Selasa, 23 Jun 2015

.

.


Abdul Hadi tidak boleh pagar ahli dengan ayat Quran

Posted: 23 Jun 2015 02:30 AM PDT

RESPONS                                                                                                            

Dalam saat saya menyiapkan surat terbuka untuk Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Ustaz itu telah mengeluarkan surat terbuka kepada ahli Pas hari ini yang mengingatkan ahli PAS agar terus beristiqamah dengan Pas dan tidak berhijrah kepada parti baru.

Abdul Hadi Awang perlu berlunak.
Mesej berupa ugutannya, mana-mana ahli PAS menubuhkan parti bahu ia akan tenggelam.
 
"Sesiapa yang mengikuti perjalanan bersama atau membaca sejarah PAS, akan menyaksikan gelombang dan liku perjuangan dan hilangnya pemimpin paling tinggi, ahli biasa atau penyokong secara sendirian atau tenggelam bersama parti dan pertubuhan yang dijadikan bahteranya," demikian surat Hadi dipetik.

 
Katanya sejarah Pas menunjukkan hakikat itu. Dipercayai sejarah yang dijadikan iktibar itu ialah mengenai bekas Yang diPertua Agung PAS Mohd Asri Muda dan juga bekas MB Kelantan, Mohamad Nasir yang pernah menubuhkan parti baru selepas mereka keluar daripada PAS, akhirnya ghuyup begitu sahaja.

Mohd Asri apabila tidak bersama Pas (1982) telah menubuhkan Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim), manakala Mohamad Nasir lima tahun sebelum (1978) itu menubuhkan parti Barisan Jemaah Islamiah Malaysia (Berjasa).

Kedua-dua parti itu akhirnya mati secara beragam kerana tidak mendapat sambutan. Berjasa bagaimana pun kehadirannya sempat membawa kecelakaan kepada PAS, apabila hasil persepakatan dengan UMNO menyebabkan kerajaan PAS Kelantan tumbang.

Mohd Asri tubuh HAMIM.
Apakah peringatan Abdul Hadi itu ditujukan kepada kumpulan yang menamakan mereka G18 terdiri dsaripada mereka yang kalah dalam perebutan jawatan pada muktamar lalu yang kini sedang mempertimbangkan untuk menubuhkan sebuah parti politik baru. Sebelum ini G18 dalam satu kenyataan jurucakapnya memkalumkan mereka sedang memikirkan untuk mewujudkan sebuah parti baru sebagai wadah penerus perjuangan mereka yang digendung bersama Pakatan Rakyat.

Idea atau cetusan kemungkin kumpulan itu menubuhkan parti baru tercetus dalam himpun bagi mengenangkan jasa mereka yang diadakan di Bakri, Muar sehari sebelum Ramadhan lalu. Hampir semua mereka yang kalah dalam perebutan hadir pada himpunan itu. Antaranya, Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub, Mahfuz Omar, Dr Mohd Hatta Ramli.

Dr Dzulkifli Ahmad, Hanifa Maidin, Asmui Alwi, Suhaizan Kaiat, Zukefli Omar, Nizar Jamaluddin. Himpunan itu juga turut dihadiri dan disemangati sama bekas MB Selangor Mohamad Mohd Taib, Kamaruddin Jaafaar dan lain-lain.

Sempena himpunan di Bakri itu juga katanya satu komiti dibentuk bagi merancang masa depan mereka dengan Mohamad Sabu dilantik menjadi pengerusi, Salahuddin Ayub timbalan, manakala Setiausaha Dzulkifli Ahmad dan penolongnya Suhaizan Kaiat.
 
Mereka bertindak demikian apabila kumpulan itu ditolak secara total dalam pemilihan lalu. Hasrat kumpulan G18 itu mendapat dokongan penuh oleh Persatuan Ummah Sejahtra Malaysia (Pasma). Menurut Presiden PasMa, Phahrolrazi Zawawi, PasMa akan bersama G18 mengusahakan penubuhan parti baru.

Sejarah yang disandarkan oleh Abdul Hadi itu sebagai iktibar memang ada kulihanya. Kedua parti pimpinan Mohd Asri dan Mohamad Nasir itu tidak panjang umur. Ironisnya kebanyakan ahli mereka akhirnya kembali kepada PAS semula. Mohamad Nasir dan beberapa rakannya akhirnya menyertai PAS semula dan menjadi pendokong Allahyaraham Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan.

Apabila Abdul Hadi mengungkitkan tragedi yang diterima Berjasa dan Hamim itu, satu perkara yang Abdul Hadi perlu fikir dan kajikan, apa yang berlaku dalam PAS kini berbeza dengan senario yang berlaku pada tahun 1978 dan 1982 saat kedua-dua parti itu lahir ke dunia. Kedua parti itu memang lahir atas kehendak dua individu berkenaan. Mungkin kalau bukan kerana Asri keluar daripada Pas dan Mohamad Nasir dipecat, Berjasa dan Hamim tidak akan ditubuhkan.

Kewujudan kedua parti itu dibuat berlandasan atau dorongan besar oleh perasaan kedua pemimpin itu yang berhajat untuk menyangi PAS. Dalam erti kata lainnya ia wujud atas inisiatif dan dokongan pengaruh seorang individu sahaja yang kemudian didokong oleh rakan-rakan rapat yang simpati dengan nasib diterima mereka. Kerana kerterbatasan sokongan itu juga menyebabkan sumber kewangan mereka bagi menggerakkan parti sangat terhad.

Tetapi senario yang berlaku kini yang mungkin akan menyebabkan lahir sebuah parti baru, berbeza daripada senario di zaman Asri dan Mohamad Nasir itu. Walaupun ia dilandaskan atas rasa kecewa, apabila mereka kalah dalam perebutan jawatan yang dianggap kotor, tetapi mereka bertindak secara berkumpulan. Terdapat 18 orang pimpinan utama yang menjadi mangsa pemilihan itu dan mereka kalah.

Selain itu persepakatan untuk mewujudkan parti baru itu juga bersifat nasional dan bukan regional seperti penubuhan Hamim dan Berjasa. Hamim dan Berjasa hanya fokus kepada Kelantan dan menarik sokongan Melayu semata-mata berbeza dengan parti baru ini bersifat nasional dan bakal didokong berbilang kaum.

Ertinya kalau ada pakatan untuk menubuhkan parti baru ia bukan dibuat secara berseorangan tetapi secara berkumpulan dan bersifat multi recial. Keadaan yang ada kini lebih bahaya lagi apabila mereka mendapat sokongan daripada beberapa NGO yang datang dari pelbagai rahang dan rupa. Pakatan ini akan mudah menjadi besar.

Dengan adanya pengurusan yang baik dan secara profesional, sebab kumpulan ini profesional, mereka akan mendapat sokongan dengan mudah. Ledakan penggunaan media baru kini menjadikan penyebaran maklumat dan penyampaian natijah penubuhan parti itu mudah sampai kepada rakyat. Situasi ini membantu mengembangkan parti baru itu.

Paling membimbangkan lagi sekiranya pakatan mereka ini yang berslogankan Pakatan Baru, Harapan Baru, mendapat dokongan daripada NGO yang sudah establish dari berbagai cabang seperti gerakan Islam, sosial dan mahasiswa seperti, ABIM, IKRAM, Gamis, Bersih, PasMa, dan lain-lain yang sepakat membenci UBN, ia akan mempercepatkan tumbesar parti baru ini. Paling membimbangkan lagi apabila dua buah parti yang berpakat dengan PAS, juga menyatakan kesediaan mereka berkolobrasi dengan parti baru itu.

Apa lagi kebanyaklan mereka berasal dari PAS, yang sudah mencipta nama dalam PAS sejak lebih 20 tahun lalu sudah tentu gabungan atau parti itu baru akan menciplak konsep dan piagam PAS. Sebelum ini pun pimpinan G18 telah membayangkan kalau mereka menubuhkan parti apa yang akan diperjuangkan ialah untuk mengekal stail dan pendekatan politik dua tokoh PAS, Fadzil Mohd Noor dan Nik Abdul Aziz Nik Mat yang ternyata diterima rakyat Malaysia. Kedua tokoh itu akan menjadi idola dan ikon kepada parti baru itu.

Berdasarkan kepada hakikat itu Abdul Hadi jangan memandang remeh kepada kewujudan parti baru itu. Peringatan beliau agar ahli PAS tetap berada dalam jemaah dan beristiqamah dengan PAS bagi menjamin syurga tidak akan menjadi pagar utuh bagi mengekalkan mereka tidak berpidah kepada parti baru.

Generasi muda yang berminat kepada parti politik sesuai dengan kerencaman kaum dan budaya di negara ini tidak mudah terpesona dengan janji-janji dan jaminan tanpa cagaran PAS akan membawa ahlinya ke syurga itu. Apa lagi kalau tiba-tiba PAS benar-benar bersama UMNO, mereka tidak dapat dihalang daripada tidak mengucapkan sayonara kepada PAS.

Justeru apa yang terbaik yang perlu dilakukan oleh Abdul Hadi dengan kepimpinan yang baru ialah bersikap lunak dan mesra dengan mereka. Tidak menggunakan ayat-ayat Quran dan dogma agama untuk memastikan ahli PAS beristiqamah dengan parti itu. Ayat-ayat Quran walaupun ianya benar, tetapi dalam dunia politik orang tidak mudah tersujud kepadanya tanpa bantah. Politik tetap politik yang dianggap terpisah dengan urusan agama. PAS walaupun parti memperjuangkan agama, tetapi ia tetap bersifat baru sebagai organisasi siasah, bukan ad-Din.

Makanya seruan Abdul Hadi, agar ahli PAS memikir soal halal dan haram sebelum berbuat sesuatu termasuk berhijrah kepada parti baru adalah sia-sia dan tidak relevan dalam dunia politik hari ini. Ia menjadi lebih tidak relevan lagi apabila presiden PAS itu sendiri bertindak lari daripada akhlak Rasulullah s.a.w. serta tidak istiqamah dengan pendirian dan kata-katanya. 

Toriq terbaik bagi Abdul Hadi untuk menjamin keutuhan PAS ialah membentuk perpaduan dengan mereka, berbincang dan terimalah mereka sebagai ikhwah dalam erti kata sebenarnya. Usahlah dengan penuh fatanah agar jangan sampai terwujud sebuah lagi parti serpihan PAS. [wm.kl.5:02 pm 23/06/15]

Menelah apa cerita Azmin dengan Sultan Shafaruddin

Posted: 22 Jun 2015 08:52 PM PDT

SPEKULASI                                                                                     

Azmin terima watikah perlantikan MB.
Malam tadi Mohamed Azmin Ali dilaporkan telah menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Pertemuan itu memakan masa sehingga satu jam. Apakah yang dibincang atau dimaklumkan oleh MB itu kepada sultan. Pertemuan MB dengan sultan di mana-mana negeri adalah perkara biasa.

Untuk tujuan ini juga, MB boleh memohon untuk menghadap sultan apabila ada perkara penting yang hendak dimaklumkan kepada sultan bersabit dengan negeri. Demikian juga sultan boleh memanggil bila-bila masa memanda MBnya untuk menghadap.

Hubungan antara MB dengan sultan boleh dianggap hubungan, dua hala demi pembangunan sesebuah negari dan kesejahtraan rakyat. Hubungan mereka berangkaian.

Jadi pertemuan Azmin dengan sultan malam tadi sebenarnya tidak perlu dispekulasikan dengan apa-apa isu yang boleh menegangkan keadaan. Kerana dewasa ini timbul kemelut dalam Pakatan Rakyat, apabila DAP telah mengistyharkan Pakatan Rakyat sudah tidak ada, manakala di pihak Pas pula masih mengakui Pakatan Rakyat masih hidup, hanya pengsan sahaja, mungkin perkara itulah yang dibicarakan oleh Azmin dan sultan.

Selaku sultan yang memerintah sudah pasti Sultan Selangor ingin mengetahui kedudukan sebenar kerajaan sekarang ini. Perkara paling penting ialah mengetahui apakah Azmin sebagai MB masih mendapat kepercayaan untuk terus menjadi MB Selangor. Semasa Abdul Khalid Ibrahim menjadi MB dan dia berdepan dengan ketidakpercayaan ahli-ahli Dewan, sultan memanggil Khalid bagi mengetahui duduk perkara sebenar. Menjadi tanggungjawab sultan memantau keadan-keadaan seperti itu.

Maklumat atau kedudukan itu penting bagi diketahui oleh sultan kerana kalau Azmin sudah tidak mendapat kepercayaa ia menyebabkan kerajaan Selangor tidak stabil. Ketidakstabilan kerajaan Selangor ia mengugat seluruh pentadbiran negeri dimana kesannya kepada pembangunan rakyat.

Agak-agaknya apakah yang diberitahu oleh Azmin berhubung perkara itu? Yang nyata hari ini kedua-dua parti DAP dan Pas yang saling bercakaran dan umpama kucing dengan anjing itu masih lagi menyokong Azmin. DAP masih mengakui yang parti itu bersama dengan PKR. Manakala Pas juga membuat pengakuan sama.

Ertinya Azmin masih utuh sebagai MB. Dengan kedudukan itu ia tidak membimbangkan sultan, apa lagi kemungkinan baginda akan diminta memperkenankan pembubuaran Dewan Undangan Negeri bagi diadakan pilihan raya Selangor sebagai jalan penyelesaian.

Mungkin juga dalam pertemuan itu selain mendapat maklumat perkembangan terbaru di Selangor adalah apa-apa kata-kata dan pandangan diberikan oleh sultan kepada Azmin. Semua orang perlu bersangka baik dengan pertemuan itu ke arah untuk mengelakkan apa-apa kejadian tidak diingini dan merugikan rakyat berlaku.

Cuma apa yang menjadi persoalan, apakah Azmin dapat menjamin beliau akan terus disokong oleh kedua parti yang telah memakai sifat haiwan itu? Yang mungkin menjadi masalah kepadanya, apabila kedua parti itu memberi kata dua kepada partinya (PKR), agar memilih salah satu antaranya.

DAP suruh memilihnya dan Pas pula meminta memilihnya. Kalau ini berlaku, Azmin dalam keadaan seperti kata pepatah, ditelan mati bapak diluah mati bapak. Salah satu yang ditinggalkan Azmin (PKR) menyebabkan kedudukan Azmin sebagai MB tidak selamat, atau seteguh hari ini. Khabar membimbangkan DAP akan membuat perhitungan akhir selepas raya nanti, meminta PKR memilih antara dia atau Pas.

Kalau situasi begini tidak ada kesudahan, hendak tidak hendak, suka atau tidak, maka DUN Selangor terpaksa dibubarkan juga. Daripada menyekang rasa menghimpun sebab, baik semua "sa'ja..." terlepas. Azmin kini persis berada dalam bilik pemeriksaan akhir untuk menjawab dan menyelesaiakan segala masalah yang dihimpun kepadanya. Kalau beliau dapat menjawab dan menyelesai segala persoalan itu, beliau lulus dan bisa melangkau ke kelas atas tanpa melewati kelas tengah.

Untuk berhadapan dengan hal-hal seperti inilah Azmin sangat memerlukan sokongan dan bantuan daripada rakan-rakan separtinya. Rakan separtinya perlu sepakat memberi semangat dan sokongan padu kepada Azmin untuk mempertahankan kedudukannya. Malangnya seruan yang diajukan agar Azmin memrapatkan saf dalam parti tidak dipedulikan. Kesan daripada pemilihan dalam PKR dua tahun lalu yang memecah mecilkan perpaduan parti itu masih terbawa sampai kini.

Mereka yang menentang Azmin atau pun tidak setuju dengan Azmin masih bersikap pasif kepada MB itu dan MB itu sendiri seakan tidak ada minat untuk mengaktifkan mereka agar berpadu dalam parti. Kedudukan sebagai MB Selangor, seperti gagal digunakan sebaik mungkin oleh Azmin untuk membena kekuatan dalam parti.

Sebablah itulah kalau diperhatikan kini tidak ada rakan-rakan separti dengan Azmin membuat kenyataan membela dan memberi gambaran Azmin dalam keadaan teguh dan utuh. Nama-nama seperti Saifuddin Nasution Ismail, Mustafa Kamil Ayub, Nurul Izzah Anwar, Syed Husin Ali atau pun Rafizi Ramli tidak banyak bercakap memberi sokongan kepada Azmin atau berusaha menyelesaikan kemelut Pas dengan DAP yang boleh mengugat kedudukan Azmin.

Dalam saat seperti hari ini Azmin sangat-sangat memerlukan sokongan dan aspirasi daripada rakan-rakan khasnya rakan separti untuk meneruskan perkhidmatannya sebagai MB. Mungkin dengan apa yang berlaku ini memberi kesedaran baru kepada Azmin untuk bertindak memperkasakan parti dan merapatkan persaudara sesama anggota PKR. Untuk tujuan ini beliau boleh gunakan kapasitinya sebagai Timbalan Presiden dan juga selaku MB Selangor. [wm.kl.11:32 am 23/06/15]

Tiada ulasan: