Rabu, 10 Jun 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


CEO, Bekas CEO 1MDB Perlu Tampil Beri Keterangan Ogos Ini - PAC

Posted: 10 Jun 2015 07:18 AM PDT

MSTAR ONLINE
 
 
Nur Jazlan Mohamed.
 
 
KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memanggil Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy dan bekas CEO Datuk Shahrol Halmi pada awal Ogos bagi memberi keterangan berhubung isu 1MDB.

Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata selepas mereka gagal tampil memberi keterangan pada Mei lepas, mereka diberi peluang sekali lagi untuk hadir pada satu tarikh pada minggu pertama Ogos yang akan diumumkan secara rasmi tidak lama lagi.

"Kali ini tidak boleh beri alasan, mereka berdua kena datang ... disebabkan bulan puasa dan hari raya, dan kedua-dua mereka Muslim, jadi kami beri mereka peluang untuk menyambutnya terlebih dahulu," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat PAC di Bangunan Parlimen pada Rabu.

Beliau berkata PAC juga akan memanggil dua lagi firma yang mengaudit 1MDB iaitu KPMG dan Ernst  and  Young pada sesi prosiding yang dijangka diadakan pada minggu depan.

Katanya selain Arul dan Shahrol, PAC juga akan bertemu dengan seorang wakil Kementerian Kewangan pada bulan yang sama bagi mendapatkan keterangan.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan memanggil wakil Bank Negara dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak jika terdapat keperluan untuk berbuat demikian.

"Tujuan prosiding ini sebenarnya untuk memanggil watak-watak utama, MOF (Kementerian Kewangan), pemegang saham, pengurusan, auditor, dan kemudiannya anggota lembaga (pengarah). Selepas itu kami akan dapat gambaran lebih menyeluruh dan memutuskan siapa lagi yang akan dipanggil untuk melengkapkan laporan," katanya.

Nur Jazlan menjelaskan sebarang isu berbangkit dalam setiap prosiding akan dikaji dan dibuat perbandingan berdasarkan pandangan pihak-pihak yang terlibat dalam prosiding 1MDB itu.

Mengulas lanjut mengenai prosiding bersama firma yang mengaudit 1MDB iaitu Firma Deloitte  and  Co, beliau berkata tiada tanda-tanda penyelewengan dalam audit yang dijalankan firma yang berpangkalan di Amerika Syarikat itu terhadap penyata kewangan 1MDB bagi tarikh berakhir 31 Mac 2014.

"Dalam prosiding ini, kita juga perlu mendapatkan penerangan sama ada syarikat 1MDB ini bergantung sepenuhnya kepada jaminan kerajaan untuk beroperasi serta masih berupaya sebagai 'going concern' untuk terus beroperasi sebagai 'sovereign fund' atau tidak, selepas ia tidak dinyatakan dalam laporan juruaudit," katanya.


Tiada Rombakan Kabinet - Menteri

Posted: 10 Jun 2015 05:22 AM PDT





Muhyiddin didakwa akan digugurkan daripada jawatannya.



KUALA LUMPUR: Dua menteri menafikan dakwaan seorang blogger bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin akan digugurkan sebagai timbalan perdana menteri dalam rombakan Kabinet yang akan dilakukan pada masa terdekat.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nazri Aziz berkata beliau tidak mengetahui apa-apa rombakan Kabinet seperti didakwa.

"Saya tidak tahu apa-apa. Saya tidak pernah mendengar apa-apa mengenainya," katanya pada sidang media di Lobi Parlimen di sini, Rabu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim juga menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut.

"Bohong!," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Pada Selasa, seorang blogger politik, Shahbudin Husin menerusi laman blognya berkata rombakan Kabinet akan berlaku dan Muhyiddin tidak akan disenaraikan.

Beliau mendakwa rombakan yang akan berlaku itu dikuatkan lagi dengan fakta apabila Najib ditemani Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein semasa berkunjung ke Arab Saudi baru-baru ini.

Kunjungan itu tidak disertai Datuk Seri Shafie Apdal yang juga Naib Presiden Umno.

Muhyiddin dan Shafie dilihat agak lantang dalam mengkritik cara pengurusan 1Malaysia Development Berhad.

Shahbudin juga mendakwa Shafie akan memegang portfolio yang kurang penting berbanding jawatan sedia ada di Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah.

Beberapa menteri juga akan digugurkan dengan nama-nama seperti Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Abdul Samad dan Ahli Parlimen Ketereh yang juga Pengerusi Kelab Penyokon Barisan Nasional (BNBBC) Tan Sri Annuar Musa, diramal akan bersama Najib.

Apabila ditemui pemberita di Lobi Parlimen pada Rabu, Hishammuddin sekadar ketawa dengan dakwaan tersebut.

"Saya tidak fikir saya patut melayan teori konspirasi seperti ini. Saya sepatutnya meletak jawatan minggu lalu," katanya yang merujuk khabar angin yang mendakwa beliau akan meletak jawatan sebagai Menteri Pertahanan.

Puasa belum bermula sudah bergaduh sesama peniaga

Posted: 10 Jun 2015 05:10 AM PDT

THE RAKYAT POST

 

SONY DSC

 

 

SEREMBAN-1 Ramadan yang menandakan bermula ibadah puasa bagi umat Islam dijangka tiba tujuh hari lagi, namun gara-gara Bazar Ramadan, sekumpulan penjaja dan peniaga kecil di bandar ini sudah berkelahi sesama sendiri. 

 

Kejadian tercetus di perkarangan pejabat Majlis Perbandaran Seremban (MPS), hari ini.

Puncanya adalah perebutan lot tapak bazar untuk berniaga sepanjang Ramadan nanti.

Insiden bermula jam 2 petang apabila sekumpulan lelaki mencetuskan provokasi ketika Pengerusi Persatuan Penjaja Uptown Dataran Senawang (PUDS) Razali Zakaria sedang mengadakan sidang media bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan mengarahkan mereka mengosongkan tapak Bazar Ramadan tempat mereka berniaga sejak tiga tahun lalu.

"Di tengah sidang media sedang berlangsung, sekumpulan samseng menimbulkan provokasi dengan mengusir kami," Razali menjelaskan kepada The Rakyat Post.

Perselisihan faham itu kemudian merebak menjadi adegan bergasak yang didakwa dimulakan seorang pegawai MPS yang berada di situ.

Menurut Razali, pihak penjaja PUDS telah menyediakan stok bekalan untuk berniaga pada sepanjang Ramadan dan juga musim perayaan yang menyusul.

Sehubungan itu mereka berharap dapat terus berniaga di tapak yang diduduki, sebaliknya diarah mengosongkan tapak masing-masing oleh MPS.

"Wujud unsur hasad dengki dengan mencemarkan nama penjaja Uptown Dataran Senawang dan menggantikan mereka dengan sekumpulan kroni," dakwa Razali.

Katanya lagi, sejak dua tahun lalu, penjaja tidak pernah berdepan sebarang masalah apabila memohon MPS mengizinkan mereka terus berniaga di tapak yang diduduki sejak 2012.

"Masalah hanya mula timbul selepas perubahan dalam pengurusan bahagian perlesenan MPS awal tahun ini," dakwa beliau.

"Kami tidak kisah untuk berkongsi lokasi berkenaan dengan peniaga lain, cuma lebih suka berniaga di tapak yang biasa," jelas Razali.

Bagaimanapun cerita berbeza keluar daripada kumpulan yang satu lagi.

"Ada cabutan undi dibuat oleh MPS pada Isnin bagi menentukan lot untuk Bazaar Ramadhan dan Razali hadir tetapi tidak mencabut undi," kata Pengerusi Persatuan Penjaja Negeri Sembilan, Noor Hafiz Mohammad Razali.

Noor Hafiz mendakwa Razali bertindak keluar meninggalkan proses cabutan undi, mengakibatkan 51 penjaja di bawahnya terjejas manakala beliau pula dapat memastikan tapak perniagaan untuk 40 penjaja di bawahnya terjamin.

Siti MaryamSeorang daripada penjaja terlepas peluang mendapat lot untuk berniaga, Siti Maryam Madzim berkata dia merasa tertipu kerana Razali sudah berjanji ada tapak untuknya.

Siti Maryam Madzim (atas) berkata dia merasa tertipu kerana Razali sudah berjanji ada tapak untuknya.

"Saya hanya mengetahui melalui mesej dalam kumpulan Whatsapp akan ada sidang akhbar serta protes hari ini dan saya pun datang untuk mengetahui cerita sebenar," wanita berusia 27 tahun itu bercakap kepada pemberita dengan linangan air mata.

Razali kemudiannya membuat laporan mengenai pergaduhan itu di Balai Polis Rahang.

Bagaimanapun tiada sebarang kecederaan berlaku dalam insiden tersebut.



Debat terbuka dengan Tun M tiada kebaikan– Najib

Posted: 10 Jun 2015 05:03 AM PDT

Sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO, Najib bertanggungjawab menjaga nama baik kerajaan dan parti.


najib mahathir


PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tidak wajar baginya berdebat secara terbuka dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang datang dari parti yang sama, UMNO.

Menurusi blognya, najibrazak.com, beliau berkata, debat itu tidak membawa sebarang kebaikan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

"Saya sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO, bertanggungjawab untuk menjaga nama baik kerajaan dan parti.

"Tun Mahathir berhak bertanya dan saya sanggup memberi penjelasan kepada beliau. Ini saya lakukan agar perkara munasabah yang dibangkitkan Tun dapat dijelaskan," katanya.

Perdana Menteri berkata, beliau amat kesal kerana dialog itu dibatalkan atas alasan keselamatan dan niat saya berdialog dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terpaksa dibatalkan.

Najib berkata, beliau telah bersedia untuk menjelaskan dalam dialog itu bahawa dana RM42 bilion tidak lesap seperti didakwa Tun Mahathir dan menjelaskan pelan pemulihan 1MDB yang dibuat oleh Kementerian Kewangan.

"Walaubagaimanapun, saya akan terus menyampaikan maklumat dalam apa jua cara yang baik dan berhemah. Ini termasuklah menerima undangan NGO dan saya akan berjumpa dengan kumpulan NGO dalam masa akan datang," katanya.

Harapan Mahathir punah bersama Pak Lah, Najib

Posted: 10 Jun 2015 04:38 AM PDT

 
Kegagalan dua pengganti Dr Mahathir meneruskan beberapa projek mengingkari perjanjian mulut yang dibuat dengan beliau.


mahahtir,najib,paklah,jambatan



PETALING JAYA: Dua Perdana Menteri Malaysia bertanggungjawab mengguburkan harapan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melihat pembinaan Jambatan Bengkok direalisasi.

Menurut bekas Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Tan Sri Zainuddin Maidin jambatan yang merentangi Selat Tebrau itu membawa pelambangan yang penting terhadap maruah negara ini.

"Lukisan Jambatan Bengkok tergantung di suatu sudut di Galeria Perdana Langkawi di Pulau Langkawi menjadi nisan kenangan pahit dan pedih terkuburnya harapan tinggi Tun Dr. Mahathir untuk membangunkan maruah kemuliaan dan keberanian bangsa dan negara di pintu sebuah negara kecil yang sombong yang menganggap dirinya lebih kuat dan lebih besar," tulisnya di entri blog www.zamkata.blogspot.com

Menurut Zam, rakyat akan mengenangkan Tun Abdulllah Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak bertanggungunjawab menguburkan jambatan maruah bangsa ini.

Jelasnya, kegagalan dua pengganti Dr Mahathir meneruskan projek berkenaan antara contoh mereka mengingkari perjanjian mulut yang dibuat dengan beliau.

Tulisan di atas adalah sebahagian coretan yang dikongsi Zainuddin atau lebih Zam dalam buku terbarunya

"Mahathir Bukan Kawan Saya".

Katanya, dalam tulisan berkenaan ia akan menjawab tohmahan terhadap dirinya termasuk dianggap sebagai blogger yang menentang Najib dan penyokong tegar kepada Mahathir.

"Saya tidak pernah mendakwa Tun Dr.Mahathir sebagai kawan saya dan jika saya menafikannya orang tidak mahu percaya, malah dalam sengketa Mahathir- Najib sekarang, saya dilabelkan dalam blog roky's bru sebagai Leading Anti Najib Blogger yang akan terus menyerang hingga Najib tersungkur," luah Zam dalam buku berkenaan.

Katanya tuduhan yang dilemparkan ke atasa dirinya bukan perkara baru.

Bahkan, ia telah lama dialaminya.

"Anggapan ini sudah terlalu lama. Terpahat di hati saya hingga saat ini pertanyaan Allahyarham Presiden Pas, Ustaz Fadzil Noor yang juga merupakan rakan saya di Maktab Mahmud Alor Setar "Berapa banyakkah Mahathir dah bagi pada you," Zam.

Dalam buku berkenaan, bekas Menteri Penerangan itu turut berkongsi pasang surut hubungannya dengan Mahathir dan adakalanya beliau dilihat sebagai penentang.

Ia termasuk usahanya mencari orang tengah dalam memulih hubungannya dengan pemimpin lain.

"Saya juga mengkritik keenganan Dr. Mahathir untuk mengadakan pertemuan damai dengan Abdullah Ahmad Badawi menjelang Hari Raya Aidilfitri Oktober 2006.

Usaha saya untuk mendapatkan orang tengah bagi mendamaikan kembali Dr. Mahahtir dengan Abdullah gagal, apabila akhbar The Star mendedahkan orang tengah ini, walaupun Ketua Pengarangnya, Datuk Wong Chong Wai menjanjikan kepada saya yang memberitahunya sebagai kawan rapat untuk tidak mendedahkannya.

"Rupa-rupanya beliau mempunyai hubungan rapat dengan orang di NST yang tidak senang dengan usaha untuk damaikan Mahathir – Abdullah," luah Zam.

Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut cerita di sebalik tabir, "Mahathir Bukan Kawan Saya" mereka boleh mendapatnya di kedai-kedai buku termasuk di rangkaian MPH.

Pendaki bogel di Gunung Kinabalu berdepan hukuman penjara 3 bulan

Posted: 10 Jun 2015 04:29 AM PDT

OLEH DESMOND DAVIDSON DAN MOHD FARHAN DARWIS


Dua wanita dan satu lelaki warga Kanada, serta seorang warga British 'mengaku' kesalahan mereka dan pihak polis mengklasifikasikan kes itu sebagai tertutup. – Gambar AFP, 10 Jun, 2015. 
Dua wanita dan satu lelaki warga Kanada, serta seorang warga British 'mengaku' kesalahan mereka dan pihak polis mengklasifikasikan kes itu sebagai tertutup. – Gambar AFP



Empat pendaki warga asing bakal berdepan hukuman penjara maksimum 3 bulan jika didapati bersalah atas dakwaan berbogel di puncak Gunung Kinabalu, kata Ketua Polis Sabah, Komisioner Datuk Jalaluddin Abdul Rahman hari ini.

Dua wanita warga Kanada itu, dan masing-masing seorang lelaki warga Kanada dan British, boleh didakwa di bawah Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaan jika didapati bersalah kerana melakukan perbuatan lucah di tempat awam.

 Pada sidang medianya awal hari ini, beliau berkata, polis mengklasifikasikan kes itu ditutup kerana semua mereka "mengaku" atas kesalahan yang dilakukan pada 30 Mei lalu.

 Mereka dihadapkan di hadapan Majistret Ranau Dzul Elmy Yunus di Kota Kinabalu semalam, dan kini ditahan reman empat hari di lokap Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Karamunsing sehingga Sabtu.

 Dua wanita warga Kanada dan lelaki warga Belanda itu menyerah diri di balai polis Karamunsing sekitar jam 6 petang Selasa, sementara wanita warga British itu ditahan di Tawau apabila dia ingin berlepas ke Kuala Lumpur, pada hari sama.

 Beliau berkata, polis membuka kertas siasatan berdasarkan dakwaan berbogel di gunung tersebut pada 2 Jun, selepas satu laporan polis dibuat di balai polis Ranau.

"Susulan itu, satu kumpulan khas dibentuk untuk menjejaki dan menahan mereka, dan tangkapan dibuat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada Isnin sekitar jam 4.10 petang," katanya.

Lelaki itu dipercayai antara salah seorang daripada individu yang berbogel. Polis kemudiannya mendapati lelaki itu bukan dalam kumpulan berkenaan dan dia dibebaskan.

 Gambar bogel pendaki warga asing itu menjadi viral dan mencetuskan kemarahan etnik KadazanDusun di Sabah yang menganggap tindakan mereka menghina kesucian gunung yang dipercayai menjadi tempat berehat nenek moyang sebelum diangkat ke syurga.

 Mereka menyalahkan tindakan kumpulan berkenaan mengakibatkan gempa bumi dengan magnitud 5.9 skala Richter melanda Ranau pada Jumaat minggu lalu. Insiden berkenaan mengakibatkan 18 individu terbunuh, kebanyakannnya pelajar sekolah dari Singapura.

Bekas pengarah p'raya PAS Sarawak keluar parti

Posted: 10 Jun 2015 04:12 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Bekas pengarah pilihan raya PAS Sarawak Mohd Fidzuan Zaidi mengesahkan beliau keluar daripada parti itu sejak dua hari lalu.

Beliau tidak menolak bahawa sedikit kekecewaan terpalit di hati dengan keputusan muktamar PAS minggu lalu.

"Memang ada sedikit kekecewaan tapi kekecewaan biasa saja, macam pasukan sokong kita kalah.

"Macam pasukan Manchester United dengan Liverpool, ada rasa tak puas hati biasalah kerana (calon pilihan) tak menang, tapi nak kata punca utama (keluar PAS) itu bukan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Katanya lagi antara punca utama beliau keluar PAS adalah kerana mahu fokus kepada kariernya dan berehat sebentar daripada bidang politik.

Ditanya sebab utama keluar parti, anggota PAS 20 tahun itu berkata mahu fokus kepada karier dan berehat sebentar daripada politik.

Ditanya sama ada pergolakan dalaman menjadi punca beliau keluar parti, beliau menjawab tidak.

Mohd Fidzuan tidak menolak kemungkinan akan masuk semula PAS selepas ini.


Azmin: Jangan heret saya dalam kemelut PAS-DAP

Posted: 10 Jun 2015 04:11 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Timbalan Presiden PKR Azmin Ali meminta rakan sekutu, PAS dan DAP supaya tidak mengheret beliau dalam kemelut politik mereka.

Menteri Besar Selangor itu berkata PKR lebih memberi tumpuan untuk memainkan peranan mengukuhkan kedudukan Pakatan Rakyat (PR) dan memenuhi aspirasi rakyat, termasuk di negeri Selangor.

"Jangan heret saya dalam permainan kebudak-budakan ini. Kita kena pikul amanah rakyat... saya akan membuat pilihan apa yang dipilih oleh rakyat, itu tanggungjawab saya," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Azmin berkata demikian ketika diminta mengulas desakan Pengerusi DAP Selangor Tony Pua dan bekas Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar semalam yang mahu beliau memilih sama ada untuk bekerjasama dengan PAS atau DAP dalam mentadbir Selangor.

Ini susulan keputusan Dewan Ulama pada Rabu lepas yang sebulat suara meluluskan usul tergempar untuk memutuskan hubungan dengan DAP dalam Muktamar Tahunan PAS ke-61 tanpa bahas, namun akan meneruskan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dalam pakatan pembangkang.

Dalam pada itu, Pua berkata DAP Selangor akan berunding dengan Azmin bagi melihat perkara itu dalam masa terdekat.

"Mungkin ada perancangan yang kita boleh terima juga, (namun) buat masa ini (kami) belum bincang lagi. Selepas itu akan bincang dengan memanggil mesyuarat DAP dalam peringkat pusat dan negeri, mari kita berbincang dengan MB (Menteri Besar)," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Bekas Anggota Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamed Hanipa Maidin pula berpendapat sekiranya PAS ingin memutuskan hubungan dengan DAP, parti itu perlu bertindak untuk meninggalkan Pakatan Rakyat.

"Kepimpinan baharu PAS perlu bersifat konsisten. Jika cadangkan usul diterima tanpa bahas untuk putuskan hubungan (dengan DAP), mereka perlu consider sama ada masih mahu berada dalam pakatan ataupun keluar," katanya. - Bernama


 

'Akurlah seperti kami akur padamu dulu'

Posted: 10 Jun 2015 04:05 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Selepas bekas menteri besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said secara terbuka berdiri di samping Tun Dr Mahathir Mohamad, Umno negeri itu kini tampil menyerang perdana menteri 22 tahun itu.

Ketua penerangannya Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar menangkis satu persatu serangan Mahathir yang pada Jumaat lepas di Kuala Lumpur dalam acara yang sepatutnya dihadiri Najib.

Beliau juga menyentuh kritikan Mahathir tentang kepimpinan Najib yang digambarkan takut kepada Singapura dalam isu kereta api laju ke Singapura, yang menurutnya "agak umum dan boleh memesongkan".

"Bila pula kita kena tanya singapura untk buat servis kereta api di negara kita? Kalau melibatkan Woodland di Singapura memang perlu persetujuan Singapura," katanya.

"Agak dramatik untuk samakan negara kita dijajah semata-mata Najib berkompromi dengan negara jiran dengan dasar 'menang-menang'.

"Zaman Tun M dengan Lee Kuan Yu dan Bush untuk bertegang urat sudah berlalu... Era 'cowboy diplomacy' (diplomasi koboi) sudah berlalu," katanya.

Mahathir tak relevan

Najib tidak hadir dalam dialog terus terang bersama NGO dalam isu 1MDB di Kuala Lumpur Jumaat lalu.

Mahathir yang mahu mendapatkan penjelasannya kemudian mencuri pentas dan berucap ringkas sebelum diberhentikan dan diiring keluar oleh polis.

Sebelum itu Mahathir mengadakan sidang media ditemani Ahmad, yang antaranya menyentuh langkah dakwaan pendahulu 1MDB – Terengganu Investment Authority (TIA) – mahu mencagarkan telaga minyak untuk berhutang.

Sementara itu Wan Abdul Hakim berkata persetujuan Mahathir tidak relevan dalam membuat keputusan hal ehwal negara kerana beliau bukan lagi perdana menteri.

"Dalam parti Umno, semua ahli boleh bagi pendapat. Tetapi akhirnya presiden yang akan beri kata putus.

"Dan beliau perlu bertanggungjawab atas keputusan beliau" katanya.

Wan Abdul Hakim berkata sebagaimana ahli parti akur pada keputusan yang dibuat Mahathir sewaktu menjadi presiden, beliau juga patut akur pada presiden Umno sekarang. 


Ke mana hilang NGO tuntut royalti Kelantan?

Posted: 10 Jun 2015 04:01 AM PDT

Nazri Deraman Nazri Deraman
 
 
BADAN bukan kerajaan (NGO) Royalti adalah sebuah badan yang aktif menggerakkan perjuangan tuntutan Royalti di Kelantan.
 
Namun sejak kebelakangan ini usaha tersebut dilihat sebagai tidak konsisten apabila suara-suara agresif aktivisnya dikatakan semakin tenggelam. 
 
Ikuti wawancara ringkas wartawan Sinar Harian Kelantan, SITI FATIHAH AWANG bersama Presiden Royalti, NAZRI DERAMAN mengupas beberapa isu penting yang diperkatakan sejak kebelakangan ini.
 
Apakah fokus NGO Royalti sekarang selepas Datuk Husam Musa yang sebelum ini dianggap sebagai pengasas kepada perjuangan royalti minyak kini tidak lagi berada di dalam pentadbiran Exco Kerajaan Negeri.
 
NAZRI : R (Royalti) tidak bergantung kepada mana-mana pemimpin politik atau kerajaan secara keseluruhannya. Kami adalah NGO bebas daripada ahli politik. Namun tidak dinafikan peranan yang amat berkesan sekali oleh Datuk Husam yang menjadi kepala atau pencetus semangat rakyat dalam memperjuangkan isu tuntutan Royalti ini. 
 
Walaupun ketiadaan Datuk Husam dalam barisan Exco Kerajaan Negeri, NGO R masih menjalankan pelbagai aktiviti tanpa sedikit pun ada niat untuk memberhentikannya sehinggalah perjuangan ini mencapai kejayaan nanti. Sesuatu perjuangan itu tidak seharusnya disandarkan kepada seseorang pimpinan kerana pemimpin boleh datang dan pergi, tetapi perjuangan tetap diteruskan.
 
Ada pendapat mengatakan tuntutan royalti ini hanya sia-sia dan ia hanya gimik kerajaan negeri dalam sensasikan keburukan kerajaan pusat.
 
NAZRI : Perjuangan Royalti ini tidak sia-sia. Sebenarnya telah banyak kejayaan yang telah dicapai antaranya ialah kesedaran rakyat terhadap hak mereka dalam menuntut royalti hasil bumi ini.

Rakyat pada asalnya tidak sedar dan tidak tahu langsung tentang perairan Kelantan mempunyai petroleum sehinggalah kini mereka tahu apa itu Akta Kemajuan Petroleum 1974, Akta Wilayah Laut 2012 (Akta 750) dan lain-lain. 
 
Sebelum ini mereka (rakyat) tidak tahu secara keseluruhannya. Hasil perjuangan ini, kerajaan persekutuan telah pun bersetuju untuk mendaratkan sebahagian petroleum dan diproses di Tok Bali, Pasir Puteh. 
 
 
 
Ini adalah kejayaan hasil dari salah satu tuntutan kami. Bukan niat R dan kerajaan negeri untuk mensensasikan isu ini bagi memburukkan kerajaan persekutuan dan Petronas.

Niat kami hanyalah untuk mendapatkan hak sebagaimana perjanjian petroleum yang telah ditandatangani pada 19 Mei 1975 dan selaras dengan peruntukan Akta Kemajuan Petroleum 1974. 
 
Secara automatiknya apabila sesuatu ketidakadilan itu dilakukan, maka kerajaan persekutuan dan Petronas yang gagal melunaskannya seharusnya dilihat dinilai tidak betul. Bukan kami yang memburukkan mereka.
 
Adakah kerajaan negeri masih menjaga kebajikan NGO R memandangkan NGO R sering kali dilihat tidak mempunyai kerjasama yang utuh dengan kerajaan negeri.
 
NAZRI : Mungkin umum melihat bahawa kerajaan negeri kini tidak mempedulikan isu Royalti dan NGO R. Namun pada hakikatnya banyak isu besar akan menjadi tumpuan apabila musim Pilihan Raya Umum (PRU) atau bila berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK).

Seperti PRK Pengkalan Kubor, isu royalti adalah yang paling besar mempengaruhi kempen ketika itu. 
 
Sehinggakan memaksa pihak menteri mengeluarkan pelbagai kenyataan berhubung isu royalti. Berkenaan kerjasama kerajaan negeri terhadap R, sebenarnya tidak ada sebarang masalah.

Sebagai contoh, R dengan kerjasama kerajaan negeri telah menganjurkan dua seminar undang-undang berkenaan Akta 750 (Akta Wilayah Laut) dan hasilnya pihak kerajaan negeri telah pun bersetuju untuk membawa usul bagi menolak akta tersebut dari berkuat kuasa di negeri ini pada persidangan Dun yang akan datang, Insya-ALLAH. 
 
Kalau tidak ada kerjasama yang baik seperti ini, mana mungkin seminar besar seperti itu berjaya dilaksanakan di Sabah dan di Kelantan (Persidangan Meja Bulat) yang mana dihadiri oleh pakar undang-undang, bekas Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan, bekas ahli Majlis Keselamatan Negara (Bahagian Maritim), Menteri Besar, Exco Kerajaan Negeri, wakil NGO dan pimpinan masyarakat.
 
NGO Royalti dianggap bersikap haluan kiri di Kelantan dan lebih jauh ke hadapan dalam pelbagai program dan aktiviti untuk rakyat. Namun ia tidak melibatkan sayap parti seperti Pemuda mahupun Muslimat Pas.
 
NAZRI: Saya tidak bersetuju kerana kami menjalankan pelbagai aktiviti kemasyarakatan seperti misi bantuan banjir, program kebajikan, program anak muda. Cuma bezanya kami selalu menyelitkan pelbagai gimik sebagai kaedah untuk mendapat perhatian umum. 
 
Soal Pemuda Pas dan Muslimat Pas tidak terlibat dengan aktiviti R juga tidak timbul kerana kami bersikap terbuka untuk membuka semua aktiviti kami untuk disertai oleh sesiapa sahaja.

Sebagai contoh, kami baru sahaja anjurkan program bantah campur tangan 1MDB dalam Tabung Haji dengan kerjasama kepimpinan Dewan Pemuda Pas Negeri. 
 
Kami juga bersama dalam program anjuran Pemuda Pas iaitu demonstrasi membantah kekejaman Rejim Myanmar ke atas Umat Islam Rohingya di Arakan, Myanmar pada bulan lepas. Maka isu tidak bekerjasama itu tidak timbul kerana mungkin pihak yang mendakwa itu tidak nampak kerjasama itu terjalin.
 
Ramai berpendapat R kini tidak kuat dan tidak seagresif dulu.
 
NAZRI: Saya yakin R adalah antara NGO yang paling aktif di Kelantan. Hampir setiap minggu kami mempunyai program. Cuma kini kami terpaksa memberikan tumpuan kepada misi bantuan pasca banjir bermula dari hari pertama banjir gelombang pertama berlaku. 
 
Hingga ke hari ini kami tidak pernah cuti walaupun sehari untuk menjalankan pelbagai program bantuan. Kini kami siapkan rumah-rumah yang dibina semula dan membaiki rumah-rumah yang rosak.

SPRM tahan 2 lelaki perdaya jual tanah

Posted: 10 Jun 2015 03:54 AM PDT


 
 
SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan dua individu yang dipercayai anggota sindiket memperdaya orang ramai kononnya boleh membeli tanah di kawasan Gombak, Selangor.

Kedua-dua individu berkenaan yang berusia dalam lingkungan 50-an dan 60-an ditahan reman selama seminggu mulai semalam.

Mereka ditahan oleh SPRM kelmarin.

Salah seorang merupakan bekas kakitangan kerajaan yang dipercayai bertindak sebagai 'orang tengah'.

Sumber memberitahu bahawa kedua-dua suspek telah menerima wang sebanyak RM600,000 daripada tiga orang awam dengan menunjukkan pelan kedudukan lot tanah.

"Kami telah memperoleh perintah tahanan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan," kata sumber kepada Sinar Harian Online.

Katanya, siasatan meliputi pelbagai sudut dijalankan di bawah Akta SPRM 2009.

"Siasatan juga memfokus sama ada terdapat kaitan dengan mana-mana individu di Pejabat Tanah," kata sumber itu lagi.


DAP yang celupar dulu, kata Pas Selangor

Posted: 10 Jun 2015 03:53 AM PDT

DAP
 
 

SHAH ALAM –  DAP lah yang memulakan kekeruhan ini apabila menunjukkan segala penentangan terhadap prinsip dasar Pas dalam isu Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan secara terbuka, selain melakukan serangan bertubi-tubi terhadap Presiden Pas, kata Setiausaha Dewan Ulama Pas Selangor, Muhammad Najhan Halim.

Malah dakwanya, DAP juga tidak beradab kerana mencampuri pemilihan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, baru-baru ini.

"Usul ini tiada berkepentingan yang lain melainkan melihat masa depan survival perjuangan Islam dan Pas sebagai satu amanah agama ke atas orang Islam yang mungkin tidak difahami oleh sebahagian masyarakat bahkan mungkin sebahagian kecil ahli Pas sendiri terkeliru.

"Usul ini juga sudah tentu menimbulkan reaksi daripada pihak DAP yang sepatutnya mampu menjangkakan bahawa dengan beberapa bilangan tindakan mereka sebelum ini adalah provokasi negatif terhadap Pas sehingga timbulnya usul ini," katanya menerusi sebuah kenyataan hari ini.

Sehububgan itu katanya, DAP wajar menoleh ke belakang untuk melihat keceluparan tindakan dan sikap mereka yang telah mencalarkan persepakatan bersama dalam PR.

Malah, Muhammad Najhan dalam kenyataan sama menyifatkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebagai pemimpin yang tidak profesional berikutan tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang itu yang meminta kesemua ahli Pas yang memegang jawatan di Pulau Pinang meletakkan jawatan masing-masing

"Guang Eng menunjukkan amarahnya apabila meminta kesemua ahli Pas yang memegang jawatan di Pulau Pinang meletak jawatan masing-masing dengan serta merta atas alasan kerajaan Pulau Pinang dipimpin oleh DAP.

"Lupakah Lim Guang Eng kerajaan DAP adalah dimenangi secara bersama dalam PR dan kerajaan itu adalah kerajaan bersama? Adakah DAP sudah lupa identiti dirinya sendiri yang pernah mendakwa diri mereka sebagai perjuang demokrasi dalam negara ini?," soalnya.


Dua MP DAP dihalau keluar Dewan Rakyat

Posted: 10 Jun 2015 03:49 AM PDT


 
 
KUALA LUMPUR - Gara-gara isu Netbook 1Malaysia, dua ahli parlimen DAP dihalau keluar oleh Speaker ‎Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin dalam persidangan hari ini.

Teo Kok Seong (DAP-Rasah) ‎pada mulanya berdiri dan cuba mencelah ucapan penggulungan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menjawab isu ditimbulkan dalam perbahasan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11).

Tindakannya itu dihala‎ng oleh Pandikar yang menyuruh Kok Seong duduk.

Bagaimanapun, Kok Seong tidak mempedulikan arahan Pandikar ‎tersebut walaupun disuruh berkali-kali sebelum beliau akhirnya ‎diarahkan Speaker ‎Dewan Rakyat untuk meninggalkan dewan.

Lip Lim Eng (DAP-Segambut) kemudiannya bangun untuk mempertahankan Kok Seong tetapi beliau juga diarahkan keluar dewan oleh Pandikar.

Ditemui media di lobi Parlimen selepas itu, Kok Seong berkata, peristiwa dihalau dewan merupakan hari bersejarah buat beliau.

Beliau turut mempertahankan dirinya dengan mendakwa tidak melakukan sebarang kesalahan sehingga perlu dihalau.

"Saya cuba minta penjelasan Tan Sri Muhyiddin mengenai Netbook 1Malaysia yang dijanjikan kepada guru-guru sebanyak 400 ribu unit. Ini bukan satu perkara yang kecil tetapi saya tidak faham kenapa Tan Sri Speaker sengaja tidak membenarkan Tan Sri Muhyiddin daripada menjawab isu tersebut.

"Apabila saya dihalau, saya rasa tidak adil. Saya langsung tidak membuat kecoh, saya hanya berdiri secara sopan untuk mohon penjelasan mengenai isu itu," katanya.

Menurut beliau, penjelasan Muhyiddin bahawa netbook tersebut tidak dihadiahkan kepada guru sebaliknya dibekalkan kepada sekolah adalah tidak boleh diterima.

"Netbook 1Malaysia dijanjikan ketika Hari Guru 2014 untuk diberikan kepada guru sebagai tanda penghargaan," katanya.

Sementara itu, Lim Eng pula mengandaikan Pandikar sedang berada dalam 'mood' yang tidak baik.

"Saya pula dihalau, saya tak tahu. Saya cuma pertahankan kawan. Mungkin Speaker 'bad mood'," katanya.


Ahli Majlis di Pulau Pinang tunggu arahan pimpinan PAS Pusat

Posted: 10 Jun 2015 03:36 AM PDT

ANTARAPOS.CIM


Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Walaupun dua pimpinan PAS, Mohamad Sabu dan Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa mengambil tindakan nekad melepaskan jawatan dalam pentadbiran negeri kerajaan Pulau Pinang, empat pemimpin parti Islam itu yang menjadi Ahli Majlis tidak akan mengambil tindakan serupa selagi tidak menerima arahan pimpinan pusat.
 
Keempat-empat mereka merupakan Ahli Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).
 
Ahli Majlis MBPP yang juga Koordinator Markas Induk PAS Kawasan Bukit Gelugor, Mhd Nasir Yahya berkata, sehingga semalam beliau masih tidak menerima sebarang arahan daripada parti untuk meletakkan jawatan atau sebaliknya.
 
"Saya perlu tunggu arahan kerana pelantikan dibuat oleh parti. Buat masa ini, saya tidak boleh memberi sebarang komen. Bagaimanapun saya bersedia meletak jawatan jika PAS Pusat mahu saya berbuat demikian," katanya yang dipetik Sinar Harian.
 
Ahli Majlis MPSP, Omar Hassan yang juga Yang Dipertua PAS kawasan Permatang Pauh bersedia untuk melepaskan jawatannya jika mendapat arahan parti untuk berbuat demikian.
 
"Saya akan akur apa sahaja arahan dari parti. Saya tidak akan teragak-agak untuk meletak jawatan jika itu keputusannya," katanya sambil memaklumkan masih belum mendapat surat rasmi atau arahan lisan untuk berbuat demikian.
 
Terdahulu, bekas Timbalan Presiden PAS, Mohamad atau Mat Sabu melepaskan jawatannya pengarah dalam Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dan Penang International Halal Hub, sebagai 'menepati' keputusan muktamar yang meluluskan usul Dewan Ulama memutuskan hubungan dengan DAP.
 
Tindakan beliau disusuli oleh Mujahid yang meletakkan jawatan sebagai anggota lembaga Yayasan Islam Pulau Pinang  dan ahli lembaga pengarah Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang.


Siapakah sebenarnya Dr Mahathir kepada saya

Posted: 09 Jun 2015 11:22 PM PDT



Oleh Zainudin Maidin


Dua perdana menteri kuburkan jambatan maruah bangsa

 Saya  tidak pernah mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai kawan saya dan jika saya menafikannya orang tidak mahu percaya, malah dalam sengketa Dr Mahathir-Najib sekarang, saya dilabelkan dalam blog  Roky's Bru sebagai "leading anti Najib  blogger" yang akan terus menyerang hingga Datuk Seri Najib Razak tersungkur.

Anggapan ini sudah terlalu lama. Terpahat di hati saya hingga saat ini pertanyaan Allahyarham Presiden PAS Fadzil Noor yang juga merupakan rakan saya di Maktab Mahmud Alor Setar,

"Berapa banyakkah Mahathir dah bagi pada you?"

Dalam buku terbaru "Mahathir Bukan Kawan Saya" yang sudah berada di pasaran, saya cuba memberikan gambaran ringkas untuk diadili sama ada anggapan ini benar atau tidak.
Antara lain saya mencatatkan:

"Saya tidak pasti mengapakah saya terus dianggap sebagai orang Tun Dr Mahathir walaupun hubungan ini melalui proses turun naiknya.

"Saya dipandang serong oleh ramai orang kerana mengkritik Dr Mahathir kembali campur tangan dalam pemerintahan negara ketika Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri. Beliau pun berjanji tidak lagi akan kembali ke dalam politik dan pentadbiran negara."

Selepas Pilihan Raya Umum 2008, saya menyatakan Dr Mahathir sewajarnya turut menerima tanggungjawab di atas berlakunya tsunami, kerana berbagai kecaman dan kritikannya mengalih sokongan rakyat daripada Barisan Nasional (BN).

Dalam Star keluaran 2 Mac 2008 tersiar kenyataan saya "Mungkin beliau tidak sedar, kredibilitinya sebagai bekas pemimpin masih kuat dan pengaruhnya di kalangan akar umbi Melayu dan bukan Melayu sangat besar."

Saya juga mengkritik keengganan Dr Mahathir untuk mengadakan pertemuan damai dengan Abdullah menjelang Hari Raya Aidilfitri pada Oktober 2006. Usaha saya untuk mendapatkan orang tengah bagi mendamaikan kembali Dr Mahahtir dengan Abdullah gagal, apabila akhbar The Star  mendedahkan orang tengah ini, walaupun Ketua Pengarang Datuk Wong Chong Wai menjanjikan kepada saya yang memberitahunya sebagai kawan rapat untuk tidak mendedahkannya.

Rupa-rupanya beliau mempunyai hubungan rapat dengan orang di NST yang tidak senang dengan usaha untuk mendamaikan Dr Mahathir-Abdullah.

NST yang dikuasai Kalimullah bersepakatan dengan Khairy Jamaluddin dan geng tingkat 4 menentang usaha ini kerana bimbang kedudukan mereka akan tersungkur bersama dengan kejatuhan Abdullah.

Saya tidak sahaja menegur Dr Mahathir di belakang tentang ketidakwajaran baginya untuk kembali mencampuri urusan negara, tetapi juga di hadapannya sendiri dalam pertemuan empat mata di rumahnya untuk mendapatkan persetujuan tentang orang tengah pada 30 Jun 2006.

Dalam pertemuan ini Dr Mahathir memberitahu saya, Abdullah memungkiri janji beberapa perjanjian mulut untuk meneruskan beberapa projek mega termasuk "Jambatan Bengkok".

Bagaimanapun, saya mulai melihat kembali kebenarannya yang semakin terserlah apabila projek tertentu dibatalkan, dijalankan semula memakan kos lebih besar dan ada projek yang kos asal hanya berjuta ringgit meningkat berbilion ringgit untuk dilaksanakan dan terpaksa ditangguhkan.

Sebuah jambatan monorail di Putrajaya terbengkalai hingga sekarang menjadi pandangan menjolok mata.

Sebuah lukisan "Jambatan Bengkok" tergantung di suatu sudut di Geleria Perdana Langkawi di Pulau Langkawi untuk menjadi nisan kenangan pahit dan pedih terkuburnya harapan tinggi Dr Mahathir untuk membangunkan maruah kemuliaan dan keberanian bangsa dan negara di pintu sebuah negara kecil sombong yang menanggap dirinya lebih kuat dan lebih besar.

Rakyat akan mengenangkan dua perdana menteri; Tun Abdulllah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak bertanggung jawab menguburkan jambatan maruah bangsa ini.

Untuk cerita sepenuhnya dapatkanlah buku saya yang kini pun berada di pasaran. – zamkata.blogspot.com

* Penulis merupakan bekas menteri penerangan.


Kerajaan Ambil Alih SRC, Tiada Bayaran Tunai Kepada 1MDB

Posted: 09 Jun 2015 11:08 PM PDT

MSTAR ONLINE


 
 
 
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak membuat sebarang pembayaran dalam bentuk wang tunai kepada 1Malaysia Development Berhad bagi pengambilalihan anak syarikatnya, SRC International Sdn Bhd pada 14 Februari 2012.

Menerusi jawapan bertulis kepada Datuk Abd Aziz Sheikh Fadzir (BN-Kulim Bandar Baru), Kementerian Kewangan berkata bayaran itu dibuat melalui 'dividen in specie' oleh 1MDB.

"Mekanisme pindah milik dilaksanakan melalui 'dividen in specie' oleh 1MDB yang membayar dividen kepada Kementerian Kewangan dalam bentuk pegangan 100 peratus saham ekuiti SRC berjumlah RM1 juta.

"Oleh yang demikian, kementerian tidak membuat pembayaran tunai untuk pengambilalihan tersebut," kata kementerian itu menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Rabu.

Selain itu Kementerian Kewangan berkata, bekas anak syarikat 1MDB itu tidak menanggung sebarang hutang tambahan mengikut penyata kewangan yang diaudit bagi tahun berakhir 31 Mac 2014.

"SRC akan mengemukakan liabiliti atau hutang terkini setelah penyata kewangan bagi tahun berakhir 31 Mac 2015 diaudit," kata kementerian itu.

'Lebih senang, cepat LGE sendiri pecat ahli PAS'

Posted: 09 Jun 2015 10:59 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Dewan Ulama PAS Selangor mencabar Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng memecat ahli PAS yang memegang jawatan dalam kerajaan di negeri itu.

"Sekiranya DAP benar-benar ingin melihat PAS tiada dalam kerajaan Pulau Pinang, lebih senang, cepat dan lebih profesional Lim Guan Eng sendiri sebagai ketua menteri memecat semua ahli PAS dalam jawatan lantikan kerajaan," kata setiausaha Dewan Ulama Selangor, Muhammad Najhan Halim.

Mengenai tuntutan Lim supaya ahli PAS meletak jawatan mereka, Muhammad Najhan berkata apakah ketua menteri itu lupa bahawa kerajaan Pulau Pinang dimenangi secara bersama dalam Pakatan Rakyat dan kerajaan itu adalah kerajaan bersama.

"Jangan bertindak seperti Umno-BN yang tidak mampu membezakan antara kerajaan dan parti politik," katanya dalam satu kenyataan malam tadi..

"Adakah DAP sudah lupa indentiti dirinya sendiri yang pernah mendakwa diri mereka sebagai perjuang demokrasi dalam negara ini?" kata Muhammad Najhan.

Pada hujung minggu lalu, badan tertinggi dalam membuat keputusan dalam parti Islam - muktamar atau perhimpunan agung - meluluskan resolusi menggesa majlis syura parti dan jawatankuasa pusat untuk memutuskan hubungan dengan DAP.

Memandangkan ini, Lim berkata dari segi politik PAS tidak kekal dalam kerajaan Pulau Pinang yang dipimpinnya, kerana beliau juga  merupakan setiausaha agung DAP.

Ahli PAS menyandang lebih 1,000 jawatan dalam majlis dan agensi kerajaan Pulau Pinang.

Ini termasuk jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), di majlis perbandaran dan bandaraya dan dalalm jawatankuasa keselamatan (JKKK).

Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Datuk Mohd Salleh Man (gambar) kini merupakan pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAIPP), pengerusi Zakat Pulau Pinang dan ahli lembaga pengarah Yayasan Islam Pulau Pinang dan Hab Halal Pulau Pinang.

Setakat ini, dua bekas pemimpin PAS, Mohamad Sabu dan Datuk Mujahid Yusof Rawa, telah mengumumkan hasrat mereka untuk melepaskan jawatan dalam kerajaan negeri itu sebagai menghormati keputusan muktamar itu.

Muhammad Najhan juga menggesa ahli PAS menunggu majlis syura dan jawatankuasa pusat baru untuk memperinci dan memperhalusi keputusan yang dibuat di muktamar itu.

Katanya, PAS masih bersama Pakatan Rakyat, dan segala urusan kerajaan di Selangor hendaklah diteruskan seperti biasa demi kepentingan dan kepercayaan rakyat yang memberi mandat kepada Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

Parti PAS seharusnya diberi hak laluannya sendiri dan dan bebas untuk menentukan halatujunya tanpa terikat dengan mana-mana pihak, katanya sambil menambah: "Jangan ada pihak yang cuba untuk mencucuk hidung PAS agar mengikut segala karenah dan kehendak pihak lain khususnya DAP."


'Kalau Nik Aziz masih ada...'

Posted: 09 Jun 2015 10:57 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Sekiranya bekas mursyidul PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat masih ada, parti Islam itu mungkin tidak akan memutuskan hubungan dengan DAP, kata bekas naib presiden, Ahmad Awang.

"(Tidak berani putus) kerana masa itu (Nik Aziz masih ada) mereka (pimpinan PAS) tidak berani dengan Nik Aziz.

"Jadi bila Nik Aziz dah tiada (hubungan diputuskan)," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Ketika ditanya mengapa keputusan ini diambil secara terburu-buru, beliau mendakwa ia kerana golongan tersebut sudah lama menginginkan ia berlaku.

Ahmad berkata, persidangan Multaqa Dewan Ulama dua tahun lalu, turut menunjukkan tanda-tanda awal PAS akan keluar dari Pakatan Rakyat apabila golongan ulama itu mengadakan perbincangan 'perlu dikaji hubungan PAS dalam Pakatan'.

Bagaimanapun, dakwanya, selepas dikritik hebat, golongan ulama itu menukar kenyataan - dari 'perlu dikaji kepada mahu dikaji - bagi tujuan memperbaiki hubungan dalam Pakatan.

Ahmad merupakan pencabar jawatan presiden PAS dalam pemilihan minggu lalu.

"Ada komen yang kita lihat, orang bukan Islam pun hairan adakah Islam suruh buat macam ni, berbalah, bergaduh, labelkan orang itu dan ini.

"(Orang bukan Islam kata) kami ini nak bernaung bawah Islam, adakah jadi macam ini?," katanya

Ahmad menambah tindakan itu terlalu menyedihkan dan menyifatkan ia tidak elok dari segi konteks dakwah Islam. 


Penulis: Kepercayaan semangat Kinabalu 'bodoh'

Posted: 09 Jun 2015 10:45 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Satu tulisan di laman aktivis guaman Pusat Rakyat Loyar Burok mengutuk tindakan tindakan undang-undang ke atas individu yang berbogel di puncak Gunung Kinabalu.

Penulis itu juga menyifatkan kepercayaan warga setempat di kawasan Gunung Kinabalu itu "bodoh" kerana menyalahkan tindakan pelancong berbogel sebagai punca kejadian gempa bumi 5 Jun lalu.

Beliau secara langsung menamakan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan yang mengaitkan perkara itu.

"Ianya memalukan kerana orang fikir semangat gunung yang membunuh orang tidak berdosa layak mendapat penghormatan.

"Satu kepercayaan bodoh tanpa sokongan bukti empiris tidak layak dihormati, tidak kiralah betapa kukuh pegangannya, tidak kira oleh ateis, Kristian, Muslim atau Dusun.

"Ini adalah asas kepada kemunasabahan," kata penulis tersebut, yang dinamakan sebagai Shaun Tan.

Menurutnya lagi, tindakan undang-undang ke atas aktivis bogel berkenaan turut memberi dorongan kepada kepercayaan yang disifatkannya karut itu.

"Tiada siapa patut diapa-apakan kerana melakukan perkara yang tidak menggangu orang lain – dan gangguan akibat perasaan yang terlalu sensitif tidak perlu diambil kira," tulisnya lagi di laman tersebut.

Beliau seterusnya menggesa warga Malaysia supaya bersikap lebih matang dan menghentikan tindakan ke atas pelancong berkenaan.

Tulisan itu muncul susulan tindakan polis menahan pendaki warga asing yang dipecayai berbogel di puncak Kinabalu.

Upacara berbogel itu membangkitkan kemarahan warga tempatan Kundasang kerana perlakuan pelancong tersebut yang tidak menghormati adat resam tempatan.

Polis menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda sehingga RM400 jika sabit kesalahan.

Empat warga asing termasuk dua wanita ditahan reman hari ini selepas tiga daripada mereka menyerah diri berhubung kes tersebut.

Penemuan dua lagi mayat hari ini menjadikan jumlah gempa bumi tersebut sebanyak 18 orang.


Dua mangsa gempa bumi warga Singapura ditemui

Posted: 09 Jun 2015 10:34 PM PDT

SINAR HARIAN



gempa bumi Dua mayat mangsa gempa bumi berjaya dikeluarkan oleh pasukan penyelamat di Laban Rata Gunung Kinabalu. - Foto Bernama
 
 
KOTA KINABALU - [DIKEMASKINI] Polis Sabah mengesahkan dua mangsa warga Singapura yang dilaporkan hilang dalam gempa bumi di Ranau pada Jumaat lalu telah ditemui berdasarkan pengecaman cebisan mayat yang dilakukan oleh pasukan Pengecaman Mangsa Bencana (DVI).

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, daripada cebisan yang ditemui di Gunung Kinabalu itu, ia ditandakan satu persatu dengan kerjasama daripada DVI Malaysia dan Singapura.

Beliau berkata, daripada DVI itu polis mengesahkan ia adalah milik kepada mangsa yang hilang iaitu Navdeep Singh Jayrol s/o Raj Kumar, 13, dan Mohamad Ghazi Mohammed, 35.

"Cuma cebisan mayat itu tidak boleh diserahkan lagi sehingga kami buat DNA. Keluarga mangsa telah pun menghantar sample darah, lemak daripada kakak, adik ke Hospital Queen. Kami telah menghantar kepada Jabatan Kimia untuk mendapat pengesahan sepenuhnya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di sini, hari ini.

Oleh itu, katanya operasi mencari dan menyelamat dalam Op Gempa yang bermula pada 5 Jun lalu ditamatkan hari ini berikutan penemuan itu namun pusat operasi akan dibuka semula sekiranya berlaku gegaran.

Jalaluddin berkata, jumlah mangsa gempa bumi sehingga hari ini adalah 18 orang dan daripada jumlah itu - Singapura (10), Malaysia (enam), Jepun (satu) dan China (satu).

Beliau berkata, 14 daripada mayat itu sudah dikenal pasti dan diserahkan kepada anggota keluarga masing-masing manakala dua mayat warga Jepun dan China belum dibedah siasat.

"Kedua-dua mayat itu akan dibedah siasat apabila keluarga mangsa sampai, yang dijangka tiba hari ini," katanya.

Dalam kejadian pada 7.15 pagi Jumaat lepas, gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter itu merupakan gempa terkuat yang pernah dialami Malaysia setakat ini.

Di SINGAPURA, Kementerian Pendidikan (MOE) republik itu mengumumkan kerajaan Malaysia telah mengesahkan dua warganya yang hilang, Navdeep Singh Jaryal dan Mohammad Ghazi antara mangsa yang terkorban di Gunung Kinabalu dalam gempa bumi yang menggegarkan Sabah Jumaat lepas.

MOE dalam kenyataan berkata, waris kedua-dua mangsa telah dimaklumkan.

Mayat mangsa akan dihantar ke Singapura sebaik ujian lanjut forensik dijalankan. Ia dijangka mengambil sedikit masa.

"Kami akan terus memberi sokongan kepada keluarga mangsa dalam masa yang sukar ini," kata MOE.

MOE juga merakamkan penghargaan yang mendalam kepada Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera dan pihak berkuasa lain yang menghulurkan sokongan dan bantuan serta individu yang turut tampil menyertai usaha mencari, menyelamat dan pemulihan pelajar dan guru warga Singapura. - Bernama


4 warga asing berbogel di Gunung Kinabalu ditahan

Posted: 09 Jun 2015 10:30 PM PDT

SINAR HARIAN


Cari nahas bogel di puncak Kinabalu Foto lima lelaki berbogel di puncak Gunung Kinabalu yang tersebar di laman sosial
 
 
KOTA KINABALU - Empat warga asing termasuk dua wanita ditahan reman hari ini selepas tiga daripada mereka menyerah diri ekoran laporan menyatakan mereka berbogel di kawasan South Peak Gunung Kinabalu, pada 30 Mei lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, seorang daripada wanita itu adalah warga British, ditahan di Lapangan Terbang Tawau lewat tengah hari semalam ketika hendak berlepas ke Kuala Lumpur.

"Wanita itu mengaku melakukan perbuatan itu dan polis membawanya ke Kota Kinabalu (untuk ditahan reman)," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di sini.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Cari nahas bogel di puncak Kinabalu ]

Jalaluddin berkata, tiga individu yang menyerah diri di Balai Polis daerah Karamunsing kira-kira pukul 6 petang semalam ialah dua beradik lelaki warga Kanada dan seorang wanita warga Belanda.

Tahanan reman mereka dipohon daripada Mahkamah Majistret Kota Kinabalu pagi ini, katanya.   

Dalam pada itu, Jalaluddin menasihatkan malim gunung supaya melaporkan segera sekiranya ada perbuatan yang tidak senonoh dilakukan dalam kalangan pendaki supaya tindakan dapat diambil.

Pada 30 Mei lalu, sekumpulan pelancong asing bertindak menanggalkan pakaian  masing-masing apabila berjaya tiba di puncak gunung tertinggi di Asia Tenggara itu.

Insiden itu membangkitkan kemarahan dalam kalangan masyarakat di Sabah, khususnya penduduk tempatan Kundasang kerana pelancong itu tidak menghormati adat resam tempatan apatah lagi berlaku pula gempa bumi Jumaat lepas yang turut menggegarkan Gunung Kinabalu dan mengorbankan sejumlah pelancong dan malim gunung. - Bernama


Mesyuarat PAS malam ini akan berlalu saja?

Posted: 09 Jun 2015 10:21 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Pemimpin-pemimpin kanan PAS menyerahkan kepada Majlis Syura untuk menyelesaikan kemelut yang melanda parti itu berhubung kerjasama dengan DAP.

Malah, pada mesyuarat pertama jawatankuasa pusat parti Islam itu malam ini, perkara isu hala tuju PAS bersama DAP mungkin tidak akan dibincangkan.

Menurut Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, mesyuarat pada malam ini hanya memfokuskan agenda pelantikan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pusat yang baru serta pembentukan biro-biro parti.

"Mesyuarat pertama adalah untuk pelantikan AJK Pusat serta pembentukan lajnah (biro) sahaja," katanya kepada Malaysiakini.

Bagi naib presiden baru Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pula, urusan itu perlu diputuskan oleh Majlis Syura terlebih dahulu sebelum dibincangkan jawatankuasa pusat.

Bagaimanapun, Timbalan menteri besar Kelantan itu juga berkata, terpulanglah kepada Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang jika mahu membincangkan perkara itu malam ini.

"Tak tahu (sama ada akan dibincang). Itu atas (keputusan) presiden.

"Saya tak tahu (mesyuarat Majlis Syura), saya bukan dalam Majlis Syura. Sebab cadangan itu dibuat Dewan Ulama dan Majlis Syura yang akan bermesyuarat.

"Selepas itu mereka (Majlis Syura) akan maklumkan kepada Jawatankuasa Pusat PAS," katanya. 


Video pokemon 'Najib, Tun M' menjadi viral

Posted: 09 Jun 2015 05:20 PM PDT

Video pokemon 'Najib, Tun M' menjadi viral Sedutan video Pokemon yang dimuatnaik ke laman Youtube dan Facebook.
 
 
SEBUAH video permainan popular Pokemon yang diubahsuai dengan menampilkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tun Dr Mahathir Mohammad dimuatnaik dan menjadi viral, hari ini.

Tinjauan Sinar Online mendapati hampir 30,000 pelayar menonton video tersebut dan dikongsi oleh 4 ribu pelayar yang lain.

Video tersebut yang menjadikan kemelut antara Najib dan Dr Mahathir sebagai bahan jenaka bagaimanapun telah mendapat reaksi berbeza, termasuk dikritik sesetengah pelayar.

Video tersebut dimuatnaik ke laman sosial Facebook dan juga laman video Youtube.


Pas sasar jadi 'king maker' politik

Posted: 09 Jun 2015 05:18 PM PDT


 
 
KUALA LUMPUR - AJK Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki menyeru semua ahli Pas agar bersiap sedia untuk bersama saf kepimpinan yang baharu dalam rangka menjadikan parti itu sebagai pencatur utama kepada politik Malaysia.

Menurutnya, Pas akan menjadi gerakan Islam yang lebih terbuka dan bekerjasama dengan sesiapa sahaja demi mencapai matlamat perjuangan Islam.

"Menyedari hakikat tersebut, seluruh ahli Pas diseru untuk merapatkan ukhuwah dan memperkukuhkan iltizam untuk bersama saf kepimpinan baru yang akan memberi fokus kepada gerak kerja sehingga ke akar umbi masyarakat, bukan sekadar menumpukan kepada isu.

"Pas akan menjadi sebuah gerakan Islam yang lebih terbuka untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja demi mencapai matlamat perjuangan Islam dan maslahah rakyat. Pendek kata, para pendukung Pas perlu bersiap sedia untuk bersama saf kepimpinan baru bagi menjadikan Pas sebagai pencatur utama (king maker) kepada politik Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

 Mengulas lanjut, beliau menyebut bahawa Pas kini berada di landasan yang betul dalam usaha untuk membangunkan semula peradaban Islam di Malaysia.

"Saf kepimpinan Pas yang baru merupakan mereka yang begitu iltizam untuk membawa negara dan masyarakat Malaysia bernaung di bawah keadilan sistem kehidupan Islam. Demi mencapai tujuan ini, Pas akan mengimbangkan tiga aspek utama iaitu tarbiyah, dakwah dan siasah.

‎"Dalam konteks ini, Presiden Pas menjadi orang terpenting mengemudi Pas kembali ke landasan sebenar, yang kemudian disambut secara besar-besaran oleh perwakilan muktamar," katanya.

Menurutnya, terdapat empat petunjuk penting yang memperlihatkan Pas berada di landasan yang betul termasuk kesediaan parti Islam itu menghadapi senario politik Malaysia yang sedang menuju kepada sistem pelbagai parti.

"Pas kini semakin mendapat kembali kepercayaan pengundi-pengundi Melayu khususnya di kalangan generasi muda, sebagaimana yang dipaparkan dalam Pilihanraya Kecil Rompin baru-baru ini.

"Pas semakin membina kekuatan sendiri untuk menembusi dua lagi segmen pengundi, iaitu segmen pengundi bukan Melayu dan segmen pengundi bumiputera bukan Islam Sabah dan Sarawak.

"Pas semakin menguasai teknologi terkini terutama teknologi media dan teknologi maklumat yang merupakan faktor dominasi politik masa kini. Saf kepimpinan baru Pas didukung oleh golongan profesional yang mempunyai kepelbagaian latar belakang dalam bidang sains dan teknologi, bukan hanya mereka yang berlatar belakangkan profesion perundangan," katanya.


Tiga alat pengesan gempa ditambah di Sabah

Posted: 09 Jun 2015 05:15 PM PDT

SINAR HARIAN


gempa bumi Antara kemusnahan akibat gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter awal pagi Jumaat. - Foto Bernama
 
 
KUALA LUMPUR - Tiga lagi alat pengesan gegaran gempa bumi jenis pergerakan kecil telah ditambah di Sabah yang dijangka akan mula beroperasi menjelang September.
  
Pengarah Pusat Gempa dan Tsunami Jabatan Meteorologi Malaysia (MET), Dr Wan Azli Wan Hassan berkata tiga kawasan yang terlibat dalam pemasangan alat pengesan gegaran gempa bumi itu adalah Ranau, Semporna dan Lembah Danum.

"Sebelum ini, hanya enam buah alat pengesan gegaran gempa bumi yang beroperasi di Sabah iaitu di Kota Kinabalu, Sandakan, Kudat, Beluran, Tawau dan Lahad Datu," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
  
Katanya setakat ini sebanyak 17 alat pengesan gempa bumi sedang beroperasi di seluruh negara dan tambahan 20 alat itu sedang dalam proses pemasangan.
  
Katanya daripada jumlah 20 alat pengesan gegaran gempa bumi yang sedang dipasang, lapan daripadanya merupakan jenis 'pergerakan kecil' manakala 12 lagi jenis 'pergerakan kuat'.
 
"Alat jenis 'pergerakan kecil' ini mampu mengesan ombak seismik gempa bumi yang berlaku di seluruh dunia, misalnya alat yang dipasang di Semenanjung boleh mengesan ombak seismik di Sabah.
  
"'Pergerakan kuat hanya mampu mengesan gegaran dan pergerakan tanah dan tidak mampu untuk mengesan ombak seismi," katanya.
  
Dr Wan Azli menjelaskan bahawa kedua-dua jenis alat pengesan gegaran itu mampu menghantar data pergerakan tanah dan ombak seismik dalam masa tidak kurang 10 minit sebaik sahaja berlakunya gempa bumi ke pusat pengumpulan maklumat yang beroperasi di Petaling Jaya dan Kota Kinabalu.
  
"Mengikut SOP, dalam masa 10 minit alat itu akan mengeluarkan laporan awal  kepada pusat selepas kejadian gempa dan kami akan menerima data itu bagi mengesan kawasan yang mengalami gempa bumi ataupun Tsunami serta kekuatan skala richternya," katanya.
  
Beliau berkata kos keseluruhan bagi penambahan sebanyak 20 alat pengesan itu  bernilai hampir RM9 juta.
  
Dr Wan Azli berkata, buat masa sekarang masih tiada lagi alat berteknologi tinggi yang secara tepat mampu mengesan tanda-tanda awal kejadian gempa bumi.
  
"Namun, kami mempunyai alat untuk mengeluarkan amaran awal Tsunami," katanya.
  
Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Mineral dan Geosains Mior Sallehuddin Mior Jadid berkata pihaknya telah bekerjasama dengan agensi geologi di Indonesia bagi mendapatkan bantuan kepakaran berhubung kejadian gempa bumi.
  
Jelasnya kerjasama dengan pakar negara jiran itu dilaksanakan bagi mendapatkan bantuan maklumat dari Indonesia, negara yang sudah biasa menghadapi kejadian gempa bumi sebelum ini.
  
Beliau berkata, Jabatan Mineral dan Geosains juga bercadang untuk melaksanakan kajian berterusan mengenai gempa bumi yang bukan sahaja tertumpu kepada kawasan Sabah malah turut melibatkan Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
  
"Kami memang sudah ada cadangan untuk mengadakan kajian sesar aktif dan risiko gempa bumi sebelum ini. Ia bukan hanya melibatkan kawasan Ranau malah Lahad Datu serta di beberapa kawasan Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
  
"Ia merupakan kajian jangka panjang tapi buat masa sekarang ini kami masih menilai dahulu keadaan di Gunung Kinabalu kerana apabila berlaku gempa bumi, terdapat banyak lunsuran tanah dan batuan yang runtuh," katanya yang memaklumkan dua pakar dari Jabatan Mineral dan Geosains dihantar ke Sabah untuk mengkaji keadaan di Gunung Kinabalu itu. - Bernama

Tiada ulasan: