Ahad, 24 Mei 2015

.

.


Elak pemilihan bermazab dalam Pas

Posted: 23 May 2015 10:12 PM PDT

HAYATI JIWA                                                                                 

Ambang muktamar Pas ke 63 kini sudah masuk ke fasal kedua. Fasal pertama kempen atau pun desakan (percaturan) agar tokoh-tokoh tertentu bertanding untuk merebut jawatan tertentu sudah pun berlalu. Proses pencalonan sudah dibuat peringkat mesyuarat kawasan. Sebahagian besar Pas kawasan telah selesai bermesyuarat.

Kini sudah diketahui siapa bertanding untuk merebut apa-apa jawatan. Semua jawatan penting dalam Pas kali dipertandingkan atau ada perebutan, satu sejarah yang belum pernah terjadi.

Fasal kedua kini sedang berjalan untuk memenangi tokoh-tokoh yang dicalonkan. Kempen bagi memastikan calon tertentu menang atau naik, sedang rancak dijalankan dengan berbagai cara. Mekanisme paling ketara ialah menerusi ruang-ruang media baru, twiter, blog, facebook dan lain-lain. Manakala kempen secara senyap sampai memburuk-buruk orang tertentu juga dilancarkan menerusi grup WhatsAap. Inilah fitnah bisu diera ini. Banyak orang yang berani menulis dan menghemburkan idea tetapi dibuat dalam gelap.


Kempen merebut jawatan dalam Pas selama ini, berbeza dengan Umno. Kalau beberapa dekad lalu, perebutan hanya berlaku dalaman sahaja tanpa diketahui oleh masyarakat umum, tetapi kini berbeza. Perebutan jawatan dalam Pas sudah mendapat liputan pelbagai media dan ikut sama dianalisa oleh pihak musuh besar Pas, Umno.

Dulu hanya jawatan presiden yang menjadi tumpuan dan fokus, tetapi kini bukan sahaja jawatan timbalan presiden, jawatan naib-naib presiden, atau ketua-ketua dewan tetapi jawatan pemeriksa kira-kira juga diambil kira. Dahulu akhbar dan tv tidak tergiur pun untuk membuat liputan muktamar Pas, tetapi hari ini sampai tidak cukup ruang, muktamar Pas disesaki oleh media. Ini menunjukkan Pas sudah menjadi parti besar dan penting. Mungkin kerana sebegitulah Pas maka ia menjadi tumpuan dan jawatan menjadi rebutan.

Demikian hebatnya perebutan jawatan dalam Pas hari ini. Sepatutnya kehebatan ini djagai dan dibanggai oleh seluruh pendokong Pas. Dan dalam masa sama awasi perebutan tidak menimbulkan perbalahan dan musibah.

Bagaimana pun memerhati kepada kempen atau perebutan jawatan dalam Pas kini agak membimbangkan. Keghairahan sesetengah individu atau kumpulan untuk memegang jawatan ini sudah menjadi matlamat utama, bukan lagi suatu amanah dan tanggungjawab yang diberi. Jawatan sudah mulai direbut secara berleluasa. Apakah perubahan ini sesuatu yang baik bagi Pas dan ia sekaligus menunjukkan kematangan kepada parti itu?

Paling ketara ialah bentuk kempen dilakukan hari ini, yakni secara berpasukan atau bermazhab. Pemilihan kali ini ditawarkan secara pakej bukan lagi secara indvidivu. Kebolehan individu, atau individu skil sudah tidak diutamakan lagi, tetapi ia slogan secara berpasukan yang diwar-warkan.

Cara atau kaedah ini menyebabkan pemilihan akan dibuat secara berkas atau mazhab dan mereka yang menawarkan kebolehan dan kepakaran sendiri tidak akan berlaku lagi. Cara ini tidak praktikal dan bahaya. Apa yang dilakukan Umno pada tahun 80an dan 90an tampaknya menjadi ikutan kepada Pas. Umno pernah terbinasa dengan perebutan secara kumpulan team A dan team B, dan juga team Wawasan.

Ertinya kalau pun seseorang itu ada kepakaran dan kewibawaan berdasarkan pengalaman dan latar belakang (track record) tidak semesti menjadi ukuran dan boleh jadi tidak terpilih langsung kalau dia kebetulan tidak termasuk dalam mana-mana kumpulan dan mazhab. Kecenderongan bentuk pemilihan sebegini merugi dan membahayakan Pas.

Kenapa dikatakan rugi dan bahaya, sebab, rugi orang yang cerdik dan layak menjadi pemimpin mungkin akan terbung dan aset yang ada kepeada mereka terbiar begitu sahaja, apabila mereka kalah. Sebaliknya mereka yang tidak layak boleh diangkat menjadi pemimpin asalkan mazhab mereka menang.

Bahaya lagi, apabila pihak yang kalah berpakat untuk melakukan tindakan kepada Pas seperti keluar parti dan sebagainya. Ia boleh terjadi apabila kebetulan pula puak yang menang tidak mempedulikan mereka, dengan menawar apa-apa jawatan dan membahagikan ghanimah kedudukan dan pangkat sesama mereka sahaja. Kekecewaan dan kekesalan sering membawa manusia menjadi hilang akal.

Kemungkinan berlaku begini ada kerana dendam yang mungkin terbibit semasa kempen akan mencambahkan pergaduhan besar. Jika diperhatikan kepada perjalanan kempen hari ini ia sangat dahsyat apabila sampai ada yang menuduh dan memfitnah antara satu sama lain. Fitnah dan pemburukkan ini boleh membawa kepada perpecahan sampai kucar kacir dan mencerai beraikan persaudaraan. Saya tidak mahu memberi contoh disini kerana yakin orang-orang Pas memahami dan mengetahuinya.

Selain itu pemilihan secara mazhab atau puak ini juga bukan pemilihan yang praktikal dan rasional. Ia bukan kaedah pemilihan mengukuh dan menambahkan kualiti parti. Bahkan ia akhirnya menatijahkan kelompok pengurusan atau penguasaan Pas nanti secara streotaip. Apa dinamakan check and balance dalam jawatankuasa keraja Pas tidak akan berlaku lagi. Apabila semua jawatakuasa sama mazhab atau satu kepala maka tidak ada pandangan kedua, atau pun ketiga, melainkan ia sejalur sahaja. Apa-apa cadangan mudah diluluskan dan ini termasuk untuk mengubah dasar dan pendekatan parti.

Situasi ini sangat-sangat bahaya kepada Pas yang diharap menjadi parti progresif dan dinamik. Apa lagi kalau ketua kumpulan itu telah meletakkan dirinya sebagai pemimpin bertaraf "Mulla" yang harus ditaat dan ditunduk tanpa ada atau boleh dibantah dan ditegur, lagi bahaya. Keadaan ini akan mewujudkan pentadbiran autokrasi yang akan membawa kemusnahan kepada Pas.

Hakikat apa yang dibayangi ini sudah nampak jelas. Kalau diperhatikan kepada kemeriahan kempen di media baru menunjukkan sudah ada pembahagian mazhab atau puak dalam Pas. Sudah berlaku pengasingan. Gambar atau banner mengenai calon yang dibangunkan sudah mencerminkan berlaku kepuakan atau pemisahan calon.

Gambaran yang ada kini sangat menakut dan membimbangkan. Perebutan jawatan yang berlaku kini adalah seolah-olah dari dua mazhab atau kabilah yang berbeza, ada kadang-kalanya sampai ke peringkat perbezaan akidah bukan sahaja pemahaman syariat.

Justeru perwakilan perlu meneliti dan membetulkan keadaan selagi masa masih ada. Ketepesongan agenda ini boleh dibetulkan oleh para peerwakilan sahaja. Hendaknya perwakilan ke muktamar nanti tidak terikut dengan kempen atau pun slogan-slongan busuk yang dicanangkan, Perwakilan hendaklah bertindak lebih waras daripada mereka yang membina dan membentuk puak.

Hancurkan atau alpa pemilihan secara bermazhab atau puak ini kerana ia bakal membawa kemusnahan kepada Pas. Jangan jadi alasan Pas bukan seperti Umno yang pernah berpecah kerana pemilihan, kerana alasan itu tidak relevan lagi bila mana hari ini Pas juga sama ghairah dengan Umno dalam soal ini. Keadaan Pas hari ini boleh diselamatkan oleh perwakilan yang bijak, rasional dan sayangkan parti.

Peristiwa dan tragedi lalu yang pernah menimpa Pas, khasnya pada era Mohd Asri Muda, era Muhammad Nasir hendaklah diamat-amati agar tragedi itu tidak akan berulang kerana ia membawa kecelakaan besar kepada Pas. Walahu'alam. [wm.kl.12:53 t/hari 24/05/15] 

Muhammad Taib menyatakan yang benar tentang Pas

Posted: 23 May 2015 08:11 PM PDT

ULASAN PAGI                                                                                    

Luahan hati bekas MB Selangor Muhammad Mohd Taib terhadap parti Pas yang baru dianggotainya semalam pahit untuk didengar tetapi itulah hakikatnya. Katanya, dia sudah kurang senang dengan perkembangan yang ada dalam Pas kini terutamanya aksi anak-anak muda yang pulang dari Timur Tengah yang ghairah mahu menguasai Pas.

Mereka itu kata Mohamad, ingin menguasai Pas sampai memburukkan sama sendiri dan berpuak-puak. Mereka memang pandai membaca ayat-ayat Quran dan hafal hadith tetapi cetek dalam politik.

Katanya, kalau jadi imam bulan puasa mereka baca ayat Quran panjang-panjang, tetapi bila ditanya soal semasa, mengenai GST, 1MDM dan sebagainya mereka tidak tahu.


Beliau sangat bimbang dengan golongan yang mengakui pejuang agama ini tetapi cetak dalam politik akan menyebabkan Pas rosak. Muhammad yang juga Penolong Ketua Pengerangan Pas, tidak percaya mereka mampu jadi perdana menteri dengan pengetahuan sebegitu.

Dalam bahasa lain Muhammad tidak percaya Pas menjadi partikuat dan disegani kalau ianya ditadbirkan oleh golongan yang menganggap mereka ahli syurga, tanpa mengambil kira kepada golongan profesional.

Dalam pada itu beliau mahukan Pas kembali memilih pemimpin yang rasional seperti Tokguru Nik Aziz yang dapat diterima oleh semua pihak dan kaum. Negara ini bermasyarakat majmuk, maka susana itu perlulah diambil kira.

Muhammad juga tidak faham dengan sikap sesetengah ahli Pas yang mengharapkan kepada keredhaan Allah semata-mata, tetapi tidak berminat untuk ke Putrajaya. "Saya rasa ada something wrong kepada mereka," katanya.

Beliau juga berterus terang disamping bimbang dengan Pas yang kini mengeruh apabila ghairah untuk memegang jawatan, Pas akan memikirkan kembali kedudukannya dalam Pas. Apa dibayangkan Muhammad itu sekiranya Pas dikuasai oleh golongan konservetif yang pandai membaca Quran tetapi jahil politik dia juga akan memikirkan semula kedudukannya dalam Pas.

Pandangan atau sikap diambil Muhammad itu bolehlah dianggap sikap golongan cerdik pandai atau profesional yang menyertai Pas kerana tidak yakin dengan parti Umno kini.

Secara jujur saya sedikit terasa dengan kenyataan Muhammad itu, tetapi itulah hakikat yang berlaku kini. Tidak mustahil kalau apa yang dibimbangi bekas Naib Presiden Umno itu berlaku, menyebabkan kehebatan Pas selama ini yang dianggap parti yang berdisiplin dan kurang krisis akan hancur.

Muhammad menyatakan demikian dalam farum bertajuk "Mencari pemimpin baru Malaysia" yang diadakan di Petaling Jaya semalam. [wm.kl.11:10 am 24/05/15]


Tiada ulasan: