Isnin, 25 Mei 2015

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Hentikan serangan terhadap PAS dan Presiden PAS

Posted: 24 May 2015 09:00 PM PDT

Serangan bertali arus DAP terhadap PAS telah menimbulkan satu keadaan yang sangat tidak selesa dalam hubungan Pakatan Rakyat. Bukan itu sahaja, tindakan DAP ini telah memberikan nafas baru kepada Umno-BN yang semakin lemas dengan isu penipuan 1MDB dan kos sara hidup yang meningkat kerana GST.

Saya telah membuat teguran dan ingatan beberapa kali terhadap sikap pimpinan DAP sebelum ini. Semua pihak melihat Pakatan Rakyat salah satu wadah terbaik bagi menumbangkan BN. Namun, wadah ini perlu memperkasakan ketiga-tiga rakan tahaluf dan bukannya melemahkan mana-mana parti yang menjadi rakan tahaluf. Sepakat pada perkara yang dipersetujui bersama dan jangan mencabuli dasar parti rakan tahaluf dalam perkara berbeza. Semua parti perlu kuat bagi mencapai kemenangan dalam PRU akan datang. Serangan sesama sendiri hanya menguntungkan Umno-BN.

DAP berkali-kali berkata mereka mementingkan Pakatan Rakyat. Tapi tindakan mereka menyerang PAS dan Presiden PAS bertubi-tubi pula membuktikan sebaliknya. Tindakan DAP ini sedang menolak Pakatan Rakyat ke ambang perpecahan.

Isu serangan bertali arus DAP terhadap PAS amat meluatkan akar umbi PAS. Perkara ini dijangka membawa kesan pada muktamar PAS ke 61 yang bakal menjelang. Maruah PAS sebagai parti berwibawa perlu dibela.

Jika benar DAP sayangkan Pakatan Rakyat, hentilah menyerang PAS. Lupakanlah dan jauhilah sifat bermusuh, hormatilah perbezaan dan berusahalah untuk mendiamkan diri jika tiada apa yang baik untuk disebut mengenai rakan tahaluf.

Jika tidak, jangan salahkan PAS seandainya tahaluf dengan DAP ini terungkai kerana ahli PAS akan tetap pertahankan prinsip perjuangan parti lebih-lebih lagi selepas ketiadaan Tuan Guru Nik Aziz.

Betul kata Lim Kit Siang, Allahyarham TGNA sangat sayangkan Pakatan Rakyat. Namun begitu, percayalah beliau tidak akan sesekali menggadaikan prinsip parti demi memenuhi tuntutan rakan tahaluf yang mengharapkan PAS melupakan cita-cita Islamnya.

Di sini, sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa tuduhan PAS akan bergabung dengan Umno hanyalah fitnah. Majlis Shura PAS telah menegaskan perkara ini baru-baru ini. Soalan saya masih sama, berapakah kerusikah yang Umno sanggup beri ke PAS sekiranya betul gabungan politik ini berlaku? 40? Hujah ini sahaja sudah cukup untuk mematahkan fitnah ini daripada berterusan.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Naib Presiden PAS
25 Mei 2015

Tiada ulasan: