Jumaat, 12 Jun 2015

ALHUSSEYN

ALHUSSEYN


Betapa cerdiknya Putrajaya membayar RM222 juta setahun untuk menyewa kereta Proton

Posted: 12 Jun 2015 09:00 AM PDT

Kerajaan membayar RM221.66 juta setahun kepada syarikat swasta Spanco Sdn Bhd untuk memajak 10.963 kereta Proton untuk kegunaan pegawai-pegawainya. 

Kerajaan telah menyewa tujuh model kereta Proton pada kadar RM973.84 untuk RM3,288.84 satu model sebulan, Kementerian Kewangan berkata dalam jawapan bertulis kepada Parlimen.

 "Sebanyak 10,983 unit kenderaan telah disewa oleh kerajaan pada masa ini," masa ini," kata kementerian itu dalam jawapan kepada Teo Kok Seong (DAP-Rasah, gambar) dalam jawapan yang bertarikh 10 Jun. 

Senarai ini termasuk 486 unit Perdana 2.4 Eksekutif di sewa bulanan sebanyak RM3,284.84 kereta, 709 unit Perdana 2.0 Standard (RM2,892.32 kereta sebulan) dan 2,127 unit Inspira 2.0 (RM2,147.68).

 Tiga model kereta pertengahan yang digunakan oleh kerajaan adalah Persona (442 unit, di RM1,114.66 kereta sebulan), Preve (3518 unit, RM1,572.77) dan Proton Waja (2,466 unit, RM1,296.85). Proton Saga disewa pada RM974 sebulan.

 Kerajaan juga menyewa sejumlah 1,061 unit Proton Saga pada RM973.84 kereta sebulan.

 Ini bermakna kerajaan membayar Spanco RM18,472,160 sewa sebulan untuk semua kereta, bermakna perbelanjaan RM221.66 juta setahun untuk sewa kereta sahaja.

Harga sebuah Proton Inspira 2.0 julat daripada RM84,841 kepada RM92,062, mengikut senarai harga yang tertera di laman web Proton, manakala  kerajaan membelanjakan daripada RM25,772 setahun untuk menyewa model ini.

 Teo meminta kerajaan menyatakan jumlah bilangan kenderaan disewakan sejak tahun 1993, model yang digunakan dan sewa bulanan yang dibayar.

 Spanco telah menandatangani perjanjian pajakan 25 tahun dengan kerajaan, yang akan tamat pada 31 Disember 2018.

 Di bawah perjanjian itu, Spanco bertanggungjawab untuk membekalkan, menyelenggara dan membaiki semua kereta yang disewa oleh kerajaan. - M'kini

Cara nak kenal siapa jantan, siapa betina....

Posted: 12 Jun 2015 07:12 AM PDT

Ketua Pemuda DAP Teo Kok Seong hari ini membidas Nik Mohd Abduh Nik Aziz sebagai seorang yang "low standard" susulan cabarannya kepada DAP supaya menamatkan hubungan mereka dengan parti Islam tersebut. 

Beliau berkata ketua Pemuda PAS itu tidak wajar mengeluarkan cabaran sedemikian kerana bukan DAP yang memutuskan untuk tidak mahu menjalin kerjasama dengan PAS, sebaliknya mereka sendiri yang membuat keputusan itu.

 "Bagi saya itu satu kenyataan yang 'low standard'. PAS dalam muktamar yang membuat keputusan menamatkan hubungan, sekarang mahu buat pusingan U.

 "Mereka perlu tanya diri, sendiri siapa yang tidak jantan," kata Teo, yang juga ahli Parlimen Rasah, kepada The Malaysian Insider.

 Menerusi media sosial, ahli Parlimen Pasir Mas itu mencabar DAP mengisytiharkan kerjasama antara mereka putus secara rasmi, sama seperti apa yang dilakukan PAS.

 "Sekali nampak macam yakin dan berani benar, tapi asyik dok tekan PAS supaya putus hubungan dengan dia. Macam tak yakin pula nak lafaz cerai terhadap PAS.

 "'Come on' lah DAP, jadilah jantan juga. Pilih, 'be gentleman, cool' macam PAS atau berterus terang je.. tolak PAS," tulis Nik Abduh di status laman Facebooknya semalam. - Baca lagi di sini

Komen al-Husseyn:

Kena tanya kat Nujum Pak Belalang....Hahahaha!

Orang Umno pun tergamam dengan fenomena label melabel puak agamawan PAS

Posted: 12 Jun 2015 01:32 AM PDT

DR ASYRAF WAJDI KESAL PAS SEBAGAI ORGANISASI BERLABEL ISLAM TIDAK TAMPIL DENGAN WATAK DAN CERMINAN ISLAM YANG SUCI
 
Ruang media sosial masih hangat membincangkan mengenai pemilihan Muktamar Pas kali ke-61 yang berakhir Sabtu lalu. Mereka yang dikatakan pro ulama telah menang besar pada pemilihan kali ini bagi mewakili kepimpinan di peringkat Pusat. Datuk Seri Hadi Awang masih berjaya mengekalkan jawatannya sebagai Presiden Pas bagi penggal 2015/2017. Manakala mereka yang tidak sehaluan dengan ulama atau lebih dikenali dengan kumpulan profesional, Erdogan, Anwariyyun, dan liberal telah tersingkir dan kalah teruk pada pemilihan ini. Malah, bekas Timbalan Presiden Pas sendiri yang dilihat bukan dari golongan pro-ulama iaitu Mohamad Sabu gagal mempertahankan jawatannya dengan hanya memperoleh 279 undi berbanding pencabarnya daripada Tuan Ibrahim yang menang dengan majoriti 602 undi.

 Kebanyakan nama-nama besar yang dulunya dilihat gah mewakili kelompok profesional dalam Pas seperti Salahuddin Ayub, Mahfuz Omar, Husam Musa, Mohammad Nizar Jamaluddin, Hanipa Maidin, Khalid Samad, Dzulkefly Ahmad, Mohd Hatta Ramli, Suhaizan Kayat, Mujahid Rawa, kesemuanya kalah teruk dalam pemilihan kali ini.

 Mereka inilah suatu masa dulu dilihat mengangkat imej Pas yang sebelumnya hanya dikatakan sebagai "lebai kampung" kerana dikuasai oleh golongan ustaz dan ulama. Setelah ramai golongan pro profesional dibawa masuk ke dalam Pas, golongan inilah yang dilihat mampu menyaingi imej Umno yang lebih berlatar belakangkan profesional.

 Penulis tidaklah berhajat hendak menganalisis keputusan pemilihan yang menyaksikan tampuk kepimpinan Pas kembali didominasi golongan agamawan hingga menyingkirkan puak-puak yang dianggap petualang kepada perjuangan asal Pas.

 Cuma penulis agak tergamam dengan fenomena label-melabel dan tohmah-menohmah yang begitu hebat berlaku secara terbuka sepanjang tempoh kempen pemilihan Pas lalu.

 Sebelum muktamar berlangsung, pelbagai label, gelaran dan tohmahan yang diberikan kepada golongan-golongan yang terdapat dalam Pas. Antara yang menjadi viral di media-media masa seperti jebon, munafik, geng juhala, liberal, pengkhianat dan sebagainya.

 Kalau suatu masa dulu, label-melabel ini adalah suatu perkara yang biasa dilemparkan kepada Umno seperti munafik, tolak hukum ALLAH, sekular, barua, ulama terompah dan sebagainya. Hari ini, amalan ini telah menular dalam kalangan mereka sendiri.

 Perkara label-melabel dan fitnah-memfitnah sesama ahli, pimpinan dan penyokong Pas ini bukanlah rekaan pihak luar, bahkan ketua Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) sendiri, yang merupakan seorang yang bukan beragama Islam mengakui perkara ini dalam ucapan penggulungannya pada muktamar kali ini.

 Beliau juga berasa hairan dan terkejut dengan gejala yang berlaku dalam Pas ini. Beliau sendiri mengingatkan para hadirin jika ada ayat-ayat al-Quran yang melarang amalan fitnah-memfitnah dan label-melabel ini. Bukan itu sahaja, beliau juga mempersoalkan kenapa para ulama dalam Pas hanya berdiam diri dan tidak menegur perkara ini?
 Penulis sendiri walaupun bukan daripada parti Pas tentunya berasa tercabar apabila seorang bukan Islam boleh menegur perbuatan yang hakikatnya langsung tidak mencerminkan akhlak dan prinsip Islam. Apatah lagi dilakukan oleh golongan yang sering mendabik dada mendakwa pejuang Islam dan berpegang kepada al-Quran dan As-Sunnah.

 Bila bercakap soal berpegang kepada al-Quran dan as-Sunnah, serta berpegang kepada hukum ALLAH, bukankah larangan fitnah-memfitnah, label-melabel, memperlekeh dan merendah-rendahkan orang lain sesama Muslim juga termasuk dalam hukum ALLAH dan termaktub dalam al-Quran dan as-Sunnah? Di manakah kedudukan firman ALLAH ini?

 "Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (daripada kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak daripada kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah sesetengah kamu menyatakan keaiban sesetengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim". Surah al-Hujurat, ayat 11.

 Justeru, wabak yang menular dalam Pas ini perlu diberi perhatian serius supaya ia tidak menjadi fitnah kepada mereka yang menganggap bahawa semua yang membawa label "Islam" adalah mewakili agama Islam yang suci.

 Adalah amat malang sebuah organisasi yang berlabel Islam tetapi tidak tampil dengan watak dan cerminan agama Islam yang sejati. Budaya sebegini jika tidak ditangani dengan baik, tentu sekali akan menjadi fitnah kepada Islam, bahkan menjauhkan orang bukan Islam terhadap agama yang suci ini.

 ■ Oleh Dr Asyraf Wajdi Dusuki, YDP Yadim
 ■ 10 Jun 2015

Mana 400,000 Netbook 1Malaysia, Shaberi Cheeik?

Posted: 11 Jun 2015 09:00 PM PDT

Akibat mempersoalkan isu 400,000 unit netbook 1Malaysia yang Timbalan Perdana Menteri sepatutnya memberikan penjelasan, tetapi dia telah dihalau keluar dari Dewan Rakyat hanya semata-mata menteri tak dapat nak menjawap? 

Kenyataan media Teo Kok Seong, Ketua DAPSY Kebangsaan merangkap Ahli Parlimen Rasah pada hari Jumaat 15 Mei 2015 di Kuala Lumpur:

 "Mana 400,000 Netbook 1Malaysia yang dijanjikan untuk warga pendidik pada Hari Guru tahun lalu?" Esok 16 Mei adalah sambutan Hari Guru yang akan disambut oleh seluruh rakyat Malaysia sebagai penghargaan dan pengiktirafan terhadap sumbangan dan jasa warga pendidik dalam memberi ilmu dan didikan kepada anak-anak kita.

Pada 16 Mei 2014 iaitu Hari Guru tahun lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek telah mengumumkan di sini bahawa sebanyak 400,000 unit Netbook 1Malaysia akan diberikan kepada warga pendidik sebagai tanda penghargaan atas sumbangan mereka terhadap negara.

 Pada 19 Jun 2014, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek telah memaklumkan kepada Dewan Rakyat ketika menjawab soalan YB Nurul Izzah bahawa sebanyak RM400 juta telah dibelanjakan untuk pemberian Netbook 1Malaysia kepada guru-guru seperti mana yang telah dijanjikan sempena Hari Guru 2014. Selain itu, sebanyak 48 pembekal telah dilantik oleh Kementerian untuk membekalkan Netbook 1Malaysia kepada 400,000 orang guru. Esok genap setahun pengumuman pemberian Netbook 1Malaysia oleh Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek. Ramai guru masih tertanya-tanya di mana Netbook 1Malaysia mereka kerana mereka masih belum menerima hadiah yang telah dijanjikan oleh pihak kerajaan.

 Justeru izinkan saya memaklumkan kepada semua warga guru dan seluruh rakyat Malaysia mengenai perkembangan terkini janji 400,000 unit Netbook 1Malaysia.

 Menurut jawapan bertulis oleh YB Menteri Pendidikan Malaysia kepada saya ketika persidangan Parlimen Mac – April 2015:-

 "Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak meneruskan pemberian Netbook 1Malaysia kepada 400,000 guru kerana bilangan yang disediakan tidak mencukupi. Selain itu, KPM juga berpandangan bahawa penggunaan netbook ini dapat dioptimumkan sekiranya ditempatkan di makmal komputer sekolah dan dilengkapkan dengan perkhidmatan sokongan teknikal juruteknik KPM. Walau bagaimanapun, KPM telah menyediakan perkhidmatan Netbook 1Malaysia untuk pinjaman guru jika ada keperluan.

 Sebanyak 218,002 unit Netbook 1Malaysia kepada 4,501 sekolah dan 367 Pusat Kegiatan Guru (PKG) seluruh Malaysia. Selain itu, KPM telah menyediakan sebanyak 42,532 Netbook di pusat Kegiatan Guru (PKG) untuk menyediakan perkhidmatan pinjaman kepada semua guru-guru seluruh Negara. Sebanyak 126,231 unit dikekalkan sebagai unit gantian agar perkhidmatan makmal dan pinjaman kepada guru-guru dapat beroperasi sepenuhnya tanpa gangguan. Dengan kemudahan unit gantian oleh Pusat Kegiatan Guru (PKG) kepada sekolah, sebarang aduan kerosakan Netbook ini dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan efisien."

 Soalan saya kepada Menteri Pendidikan:

 1. Bilangan netbook 1Malaysia tidak mencukupi sebagai hadiah kepada warga guru merupakan satu alasan yang tidak munasabah dan tidak boleh diterima. Sebanyak RM400 juta sudah dibelanjakan dan sebanyak 48 pembekal telah dilantik seperti yang diumumkan setahun yang lepas. Bagaimana pula masih tidak mampu untuk mebekalkan 400,000 unit netbook?

 2. Jika bilangan Netbook 1Malaysia tidak mencukupi, mengapakah KPM boleh menyimpan stok sebanyak 126,231 unit dikekalkan sebagai unit gantian?

3. Mengapakah kerajaan atau kementerian perlu menampung kos untuk menyimpan sebanyak 126,231 unit gantian? Tidakkah 48 pembekal yang dilantik menawarkan "after sales service" yang menjamin kualiti netbook yang dibekal?

4. Netbook 1Malaysia yang dijanjikan oleh Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek adalah sebagai hadiah kepada 400,000 warga guru. Bagaimana hadiah Netbook yang dijanjikan akhirnya boleh bertukar menjadi perkhidmatan pinjaman Netbook?

 Seperti apa yang diumumkan oleh Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pada 19 Jun 2014, sebanyak RM400 juta telah pun dibelanjakan untuk pemberian Netbook 1Malaysia. RM 400 juta merupakan satu angka yang sangat besar dan ia perlu diperjelaskan kepada semua warga guru dan seluruh rakyat Malaysia. Jika RM400 juta telah dibelanjakan, saya rasa pihak kerajaan harus menjawab ke mana perginya kesemua Netbook 1Malaysia yang telah dibeli itu.

 Saya tidak dapat menerima pendekatan KPM untuk menyimpan 126,231 unit gantian. Kalau ikut logik KPM, ini bermakna setiap orang yang membeli netbook atau notebook untuk penggunaan persendirian sekurang-kurangnya perlu memberi dua unit; satu untuk digunakan, dan satu atau dua lagi perlu disimpan di rumah untuk dijadikan gantian?

 Tindakan kerajaan memungkiri janji pemberian Netbook 1Malaysia kepada warga pendidik sebagai hadiah sempena Hari Guru 2014 merupakan satu penghinaan kepada sumbangan warga pendidik. Saya menyeru Y.A.B Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Mohd Yassin selaku Menteri Pendidikan untuk memberi penjelasan yang munasabah dalam perutusan beliau sempena Hari Guru 2015.

TEO KOK SEONG

Muktamar PAS mengecewakan, perlu parti Islam demokrat baharu, kata forum

Posted: 11 Jun 2015 07:42 PM PDT

OLEH YASMIN RAMLAN
Ahli akademik Dr Maszlee Malik 
Bagi menyelamatkan politik di negara ini, Malaysia memerlukan parti Islam demokrat yang menumpukan kepada hak rakyat dan bukannya berasaskan Melayu Islam, kata seorang ahli akademik.

 Dr Maszlee Malik berkata rakyat tidak mahukan politik yang berbaur perkauman dan lebih berminat kepada politik yang ke depan dengan membincangkan isu berkaitan urus tadbir, pendidikan, perumahan dan alam sekitar, seperti yang dilakukan DAP.

 "Seperti DAP contohnya, membicarakan tentang pengurusan buangan sisa pepejal. Parti Islam tidak membincangkan perkara itu. Itu kita kena ubah.

 "Kalau Islam demokrat yang akan datang ini, mereka perlu keluar daripada membicarakan isu perkauman, tetapi membincangkan isu berkaitan masyarakat," kata pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu.

 Beliau berkata demikian sebagai salah seorang ahli panel pada forum "Pasca Muktamar, ke Mana Hala Tuju PAS" yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor malam tadi.

 Maszlee juga mengkritik keputusan muktamar PAS baru-baru ini yang majoritinya dimenangi golongan konservatif.

 Beliau mendakwa, golongan konservatif terutamanya "ustaz muda" bakal meletakkan PAS di takuk lama seperti sebelum ini. "Mereka akan pastikan tidak ada ruang untuk PAS kembali kepada pasca 2008. PAS akan terus menjadi konservatif," katanya sambil meramalkan kemungkinan besar parti Islam tersebut bakal menjadi seperti Parti Sosialis Malaysia (PSM) atau Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa). Beliau juga menyarankan golongan profesional PAS menubuhkan satu parti baharu sebagai jalan terbaik dan tidak menyertai Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa) kerana mereka akan dilihat sebagai sekumpulan yang kecundang atau "serpihan" PAS.

 "Kena tubuhkan satu parti yang segar, baharu. Anak-anak muda, NGO Islam, orang Islam yang lebih Islamis dan demokrat, untuk maju ke depan.

 "Dalam pilihan raya terdekat, tidak dapat kerusi pun tak apa," katanya.

Aktivis Hishamuddin Rais 
 Aktivis Hishamuddin Rais bersetuju Malaysia perlu ada parti Islam demokrat baharu. – Gambar The Malaysian Insider oleh Seth Akmal, 12 Jun, 2015.

 Katanya, dalam masa 20 atau 30 tahun akan datang, PAS tidak lagi relevan dan masyarakat ketika itu akan memerlukan parti Islam yang lebih realistik.

 "Waktu itu PAS tidak lagi relevan. Waktu itu kita perlukan parti Islamis demokrat yang lebih realistik, dan boleh beri harapan baru menuju ke depan. "Mereka perlu ke depan. Ini bukan untuk generasi kita tapi untuk anak cucu kita," katanya dan pendapat itu turut dikongsi ahli panel lain.

 Aktivis Hishamuddin Rais bersetuju dengan Maszlee, mengatakan Malaysia perlu satu parti Muslim demokrat yang tidak berasaskan perkauman kerana menganggap PAS kini "produk yang rosak". "Pengajaran yang penting sekali daripada muktamar ini ialah Dewan Ulama meluluskan untuk putus hubungan dengan DAP.

 "Tiba-tiba mereka sedar, terdapat 5,000 hingga 6,000 ahli PAS yang hidup makannya bergantung kepada kesepakatan DAP dan PKR. "Ini bukan soal agama, tetapi soal ekonomi," katanya pada forum itu.

Fathi Aris 
 Susulan keputusan muktamar itu, seorang lagi ahli panel forum, Fathi Aris Omar mencadangkan agar PAS keluar daripada Pakatan Rakyat (PR).  
"PAS yang ada sekarang ini bukan saja tidak meneruskan usaha reformasi, saya cadangkan supaya PAS keluar PR, kerana mereka tidak menyumbang. "Mereka menjadi duri dan nanah dalam daging PR. Meletakkan 2 parti (DAP dan PKR) dalam dilema," kata bekas ketua pengarang portal berita Malaysiakini itu. – 12 Jun, 2015.~ themalaysianinsider

Tiada ulasan: