Isnin, 13 April 2015

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Ust Ahmad Awang Sedia Lawan Hj Hadi

Posted: 13 Apr 2015 01:25 AM PDT


Terima cukup pencalonan, Ahmad sedia timbang lawan Hadi

Bekas Naib Presiden PAS Ahmad Awang sedia menimbangkan untuk mencabar Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai presiden PAS selepas mendapat pencalonan yang cukup bagi jawatan itu.

Namun, beliau masih enggan membuat keputusan waktu ini kerana katanya masa masih panjang dan tidak perlu terburu-buru.

"Kita lihat juga berapa calon yang lain. Ini kerana, yang banyak mendapat pencalonan sekarang ialah Datuk Husam (Musa)," kata bekas pesuruhjaya PAS Perak itu.

Katanya, pencalonan yang banyak untuk melawan penyandang jawatan ini membayangkan kecenderungan ahli PAS membuat perubahan di pucuk pimpinan parti.

"Kita lihat kecenderungan hendakkan perubahan pucuk pimpinan sudah jelas," kata bekas ahli Majlis Syura Ulama PAS itu kepada The Malaysian Insider.

Namun, bagi beliau, pemimpin yang perlu naik ialah yang lebih muda dan jelas dalam perjuangan dan bukan semestinya ulama.

Ahmad kini melepasi syarat minima dua pencalonan dengan pencalonan terbaru dari Bukit Gelugor, Pulau Pinang dan Jelebu, Negeri Sembilan pada Sabtu, selepas mendapat yang pertama dari Parit Sulong sebelum ini.

Sebelum ini, Husam juga layak bertanding. Beliau kini mendapat pencalonan 8 kawasan dari seluruh negara. Semalam, beliau mendapat satu lagi pencalonan iaitu dari Tanjung Piai, Johor.

Menjelang muktamar ke-61 Jun ini, Hadi mendapat cabaran getir sejak hari pertama mesyuarat agung PAS kawasan-kawasan di seluruh negara apabila kawasan yang pertama mengadakan mesyuarat agung iaitu Kota Baru, Kelantan tidak mencalonkannya sebaliknya mencalonkan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai presiden.

Namun, Tuan Ibrahim menolak pencalonan itu menyebabkan pencalonan beliau kekal satu dan tidak berubah sehingga kini.

Sehingga kini, 22 kawasan mencalonkan Hadi mengekalkan jawatannya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim mendapat paling banyak pencalonan untuk jawatan timbalan presiden sehingga kini dan mendahului penyandang jawatan itu Mohamad Sabu.

Beliau kini mendapat 21 pencalonan untuk jawatan itu manakala Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu mendapat 7 pencalonan.

Untuk jawatan naib presiden pula, nama yang popular sekarang ialah Salahudin Ayub, Datuk Seri Mahfuz Omar dan Idris Ahmad.

Turut mendapat pencalonan dari kawasan-kawasan ialah Tuan Ibrahim, Husam, Datuk Dr Mujahid Yusof (ahli Parlimen Parit Buntar), Datuk Mohd Amar Nik Abdullah (timbalan MB Kelantan), Nasrudin Hassan (ahli Parlimen Temerloh), Datuk Iskandar Samad (exco Selangor), Dr Mariah Mahmud (ahli Parlimen Kota Raja), Mat Sabu dan Datuk Dr Mahfodz Mohamad (exco Johor).

Sementara itu, dalam mesyuarat agung semalam, dua penyandang jawatan kalah dalam pemilihan peringkat kawasan.

Menantu presiden PAS Zaharudin Mohamad mengalahkan bekas Yang Dipertua PAS Subang Mesni Dahlan.

Di Kampar, bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaludin dikalahkan Sufian Rejab untuk jawatan Yang Dipertua PAS Kampar. -TMI

Selepas pencabar Hadi cukup pencalonan...

Selepas cukup pencalonan untuk mencabar presiden, penyokong veteran PAS Ahmad Awang dilihat terus berkempen mengangkatnya sebagai calon terbaik berdepan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Anggota Parlimen parti Islam itu Khalid Samad mengetengahkan "perbualannya" dengan seorang penyokong Ahmad selepas mesyuarat agung tahunan PAS Shah Alam.

Dalam pemilihan peringkat bahagian itu sebelum ini, Ahmad dan Hadi sama-sama popular di mata perwakilan apabila dipisahkan cuma enam undi.

Hadi mendapat 78 undi, manakala Ahmad memperoleh 72 undi.


"Dia (Ahmad) menyelamatkan PAS semasa PRU (pilihan raya umum) 2008 dahulu. Kalau tidak kerana ketegasan Ustaz Ahmad Awang, PAS Perak mungkin sudah bersatu dengan Umno di Perak untuk membentuk kerajaan.

"Dia mampu menyatu padukan ahli dan PAS bersama Pakatan Rakyat. Kita patut berikan dia peluang," tulis Khalid, memetik jawapan penyokong Ahmad itu.

Bagaimanapun Khalid, dalam perbualan yang diceritakan kembali di blognya hari ini, membantah dengan menyatakan bahawa Hadi juga bertegas dengan Umno sewaktu krisis di Perak.

Ahmad 2, Hadi 22, Husam 8

"Tidak apalah YB, mesyuarat agung tahunan kawasan pun sudah selesai. Pandangan saya begitu. Bagi saya, PAS perlukan presiden yang lebih bijak merancang dan mengatur strategi, pandai berkawan dan jujur dalam persahabatan.

"Tapi yang lebih penting lagi, sebagai ketua eksekutif, seseorang presiden mesti bersedia untuk dikritik dan ditegur. Tidak dianggap 'berdosa' menyanggah pandangannya dan tidak salah membetulkan kesilapannya sekiranya tersilap," tulis Khalid, memetik jawapan anggota akar umbi PAS itu.

Ahmad semalam selamat dengan dua pencalonan bahagian dengan pencalonan minimum daripada Parti Sulong dan Jelebu. Hadi pula mendapat sekurang-kurangnya 22 pencalonan kawasan.

Sementara itu Naib Presiden Datuk Husam Musa pula mendapat sekurang-kurangnya lapan pencalonan daripada kira-kira 30 daripada 191 bahagian yang telah bermesyuarat setakat ini.

Muktamar pemilihan PAS kali ini akan berlangsung pada Jun ini di Kuala Selangor.

Soalan Umno: Kamu barua atau broker?

Dalam tulisan di blog itu juga, Khalid berkata, berdasarkan maklum balas diterimanya, akar umbi PAS mengakui ketokohan dan kefakihan Hadi tetapi mereka perlukan pemimpin yang cekap berpolitik.

Perkara lain dibangkitkan padanya termasuk dakwaan kelemahan kepimpinan Hadi seperti kekalahan PAS di Terengganu sebelum ini, tidak terbuka pada kritikan serta kegagalan menangangi perbalahan dalaman parti dan Pakatan.


Selain itu, kata Khalid, anggota itu turut mempersoal kritikan Hadi kepada Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail secara terbuka dalam krisis Selangor serta tindakannya melemparkan ungkapan "barua" dan "broker' kepada ahli dan pimpinan PAS tertentu.

"Saya minta maaf lagi, saya hingga hari ini tidak boleh terima. Sudahlah tu, bukti pun tidak ada. Tetapi main tuduh begitu. Terbuka pula.

"Bila saya balik dari muktamar, kawan saya dari Umno tanya saya, kamu ni barua ke broker? Geramnya saya," katanya.
-mk


ULASAN GB

Sekalipun Husam Musa mendapat pencalonan yang lebih tinggi daripada Ust Ahmad Awang, namun jika hendak bertanding jawatan Presiden, pada pendapat GB, maka Ustadz Ahmad Awanglah orang yang paling sesuai untuk mencabar Haji Hadi.

Ini berdasarkan faktor kedudukan dan latarbelakang Ustadz Ahmad Awang sendiri sebagai seorang ulama yang disegani di dalam dan diluarnegara. Beliau pernah memegang jawatan Presiden Peratuan Ulama SeMalaysia. Beliau pernah menjadi Pesuruhjaya PAS Perak dan pernah menjadi Naib Presiden PAS serta ahli Majlis Syura Ulamak PAS.

Di peringkat antarabangsa beliau pernah dilantik sebagai ahli Persidangan Agung Dakwah Islam Sedunia Libya, ahli senat Universiti Islam Baghdad, dan menjadi Naib Presiden Kesatuan Ulama Sedunia Cawangan Malaysia.

Pada tahun lepas, Ust Ahmad Awangg juga adalah perwakilan Malaysia ke Perhimpunan Kesatuan Ulama Sedunia bersama-sama Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin dan Haji Abdul Hadi Awang.

Sebagai seorang ulama, maka beliau juga berkebolehan untuk berijtihad di dalam menyelesaikan masalah ummah


Jadi tidak timbul persoalan persepsi mereka yang tidak mengundi Haji Hadi sebagai anti-ulama kerana yang bertanding itu juga seseorang yang berstatus ulama.

[VIDEO] Jom Tonton Kenapa Mahathir Serang Najib...

Posted: 12 Apr 2015 09:45 PM PDT


Najib Harapan Saya, Tetapi Dia Mungkir Janji - Dr Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamed mendakwa Datuk Seri Najib Tun Razak memungkiri janji untuk membina jambatan bengkok antara Johor Baharu dan Singapura.

Menerusi temuramah sebanyak empat bahagian yang dimuat naik di blog, Din Turtle, dua hari selepas temuramah Najib di televisyen, Dr Mahathir mendakwa perdana menteri itu menyokong projek berkenaan ketika beliau mengambil alih jawatan tersebut daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

"Harapan saya, bila Pak Lah dah tak ada (letak jawatan), dia (Najib) akan buatlah jambatan itu. Najib pada satu masa sebut 'walaupun Singapura setuju atau tidak setuju pun, kami nak buat'. Tetapi bila dia jadi perdana menteri, dia tak buat," kata bekas perdana menteri itu.

Dr Mahathir berkata, beliau tidak gembira apabila Najib memungkiri janjinya.

"Jika Singapura tak nak buat (tak setuju), saya buat sebelah saya, apa salahnya. Bukan pasal nak buat jambatan bengkok, tetapi pasal nak buat sebelah tak jadi. Ia adalah hak berdaulat kita, dalam kawasan wilayah kita, kawasan perairan. Separuh daripada tambak itu adalah milik kita. Saya tidak sentuh langsung bahagian Singapura.

"Dia (Najib) ada minta persetujuan dengan Singapura, nak buat benda di dalam negara kita. Di mana kedaulatan kita? Di mana kemerdekaan kita? Adakah kita sebahagian daripada Singapura?" soal Dr Mahathir.

Dalam satu temuramah khas bersama TV3 pada Khamis lalu, Najib berkata, serangan Dr Mahathir terhadap beliau tercetus disebabkan kemungkinan perbezaan pendapat mengenai jambatan bengkok dan pelaksanaan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Mengenai BR1M, Dr Mahathir menegaskan bahawa beliau tidak bersetuju dengan idea BR1M kerana memberikan wang percuma kepada rakyat.

"Kita tak pernah beri duit kepada orang. Kita beri peluang pekerjaan untuk rakyat, beri mereka pendidikan, latih mereka maka mereka boleh hidup dan buat duit untuk diri mereka sendiri. Kalau kebajikan, kita perlu beri tetapi hanya kepada rakyat yang memerlukan bantuan kebajikan,"
katanya.

Mengenai kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Dr Mahathir berkata, adalah lebih baik untuk Najib meletakkan jawatan sekarang bagi mengelakkan daripada Barisan Nasional (BN) kalah dalam pilihan raya umum akan datang kerana siasatan terhadap syarikat itu boleh mengambil masa bertahun-tahun untuk diselesaikan.

"Ia perlu sekarang kerana kita masih mempunyai dua tahun lagi untuk pulih. Jika dia (Najib) tidak berundur sekarang, dengan adanya PAC (Jawatankausa Kira-Kira Wang) dan lain-lain yang akan menyiasat untuk dua atau tiga tahun lagi dan sampai pilihan raya pun, dia masih ada, kita akan kalah. Saya fikir akan ada banyak masalah untuk semua," katanya.

"Kita perlukan pihak yang 'neutral' untuk menjalani siasatan untuk mengetahui ke mana wang itu pergi. Siapa yang mengendalikan wang itu? Siapa Jho Low? Secara tiba-tiba dia menjadi begitu penting. Dalam kerajaan pun dia (Jho Low) tak ada jawatan, dia bukan penjawat awam, secara tiba-tiba dia ada kuasa seperti itu," kata Dr Mahathir.

Mengenai komando polis Sirul Azhar Umar yang disabitkan bersalah kerana membunuh model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu, Dr Mahathir berkata, semua individu yang disabitkan bersalah dengan hukuman mati mempunyai peluang untuk mengemukakan rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong atau Sultan.

"Awak tahu, saya dahulu adalah perdana menteri. Tugas saya ialah menasihat Yang di-Pertuan Agong atau Sultan sama ada seseorang itu perlu mendapat perkenan terhadap rayuannya atau tidak," katanya.

Dr Mahathir yang menemui ibu Sirul baru-baru ini menegaskan bahawa isu berkenaan bukan mengenai politik.

Beliau berkata, Sirul sebagai seorang anggota polis tidak akan membunuh kecuali dia diserang atau diarahkan oleh seseorang. -mstar








ULASAN GB

GB bukanlah penyokong TDM, tetapi GB tidak menolak 100% apa yang disebutkan oleh Mahathir seperti di atas.

Jika Mahathir ingin Najib melepaskan jawatannya kerana khuatir BN akan kalah dalam PRU akan datang, bagi GB pula jika Najib tidak melepaskan jawatannya, akan lebih banyak kerosakan yang akan dibawa kepada negara dan rakyat jelata akan terus sengsara sebelum tiba pilihanraya. Dan najib boleh menggunakan pelbagai taktik dan tipudaya untuk terus menang dalam pilihanraya.

Tidakkah kita perhatikan keborosan dan ketirisan berbilion ringgit di era Najib sehingga rakyat terpaksa menanggung beban dengan GST?

Hukum kebenaran dan keadilan akan berjalan, percaya atau tidakm Najib akan dihukum dan perlu menerima hukuman.

Tiada ulasan: