Selasa, 26 Mei 2015

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Intisari Ucapan Perbahasan RMK 11 oleh Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Posted: 26 May 2015 06:21 AM PDT



Intisari Ucapan Perbahasan RMK 11 oleh Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang;

1. Beliau memulakan ucapan dengan menyebut peripentingnya muhasabah dibuat terhadap kesemua RMK yang sudah dibentang sebelum ini bagi mengambil iktibar, bukan sahaja atas kejayaan yang dicapai tetapi termasuklah kelemahan dan kesilapan yang telah dilakukan untuk diperbaiki.
Muhasabah itu penting agar kita telah syukur nikmat kepada bumi tanah air kita ini dan bukannya kufur nikmat sehingga tenggelamlah semua tanpa disedari akibat mengulangi kesilapan sehingga menjadi lebih parah.

2. Segala indeks, angka dan statistik yang dibaca hendaklah berpijak di medan rakyat secara nyata, bukan atas kertas sahaja. Pendapatan tinggi yang tidak saksama dengan kadar inflasi adalah ukuran yang tidak tepat dan menipu diri sendiri. 

3. Adakah kita sudah mampu berdikari tanpa bantuan dan hutang atau kita masih berharap bantuan pihak lain dan dibebani sehingga tidak mampu diatasi..?
Kita masih meneruskan amalan riba yang telah merudumkan ekonomi liberal kapitalisme atau seperti negara bekas sosialis yang mengabdikan rakyat atas nama membela rakyat tertindas.

4. Masalah kemiskinan, penggangguran yang ditampung dengan pekerja asing bukan rakyat sendiri, bergantung kepada cukai yang membebankan seluruh rakyat, masih ada negeri, daerah, kampung,dan pedalaman yang terpinggir dari kemudahan asas, ini semua adalah perkara yang wajib dilihat dengan adil dan berterus-terang. Hubungan Pantai Timur dan Pantai Barat, Malaysia Timur dan Malaysia Barat memerlukan kecanggihan bagi merapatkan jurang antara satu-sama lain. 
Contohnya, Lebuhraya Simpang Pulai-Gua Musang-Terengganu, Lebuhraya Rompin-Negeri Sembilan, Lebuhraya Timur-Barat begitu juga hubungan antara Semenanjung Malaysia ke Sabah-Sarawak yang perlu didekatkan agar hasilnya dapat digabungkan dan diseimbangkan.

5. Budaya bergantung selamanya kepada Kerajaan perlulah diubah. Masalah ini tidak selesai kerana budaya memberi ikan bukannya mata pancing. Cukai GST diperkenalkan bukti kegagalan menguruskan hasil tanpa cukai, pengurusan kewangan yang lemah akibat boros dan salahlaku.
Kebergantungan kerajaan kepada Government Link Company (GLC), bukannya cara yang baik kerana ia akan membantutkan perkembangan ekonomi rakyat disebabkan berlaku persaingan yang sentiasa memenangkan kerajaan berbanding rakyat. 

6. Ibnu Khaldun sudah pun menyebut 1000 tahun yang lalu: "penglibatan kerajaan dalam aktiviti ekonomi boleh membawa keburukan."
Campurtangan melampau kerajaan mengikut Teori Komunis dan Sosialis telah menghancurkan negara besar sehingga terpaksa melakukan pembaharuan berasaskan ekonomi bebas yang melahirkan pula tokoh kapitalis daripada pemimpin dahulunya pendokong Komunis dan Sosialis.

7. Tema RMK 11 "Pertumbuhan Berpaksikan Rakyat" gagal tanpa kejayaan pembangunan insan kerana tidak mengikut acuan Allah. Agenda pembangunan insan adalah kunci kejayaan ummat dan negara, yang mengikut fitrahnya iaitu jasad, ruh dan akalnya. Keseluruhan teori ciptaan manusia hanya melihat aspek jasad,yang tidak seimbang dengan akal dan terpisah daripada ruh, menjadikan kebendaan adalah matlamat, bukannya alat bagi memakmurkan bumi maka manusia itu tenggelam menjadi hamba kepada kepentingan kebendaan. 
Ini adalah punca kejatuhan tamadun negara yang paling maju dalam lipatan sejarah hanya tinggal kenangan dan mewarisi peninggalan lambang kezaliman terhadap rakyat walaupun hebat bangunan dan kotanya., sumber manusianya mati ditelan bumi dihumban ke neraka serta dikutuk sejarahnya.

8. Ibnu Khaldun menyebut, "manusia makhluk bertamadun, masyarakat madani boleh menghasilkan pelbagai pekerjaan hasil daripada dirinya dan sumber sekeliling." Contohnya, daripada satu keperluan makanan, bukan sahaja memerlukan pertanian, bahkan mewajibkan adanya industri dan perdagangan, pengangkutan dan jentera yang akan menumbuhkan peluang pekerjaan dan memajukan di mana sahaja bumi kita berpijak dengan syarat diurus dengan bijak dan baik tanpa ada penyelewengan dan kebocoran. 
Golongan penasihat kerajaan mestilah ikhlas,berilmu, beriman dan budiman, bukannya hanya tahu mengampu dan memuji setiap masa.

9. Pelaburan asing yang tidak memberikan pulangan pindahan teknologi bagi mencapai negara maju, kerana pelabur yang bakhil ilmu tanpa meraikan tuan rumah, dan lebih mengundang tenaga asing daripada tenaga tempatan. Kita tidak boleh hanya menjadi pengkalan ekonomi bagi negara besar, dahulu kita pernah menjadi pengkalan keselamatan mereka ketika zaman penjajahan Perang Dunia ke 2 dahulu.
Dalam peperangan itu, 60 % yang menjadi mangsa adalah negara yang dijajah sedangkan rakyat negara penjajah hanya 40% yang menjadi mangsa. Itu dalam peperangan, dalam ekonomi kita juga akan menjadi mangsa jikalau tidak berwaspada. Lebih parah apabila kita dijemput menyertai gagasan mereka, sekadar menjadi khadam bagi memulihkan krisis yang dialami mereka. Kerjasama antara negara itu penting tetapi faedah yang diperoleh itu perlulah secara bersama bukannya sebelah pihak sahaja. 

10. Warisan penjajahan yang meminggirkan Pantai Timur dan Malaysia Timur hendaklah dihapuskan kerana negeri-negeri ini kaya sumber buminya tapi rakyatnya masih miskin dan dipinggirkan apabila dibandingkan dengan Pantai Barat dan Malaysia Barat. Hentikanlah permainan politik yang melampau, jadikan penyelesaian tanggungjawab secara holistik bukan hanya ketika pilihanraya umum dan pilihanraya kecil sahaja. 

11. Perdana Menteri ada menyebut ayat Quran ketika ucapan pembentangan RMK 11 bahawa Allah yang memiliki segala-galanya, dan Allah yang terbaik. Apabila disebut itu, maka kita perlu balik kepada acuan Allah iaitu pembangunan Insan. Tamadun Barat yang diciplak daripada Tamadun Islam itu kini sedang menuju kehancuran kerana mengabaikan aspek ruh. 

12. Peranan bahasa Kebangsaan sebagai bahasa ilmu amat penting bagi menambahkan lagi sumber manusia. Penterjemahan ilmu kepada bahasa kebangsaan akan memberi kemudahan dan lebih cepat melahirkan ilmuan dalam pelbagai lapangan. Lihat contoh negara Jepun, Korea, China, Jerman yang bangkit dengan bahasa mereka sendiri sepertimana Tamadun Islam yang bangkit dengan Bahasa Arab.

13. Akhirnya, beliau mengulas isu antarabangsa iaitu pelarian Rohingya dan IS. Isu pelarian Rohingya bukanlah isu keagamaan semata-mata, tetapi ia adalah isu kemanusiaan. Dalam tahun 1970an dahulu, kita pernah membantu pelarian Vietnam yang datang ke perairan Pantai Timur. Walaupun majoriti penduduk di situ adalah beragama Islam tetapi mereka tetap membantu pelarian tersebut yang bukan beragama Islam yang telah menjadi mangsa kezaliman Perang Vietnam.
Kesannya, hari ini kita mempunyai hubungan yang baik dengan Vietnam.

14. Beliau turut mengingatkan agar tidak berulang lagi sejarah Perang Dunia Kedua. Peristiwa kelahiran ISIS di Asia Barat tidak lain adalah permainan kuasa besar dunia untuk melagakan antara sesama orang Islam di atas nama perbezaan mazhab, kaum, ekonomi dan lain-lain. Ada artikel yang mendedahkan pihak intelligence Barat meletakkan pelampau di kawasan ini bagi menimbulkan ketegangan yang mencetuskan peperangan secara proksi/wakil kepada kuasa besar yang memberi keuntungan daripada syarikat senjata dan syarikat minyak mereka.

*Seperti biasa, ucapan Tuan Guru Presiden PAS sarat dengan ilmu, fakta dan hujjah ilmiah. Beliau menyentuh RMK 11 ini secara kerangka dasar dan sudah pun menyebut di awal ucapan itu bahawa hal yang lebih terperinci dan cabang akan dibahaskan oleh wakil rakyat lain.
Walaupun Tuan Guru berkelulusan agama tetapi beliau berkebolehan dalam berbahas menyentuh hal ekonomi, pentadbiran negara, bahkan politik antarabangsa. Beliau mampu menerangkan sesuatu konsep realiti semasa hari ini dengan diperkukuhkan dalil Al Quran dan Hadis.

Catatan Oleh;
Syed Ahmad Fadhli 
Pusat Penyelidikan PAS (PPP)

PERINGATAN PRESIDEN PAS

Posted: 26 May 2015 03:55 AM PDT

Peringatan ini ditujukan khusus kepada seluruh kepimpinan dan ahli PAS, serta masyarakat di Malaysia secara umumnya, dalam kita mendepani permasalahan yang sedang berlaku di waktu ini.


Firman Allah dalam Surah Attaubah ayat 122 :


(وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنْفِرُوا كَافَّةً ۚ فَلَوْلَا نَفَرَ مِنْ كُلِّ فِرْقَةٍ مِنْهُمْ طَائِفَةٌ لِيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنْذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ)
[Surah At-Tawbah ayat 122]

Maksudnya : (Dan bukanlah semua orang-orang yang beriman itu keluar berperang. Mengapa tidak ada satu kumpulan di kalangan mereka yang bertafaquh (belajar dan memahami) ajaran Islam dan supaya mereka pulang memberi peringatan apabila kembali menemui kaum mereka, mudah-mudahan mereka menerima peringatan). (At-Taubah:122)

Sabda Rasulullah S.A.W.

من يرد الله به خيرا يفقهه فى الدين

(Sesiapa yang Allah menghendakinya menjadi seorang yang baik nescaya dijadikannya Faqeh (faham ) dalam perkara agama Islam). Riwayat Bukhari Muslim


Kedua–dua nas ini menunjukkan bahawa Islam itu bukan sahaja semangat yang berkobar-kobar dan ilmu secara bertulis, dalam masa yang sama ianya mempunyai disiplin ilmu serta memahami cara pelaksanaannya. Semua bidang dan lapangan ajaran Islam hendaklah dipelajari bukan sekadar sebagai satu ilmu, tetapi dalam masa yang sama hendaklah memahami cara beramalnya.

Allah S.W.T. memerintah kepada sesiapa yang memperuntukkan masa hidupnya dalam perjuangan supaya mengambil masa untuk belajar daripada kalangan yang belajar dengan faqeh (faham). Apabila belajar, maka hendaklah pula daripada kalangan ahli ilmu yang bukan sahaja faham, bahkan beramal dan berjuang dengan ilmu yang dipelajari itu dengan kefahamannya yang tulen dengan penuh istiqamah.

Perkataan feqah pada zaman awal Islam merangkumi semua ajaran Islam. Kemudiannya para ulama mengkhususkan istilahnya kepada hukum syariat sahaja. Adapun perkara yang berkait dengan iman atau aqidah dinamakan Usulu Al Din atau ilmu Tauhid atau Aqidah dan yang berkait dengan akhlak pula dinamakan Akhlak atau Tasswwuf.

Mafhum bahasa Al Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. merangkumi seluruh ajaran Islam hendaklah dilaksanakan secara Feqah atau faham, khsusnya dalam perkara hukum syariat yang tidak ada nas yang nyata atau bergantung dengan ijtihad. Sirah Rasulullah S.A.W. dan para Khulafa Al Rasyidin banyak menunjukkan huraian yang nyata, betapa perlunya ajaran Islam itu dihayati dengan Feqah (Fahaman) bukan sahaja dengan ilmu. Feqah bukan sahaja seperti difahami oleh masyarakat awam hanya dalam perkara ibadat, sembahyang, puasa, zakat dan haji; bahkan merangkumi segala ajaran Islam. Khususnya dalam perkara politik yang dilupakan atau dijahilkan oleh sebahagaian besar umat Islam.

Ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah, yang juga merupakan amalan berpolitik yang membawa kepada tegaknya negara dan masyarakat madani, Rasulullah S.A.W. telah menggunakan khidmat seorang bukan Islam yang berpengalaman dengan jalan pintas yang selamat dan cepat sampai ke Madinah. Sudah tentu seorang bukan Islam yang dipercayai akan menyimpan kerahsiaan menjaga keselamatan, dan benci kepada kezaliman walau pun tidak menganut Islam.

Di Madinah pula dilaksanakan amalan menegakkan negara, dengan kekuatan umat Islam sendiri di kalangan Muhajirin dan Ansar, seterusnya melibatkan kaum bukan Islam di kalangan Yahudi, Kristian, Musyrikin Arab dan membenarkan kewujudan kalangan munafiq dalam masyarakat Madinah. Semuanya mengambil kira ayat-ayat Al Quran yang memberi amaran supaya berwaspada terhadap musuh dan ayat-ayat yang mengizinkan dan mewajibkan Islam disampaikan kepada seluruh manusia dan pelaksanaan Islam terhadap seluruh manusia juga.

Maka pengajian secara feqah (faham) sahaja boleh melaksanakan risalahnya dengan istiqamah, bukan sahaja memahami nas secara ayatnya yang zahir, termasuk juga meletakkan pelaksanaannya pada masa, tempat dan situasi yang berbeza. Banyak ayat-ayat Al Quran diturunkan dan hadith-hadith Rasulullah S.A.W. bersandarkan sebab yang berlaku sekiranya memerlukan penjelasan.

Apabila Rasulullah S.A.W. menerima perjanjian Hudaibiyyah, manakala para sahabat merasakan perjanjian itu berat sebelah dan tidak berpehak kepada Islam, bahkan lebih berpihak kepada musuhnya. Bermula dengan pihak musyrikin (i) menolak penggunaan Bismillah, (ii) menentang dicatit nama Muhammad Rasul ullah, (iii) membenarkan mereka yang berada di Madinah melarikan diri ke Makkah, sebaliknya tidak membenarkan orang Islam di Makkah berhijrah ke Madinah, (iv) dilarang meneruskan amalan umrah walau pun Rasulullah dan para sahabatnya sudah berpakaian ihram dan lain-lain.

Rasulullah S.A.W. bertegas dengan keputusan menerima perjanjian Hudaibiyah tanpa wahyu diturunkan, tetapi berpandukan ketajaman bacaan Rasul terhadap Feqah politik semasa, dan para sahabat mentaati secara mutlak kerana kerasulannya. Akhirnya perjanjian yang diterima memberi kemenangan yang besar kepada Islam dan menerima kunjungan kabilah yang datang menganut Islam dengan jumlah berlipat kali ganda sebelumnya.


Dalam perkara yang lain, Allah S.W.T. mengajar Rasulullah S.A.W. dan para sahabat R.A. melaksana dan mematuhi Syura secara tegas dalam peristiwa Uhud dengan firman Nya dalam Surah Ali-Imran ayat 159 yang bermaksud :

(Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam mengendalikan urusan. Maka apabila engkau telah berazam (dengan keputusan ) maka berserah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berserah kepadanya).


Ayat ini menunjukkan kepada kita konsep bermesyuarat dan kepatuhan kepada keputusan yang diambil dan mengharapkan pertolongan Allah selepasnya, walau pun selepasnya menerima tamparan korban dan kecederaan. Ini adalah cara bermesyuarat dalam Feqah berjamaah khususnya dalam politik.

Semua kenyataan tersebut adalah menjadi pedoman kepada sesiapa yang mahu berpolitik secara Islam. Bagi mengemaskini supaya ajaran Islam dilaksanakan secara Feqah, maka para ulama merangka kaedah-kaedah ilmu yang berkait dengannya yang dinama ilmu usul feqh, maqasid syariat dan siyasah syari'yyah.

Bagi memelihara ajaran ini dilaksanakan, maka Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mewujudkan MAJLIS SYURA ULAMA sebagai badan yang berwibawa mengikut perlembagaan PAS untuk memelihara amalan Islam secara Feqah Islam yang sebenar. Badan yang dianggotai oleh kalangan ilmuan Islam yang mampu memahami sumbernya yang tertinggi : Al Quran, Hadith, Ijmaa, dan Qiyas yang nyata. Majlis Syura Ulama bertanggungjawab melakukan kajian dan ijtihad secara Jamaei dalam menghadapi cabaran semasa dengan sistem ilmu-ilmu yang berkait dengannya. Keanggotaan Ahli Majlis Syura pula mewakili seluruh cabang kepimpinan tertinggi PAS.

PAS telah berjaya menghadapi semua pengalaman di sepanjang perjuangannya sejak ditubuhkan, sama ada secara bersendirian, bersefahaman dengan : kerajaan, pembangkang dan NGO, Islam dan kalangan bukan Islam.

Pendekatan politik mutakhir bersama Pakatan Rakyat adalah menjadi penerusan amalan politik Islam secara feqah, bukannya secara remeh temeh. Kejayaan dicapai apabila kalangan bukan Islam menerima konsep perlembagaan, Islam menjadi agama negara dengan hak yang diberi secara adil kepada penganut agama lain, hak Bumiputra, Bahasa Kebangsaan dan Raja Berpelembagaan.

Perlu diingat, bahawa UMNO yang menjadi teras kerajaan BN gagal mencapai matmatnya setelah memerintah lebih lima puluh tahun, kerana tidak menjadikan Islam mengikut makna Al Quran dan ajaran Rasulullah S.A.W. Apakah tempoh masa lebih lima puluh tahun tidak mampu melakukan muhasabah ?.

Seluruh ahli PAS wajib bertambah yakin bersama perjuangan di atas bahtera PAS dengan setiap pengalamannya walau pun tidak diberi hak yang adil, inilah sifatnya perjuangan Islam. Kita wajib menyedari bahawa semua tindakan bersendirian telah mengugurkan sesiapa sahaja tanpa mengira kedudukan dalam PAS. Namun PAS tetap selamat dan menjadi Parti Islam yang makin gagah perkasa menghadapi cabaran pasang surut perjuangan Islam.

PAS terus istiqamah dengan perlembagaan tertingginya yang dijamin oleh kumpulan yang berwibawa. Sesiapa yang cuba berlagak pandai tanpa ilmu yang sebenar pasti tersungkur dengan lagaknya, dan sesiapa yang berilmu dan menganggap dirinya paling bijak dalam PAS secara individunya tanpa peduli terhadap adab berjamaah dalam Islam, akan menjadi mangsa serigala politik yang menjadi musuh perjuangan Islam, inilah sikap membahayakan diri sendiri yang diberi amaran oleh Rasulullah S.A.W.

( Sesungguhnya syaitan itu adalah serigala yang menangkap manusia , laksana serigala yang menangkap kambing yang terpencil daripada kawanannya dan yang berada disudut yang menjauh diri daripada kawanannya). Dalam Musnad Ahmad.

PAS terus terbuka kepada semua yang bersedia bersamanya bagi melangsungkan perjuangan menegakkan Islam yang menjadi rahmat kepada seluruh manusia.

Sesiapa yang menyertai PAS wajib mengikut haluan dan hala tujunya serta cara perjalanannya yang tersendiri, berlandaskan Islam secara feqah dan bukan hanya berpaksikan semangat tanpa ilmu dan faham.

Khadam Perjuangan Islam

Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

PRESIDEN PAS

Kan Dah Kena!

Posted: 25 May 2015 09:01 PM PDT





Dulu bila ada orang kritik isu perumahan di penang, bukan main melenting.

Sekarang nak hentam kerajaan kelantan dan exco, tahu pulak hang cakap dapat berita.

Siapa yang beri maklumat kat hang? Sudah sudah la. Pas tak akan tertegak dengan adu domba dan fitnah.

Sudah-sudah La Fitnah Kerajaan Pas Kelantan

Posted: 25 May 2015 08:48 PM PDT



Kamu tahu ke cara urus tanah kelantan? Kamu dapat maklumat tepat ke bagaimana kerajaan negeri kelantan buat persediaan rumah mangsa banjir?

Jangan kita syok tabur berita perkara yang belum pasti kebenaran.

TOK GURU KEPADA TUAN GURU

Posted: 25 May 2015 07:11 PM PDT



Pintu pagar tertutup rapat. Garaj kereta kosong. Hanya sebuah lampu yang bernyala. Gelapnya seolah rumah tidak berpenghuni.

Saya cuba dapatkan kepastian apakah rumah itu benar-benar tiada orang. Berkali-kali pintu diketuk, loceng ditekan, dan salam diberi. Namun masih tiada reaksi. Nampaknya semacam memang kosong. Saya berpatah balik hampa.

Sedang saya menolak pagar untuk keluar, nampak kelibat seorang wanita bertudung dari dalam pintu kaca rumah tersebut.

"Alhamdulillah. Ada orang rupanya." getus hati. Dengan gembira, cepat-cepat saya pusing mendapatkannya.

Tidak lama selepas wanita itu masuk ke dalam kembali, muncul pula sebatang tubuh yang uzur, menolak lembar langsir dengan kerusi rodanya. Tersenyum beliau menyambut salam yang saya hulur. Saya turut membalas senyumnya.

Orang itu ialah Dr Muhammad, pengamal perubatan Homeopati dari Kg Bukit Tok Beng. Saya adalah pelanggan setianya sejak anak pertama saya, Miyaz dilahirkan.

Homeopati adalah rawatan alternatif yang merangsang sistem antibodi tubuh untuk melawan penyakit. Prosesnya penyembuhannya agak lama tidak seperti rawatan konvensional/ allopathy, namun ia lebih bersifat semulajadi dan tidak melibatkan bendasing/ unsur bukan makanan dalam ubatannya.

Prinsip yang saya pegang, sebaik-baik ubat adalah makanan, dan sebaik-baik makanan adalah ubat.

خير الدواء ما كان غذاء وخير الغذاء ما كان دواء.

Sejurus bersalaman dan bertanya khabar ringkas, saya terus melabuhkan punggung di kerusi usang berhadapan rak buku Dr Mat. Melihat susunan buku-bukunya, nyata sosok tua itu bukan calang-calang orangnya. Dia guru perubatan, dia guru tasauf, guru politik dan juga guru haraki. Selerakan buku dalam berbagai genre dan bahasa di hadapan saya itu sudah cukup untuk membuktikannya.

Hampir semua buku-buku itu bertanda pada muka surat tertentu. Setiap kali saya datang, buku yang ada di meja kopi pasti bertukar lain. Kadang-kadang timbunan buku tasauf, kadang-kadang buku perubatan, kadang-kadang buku berbahasa Inggeris yang saya sendiri juling untuk mengejanya. Ini menunjukkan dia benar-benar baca, bukan seperti sebahagian orang yang hanya jadikan kitab sebagai alat perhiasan.

"Agak-agak apa pula lepas Azmin jadi MB ni?" Dr Mat bertanya memulakan bicara sambil menyiapkan ubat yang saya pesan. Memang Dr Mat selalu ambil peluang berkongsi pandangan politik setiap kali saya berkunjung. Walaupun dia sudah tidak mampu bergerak jauh, dia tidak pernah lupa mengambil tahu masalah semasa masyarakat. Mindanya terus menjelajah tanpa mempedulikan kudrat empat keratnya.

"Sepatutnya PAS dah boleh relaks. Tengok lah apa pula jadi pada PKR nanti." jawab saya ringkas sebagai mukaddimah. Biasanya saya tidak menjawab sebegini bila ditanya berkait isu Selangor.

Memandangkan soalan pertama pun berbeza dari soalan masyarakat kebanyakan yang saya pernah terima, saya kongsikan banyak pendapat dengannya, samada yang pernah saya tulis di alam maya mahupun yang masih saya pendam. Ternyata Dr Mat menumpukan sepenuh perhatian pada setiap titik yang meniti di bibir ini.

Saya terus luah segala isi hati yang terbuku sejak Anwar umum isterinya sebagai MB. Dr Mat seorang yang berilmu luas. Sudah tentu dia dapat menangkap apa sahaja yang saya maksudkan.

Dari peranan sultan, penglibatan Anwar, pemilihan Azmin seterusnya gelagat Wan Azizah sehinggalah pada penegasan Tuan Guru Ayah Chik, semua topik kami kupas bersama.

Berbeza dengan orang lain, ramai yang saya jumpa memang tidak puas hati dengan sikap Anwar. Mereka sudah cukup selesa dengan cara tadbir TSKI di Selangor. Bila mereka minta saya ulas, saya akan jawab mudah;
"Biasalah adat berpakat. Pemimpin kita lebih tahu kenapa mereka buat keputusan demikian."

Sebelum saya ke rumah Dr Mat pun, masih ada ahli jemaah surau tempat saya berkuliah bertanya soal yang sama . Dengan kesempatan yang singkat sebegitu, saya tidak mahu bicara tentang prinsip dan maqasid jemaah. Risiko mereka salah faham adalah tinggi. Menerang dalam suasana lepak-lepak hanya boleh menukat maqasid jadi mafasid.

Kefahaman tentang maqasid perlu difahami berperingkat dan bermanhaj. Usrah, Liqa Fikr, Daurah, Nadwah dan Tamrin berkala adalah cara yang sepatutnya untuk memahami dengan jelas.

"Ayah Chik tu sibuk. Kurang seminggu sebelum muktamar, beliau terbang ke Indon menemui pimpinan gerakan Islam di sana. Selepas itu, beliau bersidang pula dengan tetamu-tetamu muktamar dari gerakan Islam lain di Johor. Esoknya menyertai muktamar dengan penuh jiwa raga. Selesai sahaja muktamar, beliau terus ke Qatar untuk mesyuarat Kesatuan Ulama Dunia. Semalam balik dari Qatar, hari ini terus ke Sidang Dewan Negeri. Petang itu ke Pengkalan Kubur pula. Lepas PRK ini tak tahulah ke mana pula." Saya membilang jadualnya bimbang tentang kesihatan Ayah Chik.

Dr Mat kan pengamal perubatan. Mungkin dia boleh bagi sikit nasihat untuk saya sampaikan pada Ayah Chik yang masih dalam 'tempoh berpantang' selepas serangan jantung ketika Sidang Gerakan Islam sedunia di Turki dua bulan lepas. Sepatutnya dia masih perlu berehat panjang dari sebarang aktiviti luar.

Ternyata tokoh dunia itu tidak senang untuk duduk berehat tanpa berbuat apa-apa untuk Islam. Kehulu hilir membawa mesej Islam di kotak fikirannya adalah lebih selesa baginya, tanpa menghiraukan kondisi kesihatannya.

"Saya juga hairan dengan Ayah Chik tu. Dari mana beliau dapat 'kuasa' sampai boleh bertahan gagah sampai hari ini. Dulu saya pernah merawatnya. 20 tahun lepas, kesihatan dirinya sudah membimbangkan. Macam-macam penyakit kritikal ada padanya." Balas Dr Mat pula.

"Rasanya kalau orang biasa tu memang dah tak 'cakak' nak ke sana ke mari macam dia tu. Dengar ucapan penangguhan dalam muktamar baru ni pun saya terkejut. Sangat bertenaga macam zaman mudanya."

"Saya rasa kekuatan itu bukan dari dirinya. Itu Maunah Allah. Kalau nak kata karamahpun saya percaya." Tambahnya lagi penuh taajub.

Walaupun Dr Mat lulusan sains perubatan yang biasanya berfikir bersandarkan bukti dan kajian saintifik, beliau tidak pernah menafikan pengaruh unsur metafizik dan spiritual dalam kehidupan. 

Inilah ciri-ciri iman yang dituntut. Yakin kepada takdir kekuasaan Allah tanpa mengenepikan asbab musabbab.

Saya mulai perasan memang Ayah Chik berubah mendadak sejak balik dari persidangan Turki tempoh hari. Sebelum-sebelum ini beliau banyak berehat dan letih. Ucapannya pun perlahan dan pendek. Dia jarang berdiri lama seperti ucapan penangguhan muktamar baru-baru ini.

Menurut Dr Samsuri (SetPol Presiden PAS), antara sebab beliau diserang sakit pun kerana sebelum itu beliau telah memaksa diri berucap dengan nada yang agak keras, demi menegur sikap kebanyakan pemimpin gerakan arab yang masih termakan dengan sentimen sunni-syiah.

Sebelum ini juga pendirian Ayah Chik agak lunak dengan dua tiga orang pemimpin bermasalah dalam jemaah. Sudah banyak aduan yang disampaikan pada Ayah Chik mengenai orang-orang tersebut. Ayah Chik sendiri turut berhadapan dengan mereka, tapi Ayah Chik tetap dengan pendekatan damai, tidak bertegas dan banyak beri muka.

Tapi sejak pulang dari menerima rawatan ini beliau memang lain. Bukan saya sahaja yang perasan. Kawan-kawan yang lebih rapat dengan Ayah Chik pun nampak perbezaannya. Kali ini beliau lebih tegas. Seolah ada satu semangat baru yang dibawa pulang dari tanah constantinople, persis semangat Sultan Al-Fatih dalam perjuangan membuka kota sejarah itu. Tempoh rehat beliau di Hospital Istanbul seperti disuntik 'ubat juang' baru dalam tubuhnya. Nampak sungguh semangat beliau macam orang muda.

Beliau juga lebih ceria kini. Selalu ketawa, suka buat kelakar dan lebih mesra jika dibandingkan dua tiga menjak yang lepas. Semakin lama berjuang semakin kental semangatnya.

Satu perubahan yang menggembirakan!

Masakan tidak. Sejak usia muda lagi, Ayah Chik sudah mewakafkan diri kepada Islam dengan terlibat langsung dalam politik tanahari dan antarabangsa. Pulang dari pengajian, beliau bertugas menjadi pegawai di Yayasan Islam semasa PAS dalam kerajaan campuran. Beliau kerap dihantar oleh Presiden-presiden PAS sebelumnya menghadiri sidang-sidang antarabangsa, selain menangani krisis yang berlaku di peringkat mahasiswa luar negara. Beliau juga antara orang penting dalam merangka manhaj pentarbiyahan PAS yang telah melahirkan ramai graduan berwibawa dan berjasa untuk Islam.

Bahkan sebelum beliau tamat belajar lagi, kerajaan Saudi di zaman Mufti Abdul Aziz Ben Baz telah mengarahkan Ayah Chik berkuliah di Masjidil Haram kepada jemaah haji. Ketokohan beliau telah menawan hati pimpinan ABIM supaya beliau mengepalai ABIM bagi negeri Terengganu, walaupun pada waktu itu beliau telah mencurah komitmen sebagai AJK PAS. Itu belum cerita lagi keajaiban beliau mengarang berpuluh judul buku dalam kepadatan jadualnya.

"Saya pernah mengajar Ayah Chik dulu. Masa dia belajar di Sekolah Menengah Arab Marang kemudian Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin, kedua sekolah itu saya mengajarnya." Dr Mat tambah mengimbau perjalanan hidup Ayah Chik.

"Masa sekolah dulu lagi dia sudah berbakat. Waktu saya jadi pengerusi badan khitobah (pidato) di SMASZA, saya lantik beliau jadi setiausahanya walaupun dia masih seorang pelajar." Ujarnya.

Rupanya inilah pendidik Tuan Guru. Sungguh tidak disangka. Orangnya tenang, suaranya perlahan, tempo bicaranya juga perlahan, tapi siapa tahu dialah pencungkil bakat terpendam Ayah Chik selama ini. Besar sekali jasanya melahirkan seorang ulama antarabangsa. 
Dialah 'Tok Guru kepada Tuan Guru'.

Hebat. Patutlah beliau nampak sangat relaks. Rupanya beliau sudah boleh goyang kaki dengan hasil sentuhannya lama dulu. Setiap amalan yang Tuan Guru lakukan hari ini hasil didikan beliau pasti akan mengalir pahala kepadanya jua. Ini yang diajar Nabi: Orang yang menunjuk ajar kebaikan, pahalanya sama seperti yang melakukannya.

الدال على الخير كفاعله.

Sebut pidato, teringat pula cerita arwah Tuan Guru Harun Taib masa mereka belajar di Mesir dulu. Ayah Chik selalu berlatih pidato tak kira masa. Tengah masak, basuh pinggan, menghadap cermin, lidah beliau kerap memperdengarkan pidato-pidato tegas dan lantang. Tidak hairanlah sebuah majalah antarabangsa menobatkan beliau antara tokoh paling petah berpidato di Asia suatu ketika dahulu. 'Fenomena Haji Hadi' zaman awal 80-an dulu adalah suatu catatan sejarah yang perlu dikaji.

Kini Dr Mat sudah berusia 74 tahun. Dia sudah tidak boleh berdiri lama. Hanya kerusi roda peneman setia. Tapi saya suka berkunjung ke rumahnya. Walaupun luas, halamannya sangat bersih. Walaupun cucunya ramai, bingit teriakan dan hilai tawa mereka tidak mengganggu ketenangan itu. Setiap kali saya datang di petang hari, biasanya beliau sedang menyapu halaman rumahnya.

Selain saya, orang tempatan lain juga ramai mendapatkan khidmatnya. Kakak ipar saya dari Pulau Pinang akan memborong ubat-ubatan berpuluh botol apabila pulang ke Terengganu. Menurutnya, sudah banyak klinik homeopati yang dikunjungi namun lebih berpuashati dengan rawatan Dr Mat.

Saya amat terkilan apabila rawatan homeopati seolah dianaktirikan oleh kerajaan Malaysia. Kerajaan lebih mengamalkan perubatan bermodelkan sistem kapitalis. Sepatutnya mereka mengambil langkah proaktif membangunkan perubatan yang hebat ini dari terus ditelan zaman.

Ia bukanlah rawatan tradisional. Ia juga sebahagian rawatan moden, cuma lebih neutral.

Pengasas homeopati adalah seorang doktor dari Jerman kerana tidak berpuashati dengan cara perawatan moden, yang didakwanya banyak 'menyembunyikan penyakit', bukan menyembuhkan.

Dakwanya lagi, ubatan moden/allopathy bermatlamatkan keuntungan semata-mata kerana ianya sebahagian dari projek kapitalis supaya manusia hidup bergantung kepada ubatan yang mereka cipta. Kesan ubat sesuatu penyakit boleh mencipta satu lagi penyakit baru. Kapitalis mahu mencari 'pelanggan tetap' ubatannya.

Wallahualam. Saya bukan pakar kesihatan. Tapi dari pengalaman dan hasil perkongsian orang ramai, ia seolah mengiyakan dakwaan tersebut.

Pengasas homeopati Malaysia pula adalah Dr Burhanudin Helmi, bekas Yang Dipertua PAS tahun 60an yang mati setelah mendekam lama di penjara rejim. Mungkin juga ianya salah satu sebab kerajaan mengenepikan perubatan yang hebat ini sampai sekarang.

Saya belum ceritakan pertemuan ini pada Ayah Chik. Kalau dia tahu, barangkali Ayah Chik mahu ziarahi orang banyak berjasa padanya itu. Mungkin Ayah Chik tidak tahu, dia selalu melintasi rumah Dr Mat sebelum merantau jauh, sebab rumah Dr Mat terletak hanya kira-kira 2km dari lapangan terbang Terengganu. Biasanya Ayah Chik akan cari peluang ziarah kenalannya. Mungkin masa belum mengizinkan.

Setelah hampir 20 minit bersembang, saya minta diri dahulu kerana malam semakin lanjut. Bimbang juga waktu rehatnya terganggu walaupun riak wajahnya masih belum puas bercerita. Lagipun ada beberapa urusan lagi perlu diselesaikan malam itu.

Kepulangan saya diiringi senyuman manisnya. Masih tersusun kemas gigi asli putih melepak. Dengan senyuman itu, saya juga tumpang gembira andai ada anak didik saya yang berjaya seperti Ayah Chik.

(Alang Ibn Shukrimun)
23/9/2014

KENYATAAN MEDIA KETUA PENGARAH JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA BERKENAAN ISU TAREKAT (MERUJUK LAPORAN EKSKLUSIF UTUSAN MALAYSIA)

Posted: 25 May 2015 07:04 PM PDT

KENYATAAN MEDIA
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
BERKENAAN
ISU TAREKAT (MERUJUK LAPORAN EKSKLUSIF UTUSAN MALAYSIA)

1. Amalan tasawuf sememangnya dituntut dalam Islam kerana dengan mengamalkannya dapat membersihkan jiwa, mengamalkan akhlak terpuji dan boleh membuang amalan yang dikeji. Salah satu cara untuk mengamalkan tasawuf adalah melalui tarekat. Suka Jakim menyatakan bahawa semua tarekat adalah dibenarkan kecuali setelah dikaji, dibuktikan dan diputuskan ia bertentangan dengan syariat Islam. Secara keseluruhannya Jakim menganggap semua tarekat adalah baik selagimana tiada salah faham terhadap konsep-konsep tertentu dalam tarekat. (Para wajib)

2. Jakim bersama-sama dengan Jabatan Agama Islam Negeri sentiasa memantau isu-isu berkenaan dengan tarekat berdasarkan aduan dan maklumat yang diterima daripada orang ramai termasuklah isu habaib. Walau bagaimanapun, sebagaimana kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan; Tan Sri Prof Dato' Dr Abdul Shukor Hussin pada 20 April 2015 yang lalu, kumpulan habaib tidak boleh dikaitkan dengan kumpulan Tarekat Naqsyabandiah Al A'liyyah selagi belum dapat dibuktikan. (Para wajib)

3. Sebelum sesuatu keputusan diambil dan diputuskan di peringkat Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Jakim akan memastikan setiap keputusan yang diambil adalah berasaskan kajian terperinci dan mekanisme yang telah ditentukan. Setiap hasil laporan kajian yang dibuat oleh Jakim akan dibentangkan dalam Panel Pakar Akidah (PPA) sebelum dibawa kepada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia.

4. Panel Pakar Akidah Jakim adalah terdiri daripada 15 orang pakar dari pelbagai disiplin ilmu khususnya dalam bidang aqidah, tasawuf dan aliran pemikiran.

5. Bagi menentukan kesahihan sesuatu ajaran dalam tarekat tersebut, Panel Pakar Akidah akan memanggil ketua atau wakil dari kumpulan tarekat berkenaan bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung dengan amalan-amalan yang terdapat dalam tarekat tersebut.

6. Ini bermakna, Jakim tidak mengambil mudah dalam membuat sesuatu keputusan dan jawatankuasa menimbang sesuatu perkara dengan begitu teliti termasuklah memanggil dan bertemu dengan wakil kumpulan berkenaan beberapa kali serta melihat sendiri amalan mereka sehinggalah kita benar-benar berpuas hati.

7. Sehubungan dengan itu, saya menasihati orang ramai agar merujuk kepada pihak berautoriti agama dalam memastikan setiap maklumat yang diterima adalah tepat dan tidak mengelirukan. 
Sekian dimaklumkan, terima kasih

BERKHIDMAT UNTUK NEGARA

'Saya Yang Menurut Perintah'
DATO' HAJI OTHMAN MUSTAPHA
25 Mei 2015

Tiada ulasan: