Jumaat, 19 Jun 2015

Biaqpila

Biaqpila


RAKYAT MALAYSIA BAZIRKAN 1 JUTA KG MAKANAN SETIAP HARI DALAM BULAN RAMADHAN

Posted: 18 Jun 2015 04:00 PM PDT


Oleh V Shuman

Ramadhan – bulan yang indah di mana rakan-rakan Islam kita berpuasa dan orang bukan Islam berkunjung ke bazar Ramadan.

Bukan lagi rahsia bahawa makanan boleh didapati di mana-mana sepanjang bulan ini dan apabila masa berbuka puasa, pilihan makanan yang ada melimpah ruah.

Tetapi berapa ramaikah di antara kita sebenarnya menghabiskan makanan yang kita beli atau masak dalam bulan yang mulia ini?
Anda akan terkejut bahawa rakyat Malaysia membuang 1,000 tan makanan sehari, sepanjang Ramadhan. Ya, ini adalah 1 juta kilogram setiap hari. Darab dengan 30 (hari) dan jumlahnya adalah 30 juta kg.

Maklumat mengejutkan ini dilaporkan dalam akhbar harian berbahasa Melayu Berita Harian baru-baru ini, menurut statistik yang disediakan oleh Solid Waste and Public Cleansing Management Corporation (SWCorp).

Jumlah ini cukup untuk memberi makan tujuh juta orang di negara-negara yang berhadapan dengan konflik seperti Togo, Sierra Leone, Nicaragua, Gambia dan Botswana, lapor harian itu.

Makanan seberat 30 juta kg ini juga mampu memberi makan 3.8 juta penduduk di Bosnia Herzegovina, sebanyak dua kali.


Menurut ketua pegawai eksekutif SWCorp Ab Rahim Md Noor (Gambar kanan), sejumlah 1,000 buah lori satu tan diperlukan untuk mengangkut sisa harian – bersamaan dengan 30,000 lori sebulan.

"Peratusan sisa makanan di seluruh negara meningkat antara 15 dan 20 peratus dalam bulan Ramadhan, dan juga semasa perayaan Aidilfitri.

"Kajian kami mendapati bahawa rakyat Malaysia secara purata membuang kira-kira 800,000 kg makanan setiap hari, dan bilangannya boleh mencecah sehingga 1 juta kg (1,000 tan metrik) semasa Ramadhan dan juga Aidilfitri," katanya kepada akhbar itu.

Menurut beliau, syarikat itu perlu membelanjakan berbilion-bilion ringgit untuk mengendalikan jumlah sisa sebesar itu.                                        

SWCorp telah turut meminta bantuan dari jabatan-jabatan agama negeri untuk menasihati umat Islam agar tidak membazirkan makanan.

"Malah, beberapa buah hotel juga telah bersetuju untuk membantu kami dengan meletakkan notis peringatan "jangan bazirkan makanan" berhampiran bufet mereka," katanya.

Memang mengejutkan untuk membaca tentang begitu banyak makanan yang dibazirkan sedangkan ada beratus-ratus, jika bukan beribu-ribu orang di halaman rumah kita sendiri, yang tidak dapat makan.

Akui saja yang kebanyakan kita membazirkan banyak makanan – sama ada kerana ianya tidak kena dengan selera kita, atau kita tidak mampu menghabiskannya.

Pada masa yang sama, kita tidak fikir tentang mereka yang lapar dan terdesak – seperti masyarakat yang dilanda perang yang hidup di negara-negara yang dinyatakan tadi, atau kaum Rohingya yang hanyut di lautan.

Kita tidak perlu pergi sejauh itu. Golongan gelandangan di tengah-tengah KL, yang beratur selama berjam-jam di dapur sup untuk dapat menjamah makanan, turut tidak terlintas di fikiran kita.

Kita amat bernasib baik. Kita memiliki bumbung atas kepala kita, dan pekerjaan yang memberikan kita wang yang cukup untuk memberi makan diri sendiri, dan keluarga kita.

Tiada salahnya untuk makan secara "mencuba" dan "bereksperimen" dalam bulan mulia ini, tetapi ingatlah bahawa Ramadhan juga adalah bulan puasa, dan bukannya bulan "berpesta". Juga, Ramadhan (dan agama Islam secara umumnya) adalah mengajar tentang kesederhanaan.

Jika anda membeli lebih daripada apa yang anda boleh habiskan, pastikan anda tidak membuang makanan yang berbaki. Bungkuskannya dan berikan kepada mereka yang memerlukan atau yang kurang bernasib baik.


detikdaily



Tiada ulasan: