Ahad, 24 Mei 2015

Roslan SMS Corner

Roslan SMS Corner


Fitnah dan adu-domba tidak akan menjatuhkan kepimpinan PAS (24/5/15)

Posted: 24 May 2015 02:21 AM PDT

Tidak sampai dua minggu lagi dalam Muktamar PAS ke 61 di Kuala Selangor, para perwakilan PAS akan menentukan siapakah pucuk pimpinan tertinggi parti berkenaan bagi tempoh penggal yang akan datang.

Bukan hanya kalangan orang-orang PAS yang berminat untuk menentukan kepimpinan parti mereka, malah Muktamar kali ini menarik perhatian dan minat ramai dikalangan kawan dan lawan. Ada yang sekadar memerhati, ada yang meramal mengulas malah ada pula yang cuba mempengaruhi para perwakilan dengan pandangan dan kadang-kala ugutan.
Beberapa isu tertentu digunakan untuk mempengaruhi para perwakilan agar menolak atau menaikkan pihak-pihak tertentu yang bertanding.

Sesungguhnya yang akan menyaksikan pertandingan bukanlah sebuah parti biasa sebagaimana parti-parti lain yang bergerak di Malaysia, akan tetapi parti berkenaan adalah sebuah gerakan Islam satu-satunya parti yang meletakkan Islam sebagai dasar dan matlamat perjuangannya.
Oleh yang demikian menyedari dan mengetahui para perwakilan PAS, saya mengira bukanlah sesuatu yang mudah untuk mempengaruhi mereka dengan isu yang sengaja diada-adakan, apalagi yang berbaur adu-domba, ugutan apa lagi fitnah.

Perwakilan PAS nanti adalah terdiri dari Yang Dipertua PAS Kawasan-kawasan, selain biasanya pimpinan tertinggi diperingkat kawasan masing-masing kesemuanya minima 5 dari setiap kawasan seluruh Malaysia. Juga dalam perwakilan nanti adalah 15 wakil dari Dewan-dewan Pemuda, Muslimat dan Ulamak Pusat masing-masing selain perwakilan dari kalangan AJK PAS Pusat.
Secara umumnya kesemua mereka ini adalah pimpinan tertinggi PAS samada peringkat kawasan-kawasan mahupun Dewan-dewan dan AJK Pusat.

Mereka yang dari pelbagai disiplin dan latarbelakang akademik dan pekerjaan ini bukanlah orang-orang biasa yang boleh digula-gulakan apatah lagi dimomok dan diugut.
Oleh itu jangan sekali-kali cuba merendah-rendahkan bacaan politik mereka, jangan sekali-kali menyogok mereka dengan sesuatu yang melampaui kematangan dan komitmen mereka dalam PAS dan perjuangan Islam.

Saya lihat ada dua isu popular yang cuba diasak pada para perwakilan PAS.
Pertama isu mahu meninggalkan Pakatan Rakyat atau tidak mesra PR dan keduanya isu tergila mahu berbaik dan tidur sekatil dengan Umno dan BN.

Dua isu ini hebat dijadikan bahan nyanyian, lagu siulan oleh sesetengah pihak dengan harapan boleh mengguling dan menjatuhkan secara tepat Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang selaku Presiden PAS dan mereka yang berkongsi pemikiran dan harapan bersama beliau.
Kononnya politik Tuan Guru politik yang mahu memaksa PAS keluar PR. Tidak mesra PR sehingga Setiausaha Agung DAP turut campurtangan mengiyakan perkara ini selain beberapa kalangan pimpinan dalam PAS yang turut ghairah mahu merebahkan Tuan Guru.

PAS bawah Tuan Guru dikatakan sering mahu mencari masalah dalam PR. Sering berbalah dengan PKR dan DAP dan Tuan Guru seakan tidak minat dengan politik PR sehinggakan kehadirannya dalam mesyuarat PR dijadikan bukti tohmahan ini.
Benarkah begitu?

Hakikatnya PAS sejak ditubuhkan lebih 60 tahun lalu, berterusan memikul dan menjulang agenda Islam sebagai perjuangan politiknya. Untuk mengejar agenda berkenaan PAS masuk dan bertanding Pilihanraya. Dari masa kesemasa jua demi memenangkan agendanya PAS sentiasa terbuka untuk berkerjasama dengan mana-mana parti dan NGO dan ini sudah terbukti dalam sejarah panjang PAS dalam politik tanahair.
Cumanya tidak seperti parti-parti lain, PAS memiliki dasar dan prinsip yang tetap yang sekali-kali tidak boleh dikompromi atau diagadikan hanya semata-mata mahu menang pilihanraya. Dasar dan prinsip ini bagi PAS adalah sesuatu yang berharga dan ianya itulah yang mencetuskan semangat dan kegigihan perjuangandalam jiwa oramg-orang PAS  kerana tidak seperti parti dan pihak lain, ahli-ahli PAS mengejar ganjaran akhirat yang berakhir tidak sekadar di Putrajaya.

(Ini mungkin tidak dikongsi atau difahami oleh mereka yang masuk PAS dengan agenda peribadi tertentu, kerana itu mereka tak lama dalam PAS dan membawa diri keluar seperti Tamrin Ghafar dan tidak mustahil Tan Sri Muhammad Taib tidak lama lagi, silakan)
PAS boleh berkawan dan boleh berkerjasama dengan sesiapa sahaja tetapi ianya tertakluk kepada dasar dan prinsipnya yang sekali-kali tidak boleh digadaikan.

Kerana itu orang-orang PAS tahu kiranya Presiden mereka sebelum ini tampak membawa pendirian yang tegas dalam PR, membawa sikap menentang dalam isu-isu tertentu, bukannya kerana Tuan Guru mahu mengasingkan diri atau mengeluarkan PAS dari PR, tetapi sesungguhnya ia diambil semata-mata kerana memeilihara dan mempertahankan dasar dan prinsip perjuangan PAS.
Atas istiqamah itu beliau dihormati dan disanjungi oleh umat Islam lebih-lebih lagi akar-umbi PAS, dan tiada siapa samada pihak tertentu dalam PAS mahupun kawan dalam PR tambah-tambah lagi musuh dari luar yang akan berjaya menggunakan isu ini untuk memaksa perwakilan PAS menolak Tuan Guru dan mereka yang bersamanya.

Mempertahankan prinsip dan dasar perjuangan adalah ajaran para Nabi dan Rasul, dan para perwakilan PAS tidak memerlukan sesiapa pun untuk mengajar mereka sebaliknya.
Kesimpulannya saya yakin Tuan Guru tetap mahu bersama PR, cumanya kawan-kawan perlu faham dan meraikan sikap dan pendirian PAS dalam hal-hal tertentu, itulah adat berkawan.

Keduanya isu kononnya Tuan Guru mahu membawa PAS masuk menyertai BN atau bersama Umno. Gagasan "Kerajaan Perpaduan" dimain-mainkan kononnya "Unity Government" atau "UG" itu adalah antara PAS dan Umno.
Satu hakikat bagi orang-orang PAS sebut sahaja mahu bermain cinta dengan Umno, ianya sesuatu yang tidak boleh diterima kerana Umno adalah musuh tradisi PAS. (Lantaran itu saya yakin pihak berkepentingan memainkan isu ini dengan putar-bulit yang durjana)

Tetapi UG dahulu janganlah diputar-belitkan kerana ianya tidak pernah bermaksud gabungan PAS dan Umno. Ia sesungguhnya adalah cadangan Tuan Guru yang melibatkan semua parti-parti di Malaysia samada BN dan PR sehinggakan tiada lagi pembangkang kerana semua sudah duduk dalam kerajaan.
Gagasan Tuan Guru itu telah ditolak akhirnya oleh PAS Pusat, dan tidak pernah dihidupkan kembali kecuali orang segelintir tertentu yang memutarbelitkannya dengan tohmahan bahawa Tuan Guru maksudkan gabungan PAS dan Umno lalu Tuan Guru perlu ditolak kerana itu.

Jahat sungguh mereka yang ghairah kerana gilakan jawatan sehinggakan sanggup menabur fitnah dan mereka-reka cerita dengan harapan kali ini para perwakilan PAS akan terpengaruh dan menolak Tuan Guru sebagai Presiden.
Juga terbabit dalam memainkan isu ini adalah Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang berterusan menyerang Tuan Guru dengan fitnah ini. Harapan beliau biar PAS lepas ini jadi lunak buat beliau syaratnya PAS tanpa Tuan Guru.

Saya sama sekali tidak percaya para perwakilan PAS boleh tertipu dan termakan dengan racun ini sehingga berselera mahu menggulingkan Tuan Guru dan mereka yang bersamanya semata-mata kerana percaya Tuan Guru mahu berpeluk dengan Umno.
Isu rang undang-undang persendirian yang mahu membuka laluan perlaksanaan Hudud di Kelantan jangan sekali-kali dipalitkan dengan fitnah jahat ini. Dalam hal mendapatkan sokongan meluluskan Hukum Allah ini, memang PAS terutama Tuan Guru akan melobi semua wakil rakyat di Parlimen agar menyokongnya terutama dikalangan wakil-wakil rakayt Islam samada dari PR ataupun BN.

Melobi dan mendapatkan sokongan wakil-wakil rakyat contohnya dari Umno untuk menyokong  rang undang-undang ini bukanlah bermakna PAS mahu memeluk cium Umno sebagaimana adu-domba yang cuba dicetuskan oleh mereka yang tidak bertanggung-jawab yang ketandusan idea dan muflis imannya.
Bagi saya para perwakilan PAS bijak memilih antara kaca dan permata. PAS ini sudah jauh belayar dalam persada politik Negara membawa dan menjulang panji-panji perjuangan Islam secara istiqamah dengan pemimpin yang silih berganti namun berterusan istiqamah dalam mengejar matlamat perjuangan.

Siapa pun boleh berkata apa sahaja sesuka hati dan nafsu mereka, walaubagaimanapun lantaran PAS ini sebuah wadah Gerakan Islam yang mewakili lebih 1 juta ahli, para perwakilannya pasti akan dipandu oleh Allah swt untuk memilih hanya yang terbaik untuk meneruskan layaran bahtera perjuangan yang besar ini.
Yang pasti dengan izin Allah, "Kepimpinan Ulamak" akan terus menjadi teras dan kekuatan parti ini sampai bila-bila. Ayuh PAStikan ia begitu

Rohingya dan sikap apatis Malaysia Guan Eng dan lain-lain (24/5/15)

Posted: 24 May 2015 12:43 AM PDT

Apakah sikap dan pendirian Malaysia dalam isu Rohingya?

Hari ini difahamkan lebih 7,000 pelarian berkenaan berada di perairan antarabangsa dan ada yang telah masuk ke perairan Indonesia dan Malaysia.
Dunia sedang memerhatikan, umat Islam sedunia turut memerhatikan.

Tetapikah apakah pendirian kita sebenarnya?
Sudahlah kerajaan Malaysia bermain silap mata dan berdolak-dalik dalam menangani isu ini, hari ini dalam akhbar The Sunday Star pula dilaporkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pun seakan memandang rendah penderitaan kaum Rohingya yang rata-rata Muslim itu dengan menyatakan bantahan terhadap ura-ura menempatkan pelarian politik berkenaan di Pulau Pinang.

Tanpa pun mahu mengulas isu kemanusiaan yang tercetus beliau mentah-mentah mendesak agar jika Malaysia menerima pelaruan berkenaan maka pilihalah negeri lain selain Pulau Pinang.
Apa jadi dengan perjuangan Buku Jingga yang beliau jadikan kitab politiknya yangs ecara jelas menyebut:

"Memelihara kepentingan negara dengan menjadi warga dunia yang bertanggungjawab di dalam menghormati hak asasi, memelihara prinsip-prinsip demokrasi dan menjunjung permuafakatan, perjanjian, pengisytiharaan dan persetujuan antarabangsa, yang sejajar dengan nilai-nilai keadilan. "
Dari apa yang dapat saya kumpulkan kerajaan Malaysia seakan melihat isu pelarian Rohinya ini dalam dua perspektif:

1)      Mereka mahu berhijrah kerana tekanan ekonomi ekoran kesukaran mencari nafkah di Negara mereka

2)      Mereka merupakan mangsa sindiket permerdagangan manusia
Kerana itu penyelesaian yang diutarakan adalah memberi bantuan makanan dan pakaian, atau menempatkan mereka di bumi Malaysia buat sementara, dalam tempoh tidak lebih dari setahun dan kemudiannya menghantar mereka kembali ke Negara asal.

Tiada yang mahu melihat dari perspektif tekanan politik dan "ethnic cleansing" yang sedang berlaku di Myanmar sehingga mengakibatkan kaum Rohingya yang rata-rata Muslim ini tertekan lalu nekad melarikan diri demi menyelamatkan akidah, nyawa, diri dan kaum keluarga.
Ianya sama sahaja dengan nasib yang menimpa "Boat people" Vietnam, satu ketika dahulu. Dimana bermula 1975 sehingga lewat 1979 hampir puluhan ribu rakyat Vietnam lari meninggalkan Negara mereka ekoran kekejaman regim kominis yang memerintah Vietnam selepas pengunduran AS di sana.

Saya ingat ketika itu Tun Dr Mahathir yang merupakan Timbalan PM telah mengeluarkan kenyataan akan menembak mana-mana kapal atau bot yang membawa pelarian baru dari Vietnam kerana ketika itu Malaysia atas tekanan antarabangsa sudah terpaksa menempatkan lebih 80,000 pelarian Vietnam di bumi Malaysia khasnya di Pulau Bidong.
Kaum Rohingya ini lari ke rantau sebelah sini kerana tahu bahawa kerajaan Indonesia dan Malaysia kedua-duanya adalah merupakan Negara umat Islam. Ke mana lagi mahu mereka tuju selain ke Negara yang seakidah dan seagama dengan mereka.

Kenapa kita tiba-tiba melihat seakan "pariah" saudara-saudara kita ini?
Kenapa kita mesti longgokkan isu ekonomi dan pemerdagangan manusia dalam hal ini sedang yang lebih kritikal dan mendesak adalah tekanan politik dan agama yang dikenakan oleh majoriti penganut Buddha ke atas minoriti Rohingya yang Bergama Islam.

Mereka merayu-rayu memohon pertolongan kemanusiaan sesama Muslim dari kita, tetapi kita pandangan ianya seakan isu pelarian biasa, mahu cari rezeki macam PATI Indonesia dan Filipina.
Sedang Rasulullah saw. bersabda: Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal saling kasih, saling menyayang dan saling cinta adalah seperti sebuah tubuh, jika salah satu anggotanya merasa sakit, maka anggota-anggota tubuh yang lain ikut merasakan sulit tidur dan demam. (Shahih Muslim No.4685)

Atas itu saya merasakan rakyat Malaysia rata-rata kecewa dan tidak puas hati dengan sikap "play safe" kerajaan Malaysia dalam menangani isu yang sangat kritikal ini. Belum pun ada sikap yang jelas PM Malaysia dengan senang hati meninggalkan Negara melawat Jepun.
Sewajarnya Malaysia serta merta menerima dan menyaring para pelarian ini. Sediakan penempatan bagi mereka dan pastikan mereka yang tertekan itu diberi penempatan, pakian, makanan dan rawatan mana perlu.

Jangan meletakkan tempoh waktu dan mereka tidak patut sekali-kali dihantar pulang ke Negara bergolak mereka kecuali atas kerelaan dan pilihan sendiri.

Sebagai sebuah Negara Islam kita wajar membantu sebagaimana kita membantu pelarian Vietnam dulu yang bukan Muslim pun.
Saya yakin rakyat Malaysia bersedia menghulurkan dana dan bantuan demi memberikan keselesaan dan meringankan penderitaan saudara-saudara se Islam kita itu sebagaimana kita segera membantu rakyat Palestin di Gaza dan dunia Islam yang lain.

Saya mengharapkan pemimpin-pemimpin Islam khasnya dari PAS akan mengangkat isu ini dan memperjuangkan nasib dan masa depan kaum Rohingya itu. Semoga Allah swt meringankan penderitaan mereka.

 

 

 

Tiada ulasan: