan tidak matang seperti itu memandangkan pada pilihan raya umum yang lalu, pengundi wanita lebih ramai iaitu 6,664,474 (50.21 peratus) berbanding 6,603,528 (49.77 peratus) lelaki.

"Ini bererti peratusan keluar mengundi dalam pilihan raya umum ke-13 menunjukkan lebih ramai pengundi wanita telah keluar membuang undi berbanding dengan lelaki dan kenyataannya itu telah mengkhianati kepercayaan semua pengundinya.

"Bukan sahaja martabat wanita digadaikan dan diperlekehkan sebegini. Sebagai seorang anak muda, pemuda-pemudi lain juga berasa tersinggung dan malu dengan kenyataan seorang dari 'zaman batu' tetapi bertopengkan pemuda yang seakan berdarah pahlawan," katanya lagi. 


KPDNKK nafi bersifat perkauman

Posted: 13 Jun 2015 03:07 AM PDT

 
Menurut Datuk Seri Hasan Malek, operasi yang dilakukan adalah bersifat menyeluruh dan tidak tertumpu di kawasan kaum tertentu.


hassan malek2



KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) menolak dakwaan kononnya pihaknya bersifat perkauman ketika membuat serbuan.

Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata, operasi yang dilakukan adalah bersifat menyeluruh dan tidak tertumpu di kawasan kaum tertentu.

Kenyataan itu dibuat susulan serbuan di Uptown Shah Alam, yang mana majoriti peniaga terdiri daripada orang Melayu.

"Saya diberi tanggungjawab oleh kerajaan untuk buat operasi tanpa mengira kaum.

"Petaling Street nampak seolah-olah perniagaan kaum Cina, kami dah pergi empat kali (serbuan)," katanya semasa sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Pameran Francais Antarabangsa yang disempurnakan Perdana Menteri di Dewan Tun Hussein Onn, PWTC pada Sabtu.

TV3 hilang akal-Shahbudin

Posted: 13 Jun 2015 03:05 AM PDT

 
Alasan yang diberi pihak TV3 langsung tidak boleh diterima sedangkan banyak lagi masalah rakyat yang lebih kritikal perlu diketengahkan selain isu kereta Proton.


proton tv3



PETALING JAYA: Penafian Editor Urusan Kumpulan Media Prima Bhd, Datuk Seri Mohd Ashraf Abdullah, bahawa TV3 hanya memaparkan masalah rakyat berhubung teksi yang membabitkan kereta Proton dianggap tidak masuk akal.

Pelbagai persoalan dibangkitkan terhadap laporan tiga malam berturut-turut yang menyiarkan isu yang sama wal hal banyak lagi masalah besar yang membebankan rakyat.

Mengulas mengenainya, bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Wangsa Maju, Shahbudin Husin mendakwa ia sebahagian daripada agenda untuk menghentam legasi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Hujah yang diberikan oleh Mohd Ashraf Abdullah, Editor Urusan Kumpulan Media Prima Bhd, bahawa laporan itu hanya usaha TV3 mengenengahkan masalah rakyat dan pemandu teksi, benar-benar tidak dapat diterima akal, kecuali bagi yang kurang atau sudah hilang akalnya," dakwa Shabudin.

Dalam tulisan terbarunya di shahbudindotcom.blogspot.com terus menempelak kenyataan Ashraf selain mempersoalkan maksud "masalah rakyat".

Katanya, terdapat isu lain yang lebih kronik berbanding dengan masalah kereta teksi Proton.

"Jika mahu diketengahkan pelbagai masalah rakyat, di Parlimen Pekan yang diwakili Najib pun sebenarnya berlambak isu yang lebih menarik dan boleh meningkatkan rating penonton televisyen itu.

"Menjadi persoalan juga, apakah TV3 akan turut memainkan isu berkaitan kualiti Proton ini jika tidak berlaku kemelut politik antara Tun Mahathir dengan Najib?" tulis Shahbudin.

Tambahnya, ramai yang hairan kenapa isu tersebut dimainkan ketika ini dan ia seolah-olah bertujuan mengajak rakyat tidak menghargai keluaran serta kebanggaan negara sendiri.

Oleh kerana dimainkan selama tiga malam berturut-turut, ia segera disedari sebagai percubaan stesen televisyen itu menghentam legasi Dr Mahathir yang bertanggungjawab mewujudkan industri kereta nasional itu.

Lebih-lebih lagi, beliau pada ketika ini adalah Pengerusi Proton.

"Dengan menyerang Proton juga, Najib tidak ubah seperti kanak-kanak yang kalah berlawan dengan orang lebih kuat daripadanya, lalu meminta bantuan pihak lain merosakkan permainan atau harta benda mereka yang tidak mampu dikalahkannya itu.

"Ramai juga penuh yakin, selepas Proton, satu demi satu legasi Tun Mahathir seperti KLCC, Perwaja, Litar Formula 1 yang dipengerusikan oleh anaknya, Mokhzani Mahathir dan lain-lainnya bakal menjadi sasaran TV3 pula," ramal Shahbudin.

Penculik guna PATI jadi tali barut

Posted: 13 Jun 2015 03:03 AM PDT

 
Che Aris berkata penculik menggunakan tali barut PATI untuk mendapatkan tebusan


penculik


KUNAK: Kumpulan penculik di selatan Filipina dipercayai menggunakan pendatang asing tanpa izin
(PATI) sebagai `tali barut' untuk melakukan jenayah rentas sempadan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone).

Penolong Ketua Staf Perisikan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Supt. Che Aris Bakar berkata, taktik menggunakan tali barut itu adalah bagi mendapatkan tebusan.

Beliau berkata, secara tradisinya sasaran utama kumpulan penculik bertumpu kepada mereka yang menjalankan aktiviti perusahaan ternakan ikan dalam sangkar, perusahaan, rumpai laut, nelayan dan pelayaran.

Namun, katanya, sasaran kini turut melibatkan kawasan di darat seperti restoran.

"Penculikan yang berlaku (di sebuah restoran) di Sandakan dipercayai didalangi oleh orang dalam yang serba mengetahui keadaan dan individu yang disasarkan.

"Jelas sekali, Esscom juga berdepan penjenayah atau PATI yang sudah berada di Sabah yang bertindak sebagai pemberi maklumat," katanya lapor Bernama.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab Program Pertemuan Esscom Bersama Komuniti Nelayan Kunak pada Sabtu.

Pada 14 Mei lepas, empat lelaki bersenjata menyerbu Restoran Ocean King di Sandakan dan menculik seorang pelanggan lelaki dan seorang wanita yang merupakan kakak ipar pengurus restoran itu dengan disaksikan kira-kira 100 pelanggan termasuk kanak-kanak.

Jangan campuri politik atau kena 'belasah'

Posted: 13 Jun 2015 02:52 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim diminta supaya tidak campur tangan dalam urusan politik negara atau beliau akan dikecam, kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz.

"Saya rasa beliau harus menjauhkan diri daripada politik. Jika tidak, beliau juga akan dapat benda yang sama. Kita akan whack (belasah secara lisan) dia.

"Raja-raja dan keluarga diraja ini berada di atas undang-undang (justeru tidak sepatutnya campur tangan dalam politik). Kalau dia (Tunku Ismail) mahu menjadi ahli politik, jadi dia perlu beritahu. Kemudian kita boleh menjawab balik.

"Jika kamu memegang jawatan penting sebagai keluarga diraja di negeri dan kamu mula mengulas (politik)... kalau kerajaan 'belasah' kamu balik, jangan marah," katanya dalam sidang media di Universiti Malaya hari ini.

Nazri berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Tunku Ismail awal bulan ini berhubung ketidakhadiran Najib dalam program dialog Nothing2Hide.

Menurut Tunku Ismail, orang yang ingin menyembunyikan segala-galanya tentu sekali tidak akan muncul.

Tunku Ismail menjadi kerabat pertama menyatakan perasaan tidak senangnya dalam isu itu, yang sekali gus dilihat tamparan hebat kepada pentadbiran Najib yang tidak berhenti diasak dalam isu 1MDB.


A Samad Said sah sertai DAP

Posted: 13 Jun 2015 02:41 AM PDT

A Samad Said sah sertai DAP A. Samad Said (tengah) pada sidang media selepas menerima kad keahlian DAP di Gua Musang, Kelantan, hari ini. Foto oleh DAP Malaysia
 
 
SHAH ALAM – Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said hari ini secara rasminya menyertai DAP selepas perkara itu diumumkan penasihat parti itu, Lim Kit Siang dalam satu program, di Gua Musang Kelantan, hari ini.
 
Kemasukan Samad ke dalam parti itu turut dirakam dan dimuat naik dalam akaun Twitter milik DAP Malaysia sebentar tadi dengan memaparkan pemimpin masyarakat itu menerima kad keahlian yang diserahkan sendiri oleh Kit Siang.
 
"Sasterawan Negara Sdr @asamadsaid menerima kad keahlian DAP beliau dari Ketua Parlimen DAP @limkitsiang," tulis Dap Malaysia dalam laman sosialnya, hari ini.
 
Penisytiharan itu turut disaksikan oleh Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dalam majlis penyerahan rasmi rumah mangsa banjir anjuran pertubuhan Gabungan Impian Kelantan (GIK) di Gua Musang, Kelantan, hari ini.
 
Beliau yang lebih sinonim dengan panggilan Pak Samad mula berjinak dalam politik dengan kempen menentang dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) pada 2009.
 
Sebelum menyertai DAP, beliau cukup aktif dengan kegiatan masyarakat dan pernah memimpin gerakan pembaharuan pilihan raya, BERSIH yang menuntut proses pengundian dijalankan dengan adil.
 
 

DAP sedia kerjasama demi tumbangkan BN

Posted: 13 Jun 2015 02:39 AM PDT


 
 
JOHOR BAHRU - DAP Johor secara terbuka menyatakan kesediaan untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana parti yang berhasrat untuk menumbangkan kerajaan BN pada PRU akan datang.

Malah kesediaan itu dinyatakan selepas hubungan DAP dan Pas dilihat seakan bakal menemui penghujungnya, susulan usul putus kerjasama melibatkan kedua parti terbabit dalam Muktamar Pas, baru-baru ini.

Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong berkata, Pas dilihat tidak bersedia untuk menumbangkan BN, sebaliknya hanya lebih cenderung untuk memastikan hudud dapat dilaksanakan.

Menurutnya, tindakan Pas dilihat bersekongkol dengan BN akan meninggalkan kesan besar kehilangan penyokong kerana ketika ini, wujud sentimen tidak berpuas hati terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

"Keputusan kita terpulang kepada Jawatankuasa Pusat DAP, kita bersedia menjalin kerjasama dengan mana-mana parti yang berminat untuk menumbangkan BN.

"Sekiranya Pas membuat pilihan yang salah, parti itu tidak akan memenangi sokongan rakyat kerana di Johor sendiri dua pertiga kerusi parlimen dan 18 per 26 kerusi Dun adalah kawasan campuran.

"Ini bermakna DAP tidak boleh menang tanpa sokongan Melayu dan begitu juga Pas tidak boleh menang tanpa sokongan bukan Melayu," katanya kepada Sinar Harian.

Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Kluang berkata, hakikat dalam PRU, DAP berusaha mendapatkan sokongan Melayu dan Pas pula berusaha mendapatkan sokongan bukan Melayu bagi mencapai misi menawan Putrajaya.

Katanya, sekiranya Pas memilih untuk bersendirian menawan hati pengundi, parti itu tidak akan menang bukan sahaja di Johor, malah seluruh negara kerana majoriti kawasan yang dimenangi adalah kawasan campuran.

"Keputusan itu menampakkan Pas tidak mengambil berat usaha PR untuk memenangi kuasa persekutuan dalam usaha merampas Putrajaya pada PRU14 nanti.

"Konflik yang berlaku ini bukan isu baharu, sebaliknya isu yang sekurang-kurangnya 17 tahun lalu, jadi kita kena bersedia dengan penjajaran semula (realignment) yang bakal berlaku," katanya.


Shahrir dakwa Dr M ada motif jatuhkan PM

Posted: 13 Jun 2015 02:35 AM PDT

Shahrir Abdul Samad Shahrir
 
 
SHAH ALAM - Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Abdul Samad mendakwa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempunyai motif tersendiri untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Shahrir berkata, niat tersembunyi Dr Mahathir terserlah apabila beliau dilihat cuba mendapatkan penjelasan secara terbuka mengenai isu kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga mencetuskan provokasi.

"Kalau Tun Mahathir nak jawapan, tak jadi masalah, Datuk Seri Najib boleh beri penerangan tambahan tentang apa yang sedang berlaku sekarang.

"Maknanya nak dapat penerangan, Tun Mahathir boleh dapat penerangan terus daripada Najib, tapi kalau nak konfrontasi, itu yang tak manis, tentu ada tujuan lain," katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen, semalam.

Malah katanya, isu 1MDB adalah isu lama pembangkang kerana perkara itu pernah dibawa kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) ketika wakil DAP Tony Pua menjadi ahli PAC sebelum PRU13.

Sementara ketika diminta untuk mengulas  lanjut  insiden program NothingToHide yang dihadiri Dr Mahathir, Shahrir berkata Dr Mahathir sepatutnya tidak hadir, kerana kehadirannya telah menimbulkan persepsi negatif.

"Kemunculan Tun Mahathir nak dengar atau nak menyoal saya rasa tak sesuai sebagai seorang bekas PM datang kerana program itu bukan medan yang adil untuk dapat penerangan.

"Jadi pada saya, adalah bijaksana Datuk Seri Najib untuk tidak masuk kepada suasana begini kerana ia akan cetuskan suasana berbalah sesama sendiri sedangkan kita rasa ada cara lain kalau benar-benar nakkan kefahaman," katanya.


Saya pengsan kalau nampak AS$1 bilion tunai

Posted: 13 Jun 2015 02:32 AM PDT


 
 
KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengulang pendiriannya yang tidak mempercayai Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy susulan kenyataan sebelum ini.
 
Malah Tun Mahathir mendakwa Arul seorang pembohong.
 
"Dia (Arul) boleh jawab kepada pihak berkuasa tapi hakikatnya dia berbohong. Semua orang tahu dia bohong.
 
"Dia nampak tunai. Boleh awak bayangkan AS$1 bilion tunai di sana? (Jika nampak) Saya akan pengsan. Tapi dia nampak dan dia jamin dia nampak wang itu.
 
"Dan sekarang kita dapat tahu dia tidak nampak apa-apa pun. Dia melihat banyak benda yang tidak wujud. Jadi, saya cuma tidak percaya dia," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
 
Beliau turut menggesa agar orang penting dalam 1MDB yang baru dilantik awal tahun itu meletakkan jawatan atas kegagalannya menjalankan amanah.
 
"Saya rasa dia patut letak jawatan. Tiga orang (CEO) sebelumnya juga letak jawatan. Jadi, dia juga patut letak jawatan," katanya.
 
Malah ketika diminta mengulas kenyataan seorang menteri yang menyifatkan kenyataan dan serangannya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak penting, beliau sempat menyindir bahawa kehilangan wang berbilion ringgit memang tidak penting.
 
"Ya hilang duit memang tak penting. Hanya beberapa bilion. Negara kita kaya.
 
"Kita pinjam RM42 bilion kemudian kamu hilang sebahagiannya...tak apalah. Boleh pinjam lagi," katanya.
 
 

Saya tidak terlibat, kata Ramli Sarip

Posted: 13 Jun 2015 02:29 AM PDT


 
 
SHAH ALAM - Penyanyi terkenal, Datuk Ramli Sarip mengakui terkejut apabila namanya disenaraikan sebagai salah seorang artis yang bakal membuat persembahan pada pelancaran sebuah stesen radio minggu ini.

Menurut penyanyi yang mendapat jolokan 'Papa Rock' ini, pada tarikh tersebut, dia akan terlibat dengan sebuah persembahan di Padang Terap.

"Saya tahu juga pasal perkara ini. Tapi saya tidak terlibat apatah lagi menerima sebarang jemputan daripada pihak berkenaan.

"Saya takut mereka ada tersilap berhubung dengan orang lain. Sekiranya diberitahu lebih awal, saya mungkin tidak ada masalah untuk turut serta.

"Apa pun saya berharap nama dan gambar saya dikeluarkan daripada poster untuk mengelakkan salah faham pada hari pelancaran kelak," katanya.

Penganjur mohon maaf

Sementara itu, di ALOR SETAR, Sinar Harian berusaha menghubungi penganjur program Minggu Motosikal Alor Setar (Alor Setar Bike Week) yang kemudian memohon maaf kepada penyanyi Datuk Ramli Sarip atas kesilapan yang tidak disengajakan.

Difahamkan, permohonan maaf itu dibuat kerana berlaku kelewatan jemputan untuk membuat persembahan nyanyian pada program yang berlangsung hari ini hingga 14 Jun.

Program yang julung kali diadakan itu turut menampilkan beberapa artis popular tempatan seperti Bandi Amok, Lan Sutera, Adira, Pak Long dan Ramli Sarip.

Bagaimanapun, Ramli dikatakan tidak mengetahui jemputan untuk menghadiri program tersebut seperti yang dihebohkan ramai.

Penganjur bersama mengakui pihaknya telah mengedar poster program tersebut lebih awal sebelum mendapatkan pengesahan kehadiran daripada artis-artis jemputan.

"Poster yang dihebohkan ramai itu adalah merupakan perancangan awal penganjur. Kita akui mengalami kesuntukan masa untuk jemputan dan sebagainya.

"Kami mohon maaf kepada beliau atas kelewatan yang tidak disengajakan ini," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Pihak penganjur turut mengesahkan ketidakhadiran Ramli pada program tersebut atas kelewatan jemputan dan telah memadam nama beliau pada poster yang ditampal di kawasan sekitar untuk mengelak sebarang pertikaian.

Antara aktiviti menarik yang diadakan ialah pertunjukan aksi stunt, pertandingan motosikal tercantik, persembahan artis dan band jemputan, pameran kereta dan motosikal, pameran gerai serta banyak lagi.

Tinjauan Sinar Harian di Taman Jubli Emas, di sini mendapati lebih 30 khemah telah didirikan sempena program tersebut.


Mohon sijil halal sebelum promosi bufet Ramadan

Posted: 13 Jun 2015 02:25 AM PDT

SINAR HARIAN


Logo Halal Logo Halal Jakim
 
 
YAN - Semua pengusaha makanan di negara ini disaran untuk segera mengemukakan permohonan mendapatkan sijil halal sebelum mempromosikan Bufet Ramadan di premis masing-masing.
 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, permohonan boleh dibuat melalui Majlis Agama Islam Negeri atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
 
"Di Jakim, kita ada kaunter khusus yang dapat mempercepatkan urusan permohonan sijil halal sempena Ramadan dan permohonan masih lagi dibuka," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada masjid-masjid Parlimen Jerai sempena Ramadan, di Masjid Kampung Batu 17, di sini, hari ini. 
 
Beliau berkata, pengusaha yang menawarkan dan mempromosikan Bufet Ramadan tanpa memiliki sijil halal boleh diambil tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.
 
Jamil Khir berkata, rakyat di negara ini sudah memahami konteks halal yang mana ia tidak hanya melibatkan bahan yang digunakan tetapi juga proses pembuatan serta aspek kebersihan sepanjang proses itu dilakukan.
 
"Apa yang menjadi kebimbangan ialah bukan sahaja dari sudut (premis) tidak memiliki sijil halal bahkan kita tidak mahu ada tempat (premis) yang menggantungkan sijil halal palsu.
 
"Jadi semua pengusaha makanan diingatkan agar tidak mengelirukan orang Islam dengan menawarkan Bufet Ramadan sedangkan mereka tidak memiliki sijil halal," katanya.
 
Terdahulu, pada majlis berkenaan, sebanyak 43 masjid di kawasan Parlimen Jerai masing-masing menerima sumbangan RM1,000 daripada kerajaan Persekutuan untuk mengimarahkan kedatangan bulan Ramadan tahun ini. - Bernama
 
 

Tiada ulasan: