Jumaat, 5 Jun 2015

.

.


Tidur Najib dan Rosmah kembali terganggu

Posted: 04 Jun 2015 09:11 PM PDT

SEPOI BAHASA                                                                               

Tindakan polis membatalkan dialog anjuran NGO bersama PM, "Nothing 2 Hide" yang sepatutnya berlangsung di PWTC hari telah menyelamatkan air muka Najib Razak. Dr Mahathir Mohamad yang juga dikatakan dijemput untuk menyertai dialog berkenaan hadir bersama ratusan yang lain.

Mahathir berucap kemudian dilarang.
Malangnya, Najib tidak hadir. Apabila sebaik Mahathir berucap ringkas sebelum berundur, seorang pegawai polis datang memintanya agar menghentikan ucapan.

Bayangkan dengan kehadiran yang ramai terutamanya daripada mereka yang ingin menyaksikan macam mana gaya Najib berdialog di hadapan orang yang mengkritiknya, kalau diteruskan ia mesti hangat dan geger. Sudah pasti Najib akan disorak dan di "boo", macam Hanifa Maidin di "boo" dalam muktamar Pas di Kuala Selangor semalam.


Ketika ini sudah tentu muka Najib yang mudah merah akan menjadi merah macam kelopak bunga raya, "merah meran" (menyala).

Jadi untuk mengelakkan Najib malu dan disorak, inilah menyebabkan polis menggunakan kuasa yang ada kepadanya membatalkan dialog berkenaan kononnya atas dasar keselamatan. Alasan itu sukar diterima kerana tempat berlangsung dialog itu, PWTC antara tempat yang aman. Alasan itu tidak masuk akal.

Kejadian ini boleh dianggap sebagai polis sudah mulai campur tangan dan menjaga Najib selaku perdana menteri. Ertinya kehidupan Najib hari ini seratus peratus dalam kawalan dan jaminan pihak keselamatan, polis.

Soalnya apakah dengan pembatalan secara tektikal itu boleh mengamankan Najib? Tidak... malahan orang ramai yang keliru, geram dan benci dengan cerita-cerita kabur mengenai 1MDB, geram dengan kenaikan harga barang menggila sejak pelaksanaan GST, makin akan menjadi tambah benci kepada Najib dan meluat dengan isterinya Rosmah binti Mansor dituduh sebagai boros.

Dialog yang dibatalkan itu secara tidak langsung telah memberi kemenangan percuma kepada Mahathir dan menjadikan rakyat makin hilang kepercayaan kepada Najib kerana tindakan itu, enggan atau penakut untuk hadir, akan dianggap sebagai tidak bertanggungjawabnya. Maka akan terus berdongenaglah Mahathir selepas ini.

Sepatutnya dialog itu diteruskan dan Najib perlu hadir untuk menunjukkan kebertanggungjawaban dan kejantanannya sebagai seorang perdana menteri. Apakah mereka yang memberi idea untuk mengagalkan dialog itu ada motif tertentu?

Kejadian hari ini menyebabkan Najib dan Rosmah yang malam tadi dapat tidur nyenyak, selepas beliau mendakwa mendapat sokongan padi di Sarawak akan kembali resah dan tidak dapat melelapkan mata serapatnya seperti sebelum ini.

Mimpi-mimpin kudus dan indah juga sudah makin menjauhi Najib dan apa yang berlaku pagi ini suatu kedukacitaan dan kemaluan besar kepada Najib. [wm.kl.12:04 pm 05/06/15] 

Pemilihan pemimpin Pas bak pemilihan seraga ayam

Posted: 04 Jun 2015 06:05 PM PDT

ULAS KEPUTUSAN                                                                        

Seperti yang dijanjikan malam tadi, pagi ini saya cuba memberi ulasan kepada keputusan pemilihan dalam muktamar Pas ke-61. Dengan diketahuinya keputusan pemilihan sekitar jam 10:00 malam tadi, ertinya muktamar Pas ke-61 sudah pun berakhir? Walaupun tirai penutupnya akan tamat esok, tetapi keputusan semalam sudah menyelesaikan muktamar berkenaan.

Saya yakin dan percaya suasana dan aura muktamar tahun ini tidak begitu "jelingah" lagi, walaupun ia dimeriahkan dengan pemilihan. Mungkin sudah ada peserta yang kecewa sedih dan tidak dapat mengawalkan perasaan dukalara dengan apa yang berlaku, sudah angkat punggung pulang. Mungkin yang terlebih emosi sedang membuat congakan terhadap masa depan mereka dengan Pas sambil mata berlinangan dengan air jernih.  
Demikian juga dengan para pemerhati yang datang dari jauh dan dekat. Muktamar Pas yang selalunya meriah, menjadi medan bertemu mata, berjabat salam dan memeluk mesra, menjadi event yang didatangi ramai dan menggembira para peniaga, kerana dapat mencari rezeki, tetapi berubah rasa dan keadaan kali ini. Semuanya lantaran berlaku apa yang sudah berlaku. Saya percaya kehebatan suasana muktamar sudah rosak dengan keputusan yang dicapai itu.

Keputusan semalam, seperti dijangkakan ia dimonopoli oleh satu kumpulan sahaja, kumpulan agamawan (al Din). Keputusan semalam sah, tetapi ia mengecewakan. Usaha bersungguh-sungguh golongan itu untuk menguasai Pas sepenuhnya berjaya. Benarlah kata orang kalau gigih berusaha dalam apa juga bidang, ia akan berjaya. Kerana usaha juga Tuhan akan memberi hasilnya sama ada yang baik atau sebaliknya. 

Tetapi kejayaan dicapai golongan al Din itu masih subjetif dari segi politiknya. Kejayaan sepuak itu apakah memberi natijah dan kesan positif kepada Pas itu sendiri. Sebab apa yang penting ialah kemenangan Pas, bukan kemenangan puak atau pasukan. Yang berada di hapan kini ialah kemenangan puak, manakala kemenangan untuk Pas masih menjadi tanda tanya. 

Dengan latar belakang, aliran pemikiran dan iltizam sedemikian, apakah mereka berjaya membawa Pas seterusnya menjanakan Pas sebagai sebuah parti politik setanding dengan usianya. Pas adalan badan siasah, sebuah gerakan massa yang kemuncak destinasinya ialah kemenangan dalam pilihan raya. Munafiklah Pas kalau ia menyertai pilihan raya demokrasi, tetapi ia tidak mengangan-angankan kemenangan. Pas bukan seekor musang yang tidak dapat mendapatkan anggur lalu mengatakan anggur itu masam. 

Kenapa timbul kemusykilan dan ketidakyakinan ataupun pertanyaan demikian terhadap Pas? Kemusykilan ini terbit memandangkan sesebuah gerakan politik itu, demi mencapai kesuksesannya ia memerlu kombinasi pelbagai ilmu dan berkehendakkan kepada pelbagai kepakaran di dalamnya. 

Apa lagi dalam politik rencam ala Malaysia ini, yang menjulang politik sekular dari Barat, yang mempunyai elemen 4C, maka pakar-pakar daripada pelbagai ilmu profesional dibutuhkan untuk berhadapan dengan musuh atau pun berfikir mencari helah (tektik) untuk menarik sokongan rakyat. 

Laksana pasukan bola sepak yang hebat itu ialah apabila kesemua kesebelasan pemainnya mewakili setiap kepakaran dan kehebatan tersendiri. Masing-masing ada kebolehan peribadi, individu skil dan melalui latih spiritual dan fizial yang secukupnya. Punyai persefahaman dan semangat berpasukan yang tinggi.

Ia memiliki penjaga gol, pertahanan, pengatur strategi kemudian penyerang. Kalau dalam pasukan bola itu hanya ada penjaga gol atau pertahanan sahaja, tetapi tidak ada penghantar bola dan penyerang, tentulah pasukan itu tidak akan menang, kerana kemenangan dalam bola sepak ialah menjaringkan gol, bukan memastikan gol tidak dibolosi. Perkiraan mutlak menang kalah dalam permainan bola ialah jaringan gol.

Kejayaan mempertahankan gol dan tidak mampu menyerang, pasukan itu hanya mendapat keputusan seri sahaja. Walhasilnya pasukan itu akan menang sorakan daripada penyokong sahaja, tetapi dari segi kepuasan (satisfied) tidak akan ada. Apakah pasukan seperti itu bererti?  Manakala kemenangan dan keredhaan sesuatu perjuangan itu apabila ia memperolehi kuasa untuk mendaulatkan apa yang disuruh Tuhannya, itulah baru keredhaan tulen.

Apakah dengan barisan kepimpinan yang dibuat dalam pemilihan Pas itu menempati ciri-ciri ataupun aspek sebagai pasukan bola itu? 

Keputusan pemilihan semalam jelas memberi gambaran, berbeza dengan suasana dalam pasukan bola yang hebat itu. Seratus peratus orang yang dipilih untuk menguruskan Pas terdiri daripada mereka sejenis. Mempunyai latar belakang pendidikan, aliran pemikiran dan corak pemikiran yang sama. Dari segi pemikiran dan pegangannya mereka konsevertif fanatik. Jika mereka diibratkan kepada pasukan bola semua mereka merupakan pertahanan dan penjaga gol. 

Mereka (gologan al Din) yang beranggapan merekalah pejuang agama dan mempunyai kemiripan sebagai ahli syurga. Mereka menjaja slogan dan tagline itu, disamping memasukkan diri ke dalam lif tekan sendiri ke syurga, manakala dalam konotasi yang sombong dan agah mereka menidakkan pihak lain. Menuduh puak satu lagi sebagai tidak Islamik, dengan menggunakan berbagai istilah dan melakukan aksi provokasi yang jelek, belum pernah berlaku dalam parti agama itu sepanjang pemerhatian saya.

Manakala kempen untuk mendapat jawatan dalam Pas pada pemilihan kali ini adalah paling huduh dan tidak bermoral. Unsur-unsur mungkar bergeliwatan di mana-mana sahaja, sehinggakan kertas-kertas fitnah sampai melimpah ke dalam jubah orang-orang bernama ustaz dan ulama sendiri. Biarpun jelas kemungkaran itu tetapi ia diterus atau dihalalkan tanpa ditegur oleh penguasa Pas yang berkepentingan. Ini yang berlaku. Apakahkan ini kebenaran dan keadilan? 

Begitu juga kejadian ataupun perbuatan memisahkan antara sesama sendiri nampak sangat jelas. Semangat ukhwah Islamiyah yang dilaung-laungkan musnah ranah sama sekali ia ditelan dan dimamoh oleh gelora ghairah kerana sangat percaya kepada ilusi diri.  

Sikap dan perbuatan inilah mendatangkan fitnah kepada Islam, bila mana orang mengecopkan diri mereka Islam, tetapi bertindak jauh daripada prinsip dan nilai-nilai Islam. Tidak salah kalau dikatakan apa yang berlaku dan dilakukan oleh sesetengah orang parti Islam ini mengulang perbuatan munafikun yang menghalalkan kejahatan atas nama agama.

Melihat saking azab dan hebatnya, perebutan jawatan dalam Pas kali ini bolehlah disifatkan sebagai sebuah peperangan saudara. Pemilihan bukan untuk mencari yang terbaik daripada yang baik dalam kalangan mereka, tetapi menyusun puak dan mereka yang sefahaman tanpa mengira mereka cerdik atau pun bertaraf anak-anak Taski. Mana-mana yang tidak sealiran, tidak semazhab dibunuh. 

Justeru pemilihan ini tepat sekali kalau dikatakan sebagai peperangan membersihkan puak, (ethnic cleansing) bukan perlawanan mencari pemimpin untuk sebuah organisasi politik. Pemilihan kali ini adalah "pencincangan" sesama sendiri. 

Selain itu pemilihan kali ini juga tidak profesional, jauh sekali dengan telus dan adil berdasarkan prinsip dan konsep Islam. Bukan bermakna tidak telus dan adil dari segi peraturan dan melanggar mana-mana undang-undang ditetapkan, tidak. Setiausaha Agung, Mustafa Ali sewaktu menyampai kata alu-aluan menjelaskan, sepanjang kempen tidak ada apa-apa laporan salah laku dibuat. Bermakna proses pemilihan berjalan dengan mengikut peraturan dan lunas-lunas sewajarnya.

Apakah penjelasan itu muktamad? Tidak. Bagi saya penjelasan itu bukan bermakna perjalanan permilihan kali ini tertib dan sopan serta mengikut lunas-lunas dan semangat demokrasi yang sihat, penjelasan itu hanya satu kosmetik untuk mempamerkan kepada dunia yang Pas adalah indah dan cantik sepadan dengan namanya Parti Islam se Malaysia (PAS).  

Tetapi tidak telus dan tidak adil yang dimaksudkan berlaku dalam pemilihan kali ini, apabila ia dibuat dengan tidak waras dan bebas. Apabila para perwakilan disogok dengan kertas "chai", ataupun dihantar senarai nama orang-orang yang patut dipilih, maka ia tidak bebas dan tidak terbuka lagi. Apa lagi nama-nama orang itu dibuat dalam gugusan tertentu. Kepala perwakilan sudah dituba dan ditindas demikian rupa. Perwakilan sudah tidak ada fikiran sendiri dan membuat penilaian dari kaca matanya sendiri. Maka terhasilkan keputusan secara "kilang" dimana keluarlah hasil yang seacuan berbondong-bondong.

Pemilihan sedemikian juga satu paksaan dan zalim. Apabila perwakilan dihantar atau diberi chai, maka mereka terikat dengan chai berkenaan. Mereka akan jadi cemas dan bimbang kalau mereka tidak mengikut kehendak chai itu nanti dianggap sebagai tidak walak. Apa lagi chai itu pula mengkategorikan satu terdiri daripada ahli syurga, dan satu lagi ahli neraka yang telah disumpah dan dihembur demikian rupa. Perwakilan yang kepalanya ditepukan tentu tidak mahu terheret ke dalam neraka walaupun neraka itu sendiri mereka tidak mengerti apa hakikatnya, lantas jadi selamat memilih chai ahli syurga? 

Jadi apabila orang-orang yang membuat pemilihan yang tidak dapat memilih dengan betul, menurut kehendak hati dan penilaian otaknya sendiri, bermakna pemilihan itu dibuat secara paksa atau terpaksa atau malu alah. Bentuk paksaan pula secara psikologis dimana jika senarai atau orang agama tidak dipilih bermakna kamu mengkhianati agama, mengkhianati perjuangan Pas. Perwakilan yang lemah, tohor ilmu dan jahil agama akan mudah terpesona dan bergerunyut hati apabila dikaitkan dengan syurga dan neraka. 

Paling dahsyat dalam pemilihan kali ini apabila Dewan Ulama sendiri membuat senarai nama, ini menjelaskan orang yang berada dalam dewan yang dikira suci lagi maksum itu juga turut campur tangan. Apa lagi perwakilan yang dihantar itu sudah dipilih dan disaring, di peringkat kawasan lagi untuk datang bermuktamr. Mereka "dipunggah" sambil makan angin dan menjadi penepuk dan penyorak kepada apa yang berlaku. 

Peraturan menyerahkan perwakilan kepada penentuan jawatankuasa yang diautokrasi oleh YDP mungkin sudah tidak relevan lagi dan akan terus meletakkan Pas dalam telaga buta.

Saya sering bermadah sesuatu yang lahir dari sistem yang tidak baik itu ia tidak akan menghasilkan natijah yang baik dan berkualiti.

Bertolak dari itu, kepada saya pemilihan barisan kepimpinan Pas di semua peringkat, untuk sessi kali ini adalah tidak waras. Ia dibuat tanpa resional umum. Jadi mereka yang diangkat untuk memimpin Pas selama dua tahun 2015 - 2017 adalah mereka yang bukan semua orang atau ahli-ahli sepatutnya. Mereka tidak dibuat dengan bijaksana, sebaliknya dipilih secara kolektif yang telah diragakan demikian rupa. Apakah Pas akan dapat lonjakan dengan diuruskan oleh pemimpin yang dipilih secara tidak bebas dan waras dan umpama pemilihan ayam seraga ini? Bersambung. [wm.kl. 8:12 am 05/06/15]

Ulasan saya mengenai keputusan pemilihan Pas, esok...

Posted: 04 Jun 2015 08:05 AM PDT

Keputusan pemilihan kepimpinan Pas telah pun diketahui. Abdul Hadi Awang berjaya mempertahankan jawatan presiden mengalahkan Ahmad Awang. Hadi mendapat undi 928 manakala Ahmad mendapat 233 undi.

Begitu juga dengan Mohamad Sabu gagal mempertahankan jawatan yang disandangnya dua penggal ditangan Tuan Ibrahim Tuan Man.

Walaupun kekalahan Ahmad dan Mohamad itu sudah dijangka, tetapi ia sangat kontra dengan suara dan naluri umum yang rata-rata memilih Ahmad. Inilah yang perlu dihuraikan. Apakah sebab musababnya, insya-Allah akan saya ulas dan rumuskan esok.

Cuma malam ini saya ingin berpesan, kepada penyokong tokoh-tokoh yang kalah usah bersedih dan bersendu. Sesungguhnya tangisan anda itu tidak wajar kerana kekalahan tokoh kesayangan anda bukan menerusi satu pelawanan sejati. Dan kekalahan itu juga tidak sama sekali membuangkan mereka daripada Pas. Mereka tetap mendokong Pas.

Tunggulah ulasan daripada saya esok. Wassalam Mso. [wm.kl.11:02 pm 06/04/15]

Debar yang tidak berdebar menanti keputusan pemilihan Pas

Posted: 04 Jun 2015 05:19 AM PDT

KHABAR MUKTAMAR PAS                                                

Sebelum Maghrib tadi saya dihubungi oleh seorang pemimpin Pas yang turut bertanding dalam pemilihan kepimpinan Pas yang belangsung hari ini. Menurut pemimpin berkenaan, proses pengundian baru sahaja selesai. Saya sempat bertanya kepadanya mengenai suasana dalam pengundian itu.

Saya tanya apakah pengundian itu sama trend dengan apa yang berlaku dalam pemilihan Dewan Pemuda dan Muslimat, kata pemimpin itu ada tanda dan suasana menunjukkan trend itu berlaku.

Saya tanya lagi pemimpin berkenaan apakah trend itu melebihi 30 peratus, beliau memberi gambaran, mungkin lebih.

Apa yang boleh saya buat spekulasi awal berpandukan suasana sebegitu kemungkinan pengumuman keputusan pemilihan itu yang dijangka akan diketahui sebelum tengah malam ini akan memberi satu lagi kejutan. Kemungkinan kesemua calon yang digolongkan dalam kumpulan PROLIB akan tewas termasuk mereka bertanding jawatan pemeriksa kira-kira.

Persoalan menjadi tanda tanya kini berapa peratuskan undi yang akan diraih oleh kumpulan PROLIB, dan berapa peratuskan undi yang akan diraih oleh kumpulan Al Din. Sekiranya puak yang menang meraih undi lebih daripada 80 peratus, ia tidak akan membawa petaka kepada parti agama itu kerana ia adalah satu keputusan majoriti yang harus diterima oleh semua ahli dan pendokongnya.

Kumpulan yang kalah harus menerima dan redha. Kehendak itu adalah kehendak perwakilan yang berhak berbuat demikian. Sebaliknya kalau peratus keputusan dalam berkedudukan 50 : 50 ia boleh membawa kesaan negatif kepada masa depan Pas. Kemungkinan Pas akan terbelah dua, atau sessuku akan mengambil sikap meninggalkan Pas. Dengan keputusan sedemikian ia menyebabkan timbul rasa tidak ada siapa yang kalah.

Hendaknya keadaan ini tidak akan terjadi.

Setakat ini sahaja komen saya terhadap pemilihan Pas, saya tidak mahu membuat ulasan sepenuhnya mengenai masa depan Pas. Tunggulah keputusan penuh diperolehi nanti. Insya-Allah kalau ada semangat dan kesempatan akan diulaskan seberapa cepat yang boleh. [wm.kl.8:12 pm 06/04/15]

Tiada ulasan: