Khamis, 9 April 2015

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Kenaikan Harga Barang Naik 20%-30% Bermula 1 April 2015 Pelaksanaan Cukai GST Malaysia 6%. Survey Anda Pula?

Posted: 09 Apr 2015 05:31 AM PDT


harga barang naik



Kenaikan Harga Barang Naik 20%-30% Bermula 1 April 2015 Pelaksanaan Cukai GST Malaysia 6%. Survey Anda Pula? : Nampaknya kerisauan rakyat Malaysia dengan gelombang kenaikan harga barang naik melonjak tinggi bermula 1 April 2015 ada asasnya. Jikalau di negara lain, pelaksanaan GST di negara seperti Australia dan Singapura kenaikan harga barang naik pasti akan berlaku, cuma kenaikan harga barang itu berbeza-beza.


Jikalau sebelum ini rakyat Malaysia dilihat berpusu-pusu ke mana-mana pusat-pusat membeli belah memborong seberapa banyak barang dengan harapan dapat menjimatkan seberapa banyak perbelanjaan mereka sebelum menjelangnya pelaksanaan GST 1 April 2015.

kenaikan harga barang naik 

Nah…berita terkini yang Berita Semasa terima adalah FOMCA telah mengesahkan kenaikan harga barang naik bagi kebanyakan produk dan barang telah naik antara 20% sehingga antara 30% banyaknya selepas sahaja "perasmian" pelaksanaan GST yang bermula 1 April 2015 selepas perbandingan yang dibuat oleh FOMCA merujuk kepada buku rujukan dan Panduan Harga Pengguna yang dikeluarkan sendiri oleh KPDNKK (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan )

Jikalau merujuk kata jurucakap nombor GST di Malaysia Ahmad Maslan, situasi kenaikan harga barang naik di Malaysia hari ini jauh berbeza apa yang pernah diucapkan Ahmad Maslan dahulu iaitu :

Kenaikan Harga Barang naik (FOMCA) VS Harga Barang Turun (Ahmad Maslan) Selepas GST?

Sementara itu, menurut Datuk Ahmad Maslan, pelaksanaan sistem cukai GST akan menurunkan harga barangan susulan penurunan cukai dari 10 kepada 6 peratus.
Beliau sekaligus menolak dakwaan pihak tertentu, bahawa perlaksanaan GST akan menaikkan harga barang dan meningkatkan kadar cukai.
Bagaimana pula survey dan pemerhatian anda setelah berbelanja selepas GST dilaksanakan bermula 1 April 2015? Adakah harga barang turun sepertimana yang diucapkan oeh Ahmad Maslan sekaligus perbelanjaan boleh guna anda semakin bertambah?


PAS tawar bantuan dana untuk polis jumpa Sirul

Posted: 09 Apr 2015 05:25 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata beliau sedia membantu kewangan polis untuk bertemu dengan Sirul Azhar Umar yang disabit kesalahan membunuh Altantuya Shaaariibu, jika pihak berkuasa itu kekurangan dana.

"Jika polis tiada wang untuk bayar pada pegawainya, saya akan cari penaja yang boleh bayar kepada polis dan IGP (ketua polis negara) untuk ke sana (Australia)," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 3 April berkata polis telah menjalankan siasatan terhadap semua dakwaan terbaharu dibangkitkan Sirul dan berpendapat tidak mempunyai apa-apa untuk meneruskan siasatan.

Mengulas gesaan bekas perdana menteri Tun Dr Mahthir Mohamad, Khalid berkata polis telah bertemu Sirul yang berada dalam tahanan pihak berkuasa Australia untuk diambil keterangan berhubung semua dakwaan yang dibuatnya itu.

Sirul menafikan perkara itu dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini.

Sementara itu, Mahfuz juga mengesahkan bahawa ibu Sirul , Piah Samad, telah bertemu dengan Mahathir di pejabatnya di Putrajaya semalam.

"Betul, saya bawa ibu Sirul dan pakciknya bertemu Mahathir di pejabat Yayasan Perdana di Putrajaya semalam," katanya.


Akhirnya sultan salam Ahmad Maslan

Posted: 09 Apr 2015 05:23 AM PDT

MALAYSIAKINI


 



Selepas dikatakan tidak diendahkan sultan Johor, Timbalan Menteri kewangan Datuk Ahmad Maslan memuat naik gambar di Twitter yang menunjukkan beliau bersalam dengan Sultan Ibrahim Ismail Iskandar.

Gambar itu menunjukkan beliau tunduk sambil bersalam menggunakan kedua-dua belah tangannya dengan sultan, bersama tulisan berbunyi:

"Malam jamuan negeri sempena kemahkotaan pada 31/3/15 di Persada JB. DYMM Tuanku Sultan Johor yang sentiasa mesra rakyat."

Bagaimanapun, status itu mengundang reaksi nakal pengguna Internet yang memperli tindakan itu.

"Tabah sungguh Dato. Setelah beberapa kali percubaan akhirnya misi untuk bersalam dengan sultan Johor tercapai.

"Syabas! Haha," kata seorang pengguna Twitter menggunakan akaun @IbnRamli1.

Manakala pengguna Twitter @Perlimaya pula berkata sultan terpaksa bersalam dengan Ahmad yang menghalang laluannya.

Sebelum ini terdapat rakaman video tersebar luas yang memaparkan Ahmad beberapa kali cuba bersalam dengan sultan tetapi tidak diendahkan.

Sultan bagaimanapun dilihat bersalam dengan orang lain yang mengerumuninya.

Baginda juga sempat melayan mesra rakyat jelata yang ada antaranya mahu bergambar selfie bersama pemerintah tertinggi Johor itu.

Video dimuat naik di Facebook "Amran Fans" itu ditonton lebih 100,000 orang, dengan orang ramai terus memperolokkan Ahmad.


LIHAT VIDEO DI SINI

PM dijangka jawab Dr M di TV malam ini

Posted: 09 Apr 2015 05:11 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka menjawab serangan pendahulunya Tun Dr Mahathir Mohamad dalam wawancara televisyen yang dirakamkan lebih awal.

Menurut sumber, sesi soal jawab khas di TV3 itu akan menyentuh isu-isu "politik dan ekonomi".

Ketika dihubungi, seorang pembantu kepada perdana menteri mengesahkan bahawa wawancara itu akan disiarkan malam ini sama ada pada jam 10 atau 11.

Mahathir (kiri), perdana menteri 22 tahun itu, pada bulan ini telah memuat naik tiga tulisan di blog beliau yang mengkritik kewibawaan Najib.

Beliau antaranya bangkitkan persoalan siapa yang mengarah pembunuhan Altantuya Shaariibuu dan mempersoal syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Bhd yang dicetuskan Najib.

Najib masih membisu berdepan kritikan itu, antara yang keras dilontarkan Mahathir padanya.

Sementara itu, Najib hari ini hadir ke pertemuan tertutup bersama Wanita Umno di sebuah hotel di Hotel Seri Pacific, dekat ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur.

Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata perhimpunan itu dianjurkan supaya sayap itu dapat memaklumkan kepada Najib berhubung isu-isu dibangkitkan di media sosial dan media tradisional.


Pota: Mat Sabu pertahan MP PAS 'ponteng'

Posted: 09 Apr 2015 04:31 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


PAS mempertahankan tindakan anggota parlimennya yang tidak hadir ketika pengundian Rang Undang-undang Pencegahan Keganasan (POTA) sehingga ia berjaya diluluskan Selasa lepas.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu berkata perkara itu bukan satu isu selain menggesa orang ramai lebih adil dengan melihat kepada penyertaan wakil PAS dalam perbahasan.

Beliau juga berkata wakil PAS telah pun merancang urusan lain sebelum Pota diluluskan lebih jam 12 tengah malam dengan undi 79-60 memihak kepada BN.

"Jadi kita kena tengok rekod kehadiran dan penyertaan dalam Dewan. Itu lebih adil.

"Sebagai contoh, Datuk Mahfuz (Omar), Datuk Kamaruddin Jaafar dan Dr Siti Mariah Mahmud, mereka ini antara yang aktif ambil bahagian dalam perdebatan.

"Saya rasa bukan satu isu. Kalau saya (jadi MP) kebetulan saya berada di luar negara, (bagaimana?)" katanya dalam sidang media di ibu negara hari ini.

Beliau mengulas kecaman terhadap beberapa wakil rakyat PAS yang 'ponteng' itu.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu itu berkata anggota Parlimen yang sering tidak hadir dan tidak mengambil bahagian dalam perbahasan yang sepatutnya didedahkan.

"Jadi kita kena tengok secara keseluruhan dalam tempoh dua tahun selepas pilihan raya, siapa kaki tuang, tak ambil bahagian (dalam perdebatan). Sepatutnya wartawan tahu (siapa).

"Jadi kena tengok rekod MP yang kaki tuang, tak hadir. Itu yang sepatutnya didedahkan," katanya tanpa menyebut pemimpin yang dimaksudkan.

"Ada yang jarang hadir, kebetulan dia ada (pada malam itu), dia tidak dikecam," katanya lagi. 


'Turun demo 1 Mei demi Tok Janggut'

Posted: 09 Apr 2015 04:30 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Penganjur perhimpunan 1 Mei, Mohamad Sabu berkata, nama Tok Janggut menjadi ikon perhimpunan anti-GST kali ini demi semangat yang dibawa oleh pejuang Melayu itu.

Timbalan presiden PAS itu berkata, Tok Janggut dikenang sebagai ikon penentangan ke atas cukai melampau yang diperkenalkan kerajaan naungan British.

Sebab itulah slogan #KamiAdalahTokJanggut dipilih sebagai tema perhimpunan kali ini, kata Mohamad.

"(Tok Janggut) adalah pejuang yang melawan penjajah yang mengenakan pelbagai cukai masa zaman penjajah dahulu.

"Pada zaman pemerintahan BN, (kerajaan) mengenakan cukai yang tak sepatutnya.

"Sepatutnya (kerajaan BN) perlu melawan rasuah, kebocoran wang negara yang (kini) didedahkan pelbagai pihak," katanya.

Beliau juga menggesa para aktivis mengadakan siri himpunan lebih awal untuk menyeru orang ramai hadir ke perhimpunan raksasa 1 Mei.

"Menjelang 1 Mei, parti politik, NGO dan siswa boleh mengadakan himpunan mereka untuk menyeru orang ramai keluar ke Kuala Lumpur," katanya dalam sidang media di ibu negara


Aidana masih hidup?

Posted: 09 Apr 2015 04:28 AM PDT

 

 
Penulis blog mendakwa menerima email daripada Aidana yang mengaku gambarnya telah digunakaan sebagai mangsa nahas helikopter di Semenyih, Sabtu lalu.


adriana



PETALING JAYA: Seorang wanita mendakwa gambarnya telah digunakan sebagai individu yang berada di sebelah juruterbang helikopter, Clifford Fornier.

Aidana Karabasova juga menyangkal kenyataan seperti yang dilaporkan sebelum ini, bahawa dia bukan berasal daripada Kyrgystan sebaliknya Kazakhstan.

Artikel itu ditulis Shahbudin Husin dalam entri terbaru blognya Shahbudin dotcom.

Bekas Ketua Bahagian UMNO Wangsa Maju itu memaklumkan dia menerima email daripada Aidana Karabasova pada pagi Khamis.

"Subuh tadi saya menerima email daripada seseorang yang mendakwa dirinya Aidana Karabasova, yang mana gambarnya disebar-luaskan sebelum ini sebagai Aidana Baizeiva iaitu salah seorang mangsa yang turut terbunuh dalam nahas helikopter di Semenyih, baru-baru ini.

Berdasarkan maklumat yang diterima, Shahbudin yakin ia menyokong telahannya sebelum ini bahawa gambar yang tersebar selepas nahas yang turut mengorbankan Ahli Parlimen Rompin, Tan Sri Dr. Jamaludin Jarjis dan Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Datuk Azlin Alias bersama empat yang lain adalah tidak benar.

"Sekali lagi, jika email ini tulen, maka sahlah gambar yang tersiar di banyak media baru dan media sosial selama ini adalah Aidana Karabasova dan bukannya gambar sebenar Aidana Baizieva," katanya.

Shahbudin sebelum ini pernah menyuarakan kesangsiannya berhubung gambar yang tersebar luas kononnya milik Aidana Baizieva. Hujah itu dibuat atas alasan imej berkenaan diperolehi daripada laman web gaukhara.com.

Berdasarkan pengakuan yang diterima daripada Aidana Karabasova, dia cuba mengaitkan fakta itu dengan Daniyar Kessikbayev, menantu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor.

Rayu rakyat Malaysia pulang

Posted: 09 Apr 2015 04:22 AM PDT

 
Lebih 300 pelajar Malaysia di Yemen masih enggan pulang kerana khuatir masa depan pembelajaran mereka akan terjejas.


hisamuddin


KUALA LUMPUR: Kerajaan merayu warga Malaysia yang berada di Yemen, kebanyakannya terdiri daripada pelajar supaya pulang segera ke tanah air.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pada masa sekarang terdapat 600 penuntut negara ini di sana dan separuh daripada mereka dilaporkan enggan pulang kerana khuatir pembelajaran akan terjejas.

"Saya merayu kepada mereka supaya pulang kerana keselamatan mereka menjadi keutamaan.

"Kita juga memberi jaminan bahawa pelajar Malaysia yang dibawa pulang nanti akan diserapkan terlebih dahulu di sekolah agama agar pelajaran mereka tidak terjejas," katanya dalam satu sidang media di Kementerian Pertahanan.

Katanya, walaupun situasi di Hadramawt masih aman berbanding kawasan-kawasan lain di Yemen tetapi keadaan di Aden masih tegang dan tidak menentu.

"Ketika ini seramai 67 rakyat Malaysia masih berada di Aden dan kerajaan sedang berusaha untuk membawa mereka keluar," katanya lagi.

Berikutan ketegangan konflik yang berlaku, Hishammuddin memaklumkan, seramai 154 warga negara ini telah berjaya dibawa pulang menggunakan beberapa pernerbangan komersial.
Semua mereka telah selamat tiba ke tanah air pada Rabu lalu.

Dr M: Sokong PM? Sokonglah hutang 1MDB

Posted: 09 Apr 2015 04:20 AM PDT

MALAYSIAKINI


 


Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, golongan yang menyokong penggantinya, Datuk Seri Najib Razak juga perlu menyokong 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang kini menanggung hutang RM42 bilion.

Golongan itu perlu menyokong tindak tanduk firma berkenaan, yang masih belum dapat memberi penjelasan mengenai dana tersebut, kata Mahathir.

"Adakah anda juga sokong (langkah) menyimpan berbilion ringgit di Cayman Islands?

"Adalah anda juga sokong (langkah) bahawa, selepas membawa pulang wang tersebut, ia mesti disimpan di sebuah Bank Switzerland di Singapura?

"Adakah anda menyokong penjelasan bahawa wang tersebut tidak boleh dibawa pulang ke Malaysia oleh perdana menteri dan menteri kewangan kerana Bank Negara akan banyak soal?," katanya.


Menanti 1 Mei, Mat Sabu congak peluang

Posted: 09 Apr 2015 04:15 AM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
 
Kira-kira dua bulan lagi sebelum pemilihan PAS Jun ini, Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu nampaknya masih berteka-teki sama ada akan mempertahankan jawatan atau tidak.

Dilihat bakal berdepan pertarungan paling getirnya kali ini jika memilih untuk berentap, Mohamad masih enggan menyatakan hasratnya secara terbuka, walaupun gerak kerja di peringkat bawah kemungkinan telah berjalan perlahan-lahan.

Mengulas berhubung perkara itu hari ini, Mohamad dalam sidang media di ibu negara berkata beliau masih belum membuat sebarang keputusan.

Beliau memberi alasan mahu menumpukan kepada perhimpunan besar 1 Mei di Kuala Lumpur.

Mohamad (kanan) mempengerusikan himpunan Hari Buruh 1 Mei bagi mendesak pembatalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang diperkenal sejak April lalu.

"Saya tak mahu buat pengumuman lagi, saya tak mahu komen lagi. Tunggu sehingga awal bulan Mei.

"Saya sibuk, tumpu lawan BN," katanya sambil menambah akan menilai kemungkinan itu selepas mendapat maklum balas daripada kawan-kawan.

Cabaran paling getir

Difahamkan Mohamad telah selamat dengan sekurang-kurangnya lapan pencalonan kawasan bagi mempertahankan jawatan nombor dua dalam PAS yang disandangnya sejak 2011.

Perlembagaan PAS mensyarakatkan dua pencalonan kawasan untuk layak bertanding mana-mana jawatan peringkat pusat.

Beliau dijangka berdepan pertandingan sekurang-kurangnya dua penjuru dengan Naib Presiden Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, yang telah pun menyatakan hasratnya mencabar Mohamad.

Dalam pemilihan lalu, Mohamad atau lebih popular dengan panggilan Mat Sabu menang tipis ke atas Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Berbeza dengan dua tahun lalu, peluangnya kali ini dilihat lebih genting susulan populariti Tuan Ibrahim, seorang tokoh ulama popular PAS, yang berperwatakan lembut dan disenangi kawan dan lawan.

Bagaimanapun, keadaan mungkin berubah dan popularitinya dijangka meningkat mendadak selepas perhimpunan awal Mei ini.

Muktamar pemilihan PAS akan berlangsung pada awal Jun ini. 
 
 
 

Tun M akan hubungi Sirul

Posted: 09 Apr 2015 04:12 AM PDT

 
Mahfuz akan menjadi orang tengah yang akan mengatur perbualan telefon antara Sirul dan Dr Mahathir


Sirul, najib, mahfuz



KUALA LUMPUR : Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan kesediaan untuk menghubungi Sirul Azhar Umar yang kini berada di Australia.

Menurut Menurut Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Mahfuz Omar, perkara itu disampaikan sendiri bekas Perdana Menteri ketika mengadakan pertemuan dengan Piah Ahmad, di Yayasan Seri Perdana, Putrajaya pada petang Rabu.

"Saya akan aturkan perbualan telefon itu dan berharap Tun akan tahu apa yang harus dilakukan selepas itu,"katanya.

Dalam sidang media yang diadakan di lobi Parlimen, Mahfuz berkata Dr Mahathir mengulangi pendirian siasatan baharu perlu dijalankan dan kenyataan itu memberi harapan kepada ibunya.

"Tun juga mengulangi bahawa tidak wajar Sirul dibawa ke tali gantung apabila pengakuan yang dibuat hanyalah menjalankan arahan."

"Oleh itu Tun merasakan satu siasatan baharu harus dilakukan semula," jelasnya.

Jelasnya, pertemuan selama 40 minit antara Dr Mahathir dengan ibu Sirul terpaksa dirahsiakan atas sebab tertentu bagi mengelak sebarang halangan yang mungkin timbul.

Perkara berkenaan diketahui umum selepas gambar pertemuan itu tersebar di laman sosial.

Ketika ditanya mengenai rahsia yang mungkin diketahuinya selepas bertemu Sirul di Australia, Ahli Parlimen Pokok Sena itu enggan mengulas.

"Biarlah ia menjadi rahsia antara saya dan Sirul," katanya.

Sirul kini berdepan dengan hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah melakukan pembunuhan ke atas Altantuya Shaaribuu.

Bagaimanapun keputusan itu dipersoalkan kerana dia dilihat menjadi kambing hitam dan Dr Mahathir dalam tulisannya di chedet.cc meminta kerajaan melakukan siasatan penuh bagi menyeret dalang sebenar ke muka pengadilan.

Wakil DAP teraju PAC Selangor

Posted: 09 Apr 2015 04:10 AM PDT

 
Perlantikan Sue Lim sebagai Pemangku Pengerusi PAC sah sehingga jawatan tersebut diterima kembali oleh ADUN pembangkang. 


pac



SHAH ALAM: Kekosongan jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC) negeri Selangor diisi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan Ng Sue Lim.

Wakil DAP itu dipilih bagi mengisi kekosongan selepas Ketua Pembangkang, Datuk Shamsuddin Mohd Lias meletak jawatan.

Pengumumannya dibuat Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Hannah Yeoh dan ia berkuat kuasa serta merta.

Jawatan berkenaan akan disandangnya sehingga ia diterima semula wakil pembangkang.

Mengulas tanggungjawab baru yang diamanahkan, Sue Lim berjanji akan meneruskan urusan PAC yang telah lama tergendala.

"PAC tidak mengadakan mesyuarat selama lima bulan dan ia menyebabkan banyak isu pengurusan negeri tertangguh termasuk kedudukan kewangan negeri, tunggakan cukai dan sebagainya," katanya kepada pemberita di lobi bangunan DUN.

Sehubungan itu, dia akan mengadakan mesyuarat PAC pertama pada 15 April nanti bagi membincangkan pelbagai isu semasa termasuk teguran yang dibuat pihak Audit Negara terhadap Yayasan Selangor.

PKR dijangka pilih Nurul Nuha

Posted: 09 Apr 2015 04:05 AM PDT

 
Pimpinan PKR mungkin tiada masalah dengan pilihan Nurul Nuha kerana tiada seorang pemimpin parti itu yang benar-benar menonjol setakat ini.


nuha


PETALING JAYA: Nurul Nuha Anwar disebut-sebut bakal dipilih menjadi calon Parti keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh.

Sumber dalaman daripada PKR Pusat memaklumkan kepada FMT, Nurul Nuha atau lebih mesra dipanggil Nuha merupakan calon terbaik untuk mengekalkan legasi ayahnya, Dato' Seri Anwar Ibrahim.

"Anwar masih mempunyai pengaruh yang kuat di Permatang Pauh dan PKR memerlukan calon yang sangat rapat dengan Anwar dan keluarganya untuk mengekalkan kerusi Permatang Pauh," katanya.

Sumber itu berkata, pimpinan PKR mungkin tiada masalah dengan pilihan itu kerana tiada seorang pemimpin PKR yang benar-benar menonjol setakat ini.

Anak kedua Anwar, Nuha, 31, merupakan suri rumah tangga berkelulusan Ijazah Teknologi Seni Visual dari Universiti George Mason, Amerika Syarikat.

Sumber itu bagaimanapun tidak menolak kemungkinan Presiden PKR, Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail bertanding semula di Permatang Pauh.

Katanya, jika Wan Azizah bertanding ia kemungkinan ada kaitan dengan usaha menyekat Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dari dilantik menjadi Ketua Pembangkang di Parlimen.

"Umum sudah tahu Wan Azizah tidak sehaluan dengan Azmin dan beliau serta beberapa pemimpin PKR lain akan berusaha menyekat kemaraan Azmin," katanya yang meminta supaya identitinya dirahsiakan.

Menteri Besar Selangor yang juga Ahli Parlimen Gombak antara calon yang menjadi tumpuan oleh DAP dan PAS untuk menggantikan Anwar sebagai Ketua Pembangkang.

Bapa gadis gaduh dengan pemandu teksi didakwa

Posted: 08 Apr 2015 05:40 PM PDT

MALAYSIAKINI


Bapa kepada tiga beradik yang bergaduh dengan seorang pemandu teksi di kawasan stesen minyak di Shah Alam akhir bulan lepas, hari ini dihadapkan di Mahkamah Majistret di Shah Alam atas tuduhan mencederakan pemandu teksi itu.

Syed Fareid Yahya, 51, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Lelaki itu, yang bertugas sebagai ketua Jabatan Sumber Manusia di sebuah syarikat berkaitan kerajaan, didakwa mencederakan Azmi Mat Mokhtar, 54, di hadapan Pejabat Pertanyaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Persiaran Kayangan, Seksyen 9 di Shah Alam kira-kira jam 4.30 petang pada 29 Mac lepas.

Syed Fareid didakwa mengikut Seksyen 334 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum sebulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya N Parimalaah yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan supaya lelaki itu dibebaskan dengan jaminan RM3,000.

Peguam Azad Bashir yang mewakili Syed Fareid, bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jaminan kepada RM1,500 atas alasan anak guamnya perlu menanggung isteri dan empat daripada tujuh anaknya.

Majistret Norshakinah Ahmad Kamarudin membenarkan Syed Fareid dibebaskan dengan jaminan RM2,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 29 April ini untuk sebutan semula kes.

Pada Isnin lepas, Azmi mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas tuduhan mencederakan tiga anak perempuan Syed Fareid dan merosakkan kereta Myvi milik mereka di Stesen Minyak Petron, Persiaran Kayangan, Seksyen 7, di Shah Alam pada 29 Mac lepas.

Mahkamah menetapkan 23 April ini untuk sebutan semula kes pemandu teksi itu.

Insiden pergaduhan Azmi dengan anak-anak perempuan Syed Fareid menjadi viral di laman sosial baru-baru ini. - Bernama


 

PKR jamin keselamatan media sepanjang PRK

Posted: 08 Apr 2015 05:36 PM PDT

SINAR HARIAN

Dr Afif Bahardin  
Dr Afif Bahardin


GEORGETOWN - Timbalan Ketua AMK, Dr Afif Bahardin menjamin keselamatan petugas media yang membuat liputan sepanjang kempen PRK Permatang Pauh.

Sambil mengakui bahawa pertandingan sengit dijangka berlaku pada PRK itu, beliau berkata, semua anggota dan penyokong parti diminta supaya sentiasa berdisiplin sepanjang tempoh kempen.

"Dalam beberapa mesyuarat sebelum ini, saya memberi taklimat kepada semua anggota supaya menjaga disiplin dan tidak menggugut mana-mana media yang
bertugas semasa kempen," katanya.

Dr Afif yang juga Adun Seberang Jaya berkata, parti itu memutuskan untuk meletakkan beberapa pegawai keselamatan di tiga kawasan iaitu di Permatang Pasir, Penanti dan Seberang Jaya.

PRK Permatang Pauh pernah menyaksikan beberapa kejadian yang tidak diingini pada PRK 2008 dengan petugas media diserang dan diancam oleh penyokong parti pembangkang. - Bernama


Dewan Rakyat kecoh, PR bantah sidang habis lewat

Posted: 08 Apr 2015 05:30 PM PDT

SINAR HARIAN


Dewan Rakyat


KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat hari ini kecoh apabila ahli Parlimen pembangkang tidak berpuas hati dengan perjalanan mesyuarat itu yang masih tidak dihentikan walaupun sudah melewati 12 tengah malam.

Kekecohan berlaku apabila Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) bangkit meminta penjelasan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ismail Mohamed Said yang ketika itu mempengerusikan mesyuarat, untuk mempertimbangkan bagi menghentikan mesyuarat yang telah berlarutan sehingga lewat malam.

"Dua hari lepas kita sudah bermesyuarat sehingga 2.30 pagi dan hari ini kita masih ada empat rang undang-undang untuk dibincangkan dan saya rasa mungkin ambil masa hingga 3 atau 4 pagi.

"Saya mahu membahaskan rang undang-undang ini tapi macam mana, mungkin kita tidak diberi masa untuk bahas, semua mahu cepat, macam mana mahu debat dengan berkualiti," katanya yang menyebabkan beberapa lagi ahli Parlimen pembangkang bangkit menyokong.

Rata-rata ahli Parlimen yang ketika itu sedang membahaskan rang undang-undang Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015, mempersoal mengapa kerajaan tergesa-gesa membentang dan meluluskan lapan daripada 11 rang undang-undang yang disenaraikan dalam aturan mesyuarat hari ini.

"Kalau sudah tidak ada asas (untuk teruskan mesyuarat) kenapa mesti diteruskan sehingga 3 atau 4 pagi," tegas Gobind Singh.

G. Manivannan (PKR-Kapar) pula mendesak menteri berkaitan menjelaskan kenapa kesemua rang undang-undang itu mesti diluluskan hari ini: "Kenapa kita tidak boleh bahaskan rang undang-undang ini esok."

Michael Jeyakumar Devaraj (PSM-Sungai Siput) pula menyifatkan tindakan untuk meluluskan segera rang undang-undang seolah-oleh menghina Parlimen dan menjadikannya seolah-olah seperti 'pak turut' sahaja.

"Ini ertinya macam tak perlukan Parlimen. Kalau macam ini mana kita hendak ambil masa untuk kemukakan perbahasan berkualiti," hujahnya.

Manakala ahli Parlimen BN pula mempertahankan tindakan kerajaan untuk meneruskan persidangan dan menggesa ahli Parlimen pembangkang untuk pulang jika tidak sanggup menunggu.

"Kita ada asas (untuk bahaskan rang undang-undang). Kalau malas, balik rumah," kata Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling).

Sementara itu, Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) menyifatkan kekalutan pembangkang itu disebabkan kini mereka tidak mempunyai 'ketua', sehingga menimbulkan kemarahan wakil rakyat pembangkang.

Keadaan itu, bagaimanapun reda apabila Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee menegaskan untuk meneruskan mesyuarat seperti usul yang dipersetujui sebelum itu.

Terdahulu hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mengemukakan usul melalui Peraturan Mesyuarat 12(1) untuk tidak menghentikan mesyuarat sehingga selesai Rang Undang-Undang Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2015.

Bagaimanapun, bacaan kedua bagi Rang Undang-Undang Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2015 dan Rang Undang-Undang Keterangan (Pindaan) 2015 ditangguhkan dan akan dibawa ke persidangan akan datang.

Setakat 12 tengah malam, sidang dewan sedang membahaskan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 selepas meluluskan Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Pindaan) 2015.

Empat lagi rang undang-undang iaitu Rang Undang-Undang Suruhanjaya Sekuriti (Pindaan) 2015, Rang Undang-Undang Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Pindaan) 2015, Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Persaraan (Pindaan) 2015 dan Rang Undang-Undang Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludulan Migran (Pindaan) 2015 menanti untuk diselesaikan. - Bernama


KJ: Jika perlu cari hantu kacau atlet

Posted: 08 Apr 2015 05:26 PM PDT

MALAYSIAKINI


 


Pada Sukan Asia di Korea tahun lalu, pelumba basikal kebangsaan Fatehah Mustapa tidak mempamerkan persembahan yang optimum kerana keletihan dan kurang tidur.

Sehubungan itu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin mengambil keputusan untuk menyiasat perkara itu dan tidak menyangka prestasi Fatehah (bawah) terganggu disebabkan masalah paranormal.

Selepas menyiasat lebih mendalam, Khairy berkata, pelumba basikal tersebut mendedahkan bahawa pangsapuri yang menjadi tempat penginapannya sepanjang tempoh Sukan Asia itu berhantu.

"Pengajaran daripada kisah ini bukan sama ada kamu percaya pada hantu atau tidak, tetapi lebih penting lagi, dia fikir ada hantu.

"Perlu tangani masalah ini. Pegawai sepatutnya lakukan sesuatu bagi memastikan prestasi yang lebih cemerlang.

"Mungkin pegawai boleh menemaninya di pangsapuri itu," katanya semasa berucap pada majlis pelancaran laman web portal Sukan SEA Malaysia 2015.

Selain itu, Ahli Parlimen Rembau itu berkata lagi, keletihan Fatehah itu menyebabkannya beraksi bawah prestasi sebenar dan hanya memenangi pingat perak dalam acara keirin wanita.

Berikutan kejadian itu, Khairy telah mengarahkan Chef de Mission (CDM) kontinjen Malaysia Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria supaya membuat pemantauan yang ketat bagi memastikan prestasi atlet yang lebih cemerlang.

"Tiada perkara terlalu kecil untuk dipandang ringan. Jika perlu, cari hantu itu dan hapuskan hantu itu," katanya yang mengundang ketawa di kalangan hadirin.


K'jaan terkejut dengan RUU pindaan

Posted: 08 Apr 2015 05:21 PM PDT

MALAYSIAKINI



 
 
 
Ada di antara Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Wan Junaidi Jaafar berkata beberapa rang undang-undang yang dibentangkan kerajaan minggu ini tidak seperti yang dijangkan oleh kementeriannya.

Ditanya mengenai pindaan kontroversi ke atas Akta Hasutan, Wan Junaidi berkata ada di antara rang undang-undang itu dibentangkan sebelum kementerian dapat melihatnya terlebih dahulu.

Katanya, kementerian biasanya akan menyerahkan konsep undang-undang dan sasaran mereka kepada Pejabat Peguam Negara.

"Tetapi kadang-kadang kita tidak sempat lihat rang undang-undang yang sudah siap kerana KDN adalah kementerian yang besar dan AG uga sangat sibuk.

"Kemudian, kita dapati perkara yang kita inginkan tidak dimasukkan, atau ada perkara lain yang mereka masukkan," katanya.

Tambahnya, Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan menyentuh mengenai pindaan itu dalam ucapan penggulungannya, Khamis.

Kerajaan setakat ini membentangkan pindaan ke atas Akta Hasutan dengan memperkenalkan peruntukan baru yang membatalkan jaminan selepas penahanan dan juga hukuman penjara maksimum 20 tahun untuk kesalahan melakukan kecederaan dan kerosakan harta benda.

Rang undang-undang ini dijangka akan diluluskan semasa sidang parlimen semasa, yang akan berakhir esok.
 
 

Tiada ulasan: