ALHUSSEYN |
- Presiden tuduh saya sebagai calon DAP : Ahmad Awang akan ambil tindakan mahkamah
- Siapa keluar jemaah Islam (PAS) jatuh kafir?
- Kamu kafir, liberal, munafik, kalau kamu tidak bersama kami .....
Presiden tuduh saya sebagai calon DAP : Ahmad Awang akan ambil tindakan mahkamah Posted: 20 Jun 2015 09:35 AM PDT Calon presiden PAS yang tewas, Ahmad Awang, sedang mengkaji tindakan undang-undang ke atas pihak yang memfitnah beliau sepanjang kempen pemilihan baru-baru ini, termasuk presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Katanya, beliau tidak kesal kecundang dalam pemilihan itu kerana ia adat pertandingan namun fitnah yang dilemparkan kepadanya dan pihak lain menyebabkan perpecahan besar berlaku dalam PAS. "Saya sedang kaji tindakan itu (saman), termasuk presiden yang menuduh saya sebagai calon DAP," kata Ahmad kepada The Malaysian Insider. "Ini (fitnah) saya tidak boleh terima dan saya akan bersihkan nama baik saya," katanya yang tewas dalam pemilihan itu awal bulan ini apabila hanya mendapat kira-kira 25% sahaja dari keseluruhan jumlah undi. Menjelang pemilihan pada muktamar tahunan ke-61 parti itu di Kuala Selangor, Hadi dalam satu kenyataannya yang disebarkan melalui video mendakwa, pertandingan itu antara calon pilihan DAP dan calon pilihan PAS. "Boleh pilihlah antara yang DAP hendak atau yang kita (PAS) hendak," katanya dalam rakaman video yang disebarkan secara meluas melalui media sosial khasnya di kalangan perwakilan muktamar itu. Semasa pemilihan pula, 'cai' atau senarai calon kumpulan pro beliau disebarkan di kalangan perwakilan yang sedang berbaris untuk mengundi. Dalam pemilihan itu, kumpulan pro-Hadi menyapu bersih jawatan dalam PAS Pusat, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat manakala calon Dewan Ulama dimenangi tanpa bertanding. Hanya Mazlan Aliman, calon yang tidak tersenarai dalam cai pro-Hadi itu, memenangi jawatan ahli jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, namun meletakkan jawatan kira-kira seminggu selepas itu. Selain Ahmad, bekas bendahari dan juga pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Asmuni Awi juga turut mengkaji mengambil tindakan undang-undang kepada pihak yang membuat fitnah terhadapnya. Asmuni, seorang peguam dan pernah mewakili Hadi dalam kes saman RM2 juta oleh bekas calon PKR Bukit Besi menyatakan perkara ini melalui satu posting dalam Facebook beliau sebaik sahaja selesai muktamar PAS tersebut. – 20 Jun, 2015 ~ sumber Komen al-Husseyn: Sekadar menambah maklumat berkaitan isu diatas .... Harakah juga turut menyiarkan : Beliau berkata terpulang kepada ahli-ahli PAS sama ada hendak memilih pemimpin sendiri atau hendak mengikut telunjuk DAP. Baca di sini Alang Ibn Shukrimun mempertikaikan Asmuni Awi selaku Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan dengan menulis : 18. Pencalonan ini adalah bayangan kabinet baru PAS 2015-2017. Sekiranya pemilihan kali ini berjalan dengan baik, keputusannya akan hampir sekata dengan pencalonan ini. Namun, timbul juga kekhuatiran pemilihan kali ini akan berlaku kepincangan melihatkan kepada rekod Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan yang teruk pada sesi lepas di mana wujud suara-suara tuntutan agar Asmuni Awi ditukar ganti oleh mereka yang lebih berkredibiliti.di sini |
Siapa keluar jemaah Islam (PAS) jatuh kafir? Posted: 19 Jun 2015 10:53 PM PDT Nampaknya PAS semakin menggelabah tak karuan bila ada ura-ura akan tertubuhnya satu parti baru. Amat malang apabila mereka yang akan menubuhkan parti baru ini dituduh sebagai pengkhianat dan menentang hudud. Malah ada yang sanggup menuduh jatuh kafir?? Tindakan ini adalah kerana takut ahli PAS berbondong-bondong keluar parti.Mereka menganggap parti baru ini sebagai ancaman kepada PAS. Ada yang begitu optimis mengatakan parti baru itu nanti tidak akan bertahan lama dan akan menerima nasib saperti pecahan PAS yang terdahulu iaitu Hamim dan Berjasa. Apakah mereka anggap parti baru ini serupa dengan Hamim dan Berjasa yang pro-Umno/BN? Ternyata bahawa parti yang baru ini kelak adalah terdiri dari mereka yang kuat menentang Umno.Mereka adalah tokoh-tokoh yang tegas menentang sikap PAS yang mahu bermesra dengan Umno. Mereka adalah proPakatan Rakyat dan mereka inilah yang sering membangkitkan isu-isu rakyat di negara ini. Dulu bukan main beriya-iya suruh segala macam parasit, jebon, Munafiq Haraki, Sekular, Islam Liberal keluar PAS.....Hj Hadi sendiri buat kenyataan, Muktamar nanti adalah medan menyingkirkan ahli sekular..... Bila dah berjaya singkirkan mereka, ingatkan mereka sudah gembira ....rupa-rupanya masih lagi berdendam dan marah hingga mentakfirkan orang. Gejala 'takfiri' ini amat merbahaya kerana ianya juga membawa maksud darah mereka yang di tuduh jatuh kafir itu adalah halal! Ini bukan perkara main-main. Kalau benar ada kenyataan yang sedemikian, ianya perlu disiasat dan diambil tindakan. Ketika krisis MB Selangor yang lalu, kerajaan Khalid Ibrahim mampu bertahan kerana adanya sokongan dari 15 PAS + 12 Umno +1 bebas yang menjadikan kedudukan mereka 28 kerusi. Di ketika ini Hj Hadi yang sangat kuat memihak kepada Khalid Ibrahim walaupun dia sudah dipecat dari PKR. Ketika ini, exco DAP dan PKR Khalid sudah ditendang keluar oleh Khalid.Ketika juga, tanpa disedari, Hj Hadi telah berjaya mewujudkan Unity Government dengan Umno di Selangor. Tetapi apabila Hasnul dan Shaari Sungip mengalihkan sokongannya kepada WAWI, sekali gus telah mengubah kedudukan Unity Government tajaan Hj Hadi itu berkurangan menjadi 26, berbanding dengan WAWI iaitu 15 DAP + 13 PKR + 2 bebas menjadikan kedudukan mereka kini menjadi 30! Itu sebabnya Hj Hadi terlalu marah kepada 2 Adun PAS yang merubah senario tersebut yang sekali gus menggagalkan Hj Hadi membentuk kerajaan dengan Umno di Selangor! Jadi situasi sekarang tidak jauh bezanya dengan krisis MB Selangor dulu itu.Azmin jangan teragak-agak untuk tendang 3 exco PAS yang ada sekarang ini sebagaimana yang pernah Khalid Ibrahim lakukan kepada exco DAP dahulu. Kalau tiga exco PAS ditendang keluar, dengan kedudukan 15 DAP + 13 PKR + 2 bebas =30 kerusi, Azmin masih boleh kekal sebagai MB dan Selangor tidak perlu membubarkan DUN bagi memberi laluan untuk pilihanraya baru. Harap 2 Adun bebas itu dilantik sebagai exco menggantikan kekosongan tempat PAS. Kalau ada yang nak lompat, mungkin dari kawasan Meru....cukup-cukup menggantikan 3 kekosongan exco PAS! Itu sebabnya, PAS cuba menakut-nakutkan mereka dengan ancaman 'kafir' jika keluar PAS....Hahaha Akhbar Sinar Harian memetik penganalisis politik Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat meramalkan berlakunya lompat parti di kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) supaya PKR dapat mengekalkan kuasa mentadbir negeri.~ Baca seterusnya di sini |
Kamu kafir, liberal, munafik, kalau kamu tidak bersama kami ..... Posted: 19 Jun 2015 08:08 PM PDT OLEH LOOI SUE-CHERN Dalam bahagian terakhir temu bual kami dengan Mohamad Sabu, seorang pemimpin PAS popular, beliau memberitahu The Malaysian Insider mengenai kebimbangannya terhadap pemikiran pemimpin dalam parti Islam itu, dan memberi amaran ia boleh membahayakan negara. PAS kini mula mengikut trend "bahaya" di mana fokus diberikan kepada menghukum mereka yang tidak bersetuju dengan kepimpinan Islamik, kata Mohamad Sabu, salah seorang pemimpin "progresif" dalam parti itu yang digulingkan. Bekas timbalan presiden parti popular itu dikenali sebagai Mat Sabu, yang kalah dalam pemilihan baru-baru ini berkata, kecenderungan itu dalam amalan Islam hari ini bermula di Timur Tengah, dan PAS menyertai gerakan "takfiri" itu (umat Islam menuduh saudara Islam lain murtad) ketika berdepan dengan mereka yang tidak bersetuju dengan mereka. "Kamu tidak bersetuju dengan kami, maka kamu tidak bersama kami. Kamu kafir, liberal, munafik. "Ini berlaku di Syria, Iraq, Mesir, Somalia, Algeria dan Pakistan. Ia sangat bahaya dan pelajar yang melanjutkan pelajaran di Timur Tengah, membawanya pulang bersama mereka," katanya ketika ditemu bual The Malaysian Insider. Mat Sabu turut memberi gambaran kesan lebih besar kepada Malaysia jika cara pemikiran seumpama itu berterusan. "Apa yang sedang berlaku berbahaya kepada parti dan pada masa depan, ia juga akan membahayakan negara. "Persaingan di Timur Tengah mungkin akan ambil masa lebih panjang daripada 20 atau 30 tahun untuk berakhir. Di Malaysia, ia belum bermula lagi, tetapi benihnya sudah mula ditanam dan kuntumnya tidak lama lagi akan berbunga," katanya. Kesannya ialah beberapa pemimpin dan ahli PAS jadi lebih fokus terhadap sama ada seseorang itu berada di pihak mereka atau tidak, bukannya bergantung pada rekod kecemerlangan seseorang dalam berkhidmat kepada parti, katanya. Merujuk kisahnya sendiri, Mat Sabu berkata, tidak kisahlah jika beliau pernah dipenjarakan 2 kali mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri, dan keluar masuk balai polis mempertahankan perjuangan PAS dan isu berkaitan rakyat Malaysia. "Apa yang mereka bincang hanyalah sama ada Abang Mat berada di pihak mereka atau tidak. Mereka tidak peduli selama ini kamu berpenat lelah untuk parti dan hanya balik rumah beberapa hari saja dalam sebulan. "Mereka lihat Hanipa dan label dia liberal dan kata dia mesti ditolak. Tidak peduli berapa hebat dia berbahas di Dewan Rakyat atau mahkamah, mempertahankan rakyat. Kerjanya tidak ada nilai kerana dia dilabel liberal," katanya merujuk kepada peguam Mohamed Hanipa Maidin, yang turut gagal mempertahankan jawatannya dalam Jawatankuasa PAS Pusat. "Inilah aliran pemikiran dunia Islam hari ini... dan PAS pun sedang berdepan penyakit ini," kata Mat Sabu. Beliau dan Hanipa adalah antara bekas pemimpin parti yang dikatakan progresif kerana pendirian mereka yang lebih terbuka terhadap bukan Islam dan mereka percaya perjanjian persefahaman di bawah Pakatan Rakyat (PR) yang kini tidak berfungsi lagi, sepatutnya dihormati. Mereka juga bersifat kritis terhadap kepimpinan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berikutan beliau sering mengingkari keputusan sebulat suara yang dibuat kepimpinan PR berhubung beberapa isu. Mat Sabu, ahli PAS selama 37 tahun dan pernah menjadi ahli Parlimen selama 3 penggal di bawah tiket parti itu berkata, patah hatinya melihat PAS berubah hala tuju, walaupun beliau tidak berkata akan keluar parti. "Sudah tentu saya kecewa. Ini parti saya, darah daging saya... terlalu banyak yang diusahakan untuk parti. Bukan mudah untuk meninggalkan parti, walaupun ini satu keadaan yang ganjil," katanya. Pengakhiran PR bermula dengan usul yang diterima dalam muktamar tahunan PAS awal bulan ini, yang hasilnya memutuskan hubungan dengan DAP, pihak yang bertelingkah dengan Hadi dan beberapa pemimpin konservatif lain. Kini ada kemungkinan pemimpin progresif PAS yang digulingkan membentuk parti mereka sendiri, tetapi Mat Sabu berkata masih terlalu awal untuk bercakap lebih banyak mengenai idea itu. "Kita perlu berbincang lagi sama ada kita akan perlukan parti baharu atau kita boleh cari cara untuk memulihkan ahli PAS... baik pulih semuanya. "Walau apa pun, parti itu perlu berasaskan Islam kerana hanya dengan itu kita boleh menarik umat Islam untuk menyokongnya," katanya, sambil menambah, parti dengan asas Islam tidak akan ditolak bukan Islam. Ini kerana PAS berjaya menawan sokongan bukan Islam dengan slogan "PAS untuk semua" yang digunakan pada pilihan raya umum 2013. Konsep negara berkebajikan juga menerima sokongan daripada bukan Islam, kata Mohamad. "PAS diterima masyarakat Cina. Kita pernah nampak orang Cina pakai kemeja T dengan logo PAS pada masa itu. "Islam bukan masalah. Masalahnya ialah cara pemikiran pemimpin (PAS)," katanya. Jika satu parti baharu dibentuk barisan pemimpin sepertinya yang tersingkir daripada kepimpinan PAS, Mat Sabu berkata ia akan meneruskan cita-cita yang kini diabaikan parti Islam itu. Cita-cita itu ialah untuk memperjuangkan nilai seperti keharmonian pelbagai bangsa, tadbir urus yang baik dan kerajaan yang bersih. "Lihat ahli Parlimen di Dewan Rakyat. Mereka yang bercakap mengenai rasuah, tadbir urus kerajaan yang baik dan nilai adalah orang seperti (Ahli Parlimen Parit Buntar) Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, (Ahli Parlimen Shah Alam) Khalid Samad, (Ahli Parlimen Sepang) Hanipa dan beberapa lagi yang seperti mereka," katanya. Semua nama disebutkan itu turut kalah dalam pemilihan parti. "Tadbir urus kerajaan yang baik, memerangi rasuah, menepati masa, memastikan bandar kita bersih, semua itu Islamik. Tetapi mereka yang kononnya ulama kelihatan lemah dalam mengendalikan perkara seumpama itu. "Nilai dan amalan itu bukan keutamaan pemimpin PAS sekarang. Semua itu menggambarkan cara pemikiran mereka," katanya. – 20 Jun, 2015 ~sumber |
You are subscribed to email updates from PERKUKUH PAKATAN RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan